Bab 10

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Malam tu selepas aku bagi mak makan ubat, kami duduk berborak-borak sambil biarkan TV terpasang. Feelingnya memang lain macam sikit sebab rasa kosong bila terpandang kerusi malas yang selalu arwah abah duduk sambil melunjur kaki tu. Kadang-kadang arwah minta mak tolong picitkan. Rindu momen tu. Kenangan mahal yang takkan berputar balik.

Memandang kerusi malas itu membuatkan aku terbayang-bayang arwah pun ada sekali sambil duduk di situ menonton berita. Hurm, memanglah kena reda dan ikhlas tapi hati tetap merindui orang yang sudah tiada, nak buat macam mana? Tambah-tambah suasana malam macam ni, hati memang mudah tersentuh.

Betullah orang cakap rindu pada yang sudah pergi memang tiada penghujungnya dan paling menyakitkan. Entah bila dapat bersua kembali. Hanya kenangan lalu yang menjadi pengubat. Kepahitan yang harus ditelan selagi nyawa dikandung badan. Penyesalan yang tidak terpadam biarpun masa berlalu.

"Kenyang perut mak. Hazie masak sedap. Rasa nak tambah nasi lagi." Mak membuka bicara. Kari ikan jenahak air tangan Hazie memang menyelerakan. Hazie ni pandai pancing hati mak-mak. Memang kena dengan seleranya dan selera aku.

Aku diam. Ya, hakikatnya memang sedap berbanding dengan gulai ikan yang dibeli tadi. Kuah cair dan isi ikan pun dah tak segar. Harga bukan main mahal. Hazie pun berkira sangat aih. Ada ke patut dia bagi cukup-cukup untuk seorang aje makan. Itu balas dendam cara halus namanya. Lain kali bagilah lebih sikit.

"Dia memang pandai masak. Untunglah lelaki yang kahwin dengan dia." Hahaha! Aku nampak mak sengaja kerling ke arah aku. Nak tengok respons akulah tu.

"Biasa-biasa aje. Lauk yang Kimi beli tadi pun sedap juga." Terus aku menjawab.

"Kalau sedap, kenapa tak habiskan?"

Soalan mak menjerat diri aku. Ya. Ya. Masakan intan payung mak tu memang umphhh. Lebihan kuah kari tu habis licin aku kerjakan. Lepas makan, aku tersandar di meja makan.

"Kalau dia buat laksa, mak boleh tambah sampai dua mangkuk. Kalah laksa Hulu Tanjung tau. Arwah abah kalau nak makan asam pedas, dia beli ikan pari di pasar, dia akan suruh Hazie yang masak. Macam ni ha." Mak angkat ibu jari.

"Mak tak jealous ke abah suka masakan dia?"

Mak tergelak besar. Terkejut beruk aku. Dia jarang nak gelak macam tu.

"Taklah. Mak dah anggap dia macam anak. Tapi itulah, dia masih duk panggil mak cikgu juga."

"Tak cukup lagi ke? Mak dah ada dua orang anak perempuan."

"Dua ke tiga bukan ukuran cukup ke tak. Anak-anak mak semua duduk jauh. Dia aje yang ada paling dekat dan selalu mai jenguk mak. Kalau mak nak pi mana-mana, dialah yang selalu temankan. Dia bawa sekali dengan mak dia. Hmmm, zaman la ni susah nak cari perempuan macam tu. Dia tau tanggungjawab dia," puji mak melambung. Rengkung aku mula berpasir. Rasanya yang hujung-hujung tadi macam tertempias kena kat aku. Sindiran.

Aku tunduk menekur ke lantai rumah. Sekejap-sekejap aku menoleh memandang ke arah mak. Alang-alang dah bersembang santai, elok aku beritahu terus kepada mak. Nak cakap ke tidak?

Mood mak nampak okey sangat. Kalau aku tersalah cakap nanti rosak pula emosi. Arghhh. Sebenarnya aku dah mula serabut. Cuti aku dah nak habis. Lusa aku kena kerja. Berat mulut nak cakap tetapi aku kena juga bagi tau.

"Mak... Esok Kimi nak kena balik dah. Bos bagi seminggu ja cuti. Errr... Mak okey dah ke? Betul-betul dah sihat ke ni?" Suara aku macam keluar dari celahan gigi. Bimbang bagaimana reaksi emak. Yalah, mak baru nak nampak gembira dan sihat bila anak-anak ada. Kalau aku pun balik, memang terus sunyilah rumah ni.

Diam. Riak wajah mak tidak secerah tadi. Bagai memikirkan sesuatu yang tidak berpenghujung. Lama dia berdiam diri.

"Nanti ada masa, Kimi balik pula jenguk mak. Hujung minggu ni Kak Ana dan Abang Ali akan balik temankan mak." Hujung ayat tu saja aku tekan lebih sikit sebab nak bagi hati dia seronok. Mestilah seronok, nanti mak boleh peluk anak-anak Kak Ana ketat-ketat.

Siapalah yang tak sayangkan cucu? Aku duk perhati, cara mak dan arwah abah layan cucu memang berbeza dengan cara kami adik-beradik dibesarkan. Orang degil macam aku selalu berkawan rapat dengan rotan. Nampak benda alah tu, auto aku berpura-pura baik.

Bila dengan cucu-cucu ni, arwah abah dan mak... Fuhyoo, gila-gila punya sayang. Arwah abah sanggup meniarap asalkan cucu boleh panjat di belakang. Cuba aku yang buat perangai lagu tu, mahu kena hawing keluar rumah.

"Mak..." Lembut suara aku memanggil bila mak merenung terlalu jauh dah. Entah apa yang ada dalam fikiran. Air muka dia pun dah kembali mendung. Terus jari-jemari memicit betis. Mulalah mengeluh sakit kat situ sini. Mak, oh mak.

"Dah tua-tua ni... Macam nilah. Silap makan sikit, mulalah sakit urat. Kaki pun dah tak kuat. Lenguh. Lutut pun sakit. Kepala pun kerap duk pening. Tapi Kimi jangan risau... Mak okey." Mendatar bicara mak.

"Betul ke okey?" Aku terus menduga. Sebenarnya aku dah tahu akal mak ni. Bila aku bagi tau nak balik mulalah mengadu sakit tang tu dan sakit tang ni.

"Sunyi sikitlah rumah ni bila arwah dah tak ada. Apa kata Kimi belikan mak kucing seekor? Boleh buat teman?" pinta mak tiba-tiba.

Terus rengkung aku rasa tercekik. Kucing?

Setahu aku, mak tak suka kucing. Bulu-bulu kucing tu yang buat mak sensitif. Kalau kami makan di luar, ada kucing bawah meja, mak terus angkat kaki dan bersila di atas kerusi. Arwah abah selalu geleng.

Seorang takut kucing dan seorang lagi sayang kucing. Arwah abah ada bela kucing kampung dulu-dulu. Masa anak kucing tu kecik lagi, arwah abah sumbat masuk dalam poket dia saja. Dia usung bawa pi ke kilang. Tapi bila mak ada di sebelah, arwah abah kurung kucing dalam sangkar di depan rumah tu. Maklumlah, mak aku penakut.

Sayangnya, kucing yang arwah abah bela tu mati kena langgar dengan lori yang masuk ke kilang untuk ambil stok beras. Lepas tu arwah abah tak bela kucing dah. Ini apa kes pula tiba-tiba mak minta kucing? Dah berani nak pegang dan belai kucing ke? Hesy, aku musykil ni. Apa sebenarnya maksud tersirat ni?

"Serius ke, mak? Dulu kan mak takut dengan kucing. Sejak bila mak berani ni?" usik aku ingin tahu. Senyuman mak makin meleret bila mendengar pertanyaan aku.

"Nak ambil anak angkat... Mak dah tak larat nak bela. Nak bela kambing dan lembu... Mana mak nak tambat? Kalau ada kucing boleh juga teman mak dalam rumah. Taklah sunyi sangat. Mak dah okey kut. Kimi carilah seekor yang bulu tebal-tebal sikit macam karpet tu. Mak nak warna putih dan mata biru."

Hesy... Biar betik mak aku ni. Kucing satu hal, pula tu nak yang mahal-mahal. Makan kos weh nak bela kucing cantik-cantik ni. Dalam duk cerita geli dengan bulu-bulu, boleh pula mak aku minta yang berbulu tebal.

Mata biru tu yang tak tahan. Hahah. Aku toleh pandang wajah mak. Saja nak cari kepastian. Dulu arwah abah yang rajin melayan tetapi sekarang aku pulalah kena ambil alih melayan perangai manja mak aku ni.

"Mak serius ke main-main?" soal aku.

"Antara kucing dengan Kimi... Mestilah mak pilih anak mak ni. Satu-satunya anak lelaki yang pernah janji nak jaga mak. Kimi duduk jauh. Susah mak nak tumpang manja... Dukung-dukung. Suap makan," kata mak.

Hahahaha. Sungguh, aku tak tahan. Kuat juga meletus ketawa aku. Tahun depan aku dah nak masuk 30 tahun dah. Kalau anak Kak Ana tu lainlah. Memang patut budak bertuah tu ditatang bagai. Ketawa terus terhenti bila renungan mak menikam bola mata aku. Macam serius aje kata-kata tadi. Aku yang mungkin tak faham kiasannya.

"Bilalah dia nak tunai janji tu..." sambung mak perlahan tapi cepat telingaku menangkap.

Bushhh! Sekali mak berkias terus terkena atas batang hidung aku. Padu dan pedih. Terasa! Rupanya mak menagih janji-janji aku kepadanya.

"Mak dah tua, Kimi. Kadang-kadang larat dan kadang-kadang tu memang rasa lemah ja badan. Kalau umur panjang, sempatlah tengok Kimi kahwin. Kalau tak..." Mak tidak menyambung kata.

Diam.

Hok aloh... Masuk bab kahwin pula dah. Punggung aku terus rasa gatal-gatal. Aku mula cari akal untuk lari dari perbincangan. Aku berpura-pura tahan mengantuk. Berkali-kali aku tahan kuap. Saja aku bagi hint awal-awal supaya taklah nampak seperti anak kurang ajar bila terus bangun gitu aje. Hehehe.

"Duduk sorang-sorang dalam rumah besar macam ni, hati tak pernah tenang. Zaman dulu, orang takut dengan hantu. Zaman la ni, banyak manusia yang lagi menakutkan daripada hantu. Mak tidur malam pun tak lelap. Takut kalau orang jahat pecah masuk ke dalam rumah. Kalau merompak dan membunuh. Hesy, macam-macam yang mak pikiaq. Kalaulah mak mati, sapa pun tak tau," sambung mak lagi dengan suara bergetar. Luahan rasa yang telah lama terpendam.

Allah, lidah aku terkelu bila tubir matanya mula bertakung air. Mak senyum hambar. Dia mengusap lembut ubun kepala aku dan kemudian terus bangun meninggalkan aku yang termangu-mangu di sofa panjang. Ayat yang di hujung-hujung tu aku tak suka dengar. Menghiris hati.

Ternyata tekaan aku meleset. Mak nampak kuat tapi dia tak kuat. Enam bulan tu, mak gagahkan diri juga sebab tak mahu kacau dan menyusahkan anak-anak. Lepas setahun berlalu, mak tetap gagahkan diri sebab dah penat suarakan perkara yang sama. Macam selalu, aku buat-buat tak faham dan berdalih seribu alasan.

Mungkin kini mak dah penat dan dia nak berehat. Dia takut nak hidup seorang diri. Dia sunyi. Cuma aku saja yang dia nampak untuk bergantung harap! Kakak-kakak aku dah ada kehidupan mereka sendiri. Aku saja yang belum ada komitmen berkeluarga.

Apa aku patut buat? Patutkah aku berkorban? Antara mak dan Aetos mana satu yang aku sayang? Dua-dua aku sayang sebenarnya. Tapi kalau tanya mana yang lebih mestilah mak aku. Arwah abah dah lama pergi ke negeri abadi. Mak satu-satunya yang aku perlu jaga sebaik mungkin sebab apa yang aku dapat hari ni, berkat doa dia juga.

Tetapi mampukah aku galas tanggungjawab tu sedangkan hati aku tak pernah terlintas nak buat! Kalau aku minat dengan kilang tu, dah lama aku tolong arwah abah. Kejamkah aku kalau berpura-pura tidak faham? Patutkah aku korbankan cita-cita aku? Apapun dia satu-satunya mak yang aku ada. Orang yang tak pernah jemu sebut nama aku dalam setiap doanya.

Aku rasa atas sebab itu jugalah aku mula mempertimbangkan semula keputusan untuk mengurus kilang padi tu. Mungkin sebab akulah yang menjadi sandaran selepas pemergian abah. Dalam keadaan sekarang, aku kenalah jaga hati emak macam mana arwah abah jaga dan tatang mak dulu-dulu.

Aku boleh nampak mereka berdua saling menyayangi. Mak akan tunggu arwah abah untuk makan bersama-sama. Arwah abah sibuk macam mana sekalipun, dia akan luang masa untuk mak. Nampak macam simple tapi effort tu memang menggembirakan hati mak. Bila mak gembira, seisi rumah ceria!

Aku merebahkan kepala di atas bantal. Sebelah tangan mendarat di atas dahi. Ligat kipas berpusing, begitulah jugalah otak aku berfikir. Segala kemungkinan aku pertimbangkan dan harap-harap keputusan aku ini membawa kebaikan. Sejujurnya, aku buat semua ni sebab terpaksa! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro