BAB 37: A CONFESSION

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DENDAM DZAFRI

Puspa terperanjat apabila Dzafri muncul di pejabatnya di waktu pagi. Dia menyapa Puspa sebaik sahaja Puspa keluar dari kereta. Dzafri kelihatan sedikit tidak terurus, walaupun masih memakai baju jenama mahal dan seperti baru keluar dari kedai dobi. Kulit cerahnya kelihatan pucat. Misai dan janggutnya kelihatan tumbuh berserabai seperti tidak dirapikan.

Dzafri nak jumpa Adam Prakash dan meminta Puspa bawa dia kepadanya. Puspa mahu bertanya, atas tujuan apa, tetapi tak jadi. Biarlah dia cerita sendiri apa tujuannya mencari Adam Prakash. Ayahnya lambat pula sampai ke pejabat. 

Hanya kira-kira 20 minit. Tetapi, rasanya macam berjam-jam dia dan Dzafri menunggu di lobi pejabat Adam Prakash, tanpa bercakap apa-apa. Wajah Dzafri sama seperti ketika bertemu di hospital. Kejung. Tanpa apa-apa reaksi.

Akhirnya Adam Prakash tiba. Puspa perkenalkan Dzafri. Berkerut muka Adam Prakash cuba mengingat siapa Dzafri. Macam dia pernah dengar nama itu.

"Mari cerita dalam pejabat," kata Adam Prakash kepada Dzafri.

Puspa fikir dia perlu menyiapkan kerjanya sendiri dengan cepat. Dia tinggalkan Dzafri bersama ayahnya dan kembali ke pejabatnya. Tengah hari dia ada lunch date dan shopping dengan Arman. Tetapi selepas kira-kira sejam, Ezhar dan Zarif muncul. Mereka mengajak Puspa ke pejabat Adam Prakash. Ada perkara segera yang perlu dibincang.

Eh, apa hal ni?

Puspa dapati Dzafri masih ada di pejabat Adam Prakash.

"Dzafri nak menyerah diri kepada SPRM," kata Adam Prakash.

Puspa terkejut. Dia tak harap Dzafri akan ditahan dan didakwa. Kasihan Nora. Ezhar dan Zarif berpandangan.

"Atas perkara apa ayah?" soal Puspa.

"Dia ada bukti penyelewengan melibatkan syarikat perladangan Maju Deras Sdn. Bhd."

"Syarikat yang terlibat dengan pembersihan hutan untuk tanaman durian kunyit di Mukim Indera Sakti," kata Zarif.

Dzafri mengangguk.

"Kalau Dzafri menyerah diri, bukan hanya Datuk Salim; Pak Jamil dan Noramin akan turut didakwa," kata Ezhar, teringat kepada isu dalam mesyuarat Badan bertindak Kampung Seri Bahagia yang dihadirinya.

"Saya dah buat keputusan," kata Dzafri. "Lagipun saya akan didakwa kerana kebakaran hari itu. I've got nothing now."

Puspa terfikir mungkin Nora jadi gila, jika suami, ayah, abang dan pak mentua didakwa, dan disumbat ke dalam penjara. Nora akan mencari Arman. Puspa akan kembali ke titik permulaan. Ini tak boleh jadi.

"Nora sudah tinggalkan saya. Anak saya pun dah tak ada. Hidup saya pun tak ada makna apa-apa lagi," kata Dzafri, seolah-olah membaca apa dalam fikiran Puspa berhubung isterinya.

Puspa terkedu. Dia berhenti berfikir sebagai seorang peguam. Dia hanya seorang yang mendambakan cinta Arman. Dia tidak mahu kalah dalam kes ini. Bagaimana nak mempengaruhi Suhail untuk menarik balik laporan polisnya?

Ezhar berdehem untuk mencelah. "Dalam perbincangan kami dengan orang kampung, mereka tak buat laporan tentang kes curi pasir. Memang tiada laporan pun. Mungkin bagi mereka bila beting pasir di muara tu dah kecil, mudah bot nelayan keluar masuk. Jadi kira macam kebaikan juga. Salahnya sebab tak ada lesen mengangkut pasir."

"Yang jadi masalah ialah penebangan balak dan ladang durian kunyit," sambung Zarif. "Itu memang tak boleh diterima langsung."

"Butiran ada dalam fail ini?" soal Adam Prakash, sambil membelek-belek fail di hadapannya.

"Saya tak terlibat dengan Syarikat Maju Deras Sdn Bhd. Syarikat ini deal dengan ayah dan Makcik Mona. Saya ambil butiran itu dari pejabat ayah," jelas Dzafri dengan suara yang mendatar sahaja.

Adam Prakash menyelak-nyelak kertas fail. Dalam hatinya terfikir juga Dzafri sudah jadi anak derhaka. Kes ini melibatkan Maju Deras dengan Anjung Sari, syarikat pemaju milik Datuk Salim dan Maimunah a.k.a Mona. Tetapi kalau ayah jahat, takkan nak biarkan? Kesian pula kalau ada ayah perangai macam itu. Tentu anak dalam dilema. Nak ikut undang-undang, atau bersekongkol dengan ayah. Dia mengangkat muka dan memandang Dzafri.

"Saya ganti fail palsu di pejabat ayah," ujar Dzafri.

"Semua ini akan menyusahkan ayah awak Dzafri," ujar Adam Prakash.

"Saya tahu. Saya macam anak derhaka."

Adam Prakash fikir, dia harus bincang dahulu dengan rakan-rakannya di pejabat Peguam Negara. Hatinya sebagai seorang ayah ingin memberi peluang kepada Dzafri.

"Saya datang untuk minta nasihat guaman. Saya bukan nak selamatkan diri. Allah dah tunjuk kepada saya. Anak saya pun tak mahu hidup dengan saya," jelasnya, suaranya sebak. Nampaknya sukar dia mengambil keputusan ini.

Adam Prakash berfikir. Kalau buat laporan, SPRM mungkin bukan hanya serbu pejabat Datuk Salim, mungkin pejabat Dzafri pun akan kena. Kalau Dzafri jadi informer, jalan ceritanya mungkin berbeza.

Keputusan hari itu, mereka suruh Dzafri kembali ke pejabatnya seperti biasa. Buat kerja seperti biasa untuk mengelakkan ayahnya syak wasangka.

Kata Adam Prakash, dia akan bawa Dzafri pergi 'menyerah diri' di pejabat SPRM. Orang kampung masih boleh menghantar petisyen meminta kerajaan mengenakan moratorium untuk aktiviti penebangan balak. Itu tiada masalah.

*****

JANGAN DAKWA DZAFRI

Dzafri meninggalkan bangunan WISMA IKHTISAS. Puspa, Ezhar dan Zarif sambung perbincangan di bilik pejabat Puspa. Adam Prakash ada urusan yang lebih besar. Bercakap dengan orang besar-besar di Putrajaya. Dia mungkin ke sana petang ini atau esok. Hal berkaitan rasuah tidak boleh ditangguh. Tapi anak guamnya, Dzafri mesti diberi pertimbangan yang adil di sisi undang-undang.

"Sekarang nak buat macam mana?" soal Zarif.

Plot drama 'ladang durian kunyit' nampaknya sudah membentuk cabang. Hasrat Dzafri untuk 'menyerah diri' perlu disimpan dahulu daripada pengetahuan  Badan Bertindak Kampung Seri Bahagia, kerana mungkin ada pengintip di kalangan ahlinya.

"Kalau boleh jangan implicate Dzafri terus," pinta Puspa.

"Kenapa pulak?" soal Ezhar.

"Dia suami Nora. Takkan korang tak kesian. Nora baru kematian anak."

Undang-undang tak nampak semua itu. Yang salah tetap salah. Yang benar tetap benar. Puspa hanya terbayangkan Nora apabila suami, ayah dan abangnya disiasat SPRM. Kenapa Dzafri cari firma ADAM PRAKASH & PUSPA? Kenapa bukan firma lain. Apa tujuan Dzafri sebenarnya? Kesedihan Puspa jelas tergambar di wajahnya.

"Baik Puspa cerita apa yang terjadi sebenarnya," kata Ezhar.

Puspa berat hati nak cerita. Takut memalukan Arman. Kalau Arman tahu dia mengadu kepada Ezhar dan Zarif, Arman pasti kecil hati. Atau mungkin marah. "Tak ada apa."

Puspa melihat jam tangannya.

"Kenapa? Ada urusan?" soal Zarif.

"Tunggu pakwe la tu," usik Ezhar. "Kau tak tau ke? Adik kita ni nak bertunang tak lama lagi."

"Dengan siapa?"

"Siapa lagi, kalau tak dengan model iklan JACK & JILL tu," jawab Ezhar. "Siapalah kita . . . Tak cukup macho."

"Nampaknya kita pun kena pumping iron lepas ni. Boleh ke? Dah masuk three series ni . . ." kata Zarif melihat Puspa hanya tersenyum sahaja.

"Ala . . . Korang bukan tak eligible, cuma asyik kerja, kerja, kerja . . . Tak tengok sana sini punya ramai gadis bujang yang lawa-lawa."

"Engkau pun kena main ragbi juga," kata Ezhar, saja menyakat Zarif.

"Futsal tak boleh ke?"

"Apa la you all ni . . . Ini soal hati. Tak ada kena mengena dengan ragbi atau futsal." Puspa mencelah. 

Dia memang main futsal bersama staf pejabatnya bila ada masa lapang. Ezhar dan Zarif akan bermain sekali. Tetapi itu dulu. Kini masa lapang Puspa, Arman sudah ambil.

"I told you so," kata Ezhar kepada Zarif.

"Ok. Confirmed. Weekend ni aku daftar," tegas Zarif.

"Elok tu. Ambil pakej. Cari personal instructor," cadang Puspa, turut mempromosi perniagaan Jack.

"Perempuan ke?" soal Ezhar.

"Personal instructor yang perempuan untuk pelanggan perempuan. Sorry. Itu peraturan brother Jack. Dia tak mahu jadi isu rumah tangga," jelas Puspa.

"Cuci mata boleh kan?" kata Ezhar sambil mengenyit mata kepada Puspa.

"Abang Suhail marah dengan Datuk Salim, tapi menyusahkan anaknya," kata Puspa, kepada diri sendiri, tetapi ditangkap oleh Ezhar yang bertelinga lintah.

"Ah! Anaknya pun bukan bersih macam kain putih," katanya.

Kesedihan yang melintas di wajah Puspa buat Zarif syak ada sesuatu yang berlaku. Tetapi jika dia tanya pun, Puspa tak akan beritahu kalau ia melibatkan Arman. Kesetiaan dan komitmennya kepada Arman membuat hatinya terasa pedih.

"Dari sudut yang memihak kepada Dzafri, tiada laporan setakat ini. Secara teorinya kita tak tahu," jawab Ezhar, bersedia menutup fail di hadapannya.

"Jadi, Dzafri yang kena suruh mereka berhenti," kata Puspa.

Ezhar mengangguk. "Tetapi kita tak dapat memberi jaminan SPRM tak akan siasat pak mentua dan abang ipar Dzafri."

"Wife Dzafri tu bukan ex fiancée Arman ke?" Tiba-tiba terloncat kata-kata itu daripada mulut Zarif. 

Dia nampak wajah Puspa berubah. Serta-merta dia ingin menampar mulutnya sendiri yang celupar.

"Yup. They broke off while he was in prison," jawab Puspa.

"Now she is trying to get a divorce," Zarif melahirkan kenyataan sambil memandang tepat ke wajah Puspa.

"What are you trying to imply, Abang Zarif?" soal Puspa yang merasa ada sesuatu yang tersirat di sebalik kata-kata Zarif itu.

"Nothing. Just trying to put two and two together."

"Just let go, ok!." Ezhar mencelah. Suaranya agak tinggi seperti memberi amaran.

"Oopps sorry!" Kata Zarif. Jelas tidak menampakkan keikhlasan.

"Me, too," kata Puspa. "I have only one space in my heart. And it's occupied now."

"Assalamualaikum!" Tiba-tiba kedengaran suara. Semua terperanjat menoleh ke arah pemilik suara itu dan pemilik space (ruang) dalam hati Puspa.

Entah sudah berapa lama Arman berdiri di pintu.

****

MENCARI TITIK PERSAMAAN

Masing-masing menjawab salam. Arman bersalaman dengan Ezhar dan Zarif. Pandangannya kemudian beralih kepada Puspa. Senyuman manis terpahat di wajahnya.

"Dah siap mesyuarat Sayang?" soalnya bersahaja.

"Siap." Puspa memandang Ezhar dan Zarif. 

"Aku mengganggu ke?" soal Arman. Pandangan ditujukan kepada Ezhar dan Zarif. Maksudnya: Kau berdua mengganggu. Sekarang blah!

Isyarat matanya menyuruh mereka keluar.

Ezhar bangun, menepuk lengan Zarif. "Esok kita sambung."

Setelah kedua mereka keluar, Arman berpaling dan merenung Puspa. Bibir menguntum senyum. Senyuman yang cuba menyembunyikan rasa cemburu yang meruap-ruap. Cemburu kepada perhatian Zarif yang aneh kepada Puspa.

"Sekarang tak ada Ezhar, tak ada Zarif dan tak ada Jack nak ganggu kita," katanya.

Pesan ibu Puspa, 'Orang lelaki tidak boleh dipercayai berdua-duaan dengan perempuan cantik, walau satu saat pun. Semua akan jadi macam kucing jantan biang kalau diberi peluang.'

Tetapi lelaki ini bukan nampak seperti kucing biang. Dia nampak berbahaya. Macam ada riak kemarahan yang terpendam. Puspa berharap sangat bukan dia puncanya. Baru sahaja dia menerima bunga cinta daripada Arman, setelah sekian lama menabur benih kasih. Pohon sayang yang berbunga itu belum lagi kuat akarnya. 

Aduh! Baru sahaja rindu ini terubat. Puspa diserang gundah gulana yang tidak boleh dizahirkan.

"Malaikat tetap ada," jawab Puspa, cuba menutup mana-mana ruang keraguan yang menyerang.

Keraguan itu datang daripada Syaitan yang direjam.

Beg tangan disambarnya. Tangan kanan Arman dipaut. Senyuman manis diberi, sambil langkahnya laju menuju ke luar. 

Puspa dapat merasai ketegangan pada lengan yang dipegangnya. Tapi Puspa abaikan sahaja. 

Malam tadi Puspa sudah 'bergaduh' kecil dengan Arman tentang warna. Arman suka warna hitam, biru langit dan merah. Puspa suka warna ungu, pic dan putih gading. Bagi Puspa, itu hanya perbezaan pilihan warna. Semua itu tidak penting. Dia mencari titik persamaan antara dua hati, bukan perbezaan. Bila persamaan berkuasa, perbezaan akan menjadi kekuatan, bukan halangan.

Tarikh pertunangan hanya beberapa hari sahaja lagi. Semua persiapan perlu dibuat dengan segera. Puspa merasa dirinya sudah tiba ke tahap ini. Dia tidak akan mengalah.

Biarlah orang kata dia gedik, kejam atau engkar nasihat ibu dan ayah. Tak silap ada pantun Melayu berbunyi:

Nasi Lemak Buah Bidara,
Sayang Selasih Hamba Lurutkan,
Hilang Emak Hilang Saudara,
Kerana Kasih Hamba Turutkan.

Buat dirinya pantun itu tidak benar. Dia masih ada ibu, ayah dan atok serta opah. 

Arman pelengkap dalam hidupnya.

*****

🍏

*Wajah Dzafri macam di atas tu. Artis Taiwan. Dzafri kan separuh Melayu, separuh Kadazandusun. Untuk yang tidak mengenali pokok dan buah bidara. Dipercayai boleh menghalau jin*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro