96

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

             SUASANA di dalam restoran lima bintang ini teratur sahaja. Tidak ramai manusia yang singgah makan waktu tengah hari di sini. Ketika Mia tiba di pintu masuk, sebut sahaja nama Nathan pelayan terus memimpinnya sampai ke meja yang berada paling hujung. Sangkakan Nathan sudah menunggunya di meja makan tetapi figuranya masih belum muncul. 

Mia merengus perlahan sambil anak mata menjuling ke atas. Nampak gaya dia kena tunggu lagi. Lantas, Mia melabuh punggung di atas kerusi yang ditarik oleh pelayan. Kemudian air putih  dituangkan ke dalam gelas kaca sebelum pelayan itu berlalu pergi.

Air percuma sementara dia menunggu pesanan dihantar ke meja. Baguslah. Tekak dia pun agak kering dengan cuaca panas di luar. Langsung gelas air putih itu diambil lalu diminum sedikit sebelum dihentak perlahan ke atas meja. Geram. Mengapa dia yang harus sampai dulu? Orang yang bercadang ingin jumpa pula yang lewat.

"Sudahlah tiba-tiba sahaja ajak berjumpa, selepas itu datang lambat pula tu! Nasib baik aku PA dia sahaja, kalau tidak tak ada maknanya aku mahu jumpa dia! Dah berapa hari dia abaikan aku, kali ini giliran aku pula mahu abaikan dia. Biar padan muka dia!" Degus Mia menunjukkan provokasi. Dada berombak turun dan naik saat menahan perasaan amarah di dada yang masih belum surut sejak semalam.

Sekonyong-konyong bibir Mia terjongket sedikit ke atas. Sinis.

"Apa? Ingat dia booking meja dekat restoran lima bintang ini aku akan mudah cair ke? Hello! Tak semudah itu okay!" Bebel Mia sendirian. Siap buat mimik muka menyampah lagi.

"Saya tak sangka awak marah sampai macam itu sekali."  Kedengaran suara garau daripada belakang menyentakkan Mia. Tak asing lagi suara itu ditelinganya. Laju kepala Mia berpaling ke belakang, anak mata membulat terkejut biarpun dia sudah tahu pemilik suara itu adalah Nathan.

Muka lelaki itu tampak kecewa. Mungkin dia sudah mendengar bebelan Mia daripada awal sampai akhir. Alamak! Bawah bibir digigit Mia. Tiba-tiba pula dia rasa nak tarik balik kata-kata tadi.

Eh sekejap!

Mengapa pula dia harus rasa bersalah? Sepatutnya dia harus menunjukkan perasaan sebenar yang dipendam sebelum ini. Laju sahaja Mia menukar riak wajah kepada serius. Tiada sebaris pun senyuman yang terlakar di bibirnya saat ini.

Terus Mia pusing kembali ke hadapan sambil kedua belah tangan memeluk tubuh. Konon meluat hendak pandang muka lelaki itu. Namun telinga sempat menangkap derap langkah kasut kulit Nathan yang cepat-cepat berlari ke mejanya.

Tahu-tahu Nathan sudah berdiri di sebelah.

"Saya minta maaf.  Saya tahu saya salah. Saya tak patut ketepikan awak hanya kerana kerja. Tapi saya buat semua tu bersebab. Bukannya sengaja. Awak janganlah terasa..." Adu Nathan.

Malahan bibir Mia menjuih sinis.

"Bersebab? Sebab apa lagi kalau bukan selain hendak kejar duit?"

"Manusia mana yang takkan kejar duit, sayang? Saya terpaksa kejar untuk nak halalkan awak juga. Duit saya bukannya berkepok-kepok macam abang saya. Dia dah lama kerja, saya ni baru aje nak berjinak. Sebab itulah saya kena usaha keras sedikit." Jelas Nathan, namun Mia langsung tidak memberi respon apa-apa.  Hanya menjeling. Mungkin wanita itu cuma menganggap dia sekadar beri alasan untuk menutup kesalahannya.

Namun percayalah, sedikit pun dia tidak  terdetik begitu. Kepala digeleng perlahan. Ada keluhan kecil kedengaran sebelum Nathan kembali bersuara.

"Tapi percayalah Mia. Saya mungkin abai awak daripada pantauan. Tapi hati saya tak pernah abai untuk berpegang pada satu tujuan iaitu nak kahwin dengan awak supaya awak tak keseorangan lagi. Tolonglah maafkan saya. Saya janji, selepas ini saya takkan ignore awak lagi. Kita kosong-kosong, please?" Rayu Nathan lagi. Siap menyatukan kedua belah tangannya serupa memohon untuk berbaik seperti sebelum ini. Kepala menunduk sedikit ingin melihat reaksi muka Mia. Manalah tahu jika ada perubahan.

Akan tetapi tetap sama. Tegang. Bahkan makin tajam renungan mata Mia tika ini. Kalau boleh hendak tembus sampai ke otak.

"Mesti Tan Sri Raqib yang bagi ayat tu dekat awak, kan?" Teka Mia.

Spontan kedua belah kening tebal Nathan terangkat serupa terkejut. Sebelah tangan naik menyentuh bibir. Nampak sangat ke ayat bodek itu hasil idea orang lain?

"Mana awak tahu?"

Bibir Mia menyenget. Dah agak!

"Sebelum saya kerja dengan awak, saya kerja dengan ayah awak dulu. Tentulah saya tahu cara percakapan dan ayat itu daripada siapa!" Bentak Mia, tidak puas hati. Siap menghentak kedua belah tangannya ke meja. Bergegar gelas dan pasu bunga kaca yang berada di atasnya. Mujur sahaja tidak jatuh. Kalau tidak, memang dia akan korek duit Nathan dahulu untuk bayar ganti rugi.

Lagi mengejutkan Nathan apabila Mia berkata begitu. Apa maksud Mia yang dia sudah terbiasa mendengar bicara seperti itu daripada mulut Tan Sri Raqib?

"Mak... Maksud awak selama ni papa ada skandal dekat pejabat?!" Sungguh, dia rasa nak pengsan jika itu adalah kebenaran.

"Bukanlah!" Nafi Mia.

Dan-dan sahaja Nathan menghembus nafas lega sambil mengurut dada. Nasib baik.

"Maksud saya... Tan Sri Raqib pandai berkata-kata manis bila berjumpa dengan client. Tentang kerja bukannya ada pasang skandal!"

"Manalah saya tahu. Papa tu dah lama menduda. Saya tak sedia nak dapat mummy baru. Apatah lagi kalau mummy tu sama umur dengan saya! Ergh, tak boleh nak bayang!" Rungutnya, kepala ikut tergeleng sekali saat cuba membayanginya. Cukuplah Raf sahaja yang jadikan ex crush dia sebagai kakak ipar. Janganlah papa tambahkan lagi rasa janggalnya.

"Eh, awak jangan ubah topik ya. Tentang kesalahan awak masih belum tamat!" Keras Mia. Tiba-tiba topik mereka melalut sampai ke Tan Sri Raqib pula dah kenapa? Cuba nak larilah tu!

"Siapa kata saya ubah topik? Sebab itu saya ajak awak jumpa dekat sini. Ada sesuatu yang saya nak buat sebelum waktu lunch habis sebagai tanda minta maaf daripada saya."

"Awak nak buat apa? Kalau setakat nak ucap perkataan maaf seribu kali, tak payah. Saya tak nak dengar! Talk to my hand!" Degus Mia, siap menayang tapak tangannya ke hadapan wajah Nathan tanda tidak mahu mendengar perkataan itu. Mia palingkan wajah ke lain sambil bibirnya merengus geram.

Tatkala Nathan mengeluh pasrah. Dia faham jika Mia masih lagi marah. Nak bercakap pun dia tidak mahu dengar jadi tiada pilihan lain yang ada selain meneruskan tujuan sebenarnya.

Sekejap Nathan menyeluk tangan ke dalam kot hitam yang dipakainya, mengeluarkan satu objek kecil yang bersinar-sinar. Bibirnya tersenyum. Mungkin dengan hadiah ini Mia akan maafkan dia. Harapnya begitu.

Tanpa menunggu lama, tangan Mia yang masih terangkat menayang tapak tangan ke arahnya ditarik.

Tatkala Mia terasa ada objek keras disarung ke jari manis, perhatiannya kembali teralih memandang tangan sendiri. Mulut automatik terkesima. Perasaan marah dan geram tadi seolah-olah terbang entah ke mana saat terpandang cincin batu permata yang melekat di situ.

Mia terkedu.

"Saya dah bincang dengan papa, hujung bulan ni saya akan hantar rombongan meminang. Selepas ini saya takkan abaikan awak lagi." Ujar Nathan.

"Betul ni?" Soal Mia, jari terlunjuk menunding ke wajah Nathan mencari kejujuran. Nada suaranya juga sudah berubah kepada mendatar.

Pantas Nathan mengangkat tangan kanan sebagai pengakuan benar darinya.

"Janji!" Ucapnya.

Mia tersenyum kecil.  Baiklah, dia pegang janji itu. Cincin dijari manisnya dibelek-belek. Cantik. Dia suka. Pandai Nathan pilih. Patutlah lambat tiba di restoran, belikan cincin rupanya.












          
                 HARI ini Lanun sudah masuk kerja seperti biasa. Manakala Husna pula, terbaring di atas katil dengan kebosanan tidak tahu untuk buat apa. Dia mahu kerja. Tetapi bak Lanun kata, buat masa sekarang tiada pekerjaan kosong yang diperlukan di Ocean Resort. Namun dia akan cuba cari peluang untuk masukkan Husna dalam mana-mana bahagian yang ada. Itupun jika ada. Sejujurnya, kalau dapat bahagian houskeeping pun Husna terima sahaja.

"Ergh, bosannya!" Telefon dicampak ke sebelah ruang katil tempat dia merebahkan diri. Sunyi. Sepi segenap bilik yang agak luas ini. Lama Husna merenung siling putih sambil otak memikirkan aktiviti apa yang boleh dilakukan untuk menghilangkan rasa bosan.

Kemudian dia menoleh ke arah pintu gelansar yang sengaja dibiarkan terbuka supaya angin laut masuk ke dalam vilanya. Dari sini, Husna dapat mendengar bunyi enjin bot yang laju meluncur di atas air. Berselang-seli dengan suara manusia yang terjerit keseronokan dan bergelak tawa.

Tentu mereka sedang mencuba aktiviti yang tersedia dalam pakej Ocean Resort.  Ada kayak, parasailing, dan banyak lagi.  Kalau diikutkan banyak sahaja aktiviti yang Husna boleh lakukan sekarang, tetapi sebelum itu dia harus meminta izin daripada sang suami. Tapi kalau ajak Lanun ikut serta sekali pasti lagi seronok.

Agak-agaknya lelaki itu sibuk tak sekarang?

Langsung Husna turun daripada katil, cardigan hitam yang berada pada penyangkut terus dicapai lalu disarungkan ke tubuhnya. Sekadar mahu menutup baju T shirt lengan pendek yang menampakkan aurat pergelangan tangan. Siap membelit selendang ke kepala, lantas dia menapak keluar daripada bilik itu.

Mencari bilik office Lanun yang rasanya tidak jauh mana. Tidak sampai lima minit berjalan, dia sudah jumpa pintu yang bertandakan nama Andikha Rafael.

Harap-harap kehadirannya tidak mengganggu Lanun.

Tok! Tok! Tok!

"Masuk!" Laung suara garau itu dari dalam.

Husna menyengih. Nasib baik dapat masuk! Ada senyuman pada wajah Husna saat tombol pintu dipulas. Tolak sahaja pintu, Husna dapat melihat betapa seriusnya muka Lanun menatap fail sambil sebelah tangan mengetuk pen berkali-kali di atas meja, seakan sedang berfikir.Adakala keningnya tampak berkerut-kerut. Kemudian kepala itu dipicit.

"Saya datang pada waktu yang salah ke?" Husna bersuara.

Terus Lanun angkat muka  memandangnya. Berubah terus riak wajahnya yang serius tadi. Penuh kehangatan dan pesona.

"Koupusan!" Fail ditangan terus ditutup. Lanun bangun dari kerusi. Menuju ke hadapan meja.

"What are you doing here? Kenapa tak duduk dalam vila?" Soalnya.

Husna mendekati Lanun yang kini bersandar di meja kerjanya dengan gaya sebelah tangan berada di dalam poket.

"Vila tu tak ubah macam rumah reban ayam awak di kampung dahulu. Sunyi dan membosankan kalau awak tak ada. Sebab itulah saya datang sini." Ujar Husna.

Lanun tergelak kecil. 

"Jadi ringkasannya koupusan rindu dengan abanglah, kan?"

"Rindu?" Husna buat-buat seperti sedang berfikir sambil jari mengetuk dagu.

"Hmm, sikitlah." Balas Husna. Namun hakikatnya hati ini memang terlalu rindukan Lanun. Cuma... malu nak cakap.

"Nahh, you're lying!" Terus hidung Husna dikepitnya, hukuman kerana menipu. Husna mengaduh sakit. Hidung yang berubah memerah digosok-gosok dengan muka cemberut. 

"Sakitlah!"

"Lain Kali terus-terang saja." Selamba Lanun membalas.

Husna mencebik. Kalau dia terus-terang nanti Lanun juga yang akan mengejeknya dahulu!

"Tapi sebenarnya abang pun rindu koupusan." Sambung Lanun, serius. wajah dipalingkan ke arah kaca yang meluas menampakkan pemandangan laut daripada luar. Konon mahu kekalkan macho tetapi dia tak sedar yang pipi dan hidungnya sentiasa akan merah apabila dia sedang malu.

Bibir Husna mengherot mengejek.

"Yalah tu."

"Husna tak percayakan abang?" Kepala Lanun kembali berpaling memandang Husna.

"Kalau awak rindu, kenapa tak datang jenguk saya dekat bilik?" Soal Husna, tubuh dipeluk.  Kepala melangut memandang Lanun dengan sebelah kening terangkat penuh berlagak.

"Sebab abang takut."

"Ta... takut?" Automatik sepasang kening Husna berkerut saat Lanun mengucapkan perkataan itu. Apa? Rupa dia nampak macam hantu ke sampai takut? Atau sebenarnya... vila tempat mereka tinggal itu yang berhantu?

Lanun angguk kepala. Tangannya yang menyeluk di dalam poket seluar terus keluar lalu menggenggam lembut tangan kanan isterinya. Anak mata bulat Husna ditenung dalam. Buatkan debaran di dada semakin menjadi-jadi. 

"Abang takut, takut kalau abang masuk bilik nanti..." Dia mendekatkan jarak.  Membongkokkan sedikit tubuh menyamai ketinggian mereka sebelum berbisik...

"Abang tak nak keluar." Ucap Lanun. Ada tawa nakal dihujungnya.

Tiba-tiba pula wajah Husna terasa berbahang panas. Teringatkan pula apa yang jadi malam semalam semakin menebal perasaan malunya. Tanpa semena-mena, laju sahaja tangan kiri Husna bergerak menampar lengan lelaki itu.

"Aw!" Lanun mengaduh sakit. Dia berundur sedikit, lengan yang menjadi mangsa tamparan tadi dipegang.

"Jangan nak merepek boleh tak?!" Dengus Husna, dingin.

Sedangkan bibir Lanun tersenyum senget. Pandangan matanya mengecil penuh menggoda. Tidak keruan Husna menatap renungan lelaki itu.

"But you appear to be blushing."

"Saya datang sini sebenarnya sebab nak minta izin, saya nak naik sampan transparent! Nak jalan-jalan dekat laut. Jadi boleh ke tidak?" Cepat-cepat Husna mengubah topik perbualan mereka. Seluruh mukanya sudah meruap kemerahan menahan malu. Bila dah dapat izin nanti boleh terus lari daripada Lanun.

Duduk di dalam bilik ini hanya buat dia rasa tak senang duduk.

Kening tebal Raf berkerut sesaat.

"Seorang diri?"

Fuh! Nasib baik Lanun mengikut topiknya. Lupakan sekejap tentang hal tadi.

Husna angguk kepala.

"Ya, saya belum ada kawan lagi dekat sini. Jadi sorang-sorang aje. Melainkan kalau awak nak ikut sekali?" Ujarnya. Namun hakikat sebenar memang Husna mahu Lanun mengikutnya. Barulah nanti tak rasa sunyi. Tambah pula mulut Lanun dengan enjin bot lebih kurang sama. Bising dan suak bercakap. 

Akan tetapi Lanun menggeleng perlahan. Dalam masa yang sama dia mengeluh dengan riak wajah agak kecewa.

"No, I can't. Abang ada meeting dengan client daripada luar negara nak datang ke sini. Mereka nak buat shooting  tentang pulau tercantik di Malaysia. Dan nak gunakan khidmat bot daripada Ocean Resort untuk bawa mereka keliling pulau jadi abang kena ikut. Takut ada Lanun." Ujarnya.

Tatkala Husna pula yang tayang muka pelik.

"Tapi mondukan dah kena tangkap?"

"Yup, memang Mondu dah tak ada. Tapi laut ni terlalu luas koupusan. Mungkin masih ada Lanun lain yang bersembunyi. Jadi kita kena tetap hati-hati." Katanya.

Terangguk-angguk kepala Husna tanda faham. Siapa saja yang tahu bahaya apa yang ada di luar sana, kan? Kalau di darat pun ada beribu jenis gangster, apatah lagi di lautan yang luas tiada penghujung ini?

Dan tiba-tiba bibir Husna menyengih.

"Tapi salah satu lanun yang bersembunyi tu awaklah kan?" Sakat Husna.

Lanun ketawa. Cuma untuk seketika sebelum riak wajahnya berubah. Seakan menahan perasan berat merindui sesuatu.

"Abang pun harap Abang jadi salah satu daripadanya. Tapi malang sekali bukan, abang dah jadi pengarah Ocean Resort." Ujar Lanun, nada suaranya kedengaran kecewa. Dia mengukir senyuman kelat.

Sedangkan Husna pula yang menanggung rasa bersalah. Bawah bibir digigit. Dia tak sepatutnya mengingatkan Lanun tentang hal itu. Sekarang tengok! Lelaki itu dah mula merindukan kehidupan kampungnya.

Ish, rasa nak ketuk aje kepala sendiri!

"Maafkan saya kalau ayat saya buat awak rindukan kehidupan pulau awak." Gumam Husna, kepala menunduk memandang lantai.

Bibir Lanun mencoret senyuman kecil.

"No, it's okay. Pulau abang koupusan sekarang. Jadi rindu abang dah lama terubat. Jangan risau." Ujar Lanun, kepala Husna yang berlapikkan tudung digosok-gosoknya manja. Dia tidak mahu Husna rasa serba-salah dengannya. Itu cuma hal remeh. Bahkan dia juga harus biasakan diri untuk terima kehidupan baru mereka.

Berbunga hati Husna apabila dipujuk semula. Bibir automatik menguntum senyuman.

"Jadi boleh ke saya naik sampan?" Soal Husna. Sekali lagi meminta izin,

Kepala Lanun mengangguk tanda mengizinkan. "Sure. Tapi jangan bawa jauh sangat.  Kalau boleh sekitar sini sahaja."

"Kalau macam itu, nak minta duit sedikit boleh? Saya tak ada Cash." Husna tayang sengihan yang menampakkan barisan gigi putihnya. Siap menghulurkan kedua belah tapak tangan serupa meminta duit raya. Nak bagi duit penuh tapak tangan lagilah dia terima!

"Sebut aje nama abang dekat staff tu, nanti mereka bagi sampan." Kata Lanun.

"Kalau saya nak naik benda lain?"

"Cakap koupusan isteri abang, nanti mereka bagi naik percuma."

Husna mengerut kening. Haih, takkan semua yang ada di sini jadi percuma hanya kerana dia adalah isteri kepada pemilik Ocean Resort. Ish, ish, ish, ini satu kesalahan!

"Kalau kita duduk di KL, pasti orang cakap saya guna cable tau! Mana boleh semua benda bagi percuma."

"Semua dekat sini milik abang. Jadi semuanya atas hak abang. Tiada kena mengena dengan cable. Kalau Husna bayar pun, separuh duit tu masuk bank abang juga. Dan duit tu, abang bagi pada Husna semula. Apa bezanya?"

Husna terdiam sesaat. Matanya berkelip-kelip. Otak cuba memproses ayat Lanun untuk faham. Soalan matematik memang ambil masa juga nak fikir, rasa macam wayar saraf berbelit di dalam kepalanya.

Ah, tak payahlah fikir. Setuju ajelah! Lagipun, jimat duit poket dia juga. Beruntung sungguh jadi isteri kepada Mr Pirate yang satu ini.

"Kadang-kadang saya rasa jimat jadi isteri awak. Terima kasihlah sebab pilih saya jadi isteri." Ucap Husna. Dan tahu-tahulah reaksi Lanun bagaimana. Terus jadi berlagak. Siap mencelek hidung dengan tayang senyuman senget. 

"Macam yang abang cakap dulu, koupusan takkan menyesal kahwin dengan abang. Abang takkan biarkan perkataan tu keluar daripada bibir orang yang abang sayang." Ujar Lanun, jelas sekali tidak pernah bermain dengan setiap janji yang pernah ditaburkan dahulu.

Kepala Husna terangguk-angguk.  Dia tahu semua itu!

"Kalau macam itu saya pergi dulu ek?" Pamit Husna. Sebenarnya dia tidak mahu mengganggu kerja Lanun. Pasti ada lagi file yang harus diperiksa. Jadi lebih baik dia pergi sekarang. Baru sahaja kaki hendak mengorak langkah pergi tiba-tiba...

"Walaupun percuma tetap kena bayar bunga." Lanun bersuara lagi.

Automatik menghentikan pergerakan Husna. Dahinya berlapis tidak mengerti. Wajah Lanun dipandang.

"Maksudnya?"

"Kiss me." Arahnya, ringkas. Jari terlunjuk ditunding ke bibirnya.

Sudah agak! Terus tangan Husna naik memeluk tubuh. Selama menjadi isteri kepada Lanun, dia belajar banyak benda. Salah satunya, jangan cepat termakan umpan.  Tetapi malang sekali, dia sudah terleka tadi.

"Awak memang pandai."

Lanun menjongket kening sambil mencebir bibir.

"Well... Sebab itulah abang boleh jadi CEO. Rugilah abang kalau tak minta." Katannya. 

Husna mengeluh perlahan. Haih, nasib baik dah halal sahaja. Lagipun, dalam bilik ini cuma ada dia dan Lanun.

Tetapi perasaan malu itu tetap ada!

Husna pandang Lanun yang masih lagi sabar menunggu.

Memang tiada chance langsung untuk dilepaskan. Kena lunaskan hutang bunga dahulu sebelum pergi.

Langsung Husna menjengketkan sedikit kaki, merapatkan bibirnya dan bibir Lanun yang agak tinggi dari parasnya buat beberapa saat sebelum kembali menjauh.

"Dah, saya pergi dulu!" Cepat-cepat Husna buka langkah seribu keluar daripada bilik lelaki itu setelah selesai menunaikan permintaannya.

Tergelak Lanun bersama gelengan melihat perangai pelik Husna. Terlalu comel. Rasa nak sumbat dalam beg bagasinya dan simpan buat kenangan.

Bunyi deringan telefon yang tiba-tiba mencelah menarik perhatian Lanun ke arah meja. Tanpa menunggu lama, terus dia mencapai telefon canggih yang masih lagi bergetar. Terpapar nama Papa di skrin, langsung Lanun mengangkat panggilan.

"Waalaikumsalam. Kenapa call Raf tiba-tiba saja ni? Ada apa-apa yang terjadi ke? What?! Papa dekat jeti? Sejak bila sampai? Apa papa buat dekat sini? Kenapa tak beritahu Raf  yang papa nak datang dulu? Yalah, yalah... sekejap lagi Raf arahkan staff jemput papa." Talian dimatikan. Skrin telefon dipandang.

Muka berkerut habis. Pelik. Selalunya Tan Sri Raqib akan maklumkan dahulu kehadirannya sebelum datang, tetapi kali ini boleh pula dia buat suprise.

Kalau sekadar hendak buat kejutan tak mengapa, takut-takut nanti Lanun pula yang akan terkejut bila papa datang bersama hajat baru.

"Nak minta apa pula papa kali ni? Ke... ni kes pasal kopi tu? Haih, takkan pasal kopi pun sanggup booking Flight datang sini?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro