24

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                 SUDAH pukul 9 pagi, Buffet untuk sarapan telah dibuka. Sengaja Mia datang awal supaya tidak perlu beratur panjang. Pelbagai hidangan disediakan, namun Mia cuma pilih nasi lemak dan air sirap. Kini, anak mata melilau pula mencari tempat duduk. Disebelah kanan sana ada banyak meja kosong, lantas Mia pun mengatur langkah. Mengambil tempat duduk di meja berhampiran beberapa Staff Hotel Paredise yang sedang menjamu selera juga.

"Bismillah..." nasi lemak terus disuap ke dalam mulut. Kepala terangguk-angguk mengiyakan kesedapan. Boleh tahan sedap juga.  Lantas, dia teruskan dengan suapan kedua. Apabila tekak terasa agak kering, air sirap dicapai lalu diminum secara perlahan-perlahan. 

"Korang rasa apa jadi dekat Cik Husna sekarang ek? Aku dengar cerita,  semalam ada Staff Ocean Resort turun pergi cari Cik Husna. Tapi mereka cuma jumpa jaket keselamatan aje. Dan setahu aku, perempuan berlagak tu tak tahu nak berenang pun."

Tanpa semena-mena, Mia yang sedang enak menjamu sarapan terdengar perbualan beberapa orang wanita yang duduk membelakanginya. Pada mulanya, dia mahu abaikan sahaja dan buat hal sendiri. Namun, disaat nama Husna digelar sebagai perempuan berlagak terus Mia terpanar. Suapan automatik berhenti dibibir.

Biarpun bukan dia yang disindir, tetapi tetap terasa bahangnya. Apatah lagi apabila menyedari yang sedang berkata-kata itu pekerja dibawah Hotel Paredise milik Husna.

"Padanlah muka dia. Dulu berlagak sangat dengan kita, sekarang Tuhan bayar Cash sahaja." Ejek Mei.

Rakan disebelahnya, Maria angguk kepala tanda menyokong.

"Kan? Dulu dia kata macam-macam dekat kita, tak bergunalah, elok berhenti kerjalah, dan macam-macam lagi.  Sekarang, tiada seorang pun dari Staff Hotel peradise yang turun pergi cari dia. Bila dengar berita yang Cik Husna jatuh dari bot, aku tak rasa yang itu berita buruk. Tapi macam berita gembira. Bersyukur sangat Tuhan balas perbuatan dia tu!"

"Aku pun kalau boleh nak jerit seronok bila dengar berita tu semalam. Tapi nanti apa pula kata orangkan? Diaorang bukan tahu pun perangai perempuan gila tu macam mana? Kita yang kerja dengan dia sahaja yang tahu betapa teruknya dia."

Makin lama berdiam diri, makin panas pula hati Mia mendengar. Berasap telinga kiri dan kanan. Tanpa sedar kedua-dua belah tangannya sudah menggenggam sudu dan garfu dengan geram. Menggigil menahan amarah yang meluap-luap ingin keluar.

"Kau rasakan, Cik Husna tu masih hidup ke dah mati?" Soal Ana.

Maria dan Mei menjongket bahu.

"Entah. Tapi kalau betul dia dah meninggal,  agak-agaknya Dato Idris akan ambil alih jawatan Hotel Paredise itu semula ke?" Soalan berbalas soalan dari Mei.

"Aku tak rasa Dato Idris akan ambil alih semula. Mungkin dia akan turunkan pangkat Husna kepada Datin Khadijah. Mak tiri dia tu." Balas Maria.

Mei menghembus nafas lega. "Tenang jiwa aku dengar. Lebih baik kerja dibawah Datin Khadijah daripada Cik Husna. Selepas ni tiada lagi mulut murai perempuan tu memekak dekat telinga kita. Aman Hotel Paredise tanpa dia."

Mia geleng kepala. Dia sudah tidak boleh tahan lagi. Lalu...

PAP!

Sudu dan gardu dihentak kuat ke meja. Terhinjut bahu mereka dek kerana terkejut. Terpinga-pinga memandang sekeliling. Bunyi apa tu?

Bangkit sahaja dari kerusi, Mia terus menerpa ke arah meja yang diduduki tiga orang pekerja Hotel Paredise itu. Jelas mukanya merah menahan geram daripada tadi. Satu demi satu wajah diperhatikan dengan riak tegang, tahu pula mereka hendak berpaling ke lain saat bertentangan mata dengannya.

"Korang cakap apa tadi? Ulang lagi sekali depan muka aku, aku nak dengar!" Bentak Mia.

Mereka diam.

"Apahal diam? Cakaplah! Tadi bukan main lagi hebat gosip korang bertiga, kenapa tiba-tiba jadi bisu?! Patutlah Husna selalu mengeluh bila masuk kerja, rupa-rupanya dapat pekerja yang cuma nampak salah bos daripada salah diri sendiri!"

"Eh, kau tak payah nak bela sangatlah si Cik Husna tu. Mentang-mentanglah kau tu kawan dia, semua benda kau nak sokong. Kitaorang ni dah bernanah telinga hadap bebelan dia tiap-tiap hari tahu tak?" Balas Maria, berani. Siap mendengus lagi.

Sedangkan Mei dan Ana mengangguk kepala tanda menyokong. Kalaulah klinik telinga berhampiran dengan hotel Paredise,  rasa-rasanya dah beratur semua pekerja disitu selepas waktu pulang dek kerana sakit telinga menahan maki perempuan gila itu.

"Betul tu! Kalau kitaorang ada salah sekalipun, tegurlah dengan cara baik. Ini tidak! Asyik nak terpekik sahaja suaranya." Sambung Mei pula.

Tergeleng-geleng kepala Mia mendengar. Amboi, amboi... sedapnya mulut bercakap. Lantas, kedua-dua belah tangan Mia naik mencekak pinggang.

"Oh, tegur cara baik ek? Eh korang tahu tak si Husna tu lagi sakit telinga kena hadap bebelan orang atasan? Dah berapa kali dia tegur korang untuk betulkan proposal tu, tapi apa korang buat? Main cincai sahajakan? Tapi bila bab gaji, bukan main lagi! Aku ni walaupun tak kerja sekali dengan dia, tapi aku tahulah perangai Husna itu jenis yang macam mana? Dia takkan marah kalau tak ada sebab!" Herdik Mia. Lantang berkata-kata.

"Korang asyik cari celah jahatnya. Tapi pernah tak korang cari celah kebaikan dia pula? Pernah? Tak, bukan? Kos rawatan sakit mak kau pun dia pernah tanggung. Kereta korang rosak, dia yang bayar kos untuk baiki! Dah lupa benda tu huh?" Mulalah dia hendak mengungkit kisah lama. Jika diikutkan Mia tidak mahu membuka topik ini, tetapi untuk menyedarkan mereka maka dia terpaksa. Biar terbuka satu demi satu mata apabila mendengarnya. Dan biar otak mereka segar kembali teringatkan jasa pertolongan Husna sebelum ini.

Dan saat ini, baru mereka tertunduk ke bawah. Tidak menafikan apa yang baru keluar dari mulut Mia itu adalah benar.

"Korang mungkin boleh benci dia, tapi jangan berharap sampai dia mati. Kalau dia tak ada sekalipun, korang ingat boleh kerja dekat hotel Paredise tu aman damai ke? Takkan ada masalah lain selepas itu huh?!"  Bentak Mia lagi.

Mereka diam. Bungkam memandang jari-jemari masing-masing.

"Betul cakap, Mia. Kalau anak saya dah tiada sekalipun, tak mungkin tiada ujian lain yang akan datang." Sampuk satu suara. Mengalihkan perhatian mereka ke arah Datin Khadijah yang baru muncul bersama senyuman melebar. Sampai sahaja dimeja, dia berdiri disisi Mia. Terus cuak wajah mereka bertiga. Spontan bangun dari kerusi. Kemudian menunduk hormat.

"Maafkan kami, Datin.  Kami tiada niat nak cakap macam itu kepada Cik Husna." Rayu Ana. Mula resah. Takut juga jika kata-katanya akan memakan diri sendiri.

Malah Datin Khadijah tersenyum sinis. Kalau ikutkan hati, dia tidak kesah pun tentang hal itu. Namun, untuk kekalkan imej yang baik. Dia harus berlakon menjadi seorang ibu yang kononnya sangat mengambil berat tentang anak tirinya, Husna. Biarpun dia sendiri rasa hendak muntah hijau apabila melakonkannya. Geli!

"Walaupun Husna tu bukan darah daging saya. Tapi saya tetap sayang dia macam anak saya sendiri. Dan bila dengar yang kamu semua harapkan dia mati, saya rasa macam tak layak jika kamu bertiga terus bekerja di hotel Paredise." Kata Datin Khadijah berbaur ugutan.

Terus kepala mereka menggeleng serentak. Janganlah sampai begitu sekali. Hanya hotel itu sahaja, tempat mereka mencari rezeki.

"Jangan begitu, Datin. Kami minta maaf sangat-sangat. Kami janji takkan cakap macam itu lagi kepada Cik Husna!"

"Haah, kami janji!"

"Kalau Datin pecat kami, dimana lagi kami nak cari peluang pekerjaan? Tolonglah jangan buang kami dari Hotel Paredise."

Satu persatu rayuan keluar daripada mulut mereka bertiga. Sedangkan Datin Khadijah sekadar tersenyum menang. Baru gertak sedikit dah gentar. Itupun dia cuma mengacah-acah sahaja.

"Baiklah, saya maafkan kamu semua. Tapi kalau saya dengar kamu bertiga kutuk anak saya lagi, tiada peluang kedua. Saya akan terus lucutkan nama awak semua dari hotel Paredise." Ujar Datin Khadijah. 

Mereka tersenyum lega. Hendak luruh jantung dibuatnya tadi. Cepat-cepat mereka menunduk sebagai tanda maaf buat kesekian kalinya.

"Maafkan kami sekali lagi, kami janji takkan ulanginya lagi." Kata Mei. Penuh sesal. 

Datin Khadijah tidak berkata apa-apa. Langsung mereka meminta diri untuk pergi daripada situ dek kerana malu. Tiada siapa yang menghalang. Mia hanya melihat sahaja figura mereka yang semakin menjauh meninggalkan Buffet dengan kepala tergeleng-geleng. Hendak kena ugut dahulu baru menyesal.

Nafas kecil dihembus perlahan.  Mia menoleh memandang Datin Khadijah disisi. Bibir tersenyum mekar. Sejujurnya, dia tidak sangka Datin Khadijah akan membela Husna sampai ke tahap itu.

"Terima kasih sangat Datin. Saya tak sangka Datin akan bela maruah Husna sampai begitu sekali." Puji Mia. 

"Tiada apa yang perlu berterima kasih, Mia. Husna itu anak saya. Tentulah saya akan bela dia."  Ceh, pandai sungguh Datin Khadijah menyusun ayat.

"Sebenarnya Datin, saya rasa Husna dah banyak salah faham tentang Datin. Dia selalu cerita dekat saya yang Datin tak pernah sayangkan dia, dan langsung tak ikhlas untuk jadi mak dia. Tapi bila saya lihat dengan mata kepala sendiri,  saya rasa Datin dah cukup sempurna untuk jadi pengganti arwah mak Husna Sebenarnya." Ujar Mia. Itu yang dia rasakan disudut hatinya. Kalaulah Husna ada disini, menyaksikan sendiri bagaimana Datin Khadijah membela maruahnya, pasti wanita itu akan ubah fikiran semula.

Datin Khadijah tersenyum kecil. "Saya tak terasa pun jika Husna cakap saya macam-macam.  Biasalah, dia masih terkenangkan arwah ibunya. Jadi mungkin ambil masa untuk dia terima kenyataan."

"Insyaallah, Datin. Suatu hari nanti, jika Husna selamat kembali ke sini semula. Saya akan cuba pujuk dia untuk terima Datin sebagai emaknya. Datin berhak dapat gelaran tu." Ujar Mia.

Sekali lagi buatkan bibir Datin Khadijah tersenyum. Konon terharu. Kemudian, bahu Mia disapa lembut.

"Terima kasih sangat, Mia. Kamu memang kawan yang baik. Tak rugi Husna ada kawan seperti Mia." Puji Datin Khadijah. 

Ya. Sangat bertuah Husna dapat kawan rapat seperti Mia. Iaitu seorang yang cepat diperbodohkan. Lembab!












             

                   DENGAN muka baru bangun tidur, Husna berjalan dengan malas menuju ke dapur. Disebabkan cuma makan nasi putih sahaja malam semalam, dia tidak cukup tidur dek kerana perut asyik berkeroncong kelaparan. Harap-haraplah ada sesuatu didapur untuk diisi ke dalam perut.

"Ya Allah, laparnya..." rungut Husna sambil mengelus perut. Lihat sahaja ada tudung saji diatas meja, mata kuyu itu terus meluas. Ada sinar. Bibir tersenyum penuh harapan. Mengharapkan agar yang terhidang di hadapan mata nanti adalah sepinggan nasi bersama lauk ketam masak merah, ayam goreng dan semangkuk tomyam campur yang masih panas.

Pergh!

Bayangkan sahaja air liur sudah penuh didalam mulut. Hampir sahaja hendak meleleh keluar. Tanpa menunggu lama, Husna terus berlari ke meja makan. Menarik tudung saji itu ke atas dan...

"Ubi rebus je?!" Terus tudung saji itu dihentak kuat ke atas meja. Menutup kembali hidangan itu. Terus hilang selera nak makan. Akan tetapi perut masih bergetar kelaparan.

"Mamat Lanun ni memang nak kena dengan akulah!" Dengan langkah tidak puas hati, Husna menuju ke arah pintu utama. Tarik sahaja pemegang pintu, dari jauh dia sudah nampak lelaki berambut putih itu sedang duduk dibawah pondok. Sibuk mengait jala ikan yang koyak.

Husna ketap bibir. Kau tunggu sekejap! Terus Husna menyarung selipar yang berada ditangga, entah selipar milik siapa tetapi dia main rembat sahaja. Nasib baik muat-muat dengan saiz kakinya.

"Hei. Encik Lanun!" Jerit Husna dengan nada geram. Dia berhenti sebaik sahaja tiba di hadapan lelaki itu.

Namun, jangan katakan jeling, pandang mukanya pun tidak. Sebelah mata hazel itu masih fokus kepada tangannya yang lincah mengait. Sekejap ditusuk ke celah lubang, kemudian benang ditarik, diputarkan pada satu kayu kecil yang dipegang sebelah tangannya, dan selit sana, selit ke sini. Diulang cara yang sama sehingga bahagian terkoyak itu sedikit demi sedikit bercantum semula.  Pening kepala Husna melihatnya. Bagaimana dia boleh mengait dengan tenang?

Ah, tak kesahlah! Aku pun pandai jahit baju. Sekarang, dia datang sini hendak membebel. Bukan untuk lihat cara-cara mengait jala ikan.

"Kenapa cuma ada ubi kayu rebus sahaja atas meja? Awak ingat kenyang ke perut saya makan ubi aje? Sudahlah semalam awak cuma tinggalkan nasi untuk saya! Cubalah hidangkan makanan yang sedap sikit? Awak paksa saya duduk sini, selepas itu awak layan saya macam ni! Apa awak nak sebenarnya?" Bebel Husna, panjang lebar. Turun naik nafasnya menahan amarah di dada.

Dan kemudian, Husna buat-buat ketawa. Kepala diangguk berkali-kali penuh angkuh.

"Atau awak nak cuba buat ala-ala drama Thai dengan saya? Culik perempuan cantik selepas itu kurung dia lama-lama dekat tempat miskin ni, sehingga dia jatuh cinta dalam diam! Selepas itu apa? Happy ending, kepak kepak gebung gebung gitu? Hei, awak jangan nak perasanlah yang saya akan jadi macam itu!"

Lanun masih lagi tidak berkata apa-apa. Malah, bila benang ditangannya sudah habis. Dia mencapai benang yang baru pula. Menyambung kerja seperti biasa. Bebellah puas-puas, malas dia hendak layan...

"Sebelum awak nak fikir kearah tu, baik saya cakap terus terang dengan awak. Saya sebenarnya dah ada buah hati." Ujar Husna, harap-harap telinga si Lanun itu buka luas-luas. Mendengarnya dengan jelas.

Perbuatan Lanun yang sedang mengait jala ikan terus terhenti. Baru kali ini, pandangannya beralih ke arah Husna. Masih dengan pandangan tanpa riak. Hendak kata terkejut tidak, tercengang pun tidak. Cuma memerhati dengan pandangan yang Husna sendiri tidak faham maksudnya.

Namun, bibir Husna tetap tersenyum sinis. Bangga apabila lelaki itu mula mengalihkan perhatian kepadanya. Nampak sangat dia terkejut bila aku cakap ada buah hati. Mungkin niatnya yang sebelum ini, dah terpadam sekelip mata.

"Saya dah lama suka dekat dia dan perasaan tu takkan berubah sampai bila-bila. No one can change it. Dia tak macam awak, dia jauh lebih kacak daripada mana-mana lelaki yang saya pernah jumpa. Rambut dia hitam, lebat, berkilat bak kain sutera, kulitnya putih bersih, tiada cacat cela daripada mana-mana bahagian pun. Pendek kata, dia sempurna. Dan yang paling buat saya terpikat pada dia, adalah matanya... warna biru. Like a deep ocean. Bukan macam awak, hazel like a peanut! Boleh naik jerawat muka saya pandang lama-lama!"

Tanpa semena-mena, lelaki itu tergelak kecil. Entah dimana lucunya, padahal antonasi suara Husna sudah cukup serius. Ingatkan nak buat lelaki itu patah hati apabila dia menceritakan semuanya, malang sekali tidak berjaya.

Tergeleng-geleng kepala Lanun dibuatnya. Husna... Husna... kelakar juga dia ni.

Husna mendengus geram. Berani sungguh dia ketawakan Mr.Blue aku!

"Kenapa awak gelak?!"

"Sebab kelakar."

"Mana ada kelakar! Saya serius, okay? Dia memang handsome!" Tekan Husna lagi.

Makin galak lelaki itu ketawa. Sampai merah pipinya yang putih melepak itu.  Ah, sudahlah. Senak perutnya dek kerana tak berhenti ketawa daripada tadi. Tak jadi dia hendak meneruskan kerja mengait jala ikan kalau begini. Lantas, Lanun turun daripada pondok kayu itu. Melangkah ke arah rumahnya sambil bibir masih lagi melepaskan saki baki ketawanya.

Tatkala Husna pula terpinga-pinga melihat dia yang pergi begitu sahaja. Eh, Eh dah sedap gelakkan aku kemudian larikan diri pula?

"Awak nak pergi mana?!" Soal Husna. Dia menoleh memandang Lanun yang meniti anak tangga naik ke beranda rumah. Mencapai alat memancing yang digantung disebelah kiri dinding. Kemudian, membawanya bersama turun ke bawah kembali.

"Aku nak pergi cari makanan untuk petang ni. Duduk sini hadap cerita lelaki mata biru kau tu, buat aku lagi sakit perut sahaja. Lebih baik aku pergi memancing."

Mata Husna membulat. Memancing? Bermakna lelaki itu hendak turun ke laut.

"Saya nak ikut!"

"Tak boleh. Duduk sini. Jangan mengada nak pergi mana-mana semasa aku tiada di rumah." Pesan Lanun, serius. Dia terus melangkah ke arah bot-bot yang terdampar ditepi pasir pantai. Langsung Husna mengejar dengan laju. Berdiri di hadapan dan menghalang jalan dengan cara mendepakan kedua-dua belah tangannya serupa polis trafik. Dan tidak sangka, tindakannya berkesan memberhenti lelaki itu daripada terus pergi. 

"Apa kau buat ni?"

"Tolonglah bagi saya ikut, saya nak tangkap makanan saya sendiri. Awak langsung tak boleh diharap! Nanti mesti awak akan bawa balik ikan lagi sekali."

"Macamlah kau pandai tangkap ketam, sudahlah aku dah lambat..."Lanun bergerak ke laluan sebelah kiri. Pantas Husna juga bergerak ke kiri. Lanun berhenti sekali lagi.

"Saya nak jugak pancing makanan saya sendiri. Bukannya susah pun? Taruh umpan, campak dalam laut, tunggu sampai ketam tu makan umpan. Kemudian tarik ajelah. Apa yang susah sangat?"

Mengherot bibir Lanun saat mendengar Husna berkata-kata serupa mahir dalam dunia pemancingan. Apa yang susah sangat ek... Kepala Lanun terangguk-angguk. Baiklah kalau macam itu. Kita lihat nanti senang atau tidak seperti yang diceritakan.

"Okay. Ada satu lagi pancing dekat dalam rumah. Pergilah ambil. Aku tunggu kau dekat bot." Katanya, hujung pancing dihalakan ke tubuh Husna lalu ditolak ke tepi agar wanita itu memberinya laluan. Kali ini Husna tidak menghalang, membiarkan Lanun menuju bot miliknya. Menghidupkan enjin. Bersedia untuk turun ke laut.

Husna tersenyum menang.  Akhirnya, mengalah juga lelaki itu! Tidak mahu membazir masa lagi, Husna terus berlari masuk ke dalam rumah. Selang beberapa minit, dia kembali keluar bersama satu pancing berwarna merah dan baldi untuk mengisi hasil tangkapan sekejap nanti..









Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro