Merah di Kuala

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hambali terjelepuk ke tanah. Besi penyeduk masih tegak menampung berat tubuh. Kekuatan beransur-ansur meninggalkan Hambali, sama seperti semangatnya. Terasa benar yang ditanam, bukan sahabat-sahabat sepermainan, tetapi diri sendiri. Hiba hati yang dipendam akhirnya terkeluar.

"Sahabat-sahabatku, maafkan aku. Kudrat manusia ini lelah menimbus jenazahmu. Tapi hati ini lebih lelah mengenang pemergian kalian. Aku dah tak mampu mengekang pilu. Pedihnya menyaksikan kalian tumpas satu persatu di hadapan mata ini hanya Tuhan sahaja yang tahu."

Tanpa memperdulikan manusia lain di sekeliling, Hambali jatuhkan badan di tanah. Tiada bezanya di antara dia dengan mayat rakan-rakan di liang besar itu. Tubuh mereka sama-sama berselimut tempat asal dan kembalinya seorang manusia, tanah.

Terlentang, awan gelap tampak berbalam melepasi biasan cecair yang membasahi mata. Barangkali langit turut mengerti isi hatinya. Titis-titis halus turun serentak dengan air yang melepasi takungan mata. Bezanya cuma air dari langit itu putih suci. Sedangkan air yang merentasi pipinya tercemar dengan darah sahabat-sahabatnya yang terpalit di serata wajah dan tubuh.

Merah. Warna garang itu memenuhi tanah di tepi kuala, daerah permai kelahirannya. Tidak hanya tompokan merah melatari tembok dan dinding Kota Pertahanan negeri, aliran merah juga deras menyusuri alur yang bersimpang siur di celah-celah batas rumput dan denai lalu menuruni tebing sungai. Hati Hambali semakin kuat bergetaran mengenang air jernih tempat dia dan sahabatnya mandi dan bermain bernoda merah. Tubuh-tubuh manusia kembung dan timbul di kuala laksana ikan yang dituba.

"Celaka! Aku akan bunuh kamu semua!"

Hambali bingkas bangun. Pekikan suara berjaya mengumpul kembali puing-puing semangat yang bercempera. Dalam tekad hati, tubuh berpaling ke belakang. Hambali tidak perduli. Biar berseorangan, dia akan menyembelih leher orang-orang Siam yang berani menyerang kampung mereka.

Sebelah tangan kekar yang menggenggam bahunya merenjatkan azam. Kaki tidak sempat melangkah.

"Usah diturut nafsu amarah, saudaraku. Arang habis besi binasa."

Hambali melempar pandangan tajam. Air wajah Alwi dibaca. Kewarasan lelaki itu masih teguh. Mata hitam Alwi yang terang bersinar jelas memperlihatkan akal lelaki itu masih dipengaruhi kebijaksanaan.

"Lepaskan aku, Alwi. Aku tak gentar bergadai nyawa demi agama dan pertiwi. Biarkan aku syahid menyertai sahabat-sahabat kita."

Tangan Alwi melurut dari bahu ke pergelangan tangan Hambali.

"Alhamdulilah. Masih garang semangatmu. Bimbang juga hati ini melihat kau terbaring tadi."

Suara Alwi kedengaran ceria di telinga Hambali. Bernada memujuk.

"Barangkali kau masih tak sedar, nyawamu jauh nilainya berbanding kami. Kami tidak tahu menulis sepertimana kau."

Jika tadi hanya Alwi yang mengekang mara Hambali, kini dua barisan rakannya merintang jalan.

"Apa maksudmu, Alwi?"

"Hajatmu, biar kami yang laksanakan. Kerana hajat kami, hanya kau yang mampu lunasi. Selamatkan dirimu. Masih sempat lagi kau mengejar kumpulan Orang Kaya Hasan. Mereka baru sahaja meninggalkan kampung untuk menyertai dan melindungi Paduka Tuanku Sultan. Kami akan melengahkan kemaraan musuh."

Melihat Hambali menggelengkan kepala, Alwi terus memujuk.

"Gunakan kemahiranmu untuk membantu Tuanku Sultan mendapatkan kembali tanah ini. Berjuang dengan tinta, berjuang dengan nyawa, tak ada bezanya selagi nawaitu kita sama."

Satu persatu wajah jitu sahabat ditatap. Sungguh, keikhlasan mereka membuatkan Hambali terharu.

"Tetapkan niatmu demi Tuhan, sahabatku. Nescaya kita akan bertemu kelak di syurga."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro