76

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                   NAK ketuk pintu, tapi tak jadi. Tak tahu kenapa dia begitu gementar sangat saat ini. Aduh, apa ayat yang perlu dia cakap bila berhadapan dengan bos baru itu nanti? Haruskah dia masuk dan terus minta maaf sahaja walau bukan salah sendiri? Ha, lagi cepat dia mengaku salah maka lagi cepat juga dia boleh keluar.

Husna angguk kepala penuh keyakinan.  Masuk dan terus mengaku salah. Semat di kepala. Satu hembusan nafas dilepaskan sebelum pintu diketuk beberapa kali. Husna menunggu sekejap. Namun tiada sebarang arahan untuk masuk kedengaran. 

Tak mengapakah jika dia terus masuk tanpa sebarang keizinan?

Perlahan-lahan tombol pintu dipulas lalu ditolak sedikit. Kepala dijenguk ke dalam bilik kerja yang luas itu.  Meja kerja kelihatan kosong tiada siapa yang duduk.

"Tuan Andikha?" Anak mata Husna mengerling ke sekeliling bilik.

"Dekat sini!" Garau suara itu menyahut.

Terus kepala Husna menoleh ke arah bilik rehat di sebelah kanan, pintunya terbuka. Bos ada di dalam bilik itu. Husna gigit bawah bibir, makin berdebar jantungnya saat mula menapak masuk ke dalam bilik kerja bosnya.

Sengaja Husna melambatkan langkah, agar lama sedikit perjalanan menuju ke bilik itu. Padahal jarak tak jauh mana pun, tahu-tahu dia sudah berdiri tercegat ditengah-tengah ruang pintu.

Hendak terjojol keluar biji mata Husna tatkala melihat bilik yang kelihatan kemas beberapa minit tadi, kini berselerak serupa perompak masuk rumah. Buku-buku yang tersusun elok di almari separuhnya bersepah di lantai, kain selimut pula berkedut, serupa ada seseorang yang melompat-lompat di atasnya, dan bahagian meja kerja pula...

Memang senget-benget.

Husna pejam mata sesaat. Kerja siapalah ni? Kenapa dia yang harus tanggung salah? Memang patutlah Cik Suria cakap bos nampak nak mengamuk.

"Tuan, saya boleh explain..." Husna mula membuka suara, bergetar dek kerana takut. Melihat lelaki memakai kot hitam yang berdiri membelakanginya mula tunduk mengutip satu demi satu buku, Husna sudah tak keruan. Patutnya dia yang buat kerja itu.

Bahkan, lelaki itu langsung tak bersuara sejak tadi. Ingatkan, bila dia masuk ke dalam bilik ini akan terus dijerkah. Walaupun dia tak nampak riak wajah bosnya tika ini, tapi dia tahu lelaki itu sedang menahan amarah. Siapa sahaja yang takkan marah kalau bilik ditinggalkan bersepah begini?

Tak mengapa Husna, mengaku sahaja semua ini salah kau dan bersihkan semula! Bisik Husna di dalam hati. Kepala diangguk sendiri.

"Sebenarnya saya tak tahu apa yang dah jadi dekat bilik ini, tapi walau bukan salah saya sekalipun... saya nak minta maaf. Saya baru aje kerja dekat sini tak sampai berapa minggu. Jadi saya harap tuan..."

"Tutup pintu." Suara garau itu memotong.  Masih tak toleh ke belakang.  Hanya tangan sahaja yang bergerak menunjuk ke arah pintu bilik yang ternganga luas.

GULP!

Husna telan air liur. Kesat. Ah, sudah... kenapa nak kena tutup pintu pula? Dia nak pukul aku ke? Tapi ada benda lain yang lebih menarik perhatian Husna. Kenapa suara lelaki itu macam...

Lanun?

Atau itu memang dia? Tapi jika benar dia Lanun sekalipun, mengapa lelaki itu melayaninya begini? Takkan lupa daratan pula bila pangkat dah naik? Ish, tiada masa dia hendak fikir sejauh itu sekarang. Perlahan Husna geleng kepala.

"Kenapa nak tutup pintu? Tuan boleh cakap dengan saya macam sekarang."  Hendak diketuk kepala sendiri pun ada. Bagaimana ayat itu boleh terpacul keluar daripada bibirnya sendiri?

"Saya bos ke awak bos sekarang ni?" Soalnya, jelas tidak puas hati apabila Husna berani melawan arahannya.

Husna menyengih nampak gigi. Dahulu mungkin dia pernah menjadi bos, tetapi tidak lagi sekarang. Itu yang terbawa-bawa tu...

"Tuan yang bos. Tapi..."

"Jadi tutup pintu." Tak sempat Husna habis cakap lagi, encik bos kerek itu sudah memotong. Keras. Seakan satu arahan yang terselit amaran.

Husna angguk perlahan. Dia tak mahu melawan bila dah disuruh dua kali.

"Ba... Baik, Tuan." Husna akhirnya akur. Lantas dia masuk sedikit ke dalam. Pintu bilik ditutup. Kini cuma dia dan lelaki itu sahaja berada di sini. Suasananya usah cakaplah, memang canggung sungguh!

Dua-dua membisu buat beberapa detik.  Sehingga bunyi hon daripada bawah dapat didengar daripada tingkat 60 ini. Memang sunyi betul.

Tatkala Husna hanya berdiri tercegat serupa patung, langsung tak berkutik walau sedikit. Cuma memerhati si bos yang sedang menyusun buku-buku yang dikutip tadi ke almari semula. Setelah selesai, barulah dia toleh belakang.

Semerta Husna terkesima apabila mata mereka saling bertembung. Terpukau sejenak melihat anak mata hazel dan biru yang sedang merenung tajam kearahnya.

Sah, dia ini memang lanun!

"Yang mata awak terbeliak macam baru nampak hantu tu dah kenapa?" Tegurnya.

Terhinjut bahu Husna akibat terkejut. Tak sedar dia mengelamun sekejap tadi. Sehinggakan lupa apa tujuan sebenar dia ke sini. Dengan pantas Husna geleng kepala.

"Maaf, Tuan. Tapi boleh tak kalau saya nak tanya satu soalan?" Tanya Husna, minta izin dahulu. Karang kalau terus tanya, dikatakan tiada adab pula dengan orang yang lebih berpangkat besar.

Wajah lelaki itu masih sama. Serius.

"Hmm, tanyalah." Acuh tak acuh sahaja dia membalas.

Husna tersenyum bersama pandangan kecil merenung lelaki itu. Ceh, dia tahu Lanun sedang berlakon serupa tidak mengenalinya. Akan tetapi malang sekali, dia bukan budak kecil yang mudah tertipu.

Cukuplah Lanun, berhenti kenakan saya lagi! Semuanya dah kantoi. Bibir Husna menyenget. Sinis.

"Awak sengaja nak kenakan saya, kan? Cukuplah Lanun, awak fikir saya budak kecil ke?"

Pap!

Sekali lagi bahu Husna terhinjut tatkala lelaki itu menghentak tangannya ke almari. Bergegar buku yang tersusun di rak itu. Jelas sekali kuat.

Husna tergamam. Alamak, dia salah teka ke?

"Siapa Lanun awak? Pakaian saya ni ada nampak macam lanun ke? Saya Tuan Andikha Rafael, celah mana nampak macam lanun? Awak jangan nak main-main dengan saya sekarang ni, saya masih lagi marah tentang bilik ni!" Herdiknya. Muka jelas sedang tahan geram.

Husna diam. Kepala tunduk menekur ke bawah seperti seorang pesalah.  Kemudian, kedengaran lelaki itu mendengus nafasnya kasar. 

"Explain pada saya sekarang, macam mana bilik ni boleh bersepah macam ini?" Arahnya. Nada turun sedikit, namun masih kekal dengan suars dingin dan serius. Dia berdiri tegak sambil tangan memeluk tubuh. Sepasang mata biru dan hazel itu tak lari daripada merenung Husna yang masih menundukkan wajah.

Entah mengapa Husna jadi tak keruan saat lelaki itu terus-terusan menatapnya. Hendak susun ayat di dalam kepala pun jadi terganggu.

"Saya tak tahu. Saya cuma bersihkan lantai sahaja. Semuanya kemas sebelum saya tinggalkan bilik ini. Atau mungkin Tuan boleh tengok CCTV untuk tahu siapa yang buat." Cadang Husna. Hanya itu sahaja bukti kukuh yang dia ada. Lagipun, bilik ini nampak mewah. Mustahil jika tiada CCTV.

"Ini bilik privasi. Awak ingat ada CCTV ke? Kalau saya nak tukar pakaian, tak ke percuma sahaja sekuriti tu tengok?"

Husna cebir bibir. Dia mengangkat wajah memandang lelaki itu.

"Manalah saya tahu Tuan tukar pakaian dalam bilik ni, sayakan baru kerja." Omelnya.

"Menjawab!" Tekan lelaki itu.

Husna kembali menekur ke bawah. Memanglah dia menjawab, kalau diam nanti dipersoal pula kenapa asyik membisu?

Lelaki itu mengeluh lagi. Kali ini sambil meraup rambut putih ke belakang dengan riak wajah garang.

"Cik Suria ada bagitahu tak kalau bilik ni bersepah, pekerja boleh dikenakan denda?"

Tersentak Husna mendengarnya. Terus kepala melangut memandang lelaki yang lebih tinggi daripadanya itu. Denda? Melibatkan duitkah? Automatik Husna jadi gelabah.

"Denda? Alamak, Tuan... janganlah macam ini." Keluh Husna. Siap menapak beberapa langkah mendekati lelaki itu ingin merayu. Namun, dia tetap dengan riak yang sama. Tiada perasaan. 

"Saya akan kemas balik bilik ni. Lebih kemas daripada Cik Suria kemas, janji jangan denda. Benda ni kecil aje. Tak perlulah besar-besarkan..."

Bibir lelaki itu menyenget.

Kening Husna berkerut. Sekejap. Mengapa lain macam sahaja lelaki itu tersenyum? Seram, tetapi yang peliknya hati ini cair dengan senyuman itu.

"Baru sekarang awak nak cakap macam itu? Malang sekali saya dah terfikir denda apa yang sesuai untuk orang macam awak. Jadi dah terlambat."

Husna mengeluh lagi. Aduh, kenapalah keras sangat hati bos baru ini nak maafkan dia?

"Saya tak ada duit. Tolonglah jangan denda saya. Saya baru aje lari daripada rumah ayah saya, malulah kalau saya patah balik hanya kerana nak pinjam duit. Tolonglah, Tuan..." Husna merayu lagi. Kali ini lebih panjang lebar. Siap menyatukan kedua-dua belah tangannya sambil diangkat dihadapan lelaki itu.

Namun, dia tersenyum penuh sinis. Kedua-dua belah tangan yang memeluk tubuh dijatuhkan ke bawah. Kini, tangannya menyeluk ke dalam poket seluar, bersama langkah perlahan mendekati Husna.

Setapak demi setapak.

"Kalau saya nak denda juga, apa awak boleh buat?" Soal lelaki itu seakan-akan mahu mencabar.  Lirikan matanya buatkan Husna jadi makin tak senang duduk. Apatah lagi apabila jarak lelaki itu semakin hampir dengannya. Makin tak selesa.

Lantas Husna mengutuskan untuk berundur ke belakang juga.

"Sa... Saya tak ada duit, tolonglah percaya..."

"Siapa kata saya denda awak dengan duit?" Dia menyoal lagi.

Ah, tak kisahlah denda apa sekalipun.  Husna tetap tak mahu. Jika lelaki ini masih berkeras mahu mengenakan denda kepadanya, maka Husna tiada pilihan lain.

Bibir diketap. Husna beranikan diri membalas renungan lelaki itu.

"Kalau Tuan nak denda saya juga, saya nak berhenti kerja!" Keras Husna. Eh, dia pula yang ugut bos sendiri. Tanpa menunggu lama, Husna terus berpaling ke belakang. Tangan kanan sudah menyentuh tombol pintu, baru sahaja hendak ditarik tiba-tiba...

PAP!

Tangan lelaki itu sudah melekap ke pintu. Menghalangnya daripada melarikan diri. Husna tersentak. Laju pandangan menoleh ke sebelah kiri, membulat matanya tatkala menyedari jarak mereka yang terlalu hampir. Buatkan jantungnya semakin berantakan. Husna telan air liur.

Bau minyak wangi mahal yang dipakai lelaki itu melemahkan jiwa Husna. Bau laut yang sangat menenangkan.  Rasanya dia tahu jenama ini, Jo Malone, Wood sage and sea salt. Automatik dia teringatkan Pulau Semporna saat menghidunya. 

Perlahan Husna melangut memandang wajah lelaki itu, juga sedang merenungnya. Namun, pandangan tegang tadi berubah redup. Tiba-tiba bibir Husna terasa berat untuk dibuka saat ini.

"Selalu sangat macam ini..." Dia bersuara.

Kening Husna berkerut. Apa maksudnya?

"Boleh tak setiap kali aku nak cakap, dengar sampai habis dahulu?"

Husna terkedu. Mendengar perubahan nada suara lelaki itu terus sepasang keningnya terjongket ke atas. Terkesima. Kerinduan datang secara tiba-tiba.  Menerpa terus ke dalam hatinya tanpa sebarang isyarat. 

"Aku nak denda kau jadi isteri aku sahaja. Susah sangat ke kau nak terima?" Soalnya dengan sebelah kening dijongket. Senyuman yang jenuh ditahan daripada tadi akhirnya meletuskan tawa kecil. Melihat reaksi yang terpapar pada seraut wajah Husna buatkan hatinya tercuit rasa lucu. Wanita itu nampak bingung dan sesat dengan soalannya tadi.

Alahai, dia sengaja nak berlakon big bos di hadapan Husna. Hampir terkantoi, nasib baik dia pandai putar ayat. Tetapi dia tahu, walaupun dia cuba memperdayakan Husna, hati wanita itu tahu siapa dirinya.

Ah, tapi rancangannya tetap berjaya buatkan Husna kecut perut. Tak sia-sialah dia upah Mia untuk sepahkan bilik ini tadi.

"Lanun?" Husna menyoal, sekadar ingin memastikan apa yang dia lihat sekarang adalah benar-benar lelaki yang dia tunggu sebelum ini. Sungguh, walau baru beberapa minggu. Tapi rindu dihati terlalu berat untuk diungkapkan.

Bibir Raf mengulum senyuman melebar.  Kepala diangguk perlahan.

"Ya, koupusan..." sahutnya. Panggilan itu sudah menjadi kata kunci buat mereka untuk mengenali antara satu sama lain.

Mendengar panggilan itu disebut. Hatinya rasa tersentuh.  Lama dia tak dengar. Bila teringatkan kejadian buruk yang berlaku di Pulau Semporna tempoh hari, makin buatkan Husna terasa sebak. Rasa hendak nangis pun ada pabila bayangan Lanun dipukul dihadapannya kembali bermain di kepala. Dia ingat... panggilan itu takkan terdengar lagi ditelinganya namun dia silap. Dia masih diberi peluang.

Bersyukur sangat.

Akan tetapi perasaan itu cumalah beberapa saat sebelum riak wajah bertukar geram. Bibir Husna mengetap. Matanya mencerlung begitu tajam.

"Saya dah agak!" Laju tangan Husna menampar lengan Raf. Dia mengaduh sakit, tapi ada terselit tawa dihujungnya. Rasa tak cukup pula kalau sekali tampar sahaja. Masih geram ditipu lakonan Raf tadi. Mati-mati ingatkan dia akan didenda teruk-teruk.

"Kenapa awak buat-buat tak kenal saya tadi? Awak buat saya fikir awak hilang ingatan tahu tak?! Dan kenapa awak nak marah saya? Sudahlah muka awak bila marah menakutkan saya!" Herdik Husna, panjang bebelannya bersama tangan bergerak menampar lengan sasa lelaki itu berkali-kali.  Kiri dan kanan, kedua-duanya sekali kena. Puas hati!

Muka Raf berkerut menahan sakit. Pukulan Husna tidaklah kuat mana. Tapi dek kerana kesan pukulan di badan masih lagi tersisa sedikit rasa sakit, buatkan lengannya lagi bertambah ngilu.

"Kesan sakit tu masih belum hilang sepenuhnya. Kau tak patut tampar di situ..." Adu Raf. Dia menyentuh lengan kanannya.

Terus riak wajah Husna berubah serba-salah. Spontan tangan naik menekup mulut.

"Oh, ya ke... saya minta maaf. Saya ingatkan awak dah okay sepenuhnya." Bawah bibir digigit. Tangan Husna teragak-agak ingin menyentuh lengan Raf yang ditampar tadi. Saat tersedar batasnya, maka tangan itu hanya bergerak ke belakang kepala. Menggosok kepala sendiri dengan bibir tersengih-sengih. 

"Tapi salah awak juga kerana berlakon macam itu. Jadi padanlah awak sakit sekali lagi!" Marah Husna. Mahu juga dia menang.

Sedangkan Raf anggukkan sahaja kepala. Bibirnya menguntum senyuman.  Bila rasa sakit reda, dia menjatuhkan tangan semula.

"Yalah, aku yang salah." Raf mengalah. Memang dah jadi kebiasaan dia selalu kalah bila bersama Husna.

Buat seketika suasana di dalam bilik menjadi sunyi. Mata Husna meliar ke seluruh bilik rehat yang luas ini. Baru dia tahu, siapa si Andikha Rafael yang disebut-sebut pada setiap sijil yang tergantung di dinding itu.

"Jadi, apa semua ni?" Tanya Husna, dia memandang Raf sambil tubuh dipeluk. Mahukan penjelasan.

Malahan kening Raf berkerut kerana kurang faham.

"Apa yang semua ni?"

"Semua ni. Tuan Andikha Rafael, Ocean Empire dan Lanun." Ujar Husna.

"Oh..." kepala Raf terangguk-angguk apabila mulai faham akan maksud Husna. Dia berdecik kecil.

"Sejujurnya aku malas nak mengaku siapa diri aku. Aku tak mahu gunakan kekayaan untuk dapatkan kau. Malah, aku pernah terfikir untuk rahsiakan semua ni sampai bila-bila. Sebab aku terlalu selesa dengan kehidupan yang sebelum ini. Tapi bila berjumpa dengan kau, aku sedar yang aku tak boleh teruskan kehidupan yang dahulu. Aku kena paksakan diri, untuk dapatkan sesuatu yang bermakna." Tutur Raf.

Kemudian dia menghela nafas kecil sebelum sebelah tangan naik mendabit dada. Ingin perkenalkan dirinya yang baru.

"Jadi, inilah aku bila di darat. Andikha Rafael bin Raqib Saifullah, anak sulung kepada empat orang adik-beradik. Dan pemegang seluruh cawangan Ocean Empire." Luah Raf, tiada selindung lagi. Husna patut tahu semuanya.

Husna tahan bibirnya daripada tersenyum. Dia tak sangka nama Lanun sesedap itu apabila didengar.

"Jadi sekarang saya patut panggil awak Tuan Andikha atau Lanun?" Tanya Husna, sengaja mahu mengusik. Dia tahu, kalau panggil bosnya Lanun sudah tentu staff di sini terkejut beruk. Yalah, orang yang ada status besar. Tahu-tahu di pulau dia ada gelaran yang lain.

Raf tergelak kecil. Dia pun tak tahu. Tapi sejujurnya, dia lebih suka dengan panggilan Lanun.

"Mungkin aku patut ada gelaran baru?"

"Apa dia?" Husna menunggu jawapan.

Raf tersenyum penuh makna. Mata Husna ditatap dalam.

"Abang Lanun mungkin?" Jawabnya. Siap menekan perkataan abang. Dia tahu Husna faham akan maksudnya. Wanita itu turut tersenyum-senyum apabila mendengar gelaran baru itu. Tapi tak lama.

Riak wajah kembali bertukar keruh apabila teringatkan tentang Dato Idris. Bagaimana mereka mahu bersama jika hubungannya dengan Dato Idris tidak lagi baik seperti dahulu? Tambah pula, ayah memang tak sukakan Lanun sejak kali pertama berjumpa.

"Kenapa muka tiba-tiba masam?" Soal Raf, dia tunduk sedikit. Mengintai laman wajah Husna yang masih masam mencuka.

"Saya baru aje bergaduh dengan ayah beberapa minggu lalu. Semuanya sebab saya tak nak kahwin dengan pilihan dia.   Jadi saya tak rasa yang ayah akan restu, sebab dia akan tetap dengan keputusannya." Ujar Husna. Kepalanya menunduk ke bawah. Jelas kecewa dengan sikap bapa sendiri.

Raf terdiam sejenak. Namun apabila teringatkan sesuatu, tiba-tiba bibirnya meletuskan tawa. Buatkan kepala Husna terus terdongak memandangnya dengan muka tak puas hati.

"Kenapa awak gelak? Awak memang suka kalau saya kena kahwin paksa dengan lelaki lain?!" Suara Husna mula meninggi, geram. Mahu dicepuk kepala si Raf itu. Tak kiralah bos atau bukan. Tapi nasib baik Raf buka mulut dahulu.

"Aku tahu semua tu. Papa yang cerita. Jadi, aku ada buat perjanjian dengan papa dahulu sebelum datang ke sini." Ujar Raf, diperlahan sedikit ayat hujungnya seolah-olah itu rahsia antara mereka berdua. Namun, dahi Husba berlapis memikirkan maksud lelaki itu. Perjanjian apa pula yang mereka buat?

"Perjanjian apa?" Soal Husna.

Raf tersenyum senget. 

"Perjanjian tentang..."  Belum sempat Raf menghabiskan ayat, tiba-tiba pintu bilik itu ditolak oleh seseorang daripada luar.

Husna yang tak sempat mengelak, tak semena-mena tertolak ke hadapan.
Terdorong tubuhnya rapat kepada Raf, malah tangan lelaki itu juga erat memegang kedua-dua belah lengannya. Menahan diri dia daripada tersungkur jatuh ke bawah. Laju anak mata Husna naik merenung sepasang mata berbeza warna itu. Kedua-duanya tampak terkejut dengan apa yang baru berlaku. Pegun seketika dalam keadaan begitu.

"Apa Husna buat dalam bilik ni?" Tegur suara itu.

Semerta mengalihkan perhatian mereka berdua ke arah pintu. Terkejut apabila menyedari Tan Sri Raqib berdiri di situ, dengan pantas mereka menolak sesama sendiri menjauh. Husna ke sebelah kiri dan Raf ke sebelah kanan. Dah serupa askar bertemu ketuanya. Berdiri tegak, tak bersuara. Sempat mereka menjeling-jeling, memberi isyarat untuk siapa yang memulakan bicara terlebih dahulu.

Sekejap anak mata Tan Sri Raqib mengerling ke arah katil yang berselerak. Mata berkelip buat beberapa saat. Perlahan tangannya naik menunding ke arah katil itu.

"Kenapa katil tu..."

"Kami tak buat apa-apa!" Laju Husna memotong sebelum Tan Sri Raqib memikir yang bukan-bukan. 

Kemudian pandangan Tan Sri Raqib kembali kepada mereka berdua. Masih lagi dengan riak wajah pelik. Ada banyak persoalan yang bermain di fikiran sebenarnya. Tak lama selepas itu, Tan Sri Raqib melepaskan satu nafas. Kedua-dua belah tangannya naik mencekak pinggang.  Muka serius, memandang Husna dan Raf silih berganti.

"Kamu berdua... kemas bilik ni dan jumpa papa dekat luar."

"Ba... Baik, Tan Sri." Husna akur dengan arahan.

Tan Sri Raqib tidak balas apa-apa.  Terus keluar meninggalkan bilik rehat. Beri masa untuk mereka kemaskan bilik itu semula. Makin buatkan Husna diserang rasa takut. Apalah yang Tan Sri Raqib fikir tentang mereka berdua di dalam bilik ini. Mukanya sahaja sudah menyeramkan apabila ditatap.

Setelah kelibat Tan Sri Raqib menghilang, terus mereka berpaling memandang satu sama lain.

"Awaklah ni punya pasal! Kenapa awak sepahkah bilik ni serupa perompak pecah masuk?" Marah Husna dengan nada berbisik.

"Jangan risau. Papa tahu aku takkan buat benda bukan-bukan pada sesiapa. Kita kemas sahaja bilik ni." Kata Raf, begitu tenang serupa tiada apa-apa berlaku.

Ternganga mulut Husna mendengar.

"Macam mana awak tahu? Muka Tan Sri macam singa tengah lapar tadi!"

"Syhh, tolong aku kemas." cepat-cepat Raf menapak ke arah katil. Menegangkan semula kain selimut yang berkedut. Tidak mahu bazir masa,  lantas Husna pula mengutip bantal yang berada di lantai. Sama-sama mengemas bilik rehat itu seperti yang asal.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro