35

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                    "KENAPA susah sangat kau nak dengar cakap aku? Bila aku suruh kau duduk diam, bermakna duduk diam-diam dalam kampung tu, dan jangan buat benda yang menyusahkan orang lain! Apahal kau ni degil sangat huh?!" Keras sekali suara Lanun menengking, sehinggakan bunyi enjin bot yang melaju pun tidak mampu menenggelamkan suaranya.

Sakit menusuk ke gegendang telinga yang mendengar. Lebih-lebih lagi Husna yang terpaksa menadah setiap tengkingan lelaki itu. Dan saat ini, Husna hanya mematungkan diri apabila dimarahi. Menunduk bungkam memandang tangan sendiri. Sudah memang salah dia, nak cakap apalagi untuk membela diri?

"Dah tak sayang nyawa huh? Kalau betul dah tak sayang nyawa, sekarang juga aku boleh belah tubuh kau. Curi semua organ tu dan jual ke vietnam! Ramai lagi yang masih sayangkan nyawa dekat luar sana, bukan macam kau!" Bentak Lanun. Seraut wajahnya menyirap amarah.

Adakala rambutnya yang serabai ditiup angin itu diraup ke belakang. Serabut! Benar-benar serabut dengan tingkah-laku Husna.

"Disebabkan kau... bot aku kena rampas! Dan disebabkan kau juga, aku terpaksa gadaikan semua harta yang aku ada kepada mereka! Aku pun tak tahu kenapa aku sanggup buat benda bodoh tu, sedangkan kau langsung tak pernah pedulikan orang lain!  Sepatutnya aku biarkan sahaja kau jadi tahanan Mondu,  biar kau terseksa, merana dan semuanya sampaikan kau rasa diri kau dah tak berharga langsung dalam dunia ni!"

"Jadi buatlah!" Husna sudah tidak tahan lagi manahan jerkahan Lanun. Dia akhirnya turut sama berdiri. Membalas pandangan lelaki itu dengan berani. Siap mencabar lagi.

Lanun terdiam. Namun bibirnya tetap nampak terketap, geram. Muka tegang hingga menampakkan urat-urat dimuka.  Jelas terkesan dengan tutur kata Husna yang mencabarnya. Perempuan itu... memang nak mati dengan aku!

Sedangkan tiga beradik itu sudah mula tak keruan melihat mereka yang saling berbalas pandangan serupa harimau dan singa mahu berentam. Ruang bot ini bukannya besar mana, risau jika ada salah seorang yang bakal tercampak dari bot. Demi keselamatan masing-masing, mereka tak boleh biarkan perkara itu berlaku. Namun, bagaimana hendak masuk campur jika mereka suara pun tidak terkeluar sekarang?

"Kau cakap apa tadi? Ulang sekali lagi..." Gigi Lanun mengancing bersama cerlungan mata garang. Tangannya sudah mengepal. Turut mencabar Husna mengulangi ayatnya jika berani.

"Saya cakap... kalau betul rasa macam tu, jadi buatlah!" Ulang Husna dengan penuh keberanian biarpun dalam hatinya sedang bergetar. Bibir menyinis tatkala melihat riak wajah Lanun yang jelas tersentak dengan apa yang baru dilontarkan.

Apa? Ingat dia kecut perut sangatkah hendak menghadap si Lanun yang seroang ini? Tidak sama sekali!

"Saya dah katakan sebelum ini? Yang saya nak balik ke Ocean Resort! Tapi awak tetap bertegas hendak kurung saya dekat kampung miskin awak tu! Hei, kalau perempuan kampung... bolehlah awak buat macam itu. Tapi saya bukan macam diaorang! Saya rimas bila duduk sana! Semua benda asyik nak ikut tekak awak sahaja!" Bentak Husna penuh perasaan. 

"Saya tak suka duduk dalam rumah buruk awak tu! Tak ada kipas, tak ada Tv, senang cerita tak ada semua benda! Saya bosan, awak tahu tak?! Itu belum cerita bab makanan lagi. Oh, adik-adik awak boleh pula awak bagi makanan yang sedap-sedap? Tapi bila giliran saya, awak asyik beri saya makan ikan! Padahal saya dah pernah ulang banyak kali iaitu SAYA! TAK! SUKA! IKAN! Dan awak tak ada hak, nak paksa saya terima benda tu!!!" Semua yang dipendam terus terluah malam ini dengan penuh emosi.

Lanun agak tersentak pabila mendengarnya.  Kening berkerut. Bagaimana Husna boleh tahu yang adik-adiknya diberi makanan yang mewah? Langsung pandangan singannya berpaling ke arah tiga beradik kembar itu. Menjegil tajam. Ratna, Rajuna dan Arjuna laju sahaja memusing pandangan ke lain. Buat-buat sedang menikmati pemandangan indah di malam hari biarpun sekilingnya kosong dan gelap. 

Lanun mengetap bibir sekali lagi. Kurang asam! Kenapa mereka pergi beritahu hal itu kepada Husna? Tak reti nak kunci mulut langsung! Lanun mendengus. Kasar.

Kepala diangguk penuh sabar. Menatap kembali renungan Husna yang menikam garang. 

"Ya. Memang betul, aku memang sengaja bagi kau makan makanan yang tak sedap. Padahal aku mampu sahaja untuk beli semua tu untuk kau. Tapi mulut kau tu! Tak pernah bersyukur langsung dengan apa nikmat yang Tuhan dah berikan. Sebab itu kau memang layak dapat layanan buruk daripada aku! Tengoklah sekarang, aku dah selamatkan kau pun kau masih dengan keras kepala! Langsung tak reti nak ucap terima kasih!"

Husna menjuih bibir dengan mimik muka mengejek. Terima kasih?

"Awak nak saya terima kasih? Untuk apa? Untuk kononnya jadi hero malam ni? Apa beza kalau saya duduk dengan Mondu atau dengan awak sekalipun?! Dua-dua sama sahaja, iaitu hendak kurung saya untuk kegunaan diri sendiri! Iyalah, kalau awak biarkan saya ke tangan Mondu, macam mana awak nak minta harta daripada sayakan?"

Tuduhan Husna kali ini benar-benar membuatkan segenap tubuhnya terasa berapi. Kepala berdenyut kuat. Nafas didada kian perit. Tak sangka, Husna memilih untuk samakan dia dengan lelaki-lelaki jahanam tadi setelah apa yang dia sanggup korbankan  untuknya.

"Kau..." Suara garau Lanun semakin bergetar amarah. Cerluangan matanya penuh membunuh si mangsa. Kesabaran didada semakin tipis. Jika Husna teruskan dengan sindiran berbisa itu, mungkin sahaja wanita itu akan tercampak ke laut.

"Kenapa awak nak pandang saya macam itu? Macamlah awak tak pernah buat sebelum ni? Kalau tidak, mana awak dapat semua barang kemas tu? Tidak lain tidak bukan, saya bukan wanita pertama yang awak culik dan bawa ke kampung tu!"

"Husna, saya rasa awak dah..." Arjuna ingin menyampuk, menghentikan semua pertelingkahan ini dengan segera. Namun,  Husna terlebih dahulu mengangkat tangan. Menyuruh dia untuk berhenti berkata-kata. Ini urusan diantara dia dan Lanun. Jadi, tak perlu masuk campur!

"Kalau betullah awak sayang sangat barang kemas tadi, saya boleh gantikan baliklah. Sepuluh kali ganda lagi banyak jika itu yang awak nak! Saya tak ada masalah. Saya faham orang tamak macam awak boleh gila kalau tak ada semua itu, kan?!"

"Kau jangan sampai aku tampar mulut kau, Husna..." Lanun sudah memberi amaran.

Sekonyong-konyong Husna tersenyum sinis. Ada gentar yang disembunyikan. Namun, dia tetap sahaja memilih untuk menerima amaran tersebut.

"Nak tampar? Tamparlah! Tampar muka saya sekarang juga, jika itu yang jantan dayus yang selalu buat bila rasa diri dia yang bersalah! Jangan bagi penampar sahaja, sepak, terajang, humban saya ke dalam laut ni terus!" Cabar Husna, siap menunjuk-nunjuk jari ke pipi sendiri. Mengarahkan lelaki itu untuk melepaskan amarahnya ke situ. Namun disebalik keberanian mencabarnya, dia pasti Lanun tidak akan bertindak sekeras itu.

"Kau memang mencabar akulah, perempuan!!!"

"Abang!" Terkejut bukan kepalang Arjuna saat Lanun mula menerpa ke arah wanita itu.  Amarah yang ditahan dicuit-cuit oleh Husna, menyebabkan sabar Lanun sudah sampai limit. Dimana waktu itu, dia bukan lagi manusia yang punya hati dan perasaan. Husna akan terima padahnya!

Namun, sebelum sempat Lanun menaik tangan menampar wajah Husna. Arjuna terlebih dahulu bangun, berdiri ditengah ruang. Memeluk tubuh abangnya lalu menolak daripada mendekati wanita itu. Malah, Ratna turut menunjukkan kerjasama. Menarik lengan Husna menjauhi Lanun.

Jelas mata Husna nampak terbeliak. Terkesima dengan amukan yang baru ditunjukkan.  Baru dia tahu langit itu tinggi ke rendah apabila melihat sisi Lanun yang sangat menggerunkan. Buatkan air liur tertelan, pahit. Hilang terus suara yang tadinya tinggi melangit pabila berkata-kata.

Meskipun Arjuna menghalang, tetap tubuh Lanun bergerak-gerak cuba menepis tindakan adiknya. Kepala serupa dirasuk syaitan. Dia dah tak mampu mengawal emosi lagi.

"Lepaslah! Biar aku ajar perempuan tu cukup-cukup! Dia patut fikir dahulu sebelum hendak mencabar aku! Iduai! (Lepas!)" Bentak Lanun. Bahasa dusunnya sudah keluar, bermakna dia benar-benar sedang marah. Matanya tajam menikam ke arah Husna. Serupa mahu membunuh wanita itu sekarang juga. Tadi suruh campakkan ke laut, bukan? Sekarang dia mahu tunaikan. Tapi kenapa? Kenapa baru sekarang Husna nampak takut dengan cabarannya sendiri.

Rajuna segera memberhentikan bot. Dia tidak boleh meneruskan perjalanan jika keadaan di dalam bot haru-biru begini. Dan sekarang, mereka berhenti ditengah air laut yang suram. Hanya jerkahan Lanun yang bergema dengan kuat.

"Sudahlah, bang! Kita dekat tengah laut ni. Bahayalah!" Tegur Arjuna. Tangannya masih menggenggam kuat bahu Lanun. Tak boleh lepas, takut-takut nanti lelaki itu kembali menyerang ke arah Husna.

"Bahaya?" Bibir Lanun menyenget sinis. Matanya masih merenung Husna.

"Perempuan itu tak pernah fikir pasal bahaya. Yang dia tahu, semua tindakan dia adalah betul! Kalau benar sekalipun dia tahu apa itu bahaya, dia takkan berani  lemparkan tuduhan itu kepada aku!"

"Ya, tapi jangan ikutkan amarah. Takut abang sendiri yang menyesal di kemudian hari! Tadi abang juga yang risaukan tentang dia bukan? Abang sendiri takut kalau si Mondu itu apa-apakan dia! Kenapa abang pula yang nak cederakan dia sekarang? Mana pergi perasaan macam tadi?" Arjuna bersuara lantang.

Dan kini, Lanun tersentak dengan kata-kata itu sendiri. Dia memang risaukan Husna, malah sebelum ini siap melarang lagi jika ada tangan yang lain berani menyentuh kulit wanita itu. Tetapi, kata-kata Husna yang menyiat-nyiat hatinya. Dia rasa segala perbuatannya selama ini langsung tak berguna dimata Husna. Apatah lagi apabila mendengar sendiri tuduhan Husna yang mengatakan dia menolongnya kerana mahukan harta lagilah buat hati ini berang. 

Aku tolong kau dengan ikhlas! Aku tak nak kau terluka walau secalit sekalipun! Malah, aku sanggup gadaikan satu-satunya harta peninggalan arwah mak aku untuk kau Husna! Sedikit pun, aku tak harapkan apa-apa balasan daripada kau. Tidak bolehkah kau minta maaf atas perbuatan tadi dan bersimpati dengan aku? Tidak bolehkah, Husna? Dan setiap bait kata itu hanya terluah di hati, bukan dibibirnya.

Dada Lanun yang berombak ganas mulai reda. Setelah emosinya kembali stabil, tangan Arjuna yang memegang bahunya ditepis perlahan. Matanya masih tetap memandang Husna. Jelas seraut wajah wanita itu pucat ketakutan.

Dia tidak sepatutnya membuat wanita itu takut dengannya. Itu lagilah akan meyakinkan Husna bahawa dia sama sahaja seperti lanun-lanun kejam yang lain. Tapi, dalam masa yang sama dia tidak harus berlembut dan manjakan wanita itu juga. Lama-kelamaan Husna akan makin keras kepala.

Kepala diangguk. Baiklah. 

"Kau bernasib baik malam ini. Tunggu sampai kampung nanti, tahulah apa aku nak buat dengan kau." Kata Lanun, suaranya dingin namun tidak sekeras tadi. Dia kembali ke arah tempat duduk, melabuh punggung disitu dan berpaling ke lain. Tubuh dipeluk. Membiarkan Husna yang disapa seram sejuk mendengar bicaranya.

Apa lagi yang lelaki itu hendak lakukan kepadanya? Kurung dia? Atau seksa dia seperti Mondu? Ah, Sudah. Rasa macam nak tarik balik apa yang dilontarkan tadi. Dia tak sanggup!













                      "TURUN!" Arah Lanun, tegas. Sebaik sahaja bot diparkir di pigiran pantai, mereka terus turun jejak ke pasir. Sedangkan Husna masih lagi dengan sikap degilnya. Tetap duduk diatas bot sambil memeluk tubuh. Keras kelapa. Dah berbuih mulut dia merayu kepada Lanun untuk membawanya pulang. Alang-alang dah berada diatas bot, belok sahajalah ke Ocean Resort. Apa susah?  Namun lelaki itu tetap bertegas untuk heretnya ke sini.

Apatah lagi teringatkan ugutan Lanun semasa diatas bot tadi. Sampai sahaja di kampung, lelaki itu akan kerjakan dia cukup-cukup. Tak nak! Dia takkan turun jika Lanun ingin menyeksanya atas kesalahan melarikan diri.

"Tak nak! Hantar saya balik sekarang juga! Saya nak balik!" Protes Husna. Siap hentak-hentak kaki menunjukkan provokasi.  Tak kira, dia tetap mahu pulang ke Ocean Resort malam ini. Lelaki itu tidak boleh paksa dia tinggal disini. Dia benci kampung ini!

"Aku kata turun!" Suara Lanun kembali dingin. Mata dijegil ke arah Husna yang degil. Dia ajak turun baik-baik malah wanita itu mengendahkannya. Jangan sampai dia jadi gila sekali lagi.

"Tak nak! Saya nak balik, nak baliklah! Awak tak boleh paksa saya duduk sini!"

"Sama ada kau terpaksa atau tidak, kau tetap juga kena duduk disini sampailah aku keluarkan arahan kau boleh balik! Kau merayu sampai tekak berdarah sekalipun, belum tentu aku bawa kau ke sana. Jangan nak melawan, turun sekarang!"

Husna ketap bibir. Tidak puas hati. Lelaki itu memang sengaja hendak mengurung dia disini. Konon akan hantar dia balik setelah semuanya selamat, entah-entah sampai dia dah bercucu pun masih disini juga. Ah, Husna tak percaya!

Kepala tetap digeleng.

"Awak tipu! Awak memang nak saya duduk sini dengan awak sampai bila-bilakan?! Supaya saya terbiasa dan akhirnya nak tinggal disini bersama awak sampai mati! Berapa kali saya nak cakap? Tindakan awak takkan berakhir macam drama Thai! Saya takkan jatuh cinta dengan awak! Saya suka Mr Blue! Awak tak boleh ubah perasaan saya terhadap dia!"

"Apa kau merepek ni? Siapa nak pikat kau? Kau ingat rupa kau tu cantik sangat ke sampai aku sanggup bazirkan masa buat benda-benda macam itu? Bozo aku comel lagi. Kan, Bozo?"  Dia tunduk memandang Bozo yang duduk disisinya. Terjelir lidah Bozo bersama ekor yang bergoyang-goyang apabila dipuji comel. Seolah-olah mengiyakan kata tuannya. Lanun tersenyum kecil. Cuma sekejap sebelum dia berpaling memandang Husna yang masih berada di atas bot. 

Husna melongo. Berani sungguh Lanun mengutuk mukanya. Sedangkan dah berapa banyak pujian dari mulut lelaki mengatakan dia memiliki wajah yang cantik. Kurang ajar. Macamlah dia itu kacak benar mengalahkan rupa Mr Blue aku! Sindir Husna di dalam hati.

"Ah, apa-apa pun saya tetap tak nak masuk kampung tu semula! Awak kena hantar saya balik, sebelum ayah saya hantar polis maritim untuk selamatkan saya! Waktu itu... saya akan bagitahu ayah yang awak culik saya!" Ugut Husna.

Bahkan lelaki itu boleh pula tersenyum sinis serupa ugutan dia tidak memberi kesan.

"Jangan kata polis maritim, Mr Blue kau pun tak hingin nak selamatkan kau dekat sini jika mereka tahu perangai keras kepala kau macam mana? Yang masih bersabar dengan kau sekarang cuma satu. Iaitu Mr Pirate!"

Ceh!

Husna menjuih bibir. Perasan! Dia pun hampir menamparnya diatas bot tadi. Sama saja!

"Sudah, aku malas nak bertekak dengan kau. Lebih baik kau turun sebelum aku yang naik ke atas! Jangan kata aku tak beri kau amaran." Lanun mencekak pinggang. Masih sabar menanti Husna untuk turun dari bot.  Kecil besar kecil besar sahaja dia pandang wanita itu sekarang. Rasa nak penyet-penyetkan sahaja si kepala batu itu!

"Saya cakap tak nak, kan? Awak ni pekak ke?! Saya kata nak balik! Nak baliiiikkkkkk!" Nah, hambik kau! Sakit tekak dia menjerit dengan panjang.  Kalau lelaki itu tak dengar juga, memang telinganya ada masalah pendengaran. 

Lanun mula hilang sabar. Makin berlembut, makin degil minah kepala batu ni. Dia menghembus nafas. Kasar sekali.

"Korang pergi balik dulu, biar abang settle kan perempuan ni kejap!" Arah Lanun kepada tiga beradik yang masih tercegat menunggu mereka berdua. Rajuna, Ratna dan Arjuna saling berpandangan. Patutkah mereka pergi? Risau pula jika bila mereka tiada nanti, abangnya mula jadi seperti tadi. Bertindak diluar kawalan.

"Tapi, bang..."

"Balik sahaja sebelum korang pun kena sekali!" Potong Lanun sebelum sempat Ratna ingin bersuara.

Kecut perut. Tidak mahu tidak, terpaksa juga mereka pergi daripada sini. Hanya mampu berdoa agar abangnya masih mempunyai akal dan fikiran jika mahu bertindak yang bukan-bukan. Tanpa menunggu lama,  Rajuna, Ratna dan Arjuna terus berlalu pergi daripada situ membawa Bozo bersama.

Kini, cuma tinggal Lanun dan Husna yang saling berbalas jelingan tajam.

"Kau ni selagi aku berlembut, selagi itu jugalah kau akan keras kepalakan? Kau tunggu sekejap!" Terus dia melompat naik ke atas bot.

Husna sudah tidak keruan. Spontan bangun daripada tempat duduk. Sekejap dia memandang sekeliling, ke mana pula dia hendak larikan diri? Mengharapkan tiga beradik itu untuk menghalang perbuatan abangnya, mereka sudah pergi. Masak aku!

Jantung mula berdebar-debar tatkala melihat Lanun mula menuju ke arahnya bersama pandangan sang singa yang mahu menerkam mangsa. Jelas kelihatan urat-urat timbul pada pergelangan tangannya saat penumbuk dikepal kuat. Husna semakin gelisah.

"Awak nak buat apa dengan saya huh? Jangan berani untuk sentuh saya! Saya takkan teragak-agak nak... arghh!" Belum sempat menghabiskan kata, tiba-tiba terasa dirinya terapung diawang-awangan. Mata Husna terbeliak sebelum kepala menunduk ke bawah. Terkejut apabila dirinya diangkat oleh Lanun sekelip mata.

"Apa awak buat ni? Lepaskan saya! Lepas!" Husna menggoyang-goyangkan kakinya, cuba untuk melepaskan diri dari diheret masuk ke dalam kampung. Dengan tangan kecilnya, ditumbuk-tumbuk belakang badan Lanun biar dia berasa sakit dan melepaskannya ke bawah semula. Namun entah mengapa, tindakan dia seolah-olah tidak memberi kesan. Lelaki itu selamba membawanya turun dari bot, menuju masuk ke dalam kampung itu.

"Lepaslah! Saya takkan maafkan awak sebab sentuh saya! Saya akan saman awak bila sampai di darat nanti! Sejuta ringgit terus biar awak pokai walaupun awak memang dah pokai!" Bebel Husna tanpa henti. Biar bernanah telinga Lanun mendengarnya.

Sampai sahaja dirumah, pintu terus dirempuh dengan kaki. Sekali tendang sahaja ia sudah ternganga. Husna tersentak. Tubuhnya diturunkan semula ke bawah apabila mereka tiba di dalam. Kemudian, Lanun melangkah meninggalkan Husna sebentar. Pergi ke kabinet yang berada dipenjuru rumah. Mencari sesuatu.

Husna pula masih berdiri kaku. Tertanya-tanya apa pula yang lelaki itu cari. Mungkin pisau untuk menikam dia kerana berdegil? Tidak! Sekilas dia mengerling ke arah pintu yang terbuka luas. Peluang keemasan untuk dia melarikan diri sekali lagi. Namun belum sempat dia hendak buka langkah seribu, tangan Lanun terlebih dahulu pantas menangkap belakang bajunya. Menarik dia berundur menjauhi pintu semula.

"Kau nak lari ke mana lagi?"

"Saya takkan berhenti berfikir untuk lari selagi awak tak hantar saya balik! Saya akan cari jalan, awak tunggu saja!"

"Baguslah kau beritahu aku siap-siap." Kata Lanun.

Kening Husna berkerut.  Apa? Dia memusing memandang Lanun. Dan tanpa semena-mena, tali yang berada ditangan lelaki itu terus diikat ke tubuhnya. Husna tersentak. Tidak sempat berbuat apa-apa, tahu-tahu sahaja tubuh dan tangannya sudah dililit dengan kemas.

"Apa awak buat ni?! Lepaskan saya!"

"Aku dah cakap pada kau sebelum ini, jangan buat aku jadi gila. Kau yang buat aku jadi macam ini." Kata Lanun dengan nada bersahaja. Siap mengikat. Tubuh Husna dipaksa duduk di atas tilam. Selesai kerjanya. Selepas ini, wanita itu tiada peluang untuk keluar membawa bot dia sesuka hati. Cukuplah aku dah rugi satu bot! Yang paling mahal pulak tu!

Husna mendongak memandang Lanun yang masih berdiri. Muka berkerut penuh tidak puas hati.

"Aku takkan buka ikatan kau, sampailah kau betul-betul menyesal dengan apa yang kau dah buat. Cukuplah dengan cara ini kau belajar untuk sedar salah sendiri dan minta maaf kepada orang yang kau dah susahkan." Kata Lanun, dingin.

Husna mengetap bibir. Siapa Lanun untuk mengajar dia berbuat demikian? Dia takkan sesekali tunduk dan meminta maaf kepada orang lain.

"Tak nak! Saya takkan minta maaf dengan awak! Awak yang bersalah sebab buat saya macam ni! Awak kejam! Lebih kejam daripada Mondu!"

Bibir Lanun menyenget sinis.

"Cakaplah apa-apa pun, yang aku tahu... aku buat semua ni demi keselamatan kau juga. Kedegilan kau boleh memakan diri kau sendiri. Nak tak nak, aku terpaksa ikat kau buat sementara waktu sampailah kau tak terfikir untuk larikan diri lagi."Ujar Lanun, malam pun dah lewat sangat. Ada baiknya jika dia pergi sekarang. Membiarkan Husna bersendirian di dalam rumah untuk merehatkan diri. Dari bawah mata gelap Husna, dia nampak keletihan kerana tidak cukup tidur. Walaupun wanita itu masih bersemangat, dia pasti mulut itu akan senyap tak lama lagi.

"Aku pergi dulu." Pamitnya sebelum melangkah ke pintu.

Tatkala Husna sudah terpinga-pinga.  Takkan Lanun hendak meninggalkan dia dalam keadaan begini?

"Awak nak pergi mana tu?! Buka tali ni dulu, Lanun! Buka!" Jerit Husna, dia meronta-ronta ingin dilepaskan. Namun, si Lanun itu langsung tidak mengendahkan suaranya. Apatah lagj menoleh ke belakang semula dengan muka penuh simpati. Malah pintu terus dihempas tutup dengan rapat.

Husna mendengus geram.

"Saya benci awak Mr Pirate!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro