69

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                  DAHI mendarat ke cermin, sengaja Husna minta tempat duduk berdekatan dengan tingkap. Mungkin ini akan jadi kali pertama dan terakhir dia jejak ke tanah Sabah. Jadi dia mahu tatap pemandangan disini puas-puas. Namun, semakin lama dia termenung melihat pekerja-pekerja yang gigih mengangkat barangan penumpang masuk ke dalam kapal terbang, semakin berat hatinya mahu pergi.

Masih ingat lagi, dialah orang yang paling tak sabar balik ke darat sewaktu diheret oleh Lanun ke kampung tersorok itu. Tetapi sekarang, kenapa kampung itu yang paling dirindukan saat ini? Orang-orangnya yang baik hati, budaya dan adat yang terus-terusan buat dia jatuh cinta.

Dan Lanun...

Bagaimana dengan keadaannya sekarang?

Tiba-tiba Husna rasakan ruang kosong disebelahnya diduduki seseorang. Sekilas dia menoleh. Nyatanya Datin Khadijah yang mengisi ruang itu. Anak mata menjuling penuh meluat sebelum kembali berpaling ke luar cermin. Kalau boleh, nak dijauhkan sekali jarak mereka.

"Siapalah lelaki yang malang sangat selamatkan kau tu ya?" Suara Datin Khadijah menyapa telinga. Tidak kuat. Cukup untuk mereka berdua sahaja yang mendengar.

Berdesing telinga Husna mendengar. Namun, dia cuba sabarkan hati dek kerana mereka berada di dalam kapal terbang. Ada ramai penumpang disekelilingnya.

Kemudian, Datin Khadijah melepaskan satu nafas. "Aku ingatkan kau akan mati bila kena culik dengan lanun-lanun tu. Tapi tak sangka, ada juga yang sanggup pertaruhkan nyawa untuk perempuan macam kau. Malang sekali..."

Sekonyong-konyong bibirnya tersenyum sumbing. Penuh mengejek.

"Dengar cerita lelaki tu kurang banyak darah. Entah masih hidup atau dah mati. Tapi kalau dia hidup pun, macamlah kau boleh bersama dia." Sinis Datin Khadijah.

Husna pejam mata sesaat. Jenuh mengumpul sabar daripada tadi. Tanpa sedar, kedua-dua belah tangannya sudah mengepal geram.

"Lebih baik kau tutup mulut tu, sebelum aku tarik bibir kau seperti mana aku tarik sanggul kau semalam." Husna mengancing gigi. Memberi amaran. Dan Datin Khadijah sendiri tahu, dia tidak pernah bermain dengan amarannya. Jika itu yang dia cakap, maka itulah yang dia akan buat. Tak pedulikan suasana kena ataupun tak kena.

Malahan Datin Khadijah menjuih bibir. Ada gelak tawa kecil menampar telinga Husna.

"Heh, macamlah kau berani buat disini."
Ejeknya. Ada gentar yang disembunyikan, namun dia tetap ingin menunjukkan lagak berani di hadapan Husna.

"Kenapa? Kau nak cuba ke?" Soal Husna dengan rasa tercabar di dada. Dia menoleh memandang Datin Khadijah disisi, bersama cerlungan tajam. Dalam tak sedar, tangan yang berada dibawah sudah menggigil mahu menarik mulut jahat itu.

Bahkan, orang tua itu juga membalas renungannya dengan begitu angkuh. Ada senyuman sinis beraja dibibirnya. Seakan hendak mencabar Husna.

"Buatlah, tapi jangan ingat aku tak boleh balas semula perbuatan kau. Tak dapat buat kau merana, buat orang sekeliling kau merana pun dah cukup. Macam lelaki kampung tu." Ugutnya.

Semerta, tindakan yang terlintas difikiran Husna lebur begitu sahaja. Matanya terbuka luas. Dia akui, dia kalah.

Menyedari riak wajah Husna berubah kelu, bibir Datin Khadijah menyenget. 

"Diamkan mulut kau tentang isu di pulau atau benda ni akan jadi lebih teruk."dia bersuara lagi. Mengambil kesempatan mengugut Husna dengan kelemahannya sekarang.

"Kau sendiri tahu apa yang aku boleh buatkan? Sampai sahaja di Kuala Lumpur nanti, aku nak kau teruskan kehidupan seperti biasa. Jangan sesekali berani-berani beritahu Idris yang aku tolak kau. Ingat, kau tiada bukti. Jadi aku boleh hasut Idris yang kau sengaja reka-reka cerita. Sia-sia sahaja jika kau beritahu dia nanti."

Husna ketap bibir. Berderau darahnya saat ini. Panas.

"Tambah pula, ayah kau tu gila cintakan aku lebih daripada arwah mak kau. Jadi bermimpi sajalah untuk buat Idris ceraikan aku."

"Kau..." Nada suara Husna kedengaran bergetar menahan geram. Dia mahu menjerit, memaki dan jerkah di hadapan orang tua ini. Akan tetapi, kehadiran Dato Idris membatalkan niatnya serta-merta. 

"Dijah, kenapa awak duduk di situ? Bukan ke awak nak tempat duduk disebelah abang?" Tegur Dato Idris. 

Sempat Datin Khadijah melemparkan senyuman mengejek ke arah Husna sebelum berpaling ke tepi memandang suaminya. Dan-dan dia menyengih sambil bangun daripada tempat duduk itu.

"Sajalah Dijah nak cakap sedikit dengan Husna. Nak minta maaf pasal semalam. Yalah, diakan baru lepas kena culik. Fikiran pun masih kusut. Dijah tak patut buat dia tertekan waktu itu." Ujarnya dengan nada suara lembut.

Husna mendengus sebelum berpaling. Tubuh dipeluk. Benci sungguh dia mendengar suara acah-acah ayu itu.  Hendak muntah hijau pun ada!

Minta maaf konon...

"Kenapa pula Dijah yang kena minta maaf? Sepatutnya Husna. Dia yang tarik rambut awak. Tak kisahlah tertekan atau tak, awak mak dia. Dia tak boleh buat macam itu. Husna..." Baru sahaja Dato Idris ingin menyuruh Husna meminta maaf kepada isterinya atas perbuatan semalam, suara Datin Khadijah terlebih dahulu memintas.

Semerta mengalihkan perhatian suaminya.

"Abang, Dijah tak ambil hati pun tentang tu. Dia tak perlu minta maaf sebab Dijah awal-awal lagi dah maafkan dia."

Husna berdecik penuh sinis. Tak ingin langsung kata maaf daripada perempuan tua itu! Menyampah!

Kemudian, kedengaran suara Dato Idris mengeluh. Berat.

"Awak ni, manjakan sangat si Husna. Biarlah dia pula yang minta maaf pada awak."

"Ish, tak mengapalah. Jom kita ke tempat duduk. Kejap lagi dah nak berlepas."Ajak Datin Khadijah, lantas lengan kiri suaminya terus dipaut manja. Menarik dia sama-sama menuju ke tempat duduk di bahagian hadapan Husna.

Husna jeling menyampah. Ish, rasa nak ketuk sahaja kepala perempuan tua itu daripada belakang. Mujur sahaja ada penumpang lain yang sudah melabuh punggung di ruang kosong sebelahnya. Tak jadi nak teruskan.

Tunggulah, aku akan cari cara untuk dapatkan bukti tu! Desis Husna di dalam hati.









                 ARJUNA terus mengatur langkah menuju ke bilik wad kelas pertama. Jauh sedikit daripada kaunter jururawat, bahkan terselindung daripada pandangan luar. Tidak semua orang diizinkan masuk sesuka hati, hanya ahli keluarga sahaja yang dibenarkan. Sampai sahaja di hadapan bilik itu, langsung pintu ditolak.

Arjuna menapak masuk. Keningnya spontan terangkat.  Agak terkejut melihat Tan Sri Raqib masih duduk di sebelah katil pesakit. Tak tunggu lama, dia terus menghampiri hujung katil.

"Papa tak balik ke resort?" Tegur Arjuna.  Tertanya-tanya siapa yang menguruskan resort jika papanya berada di sini semalaman.

Kemudian, Tan Sri Raqib menggeleng perlahan. Matanya masih merenung anak sulungnya yang terbaring di atas katil, dalam keadaan kepala dan tubuhnya yang berbalut. Lebam yang masih lagi berwarna ungu disekitar wajah, ada luka kering dibibir dan ditubuh yang terselindung disebalik baju pesakit.

Wajah Raf sungguh pucat tika ini. Sungguh, dia tidak pernah lihat anaknya ditimpa kemalangan seteruk ini. Hampir gugur jantungnya apabila pihak polis memberitahu Raf dimasukkan ke wad kecemasan.  Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana gelisah dan takutnya dia pada waktu itu.

Tambah pula doktor beritahu bahawa Raf kekurangan darah. Lagilah dia risau. Mujur Arjuna muncul, sanggup menderma darah buat abangnya.

Tan Sri Raqib mengeluh kecil. "Arjuna, nanti tolong beritahu adik-adik kamu. Suruhlah Ratna atau Rajuna jagakan resort di pulau itu sekejap. Papa nak jaga Raf disini sampai dia sedar."

"Boleh saja kalau itu yang papa nak, tapi... Juna boleh sahaja jaga abang dekat sini. Papa baliklah berehat." Ujar Arjuna. Bukannya apa, dia kasihan lihat Tan Sri Raqib berjaga disepanjang malam. Mata pun dah mula lebam.

Namun, Tan Sri cuma diam seolah-olah tidak mendengar suruhan Arjuna yang menyuruhnya pulang. Masih kekal duduk di tepi katil. Menatap wajah pucat anak sulungnya tanpa rasa jemu. Dia mahu jadi orang pertama yang melihat Raf buka mata.

"Abang kamu ni dah banyak sangat berubah sejak kematian arwah mama. Kalau dulu dia pentingkan harta, sekarang dia buang semua harta. Kalau dulu dia tak ambil kisah tentang sesiapa, sekarang dialah yang paling kuat ambil berat tentang orang lain. Tapi papa tak sangka, dia punya ambil berat tu sampai sanggup letakkan nyawa sendiri." Ujarnya.

Arjuna cuma diam mendengar. Perlahan dia menarik kerusi di sebelah Tan Sri Raqib lalu melabuh punggung disitu.

"Papa tahu dia dah serik untuk kehilangan orang yang dia sayang. Tapi dia tak terfikir ke kalau papa akan kehilangan anak juga? Raf... Raf... kenapa perangai yang satu itu sahaja yang tak pernah berubah dalam hidup kamu? Suka sangat pentingkan diri." Sambung Tan Sri Raqib.  Sayu pandangannya menatap Raf yang masih tidak sedarkan diri.

"Tapi kalau abang tak buat semua ni, kemungkinan anak Dato Idris yang jadi mangsa. Kalau Arjuna tahu orang tersayang dalam bahaya pun, tak mungkin Juna biarkan aje benda tu berlaku." Sampuk Arjuna. Dia menyokong tindakan abangnya. Cuma... dia tak sangka, tindakan Raf melebihi apa yang dia fikirkan.

"Papa tahu, papa pun tidaklah salahkan tindakan Raf. Tapi papa kesal... kesal sebab Dato Idris sedikit pun tidak jenguk dia dan ucap terima kasih. Hanya disebabkan dia ingat abang kamu ni lelaki kampung. Tapi apa bezanya lelaki kampung atau bandar sekalipun? Manusia tetap manusia."

"Itulah. Juna pun terkejut masa dia tampar abang dekat kampung itu hari. Papa patut putuskan sahaja kawan dengan dia! Sesuka hati hina abang..." Rungut Arjuna. Jelas tidak puas hati. Dia yang lihat pun jadi geram. Entah apa pula perasaan abangnya.

Namun, Tan Sri Raqib menggeleng tidak setuju.  "Tak boleh. Kalau papa putuskan kawan. Macam mana dengan abang kamu? Dia sukakan Husna. Kalau hubungan kawan diantara papa dan Dato Idris terputus, sah-sah dia takkan biarkan Raf kahwin dengan anak dia."

Arjuna terdiam. Ada betulnya juga kata papa.

"Mungkin ada sebab juga kenapa Raf tak nak terus mengaku pada Dato Idris yang dia anak papa. Tunggu sajalah sampai dia sedar dan uruskan sendiri." Ujar Tan Sri Raqib. 

Tatkala Arjuna sekadar mengangguk kepala. Abang lebih tahu apa yang abang hendak lakukan. Jadi tunggu dan lihat sahaja selepas ini.

Buat sejenak, suasana di dalam bilik menjadi sunyi apabila dua-dua mendiamkan diri.

"Kamu tak pergi balai ke uruskan kes si Mondu tu? Bukan polis selalu sibuk ke?" Soal Tan Sri Raqib, mula mengubah topik kepada Arjuna pula. Dia menoleh ke tepi, memandang Arjuna yang mula gelabah memerhati sekeliling apabila dia menyebut perkataan polis.

Fuh, nasib baik tiada orang!

"Ish, papa ni... janganlah cakap kuat-kuat. Nanti kalau orang dengar macam mana?" Herdik Arjuna, perlahan.

"Lah, inikan bilik VVIP? Takkan ada sesiapa melainkan keluarga sahaja. Tak ada siapa pun akan tahu kamu polis undercover yang jaga sempadan pulau semporna sana."

"Syhhh!"

Tan Sri Raqib pantas menekup mulut. Tak sedar pula terlepas cakap. Kemudian, Arjuna mengeluh. Dia mengatup mata sesaat. Papa ni, lagi dilarang lagi hendak disebut.

"Kejap lagi Juna balik ke unit siasatan uruskan kes Mondu. Sajalah datang sini melawat abang sekejap."

"Ouh..." kepala Tan Sri Raqib terangguk-angguk faham. Ada sengihan dibibir apabila melihat muka Arjuna yang tahan geram apabila dia tidak sengaja bongkarkan identitinya. Alah, bukannya dia pergi hebohkan satu hospital pun.

"Kamu agak-agak, berat tak hukuman yang Mondu akan kena nanti?" Soalnya lagi.

"Ada kemungkinan dia akan ke tali gantung. Sebab kes si Mondu itu bukan sahaja culik dan hampir bunuh abang, tapi ada aktiviti haram lain yang dia buat. Dan hukumannya berat. Seludup senjata haram, dadah, jual perempuan, rogol dan seksa. Bahkan ada beberapa mayat perempuan yang pihak polis jumpa dalam gua. Tak sesenang itu Mondu boleh terlepas."

"Baguslah jika dia kena hukuman yang sepatutnya. Tak sia-sialah juga pengorbanan abang kamu melawan si Mondu tu." Balas Tan Sri Raqib. 

Arjuna sekadar mengangguk kepala. Sekejap dia mendongak memandang jam yang berada di dinding. Cukuplah sekejap sahaja dia berada disini. Lantas, Arjuna bangun daripada tempat duduk.

"Juna nak balik ke kampung tu sekejap. Hendak suruh si Rajuna jagakan Resort. Betul ni papa yang nak jaga Raf? Tak nak balik untuk rehat?" Dia menyoal untuk sekian kalinya. Sekadar mahu memastikan yang papa benar-benar mahu tinggal disini. Manalah tahu jika dia hendak ubah fikiran.

"Iya, papa nak stay dekat sini."

"Kalau macam itu nanti Juna bawakan pakaian papa." Katanya. Usai menyalami tangan Tan Sri Raqib, lantas dia berlalu keluar daripada bilik itu.

Kini, cuma Tan Sri Raqib sahaja yang tinggal. Bertemankan Raf yang masih pejam mata serupa patung tak bernyawa. Sunyi. Sehinggakan bunyi jarum berdetik kedengaran perlahan ditelinga. Bosan. Lantas Tan Sri Raqib menongkat dagu di atas katil. Memerhati wajah pucat itu entah kali berapa.

"Haihlah Raf... bilalah kamu nak buka mata ni? Papa ingat, papa dulu yang akan baring dekat atas katil hospital.  Rupa-rupanya kamu dulu.  Betullah orang kata, sakit tak kira usia tua atau muda." Dia bermonolog sendirian dengan kepala tergeleng-geleng. 

Kemudian Tan Sri Raqib mengeluh. Tangan dijatuhkan ke bawah. Tubuh bersandar pada kerusi pula. Kepala menunduk.

"Kamu tu dahlah baru sahaja bagi papa harapan bakal terima menantu. Tahu-tahu kamu pula yang tak sedarkan diri daripada semalam. Kalau begini gayanya, bila kamu nak kahwin? Husna tu siap sanggup tunggu kamu lagi tahu?"

Tiada respon.

"Kamu tak nak kahwin ke?" Soal Tan Sri Raqib. Macamlah Raf akan jawab. Dia pun tak sabar mahu lihat anak sulungnya bahagia dan ada keluarga sendiri. Tapi entahlah sempat atau tidak untuk dia lihat semua itu.

Suasana di dalam bilik kembali sepi. Jarang sekali dia merasa sunyi seperti ini. Baru semalam Raf tidak sedarkan diri, dia sudah rindu mahu dengar suara anak sulungnya. Cepatlah buka mata Raf, papa sentiasa sabar menunggu.

Tak sabar untuk lihat kamu mulakan hidup baru. 

Tak sabar untuk lihat kamu bahagia.

Dan, tak sabar untuk pujuk kamu ambil alih resort juga.

Cepatlah sedarkan diri. Papa tunggu.

Dan detik demi detik berlalu, kesunyian di dalam bilik terpecah juga. Telinga Tan Sri Raqib sayup-sayup menangkap suara itu.

"Raf dah janji dengan dia, Raf akan halalkan dia..."

Tersentak. Terus terbangun Tan Sri Raqib daripada kerusi. Mata membulat terkejut. Seraya tangan naik menekup mulut yang terlongo. Terkesima dia dibuatnya apabila menatap sepasang mata biru dan hazel yang merenungnya juga.

Ya Allah!

Dia sudah sedar.

"Doktor!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro