1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Badar masih berkira-kira akan langkahnya ketika lelaki itu menyerang. Ternyata ketangkasan berjaya mengatasi keberanian. Hujung pedang Perwira milik Badar berjaya menghiris tengkuk Sang Panglima.

Serta-merta lelaki itu menerkup ruang kulit yang terbelah. Darah  membuak-buak keluar dari celahan jarinya.

"Kau terlalu memandang rendah akan pewaris sebenar tahta Inderasakti. Aku ini berdarah pejuang sejati. Keturunan Maharaja yang mempertaruhkan nyawanya menuruti luhur jiwa."

Aneh! Kata-kata yang dihambur Badar bersambut senyuman sinis. Meskipun di ambang maut, panglima itu masih mampu mengejeknya. Sejurus lelaki itu terduduk lalu tertirap, warna merah berlumba-lumba mencemari tanah.

Badar juga turut terduduk. Tenaga tiba-tiba  meninggalkan tubuhnya. Tangan yang dilarikan ke perut diangkat paras dada. Darah memenuhi seluruh tapak tangannya.

"Bangsat!"

Ketawa kuat memecah kesunyian medan tempur. Tiada lagi musuh yang masih bernyawa di situ. Semuanya rebah di hujung pedang Perwira. Badar telah mengatur rencana agar dia dan pasukannya berpecah. Dia rela berpetualang sendirian. Lebih mudah mencari sumber masalah. Cuma, dia tidak menyangka bahawa dia juga bakal berkongsi nasib dengan Panglima Asad. Rupa-rupanya bilah pedang lelaki itu  menghiris dalam.

Tangan masih kuat berpaut pada pedang yang tercacak di tanah tatkala muncul suara yang memanggil-manggil nama Badar. Dalam kian kelam pandangan, wajah ibu semakin jelas.

"Bertahan Badar. Hanya kau harapan bonda"

Bunyi kocakan air menyimbah bejana mengganggu lenanya. Meskipun terasa melekat kuat, Badar berusaha membuka kelopak mata.

"Shhh... tidurlah. Kau terlalu lemah."

Merdu sungguh suara wanita yang memujuknya. Benarlah ibu yang dia lihat tadi. Bau asap yang menusuk hidung menambah kantuk. Mata Badar tertutup kembali.

Kali ini kokokan ayam jantan terus membuat mata Badar terbuka luas. Persekitaran kelam turut mengejutkan lelaki itu. Sebaik sahaja dia bangun dari pembaringan, kesakitan terus menyengat. Badar duduk semula di atas katil bagi mengurangkan kesakitan.

"Jangan paksa diri, anak. Lukamu agak parah. Rehatkan diri."

Badar berpaling ke arah suara tadi. Sinar api dian menyuluh pandangan. Seorang lelaki memegang tasbih, kemas bersila atas tikar sejadah.

"Di mana aku? Dan siapa kamu?"

Lelaki berusia separuh abad itu berhenti berzikir. Renungannya jatuh ke tempat sujud. Soalan Badar dijawab ringkas.

"Tempat ini bernama Bukit Tempua. Aku hanya hamba Allah yang ingin menolong."

Enggan menyambung tidur, Badar menyandarkan badan ke dinding. Tak banyak barang yang dia boleh nampak di dalam bilik itu. Sehelai kain perca ada terendam dalam mangkuk di sisinya.

Badar bagaikan tidak wujud di situ. Lelaki itu meneruskan ibadatnya tanpa menghiraukan Badar. Setelah itu, dia keluar meninggalkan Badar.

Bersendirian membawa Badar hanyut jauh di alam lamunan. Satu wajah yang mengisi ruang kepalanya, Puteri Balqis. Wanita itulah penyebab dia memulakan perjuangan yang panjang ini. Air mata dan tangisan wanita itu pula pembakar obor semangat Badar. Meskipun berjuang bersendirian, Badar tak pernah gentar demi pembelaan terhadap wanita itu.

Hanya sekali pintu diketuk lantas terbuka luas. Seorang gadis sedang menatang dulang menuju ke katil Badar. Langkah kaki si gadis berhenti separuh jalan.

"Oh! Dah sedar rupanya."

Wajah yang semakin merona merah cuba disembunyikan ke sisi. Setelah seketika berdiam diri, gadis itu berpaling untuk berpatah balik.

"Aku tak berniat nak bunuh kamu. Nak bangun pun tak cukup tenaga."

Barangkali sapaan sulungnya terlalu telus. Wajah si gadis berubah sekali lagi. Badar kalihkan renungan ke tangan.

Bunyi dentingan tembikar berlaga semakin dekat. Badar putuskan untuk membiarkan sahaja si gadis menyempurnakan tugasnya.

"Ubat dan air minum."

Suara itu merubah keputusan Badar. Buat kali pèrtama, mereka saling bertukar pandangan. Ya, suara merdu itulah yang memujuknya di alam separa sedar. Badar pasti sangat.

"Saudari... terima kasih."

Muka yang tampak ketakutan tadi mempamerkan keindahan. Ukiran senyuman si gadis menaikkan seri wajahnya. Dia berlalu tanpa sebarang kata.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro

#1nkfinity