BAB 25 | MAAF

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

LANGKAH dibawa perlahan tanpa arah tuju sambil matanya meliar ke sekeliling. Rasa sejuk yang semakin menggigit hingga ke tulang ditahan dek pakaiannya yang sangat nipis dan hanya separas lutut. Luka-luka kecil pada kakinya yang tidak berkasut semakin menambah sengsara untuk dia terus melangkah ke hadapan.

Orang ramai yang berada di kawasan itu memandangnya pelik dan ada yang melontar pandangan curiga. Sedar akan kehadirannya yang telah pun menarik perhatian, Andrea segera melajukan langkah agar dia dapat keluar dari kawasan itu. Risau jika orang-orang Alex berjaya sampai ke sini dan rahsia kehadirannya dibocorkan.

Sebatang lorong yang berada di sebelah kanan dimasuki Andrea lalu gerak langkahnya dipercepat meskipun salur pernafasannya kian tersepit dek kekurangan oksigen. Dia meneruskan lariannya, menyusuri pinggiran kota Paris yang semakin sesak dengan kehadiran pelbagai jenis manusia.

Dia ingin menunaikan suatu pengharapan, suatu keinginan untuk terus bangkit dan bebas daripada cengkaman kejam Alex lalu kembali ke dalam pelukan Tuhan Yang Maha Esa. Itulah janji pada dirinya sendiri tatkala dia bertolak dari titik-titik derita.

Keluar sahaja dia dari lorong itu, langkahnya terus terhenti saat matanya mula menangkap sebuah bangunan berkubah biru tidak jauh dari tempatnya berdiri. Tanpa membiarkan detik masa terus berlalu pergi, perlahan-lahan kawasan masjid itu dimasukinya. Masuk sahaja ke dalam bilik wuduk wanita, pili paip air itu terus dibukanya.

Air yang mengalir itu ditadah dengan telapak tangannya lalu disapukan ke muka sehingga rata, memberi rasa sebak yang semakin mencengkam sanubari lalu berkaca-kaca linangan air jernih gugur dari sudut kelopak matanya.

Betapa hinanya dia kerana telah meninggalkan Tuhan sedangkan... Dialah yang menciptakan tubuh badan ini dengan sempurna. Diberikan nyawa tetapi tetap kufur. Diberikan kesihatan tetapi masih sombong. Diberikan peluang demi peluang tetapi tetap tidak dihargai. Adakah dia masih layak untuk menetap di Syurga?

"Isk... Maafkan aku, Ya Allah... Maafkan aku... Maafkan aku... Maafkan aku..."

Andrea kehilangan kata-kata dek sayu dan pilu kian menghambat perasaannya. Dia cuba menahan air mata tetapi matanya tetap bertambah kelam. Mulut terkunci, hati terkatup dan tenggelam dalam kepiluan. Harapannya kini kian jatuh berderai umpana air mata tangisan yang tidak henti-henti berguguran.

Masih layakkah dia mendapatkan keampunan Tuhan? Masih layakkah dia mendapatkan peluang terakhir? Masih mampukah dia mengolah segala takdir yang akan terjadi?













•¤•







TUJAHAN cahaya matahari pagi menampar wajahnya yang sedang termenung memerhati ke luar tingkap. Dagu ditongkatkan sambil anak mata coklat gelapnya galak memerhati pelbagai jenis ragam pelajar yang baru tiba ke sekolah. Keluhan dilepaskan saat pandangan matanya jatuh pada sekumpulan pelajar yang melangkah beriringan.

"Cemburunya... Mesti best kan ada kawan? Aku ni seorang pun tak ada," luah Andrea perlahan.

Sejak tingkatan tiga dia berpindah ke sekolah bandar ini, semua orang memandangnya seperti orang asing. Kehadirannya tidak dipedulikan dan dibuat seolah-olah tidak wujud. Tiada sesiapapun yang sudi menghulur salam perkenalan buatnya dek tudung labuh yang tersarung di kepala, menutupi mahkota berharga.

Tambahan pula dengan keadaan keluarganya yang miskin dan selalu tersepit dengan masalah kewangan di kampung, memaksa mereka untuk berpindah ke bandar bagi mencari mata pencarian wang yang lebih baik. Andrea terpaksa reda kerana dia bersimpati dengan nasib ibu bapanya yang gigih keluar menoreh getah meskipun mereka sudah tua.

Lamunan Andrea terputus tatkala mejanya ditendang kuat. Dia sedikit tersentak lalu perlahan-lahan wajah ditolehkan ke sisi, memandang tepat anak mata gadis yang berambut ikal mayang itu. Gadis itu mempamerkan wajah sombong.

"Hei, ustazah! Buat kerja sekolah aku ni!" ujar Aida kasar. Buku latihan yang berada dalam pegangan terus dilempar di atas meja.

"Awak tak reti nak buat sendiri ke? Sedar kan diri tu dah berumur 17 tahun. Tak kan tak matang lagi?" balas Andrea geram.

Sudah lama dia menahan sabar dengan sikap manusia seperti Aida. Semakin lama dia diam, semakin teruk dia diperlakukan seperti seorang hamba, hanya disebabkan tudungnya yang labuh dan berasal dari kampung?

Aida mengetap rahang, jelas dia marah apabila Andrea mula tidak mendengar arahannya. Dahi gadis itu terus ditunjal kasar dengan pandangan yang menyinga. Andrea sekadar menggigit bibir, malu apabila mereka berdua sudah menjadi perhatian pelajar-pelajar lain di dalam kelas itu.

"Hoi, Siti Amira! Jangan sampai aku malukan kau depan orang ramai! Sedar sikit diri kau tu siapa! Datang ke bandar pun sebab diri kau tu miskin dulu!" kata Aida sinis.

"Baiklah..." Amira menjawab lemah. Dia mengalah.

Lagipun, dia malas mahu bergaduh dengan Aida kerana dia tahu, dia tidak akan sesekali menang sekiranya mereka terus berdebat. Kedudukannya di sekolah ini hanya sekecil kuman, bahkan mungkin tidak disedari langsung. Dia bukannya sesiapa.

"Kan bagus daripada awal kau dengar cakap aku. Bagus la kalau kau masih sedar diri." Aida membalas dengan nada mengejek. Rambutnya diselitkan ke belakang lalu dia terus melangkah dari situ.

"Hebatlah kau, Aida! Memang kaw kaw kau bagi. Kenapa kau tak buli je dia cukup-cukup?" ujar Fina yang berada di belakang kelas.

"Kalau aku buli, takut menangis la pulak! Hahaha!" ejek Aida dengan suara yang sengaja dikuatkan.

"Huhuuu... Sedihnya..." Kini, giliran beberapa pelajar lelaki pula mengejek. Mereka yang berada di dalam kelas itu terus ketawa besar.

Amira melontarkan pandangan jauh ke luar tingkap. Wajah yang tenang dipamerkan sebaik mungkin. Ditahan gelora hati agar tidak sampai melontarkan jawapan balas yang boleh menggegarkan lagi suasana dan menyebarkan peperangan. Dia akur dengan takdir hidup yang tidak pernah sekalipun memihak kepadanya biarpun hatinya telah patah seribu.








•¤•










ANGIN yang menderu sesekali menampar raut wajahnya yang cantik dan manis. Angin menjatuhkan daun-daun kering dari pohon-pohon yang tumbuh meninggi di sepanjang jalan. Hati yang pada mulanya diusik pilu dan sepi kini semakin tenang menerima pujukan dan bisikan angin.

Tujahan cahaya matahari yang tinggi di atas kepala menyebabkan dia terus menghayunkan kakinya berjalan pulang ke rumah dengan segera. Sebuah taman perumahan yang terletak di pinggir kota Kuala Lumpur yang sesak dan padat itu dilaluinya.

"Assalamualaikum, ibu! Amira dah balik!" laung Amira yang baru sahaja tiba di hadapan sebuah rumah sewa yang sederhana besar. Kasut sekolahnya yang agak lusuh dibuka lalu dia terus masuk ke dalam rumah.

"Waalaikumussalam. Mira dah balik? Duduklah. Makan dulu," kata Puan Kamilah dengan lembut dari arah dapur.

"Baik..." ujar Amira bersama senyuman yang terlukis di bibir.

Beg sekolah diletakkan di tepi dinding lalu dia terus duduk bersila di atas hamparan tikar. Tangan kanannya dicelup ke dalam sebekas air, tradisi orang-orang kampung dahulu jika ingin membasuh tangan sebelum makan.

"Macam mana sekolah? Hari ni tak ada kelas tambahan ke?" tanya Puan Kamilah sambil tangan tuanya itu mencedok lauk sardin ke dalam pinggan Amira. Senyuman gembira terukir di bibir.

"Okey je. Macam biasa... Hari ni tak ada kelas tambahan. Mungkin mula minggu depan," balas Amira walaupun dia terpaksa menipu, tidak mahu ibunya itu berasa risau.

"Baguslah macam tu. Petang ni bolehlah ikut ibu berniaga kuih di tepi jalan bandar tu," kata Puan Kamilah lagi.

Pinggan yang berisi nasi putih dan lauk sardin disua kepada Amira. Gadis itu terus menyambut huluran ibunya. Hidangan itu dipandang lama bersama hati yang kosong.

'Hmm... Lauk sardin lagi...' luahnya sekadar dalam hati.

"Ibu harap Amira belajar rajin-rajin. Kecapi impian yang Amira inginkan. Itu dah cukup buat ibu gembira. Ibu tak nak kamu terus rasa terkseksa pada masa akan datang. Cukup biar ibu dan abah je yang menderita... Asalkan bukan anak-anak ibu..." kata Puan Kamilah perlahan.

Wajah yang berusia lebih daripada separuh abad itu tidak lekang dengan senyuman. Amira mengetap bibir, menahan rasa sedih dan pilu tatkala mendengar luahan hati ibunya itu. Empangan matanya yang sudah basah dan bertakung dengan air mata itu serta merta pecah.

"Sudah. Jangan menangis depan rezeki. Anak ibu kalau senyum baru la cantik..."

Tangan tua itu lembut mengusap air mata Amira yang sudah mengalir membasahi pipi. Matanya redup menatap raut wajah Amira. Gadis itu tidak dapat menahan sebak lalu dia terus menghamburkan segala tangisan.

"Shh... Maafkan segala kekurangan ibu kalau itu yang membuatkan anak ibu menderita. Maafkan ibu... Maafkan segala kekurangan ibu... Maaf sebab ibu bukan yang terbaik..." ujar Puan Kamilah lantas anak gadisnya dipeluk.

Amira mengongoi di dalam pangkuan wanita itu, semakin sebak mendengar suara ibunya yang mengandungi seribu derita yang tidak mampu diucapkan kepadanya.

"Maafkan Amira, ibu... Maafkan Amira..."

"Tak. Amira langsung tak salah... Ibu yang salah. Ibu tak mampu bahagiakan Mira seperti orang lain. Maafkan ibu ya, Mira..."















Hi! Sorry sebab tak update! 😓

Btw... Korang nak sad ending ke happy ending? Manalah tahu korang dah bosan sebab asyik happy ending je kan... 😏

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro