PB | 18

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DIA bangkit daripada tidur pada pagi itu dengan menatap seraut wajah bersih dan penuh tenang milik seorang lelaki yang berada di hadapan mata. Nyaris sahaja dia mahu menjerit terkejut jikalau tidak mengingati bahawa dia kini sudah bergelar isteri kepada lelaki itu. Mana tidaknya, sangat dekat jarak bagi posisi tidur mereka sehinggakan dia boleh mendengar helaan nafas daripada lelaki itu.

Serta-merta, ruang ingatannya terimbas kembali semasa mereka berdua di bilik ini pada malam tadi. Malam pertama yang seharusnya diraikan dengan penuh bahagia. Tetapi, bukan ada apa-apa yang berlaku di antara mereka pun. Sang suami yang masuk ke dalam bilik selepas jam menunjukkan angka sebelas malam hanya menyapa dia dengan soalan 'anak tidur dekat mana?' dan 'awak dah makan?'. Dia menjawab pertanyaan itu seadanya dan setelah itu, keadaan kembali sepi. Lelaki itu mengambil wudhuk dan merebahkan dirinya di atas katil sebelum dia berkata 'nak tidur nanti, tutup lampu'.

Sungguh, langsung dia tidak terasa hati mahupun berasa marah kepada lelaki itu kerana layanannya yang sebegitu. Bahkan, dia berasa selamat. Selamat kerana lelaki itu tidak menuntut haknya yang satu itu sedangkan pernikahan ini masih sangat baharu lagi baginya untuk menerima dengan hati yang terbuka. Sejujurnya, dia rasa bersyukur kerana dia tahu bahawa lelaki itu seorang yang memahami dan bukannya jenis yang akan mendesak. Sangat sukar dia rasakan mahu 'memberi' seandainya lelaki itu 'meminta' pada waktu ini. Katakanlah, bagaimana dia mahu 'memberi' seandainya perkahwinan ini masih lagi cuba diterima dengan hati yang separa rela?

Tetapi, nasib baik jugalah lelaki ini bukannya jenis yang 'kaki drama'. Tidakkah haru jikalau malam pertamanya, si dia meminta agar mereka tidur berasingan walaupun sudah sah bergelar suami isteri? Sangat tidak patut, tahu?

Wajah tampan yang sepasang matanya masih terpejam rapat dalam lenanya ditatap lagi. Lama. Entah apa yang dia perlu rasai terhadap lelaki itu. Hatinya sendiri masih tertanya-tanya. Mengapa aku yang dipilih menjadi isterinya? Adakah benar niatnya mahu menikahi aku kerana mahu menjaga anak perempuanku, Ammara Hannah?

Sungguh, hatinya sendiri penuh dengan perasaan ragu terhadap sang suami. Mana kan tidak jikalau sang suami merupakan sahabat baik kepada bekas suaminya dahulu. Bagaimana mungkin dia mampu menerima tanpa ada rasa was-was di dalam jiwa?

Astaghfirullahaladzim... Mengucap panjang dia dengan kata hatinya sendiri.

Was-was? Tidakkah engkau tahu bahawa ianya adalah suatu perasaan negatif yang tidak seharusnya ada di dalam diri dan hati seorang manusia? Walau nampak ianya seakan perkara yang kecil. Tetapi, tidak. Tidak sama sekali. Kerana ianya adalah suatu sifat yang mampu memesongkan iman dan akidah engkau sebagai seorang mukmin.

Allahu Rabbi.

Sepasang matanya dipejamkan rapat dan nafas ditarik dalam sebelum dihembuskan perlahan. Sedikit sebanyak, hatinya terasa serba-salah kerana masih ada rasa 'tidak ikhlas' dan 'tidak redha' dengan pernikahan yang berlangsung dengan kehendak hati yang separuh rela. Ya Allah, singkirkan perasaan ragu-ragu ini daripada hatiku dan Engkau lapangkanlah dadaku untuk menerima jodoh yang sudah Engkau tetapkan buatku ini.

Setelah itu, sepasang matanya dicelikkan kembali dan seraut wajah Encik Suami dengan kedua belah matanya yang sudah terbuka luas jelas menyapa di ruang pandangan. Gemuruh. Itu yang dirasakannya. Walau dia tidak lagi mencintai lelaki di hadapannya ini, tetapi sangat tipulah andai dia mahu katakan yang dia langsung tidak berdebar dengan keadaan dan hubungan di antara mereka sekarang. Dia masih lagi wanita yang penuh dengan sifat pemalu di dalam diri. Juga, bukan senang dia mahu biasakan diri dengan seorang lelaki 'asing' yang tiba-tiba sahaja masuk ke dalam ruangan hatinya dan memegang kedudukan tertinggi di dalam hidupnya.

"Err... dah lama awak sedar?" tegurnya kepada sang suami. Jelas suaranya sedang bergetar. Sedang tingkahnya yang tidak tentu arah menjelaskan bahawa dia sedang gugup.

Sebuah senyuman terukir manis di bibir Muhamad Azam Shah. Namun, langsung dia tidak mengeluarkan sebarang suara untuk membalas pertanyaan isterinya itu. Tubuhnya dipusingkan dan telefon bimbit di sebelah katil dicapai. Jam sudah menunjukkan ke angka enam pagi.

"Subuh dah. Saya mandi dulu eh? Nanti saya tunggu awak. Boleh kita jemaah sama-sama," beritahunya kepada si isteri sebelum dia bangkit daripada baringan di atas katil. Sepasang mata yang masih terasa kuyu digosok berkali-kali sebelum wajah diraup dan rambut dikuakkan ke belakang.

Humaira hanya mengiyakan pernyataan suaminya itu sebelum dia juga ikut bangkit daripada baringan. Sempat juga tingkah si suami sedari tadi diperhatikan. Entah kenapa, terbit pula rasa rindu di ruang hati kepada seseorang yang tidak diketahui keberadaannya. Selalunya pagi-pagi sebegini, seorang Rayyan Harith akan berperangai mengada dengan meminta 'morning kiss' dan mandi bersama. Nampak 'cheesy', bukan? Tetapi, itulah yang membuatkan hubungan mereka semakin mesra dan manis sehinggakan dia sukar mahu berganjak dari masa lalu bersama lelaki itu.

Berbeza. Sangat berbeza rasanya apabila dia dinikahi atas dasar tanggungjawab dan simpati. Bukan lagi atas dasar cinta seperti dia bersama bekas suaminya sebelum ini.

BUNYI daun pintu dikuak dari luar kedengaran di bilik tidur itu. Humaira yang baru sahaja selesai menyusukan anaknya segera membetulkan kembali pakaiannya. Wajah milik si dia yang melangkah masuk ke dalam ruangan itu dan mendekatinya ditatap bersama dengan dodoian yang diberikan kepada si anak di pangkuan. Kelihatan sang suami membawa sedulang makanan ke arahnya sebelum lelaki itu duduk di birai katil dan dulang itu diletakkan di sisi mereka.

"Eh, kenapa bawa masuk makanan dalam bilik? Saya boleh turunlah." Serba-salah sahaja dia melihatkan kesanggupan dan susah payah lelaki itu melayannya dan si anak sehingga begitu sekali. Jikalau sewaktu remaja dahulu, jangan harap ummi dan abahnya mahu memberi kebenaran untuk makan di dalam bilik. Walau di hadapan televisyen sekalipun, tetap tidak dibenarkan. Katanya tidak sopan. Lagi-lagi apabila ada tetamu yang datang ke rumah dan melihat tingkah mereka seperti itu.

Azam menyambut kata-kata isterinya itu dengan senyuman di hujung bibirnya. "Breakfast on bed in this morning... hari ketiga kita sebagai suami isteri. Apa salahnya saya manjakan isteri saya di awal perkahwinan kita ni..." Sempat juga dia berseloroh dan memberi kenyitan mata yang agak nakal seusai menuturkan ayat itu.

Humaira memicingkan kedua belah matanya memandang kepada Encik Suami. "Awal perkahwinan ya? Lepas bertahun-tahun kahwin, agak-agak macam mana pula awak layan saya?" Sengaja dia ingin menduga jawapan yang bakal diberikan oleh lelaki itu. Riak wajah bukan main serius dalam kepura-puraan.

Azam tertawa perlahan melihatkan wajah tidak puas hati milik si isteri. "Dah lama kahwin? Itu lagi lah! Layanan 'first class' saya bagi. Awak cakap je nak layanan yang macam mana? Zahir? Batin? Semuanya saya layankan..." Riak wajah yang tampak nakal ditayangkan kepada sang isteri semasa menyebut perkataan 'batin' itu. Siap ditekankan lagi nada suaranya pada perkataan itu. Sengaja.

"Hah! Hah! Yang batin tu juga dia nak tekankan... kan?" Sengaja Humaira mempamerkan riak wajah garang kepada lelaki itu.

"Eh? Saya tak cakap layanan yang dekat atas katil tu! Batin merangkumi hati dan perasaan... dalaman dan rohani awak... itu semua wajib saya jaga sebagai seorang suami. Menegur awak dalam beribadah dan memastikan awak sentiasa bahagia dan selamat setiap kali bersama saya pun... itu tanggungjawab seorang suami, tahu?"

"Dah tu... yang muka bukan main nakal masa sebut 'batin' tu dah kenapa? Sengaja, kan?" Humaira tidak mahu kalah. Entah kenapa, terasa membahang pula wajahnya pada ketika ini. Segan! Macam fikiran dia aje yang jauh menerawang ni!

"Eh, eh? Awak yang fikir ke lain ni. Haaa, fikir apa tu? Nak ke? Boleh je saya layankan. Halal, kan?" usik Azam lagi. Suka pula dia melihat wanita itu tidak tentu arah dengan usikannya. Bukan main tadi yakin sangat menegur dia pasal 'layanan batin' itu. Tetapi, apabila si dia diusik kembali? Dia tersenyum sendiri.

Merona merah wajah seorang Aisyah Humaira dengan usikan dan riak wajah yang tampak nakal milik lelaki itu. Tidak mahu terus-terusan diusik oleh Encik Suami, dia mengalihkan perhatiannya kepada si anak semula. Si kecil itu kelihatan sudah lena di pangkuan. Comelnya anak ibu ni...

"Malulah tu." Eh, eh. Masih lagi Muhamad Azam Shah mahu mengusik Cik Puan Isteri.

Humaira pura-pura tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu di sisinya.

"Dah, tak payah nak malu-malu. Itu lumrah apa dalam kehidupan berkahwin? Tak kan lah tak tahu? Awak kan lagi banyak pengalaman daripada saya..."

"Ish, dia ni!"

Azam tertawa senang tatkala mendengar bentakan kecil isterinya itu. Seronok dapat mengusik. "Ni, makan. Nak makan sendiri ke, nak saya suapkan?" soalnya apabila wanita itu terlihat ralit memandang anak perempuannya. Acah-acah ignore aku pula!

"Eh, saya boleh makan sendiri." Laju Humaira menjawab persoalan Encik Suaminya. Seharusnya dia yang melayan lelaki itu seperti raja memandangkan lelaki itu adalah suaminya. Tetapi, ini? Mengada pula jikalau dia mahukan si suami melayannya laksana puteri raja.

"Sure? Tengah pegang anak tu, kan? Saya boleh suapkan... kalau awak nak." Azam meminta kepastian.

Humaira mengukir senyum segaris kepada lelaki itu. "Tak apa. Saya boleh guna tangan sebelah lagi untuk makan."

"Okeylah. Kalau tak nak saya suap, sini... saya pegang anak. Tak selesa nanti awak nak makan." Azam menghulurkan tangannya kepada sang isteri.

Tidak membantah, Humaira menghulurkan si anak yang sudah lena kepada suaminya.

Suasana sepi seketika di antara pasangan suami isteri itu. Seorang sedang menikmati makanan di hadapan mata, manakala lagi seorang sedang ralit mengalunkan selawat sambil mendodoikan bayi kecil di dukungannya. Seperti dua hari lepas, jari telunjuk di tangan kanannya digenggam erat oleh jemari kecil itu. Manja sangat anak daddy ni!

Setelah beberapa ketika, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW disudahkan sebelum dia meniup lembut ubun-ubun si kecil dan ulas bibir dilabuhkan seketika di situ. Anak daddy, jadi puteri yang solehah ya?

"Awak tak makan?" soal Humaira setelah beberapa suap makanan masuk ke dalam mulutnya. Baru dia sedar yang dia terlalu mementingkan diri dengan membiarkan lelaki itu tanpa diketahui keadaan tubuh si suami. Entah makan ke tidak itu...

"Makanlah. Saya dah makan tadi dengan Ekal dan abah," jawab Azam. Beriak biasa.

Humaira akur dengan jawapan itu dan kembali menyuap makanan ke dalam mulut.

"Aira..." Wajah Azam terangkat dan wajah si isteri ditatap redup. Lembut sahaja nada suaranya memanggil wanita itu.

"Hm?" sahut Humaira setelah dia meletakkan sudu garfu kembali di dalam pinggan. Segelas air suam yang berada di atas dulang itu dicapai dan diteguknya.

"Nanti kemas baju awak dengan Hannah eh? Petang nanti, kita balik rumah kita," maklum Azam kepada isterinya.

"Okay." Humaira menyatakan persetujuan tanpa banyak soal. "Ni, ummi, abah dengan ibu tak tanya ke... saya tak keluar bilik?" Dia menukar topik perbualan mereka pula kemudiannya.

Azam tersenyum simpul menyambut soalan itu. "Tak adalah. Newlywed. Abah, ummi dengan ibu faham dan awak tak perlu nak risau pasal ibu saya tu... nampak aje garang. Tapi, hati dia lembut dan mudah menerima," terangnya kepada Cik Puan Isteri tentang si ibu tersayang.

Humaira mengangguk perlahan sebelum dia mengukir senyum manis kepada suaminya. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar suatu hari nanti, dia dapat melupakan seorang Rayyan Harith dan membuka ruang bagi seorang lelaki yang bergelar Encik Suami di dalam hidupnya.

Masa hadapan dan masa silam. Pastilah masa hadapan yang harus dikejarnya, bukan?

SEKUJUR tubuh yang sedang terbaring kaku di atas katil itu ditatap dengan renungan yang penuh sayu. Hiba terasa di hati melihatkan keadaan lelaki itu. Sudah dua belas jam berlalu setelah pembedahan selesai dilakukan, namun keadaan lelaki itu masih lagi begitu. Tiada tanda-tanda bahawa si kembar akan sedar dalam waktu yang terdekat.

Sungguh, dia takut. Sangat takut melihatkan keadaan lelaki itu dan sangat takut seandainya mesin hayat yang berada di sebelah katil itu terhenti. Dia tidak mahu lelaki itu meninggalkannya sendiri. Dia tidak kuat seandainya si kembar juga pergi daripada hidupnya.Kepada siapa? Kepada siapa lagi dia mahu bergantung, andai si kembar yang merupakan satu-satunya ahli keluarga yang dia ada, juga meninggalkannya sendiri?

Perlahan-lahan, dia mencapai jemari kasar yang terletak elok di sisi katil itu dan digenggam erat jemari itu dengan kedua-dua belah jari-jemari runcing miliknya. Wajah yang masih cengkung dan pucat itu direnung lagi. Sayu dan penuh hiba sebelum dia mendekatkan tangan lelaki itu di bibirnya dan sebuah sebuah ciuman dilabuhkan lama di atas kekura tangan itu. Tidak lama kemudian, air matanya mulai tumpah dan dia teresak-esak sendiri menahan rasa sebak dan pilu yang bertamu di kamar hati. Wajah tertunduk sehingga dahinya menyentuh kekura tangan si kembar.

"Iyan..." Sebaris nama manja buat lelaki itu disebut perlahan dalam serak suaranya. "Bangunlah. Jangan tinggalkan I... You janji, nak jaga I, kan? You janji, tak kan biarkan I seorang-seorang." Dia mengongoi perlahan di celah genggaman tangan mereka.

"Iyan..." panggilnya lagi dan kali ini, wajah diangkat dan raut wajah itu direnung dalam. "You tahu apa? Dua hari lepas... patutnya adalah hari pernikahan I. Pernikahan I bersama dengan seorang lelaki yang I cintakan sejak dari zaman kita sekolah lagi. I harap you akan ada. Temankan I untuk lalui masa dan hari itu. Meraikan hari bahagia I bersama dengan orang yang I sayang... itu impian I, Iyan."

"Tetapi, beberapa minggu sebelum hari pernikahan tu, I dapat call daripada Dina..." Nafas dan cecair yang mengalir dari hidung disedut ke atas sebelum dia kembali mengatur bicara dengan suara yang jelas bergetar. Sangat serak suaranya pada ketika itu.

"Iyan, I tangguhkan nikah I dengan dia untuk you. Untuk pastikan you akan ada dan you akan terus kuat untuk bertahan demi kami semua. Ya, semua orang yang sayangkan you..."

"I'm sorry..." Tangisannya kembali pecah. Sangat merah wajahnya menahan esakan bersama air mata yang tidak henti-henti mengalir di wajah. "I rasa teruk sangat bila I tak tahu yang selama ini you sedang sakit. Kenapa you pilih untuk pendam seorang diri, Iyan? Kenapa you pilih untuk tinggalkan anak dan isteri you? You know what? Walaupun you dah tak ada sesiapa untuk kongsikan masalah you, tapi you still ada I. I ni kembar you. Kenapa you nak berahsia dengan I? I tahu I tak kan boleh tolong you untuk tanggung sakit tu, tapi sekurang-kurangnya I ada untuk jadi tempat you mengadu dan luahkan perasaan you selama ni."

"Jujur, I kesal. Sangat kesal, Iyan... I can't be there during your struggle time. I can't be there when you are in needed. Padahal, selama ni... you selalu ada dengan I, waktu susah dan senang I. You selalu berjuang untuk I, demi memastikan hidup I terjamin dan bahagia."

"I minta maaf... I tak ada dengan you waktu you kehilangan dia dan anak you. I terlampau kisahkan tentang kemarahan dan kekeruhan yang berlaku dalam keluarga bekas isteri you, without knowing that you are here... sedang bertarung nyawa untuk melawan sebuah kesakitan." Esakannya semakin tidak terbendung.

"Dan yang paling I kesalkan sekali... why don't you wait for me? Why, Iyan? Kenapa perlu I jumpa you saat you dah tenat? Saat you dah tak sedarkan diri? Then, how can I make sure that you will be okay? How can I give you a strength to fight for your life?"

"Iyan, I tak tahu apa yang akan terjadi selepas ini. Tapi, I harap sangat yang you akan okey. No, you have to make sure that you will be okay. You have to wake up. You have to survive. Please Iyan... demi I, demi Aisyah Humaira, dan demi Ammara Hannah you... be strong and stay alive. For all of us."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro