BAB 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TIGA kuntum bunga tulip putih yang sudah diikat dan dijambangkan dalam kertas licin dihirup oleh Haifa berkali-kali. Senyuman kecil terbit pada dua ulas bibir mungilnya.
Sekeping kad yang sudah tertulis sebaris ayat diselitkan dalam jambangan bunga tersebut. Keluar dari kedai bunga, Haifa segera memboloskan diri ke dalam kereta Bezza putih. Enjin dihidupkan sebelum dipandu ke arah satu bangunan yang tidak jatuh dari kedai bunga yang disinggahnya tadi.

SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT CHANGGANG

Usai parkir di hadapan sekolah rendah, Haifa keluar bersama bunga tulip yang dibelinya. Penuh tertib Haifa melangkah masuk ke perkarangan sekolah. Pengawal keselamatan yang baru kembali dari rondaan mula menegur Haifa beserta senyuman di bibir.

“Puan Haifa sihat?” Mesra Asilah menyapa.

“Alhamdulillah, sihat Kak. Haifa datang ni nak jumpa suami sekejap. Boleh, kan?” Haifa membalas senyuman Asilah.

Asilah sudah bekerja di situ lebih dari 15 tahun. Lagi lama dari Nadhir yang ditugaskan di sini. Wanita berusia 50-an itu masih bersemangat untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Seorang yang peramah dengan mereka yang berkunjung ke sekolah ini. Tidak kira murid atau ibu bapa.

“Apa pula tak boleh? Suami, kan? Masuklah. Lagipun memang dialu-alukan ibu bapa datang untuk hari sukan sekolah. Bukan selalu dibuat. Ni, cepatlah masuk. Sekejap lagi ada acara untuk ibu bapa, bolehlah Puan Haifa join.”

Haifa hanya sengih sepanjang celoteh Asilah. Dia tidak mengiyakan mahu menafikan.

“Kalau macam tu, Haifa masuk dulu ya?”

Berpisah dari Asilah, Haifa mengatur langkah masuk ke bilik guru. Apabila dia bertembung dengan guru sekolah itu, Haifa tidak henti senyum dan bertukar salam. Sampai ke meja yang terletak tag ‘IDLAN NADHIR’, Haifa letakkan jambangan bunga tulip tersebut. Meja yang kemas itu diusap seketika. Setiap barangan yang ada diperhatikan sebelum ukiran bibir mengeras. Jarinya terhenti pada deretan gambar yang ditampal pada satu sudut.

Anak matanya mencari-cari gambar dirinya di situ. Harapan supaya ada sekeping gambar untuk tatapan suami. Namun, tiada. Setiap satu polaroid itu tidak dihiasi wajahnya.

Haifa menggigit bibir bawahnya perlahan. Mata dipejam perlahan. Hatinya sedikit terasa.

Bukan kerana rasa cemburu dengan rakan-rakan Nadhir. Bukan juga kerana gambar-gambar yang tertampal.
Haifa masih ingat lagi suatu ketika dahulu, gambarnya yang banyak mendominasi sudut gambar ini. Paling tidak pun, mesti Nadhir akan letakkan tiga atau empat keping gambarnya. Masih segar lagi dalam ingatan Haifa tentang jawapan Nadhir tatkala dia menyoal tentang polaroid yang ditampal di tempat kerjanya.

“Ifa dengan abang, dua-dua bekerja. Nak berjumpa pun pada waktu malam dan awal pagi sebelum ke tempat kerja. Jadi, gambar-gambar ni jadi peneman abang untuk lepaskan rindu pada Ifa la.”

Itu kata-kata yang menjadi selimut telinga Haifa, yang menghangatkan lagi rasa sayang dan kasih buat seorang suami.
Sekarang, semuanya terasa hambar.
Haifa reka senyuman paksa. Mungkin Nadhir mula segan dengan rakan-rakannya yang lain. Atau mungkin kerana kehadiran si cilik, Amirul Azza.

Gambar si kecil itu yang banyak ditampal. Setiap sudut pun terhias wajah Azza yang tersenyum girang. Tak semena-mena, tubir mata Haifa menjadi hangat. Hatinya terasa berat bagaikan dihempap batu. Haifa gelengkan kepala berkali-kali.

Dia harus sedar bahawa tanggungjawab Nadhir bukan pada dia sahaja. Nadhir ada juga tanggungjawab lain. Kasih sayang Nadhir perlu dibahagi secara sama rata. Dia tak boleh lokek.

Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus perlahan. Semua fikiran negatifnya diusir pergi. Dia tak mahu mempersoalkan sayang Nadhir terhadap dirinya. Haifa yakin Nadhir masih sayangkan dia biarpun beribu orang hadir dalam hidup Nadhir. Pasti ada satu tempat dalam ruang hati Nadhir yang menempatkan namanya seorang.

Haifa bergerak pergi ke padang sekolah yang gamat dengan sorakan pelajar sekolah. Semua nampak bersemangat untuk menjulang gelaran juara bagi rumah sukan masing-masing.

Seperti Haifa, tubuh genitnya tersarung jersi berwarna merah. Rumah sukan yang diberi nama Panglima. Sama seperti Nadhir yang turut menjadi guru pengiring rumah Panglima.

Kanopi putih yang diletakkan di hadapan dewan terbuka sekolah dihampiri. Haifa mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran ibu bapa sebelum dia mencari tempat duduk.

Mata melingas mencari susuk tubuh sang suami. Setiap satu yang berpakaian merah ditilik. Kepala digaru kecil. Kenapa dia tak jumpa Nadhir?

“Puan Haifa tak duduk lagi ke?” tegur Cikgu Samilah yang kebetulan juga baru sampai dengan anak kecil dalam dukungan.

Senyuman ditayang. “Cikgu ada nampak Cikgu Nadhir? Harini ramai sangat orang sampai tak perasan Cikgu Nadhir.”

“Oh, Cikgu Nadhir dia jadi ketua guru rumah sukan tahun ni. Cuba Puan Haifa tengok dekat khemah pelajar. Mungkin dia tengah siapkan pelajar yang nak bertanding sekejap lagi.”

“Oh, yeke? Kalau macam tu, saya gerak ke sana sekejaplah.”

“Eh, tapi!” Lekas Cikgu Samilah menahan Haifa. Berkerut-kerut dahi Haifa dengan wajah Cikgu Samilah yang terkebil-kebil.

“Kenapa cikgu?”

“Saya bukan apa tapi Puan Haifa tak pakai baju hijau ke harini?”

“Laa, kenapa pula? Kan Cikgu Nadhir rumah Panglima?”

Cikgu Samilah terdiam. Bibirnya terbuka sedikit hendak bersuara tapi dikemam semula. Muncul spekulasi negatif dalam fikirannya. Rasa serba-salah serta-merta menerpa diri.

“Cikgu okey tak ni? Ada apa-apa yang saya tak tahu ke?” Polos Haifa menyoal. Melihat gerak-geri Cikgu Samilah yang tidak senang duduk, sedikit sebanyak Haifa jadi panasaran.

“Puan Haifa tahu tak Cikgu Nadhir dah tukar rumah sukan tahun ni? Tahun ni dia masuk rumah sukan hijau. Rumah Perkasa.”

Haifa terkelu. Dia rasa terpukul dengan ayat Cikgu Samilah. Senyuman di bibir menghilang pergi sebelum lekas dia tayangkan yang plastik. Tak mahu Cikgu Samilah menghidu perkara yang bukan-bukan. Seluruh staf di sekolah ini tahu betapa penyayangnya Nadhir. Setiap kali ada event di sekolah, Haifa akan ada sekali. Melekat dengan Nadhir hingga waktu pulang. Jadi, tak hairanlah kalau Cikgu Samilah boleh terasa aneh dengan penampilan Haifa yang tak sedondon dengan Nadhir kali ini.

“Tahu cikgu. Cuma saya tak ada jersi hijau. Kalau tak pakai jersi nanti, tak bolehlah saya nak join acara ibu bapa.”

Alasan.

Haifa punya banyak baju dengan setiap tona warna. Sebutlah warna apa, dia ada.
Hanya untuk kes kali ini, dia betul-betul tak tahu. Nadhir lupa nak bagitahu dia ke? Atau dia yang tak dengar sewaktu Nadhir maklumkan?

“Laa, tak apalah. Kira harini Puan Haifa dengan Cikgu Nadhir tak boleh jadi satu pasukan, kena jadi lawan. Mesti seronok ni.” Cikgu Samilah sudah kembali tersenyum. Lesap segala prasangka yang terdetik dalam hati. Biasalah tu kalau tak ada baju. Dia pun sama juga. Pernah aje dia pakai baju warna lain biarpun dalam rumah sukan lain. Itu semua lumrah.

“Risau pula saya nak lawan suami sendiri, cikgu,” seloroh Haifa sama.

Dua wanita itu melepaskan tawa kecil. Mereka beriringan masuk ke bawah kanopi lalu mendapatkan tempat duduk berdekatan dengan kipas.

Dalam pada itu, mata Haifa tidak lepas mencari tubuh yang dinantikan. Kanopi pelajar yang berada bertentangan dengan padang menjadi sasaran matanya. Setiap wajah lelaki dewasa dipandang.

“Sabarlah Puan Haifa. Nanti datanglah suami tu,” usik Cikgu Samilah yang perasan dengan tingkah Haifa yang tidak senang. Bibirnya menyimpul senyum lebar. Dia dapat rasakan kebahagiaan pasangan Haifa dan Nadhir ini.

Sejak Nadhir datang ke sekolah ini, lelaki itu memang terkenal dengan sikap penyayang. Bahkan pelajar di sini pun amat menyenangi Nadhir. Sejak itu, Nadhir akan selalu merangkul gelaran ‘Guru Paling Disegani’ bilamana ada anugerah pada hari guru. Semua undian adalah 100 peratus daripada pelajar.

Kalau di sekolah pun pelajar sayang sangat dengan Nadhir, apatah lagi ketika Nadhir bersama isteri.

Cikgu Samilah yakin hidup Nadhir bahagia dengan Haifa. Bila mereka datang bersama-sama untuk majlis sekolah, merekalah pasangan paling sweet. Pasangan cikgu-cikgu lain pun kalah.

Obvious sangat ke cikgu?” Haifa garu belakang kepala. Kantoi pula yang dia ternanti-nantikan figura suami.

“Sangat! Tak lari manalah suami tu, Puan Haifa. Lagipun semua staf tahu yang Cikgu Nadhir tu off-limit. Yang single tergila-gilakan Cikgu Nadhir pun dah tak kacau dah. Rasanya satu sekolah tahu yang Puan Haifa dengan Cikgu Nadhir tu couple of the year.”

Tipulah kalau kata Haifa tak berbunga-bunga terima pujian sebegitu. Dia tak nafikan bahawa suaminya itu ramai peminat. Dulu sewaktu Nadhir masih lagi belajar, memang penuh loker dengan surat-surat cinta dan coklat. Lebih-lebih lagi pada tanggal 14 Februari dan 7 Disember, tarikh lahir lelaki itu.

Siapa sangka dalam ramai-ramai wanita yang mahukan Nadhir, lelaki itu akhirnya memilih dia untuk menjadi wanita teristimewa. Jujur Haifa terharu. Setianya lelaki itu pada dia. Biarpun banyak kali berkelahi tentang rasa setia dan jujur antara mereka, hubungan mereka sudah ke jinjang pelamin. Sudah 13 tahun bergelar suami isteri.

“Haa, tu dia Cikgu Nadhir.”

Haifa tersentak. Dia mendongak. Spontan kakinya menampung tubuh ke arah Nadhir. Tangan dihulur.

Nadhir bungkam. Wajahnya hanya terpamer segaris senyuman dengan keringat penuh pada seluruh wajah. Lelaki itu meliarkan pandangan ke arah kanopi. Rata-rata cikgu di situ memerhatikan dia. Huluran salam Haifa disambut.

“Kenapa datang?”

Dingin. Tak bernada.

Haifa kekalkan senyuman di bibir. “Ifa kan memang selalu datang event dekat sekolah ni. Macam biasa.”

“Tak payah datang lagi bagus,” bisik Nadhir sebelum bergerak pergi. Di meja sistem siaraya, mikrofon dihidupkan sebelum melaungkan nama pelajar untuk acara 4 kali 100 meter kategori lelaki dan perempuan.

Haifa kembali ke tempat duduknya. Senyuman dibiarkan menghiasi bibir, menutup sekelumit rasa tersingguh di dada.

“Sibuk betul ya Cikgu Nadhir tahun ni? Dia tu baru kali pertama jadi ketua guru rumah sukan.”

Haifa hanya mengangguk. Kepalanya kosong. Mata tidak melepaskan susuk Nadhir. Bibir dikemam rapat. Dua telapak tangan disambungkan dan diramas.

Apa lagi salah saya pada awak, Nadhir?


*****

Hai, harini (30 Jun 2022) saya akan buka preorder untuk ebook OLT. Stay tune!


Ada harga early bird (RM8) untuk 30 orang terawal pada jam 9 malam. Jangan lupa grab. Nanti pukul 9 malam saya letak link di bio. Tekan saja, akan direct ke whatsapp admin. Thank you.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro