83

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hari berganti malam, usai membersihkan diri Raf melangkah keluar daripada bilik air dengan siap berpakaian selesa untuk tidur. Rambut putihnya yang masih basah dilap menggunakan kain tuala sambil kaki menapak ke arah katil King yang berada di tengah bilik. Melabuh punggung di situ.

Kain tuala dibiarkan tergantung di lehernya. Rambut pula masih serabai tetapi tetap nampak segak. Baru hendak melunjurkan kaki ke atas katil, Raf jeda seketika tatkala menyedari ada objek besar berada di bawah comforter tebal miliknya. Sesaat kening tebal Raf berkerut.

Apa benda pula tu? Hendak kata bantal panjangnya tidak juga kerana objek itu bergerak-gerak. Tanpa berfikir panjang, comforter itu terus di selak ke tepi.

Terkejut Raf dibuatnya apabila objek yang disangkakan bantal itu adalah Nathan. Sekejap sepasang anak mata biru dan hazelnya mengerling ke arah pintu bilik yang tertutup rapat. Bagaimana pula si Nathan boleh tersesat masuk ke dalam biliknya?

"Sejak bila pula kau masuk dalam bilik aku ni?" Soal Raf agak dingin. Bukan Nathanlah kalau suka terjah bilik orang sesuka hati. Namun riak wajah Nathan yang tampak cemberut menggamit perhatian Raf seketika. Selalu reaksi muka macam itu akan muncul bila Nathan merajuk dengan seseorang.

Haih, asalkan ada masalah aje lari ke biliknya. Perangai tak berubah-ubah!

Lantas, Nathan menukar posisi baring kepada duduk. Kedua belah tangannya memeluk tubuh dengan riak wajah yang masih sama.

"Masa kau mandi tadilah." Acuh tak acuh sahaja Nathan menjawab.

Kening Raf berkerut. Aik? Badmood betul Nathan malam ini.

"Apa lagi masalah kau ni? Asal kena marah aje masuk bilik abang. Macam budak-budaklah!" Herdik Raf.

Nathan mendengus tidak puas hati.

"Ini bukan soal kena marah. Tapi soal bakal kakak ipar aku."

"Husna?" Boleh lagi si Raf meneka. Siapa lagi yang akan jadi kakak ipar kepada Nathan kalau bukan Husna? Tiba-tiba otak jadi blur sekejap.

"Yalah! Siapa lagi? Aku tak sangka, diam-diam ubi berisi juga kau ni. Tak pernah terlintas dibenak fikiran aku yang calon pilihan kau tu anak Dato Idris! Ex crush aku pula tu! Patutlah masa dekat pulau haritu bukan main tak nak tolong cari Husna. Rupa-rupanya kau sorokkan dia dekat kampung!"

"Hei..." jari terlunjuk Raf naik menunding ke muka Nathan dengan muka tak beriak.

"Fikir elok sikit ek. Aku bukan saja-saja sorok Husna sebab nak pikat dia. Tapi demi keselamatan dia juga. Lagipun apa salahnya? Bukannya aku sorok girlfriend kau pun dekat sana!" Balas Raf. Tidak puas hati apabila Nathan tiba-tiba mahu memarahi dia malam ini.

Terkulat-kulat Nathan hendak bersuara apabila melihat muka abangnya sudah berubah serupa singa. Baru nak tunjuk lagak sedikit tadi. Terbatal terus niatnya.

"Me... memanglah. Tapi dalam banyak-banyak perempuan dekat kampung tu, kenapa Husna? Macam mana aku nak hadap ex crush sebagai kakak ipar? Sudahlah aku pernah luah I love you dekat dia." Rungut Nathan. Bibirnya mencebik sambil kepala menunduk bermain jari-jemarinya. Bila teringatkan balik kejadian itu, memang memalukan sungguh.

Raf mengecilkan mata. Semerta pandangan bertukar tajam.

"Cara kau bercakap ni... macam masih simpan perasaan lagi pada Husna pun ada. Kau masih sukakan dia ke?" Soal Raf, keras berserta amaran. Laju sahaja tangan kanannya bergerak mencengkam kolar baju Nathan. Menariknya mendekat. Hadap mukanya dahulu sebelum terfikir ke arah itu.

Pandangan Nathan berubah cuak, seolah-olah dia menuturkan ayat itu tanpa berfikir terlebih dahulu. Tak semena-mena si Raf hampir salah faham. Cepat-cepat Nathan menepuk-nepuk tangan abangnya meminta untuk dilepaskan. Hampir tercekik, mujur tak sampai 10 saat Raf melepaskan cengkaman itu semula.

Kus semangat!

Nathan menghembuskan nafas.

"Bu... bukan itu maksud aku. Relaxlah."

"Habis tu?" Laju Raf menyoal. Suara masih dingin. Mahukan penjelasan yang lebih memudahkan dia untuk faham.

"Aku cuma... tak sangka yang Husna itu adalah perempuan yang kau tunggu selama ni. Itu aje. Kalau aku tahu daripada awal, dah lama aku kawal perasaan aku sendiri daripada senang-senang jatuh cinta kepada dia. Sekarang, aku nak kena anggap dia sebagai kakak ipar pula. Tahu tak betapa janggalnya aku nak membayangi situasi itu nanti?"

"Sebab itu aje ke? Nathan kau tu dah besar tahu? Jadi dewasa sedikit boleh tak? Kau bukan umur 15 tahun lagi hendak ada perasaan macam itu. Ini kalau aku beritahu kepada Mia, dia boleh terasa hati tahu tak? Pasti dia fikir kau simpan perasaan dekat Husna lagi..."

"Ish, janganlah! Aku cuma nak mengadu aje. Kau tak tahu betapa susahnya kalau dia merajuk nanti!" Cantas Nathan, tahu pula cuak apabila Raf mula mengugut untuk beritahu kepada Mia. Yang kena pujuk itu dia juga nanti, bukannya Raf.

Manakala Raf boleh pula tersengih jahat.

"Tahu takut."

Nathan menjeling. Tahu nak kenakan orang sahaja, mentang-mentanglah dia dah nak kahwin! Bisik hati Nathan. Adakala rasa menyampah juga dengan perangai abangnya ini. Mahu dihempuk sahaja bantal ke muka Raf, tapi dia belum seberani itu lagi. Tak lama kemudian, riak wajahnya kembali berubah apabila terfikirkan sesuatu.

"Tapi..."

"Apa lagi?" Raf bersuara malas. Banyak pula masalah Nathan hari ini yang dia harus dengar.

"Tapi selepas ni mesti Husna tu akan buat kau fokus kepada dia aje, kan?" Perlahan Nathan bertanya. Kepala menunduk ke bawah. Malu. Entah kenapa dalam banyak-banyak soalan, soalan itu juga yang terpacul di bibir.

"Huh?" Raf tidak berapa faham. Baru bibirnya mahu terbuka, Nathan terlebih dahulu menyambung ayat.

"Kalau kau asyik fokus dengan Husna, macam mana dengan aku? Bilik siapa lagi aku nak terjah untuk mengadu nasib?" Luah Nathan, tiba-tiba rasa sebak pula. Sekarang, mungkin dia masih boleh berjumpa Raf pada bila-bila masa. Akan tetapi selepas abangnya bergelar suami kepada Husna nanti, sudah tentu masanya jadi lebih padat.

Sebelum ini, jika dia dimarahi, dibuli atau merajuk dengan papa. Pasti abangnya yang akan hulurkan telinga mendengar setiap rungutan remehnya. Malahan, adakala Raf juga memberi nasihat yang sangat berguna.

Namun, bagaimana pula dengan selepas ini? Siapa yang sudi mendengar rungutannya kalau bukan Raf?

Raf mengeluh kecil. Alahai Nathan ni...

"Kau tu dah besar, Nath. Sampai bila nak bermanja dengan abang? Mia ada, kan? Mengadulah pula dengan dia." Ujar Raf, lembut.

Nathan diam tidak membalas apa-apa. Bibir mencebik. Kedudukannya dah dicaras oleh Husna nampak gayanya.

"Ini lagi satu, macam mana kau boleh lepas masuk dalam rumah abang? Dah tiada rumah sendiri ke nak duduk?" Raf langsung menukar topik, daripada tadi asyik dibelenggu tanda tanya bagaimana Nathan boleh ada di sini. Padahal, Nathan juga ada rumah banglo. Tak jauh mana pun daripada sini. Kalau naik kereta, tidak sampai lima minit.

Nathan mengeluh sesaat. Itulah yang dia belum ceritakan lagi. Bahkan, dia masuk ke dalam bilik ini pun bukan sekadar mahu mengadu nasib. Tetapi mahu minta izin juga.

"Aku tertinggal kunci rumah dekat Penang. Bergegas datang ke sini sebab nak join rombongan meminang kaulah. Papa yang suruh aku tumpang rumah kau semalaman. Hotel dah penuh. Tak sempat nak minta izin tadi, sekarang baru sempat. Boleh tak?" Wajah Raf dipandang penuh minta simpati. Harap-haraplah muka seposen ini mampu melembutkan hati abangnya untuk beri dia keizinan tinggal di sini.

Kepala Raf mengangguk. Dia tidak kisah pun jika Nathan hendak menumpang di rumahnya. Lagipun, rumah ini milik semua orang. Semasa dia berada di pulau, rumah banglo tiga tingkat ini dijaga oleh pekerja-pekerja yang dipercayai. Tidak mahulah ditinggalkan tanpa tuan dan berusang. Sekali-sekala papa juga bermalam di sini.

"Hmm... ikut suka hati kaulah nak tidur mana pun." Acuh tak acuh sahaja Raf memberi keizinan. Dia pun sudah mengantuk sebenarnya. Kelopak mata yang terasa berat ditahan daripada tadi.

"Kalau macam tu, aku nak ambil satu bantal boleh? Nak buat jadi bantal peluk." Pinta Nathan. Dia menunding jari ke arah bantal-bantal tebal yang tersusun kemas di atas katil milik Raf.

Kemudian, Raf angguk kepala.

"Ambillah."

Nathan tersenyum gembira. Nasib baik dia bagi ambil satu! Terus anak matanya beralih melihat bantal-bantal yang berada di tepinya. Semua nampak sama warna dengan katil, iaitu berwarna kelabu. Tetapi ada satu sahaja yang berbeza. Warna biru bercorak bunga. Diletak ditengah-tengah.

Pelik. Sejak bila pula Raf suka bantal bercorak ni? Bunga pulak tu! Ini mesti ada orang yang beri sebagai hadiah. Nak tak nak, Raf harus terima juga. Bahkan bantal itu pun nampak kemas dan tak terusik sedikit pun. Kedut pun tiada. Jelas sekali abangnya tidak pernah menggunakan bantal itu sebagai lapik kepala.

"Aku ambil yang bunga-bunga ni ajelah. Macam kau tak guna aje..."

Meluas biji mata Raf tatkala tangan Nathan mula bergerak mencapai bantal birunya. Dengan pantas dia merampas bantal yang berada ditengah itu tarik ke dalam pelukan. Tak sempat hujung jari Nathan hendak mendarat. Akhirnya jeda di situ. Tidak berkutik.

Pandangan Nathan beralih ke arah Raf dengan riak wajah penuh tanda tanya. Mata berkelip-kelip.

Malah Raf pula berpaling muka ke lain.

"Ini aku punya. Ambil yang lain." Arahnya. Serius betul suara.

Kening Nathan berkerut dengan mulut terlongo.

"Sejak bila pula kau suka bantal corak bunga?" Soal Nathan serupa tak percaya. Adakala dia mengecilkan mata seolah-olah sedang mencari kejujuran pada seraut wajah abangnya. Hmm... nampak gelisah semasa hendak jawab. Bau-bau sedang menyembunyikan rahsia.

Kalau berkaitan bunga selalunya perempuan suka. Tidak lain tidak bukan, pasti bantal itu Husna yang beri sebagai hadiah.

"Husna yang bagi ek?"

"Mana ada! Aku beli dekat Semporna sebelum balik ke sini!" Laju sahaja Raf membidas tekaan Nathan.

Malahan Nathan tersenyum senget. Penuh sinis. Bibir Raf mungkin mampu untuk menipu, tetapi... bukan pada wajah. Lihat rona kemerahan-merahan yang semakin menebal di hidung dan pipi putih abangnya sahaja dia sudah dapat meneka jawapan.

Ceh! Dapat bantal pun dah nak jual mahal. Ejek Nathan di dalam hati.

"Yalah tu..."

"Ish, cepatlah ambil bantal yang kau nak! Selepas itu pergi ke bilik sebelah. Tidur sana!" Raf menghalau. Makin lama Nathan di dalam biliknya, makin sukar untuk dia kekal tenang.

Nathan mencebik bibir. Lantas bantal yang berada paling dekat di capai sebelum turun daripada birai katil.

"Nak pergilah ni..." Rungutnya. Dengan langkah malas Nathan menapak keluar daripada bilik itu. Pintu ditutup rapat.

Sebaik sahaja kelibat Nathan hilang disebalik pintu, barulah Raf dapat menghela nafas lega. Dada diurut perlahan. Sesak nafas dia dibuatnya saat cuba berbohong. Kalau tahu dek Nathan bantal ini pemberian Husna, mahunya diejek sebulan!

Konon hati abangnya sekeras-keras batu, tapi ada bantal kesayangan sendiri.

Kemudian, Raf tunduk memandang bantal yang dipegang. Adakala digosok-gosok sedikit bahagian yang berkedut agar menjadi rata semula. Nasib baik Nathan tak berjaya ambil yang ini. Kalau tidak, tak dapat tidur lena dia nanti.

"Noinipi oku, koupusan." Ucapnya pada bantal kesayangan itu. Bibir automatik tersenyum sendiri. Muka dibenam ke bantal saat pipinya mula berona merah menahan malu. Hati dirasuk bahagia yang tak terhingga.

"Pesan apa?"

Terhinjut bahu Raf tatkala pintu biliknya ditolak laju oleh Nathan. Cepat-cepat dia angkat wajah berpaling ke arah Nathan yang tercongok di situ sambil menayang senyuman mengejek kepadanya.

Raf ketap bibir. Geram. Ingatkan dah pergi ke bilik sebelah.

"Pergi tidurlah!"













PERGI ke dapur sudah. Ke ruang tamu juga sudah. Bilik ruang bacaan pun tiada. Daripada tadi dia mencari kelibat Dato Idris di dalam rumah namun tidak jumpa. Dan saat kaki melencong ke luar rumah, barulah Mak Timah lihat Dato Idris sedang duduk di beranda mengamati pemandangan malam di situ.

Lantas Mak Timah meneruskan langkah mendekati Dato Idris. Melihat mata orang tua itu terpejam seakan-akan sedang menenangkan diri dengan kesejukan angin di luar, rasa bersalah pula hendak menegur.

Lalu Mak Timah mengutuskan untuk berpatah balik masuk ke rumah, namun suara Dato Idris buatkan langkahnya kembali terpasung di tengah jalan.

"Mak Timah cari saya ke?" Tegurnya. Kelopak mata terbuka. Dato Idris menoleh ke sebelah, memandang Mak Timah yang berdiri kaku di situ. Dah lama menyedari kehadiran Mak Timah saat mendengar bunyi tapak kaki menghampiri tadi.

Mak Timah tersengih kekok. Perlahan dia kembali ke arah Dato Idris. Kemudian, kepala diangguk.

"Haah. Mak Timah ada benda sedikit nak bincang dengan Dato. Tapi... itupun kalau Dato tak sibuk?"

Hendak tergelak Dato Idris mendengarnya. "Mak Timah ada nampak saya bekerja ke sekarang? Tidak, kan? Duduklah."

Kerusi yang diperbuat daripada rotan itu ditarik, mempelawa Mak Timah untuk duduk di situ. Tidak banyak alasan, Mak Timah turutkan sahaja. Kedua-dua belah tangannya sedikit berpeluh. Agak gugup mahu membuka topik yang hendak dibicarakan.

"Mak Timah nak bincang tentang apa?" Tanya Dato Idris, sedia memasang telinga mendengar.

Mak Timah telan air liur sesaat. Masih lagi resah bercampur rasa bersalah. Tetapi apabila teringatkan cerita Raf, dia harus tetap kepada rancangan yang awal.

"Mak Timah nak cakap pasal kerja..."

"Kenapa? Gaji tak cukup ke?" Cantas Dato Idris. Ada risau pada nada suaranya. Manalah tahu selama Mak Timah kerja di sini, gajinya tidak sepadan dengan kerja yang dilakukan. Bahkan dia cuma ikut arahan isterinya sahaja. Iaitu bagi cukup-cukup sahaja pada Mak Timah. Tak perlu bayar lebih.

Dengan pantas Mak Timah geleng kepala menafikannya.

"Bukan tentang gaji, tapi..." Mak Timah gigit bawah bibir. Aduh, kenapa berat betul lidahnya mahu menyebut perkataan yang satu itu?

"Tapi apa?" Dato Idris masih lagi menanti sambungan.

"Tapi Mak Timah nak berhenti kerja." Ucap Mak Timah dengan nada terpaksa. Malah riak wajah Dato Idris juga kelihatan terkedu mendengarnya. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru menjengah ke telinga beberapa saat yang lalu.

Tak pernah terfikir dia selama ini Mak Timah akan berhenti berkhidmat di rumahnya. Inikan pula secara tiba-tiba tanpa sebab?

"Kenapa nak berhenti kerja? Mak Timah ada masalah ke?"

Mak Timah geleng kepala lagi.

"Bukan. Tapi Mak Timah nak kembali bekerja dengan majikan lama. Tuan Andikha minta Mak Timah jagakan rumah lama dia. Mak Timah tak sanggup nak tolak sebab terlalu banyak budi dia pada Mak Timah sebelum ini. Tapi... Dato juga sama. Cuma..."

"Saya faham."

Mak Timah terdiam sejenak. Kening berkerut memandang Dato Idris.

Ada keluhan berat dilepaskan. Bibirnya tersenyum pahit. Jika itulah permintaan Mak Timah, dia tiada kuasa untuk menghalang. Mungkin Mak Timah juga rindu untuk berkhidmat dengan majikan lamanya kembali.

"Dato tak kisah?"

"Siapa kata saya tak kisah? Tentulah saya kisah. Tapi siapa saya nak halang keputusan Mak Timah untuk bekerja di tempat lain, kan?" Ujar Dato Idris.

Mak Timah tersenyum lebar. Baguslah jika Dato Idris faham akan keputusannya. Tidak memaksa seperti majikan lain yang menyekat kebebasan pekerja.

"Terima kasih, Dato. Tapi... kalau Mak Timah berhenti kerja, siapa yang anak uruskan rumah ni?" Sengaja Mak Timah mencampakkan umpan dalam soalannya.

Bahkan Dato Idris jongket bahu sambil mencebir bibir. "Entah. Saya dengan Khadijahlah kut? Sementara nak jumpa pekerja baru."

Mak Timah tahan bibir daripada tersenyum. Tidak mahu buat Dato Idris curiga dengan perwatakannya. Bagus! Memang itu pun jawapan yang dia hendak dengar.

"Ish, tak kacau jadual Dato dengan Datin ke? Almaklumlah rumah inikan besar. Ambil masa nak kemas." Ujar Mak Timah, buat-buat ambil berat.

"Mungkin saya kena buat macam dulu sebelum Mak Timah bekerja di sini. Iaitu saya kerja manakala Datin pula di rumah. Lagipun, saya juga rindu nak kerja balik. Entah apa jadi dengan syarikat itu pun saya tak tahu. Nak kena check juga data keluar masuk duit syarikat, tentang pekerja, client... selama ini saya dengar dari mulut Khadijah aje yang bercerita."

"Elok sangatlah tu, Dato. Isteri macam Datin tu lebih baik duduk rumah daripada bekerja, kan?"

Dato Idris angguk kepala tanda setuju.

"Itulah. Saya rasa macam dah banyak menyusahkan dia. Kesian pula dia harus ambil tempat saya untuk bekerja. Husna pula tak lama lagi akan kahwin. Sudah tentu dia akan ikut suami dia. Tak dapatlah saya nak beri Husna jawatan itu semula."

Mak Timah hanya setuju dengan setiap kata yang keluar. Bagus! Bagus! Selepas ini, pasti Dato Idris akan kembali bekerja di syarikatnya semula manakala Datin Khadijah pula harus menguruskan rumah. Kekok tak terkatalah Jawabnya!

"Ehem!" Kedengaran bunyi suara berdehem mengalihkan perhatian Mak Timah ke belakang. Tersedar Datin Khadijah tiba-tiba muncul di beranda, lekas Mak Timah bangun daripada kerusi.

Aduh, agak-agak dia dengar tak perbualan mereka tadi?

"Errr... duduklah, Datin. Mak Timah nak masuk ke dalam dulu." Tergesa-gesa Mak Timah meminta diri untuk pergi. Tanpa menunggu lama, Mak Timah terus berlalu masuk ke dalam rumah. Membiarkan Datin Khadijah dan Dato Idris di situ. Lagipun, isyarat mata Datin Khadijah tadi seolah-olah menghalaunya pergi kerana ada sesuatu hendak dibicarakan dengan suaminya.

Setelah kelibat Mak Timah menghilang, barulah Datin Khadijah melabuh punggung di kerusi rotan bersebelah Dato Idris. Sekilas anak mata melirik ke pintu.

"Melebih-lebih pula Mak Timah tu rapat dengan abang. Abang pun macam melayan aje?" Tegur Datin Khadijah, jelas tidak puas hati bercampur rasa cemburu di dada. Sejujurnya, dia tidak suka apabila Mak Timah cuba merapatkan diri dengan suaminya. Walaupun sekadar majikan dan pekerja.

Dia memandang Dato Idris disisi dengan pandangan sinis.

Malahan Dato Idris mendecik kecil mendengar tuduhan isterinya. Tergeleng-geleng kepalanya tika ini.

"Takkanlah dengan Mak Timah pun Dijah nak fikir yang bukan-bukan? Abang dah tua. Tak ada masa fikir soal nak curang belakang Dijah."

Datin Khadijah menjuih bibir penuh mengejek. Yalah tu. Kalau begitu kenapa hendak dilayan Mak Timah itu seperti kawan? Cara pekerja, haruslah dilayan cara pekerja! Ah, dia tak mahu kusutkan kepala fikir pasal itu.

Ada yang lebih mengusukkan kepalanya daripada pagi sampai ke malam ini. Tentang apa lagi kalau bukan pinangan tadi? Menggelegak panas hatinya pendam lama-lama.

"Pasal lelaki tadi... kenapa abang terima dia? Bukan ke abang benci sangat dengan lelaki tu?" Soal Datin Khadijah dengan nada seakan-akan menahan berang.

"Diakan anak Tan Sri Raqib. Abang dah janji dengan Raqib yang abang satukan dengan anak dia, takkan tiba-tiba abang nak tolak pula bila dapat tahu siapa Raf?"

"Tolak ajelah. Abangkan ada kuasa tu. Abang ayah Husna! Abang berhak tentukan siapa menantu abang!" Tekan Datin Khadijah.

Dato Idris angguk kepala. Ya. Tak dinafikan apa yang dikatakan itu benar.

"Ya, sebab abang berhaklah abang pilih terima dia. Dijah tahu tak betapa malunya abang bila dapat tahu siapa Raf? Raf dah jaga Husna sebaik-baiknya semasa dia hilang di pulau tapi layanan abang pula? Langsung tak sama dengan cara dia. Jadi apalagi yang abang mampu buat untuk tebus kesalahan selain menyatukan mereka?"

Datin Khadijah mengetap bibir menahan geram. Kali ini dia tidak punya alasan untuk memutar belit cerita agar Dato Idris lebih mengikut kata-katanya.

"Cukuplah abang dah malukan diri sendiri depan Raqib, depan anak dia, malah dengan Husna juga. Abang dah tak mahu menyusahkan lagi keadaan."

"Tapi abang..."

"Apa pun Dijah nak cakap, semuanya tak boleh digunakan lagi. Pinangan dah diterima. Malah urusan nikah pun Raqib dah tawarkan diri untuk sediakan. Maka Raf akan tetap jadi menantu kita. Suami kepada Husna. Abang takkan tarik balik keputusan ni untuk jaga persahabatan abang dengan Raqib juga!" Tegas Dato Idris, penuh serius.

Terdiam Datin Khadijah dibuatnya. Untuk pertama kali, Dato Idris mencatas bicara dia dan menolak untuk dengar. Tak guna! Kenapa sibuk sangat nak jaga hati kawan baik dia tu?

Datin Khadijah mendengus geram. Tanpa mendengar kata-kata daripada suaminya lagi, dia terus bangkit daripada kerusi lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Malas dia hendak bertekak jika jawapan suaminya tetap sama.

Tak mengapa...

Kahwinlah kau Husna. Cukup kau dah berambus daripada sini pun dah bagus! Getus hati Datin Khadijah penuh geram. Sempat anak matanya melirik ke tingkat atas, ke arah bilik Husna yang pintunya tertutup rapat. Bukan main bahagia perempuan itu sampai tidur awal hari ini.

Entah mengapa jiwanya rasa tak senang setiap kali lihat Husna bahagia.

"Cepat-cepatlah lelaki tak guna tu bawa kau keluar daripada rumah ni. Menyampah aku nak tengok muka kau!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro