Bab 16🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Sofa empuk itu dilabuhkan punggungnya. Penat berjalan hanya untuk tiba di rumah sewa kakaknya. Selepas sahaja tamat peperiksaannya untuk semester ini, terus dia mencari pengangkutan untuk menuju ke bangunan flat yang seperti sudah lama terbina di sekitar kawasan negeri Melaka. Kukuh dan masih terjaga walaupun bertahun-tahun di situ.

"Dah berapa lama kau duduk sini, Acik?"

Kakaknya yang sedang sibuk memasak makanan malam untuk mereka mengalih pandangannya pada Dara.

"Baru 3 hari."

"Kau okey sajakah duduk sini?"

Dafinah mengangguk kepalanya. Tiada masalah yang berlaku kepadanya sepanjang dia menyewa rumah di bangunan lama ini. Kawasan di luar pun sentiasa terjaga dari sebarang kekotoran. Lif seakan-akan baru sahaja dibaiki, terdapat kawasan untuk berjalan-jalan dan jiran tetangga juga tiada masalah untuk menyapanya saat bertemu.

"Baguslah kalau macam itu." Perlahan Dara mengungkapkan kata-kata tersebut.

Otaknya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang baru sahaja berlaku sewaktu dirinya dalam perjalanan ke rumah kakaknya. Bibirnya dikemam sambil matanya fokus tertumpu pada kaca televisyen yang sedang menayangkan rancangan drama Melayu.

"Jom makan, Dara."

Sejenak dia melihat kakaknya yang menghidangkan makanan di atas meja kecil sebelum kakinya bergerak mendekati kakaknya.

"Kau ada jiran lelaki dekat-dekat rumah kau ini?" Soal Dara.

Dafinah terdiam memikirkan tentang jawapan adiknya. Jika mengikut pengetahuannya, dia hanya mengetahui jiran-jirannya yang berjantina perempuan sahaja. Lelaki? Mungkin agak jauh daripada rumahnya. Tekanya.

"Setakat ini tak ada lagi. Kenapa kau tanya?" Giliran Dafinah bertanya kepada adiknya yang sedari tadi terlihat curiga dengan tempat tinggalnya.

Dara yang sedang menggaul makanan di dalam pinggannya terhenti. Bibirnya kelihatan seperti hendak bertanya lagi, tetapi mungkin dia harus menceritakan semua yang dilihatnya sebentar tadi. Itu lebih baik.

"Waktu aku sampai dekat tingkat kau, dari jauh aku nampak ada seorang lelaki ulang-alik depan rumah kau ni, Acik. Suspicious juga aku tengok, macam tengah tunggu masa untuk ketuk pintu kau. Entahlah. Aku tak pasti sangat apa tujuan dia buat macam itu." Terang Dara penuh yakin.

Kecut perut si kakak mendengar satu-persatu keterangan daripada adiknya. Adakah dia juga diperhatikan seperti Huzaiman? Adakah lelaki yang mengugutnya untuk membakar rumah emaknya berada berdekatan dengannya sekarang? Dia fikir dia sudah lari jauh daripada orang-orang yang mungkin mempunyai sifat dengki padanya seperti yang dikatakan Amal sebelum ini. Entah-entah rakan sekerjanya yang tidak berpuas hati dengan kerjanya.

"Aku fikir itu rumah orang lain mula-mula. Tapi, bila aku sendiri tengok alamat rumah kau dekat telefon, sah tempat lelaki itu tengah berdiri itu memang depan rumah kau." Sambung Dara lagi. Tangannya mula menyuap makanan ke dalam mulutnya. Dia sedikit berselera dengan masakan kakaknya. Mungkin terdapat vibe kampung asli di negeri asalnya.

"Kau dapat tengok muka dia?"

Pipi Dara sudah mencembung tatkala soalan itu diajukan kepadanya. Lantas sahaja dia mengunyah agar dapat ditelan sehingga ke perut. Kepalanya digeleng laju. Lelaki itu terus sahaja berlalu pergi apabila perasan akan kehadirannya.

"Tak perasanlah pula muka dia masa itu. Dia pakai cap dengan mask. Senang cerita, satu badan dia warna hitam."

Dafinah terdiam seketika ingin memproses jawapan adiknya sebentar sahaja tadi. Topi? Wajah yang separuh kelihatan terlayang di benak fikirannya pada saat itu. Orang tersebut itulah lelaki yang cuba membuat sesuatu yang buruk kepadanya sebelum ini? Adakah lelaki itu juga yang menghantar mesej berbaur ugutan padanya? Rungsing kepalanya apabila jalan rancangannya untuk berjauhan dengan masalah masih belum selesai.

"Kenapa diam, Acik?"

Mereka berdua memandang tepat pada anak mata masing-masing.

"Kau ingat pasal mesej yang aku tanya sebelum ini?"

Dara mengganguk kepalanya seperti burung belatuk. Otaknya juga memikirkan perkara yang sama.

"Pasal ugutan itu?"

"Ya."

"Kenapa dia aim keluarga kita? Mula-mula dia cuba bakar rumah mak. Along dengan anak-anak dia dah cedera. Lepas ini, kau pula?" Bengang pula hatinya berbaur kesedihan. Bergenang air di tubir matanya. Sudahlah dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya, jangan pula kakaknya yang berada di hadapannya kini.

"A... Aku tak rasa dia nak ganggu keluarga kita, Dara. A... Aku rasa dia nak aim aku seorang sahaja. Tapi, dia sengaja nak gunakan keluarga kita." Sayu suara Dafinah menyuarakan apa yang terbuku di fikirannya selama ini.

"Kau yakin, Acik?" Dada Dara berombak menahan keperitan yang dialaminya.

"Kau ada masalah dengan sesiapakah? Kenapa sampai sanggup nak gadaikan nyawa orang yang tak bersalah?" Dara meninggikan suaranya. Dia masih tidak boleh menerima sepenuh jiwanya tentang kematian emak mereka. Lagi-lagi apabila mendengar penjelasan kakaknya.

"Aku tak pernah cari pasal dengan orang, Dara. Percayalah... Kalau kau ada dekat tempat aku pun kau akan rasa benda yang sama. Kau akan tertanya-tanya apa yang kau sudah buat sampai ada orang cuba untuk ganggu hidup kau." Rintih Dafinah apabila dia melihat kepercayaan adiknya sudah tipis terhadapnya.

Dara berdiam diri, langsung tidak membalas pandangan Dafinah. Seleranya sudah hilang. Kalau bukan masalah kakaknya, pasti emaknya sedang melakukan aktiviti menenun di tepi tingkap sambil menunggu kepulangan seorang demi seorang anak-anaknya. Kedengaran suara Dafinah menyambung lagi.

"Lengan aku pernah ditoreh dengan pisau. Aku ha... hampir dirogol, Dara..." Menggigil tubuhnya mengata perihal yang terjadi pada dirinya.

"Aku kena ugut..." Tangan kirinya menekup mukanya menahan kesedihan.

"Kenapa kau tak cerita semua ini dekat kita semua?" Dara mula bersuara.

"Tak sempat, Dara. Semua ni macam berlaku dalam sekelip mata. Nasib baik ada yang... sudi nak selamatkan aku."

"Siapa?"

Giliran Dafinah pula berdiam diri. Lama. Wajah tampan milik Huzaiman terlayar di mindanya. Lelaki itu langsung tidak terlihat seperti seorang hero dalam drama tetapi kenapa dia juga yang akan menyelamatkannya dalam kesusahan? Sudahlah sekarang ini hubungan mereka agak janggal dan lebih kepada menyibuk hal sendiri sahaja.

"Adalah orang yang aku kenal."

"Mana tahu orang yang kau kenal itu yang tikam belakang kau, Acik..." Dara menembak tekaannya.

Dafinah sudah memandang tajam adiknya yang suka melepaskan kata-kata yang entah difikir dahulu atau tidak sebelum bercakap.

"Dia sendiri yang salahkan aku sebab dia rasa dia diperhatikan. Aku dah cerita dekat dia yang dia mungkin dalam bahaya sebab dia dah kenal rupa lelaki itu. Tapi, dia still nak berhati-hati dengan aku." Rajuk sahaja bunyinya.

"Kau cakap macam kau tengah merajuk dengan boyfriend kau sendiri. Dah serupa kawan-kawan aku yang kemaruk cinta-cintun itu." Badannya sudah terasa geli-geliman apabila melihat semua orang seolah-olah merasakan diri mereka seorang yang istimewa dalam setiap cerita masing-masing. Perkara yang dinamakan cinta tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya apatah lagi dia sendiri yang bakal melalui fasa tersebut. Jauh di sudut hatinya, dia merasakan dia tidak akan mempunyai pasangan hidup sampai ke tua.

"Ma... mana ada..." Tangannya menyelit rambut di sebalik cuping telinganya. Panas mukanya menahan malu. Perkataan 'boyfriend' yang terpacul di bibir Dara menggelikan hatinya.

"Eee... Gedik. Serupa Kak Dayang."

Terasa sunyi suasana pada masa itu. Pada mulanya ceria, dan kemudian bertukar rumit dan sedih. Kali ini, mula terasa janggal pada perbualan di antara mereka. Tidak dapat disangkalkan kata-kata Dara sebentar tadi kerana memang rupa Dayang dan Dafinah seperti kembar seiras walaupun jarak usia mereka ialah 4 tahun. Tidak terkira juga berapa kali mereka sekeluarga tersilap orang. Disangkanya Dayang, rupa-rupanya Dafinah. Hanya tanda lahir mereka yang membezakan mereka berdua.

Emaknya sudah memberikan amaran supaya tidak mengungkit tentang Dayang sehingga Dayang sendiri pulang meminta ampun kepada emaknya atas kedegilannya. Dara berdehem apabila dia merasakan bunyi cengkerik di luar bangunan itu sudah berkali-kali menyinggah dalam kesepian tadi. Terasa mahu dijentik bibirnya tatkala itu. Rasanya ini bukan masa yang sesuai untuk melibatkan kisah kakak mereka yang seorang itu.

"Aku nak tinggal dengan kau selama cuti sem ini, Acik. Aku nak tangkap mamat suspicious itu." Dara cuba menukar topik yang sebelum ini.

Dafinah yang tadinya termenung terus sahaja mengoyak senyumannya. Kisah lama ditolak tepi. Sekurang-kurangnya ada juga pengganti Amal dalam hidupnya. Hatinya sedikit lega apabila kemarahan adiknya berjaya dipadamkan.

"Thank you, adik." Terkekek dirinya menyebut panggilan manja itu kepada Dara.

"Gelilah kau panggil aku 'adik' ini."

Panggilan itu dikhaskan hanya seorang sahaja yang boleh memanggilnya. Kak Dayang.






Dayang sudah terasa sesak nafasnya apabila seorang lelaki yang sangat dikenalinya sudah masuk menjejakkan kaki ke dalam rumah kecil tersebut. Bertahun-tahun lamanya dia menunggu hubungan mereka untuk terjalin sebagai suami isteri yang sah di sisi agama. Namun, sehingga kini ia masih menjadi satu angan-angan yang tergantung dan hanya berlayar di mimpi yang tidak pernah nyata.

"Sayang..."

"Abang dah balik."

Dua hari jugalah lelaki itu tiada di situ. Jadi, dia sendirilah yang membetulkan pintu kayu yang sudah terpisah dari skru yang tersedia ada pada dinding rumah. Kalau pintu itu dia yang betulkan, mestilah ada sedikit kecacatan. Pasti lelaki itu sudah mengetahui tentang kehadiran sekumpulan lelaki yang mengutip hutang yang tak berbayar itu.

"Sayang?"

Tersembul wajah lelaki yang dicintainya itu di sebalik pintunya yang hanya ditutupi dengan langsir nipis.

"Dia orang kacau sayang lagi?"

Dayang sekadar mengangguk lemah. Sudah lali dengan keadaan sebegitu. Tubuhnya sudah banyak kali dipegang seperti perempuan murahan sekiranya dirinya dijumpai. Walaupun sekadar di hujung jari, masih terasa jijiknya semua itu.

"Dia orang sentuh Dayang?"

"Tak. Dayang menyorok dalam almari."

Kelihatan Aizat menghela nafasnya. Nasib baik perempuan kesayangannya tidak disentuh lagi.

Perempuan itu termenung sendiri apabila raut wajah lelaki yang membuka pintu almari ketika itu terlayar di fikirannya. Tidak silapnya, lelaki itu bernama Pudin. Itu apa yang didengarinya secara sipi-sipi. Tidak sejelas untuk kepastian. Otaknya tertanya-tanya. Kenapa lelaki itu tidak memberitahu rakannya yang lain tentang keberadaannya setelah dia berjaya menjumpai dirinya? Adakah lelaki itu sudah bersimpati padanya setelah berkali-kali dirinya cuba untuk dipegang dengan tangan kotor orang lain? Adakah dia lelaki yang baik di antara mereka?

Matanya ditutup rapat sejenak sebelum dibuka semula kelopaknya. Raut wajah Aizat yang tidak terurus dipandang.

"Da... Dayang nak balik kampung Dayang."

Aizat sudah lali mendengar ayat itu setelah mereka menduduki rumah kecil ini. Tidak habis-habis mahu pulang ke kampung di Perak sana. Sudah dia menyedarkan Dayang sehingga berbuih-buih mulutnya tentang keluarga Dayang yang sudah lama membuangnya setelah dia beredar dari situ. Masih tidak sedar diri lagikah perempuan itu? Masih tidak cukup dengan kasih sayangnya yang tidak putus-putus mencintainya sepenuh jiwa dan raga? Bukankah dia sendiri membuat keputusan untuk hidup semati dengannya?

"Tak ada gunanya kalau Dayang balik sana. Mereka akan halau Dayang." Malas dia membalas.

"Keluarga Dayang akan faham..."

Pantas sahaja Aizat memintas kata-katanya.

"Dayang, abang penat balik dari kerja. Abang tak nak dengar ayat yang sama sahaja apa yang Dayang cakap sebelum ini. Tengok telinga abang ini. Bernanah sebab dengar benda yang sama dari Dayang." Aizat meninggikan suaranya. Dia tahu Dayang tidak berani berlawan dengannya kalau dia bertindak sebegitu kerana dia mungkin sahaja akan bertindak lebih kasar sekiranya dia mencuba untuk berlawan.

"Maaf, bang..." Perlahan suara Dayang memohon ampun dari lelaki itu.

"Sudah, Dayang. Abang nak berehat. Nanti tolong urutkan badan abang." Badannya dipusing mahu keluar dari bilik kecil milik Dayang.

"Abang..."

"Apa lagi, Dayang?" Mendatar suara Aizat menyapa koklea telinganya.

"Sam... sampai bila kita nak teruskan hubungan kita macam ini?" Akhirnya bibirnya berjaya melepaskan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.

"Hubungan apa, sayang? Kita memang ada hubungan macam suami isteri yang lain, kan?"

Dayang menggeleng kepalanya laju.

"Tapi kita bukan suami isteri."

Berat Aizat melepaskan nafasnya seraya tubuhnya mula menghampiri Dayang yang masih menekur memandang lantai bersimen biliknya. Dagu Dayang disentuh lembut sebelum didongakkan melihat mukanya. Wajah Dayang tidak ubah seperti bidadari yang jatuh dari langit di matanya. Tidak sia-sia dia mendapatkan Dayang untuk mengikutnya. Perlahan-lahan dahi licin milik gadis itu dilabuhkan ciumannya.

"Abang tak ada duit, sayang. Nanti abang dah cukup duit, kita kahwin ya? Dayang akan tunggu abang walau apa sekalipun, kan? Itu janji Dayang pada abang dulu." Intonasi suara lelaki itu yang sebelum ini mendatar, tiba-tiba sahaja bertukar lembut seperti lelaki sejati.

Dayang sudah mengalirkan air matanya. Personaliti Aizat seperti berubah-ubah dan dirinya juga sudah masak dengan perubahan itu. Jujur di sudut hatinya, dia mencintai lelaki itu separuh jiwanya, tetapi dia juga mempunyai perasaan takut apabila berada di sisi lelaki yang bernama Aizat. Hal ini berpunca daripada serbuan dari geng Along yang sering membuat onar di rumah mereka.

"Abang sayang Dayang. Abang sayang Dayang sangat-sangat." Kali ini tubuh gadis yang digilainya itu dirangkul erat. Bunyi tangisan yang teresak-esak di dalam rangkulannya itu dibiarkan. Sudah terbiasa dengan Dayang yang akan berasa tenang sekiranya dia dipeluk erat.

"Tolong jangan tinggalkan Dayang seorang diri dalam rumah ini. Dayang nak kerja dan cari duit untuk pernikahan kita nanti."

Aizat melepaskan Dayang dari pelukannya. Raut wajah Dayang yang masih sembap dengan air mata itu direnungnya dalam.

"Tak... Tak akan, Dayang. Dekat luar sana lebih bahaya." Kepala Aizat menggeleng banyak kali. Wajahnya seolah-olah merisaukan sesuatu. Kuku tangannya digigit-gigit.

"Sekurang-kurangnya Dayang boleh menyorok dekat mana-mana dari kumpulan Along. Please, abang..."

Tangan kiri lelaki di hadapannya dipegang kejap mengharapkan persetujuan. Sudah lama dia merencanakan satu pekerjaan yang boleh dilakukan untuk menyara hidup mereka. Dia sudah berjanji dengan dirinya untuk bersusah senang dengan Aizat kerana itu jalan pilihannya.

"A... abang tak benarkan, Dayang. Dayang milik abang seorang!"

"Dayang memang milik abang seorang. Jadi, tolonglah bagi Dayang bantu abang untuk kali ini sahaja. Dayang janji Dayang tak akan buat perkara yang tak baik dan Dayang akan fokus dengan kerja nanti." Mata bundar itu bersinar menikam anak mata Aizat.

"Da... Dayang janji... Dayang tak akan tinggalkan abang?" Ketakutannya membuak-buak di dadanya. Mesti perempuan kesayangannya sudah bosan terperuk di dalam rumah itu sepanjang hari.

"Dayang janji."















Do vote⭐

Thank you!

P/s : Saya layan drama sinetron Indonesia yang lama. So, maaflah kalau penulisan saya dah nampak macam bahasa Indonesia.

2191 words.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro