sparks badar

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Spark 💥 Pilihan ke 2.

"Mari."

Lastina yang masih diam di tempat sama bertanya, "Ke mana?"

"Ikut aku."

Dua patah kata Badar tidak meleraikan tanda tanya Lastina. Tetapi kakinya mula menyaingi langkah Badar.

"Pengawal terpaksa ikut kata penceroboh. Beri aku alasan yang wajar Badar?"

Melihatkan gerakan Badar semakin pantas, Lastina memberi peringatan kedua.

"Hei Badar, tolong kisahkan nama baik aku!"

Di saat itu tubuh Badar terlihat bak kelibat. Nampak sekilas lantas lenyap ditutupi bayang hitam. Lastina berusaha menjejaki Badar. Memanjat dari tembok ke tembok, tingkat ke tingkat. Dalam masa yang singkat, mereka telah berada di hadapan pintu bilik Puteri Dara Kesuma.

Badar sempat melempar sengih kepada Lastina di belakang sebelum menolak kedua daun pintu.

"Badar!"

"Badar?"

Nama Badar keluar dari dua mulut dalam nada yang berbeza. Lastina yang menegah dan Dara Kesuma yang terpempan.

Langkah Badar penuh yakin memasuki kamar Dara Kesuma. Ironi, kuasa penuh di tangan Lastina sedangkan dialah yang teragak-agak mengikuti Badar dari belakang.

"Rembulan tidak menyampaikan rinduku? Lantas kerana itu kau sendiri ke mari menuntut kasih?"

Dara Kesuma masih bersidai di jendela. Kepalanya terteleng ke arah pintu utama kamar DiRaja.

Badar terus bergerak merapati Dara, melabuhkan lengan ke birai tingkap. Dia mendongak mencari bulan.

"Rindumu sudah disampaikan. Namun hati ini masih kehausan kasih. Aku khuatir andai terik mentari esok akan membakarku sehingga tandus dan mati. Dek kerana itu aku bergegas ke mari. Demi memanjangkan nyawa."

"Otak kau semakin bergeliga, Badar. Pandai mencipta seribu satu alasan untuk menceroboh negeriku, istanaku, ka-mar-ku."

Lantunan ketawa Dara Kesuma yang tertahan-tahan segera mengingatkan Badar akan Lastina yang turut berada di dalam kamar yang sama.

"Ke sini, Tina."

Derap sepatu Lastina berhenti memecah hening kamar setelah tiba di hadapan Badar dan Dara. Oleh kerana ketangkasan Badar jauh mengalahkan Lastina, dia gagal menyekat pedang yang tergantung di belakangnya dari jatuh ke tangan Badar.

"Berlutut," arah Badar.

Arah mata Lastina turun ke tangan yang sedang menggenggam pedangnya sebelum perlahan-lahan naik menyambut renungan Badar. Muka Lastina mulai merah. Bibir yang diketap bergetaran.

"Berlutut, Lastina!"

Lastina menghela nafas panjang berkali-kali. Akhirnya dia akur. Kepalanya merunduk longlai.

Pedang Lastina naik tinggi lalu jatuh di atas kepala tuannya. Suara Badar lembut mencecah telinga.

"Beta dengan ini melepaskan dikau, duhai kesatriaku yang setia dari sumpah setia dan ikrar taat yang telah kau lafazkan kepadaku."

Lastina menahan sebak dada. Tindakan Badar terlalu mendadak tanpa amaran.

"Ikatan hidup mati kita habis di sini, Tina."

Gagal menahan diri, Lastina bangun tanpa keizinan. Dia tahu pedangnya telah berpindah ke tangan Dara.

"Kau memang bodoh Badar. Kau telah memutuskan tali paling kuat yang mengikat kita. Apa dayaku lagi untuk melindungimu andai diri ini bertukar tuan?"

"Kau lagi bodoh. Bila masa aku percaya dengan sumpah mulut itu. Terima kasih Tina kerana mengikat aku pada hatimu."

Badar berpesan, "Sepertimana setiamu padaku, curahkan setia yang sama pada tuan barumu. Lindungi dia. Kerana dia nyawaku."

Lastina mengangkat muka. Tangannya beralih ke pipi Badar. Mulutnya melengkung ke bawah. Sayu suara Ansari berbaur merengek.

"Badar... puaslah aku merindu nanti."

Rindu? Kepala Badar terus terteleng ke sebelah. Bulat mata Dara dan luas nganga Sang Puteri menggambarkan salah faham Dara akan kata-kata Ansari. Lantas tangan Badar yang terkaku di kepala Ansari terus terangkat melayangkan tabuh.

"Berlutut, Ansari!" gesa Badar. Badannya menyendeng mendekati Dara.

"Adinda, kelak apa jua omongan tentang kekanda yang keluar dari mulut kesatria jahaman ini, usah percaya. Kesemuanya dusta belaka."

Lebar senyuman Dara memahami gurauan Badar.

"Letakkan hujung pedang di atas bahu Ansari. Serulah taat setianya."

Arahan pertama Badar dituruti. Untuk arahan kedua, Dara mempunyai pendapatnya sendiri. Dia mahu melihat perasaan tulus ikhlas daripada ketua kesatria Putih Inderaloka yang baru dilantik semalam.

Pedang terletak lama di bahu kanan Ansari.

"Lekas Ansari. Jangan habiskan masaku. Rindu dendamku pada Puteri Dara masih sarat belum terlepas."

Kedua tangan Ansari mencekak kepala Badar, melagakan dahinya pada dahi Badar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro

#1nkfinity