Chapter Nine

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



"Alive or just breathing?"

"HAN? Ya Allah, Han!"

Zafrel menjatuhkan beg sandangnya ke atas lantai dan tanpa berfikir panjang mendapatkan Arhan yang baru saja masuk ke dalam bilik rehat pengawas.

"Muka kau...Apa jadi dengan muka kau? Mummy kau..." Matanya merenung setiap inci muka Arhan dengan matanya yang bundar.

"Tak ada apalah." Arhan menepis lembut tangan Zafrel yang cuba menyentuh wajahnya. Loker miliknya dibuka dan blazer berwarna biru gelapnya yang tersangkut di dalam lokernya dicapai.

"Tak ada apa? Eh, kau tu dah buta ke apa? Kau tak nampak ke muka kau sendiri?"

"Aku tahu," jawab Arhan ringkas. Dia malas mahu memanjangkan hal ini dengan Zafrel. Kalau dipanjangkan, lagi sakit kepalanya.

Zafrel sempat menilik penampilan Arhan pada hari ini. Dia hampir saja lupa bahawa jawatan pengawas Arhan digantung buat sementara waktu. Sampai bila pun dia kurang pasti. Tidak hairanlah mengapa hari ini Arhan menyarung uniform sekolah biasa. Pasti lelaki itu datang ke bilik pengawas untuk mengambil blazer untuk dibasuh dan beberapa barangnya dari loker untuk dibawa pulang.

"Kau sedar tak muka kau tu macam mana? Aku sikit lagi tak kenal kau bila kau masuk tadi. Apa yang berlaku? Kau beritahu aku. Siapa yang belasah kau sampai jadi macam ni?" Zafrel melepaskan tembakan berdas-das dengan soalannya. Terlalu jelas lelaki itu tampak cemas dan risau.

"Tak ada guna pun aku cerita kat kau."

"Han. Beritahu aku. Sekarang." Tegas Zafrel mengarahnya. Arhan melirik Zafrel di sebelahnya, tahulah dia bahawa Zafrel tidak bermain dengan kata-katanya. Mukanya seperti mahu menelan orang hidup-hidup saja.

"Papa yang belasah aku. Bukan mummy. Puas?" Serentak itu, pintu lokernya itu dihempas tutup.

Zafrel tergamam. Benarkah apa yang didengari? Tak mungkin...

"Han...Betul ke?" Wajah tegang Zafrel perlahan-lahan mengendur. Dia sangka, Puan Zara yang menjadi penyebab utama akan keadaan Arhan sekarang namun dia benar-benar tersilap kali ini.

Wajah lesu Arhan itu ditatap lebih lama. Bagaimana Arhan melalui semua itu bersendirian? Pasti menyeksakan. Tanpa sesiapa di sisi. Hati Zafrel sebak mengenangkan nasib Arhan. Kalau dia punya kuasa, sudah lama dia hancurkan insan-insan yang begitu berani memusnahkan hidup Arhan. Tapi mengenangkan dia seorang manusia yang tiada kuasa dan hak untuk melakukan perkara itu, dia jadi sebal dengan dirinya sendiri.

"Ya."

Baru sahaja Arhan mahu melangkah keluar dari bilik rehat pengawas, Zafrel terlebih dahulu menahannya daripada berlalu pergi.

"Papa kau belasah sebab hal tu ke?"

"Habis tu?"

Zafrel terbungkam seketika. Sungguh dia terkejut dengan apa yang baru saja diketahui. Selama ini, Encik Mustapha sekali pun tidak naik tangan pada Arhan. Jauh sekali ingin belasah Arhan sehingga sebegini rupa. Mana tidaknya, melihat saja wajah Arhan, dia sudah dapat agak betapa teruknya kawannya itu dikerjakan oleh Encik Mustapha.

"Kita pergi bilik kesihatan." Pergelangan tangan Arhan dicapai dan hendak ditarik lelaki itu pergi ke bilik kesihatan yang terletak tidak jauh dari bilik rehat pengawas.

Arhan menggeleng dan memasakkan kakinya ke lantai, enggan mengikut kehendak Zafrel.

"Tak perlu, Zaf. Aku dah rawat sikit luka aku malam tadi."

"Aku tak peduli. Kalau aku kena hantar kau pergi hospital sekarang pun, aku sanggup. Jangan banyak bunyi sangat, kalau tak aku..." Baru saja Zafrel ingin meneruskan ayatnya, Arhan sudah memotongnya.

"Aku kata aku tak nak, Zaf! Just please...Give me some space. I don't need you treating me like a patient!" jerkah Arhan sambil merentap tangannya daripada genggaman tangan Zafrel.

Arhan sempat melihat sekelilingnya, dapat dia lihat beberapa orang pengawas dalam bilik itu mula berbisik antara satu sama lain. Pandangan mereka sudah cukup membuatkan dirinya tidak senang duduk. Peluh mula membasahi telapak tangannya.

"Kau tengok tu. Lepas apa yang dah berlaku, dia tetap tunjuk muka lagi."

"Yelah. Tak tahu malu. Kalau aku jadi dia, aku akan sorok je kat dalam tandas sampai balik."

"Padan sangatlah jawatan dia kena gantung. Sepatutnya kena buang sekolah je terus!"

"Kan! Aku tak tahulah kenapa dia ada kat sekolah ni lagi. Sekolah kita tak perlukan pelajar teruk macam dia."

"Kesian Arhan. Sudahlah memalukan sekolah, memalukan ibu bapa pula tu. I bet his parents must be so disappointed with him."

Tak.

Dia tak nak dengar semua itu.

Disappointed.

Ya, dia telah kecewakan ibu bapanya.

Jangan ungkit lagi.

Tolonglah. Dia mahu keluar dengan segera dari tempat ini.

Tempat ini menyesakkan dadanya.

Terasa banyak mata yang kini merenungnya. Detak jantungnya berubah menjadi kencang. Dia tidak mampu berfikir dengan betul. Mindanya berselirat dengan pelbagai bisikan. Bisikan yang makin lama, memakan dirinya. Menariknya ke dalam kancah yang paling gelap. Dia sudah tidak mahu jatuh lagi ke dalam kancah itu. Jika dia benar-benar disedut lagi ke dalam kancah tersebut, dia tidak pasti sekiranya ada jalan keluar buatnya.

Who's gonna save you now, kiddo?

Giginya dikacip dan tangannya mencengkam sisi baju kemejanya. Rahangnya pula diketap-ketap. Jika dia berada lebih lama di sini, pasti dirinya akan menjadi lebih tidak terkawal.

Gila.

Dia perlu keluar dari tempat ini.

"Han? Kau okey ke tak, Han? Han?" Zafrel yang sedar akan perubahan ekspresi muka Arhan mula gusar. Bahu Arhan cepat-cepat disentuh. Wajah rakannya itu ditenung bagaikan hendak tembus mukanya.

"Jangan...Dekat..." Tangan Zafrel yang berada elok pada bahunya ditolak kasar dan tanpa menoleh ke belakang, Arhan melarikan diri keluar dari bilik rehat pengawas.

"Han!"

Zafrel juga tidak berfikir lama untuk mengejar rakannya itu. Sebaik saja daun pintu dikuak, dia menoleh ke kiri dan kanan. Kelibat Arhan sudah tidak kelihatan di mana-mana! Lelaki itu bagaikan dapat menghilangkan diri dalam sekelip mata sahaja.

Rambutnya dikusutkan bersama dengusan kasar yang dilepaskan. Sekarang ini, dia rasa seperti mahu bunuh semua orang di sekelilingnya. Jika dia sudah tidak waras, akan dia cekik rakan-rakannya yang berada di dalam bilik rehat pengawas dek mengata Arhan tanpa memperdulikan perasaan lelaki itu.

Tapi dia tiada masa untuk semua itu. Dia kesuntukan masa, dia terlalu risau jika sebarang perkara yang berada di luar jangkaannya menimpa Arhan. Arhan ialah keutamaannya. Dia perlu cari Arhan dulu baru dia akan uruskan rakan-rakannya itu.

Dia mula berlari.

🌻🌻🌻

Lari.

Keluar.

Gila.

Memalukan.

Disappointment.

Teruk.

Tak.

Dia bukan semua itu.

Dia mahu menafikannya. Semuanya. Tapi, adakah dia benar-benar berhak untuk menafikan semua itu?

Dia sudah memalukan sekolah. Memalukan ibu bapanya.

Semua orang rasa tertipu dengan luarannya yang nampak baik.

Dia telah mencalarkan imej sekolah. Ibu bapa. Dan yang paling penting, dirinya.

"Arhan, kau memang anak yang teruk."

Keluar.

Lari.

Keluar.

Lari.

Pandangan matanya kian menjadi kabur. Kepalanya terasa berdenyut-denyut hebat sehinggakan dia perlu berpaut pada apa saja yang berada di sekelilingnya. Ritma jantungnya sudah menjadi tidak sekata, seolah-olah jantungnya akan pecah bila-bila masa saja. Persis bom.

Tolonglah.

Letih untuk teruskan hidup.

Kakinya mengorak langkah tanpa diketahui ke mana hala tujunya. Pintu kayu tandas lelaki ditolak sebelum dia terjelepok di atas lantai.

Sesak.

Terasa dinding-dinding tandas terasa semakin lama, menghimpit dirinya. Terasa makin sempit ruangan tandas.

Tangannya cepat saja menarik tali lehernya. Urat-urat timbul pada dahi dan lehernya. Peluh sudah merenik pada dahinya. Tangannya mencengkam kuat baju di bahagian dadanya. Terasa salur pernafasannya tersekat.

Sesak.

Bernafas.

Udara.

Mati.

🌻🌻🌻

CAHAYA.

Dia sudah matikah?

Matanya dicelik beberapa kali akibat cahaya yang menyilaukan menyapa iris matanya. Beberapa kali dia cuba membuka matanya. Selepas beberapa cubaan, barulah matanya terbuka sepenuhnya.

Mata Arhan melirik tingkap yang berada tidak jauh darinya. Langsir biru lembut yang terpasang di tepi tingkap bergerak-gerak perlahan mengikut haluan angin yang masuk ke dalam ruangan ini dek tingkap yang dibuka.

Ah, patutlah. Tingkap dibuka. Cahaya matahari masuk ikut tingkap.

Ditundukkan kepalanya. Ada jarum yang dicucuk pada belakang tangannya. IV drip. Dia pasti, dia berada di hospital. Tambahan pula, dia kenal betul dengan bau hospital yang sudah sebati dengan deria baunya kerana menjadi pelawat tetap hospital.

Huh. Tak mati lagi aku rupanya.

BAM!

Terus Arhan memalingkan wajah ke arah pintu wadnya. Berdiri manusia yang bernama Zafrel di muka pintu wadnya dengan muka yang masam mencuka. Marahkah lelaki itu dengannya?

Tanpa mengeluarkan suara, Zafrel menapak mendekati katil Arhan. Tangannya laju saja menampar kepala Arhan.

"Aduh!"

Sebagai tindakan refleks, tangan Arhan naik pada bahagian kepalanya yang dipukul oleh Zafrel. Diusap-usap sebentar kepalanya. Main kasar Zafrel. Macam ini ke dia layan pesakit? Kalau jadi jururawat, entah apalah nasib pesakit yang berada di bawah jagaannya.

"Kau kenapa?" Sebal dengan tindakan Zafrel itu. Yelah, salam pun tak ada, tahu-tahu saja dipukul kepalanya.

"Kenapa? Beraninya kau tanya aku kenapa?" Zafrel sudah bercekak pinggang. Gaya macam mahu buka sesi bebelannya.

"Apa benda kau ni, Zaf?"

"Kau tak beritahu pun yang kau ada panic attack! Kau memang pentingkan diri sendiri ke, hah?! You kept me in the dark for so long, Han!"

Terkunci rapat mulut Arhan. Rahsianya yang satu itu akhirnya terbongkar. Bagaimana Zafrel tahu itu, dia kurang pasti. Apa yang pasti, Zafrel sangat-sangat marah dengannya. Mukanya seperti mahu merobek dagingnya hidup-hidup. Kemudian, diberi makan kepada anjing yang berkeliaran di tepi jalan raya.

"Jawablah! Kau senyap kenapa?"

"Zaf, aku..."

Arhan senyap. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan semuanya. Terasa sesuatu tersekat di kerongkongnya.

"Han. Jawab." Zafrel mengetap rahangnya seraya mencerlungnya tajam.

"Zaf, aku okey." Sudahnya itu saja yang keluar daripada mulut Arhan. Sejujurnya, Arhan tidak tahu cara yang paling tepat untuk memujuk Zafrel.

"Okey? Okey?! Kau gila ke apa? Ini maksud okey kau? Terlantar di atas katil hospital itu bermakna kau okey? Han, janganlah tipu aku dan janganlah kau tipu diri kau sendiri. We all know you're not okey! Kenapa kau susah sangat nak terima kenyataan yang kau tak okey?"

Arhan mengalihkan matanya ke arah sofa yang berada di satu sudut di dalam wadnya. Dia benar-benar tidak mempunyai kekuatan untuk bertentang mata dengan Zafrel.

"Zaf, aku minta maaf..."

"Maaf? Han, kau memang nak cepat mati ke? Did you not care at all what panic attacks could cause? Yes, panic attacks will never directly kill you but it's terrifying! Dan kau fikir semua ni akan selesai dengan maaf kau? Itu yang kau fikir, Arhan?" Zafrel melenting lagi.

"Macam mana kau tahu?"

"Itu yang lebih penting untuk kau ke, Han? Dalam banyak-banyak benda yang kau boleh tanya, kau tanya itu?" Suaranya yang meninggi tadi kini berubah kepada nada yang lebih perlahan.

"Aku cuma...Nak tahu."

"Itu tak penting sekarang ni. Apa yang penting sekarang ni, kau sembuyikan hal ni daripada aku. Daripada kawan baik kau sendiri! Now you tell me, berapa lama kau ada panic attack ni? Kau beritahu aku sekarang kalau tak nak bilik ni jadi gelanggang."

"Beberapa tahun yang lepas...Aku pun dah tak ingat." Arhan bermain dengan jari jemarinya. Bibirnya dikemam. Itu dia tidak bohong, memang dia lupa bila panic attack dia bermula. Melihat mulut Zafrel sedikit ternganga, Arhan sudah bersiap sedia untuk ditengking lagi.

Zafrel melepaskan tawa sinis. Pada awalnya, agak perlahan, lama-kelamaan ketawanya menjadi lebih kuat sehingga bergema dalam wadnya.

"Ohhh. Sekarang ni kau nak beritahu aku yang kau dah hadap benda ni dah lama? Macam tu? Wah." Zafrel mendongak kepalanya ke atas dan mula ketawa. Sebelah tangannya masih di pinggang.

"Dahlah, Han! Aku betul-betul kecewa."

Arhan lantas memandang wajah Zafrel. Ya, tipulah jika dia tidak dapat melihat kekecewaan pada sepasang mata Zafrel itu. Perasaan bersalah menghentamnya bertubi-tubi.

"Janganlah kecewa..." ujar Arhan perlahan. Hatinya tiba-tiba menjadi lembut, mahu saja dia tarik tubuh Zafrel ke dalam pelukannya.

"Aku kecewa dengan diri aku!"

Arhan tersentak. Apa maksud Zafrel? Bukan Zafrel sepatutnya kecewa dengannya kerana menyimpan rahsia ini daripada pengetahuannya?

"Aku kecewa dengan diri aku, Han. Aku sebagai kawan baik kau, tak pernah peka yang kau selalu hadapi panic attack. Aku tak pernah tahu pun. I had no idea at all. How ignorant am I, right? I'm so sorry, Han. Aku gagal lagi. Aku gagal sebagai kawan baik kau."

Kepala Zafrel jatuh. Wajahnya tidak diangkat. Bahunya nampak terhinggut-hinggut.

"It must've been hard for you. Having panic attacks all alone without anyone by your side to provide you with the help and support you needed. It must be so scary for you. Aku tak boleh bayangkan betapa beratnya untuk kau tanggung semua ini. Aku..."

Akhirnya, Zafrel menaikkan kepalanya. Pipinya dibasahi air mata yang mengalir dari kolam matanya. Deras air mata Zafrel turun seperi air sungai yang mengalir tanpa henti. Bibirnya kelihatan bergetar-getar.

Arhan kehilangan kata-kata. Dia pula yang sakit melihat Zafrel. Dia mahu nafikan semua yang dikatakan oleh Zafrel. Baginya, tiada satu detik pun di mana Zafrel gagal sebagai sahabat baiknya. Zafrel layak untuk tahu hakikat itu.

"Zaf, bukan salah kau. Benda dah jadi."

"Kau tak faham lagi ke betapa teruknya situasi sekarang? Hm?" Suara Zafrel kekal perlahan.

Arhan terdiam lama. Tersentap.

"Muhammad Arhan, aku nak kau sedar yang situasi kau bukan main-main. Kalau tak dirawat, kau tak boleh ke fikirkan betapa teruknya akibatnya? Kau boleh imagine tak kalau budak tu tak datang selamatkan kau, apa yang akan jadi?"

"Siapa selamatkan aku?"

"Entah. Ada sorang budak perempuan tu. Dira kut namanya. Dia dengan Cikgu Fura bawa kau ke sini."

Dira? Namanya tak begitu familiar dengannya. Otaknya tiada menyimpan memori berkenaan gadis bernama Dira.

Arhan hendak bertanya banyak lagi soalan berkenaan Dira tetapi melihatkan marah rakannya itu belum surut lagi, dibatalkan saja hasratnya yang satu itu.

Sunyi wad persendiriannya tatkala kedua-dua lelaki itu tidak bersuara.

"Zaf," panggil Arhan lembut.

"Hurm."

"Kau marah lagi ke dengan aku?"

"Kau rasa?"

"Ya?"

Zafrel memandangnya lama dan sekali lagi, dia menerima tamparan Zafrel. Bezanya, kali ini pada dahinya. Dahinya yang masih sakit, dipegangnya sambil mengaduh sakit.

Tahu-tahu saja, Zafrel sudah memeluk erat tubuhnya. Belakang badannya ditepuk-tepuk perlahan oleh Zafrel.

"Bengap. Macam mana aku nak marah dengan kau lama-lama? Kau tu kawan aku."

Arhan yang mendengar kata-kata Zafrel itu tersenyum kecil. Seperti dia, Zafrel pun biasanya tidak pernah marah dengannya begitu lama. Zafrel akan kembali melayannya seperti biasa setelah Zafrel sudah diberi ruang untuk bertenang.

"Lain kali, jangan simpan benda macam ni daripada aku atau Alan. Bahaya. Sekurang-kurangnya kami ada untuk tolong kau bila kau terkena panic attack kau. Apa-apa berlaku pada kau, macam mana? Suka tengok aku membebel macam ni?"

Arhan sekadar senyum tipis.

"Aku minta maaf, Zaf. Aku tak nak kau nampak aku lemah. Aku tak suka."

Zafrel melonggarkan pelukan dan terus dahinya berkerut.

"Sejak bila aku rasa kau lemah? Tak pernah. In fact you're one of the strongest people I have ever known. Having panic attacks does not mean your weak, it means your normal. A normal human being who is just trying to cope with this harsh reality. Which is totally fine. Tak ada seorang pun yang ada hak untuk nilai kau hanya sebabkan kondisi kau."

"Aku...Cuma malu. Selama ni aku selalu nampak kuat depan orang. Aku tak nak orang tiba-tiba label aku lembik atau pelik. Aku...Nak jadi sempurna macam mummy nak."

Zafrel memegang erat bahu Arhan.

"Dengar sini. Kau tu bukan alien. Kau tu namanya manusia. Dan tak ada lagi manusia yang sempurna dalam dunia ni melainkan Nabi Muhammad SAW. Walaupun kau tak ada pun panic attack, anxiety and segala benda yang kau ada tu, kau tetap takkan jadi sempurna. Sebab apa? Sebab tak ada manusia yang dilahirkan sempurna. Kau buatlah apa pun dalam dunia ni, perkataan sempurna dan manusia takkan pernah ngam. Tak perlu kau harapkan kesempurnaan itu sebab kesempurnaan itu hanya milik Allah."

Arhan tidak membalas tetapi mengiyakan kata-kata Zafrel dalam diam.

"Jadi, sahabatku yang tercinta. There is nothing to be ashamed of sebab kita semua ni manusia. Manusia yang tak sempurna. Faham?"

Arhan mengangguk lambat-lambat.

"Muka kau ni...Papa kau yang buat? Kejap...Aku tak boleh percaya."

Wajah Arhan ditatap lama-lama. Berbalut sana sini. Sakit. Arhan yang sakit, tapi dia juga turut terasa sakit Arhan. Ibarat cubit peha kanan, peha kiri pun terasa.

"Hurm..." Arhan sukar untuk akui perkara itu. Jika Zafrel susah mahu percaya, apatah lagi dirinya sebagai anak.

Zafrel mengenggam tangannya. Marahnya meluap-luap. Dia yakin, Arhan langsung tidak diberikan peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Kawannya itu pun satu, tidak pernah mahu berjuang untuk tegakkan kebenaran. Tapi dia tidaklah meletakkan kesalahan sepenuhnya pada Arhan.

Encik Mustapha.

Dia perlu lakukan sesuatu. Selama ini, dia berdiam diri. Kali ini, dia perlu bertindak. Jika Arhan tidak berupaya menegakkan kebenaran, maka biarlah dia yang mengambil alih tugas itu bagi pihak Arhan. Dia tidak sanggup melihat Arhan hidup dalam neraka ciptaan ibu bapanya. Cukup-cukuplah Arhan diseksa. Arhan itu anak mereka. Tega mereka memperlakukan Arhan seperti lelaki itu tidak punyai perasaan seperti orang lain?

Zafrel berdehem. Dia tidak mahu terus hanyut dengan perasaannya.

"Kejap lagi Alan akan datang. Bersiaplah kau tadah telinga dengar leteran dia pula ya?"

Hujung bibir Arhan terherot sedikit dan dia mengangguk perlahan.

Arhan. Semoga bahagia yang kau dapat gapai kebahagiaan yang selama ini kau cari. Kebahagiaan yang sebenar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro