Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Rindu yang paling sakit ialah merindui mereka yang telah pergi.

Kecewa! Itulah yang membelenggu diri aku. Bagai batu besar terjatuh di tengah-tengah jalan takdir aku. Allah beri ujian yang aku tak pernah tersangka pun. Cepat dan secara tiba-tiba.

Aku ingat selamanya aku boleh hidup tenang dan gembira. Aku lupa, saat aku semakin sibuk kejar keseronokan dunia dan cita-cita, mak dan abah aku pun semakin tua. Kita yang muda kadang-kadang lupa Allah dah tunjuk masa orang tua kita sudah tidak lama tapi kita yang lupa soal hidup mati manusia. Kita yang muda selalu suka bertangguh seolah-olah masa itu pasti menunggu kita. Bila terleka, kitalah manusia yang rugi itu. Penyesalan hanya tinggal penyesalan.

Tak ada yang kekal pun dalam dunia sementara ni. Andai aku bersedia dan beringat soal kematian, mungkin aku tak jatuh terduduk macam sekarang. Kehilangan orang yang paling disayangi secara tiba-tiba menjadi tamparan hebat dalam hidup aku. Usia dewasa tak menjanjikan seseorang itu matang. Akulah lelaki itu! Abah pergi meninggalkan kami pada saat aku lupa bagaimana untuk memikul tanggungjawab terhadap keluarga.

Seperti hari-hari biasa, hujung minggu pasti aku balik menjenguk mak dan abah. Nama aje balik kampung tapi sejujurnya aku balik pun sebab berjumpa dengan kawan-kawan lama. Melepak di kedai mamak dan ikut mereka memancing di laut. Semuanya tentang keseronokan masa muda.

Mak bising juga bila aku keluar pagi dan malam baru nampak muka di rumah. Dia kata payahnya nak sembang dengan anak sendiri. Hmmm, memang salah aku tak peduli perasaan orang tua aku yang makin rapuh menghadap kerenah anak jantan macam aku. Ada dekat tapi aku menjauhi mereka. Kawan-kawan lebih penting ketika ini. Jiwa masih muda katakan. Masih rasa masa tu panjang.

Abah aku tak banyak cakap tapi aku tau dia dah malas nak berleter panjang sebab anak-anak semua dah besar. Dah boleh fikir sendiri mungkin. Abah ni memang jenis workaholic. Mak aku kata dari mula kahwin sampai dah tua pun, dia gigih fikir pasal kilang. Bila mak suruh rehat, abah terus suruh aku ambil alih. Part ni yang aku tak suka.

Macam aku cakap tadi, memang taklah aku nak jaga kilang padi tu. Terperuk di kampung bukan impian aku. Orang muda macam aku lebih sesuai nikmati kesibukan di bandar. Hutan batu yang ada segalanya!

Jadi dengan penuh yakin, aku tolak bulat-bulat pelawaan abah. Kilang padi bukan impian kerjaya aku. Abah diam. Tak banyak soal dah sebab dia dan aku sama aje perangai. Kalau hati dah membulat, memang sukar dipujuk rayu.

Aku terus bersama Aetos dan abah masih gagah mengemudi kilang padi miliknya. Mujur pekerja-pekerja abah semuanya baik-baik dan boleh diharap. Jadi untuk seketika, aku masih selamat. Syukur.

Namun, nikmat kebahagiaan kami direntap apabila keluarga kami diuji. Sebelum ini abah nampak sihat dan kuat. Dia selalu melawak dan gelak-gelak menyakat mak sebelum pergi kerja. Pada hari itu, abah pergi ke kilang macam biasa dan pulang untuk makan tengah hari dengan kami.

Sejurus abah sampai di depan pintu, dia mengadu penat sambil mengurut sekitar dada dan terus masuk ke bilik untuk lelap sebentar. Jamah sikit makanan di atas meja pun tak. Hanya aku dan mak saja yang menjamu selera. Kami biarkan abah berehat seketika.

Dua jam sudah berlalu dan abah bukan orang yang suka tidur siang lama-lama. Sesekali aku jenguk ke dalam bilik. Abah masih tidur nyenyak. Tak gamak pula aku nak kejutkan. Aku biarkan dengan andaian abah mungkin keletihan.

Sejam kemudian, emak pula masuk ke dalam bilik memeriksa keadaan abah. Tiba-tiba mak melaung kuat memanggil nama aku dan memberitahu abah dah tak ada. Kelam-kabut aku berlari masuk ke dalam bilik.

Aku periksa nadi abah sekali lagi. Pangkal jari aku letak di hidung abah malah aku cuba rasa degup jantung ayah. Senyap. Susah nak percaya sebab kami nampak abah macam sedang tidur saja waktu itu.

"Kimi, abah dah tak ada ni. Inna lillahi wa inna ilayhi roji'un.'' Sayu suara mak menyapa halus gegendang telinga aku. Tergamam. Sukar aku percaya sebab pagi tadi abah nampak sihat. Saat mak menutup wajah ayah dengan selendang putih barulah aku tersedar.

Tersandar aku di dinding bila mak mula kalut telefon Kak Ana, Kak Izah serta saudara-mara terdekat. Aku bagai terjaga daripada lena kesenangan yang panjang. Aku ingat umur abah akan panjang dan boleh tengok aku kahwin dan bermain-main dengan anak-anak aku pula tapi aku silap. Muda atau tua, kita tidak tau bila akan sampai saat kematian itu. Rasa sekejap sangat abah dipinjamkan. Aku tak tau nak buat apa. Aku terasa bagai terkurung di dalam bilik gelap.

Siapa sangka abah akan pergi tinggalkan kami tiba-tiba. Tak lama kemudian, rumah dipenuhi sanak saudara, jiran dan orang kampung. Pekerja-pekerja abah pun sampai. Masing-masing membuka pelbagai cerita ketika bertemu abah. Mati mengejut memang membuatkan orang tak sangka. Kalau dah memang menanggung kesakitan, tak adalah terkejut sangat. Tambahan pula abah meninggal dalam tidur. Hish, aku memang terkedulah waktu tu.

Arwah abah ni ramai kawan. Yang jauh dan dekat datang mengunjung. Entah kenapa, ramai yang hadir menziarah pada hari itu menepuk-nepuk bahu aku. Makin ditepuk, makin berat aku rasa bebannya. Petanda untuk suatu tanggungan yang bakal aku galas mungkin. Sekujur tubuh yang sudah dibaluti kain kapan menunggu masa untuk dikebumikan. Sebagai anak jantan, aku perlu kuat. Kuat!

"Kimi. Pak cik balik dulu." Bahu aku ditepuk sekali lagi. Barulah aku tersedar yang semua urusan pengebumian telah selamat diuruskan. Semuanya dipermudahkan. Melihat para tetamu yang mula mengangkat kaki dan beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan membuatkan aku mula sedar.

Bermulalah kehidupan abadi berbekalkan bekalan yang dibawa. Itu pun kalau ada bekalan. Kalau anak-anak masih ingat untuk kirimkan doa. Sunyinya sebuah kehidupan apabila kita mula meninggalkan manusia di dunia. Terus bulu roma aku merinding. Apa bekalan aku nanti?

Kini yang tinggal di Teratak Teratai cuma emak. Rumah banglo setingkat inilah tempat emak berteduh tanpa abah di sisi. Atas bahu aku dah terpikul tanggungjawab yang berat sebagai ketua keluarga yang baru. Saat melihat wajah sedih mak, lidah aku menjadi kelu. Nafas aku seakan-akan terhenti.

Berbanding aku, rasanya mak lagi merasai kehilangan suami tercinta! Pemergian mengejut memang menyakitkan. Tetapi kenalah reda untuk menerima walaupun pedih menusuk hati.

Sekarang ni pun, aku betul-betul rasa kosong dan sangat-sangat rindukan abah. Ketika dia masih hidup, aku rasakan masih banyak masa untuk kami bersama. Sebab itulah aku kerap melayan kawan-kawan di luar. Aku lalai. Sekarang, bila dia dah tak ada, aku rasa menyesal dan hanya mampu berdoa semoga abah tenang di sana dan aku takkan lupa pesanan abah yang terakhir. Janji!

"Kimi, nanti kalau abah dah tak ada, jaga mak hang baik-baik. Jangan biar dia sorang-sorang. Mak hang tu penakut. Satu lagi, kita hidup di dunia ni bukan secara kebetulan tetapi mempunyai tujuan. Skrip kehidupan ini ada arah, tujuan, jalan, bekalan, halangan dan akhirannya. Dengan melaluinya satu per satu, tahap demi tahap. Insya-Allah hidup kita akan terpandu," pesan abah dengan setulus senyuman.

Aku angguk kecil konon-konon aku faham apa yang abah sampaikan walhal satu apa pun aku tak faham. Sekadar angin lalu, begitu jugalah pesanan abah itu aku ambil mudah. Kadang-kadang aku abaikan perasaan mak.

Sangat mendalam pesanan abah sehinggakan aku susah nak faham apa yang tersirat dalam hatinya pada awalnya sehinggalah aku temui jawapan itu pada hari ini. Sekali lagi aku merenung wajah mak.

Dalam ketenangan, dia berjaya sembunyikan kesedihan. Selepas sanak saudara balik nanti, keadaan akan menjadi sunyi sepi. Pasti ketika itu mak akan bersandar di bahu aku untuk melepaskan lelah yang menghimpit jiwa kosongnya. Sebab itulah aku kata tadi, aku ni anak jantan penguat semangat keluarga walaupun aku sendiri rasa nak jatuh tersembam!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro