Kasut

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Membeli-belah dan Reanna adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Malahan Reanna sendiri sering mendabik dada berkata, "Bakat saya sebenarnya bukanlah menjadi setiausaha, tetapi membeli-belah!" Namun begitu, hari itu pertama kali Reanna mengaku lelah untuk melangkah masuk ke kedai.

"Sembilan buah kedai dan tiada sepasang kasut pun yang muat di kaki awak?"

Syifa mengangkat bahu. "Begitulah kebiasaannya."

Misi mereka hari itu adalah untuk mencari sepasang kasut buat Syifa. Oleh sebab Syifa merupakan seorang yang sangat tinggi, mencari kasut yang padan di kaki agak sukar. Setiap kali mereka meninggalkan sebuah kedai, wajah Syifa bertambah keruh. Hampir sahaja dia menangis di kedai kesembilan, apabila pembantu kedai memaklumkan bahawa mereka tidak menyimpan saiz yang lebih besar.

"Di mana awak beli kasut sebelum ini?"

"Dulu saya beli kasut di kedai yang terletak di Kompleks Permata. Sayangnya kedai itu telah pun ditutup."

"Apa yang terjadi kepada kasut-kasut awak? Tiada sepasang pun yang boleh dipakai?" Soal Reanna. Di tangannya ada beg-beg plastik yang bertambah secara misteri.

"Minggu lalu Khansa bawa pulang beberapa ekor anak kucing. Entah kenapa, anak-anak kucing itu terlalu suka dengan kasut-kasut saya? Bangun-bangun sahaja hari ini, semua kasut saya telah rosak dikerjakan kucing. Khansa awal-awal lagi telah menghilangkan diri! Bukan senang hendak mencari kasut yang padan dengan kaki gergasi saya. Saya tak peduli sama ada kasut itu ada riben, butang atau hiasan-hiasan lain. Apa yang penting ia muat di kaki raksasa saya!"

Perkataan yang dituturkan oleh Syifa membuatkan Reanna kelihatan tidak selesa. Syifa seringkali menganggap dirinya seorang raksasa gergasi yang besar, hodoh dan juga tiang lampu. Seorang yang tidak dapat membeli kasut yang biasa. Seorang yang ditakdirkan tidak mempunyai teman istimewa sehingga ke akhir hayat.

"Alangkah bagusnya mempunyai tubuh yang kecil dan comel. Mudah sahaja hendak beli barang." Rungutan Syifa masih belum berhenti.

"Hei, kecil dan comel juga ada masalah tersendiri. Seorang kawan saya bermasalah mencari pakaian yang sesuai dengan usia. Dia hanya boleh membeli pakaian di bahagian kanak-kanak!"

Syifa tersenyum. "Betul juga.Walaupun pakaian yang saya beli kebanyakkannya singkat, sekurang-kurangnya masih muat di badan."

Reanna memetik jari. "Saya suka fikiran yang positif begini."

"Tapi saya masih tak dapat cari kasut. Bagaimana saya hendak pergi kerja?"

Tiba-tiba Reanna menepuk kepala. "Ah, kenapa pula saya terlupa perkara ini?"

"Perkara apa?"

"Kedai baru di kawasan perindustrian."

"Bagaimana awak tahu ada kedai disana?"

Soalan itu dibiarkan tidak berjawab. Reanna terus mengheret Syifa ke kedai kasut yang ke sepuluh. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kedai, perkara pertama yang dilakukan oleh Reanna ialah bertanya kepada pembantu kedai, "Berapakah saiz kasut paling besar yang awak ada?"

Terkelip-kelip mata pembantu jualan itu untuk menjelaskan, "Saiz yang cik puan tanya itu, ada dalam simpanan. Tetapi jumlahnya agak terhad."

Jawapan yang membuatkan wajah Syifa kembali bercahaya. Potong Syifa, "Saya tak peduli! Asalkan dapat membeli kasut, saya dah cukup gembira. Silap-silap saya beli seluruh rak!"

Sekejap sahaja Syifa menyedari bahawa sebenarnya dia peduli dengan riben kecil, butang dan hiasan di kasut. Pipinya memerah tanda terlalu gembira dapat mencuba pelbagai jenis kasut yang muat di kaki. Mujur sahaja Reanna dapat mengawal Syifa daripada membeli kesemua kasut yang ada. Bakat mengawal diri yang kadang-kala sahaja dipraktikkan oleh Reanna untuk diri sendiri.

Keluar dari kedai, Syifa berbisik, "Saya belanja awak kek."

"Saya mahu sebiji kek!"

"Diabetes."

"Saya tak peduli."



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro