44

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"SEKARANG kita nak pergi ke mana pula?" Soal Husna, dia berpaling ke belakang memandang Lanun yang sedang memandu bot. Adakala topi jerami yang terasa hendak tercabut daripada kepala oleh kerana tiupan angin ditahan dengan sebelah tangannya.

"Langit nampak mendung tiba-tiba. Ada baiknya kita balik dulu." Ujar Lanun, membuat keputusan setelah melihat keadaan cuaca yang kurang baik hari ini.

Husna turut dongak ke langit. Haahlah, gelap betul awan di atas sana. Jelas menunjukkan tanda-tanda hujan lebat akan turun tidak lama lagi. Sudahlah bot ini tiada bumbung. Jika tiba lambat dikampung, alamatnya basah lencunlah mereka berdua.

Harap-harap sempatlah sampai ke kampung. Dengan kelajuan bot yang sedang membelah air laut, Husna yakin mereka akan tiba disana dengan cepat.
Jangan pula enjin bot buat hal sudah, gerutu Husna di dalam hati.

Dan tak sampai seminit, bot yang melaju tadi kian perlahan. Kening automatik berkerut pelik. Husna pandang sekeliling. Tidak nampak pula bayangan kampung dari jarak jauh. Bahkan sekitarnya masih lagi air laut yang seolah-olah tiada penghujung.

"Kenapa kita berhenti dekat sini?" Soal Husna, bingung. Dia kembali memandang Lanun. Lelaki itu sudah pun berdiri, membuka penutup enjin bot yang diikat dibelakang bot. Nampak gaya, Lanun pun tidak tahu mengapa botnya tiba-tiba berhenti. Dia cuba mencari punca masalah yang berlaku.

Sebaik saja penutup tangki minyak dibuka, mata Lanun terpejam sesaat. Penutup ditangan digenggam kuat-kuat.
Bibirnya terketap menahan perasaan geram di dada.

"Apa dah jadi?" Husna bangun dari tempat duduk tatkala menyedari riak wajah Lanun berubah. Tak tahu mengapa, jantungnya juga berdebar. Seolah-olah akan ada berita buruk yang bakal menjengah ke telinganya buat seketika nanti.

Dan apabila Lanun menayang penutup tangki minyak yang dipegang, Husna tergamam. Matanya membulat.  Seakan dapat menangkap maksud yang lelaki itu cuba sampaikan. Tak mungkinlah...

"Minyak dah habis."

Ayat yang tidak mahu didengar itulah yang keluar dibibir Lanun.

"What?!" Husna terkejut. Kuat suaranya hingga bergema ke segenap laut itu. Ah, sudah. Kalau kereta habis minyak dan tersadai ditepi jalan, ada jugalah insan yang baik hati akan berhenti untuk menolong.  Tetapi sekarang mereka bukan didarat, namun di tengah lautan! Bila masanya akan ada manusia yang lalu-lalang disini?

Malah Lanun juga nampak tertekan dengan apa yang berlaku. Sebelah tangan sudah naik memicit kepala dengan muka berkerut tegang.

"Benda ni tak sepatutnya terjadi, aku selalu isi minyak penuh. Mustahil boleh habis ditengah jalan macam ni? Tak lain tak bukan, pasti adik-adik aku yang guna tanpa kebenaran.  Aishh, budak tiga ekor tu memang tak reti nak isi minyak balik bila dah tinggal separuh!" Dingin suara Lanun kali ini. Geram sangat barangkali.

Tunggulah, sampai kampung nanti memang dia akan kepit tiga telinga itu sampai jadi capang!

"Habis sekarang macam mana? Takkan nak duduk atas bot sampai ada manusia yang lalu ke sini?" Soal Husna.

Bahkan Lanun jongket bahu.

"Entah. Aku pun tak tahu." Balas Lanun, lantas tangki minyak ditutup semula. Kemudian, dia berjalan ke tengah bot. Perlukan ruang untuk berfikir. Kepala menunduk ke bawah, seolah-olah mencari sesuatu. Ekor mata Husna hanya mengikut sahaja ke mana arah lelaki itu pergi.

Mulut Husna melopong. Tak tahu? Senang sungguh jawapan yang Lanun beri. Aish, mulalah hati ini rasa geram hendak membebel. Langsung kedua belah tangannya naik mencekak pinggang.

"Tak tahu? Itu sahaja jawapan awak? Kita sekarang terkandas dekat tengah laut tau, bukan dekat tengah jalan raya! Awak takkan tak check minyak dahulu sebelum kita bertolak ke pasar? Sekarang nak minta tolong siapa? Jangan katakan manusia, lalat pun tak lalu dekat sini! Kalau ada pun, Mondu. Itupun baru sekejap tadi awak belasah geng-geng dia. Buatnya kita terserempak dengan mereka nanti macam mana? Sah-sah mereka akan belasah kita balik!"

"Kau diamkan sekejap mulut ayam kau tu boleh tak? Makin kau bercakap, makin otak aku tak berfungsi." Balas Lanun selamba tanpa memandang Husna, kemudian dia duduk bertinggung, menyelak kain plastik biru di lantai bot. Rasa-rasa ada dua pendayung dibawah ni.

Husna mengetap bibir. Kakinya dihentakkan ke atas bot tanda tidak berpuas hati dengan kata-kata Lanun. Terus dia duduk kembali ke tempat asal sambil memeluk tubuh. Berpaling ke lain. Bibir memuncung. Malas hendak pedulikan Lanun.

"Kalau mulut aku macam ayam, habis dia tu apa? Sama sahaja..." gumam Husna, geram. Rasa macam nak carik-carik sahaja wajah lelaki itu jika dia berdiri di hadapannya sekarang.

"Nah."

Tanpa semena-mena, muncul tangan yang menghulur pendayung kayu di hadapan matanya. Kening Husna berkerut, dia memandang pendayung itu dahulu sebelum kepala terdongak melihat Lanun. Sejak bilanya dia berdiri disebelah?

"Apa ni?" Soal Husna, huluran dayung itu ditepis perlahan menjauhi dia.

"Ada nampak macam paha ayam ke? Dayunglah. Kita boleh dayung bot ni sampai ke kampung. Tak jauh mana pun. Dalam dua jam sampailah." Ujar Lanun.

Jatuh rahang Husna mendengarnya. Langsung dia berdiri.

"Dua jam?! Awak ingat dua jam tu, dua minit ke huh? Jauh tu!"

"Habis kau nak duduk dekat sini sementara tunggu orang datang? Kau nak bermalam atas bot semalaman dengan aku?"

Husna terdiam. Matanya berkelip-kelip. Bunyinya macam romantik pula, bermalam di atas bot berdua-duaan. Ditemani pula dengan bulan dan bintang di langit.  Eh, mana boleh! Mereka belum kahwin, bila-bila masa sahaja syaitan akan mengambil kesempatan menghasut telinga umat manusia melakukan perkara larangan.

Entah-entah, waktu malam nanti... sedang dia nyenyak tidur, si Lanun tiba-tiba bertukar menjadi harimau jadian.

Tak boleh! Tak boleh!

Husna menggeleng laju.

"Tak nak!" Pantas saja Husna membantah.

"Tahu pun tak nak. Jadi jangan beri banyak alasan, ambil dayung ni!"

Tidak tunggu lama, huluran dayung itu terus dirampas Husna. Hampir sahaja dayung itu terlepas ke tangan, mujur dia  cepat tangkap. Tak sangka berat juga objek ini.

"Kau dayung belah kanan, aku dayung belah kiri." Lanun memberi arahan, tak ubah seperti kapten bot. Tegas. Dia terus berjalan, mengambil tempat duduk di sebelah kiri. Husna sekadar angguk kepala.

Alahai, macam mana pula nak mendayung? Macam kacau dodol ke? Masalahnya kacau dodol pun dia tak pernah buat.

"Sempat ke nak sampai kampung sebelum hujan kalau kita guna dayung sahaja?" Soal Husna, dia kembali duduk.  Apabila melihat Lanun mula meletakkan pendayung di luar bot, dia juga ikut buat cara yang sama.

"Mungkin sempat. Langit pun nampak tak gelap mana pun. Bermakna lambat lagi nak hujan." Ujar Lanun, pandai-pandai sahaja membuat spekulasi sendiri. Dia pun tidak mahir mana hendak menentukan keadaan cuaca. Macamlah dia pekerja dibawah berita cuaca harian?

Sedangkan Husna menjuih bibir. Anak mata dijulingkan ke atas.

"Yalah tu sempat. Entah-entah, tak sampai seminit kita dayung hujan akan turun." Kata Husna, sambil dia menolak dayung itu dari arah depan ke belakang agar bot mereka bergerak terus secara lurus. Sama seperti Lanun lakukan. Diulang-ulang dengan gaya yang sama tanpa henti.

Agak susah juga hendak menolak air dengan pendayung kayu yang berat ini. Baru sekejap, tangan Husna sudah berasa lenguh. Namun. Saat kepala tertoleh ke sebelah, dia lihat Lanun masih tenang menghayunkan kayu sampan itu. Jelas lelaki itu sudah terbiasa dengan kerja-kerja seperti ini.

Mungkin, insiden minyak bot habis ditengah laut bukan pertama kali terjadi di dalam hidup Lanun.

"Alamak..." kepala Lanun mendongak ke atas saat terasa ada titisan hujan mengena pada kulit wajahnya. Malah Husna turut menadah sebelah tangan, melihat rintik-rintik air jernih yang jatuh ke telapak tangan putih dia.

Tak sangka, masinnya mulut Husna serupa masin air laut. Baru seminit mereka mendayung bot, rintik-rintik hujan mulai turun dengan perlahan.

Husna telan air liur. Tangan kanan naik menyentuh bibir.  Ini semua salah mulut diakah?

"Hujan dah mula turun. Ini semua salah kau! Jangan doa yang bukan-bukan lain kali boleh tak? Kita dekat tengah laut sekarang!" Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba pula Husna yang dimarahi.

Husna ternganga.

"Mana ada saya doa! Saya cakap sahaja. Relaxlah, hujan rintik-rintik je pun.  Belum hujan lebat lagi!"

KEBABOOM!

"Argh!"

Bunyi guruh berdentum membuatkan Husna tersentak. Dek kerana terkejut punya pasal, tanpa sengaja pendayung yang dipegang terlepas jatuh ke dalam laut. Tak pedulikan apa lagi, dia terus bangun, berlari ke arah Lanun. Duduk disisi lelaki itu. Rapat.

Jantungnya berdegup laju. Kuat betul bunyi guruh tadi. Berderau darah dibuatnya.

"Macam bahaya je duduk dekat tengah laut waktu hujan macam ni." Gumam Husna. Matanya masih melihat ke langit yang semakin gelap. Adakala dia nampak sinaran cahaya kilat disebalik awan hitam itu. Sangat menggerunkan.

Lanun angguk kepala. Matanya mencerun ke bawah daripada tadi. Melihat kedua-dua belah tangan Husna yang elok mencengkam lengan bajunya dengan kuat serupa tidak mahu lepas. Jarak wanita itu juga sangat rapat.

"Ya, memang bahaya. Sangat-sangat bahaya." Kata Lanun dengan nada menyindir. Matanya masih ditempat yang sama.

Husna melangut kepala. Dia tidak faham. Dan apabila melihat mata Lanun melihat ke bawah, dia juga tunduk untuk melihat. Sebaik sahaja sedar tangannya berada di mana, terus Husna tarik cepat-cepat. Siap menyeret kedudukannya ke tepi agar tidak terlalu rapat.

"Ehem!" Husna berdehem. Dia buat-buat membetulkan topi jerami. Muka meruap malu. Langsung tak menoleh memandang Lanun.

"Saya... tak sengaja. Jangan salah faham." Kata Husna, cuba berlagak tenang serupa tiada apa-apa yang berlaku.

"Mana dayung aku?" Soal Lanun, dia lupakan tentang hal tadi. Tatkala menyedari tangan Husna tidak memegang apa-apa, baru dia tersedar dayung kayu lagi satu tiada.

Husna mula terpinga-pinga. Anak mata melilau ke sekeliling. Alamak, mana dayung yang dia pegang tadi? Husna diam seketika, cuba memutarkan semula memori kali terakhir dayung itu berada ditangannya. Tak silap, semasa bunyi guruh tadi...

Terus Husna menepuk sebelah tangan ke dahi. Matilah aku!

"Da... dayung tu..."

"Dayung tu?" Lanun masih menanti dengan penuh sabar walaupun dia seakan tahu jawapannya.

"D... dah hanyut." Balas Husna, siap menayangan sengihan sambil jari menunjuk ke arah air laut.

Dah agak!

Lanun ketap bibir. Mata dipejam sesaat. Aish, rasa nak marah atas kecuaian Husna tetapi tak sampai hati. Dia menghembus nafas. Kalau dah sebelah dayung hilang, bagaimana nak dayung sampai ke kampung? Hujan pun semakin lama semakin banyak turun. Semakin lebat.

"Alamak, hujan dah makin lebat!" Kata Husna, tubuhnya sudah menggeletar sejuk apabila air hujan mengenai seluruh pakaiannya dari atas hingga ke bawah. Terus kedua belah tangan memeluk tubuh.

Lanun juga tak terkecuali dibasahi air hujan. Anak matanya bergerak pantas mencari sesuatu untuk dijadikan payung buat mereka berdua. Dan saat menangkap kain terpal berwarna biru di atas lantai bot, terus dia menarik membawanya ke atas.

"Husna, sini!" Lengan Husna ditarik merapat semula. Langsung kain terpal yang melebar itu diangkat ke kepala, melindungi mereka berdua daripada terus terkena air hujan.

"Sampai bila kita nak kena macam ni?" Soal Husna, dia melangut memandang Lanun disisi. Bibir sudah menggeletar. 

Gulp! Air liur ditelan. Ada debaran halus di dada saat anak mata mereka bertembung.

"Sampai ada orang datang dan sudi tumpangkan kita." Jawab Lanun.










SELESAI mengurut kaki Odu yang terseliuh, minyak sapu ditutup semula oleh Ratna. Pagi tadi sebelum abangnya bertolak ke pasar, dia sudah mengarahkan Ratna untuk menjaga Odu buat seketika. Rajuna juga ada disini, sedang duduk di belakang Odu sambil mengurut bahu orang tua itu yang katanya lenguh.

Mata Odu daripada tadi melihat ke arah jendela yang terbuka luas. Menampakkan rintik-rintik hujan yang semakin melebat turun jatuh ke bumi. Kedua belah tangan Odu naik melekap ke dada. Merasa denyutan jantung yang berdebar tidak senang.

Lanun dan Husna sudah pulangkah? Dia pula yang risau.

"Macam mana, bang? Diaorang dah balik?" Soal Ratna sebaik saja Arjuna muncul di pintu rumah. Rambutnya sedikit basah terkena air.

Namun, Arjuna menggeleng. Mukanya tampak keresahan. "Belum."

"Ya Allah... "Odu tunduk kepala.

"Odu rasa bersalah pula kerana suruh mereka jual ikan-ikan tu. Macam mana kalo mereka terkandas ditengah laut waktu hujan lebat begini?" Soal Odu, mula timbul rasa risau di hati. Apatah lagi gelora air laut makin kuat jika hujan turun.  Maka bahaya sentiasa berada dimana-mana.

"Odu janganlah risau. Abang tu dah biasa dengan laut. Tahulah dia jaga diri." Ujar Rajuna, sekadar mahu menenangkan hati orang tua itu. Padahal, dia pun risau sama. Dan ada penyesalan di dada apabila teringatkan yang dia lupa untuk isi minyak malam semalam.

Lupa pula hendak bagitahu abang yang mereka bertiga gunakan bot untuk balik ke Ocean Resort sebentar berjumpa Tan Sri Raqib. Dan pada waktu balik, masing-masing sudah penat dan mahu tidur. Terlupa untuk mengisi minyak semula. Keesokan paginya, belum sempat dia hendak beritahu Lanun tentang minyak di tangki bot. Tahu-tahu bot itu sudah hilang.

Haih, cuai. Mereka memang cuai.

Kalau Lanun sudah pulang nanti, sah-sah telinga mereka berdarah menahan bebelan si abang sulung itu.

"Odu tahu Lanun tu sudah biasa dengan laut. Tapi Husna. Diakan bawa Husna sekali. Kalo ada apa-apa terjadi kepada dia, siapa juga yang susah? Abang ko juga yang harus bertanggungjawab nanti." Kata Odu.

"Alaa... abang mesti jaga dia baik-baik punya. Mana ada lelaki yang akan biarkan perempuan dalam bahaya. Betul tak?" Sampuk Ratna. Arjuna yang bersandar dipintu mengangguk kepala tanda menyokong. 

"Betul tu. Jaga diri sendiri pun pandai, apatah lagi jaga anak dara orang. Lagilah dia terlebih pandai." Kata Arjuna, sempat lagi dia menyakat. Dia ketawa kecil.

"Haish, kamurang (korang) bertiga ni... abang ko tengah dalam bahaya disana, kamurang bulih pula menyakat dia. Odu risau betul ni tau!" Herdik Odu.

Bahkan mereka ketawa. Alah, odu ni... macam tak kenal pula si Lanun itu orangnya bagaimana. Mereka pun risau juga jika ada apa-apa terjadi kepada Lanun dan Husna. Namun, apabila teringatkan bahawa abang mereka seorang yang berani dan pandai menjaga diri. Mereka yakin, Lanun boleh menjaga Husna dengan baik seperti mana lelaki itu menjaga nyawa dia sendiri.

Lautan dan Lanun dua perkataan yang takkan boleh dipisahkan. Tiada gunalah nama Lanun, jika tidak pandai menjaga diri di tengah laut. Tak gitu?

"Kejap lagi bila hujan dah reda, kami pergilah cari abang. Odu tak perlu susah hati." Ujar Rajuna. Hujan diliuar pun nampak semakin perlahan. Tak lama lagi berhentilah tu.

"Siapa sahaja yang takkan risau? Lanun tu Odu sudah anggap seperti cucu sendiri. Sama juga dengan Husna. Ya Allah, semoga mereka berdua selamat sija ditengah laut itu. Janganlah ada apa-apa benda buruk yang terjadi." Ucap Odu, malah berdoa kepada yang Maha Esa agar melindungi dua nyawa itu daripada bahaya yang mendatang. Moga-moga Tuhan menjaga mereka daripada malapetaka di lautan sana.

"Hujan pun nampak dah mula perlahan." Tegur Ratna tatkala anak mata beralih ke arah jendela yang terbuka.

Arjuna angguk kepala. Matanya turut melihat ke arah yang sama.

"Itulah, rasanya abang boleh hidupkan enjin bot dahulu sementara tunggu hujan betul-betul reda." Cadang Arjuna. Bila hujan dah berhenti nanti, maka mereka akan terus bertolak turun ke laut mencari bot si Lanun.

Ratna dan Rajuna mengangguk kepala tanda menyokong.  Idea baik juga itu.

"Biar Rajuna pergi ambil pakaian abang.  Manalah tahu dia perlukan nanti." Kata Rajuna, usai mengurut bahu Odu, dia langsung berdiri. Tak tunggu lama, terus Rajuna keluar daripada rumah. Berlari meredah rintik-rintik hujan yang tak lebat mana menuju ke rumah Lanun.

"Abang pergi hidupkan enjin bot dulu. Jaga Odu!" Pamit Arjuna, dia mengarah sekali lalu sebelum berlalu pergi. Meninggalkan Ratna untuk menemani Odu sementara mereka berdua turun ke laut.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro