41

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PUSING kanan sudah. Pusing kiri sudah. Meniarap pun sudah. Mengiring apatah lagi, cuma terbang sahaja yang belum dicuba. Tetap juga mata ini tidak mahu tutup biarpun sekitarnya sudah gelap. Akhirnya Husna memilih untuk mengubah posisi mengiring ke arah lilin yang terpasang ditepi tilamnya, merenung api yang adakalanya tersenget-senget ditiup angin luar yang masuk melalui tingkap.

Haih, kenapa dia tidak boleh tidur pula malam ini ya? Puas dia mencari cara untuk melelapkan mata tetapi tidak juga berjaya. Mungkin dengan cara merenung api itu lama-lama, dia akan rasa bosan dan tertidur tidak lama lagi.

Namun, melihat api itu menyuluh kegelapan ruangan ini tiba-tiba kotak fikirannya memutarkan memori lama suatu seketika dahulu. Wajah arwah mak, masih segar di dalam ingatannya. Dan setiap kali wajah itu hadir, menjentik rasa rindu di hati yang tiada pengubatnya. 'Husna... betul-betul rindukan Mak.'

Mata Husna terpejam sesaat. Membiarkan bayangan detik itu bermain di kepalanya.

"Husna..." Suara Mak memanggil dengan lembut sekali. Mengalihkan perhatian Husna yang masih berumur 10 tahun, sedang duduk di penjuru bilik sambil memeluk lutut. Dalam sinar cahaya lilin yang dipegang, dia dapat melihat pipi anak gadisnya yang dibasahi air mata.

Bibir Mak tersenyum kelat. Sampai sahaja di hadapan Husna, lilin itu ditaruhkan di tengah-tengah antara mereka. Kulit tangan yang agak kasar itu langsung naik menyeka air mata anak gadisnya. Mungkin dia sedang takut, tiba-tiba malam ini guruh berdentum dengan kuat sehinggakan lampu elektrik terpadam secara tiba-tiba.

"Janganlah menangis, Husna. Kita tunggu ayah balik. Kejap lagi dia betulkan lampu dalam rumah ni ya?" Pujuk Mak. Sekadar mahu Husna berhenti menangis. Walaupun dia tahu, suaminya... mungkin takkan balik lagi malam ini.

"Semalam pun mak cakap ayah akan balik. Tapi sebenarnya tidak pun. Mak selalu tipu Husna!"

Pantas Maknya menggeleng kepala. Sungguh, dia tiada niat untuk membohongi anak gadisnya. Malah, jauh di dalam sudut hati ini juga mengharapkan si Idris pulang menjenguk keadaan mereka di dalam rumah banglo yang besar ini. Apa gunanya diluar nampak megah, namun dalaman kosong serupa tak berpenghuni.

"Husna jangan cakap macam itu. Mak tak tipu Husna. Mungkin ayah sibuk sikit. Nanti dia baliklah..."

Husna diam tak berkata apa. Hanya tunduk memandang lilin di bawah.

Kemudian, bibir maknya tersenyum pahit. Dia pusing sekejap mencapai sepinggan nasi berlauk ikan rebus yang dibawa bersama sebelum kembali memandang Husna. Kesian, anaknya menahan lapar daripada pagi tadi. Ini pun mujurlah ada manusia yang baik hati memberinya beberapa ekor ikan semasa dia menunggu di jeti nelayan.

Mungkin bila Husna dapat makan, dia akan lupakan sebentar tentang kepulangan ayahnya.

"Husna... meh makan dulu. Tadi ada orang bagi mak ikan. Tapi maaflah, mak boleh rebus je. Barang dekat dapur semuanya dah habis. Yang tinggal cuma beras. Itupun dah tinggal separuh. Mungkin tawar sedikit, tapi Husna kena makan juga. Tak elok biarkan perut kosong lama-lama." Ujarnya, usai nasi dan ikan rebus itu digaul sebati lalu
disuakan ke mulut Husna. Menanti anak gadisnya membuka mulut menerima suapan, namun tidak pula Husna menganga. Masih lagi tunduk melihat lilin ditengah mereka.

Maknya mengeluh penuh berat sebelum tangan yang menyua nasi itu perlahan-lahan dijatuhkan ke bawah semula. Jelas, sinaran cahaya lilin itu menampakkan muka Husna yang sedang muram. Tiada selera hendak menelan makanan yang sama setiap hari.

"Kenapa ni, Husna?"

"Husna tak nak makan ikan. Husna nak makan benda lain. Bukan ke kita orang kaya? Kawan-kawan Husna pun selalu cakap Husna anak orang kaya. Tapi kenapa makanan mereka lagi sedap daripada Husna?"

Mendengar persoalan anak gadisnya buatkan dia tersentak. Hatinya turut rasa terguris. Seolah-olah ada belati tajam yang menikam ke dada, pedih. Ya Tuhan, apakah dia sudah gagal menjadi seorang ibu? Jika benar ini adalah ujian untuknya. Mengapa perlu Husna sekali ikut merasa seksa yang dia rasa?

"Astaghfirullah hal Azim..." Bibir Maknya beristighfar perlahan. Sekejap kepala mendongak ke atas, cuba menahan air mata yang hampir mengalir ke pipi. Dia tidak boleh bersangka buruk kepada yang Maha Esa. Dia pasti, semua ini ada hikmah di sebaliknya. Sesuatu hari nanti mungkin Husna dan dia akan dapat jawapannya.

"Husna..." pinggan itu ditaruhkan ke tepi dahulu. Dia mendekatkan jarak dengan anak gadisnya. Kemudian, kedua-dua belah bahu Husna dipegang. Mengalihkan perhatian Husna mendongak menatap wajahnya.

"Yang kaya ayah, bukannya kita... Selama ni mak asyik bergantung harap pada ayah, tapi bila ayah dah tak pedulikan kita lagi. Mak tak tahu dekat mana nak cari duit. Nak tak nak, mak terpaksa tebalkan muka minta makanan dekat orang. Ini sahaja yang mereka beri, jadi mak kena terima..." air mata yang sedaya upaya ditahan daripada menitis di hadapan anaknya, akhirnya gugur jua. Sakit. Terlalu sakit apabila ia dipendam lama-lama.

Bahkan, saat air mata itu mengalir. Ia seolah-olah memberi kesan luka di hati Husna. Kalau tidak kerana rungutannya tentang makanan, pasti emaknya tidak akan menangis. Apa yang dia telah lakukan? Dia rasa bersalah sangat-sangat.

"Husna janji dengan mak, Husna belajar rajin-rajin ya? Jadi kaya, jadi wanita yang ada duit sendiri. Bila Husna dah senang nanti, jangan makan ikan lagi. Makanlah apa yang Husna teringin nak makan. Buat masa sekarang, Husna makan ni dulu. Sebab selepas ni, mungkin Husna dah tak dapat rasa air tangan mak lagi? Mungkin... air tangan mak paling tak sedap di dalam dunia ni. Tapi, kalau Husna makan... maklah yang akan paling gembira dalam dunia ni. Makan ya, nak?"

Husna angguk kepala dengan perlahan. Tak sanggup lagi melihat emaknya menangis, lantas Husna menerima sahaja suapan air tangan itu. Sejujurnya, memang tidak sedap. Langsung tiada rasa masin mahupun manis.Tawar bahkan kelat pabila tekak menelannya. Mungkin betul kata mak, suatu hari nanti dia akan makan makanan yang sedap-sedap.

Dan apabila tibanya saat itu nanti, dia takkan sesekali toleh ke belakang memandang makanan seperti ini lagi. Cukuplah kenangan waktu kecilnya sudah hancur, dia tidak mahu bawa kehancuran yang dirasakan sampai ke dewasa.

Tanpa sedar, air mata menitis mengena bantal saat teringatkan memori lama itu. Langsung tangan Husna naik menyekanya menggunakan belakang tangan.

"Kenapalah kau kena nangis Husna? Itukan cuma kenangan..." Husna ketawa dihujung ayat. Menyindir dirinya sendiri. Lemah sungguh.

Kemudian dia bangun dari pembaringan. Duduk, memandang ke arah pintu yang tertutup. Agaknya, Lanun dah tidur ke belum? Heh, sudah tentulah lelaki itu dah terbongkang tidur selepas waktu Isyak tadi. Entah-entah dah mimpi sampai ke bulan.

"Haih... aku nak kena buat apa ni?" Husna menyoal kepada diri sendiri. Belakang kepala yang tidak gatal digaru. Sesekali anak mata ditebarkan ke sekeliling ruangan yang suram. Tiadakah benda yang seronok diboleh cuba buat? Tatkala memandang beberapa kabinet dan almari yang berada di sebelah kanan sana, tiba-tiba dia rasa hendak melihat isi didalamnya. Manalah tahu Lanun ada simpan apa-apa yang menarik disitu selain tali yang pernah memakan dirinya semalam.

Tanpa menunggu lama, kain selimut nipis itu terus diselak ke tepi. Husna berdiri, membawa lilin yang tegak diatas piring itu bersama menuju ke arah kabinet-kabinet itu.

"Let's see what is inside..." Husna tarik pintu kabinet pertama. Cuma ada beberapa kotak mancis dan lilin yang disimpan. Hmm... tak menarik.

Ditutup. Kemudian, laci sebelahnya pula dibuka. Alamak, ini bahaya sikit. Ada alatan tajam seperti pisau rembo, kerambit dan badit lama. Kenapa Lanun simpan barang berbahaya begini di dalam rumah? Mujur semasa lelaki itu mengamuk semalam dia tak keluarkan alat-alat ni, jika tidak innalillahwainnailaihirajiun...

Mungkin Husna dah bersemuka dengan malaikat maut. Uish, memang bahaya. Lebih baik jangan disentuh.

Setiap laci diselongkar. Tetap tidak jumpa apa yang menarik. Mungkin dia patut lihat dalam almari pula. Kemudian, dia bergerak kesitu. Pintu almari ditarik, biasalah dalam almari sudah tentu ada pakaian si Lanun itu. Kepala Husna menggeleng bersama keluhan.

"Semua baju T shirt aje? Tak reti bergaya langsung..." Ejek Husna. Atas dan bawah anak matanya bergerak memerhati. Adakala tangan menyelak baju-baju yang dilipat kemas itu. Husna sendiri tidak tahu apa yang dicari. Namun, sebaik sahaja terlihat ada sekeping gambar terselit di celahan baju, Husna terus menariknya keluar.

"Gambar girlfriend dia ke?!" Cepat-cepat Husna pusing gambar itu ke belakang. Tak tahu mengapa tiba-tiba jantungnya berdebar saat menjumpai gambar ini. Husna terpanar sejenak apabila melihat gambar wanita berselendang merah yang duduk diatas buaian sambil mendukung bayi.

Dari andaiannya, umur wanita itu mungkin dalam 30 han, dan bayi yang didukung itu pasti Lanun. Malang sekali, wajah bayi itu sudah kabur dek kerama terkena air sehingga warnya menjadi kembang. Ish! 'Melepas aku nak tengok mata dia.' Gerutu Husna di dalam hati.

Namun, Husna lebih tertarik dengan gambar wanita itu, yang pastinya ibu kepada Lanun. Jadi, inilah Puan Thalia yang Orkid ceritakan. Cantik betul, persis nama tuan punya badan. Putih melepak bahkan bersih kulitnya. Orangnya tinggi lampai, badan solik serupa anak dara. Dari rupa manis yang sedang tersenyum ke arah camera itu, rasa-rasanya Puan Thalia ini bukan orang Malaysia.

Tetapi lebih kepada...

Wanita Turki?

Ya. Nampak macam orang Turki. Tak hairanlah mengapa dia lawa, dan anaknya pula kacak? Eh, tersasul ke lain pula. Dengan mata sebelah biru dan sebelah lagi berwarna hazel, lagilah buatkan Husna terdiam seribu kata. Tak pernah lagi dia jumpa manusia yang memiliki sepasang mata secantik itu.

"Ada juga ya mata lain-lain warna macam ni? Ke... mak dia lupa nak pakai lens lagi sebelah?" Husna bermonolog sendirian. Dia benar-benar tertarik dengan gambar yang baru dijumpai itu.

"Kalau mak dia mata macam ni, boleh jadi juga kalau si Lanun tu..."

"Kenapa tak tidur lagi?!"

"Oh mak kau hijau!" Termelatah Husna apabila disergah satu suara. Dia tersentak. Gambar yang dipegang terlepas dari genggaman. Hampir sahaja piring lilin ini hendak terpelanting, nasib baik dia pegang kuat-kuat. Kalau tidak, terbakar rumah yang diperbuat daripada kayu ini.

Jantung Husna berdegup pantas sebaik sahaja menoleh ke belakang. Alamak, ingatkan Lanun dah tidur. Rupanya belum lagi!

Habislah kantoi yang dia baru sahaja selongkar almari tanpa izin.

"Sejak bila dah pandai selongkar almari orang sesuka hati? Kau cari apa?" Soal Lanun, dingin. Dia menapak masuk ke dalam rumah, mendekati Husna yang masih kaku berdiri.

"Sa... saya tak boleh tidurlah tadi. Saya bosan, jadi saya selongkarlah apa yang ada dalam rumah ni." Jawab Husna, gagap. Eh? Sejak bila dia takut dengan Lanun ni?

"Selongkar ke nak mencuri?" Soal Lanun, sambil menjeling gambar yang jatuh dilantai. Dia terus tunduk, mengutip gambar itu.

Husna menjuih bibir dengan riak muka tak percaya. Jari naik menunding wajah sendiri.

"Saya mencuri? Ada apa aje dalam rumah ni untuk dicuri? Perompak kalau masuk pun, tak sampai seminit dia keluar balik." Balas Husna agak geram.

Lanun tidak berkata-kata, sebaliknya menyimpan gambar itu semula ke dalam almari sebelum ditutup. Kemudian, dia melangkah ke arah kabinet. Laci paling hujung ditarik, mencari sesuatu.

"Yang awak tak tidur lagi kenapa? Bukan ke waktu sekarang awak dah tidur mati dekat beranda?"

"Aku dah tidur tadi. Tapi siku aku sakit. Asyik bergesel dengan tikar. Tak pasal-pasal luka tadi berdarah balik." Ujar Lanun.

Perlahan Husna angguk kepala tanda faham. Sesaat anak mata mencerun ke arah siku Lanun yang terluka. Nampak macam teruk saja. Patutkah dia tolong rawat sebagai tanda minta maaf? Yalah, luka itupun disebabkan dia yang cuai semasa berjalan di bawah pokok kelapa petang tadi.

Tapi... kalau dia kata nak tolong rawat luka itu, pasti Lanun fikir yang dia buang tebiat. Iaitu seseorang berkelakuan aneh secara tiba-tiba. Selalunya, buat tebiat ini tanda-tanda orang itu nak dekat ajal. Eh, tapi dia bukannya nak ke situ lagi!

"Aku keluar dulu. Tidurlah. Jangan berjaga lama sangat. Esok nak kena bertolak awal." Kata Lanun, sebaik saja dia menjumpai kotak kecemasan, ia terus dikeluarkan dan menutup laci itu semula. Wajah Husna dipandang sesaat, wanita itu seakan ingin mengatakan sesuatu. Sekejap bibir terbuka kemudian tutup semula. Namun, mungkin dia salah pandang. Apa saja yang Husna hendak katakan kepada dia?

Tidak mahu mengganggu waktu tidur Husna, dia memutuskan untuk keluar semula.

Melihat Lanun menuju ke pintu, Husna sudah terpinga-pinga.

"Tu... tunggu!"

Langkah Lanun berhenti ditengah pintu. Dia menoleh ke belakang. Sebelah kening dijongket ke atas. Macam tak percaya Husna menyuruh dia berhenti.

"Ya?"

Ah, sudah. Husna kembali gagap. Dia sendiri tak percaya dengan apa yang baru dibuat. Kenapa pula dia halang Lanun pergi? Jantung pun satu hal. Berdebar laju-laju nak ke mana?

"Err..." Husna telan air liur. Gugup. Dia beranikan diri, mengatur langkah mendekati Lanun. Berhenti apabila sudah berada di hadapan lelaki itu. Manakala bibir ini masih lagi berat hendak mengucapkan ayat. Kepala tunduk, tak boleh pandang wajah Lanun saat ini.

Sedangkan Lanun masih sabar menunggu Husna yang ingin menyampaikan sesuatu. Sekilas anak mata menjeling ke arah piring lilin yang dipegang Husna. Nampak ketara menggigilnya. Sebelum ada yang jatuh ke lantai, lebih baik dia pegang. Lantas, hujung piring itu ditahan dengan sebelah tangannya. Kepala ditunduk sedikit, mengintai wajah Husna.

"Kau nak cakap apa, hmm? Aku tunggu ni."

Ya Tuhan, kenapa jiwa ini rasa lemah pula mendengar suara Lanun yang lembut menegur dia.

Fuh! Tenang Husna. Nak tolong balut luka sahaja pun? Bukannya susah mana. Kemudian, perlahan-lahan Husna mengangkat wajah memandang Lanun. Mata mereka berlaga. Sedaya upaya Husna cuba berlagak tenang. Biarpun hati ini tiba-tiba dijentik rasa sesuatu.

"Err... ka... kalau saya..."

"Kalau kau?"

"Kalau saya nak tolong balutkan luka dekat siku awak tu... boleh?" Soal Husna, akhirnya terpacul juga ayat itu dibibir.

Dari riak wajah Lanun, jelas lelaki itu nampak terkejut dengan permintaannya. Dah kenapa baik pula perempuan ni selepas kena ikat?

"Kau... buang tebiat ke?"

Husna ketap bibir. Tajam matanya menikam Lanun. Tengok! Dah agak dia akan fikir begitu.

"Saya nak tolong ajelah. Tapi kalau tak nak tak apa, saya masuk tidur dulu!" Husna mendengus, geram. Dia ingin pergi ke tilamnya semula, namun langkahnya tersekat apabila hujung piring lilin itu digenggam oleh Lanun. Tidak mahu lepas. Kening Husna berkerut. Dia menoleh memandang lelaki itu semula.

Ada senyuman lebar terukir dibibir Lanun.

Dup!

Jantung Husna berdetak. MasyaAllah, kacak betul senyuman Lanun yang disinari cahaya lilin ini.

"Siapa kata aku tak nak?" Soal Lanun, dia menjongket sebelah kening. Dia tidak menolak pun permintaan Husna tadi, malah Husna yang ingin lari dahulu.

"Jomlah duduk luar. Dalam rumah gelap sangat. Bahaya untuk kau, dan bahaya juga untuk aku." Kata Lanun sebelum hujung piring dilepaskan, seraya dia melangkah ke beranda. Duduk di tangga. Suasana diluar cerah sedikit, ada obor-obor yang terpasang disetiap rumah jiran termasuk dengan rumahnya. Jadi tidaklah gelap mana.

Tak tunggu lama, Husna terus melabuh punggung di sebelah Lanun. Kotak kecemasan dibiarkan berada ditengah-tengah antara mereka. Memberikan sedikit jarak. Manakala lilin yang dibawa bersama tadi diletakkan ke tepi dahulu.

Kotak kecemasan dibuka oleh Husna. Kapas dicapai dahulu. Mujurlah waktu sekolah menengah dia masuk bulan sabit merah, masih ingat lagi cara-cara hendak merawat luka pesakit. Tak adalah dia kekok sangat.

"Hulurlah siku tu." Arah Husna.

Lanun tak berkata apa. Terus menghalakan siku yang berdarah itu kearah Husna. Dibiarkan sahaja wanita itu membersihkan darah disekitar luka. Rasa pedih luka tadi tak terasa apabila dia leka mengamati wajah Husna yang lincah melakukan kerja. Sedar-sedar sahaja sikunya sudah dibalut kemas dengan kain kasa setelah disapu ubat pembasmi kuman.

"Siap!" Ucap Husna bersama senyuman. Seronok juga dapat balut luka orang. Buat seketika rasa macam jadi nurse separuh masa.

Lanun angguk kepala. Dia kagum melihat balutan kemas hasil tangan Husna.

"Cantik kau balut." Puji Lanun.

Kembang hidung Husna mendengar. Heh, ibu jari mencelek hidung dengan bangga.

"Tentulah. Saya dulu masuk bulan sabit merah. Siap pernah masuk pertandingan balutan paling kemas dan jadi juara lagi." Ujar Husna.

Terangkat kening Lanun, dia tak sangka. Patutlah balutan Husna nampak cantik.

"Awak pula? Waktu sekolah dulu ambil uniform apa?" Entah daripada mana soalan itu terpacul keluar daripada bibir Husna. Namun, dia tetap hendak mendengar jawapan daripada Lanun. Lelaki itu memandang ke hadapan, bibirnya mengulum satu senyuman.

"Polis." Ringkas Lanun menjawab.

Wow!

Husna tergamam. Patutlah tegas semacam. Tak lupa juga, kuat mengarah orang!

"Sesuailah dengan muka awak. Garang. Kalau awak jadi polis sekarang, saya yakin ramai penjahat akan takut nak hadap awak. Dengan uniform yang gah itu lagi... fuh! Memang nampak macho." Ujar Husna. Tanpa sedar bibirnya sempat memuji Lanun yang memiliki aura seorang lelaki gagah. Rasa macam nak tampar mulut sendiri. Kenapa jujur sangat? Kan dah malu.

Tatkala Lanun hanya tersenyum kelat mendengarnya.

"Sedap bunyinya kalau aku jadi polis. Tapi... aku tak sesuai untuk itu. Polis selalunya sibuk dengan tugas mereka. Tak banyak masa yang ada untuk mereka luangkan dengan keluarga. Duit mungkin berkepuk-kepuk, pakaian mungkin nampak gah, tapi nak beli masa yang cuma seminit pun tak mungkin mampu." Ujar Lanun, suaranya ada kedengaran sedikit getar. Kepala menunduk ke bawah. Riak wajah berubah secara tiba-tiba.

Ah, sudah.

Husna gigit bawah bibir. Dia salah topikkah? Atau topiknya tadi mengingatkan Lanun kepada arwah emaknya. Aduh, dia kena tukar cepat-cepat!

Husna buat-buat dongak ke langit. Kebetulan, malam hari ini ada bintang-bintang menghiasi diangkasa sana. Bolehlah dia jadikan topik baru.

"Ehem! Banyak betul bintang malam ni kan? Cantik!" Kata Husna. Bibir tersenyum lebar.

Lanun turut mendongak memandang ke langit. Memang benar. Seluruh langit gelap itu dihiasi bintang-bintang kecil yang menyinar. Angin pun sepoi-sepoi sahaja menyapa tubuh mereka yang duduk ditangga. Tak dinafikan, setiap ciptaan-Nya indah-indah belaka. Tiada yang mampu menandingi kuasa yang Maha Esa. Pemandangan langit malam ini memang cantik, tetapi...

Lanun menoleh memandang Husna yang masih leka menatap langit. Bibir mungil itu tersenyum-senyum daripada tadi. Kepala diangguk kecil. Dia baru sedar sesuatu.

"Kau nak tahu sesuatu tak?"

"Huh?" Husna kembali tunduk memandang Lanun disisi. Renungan mata lelaki itu, buatkan jantungnya diserang debaran sekali lagi. Buat sejenak, Husna telan air liur. Lemah pula.

"Dulu, aku ingatkan ciptaan Tuhan paling cantik adalah bintang. Manakala yang paling indah adalah pulau. Tapi, ada satu lagi yang paling indah dan cantik yang baru aku jumpa."

"Ap... apa dia?" Soal Husna. Dia tertanya-tanya.

"Senyuman seorang perempuan. Anugerah Tuhan paling indah dan cantik sekali." Kata Lanun, serius sambil matanya tepat merenung bebola mata Husna yang tak berkelip.

Husna tergamam. Tak tahu kenapa, malam yang dah dingin ini tetap sahaja buatkan tangannya berpeluh-peluh. Kata-kata Lanun, buatkan dia tak tentu arah. Rasa macam nak lari ke pantai dan terus terjun ke dalam dasar sana untuk menyembunyikan muka yang sudah bertukar tona merah ini.

Lanun juga nampak terkesima dengan setiap baik kata yang baru dilemparkan.
Kepala tunduk ke bawah, hidung mancung yang merah kerana malu itu digosok dengan hujung jarinya. Dia melarikan pandangan ke kiri. Manakala Husna juga turut berpaling ke kanan. Masing-masing diserbu rasa janggal.

"Aku rasa... ada baiknya kalau kita masuk tidur sekarang." Cadang Lanun, sekadar untuk menutup rasa malu.

Pantas Husna angguk kepala tanda menyokong.

"Ya! Saya pun rasa macam tu. Mata saya pun dah mula rasa berat." Kata Husna. Siap pejam dan celik mata lagi berkali-kali. Ceh! Cakap sajalah yang kau nak lari masuk rumah sekarang.

"Itulah. Mata aku pun sama. Err... kotak kecemasan ni..."

"Biar saya bawa masuk dalam..."

Tanpa sengaja, tangan mereka sama-sama landing pada tangkai kotak kecemasan itu. Alamak, drama Korea apakah ini?! Terus Husna tarik tangannya semula lalu bawa ke dada. Dia menoleh memandang Lanun. Ternyata lelaki itu juga terkejut dengan apa yang berlaku. Debaran di dada semakin menjadi-jadi apabila bebola mata mereka saling bertaut.

Lanun kelip mata. Begitu juga Husna.

"Kau sajalah bawa kotak ni masuk dalam. Simpan dalam laci tadi."

"Okay. Sekarang juga saya pergi simpan!" Cepat-cepat Husna mencapai kotak kecemasan itu bersama piring lilin tadi lalu bangun dari tangga. Tak tunggu lama, Husna terus berlari masuk ke dalam rumah. Pintu ditolak sahaja dengan kaki kuat-kuat sehingga ia terhempas tutup.

Fuh!

Husna menghembus nafas lega. Dia langsung bersandar di pintu saat terasa kakinya lemah. Kenapa lain macam sangat aura malam ni?

"Ish, banyak betul syaitan malam ni. Aku tak patut berjaga waktu sekarang. Baik aku tidur!" Desis Husna, cukup untuk dirinya sahaja yang dengar. Setelah kotak kecemasan disimpan ke tempat asalnya, terus Husna berlari ke arah tempat tidurnya. Tarik selimut hingga menutup kepala dan paksa untuk matanya untuk terpejam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro