BAB 5 | NAJWA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DANIAL dan Furqan menunggu di luar wad kecemasan. Turut ada di situ keluarga mangsa dan beberapa anggota polis yang lain. Semua orang berharap yang gadis itu dapat diselamatkan kerana dialah saksi utama selain Furqan dan Danial.

Buat sementara ini, mereka tidak mahu mengganggu emosi keluarga mangsa walaupun pelbagai persoalan bermain di fikiran. Bagi mereka, kes ini sangat-sangat serius dan masih belum diketahui puncanya.

Mengapa gadis berumur 17 tahun itu menjadi mangsa dan bagaimana dia boleh berada di situ berseorangan? Pasti ada sebab mengapa gadis itu terpalit dalam hubungan penjenayah terbabit.

Semakin hari, semakin banyak pula beban yang perlu ditanggung oleh pihak polis. Kes pembunuhan, rasuah, penculikan, kecurian, rogol dan dadah semakin berleluasa tanpa diketahui titik pengakhirannya. Seolah-olah tiada noktah dalam setiap perkataan yang dinukilkan.

Mata-mata manusia seperti buta apabila melihat kejadian yang melanggar fitrah semula jadi mereka sendiri. Dipekakkan telinga bahawa zaman ini ialah zaman terakhir. Zaman yang semakin banyak menghampiri kehancuran dan kerosakan disebabkan tangan-tangan manusia itu sendiri.

Lama kelamaan bumi sendiri akan tenat menanggung pencemaran dan kotoran dosa di atasnya dan langit pula akan penat lalu runtuh menghempap semua penghuni yang ada di bumi. Dan pada saat terbitnya matahari di Barat, pintu taubat akan tertutup dan menghapuskan sinar harapan buat makhluk yang tidak taat.

Bunyi pintu terbuka terus menyentak Danial daripada lamunan. Mereka semua terus berdiri bagi mendengar perkembangan gadis itu daripada doktor tersebut. Jelas kelihatan doktor tersebut sedikit lelah.

"Kenapa doktor? Macam mana dengan anak saya? Dia selamat kan?" tanya ibu mangsa yang sudahpun sebak.

Doktor itu mengeluh lalu menggelengkan kepala. Terus jatuh terduduk ibu mangsa apabila mendengar khabar duka tersebut.

"Kenapa doktor? Adakah mangsa kehilangan banyak darah?" tanya Furqan ingin tahu.

"Bukan kehilangan banyak darah yang paling utama. Tetapi..." Ayat dijedakan. Hatinya terlalu berat untuk menyampaikan.

"Tetapi?" Salah seorang pegawai kanan polis yang berpangkat Inspektor Jeneral Polis (IG), Khalil terus menyampuk.

"Sebenarnya... punca kematian utama ialah mangsa telah pun dicucuk racun menggunakan jarum terlebih dahulu sebelum bertindak menikam perut. Kami langsung tidak boleh berbuat apa-apa kerana racun tersebut telahpun mengalir ke seluruh badan dan organ dalaman terutamanya jantung."

Jawapan doktor itu mengundang perasaan hiba di hati semua orang. Laungan tangisan daripada ibu bapa mangsa membuatkan Furqan tertunduk, rasa bersalah walaupun dia telah menjalankan tugasnya sehabis baik.

"Saya dan mak ayah dah larang Najwa keluar daripada rumah. Tapi, Najwa tetap berdegil nak berjumpa dengan boyfriend dia juga." Kakak mangsa, Nana terus memecah suasana.

"Boyfriend?" tanya Furqan ingin meminta kepastian.

Nana hanya menunduk dan mengangguk perlahan. Sebagai seorang kakak, dia turut bersedih atas pemergian adik yang paling dia rapat itu. Namun, semua itu takdir yang telah ditetapkan. Mahu atau tidak, dia perlu reda dengan ketentuan ini.

"Boleh adik jelaskan perkara sebenarnya yang terjadi?" Encik Khalil meminta dengan hormat.

Turut ada di situ seorang lagi pegawai polis yang telahpun mengeluarkan buku catatan. Bersiap-sedia untuk mengambil keterangan kakak mangsa. Sebelum membuka cerita perit itu, kedengaran keluhan kecil dilepaskan oleh Nana. Begitu berat sekali hatinya menghadapi situasi tidak terduga ini.












•¤•













PADA waktu pagi yang hening itu, seawal jam lapan pagi, Puan Zulaikha yang sudahpun menyiapkan sarapan itu terus menyuruh Nana memanggil adiknya, Najwa supaya dapat makan bersama-sama. Nana patuh dan terus mengetuk pintu bilik itu dengan perlahan.

"Masuklah! Pintu tak kunci!" ujar satu suara dari dalam.

Nana terus melangkah masuk dan menyandarkan badan ke pintu. Melihat sahaja pakaian yang disarungkan di tubuh adiknya itu, dahinya terus berkerut seribu. Mungkin matanya masih tidak terbiasa melihat adiknya berpakaian seperti itu walaupun sudah agak lama.

"Najwa siap lawa-lawa ni nak pergi mana?" tanya Nana pelik.

Najwa yang sedang memakai subang itu terus mengambil sikat dan merapikan rambut panjangnya. Senyuman kecil diukirkan buat Nana.

"Jumpa kawan," jawab Najwa ringkas.

Nana hanya mampu mengeluh. Dipandang figura Najwa bersama beribu-ribu sesalan. Adiknya yang sekarang bukan lagi seperti dahulu. 100% berubah hanya kerana cintanya kepada seorang lelaki yang baru dikenali selama dua bulan. Bilik itu juga penuh dengan hadiah pemberian jejaka hati gadis itu.

"Kalau ya pun, pakailah baju yang elok-elok sikit. Mana pergi tudung? Dulu elok je tersarung di kepala," tegur Nana lembut.

"Ye ke? Okey je Najwa tengok. Gaun ni tutup lengan dan sampai ke lutut. Tak adalah menjolok mata sangat pun."

"Allah tak suruh pakai baju ikut fesyen, Najwa. Tutup aurat itu lebih utama. Kita tak tahu bila tarikh kematian kita. Macam mana kalau tak sempat bertaubat?"

Najwa mendengus. Dilempar sikatnya ke atas meja dengan kasar. Kakaknya dipandang tajam.

"Eleh. Kakak tu pun dulu pakai tudung atas dada. Baju ketat. Ada hati nak nasihat orang!"

Balasan Najwa membuatkan Nana tersentak. Jauh dari sudut hatinya, dia terasa dengan kata-kata pedas adiknya itu kerana perubahan Najwa yang sekarang seolah-olah bayang-bayang dirinya pada masa lalu. Dia cuma tidak mahu Najwa menyesal di kemudian hari seperti dirinya yang ditinggalkan dahulu.

"Itu kisah silam kakak, Najwa. Semua orang boleh berubah."

"Then, same like me. Nanti pada saat yang sesuai, Najwa akan berubahlah."

Sekali lagi, Nana hanya mampu mengeluh. Sudah banyak kali dia nasihatkan namun adiknya itu pasti ada sahaja buah fikiran dan mencantas setiap tegurannya. Najwa hanya buat tidak peduli dan dia terus melangkah keluar.

"Kakak tak benarkan adik keluar!" tegas Nana. Najwa berpaling lalu mengukirkan senyuman sinis.

"Ops! But you're not my husband or father! Kakak bukan sesiapa."

"Najwa! Sejak bila jadi biadab dengan kakak ni?" tegur Puan Zulaikha yang baru sahaja muncul dari arah dapur.

"Please, Najwa. Dengarlah cakap kakak. Kakak tahu yang Najwa nak keluar dengan boyfriend Najwa kan?"

"Kalau Najwa keluar dengan boyfriend Najwa apa salahnya? Kakak dengki? Tahulah kakak tu tak laku! Belajar pun setakat diploma je!" hina Najwa bersama mulut yang dicebikkan. Nana tergamam.

"Najwa!" Suara Puan Zulaikha sudah naik seoktaf.

Najwa hanya mengangkat bahu dan berlalu pergi. Tidak dipedulikan langsung panggilan kakak dan ibunya. Semua perkara yang dia lalukan semuanya tidak boleh! Rimas dan semak!




•¤•




KETERANGAN Nana terus dinoktahkan. Tangisan hiba daripada Puan Zulaikha usah dikatakan, semakin kuat mengenang nasib anak perempuannya itu. Nana pula sedaya upaya menahan air mata daripada terus mengalir. Sekiranya dia lebih bertegas melarang adiknya pergi, semua perkara ini tidak akan terjadi.

Furqan hanya menekur ke arah lantai hospital manakala Danial kelihatan sedang berfikir. Entah apa yang ada di fikirannya itupun tidak tahu.

"Sebelum ni, adik ada dengar cerita mangsa bergaduh dengan boyfriend dia tak?" tanya seorang lagi pegawai polis yang bernama Aidil.

"Hmm... Tak ada. Berdasarkan cerita Nana kepada saya, hubungan mereka baik-baik je."

"Kamu kenal ke boyfriend dia siapa? Boleh beri nama dan sedikit penjelasan mengenai suspek?" Encik Khalil bertanya lagi.

"Berdasarkan cerita adik saya, lelaki itu bernama Zian dan katanya dia kaya. Selalu bekerja di luar negara. Tapi, tak tahu pula kerja apa. Entahlah. Adik saya kurang sangat bercerita mengenai latar belakang lelaki tu," jelas Nana lagi.

Aidil terus mencatat butiran-butiran penting itu. Furqan yang berada di sisi terus bersuara.

"Tuan, tadi sewaktu saya cuba menyelamatkan mangsa, telefon pintarnya berada dalam pegangan mangsa." Furqan terus menyerahkan telefon pintar itu. Encik Khalil terus mengambilnya dan membuka galeri.

"Hmm... Nampak sangat suspek ni seorang yang bijak dan licik. Tidak ada satupun gambar lelaki itu dalam galeri telefon mangsa."

"Bagaimana pula nombor telefon suspek? Mustahil tak ada." Furqan cuba memberi cadangan.

"Rasanya pasti suspek telah menukar nombor telefon bagi mengelakkan jejak dan lokasi mereka dikesan," sampuk Danial tanpa memandang ke arah Furqan mahupun Encik Khalil.

Badannya disandarkan ke dinding. Encik Khalil terus memandang Furqan yang hanya tersengih. Keningnya diangkat.

"Siapa dia?" tanya Encik Khalil ingin tahu.

"Kawan sejak zaman kecil sebab ayah saya berkawan dengan ayah dia." Encik Khalil sekadar mengangguk.

"Kalau begitu... Jika tidak keberatan, biarlah dia sertai kita. Siasat kes ni. Berdasarkan pemerhatian saya, dia bukan calang-calang."

Kata-kata Encik Khalil membuatkan Furqan dan Aidil terkejut. Tidak sangka dengan keputusan yang dilontarkan oleh lelaki berpangkat IG itu.

"Tuan? Tapi dia orang luar!" bantah Aidil yang turut terkejut.

"Tidak salah jika bekerjasama dengan orang lain. Saya yakin, dengan adanya Danial, akan lebih memudahkan urusan kita menangkap penjenayah terbabit."

Aidil dan Furqan sekadar mengangguk manakala Danial Faiz sekadar mendiamkan diri. Setuju atau tidak, mereka sendiri tidak dapat teka menerusi raut wajah yang kosong itu.



















Saya nak ingatkan, please hayati watak. Jangan terlalu cepat scroll. Sebab bila awak buat cam tu, awak x dpt nk tangkap jln cerita sbb cerita ni mmg byk konflik. Saya tak nak awak semua pening. >_<

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro