Bab 19🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Kau jaga diri kau baik-baik, Acik. Ingat, jangan berani kau pergi rumah Kak Dayang sendirian! Kita tak tahu apa mamat itu akan buat dekat kita nanti. Kita tak boleh percaya orang sangat pada zaman moden ini." Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah sewa kakaknya, sempat dia memberi teguran.

Dafinah pula tidak habis-habis mengeluh apabila ada sahaja nasihat overthinking adiknya memasuki cuping telinganya berkali-kali. Rungsing kepala dibuatnya kalau Dara sudah menggantikan tempat kakak sulung mereka, Daniza. Kalau diam, nampak sombong pula.

Selang beberapa saat kemudian, dia terbatuk-batuk di hadapan adiknya yang sedang menyarungkan kasut Nike yang baru dibelinya kelmarin. Tekaknya terasa gatal itu sudah menyerang kembali.

"Ha. Tengok itu. Waktu aku nak baliklah, kau nak sakit. Kalau batuk sikit tak apa, ini dah dengar macam jantung nak terkeluar." Dara menepuk-nepuk belakang kakaknya.

Batuk kakaknya itu baru sahaja menyerang malam kelmarin sewaktu mereka membeli makanan penting di pasar malam. Mungkin disebabkan banyak asap dari penjual-penjual yang membakar makanan seperti ayam, daging dan sebagainya. Biasalah, tekak kakaknya itu kalau menyedut asap yang terlampau banyak, memang gatal sedikit. Tidak sangkalah pula sehingga berlarutan hingga kini.

"Alah, kau ini... Malam nanti aku pergilah sendiri ke farmasi. Lagipun tak jauh pun farmasi itu..." Dafinah membalas seraya dadanya diurut.

"Tak payah nak gedik pergi waktu malam. Petang ini kau pergi sajalah terus. Malam-malam kau nak keluar, senanglah kerja lelaki jahat itu nak buat benda buruk lagi dekat kau. Jangan kau lupa yang selama ini dia sakitkan kau pada waktu malam." Dara bercakap dengan nada yang berbaur geram. Dirinya sudah mengetahui setiap jalan cerita kakaknya itu setelah diberitahu padanya tempoh hari.

"Ya, aku tahu. Kau cakap macam aku pula yang adik sekarang ini. Lagi pun kau kan dah bagi aku ubat paracetamol. Aku makan tadi, dah hilang batuk." Dafinah terbatuk lagi. Eh, lain pula yang terjadi.

"Tengoklah sekarang. Batuk juga. Paracetamol itu cuma sementara saja. Kau pergilah jumpa doktor sebab dia orang lagi arif."

"Hmm..." Mahu tak mahu sahaja dia membalas. Belakang cuping telinganya digaru. Jarang adiknya menegur sebegini rupa.

"Ingat. Kalau kau suspicious dengan sesiapa, lari dapat bantuan atau call aku cepat-cepat."

Lah. Tak habis lagi rupanya... Ingatkan apabila dah bergerak beberapa langkah menjauhinya, dia akan berlalu pergi tanpa menamatkan perbualan. Ada lagi tambahan untuk menyedapkan perisa. Cakap serupa Superwoman sahaja. Macamlah dia boleh terus terbang selamatkan dirinya setelah dihubungi.

"Hmm..."

"Lagi satu. Sorry Acik aku tak dapat nak teman kau sebab bas aku akan sampai lagi setengah jam. Kau faham-fahamlah kan... Bas ini kalau datang lambat, tertinggal pula. Lebih baik datang awal." Sempat Dara memohon maaf dari kakaknya yang kelihatan sedikit pucat daripada raut wajahnya yang biasa.

"Hmm... Kau itu hati-hati cari jalan balik ke kolej."

Dia tidak menjawab pesanan kakaknya, malah langkahnya pantas menuruni anak tangga satu per satu. Beg galas yang berjenama Adidas di belakangnya sudah terlantun-lantun di belakangnya kerana dirinya yang tergesa-gesa mahu menamatkan langkah sehingga ke penghujung tangga. Rumah sewa kakaknya berada di tingkat lima, jadi agak letih jugalah untuk dia yang jarang bersenam ini.

Setibanya tapak kakinya berjaya mendarat di lantai terakhir, dapat dirasainya betapa lajunya degupan jantung yang menjadi organ penting dalamannya. Lif tiba-tiba sahaja buat hal waktu dia membawa beg yang berat. Geram betul! Omelnya sendiri sambil bibirnya dijuih.

Sebenarnya sedari tadi dia tidak mendapat mana-mana Grab yang ada di sekitarnya. Mungkin kerana kawasannya yang berada berdekatan dengan perkampungan. Jadi teksi mahupun Grab lebih mencari penumpang yang berada di bandar sana. Telefon pintarnya dikeluarkan dari koceknya. Masih tiada sebarang notifikasi yang menunjukkan bahawa terdapat mana-mana kereta Grab yang sudi menerimanya sebagai penumpang.

Belum sempat dia memaki-hamun di situ, seseorang di belakangnya menyapanya.

"Eh, adik Dafinah."

Mukanya yang sedang berada dalam fasa bad mood itu ditayangkan pada pemilik suara yang memanggilnya.

"Kau lagi?" Muka cemberutnya ditayang sengaja.

"Arr... Ya..." Nashif sudah menggaru-garu kepalanya. Salahkah dia mahu menegur sapa seseorang yang dia kenal?

"Kau buat apa dekat sini? Kau ikut dan intip kita orang lagi?" Terbeliak biji mata Dara apabila dia menyedari bahawa lelaki itu mempunyai pertalian antara perempuan kerek dan diva yang pernah dijumpainya sekali.

"Eh... Bukan. Kereta saya rosak semalam dekat-dekat sini. Itu yang saya datang bengkel yang ada dekat hujung bangunan ini. Hari ini saya datang balik sebab kereta saya dah siap dibaiki." Terang Nashif spontan.

"Kau datang sini dengan apa? Teksi? Grab? Mana?" Meliar anak mata Dara mencari kereta yang kelihatan seperti kenderaan pengangkutan awam.

"Saya jalan kaki."

"Ha?"

"Kenapa?"

"Aku ingat kau naik teksi..." Sayu suara Dara membalas. Monyok mukanya. Nampaknya memang tiada cara lain selain berjalan kaki. Tetapi, pasti bas akan meninggalkan dirinya juga!

Pandangannya beralih pada Nashif yang masih setia di sebelahnya.

"Kereta kau... Dah siap repair?"

Teragak-agak Nashif hendak mengangguk. Rasanya betullah itu apa yang telah dimaklumkan kepada dirinya pagi tadi.

"Tolong hantar aku ke stesen bas. Nanti aku bayar tambang kau. Serius! Aku janji. Aku janji, aku tak akan sepahkan kereta kau, aku tak akan sentuh barang-barang dalam kereta kau dan aku tak akan wujudkan apa-apa sekali pun masalah." Tapak tangan kanannya ditayangkan kepada Nashif.

Terdiam Nashif dibuatnya. Laju betul gadis kecil itu bercakap seperti seorang rapper. Gadis itu kelihatan resah sekali melihat dirinya yang masih terpaku tanpa memberi apa-apa respon positif.

"Boleh. Tak ada masalah."

Apa lagi. Terujalah Dara mendengar ayat ramah daripada lelaki itu. Kemudian, mereka berdua terus sahaja bergerak ke bengkel yang tidak jauh dari situ. Setibanya kedua-dua susuk tubuh mereka berada di situ, berkilau mata Dara melihat segenap sisi badan kereta yang bewarna putih bak merpati. Mulutnya sudah terlopong. Bila-bila masa sahaja liurnya boleh terjatuh hanya disebabkan terpukau dengan kecantikan ciptaan manusia tersendiri.

Nashif yang sudah masuk dan memulakan enjin kereta Porsche Taycan itu memanggilnya.

"Adik Dafinah. Cepatlah masuk."

Dara sudah terangguk-angguk lebih laju daripada burung belatuk. Terketar-ketar juga dia membuka pintu kereta mahal itu. Dia bagaikan rusa masuk kampung tatkala dia menghenyakkan punggungnya pada tempat duduk empuk itu. Masih tertanya-tanya otaknya satu perkara yang musykil.

"Macam mana kereta canggih ini boleh rosak?"

"Oh. Bukan rosak. Tayar pancit... Entahlah kenapa tiba-tiba dekat kawasan jalan lurus dan tak ada kereta lalu masa itu ada banyak paku yang bertaburan." Jawabnya sambil tangannya lincah memusing stereng untuk beredar dari kawasan itu.

"Mesti pekerja kedai bengkel yang nak dapat duit cepat punya angkara..." Dara melepaskan sesuatu yang terlintas di sudut pemikirannya.

"Saya juga fikir benda yang sama. Tapi kita fikir sajalah benda yang baik..."

"Sebab tak baik menuduh." Sambung Nashif lagi.

Kali ini Dara sudah menggigit bibirnya kuat. Matanya dikalihkan pada tingkap di sebelahnya sambil merenung melihat pokok-pokok yang melepasi kenderaan milik Nashif. Agak terkilan dengan balasan lelaki yang bernama Nashif itu.

"Kenapa awak senyap?"

Dara menjeling sedikit pada Nashif yang sedang fokus pada jalan yang berliku-liku.

"Dah kau perli aku, aku diamlah. Aku pun tahulah cara nak mengalah. Aku bukan macam perempuan lain." Geram sahaja dia membalas pertanyaan lelaki di sebelahnya.

"Eh, tak... Saya tak maksudkan..."

"Shh..."

Tubuh Dara disengetkan menghadap pintu kereta. Malas mahu mendengar suara sopan dan ramah bakal abang ipar tidak jadinya itu. Macamlah bagus sangat. Kelopak matanya yang sudah kuyu itu ditutup serapat-rapatnya.

"Apa nama awak?"

Dengkuran halus mula kedengaran di dalam kereta Porsche tersebut. Aik? Sudah tidur? Selesa sangatkah tempat duduk itu sampai senang terlena dalam beberapa saat sahaja?

Pertanyaannya dibiarkan sahaja tergantung. Perjalanan kereta itu diteruskan seiring dengan waktu yang masih berdetik tanpa tahu di mana penghujungnya. Dibiarkan sahaja gadis kecil itu nyenyak dibuai mimpi tanpa mengganggunya lagi.

Baju berlengan panjang miliknya dibetulkan sebelum jarinya lincah menaip sesuatu pada skrin telefon miliknya. Tubuhnya disandar pada dinding kedai farmasi tersebut supaya tidak kelihatan mencurigakan kerana dia mempunyai tugas yang harus diselesaikan pada waktu itu juga. Mesej dari aplikasi WhatsApp sudah menjelma di paparan telefonnya.

Kau tak berjaya rosakkan dia malam ini, aku potong gaji lumayan yang aku tawarkan sebelum ini. Benda mudah macam itu pun mahu disusahkan!

Giginya dikancing kuat menahan sabar yang masih tersisa. Perempuan itu tidak pernah menjalankan kerja sebegini, memanglah senang sahaja untuk diarah. Yang membuat tugas bahaya itu dirinya! Jadi, dia haruslah memastikan setiap kerja kotor yang dilakukannya haruslah bersih tanpa dijejaki mana-mana pihak berkuasa sebagaimana telah dia lakukan pada kes kebakaran rumah kampung mangsanya.

Sabar, Puan. Malam ini perempuan itu berseorangan. Senang sikit kerja aku. Puan jangan risau. Aku akan settle juga kerja ini.

Retina matanya kini menumpukan sepenuh perhatian kepada figura seorang perempuan yang sedang terbatuk-batuk menelan ubat cair di luar pintu kedai farmasi. Selepas itu, diteguknya air mineral sehingga separuh botol sahaja yang berbaki. Jelas sungguh raut wajah yang sedang menahan keperitan di kerongkongnya.

Dafinah sudah berasa tidak sedap badan pada waktu itu. Jam di telefon pintarnya dilihat sekilas. Sudah pukul 11 malam. Habislah kalau Dara dapat tahu tentang ini. Bukan dia sengaja keluar rumah pada waktu malam, tetapi disebabkan ubat paracetamol yang ditelannya tengahari tadi membuatkan dirinya tertidur tanpa menyedari bahawa dia sudah terlajak hingga ke maghrib. Nampak sangat kepalanya sudah tidak betul.

Sudahlah dia baru sahaja mendapat e-mel tentang kelayakannya untuk bekerja di butik Azura. Ditambah pula dengan kepalanya yang berat seperti orang yang tidak cukup tidur pula. Terpaksa jugalah dia meminta dirinya untuk bekerja pada lusa hari nanti. Harap-harap dia akan sembuh dari penyakit ini segera.

Kepalanya sempat menoleh kiri dan kanan untuk memerhati pergerakan orang yang curiga. Tiada buat masa sekarang. Lehernya dipegang kejap sambil diurut-urut lega. Tidak sia-sia dia membeli ubat batuk cap kelapa laut ini. Batuknya serta-merta hilang sama seperti kahak yang selama ini dirasakan pada kerongkongnya.

Kakinya mengorak langkah untuk menuju ke rumah sewanya kembali. Setelah beberapa meter dari kedai tadi, duit syiling yang ada pada tangan yang baru sahaja ingin disimpan ke dalam dompet, tiba-tiba sahaja terlepas dari genggamannya. Dafinah berdecit kecil. Duit syiling itu bergolek-golek laju pada lantai simen sambil dirinya mengejarnya. Walaupun nilainya kecil, tetapi ia adalah hasil dari titik peluh dia bekerja.

Ting...

Ia bertembung kaki tiang lampu logam dan terhenti tepat di bawahnya. Ketika Dafinah membongkokkan badan untuk mencapai duit syiling itu, pandangan matanya tersilau akibat cahaya terang dari sebuah van yang berhenti tepat secara melulu pada bahu jalan. Dafinah menjadi panik dan cuba larikan diri.

Tetapi, tiba-tiba beberapa orang lelaki bertopeng keluar dari kenderaan bercermin gelap tersebut dan terus menyerang Dafinah. Dua orang daripada mereka mengacukan pistol ke arahnya dan seorang lagi lantas menerkam badan kecilnya dari belakang. Plastik berisi ubat batuk terlepas dari tangannya begitu saja.

"Urm!"

Dafinah tidak sempat menjerit atau melarikan diri. Badannya dipeluk kuat dari belakang dan mulutnya ditekup oleh tapak tangan hangat berbau rokok. Tubuhnya diheret masuk ke dalam van tadi. Dia meronta-ronta, menggeliat dan menendang-nendang dua orang lelaki yang ada di hadapan untuk melepaskan diri, tetapi lelaki yang sedang memeluknya terlalu kuat sekali.

Tangan itu bagaikan besi, ia sukar
dilepaskan dari badan kecilnya. Ketakutan menjadi-jadi sehingga dia menangis dan menggeletar saat berada di dalam van
berwarna hitam itu.

Dafinah masih melawan dan cuba menjerit, namun ia cuma sia-sia! Tubuh kecilnya dihumban pada bangku belakang hinggakan dia terbaring walaupun dia sedaya upaya masih melawan!

Buk!

Lelaki tadi menjadi berang apabila Dafinah melawan, lalu dia mencengkam dagu dan memberi amaran keras kepadanya.

"Shut up, bitch! Kalau kau jerit lagi, aku bunuh kau!" Bentaknya.

Tergamam Dafinah dibuatnya. Dia panggil dirinya... B*tch? Anjing betina? Melampau sungguh. Ini kalau emak bapanya dengar, sudah ditenyeh cili padi pada bibir yang kurang diajar itu. Sepanjang hidupnya, tidak pernah seorang pun memanggilnya sebegitu jijik. Mereka semua memakai topeng. Hanya mata sahaja yang kelihatan di sebalik topeng bewarna gelap yang dipakai.

"Apa kau orang nak dari aku?" Dafinah menjerit lantang. Kenderaan itu pula mula dipandu laju meninggalkan kawasan kejadian selepas pintu ditutup.

Tiba-tiba lelaki itu mengacukan pisau belati tepat ke muka Dafinah. Terbeliak biji mata Dafinah tatkala itu dan jantungnya berdebar hebat hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Diam..."

Dafinah bagaikan bernafas di dalam air. Ia tersekat-sekat dengan mata terbeliak. Dirinya berharap ini semua mimpi semata-mata, tetapi ia benar-benar sedang terjadi! Dafinah tidak boleh mengalah begitu sahaja, selagi dia boleh menahankan dirinya, selagi itu juga dia akan menjerit meminta pertolongan.

"Argh! Tolong! Tolong!"

"Tak guna!" Cemuh lelaki tadi. Tidak semena-mena, dia terus memukul tengkuk perempuan itu dengan kuat. Degil!

Buk!

"Ergh!" Dafinah tertunduk. Ia sakit sekali.

Dirinya hampir pengsan tetapi dia tidak boleh menyerah kalah! Dalam kelemahan, dua orang lelaki yang bersama dengan lelaki yang memukulnya tadi lantas memegang kedua-dua belah kaki Dafinah dan mengikatnya. Tangannya yang tiga kali lebih kecil berbanding dengan tangan mereka cuba memukul orang yang mengikat kakinya. Malang sekali apabila kedua-dua belah tangannya juga dirampas lalu dipulas ke belakang badan. Ia juga diikat kuat sementara pita pelekat tebal dilekatkan pada mulut supaya suara jeritan Dafinah untuk meminta pertolongan tidak kedengaran.

Dafinah mengerang dalam kesakitan bersama suara tangisan dari dalam mulut. Dia masih tidak percaya sekelip mata sahaja dia telah diculik!















Do vote ⭐

Thank you.

2143 words

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro