Bab 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Sengaja aku menghempas kuat pintu kereta. Saja tunjuk perangai tak semenggah usia. Geram dengan Pak Cik Hasnan tapi aku sengaja lepaskan kepada orang lain. Hazie diam dan hanya memerhati gelagatku.

Apa yang berlaku di wad tadi menyakitkan hati sebenarnya. Letih memandu pulang belum pun hilang ditambah pula dengan bebelan, hati siapa yang tak geram? Pula tu, aku kena basuh kaw-kaw depan Hazie. Pak Cik Hasnan pun ibarat seperti bom jangka. Asalkan nampak aku aje terus dia sembur kiri dan kanan. Nampaknya kali ini pak cik benar-benar nak memulakan serangan.

"Lama kita tak berjumpa. Abang Kimi sihat?" Takut-takut Hazie menyapa. Aku malas nak respons dan aku malu nak pandang wajahnya. Takut terkenang kisah lama.

Senyap.

"Abang Kimi..." seru Hazie sekali lagi. Mungkin dia ingat aku tak dengar.

"Kalau belum nak mati tu... Kira sihatlah," jawab aku acuh tak acuh. Bunyi kurang ajar pun ya. Hazie kemam bibir rapat-rapat. Sah, aku yakin dia faham yang aku ni memang meluat dengan dia. Sejak dulu memang terserlah perangai dingin aku. Dialah puncanya.

"Abang Kimi dah fikir masak-masak ke pasal kerja di kilang tu? Cikgu dah tak mampu nak urus seorang diri. Jadi kalau boleh..."

"Kau dah lama tinggalkan sekolah. Mak aku pun dah lama pencen. Tak payahlah bercikgu-cikgu bagai. Kau kerja dengan famili aku. Mak aku tu majikan kau. Bernanah telinga aku dengar cikgu... cikgu!"

"Maaf. Dah terbiasa panggil macam tu. Normallah kalau dah habis sekolah, kita tetap panggil cikgu yang mengajar kita dengan gelaran cikgu."

"Masalahnya kau habis ke sekolah? Mak aku ajar Kimia. Kau bukan budak kelas sains pun. Tiba-tiba jadi rapat dengan mak aku." Sinis aku meneruskan kata. Sikit pun tak rasa bersalah. Okey, aku memang kebudak-budakan tapi susah nak zip mulut kalau dia ni ada di sebelah. Luka yang lama boleh tergores balik tau.

Terus Hazie menoleh ke arah aku. Mata kami bertaut seketika sebelum aku cepat-cepat melarikan pandangan. Aku kalah. Aku selalu kalah dengan dia.

"Kenapa Abang Kimi macam tak suka dengan saya? Saya ada buat salah besar ke? Saya tanya elok-elok aje. Tak ada pun saya perli sapa-sapa." Hazie memberanikan bertanya. Hah, lagi mau tanya ke? Kalau aku ungkit satu per satu gerenti dia melarikan diri sampai ke planet Pluto.

"Ya, aku memang tak suka dengan kau." Hah... Jujur sangat ke jawapan aku.? Tapi memang itu yang aku rasakan sekarang.

"Sebab apa? Saya buat apa sampai abang tak suka dengan saya?"

Aku macam... Erk! Sudah-sudahlah berlakon, Hazie. Kau pun tahu sebab apa. Perkara yang dah lama berlaku takkan nak dipersoalkan lagi? Aku malas nak ingat.

"Mentang-mentang mak bapak aku baik. Ramai pula ambil kesempatan. Orang macam kau ni salah satunya. Punyalah berlambak kerja kosong kat Malaysia kenapa kat kilang tu juga kau nak kerja?"

Thud! Tuduhan yang membelit perasaan. Hazie terdiam. Mungkinkah kisah lalu menjadi punca? Kali ini renungannya makin tajam. Dia tunjuk muka tak puas hati dengan jawapan aku. So what?

"Abang memang terasa hati dengan saya, kan?"

"Eh, terasa ke? Mana ada aku sebut nama kau."

Senyap. Kami masing-masing memandang ke depan tanpa perasaan. Hazie kelihatan tenang tapi aku? Aku dah tak keruan bila duduk berdua dengannya. Kenangan lama terbias-bias dalam fikiran. Kalaulah dia...

"Kalau Abang Kimi sibuk tak apa. Saya boleh balik sendiri." Tiba-tiba Hazie bersuara. Hati kecil memang tergores tapi tak mahulah tunjuk sangat.

Terus aku tak jadi undur kereta. Aku beralih posisi badan menghadap Hazie yang masih memandang kepadaku. Wajah polos tanpa secalit mekap masih cantik seperti dulu. Seraut wajah yang matang jelas menunjukkan kami berdua sudah semakin menginjak usia. Bukan lagi berusia 16 dan 17 tahun. Bila aku akan berdamai dengan dia? Entahlah, mungkin bila luka di hati hilang.

Pup! Tali pinggang keledar dibuka kembali.

"Turun." Keras nada suaraku.

"Hah?" Ternganga kecil Hazie.

"Aku memang sibuk, Hazie. Jadi kau baliklah sendiri. Tu berlambak teksi." Aku tayang wajah kering. Sekering-keringnya.

"Saya ke?" Hazie ingin kepastian.

"Yalah. Ada orang lain ke dalam ni? Kepala aku dah cukup serabut dengan macam-macam masalah. Tengok muka kau lagi bertambah serabut aku. Lain kalilah kita bertekak," ujarku tanpa memandang ke arahnya.

"Abang Kimi masih marahkan saya, kan?"

"Aku? Buat apa aku marahkan kau? Buang masa!"

"Pasal surat tu..."

Neh! Surat kepala hotak dia!

"Stop! Aku tak ada masa nak ingat kisah lama. Kau turun sekarang. Aku dah sakit kepala sekarang. Dari pagi aku tak makan. Jangan bagi aku naik angin. Aku cakap Melayu ni. Bukan susah pun kau nak faham!"

Hazie diam. Dia tahu angin aku sudah tak elok. Tinggi nada suara aku tadi. Melonjak naik satu level. Kemudian dia meraba mencari sesuatu di dalam beg tangannya. Cari penampar mungkin nak hadiahkan untuk aku. Hah, lancang sangat mulut tu.

"Kalau lapar sangat makanlah ni dulu. Tak baik marah-marah bila perut kosong. Nanti penuh angin dalam perut. Kita dah dewasa pun. Tak boleh ke berperangai macam orang dewasa? Assalamualaikum," ucapnya seraya melangkah keluar. Pek kecik berisi biskut diletakkan di kerusi penumpang. Aku garu kepala. Dia ni memang ngek! Berani dia sekolahkan aku di dalam kereta aku!

Biskut di dalam pek kecil yang diberikan oleh Hazie tadi terus selamat masuk dalam mulut aku. Dari cermin sisi, aku terus memerhati lenggok dia berjalan sehingga ke depan pintu utama hospital.

Bersalah? Ya, aku rasa aku jahat melayan dia macam tu sekali. Jauh di sudut hati, aku masih terasa hati dengan perbuatan dia dahulu. Selepas kelibat dia menghilang, barulah aku alih pandangan. Aku pegang dada. Terasa degup makin laju. Nak meletup dada!

Lantas aku mengundur kereta dan memecut pergi sebelum aku berubah fikiran. Tiada haluan lain melainkan balik ke rumah untuk berehat dan bawa bertenang sebelum berdepan semula dengan Pak Cik Hasnan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro