BAB 43: BEST BUDDY

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

*Sis tercicir bab ini. Jadi Bab Luka sudah tukar tajuk sahaja kepada 'Melawan Ego' jadi Bab ke-44, bukan 43. Seribu kemaafan dipinta.*

PENERANGAN DATUK HAIDAR

Selepas Arman dan Malik mandi dan bersalin pakaian, mereka dapati makanan tengah hari sudah tersedia di atas meja. Makanan itu seperti datang dari hotel. Chicken chop dengan mash potatoes. Disediakan juga nasi goreng kampung, kalau dirasakan chicken chop itu tak cukup mengenyangkan. Datuk Haidar sendiri sudah duduk menghadap hidangan. Tenang sungguh orang tua ini.

"Kamu berdua boleh panggil saya 'Atok' macam Puspa," katanya kepada Arman dan Malik, "Arman sudah macam family. Kamu Malik his best buddy."

Arman makan juga chicken chop itu walaupun dia tiada selera nak makan apa-apa. Tetapi dia perlu tenaga. Malik makan macam biasa. Nasi goreng pun dia bedal. Malik memang kuat makan. Lepas itu dia akan berusaha membakar kalorinya dengan berjogging dan menumbuk punching bag. Katanya, 'kill two birds with one stone'. Makan dapat, lepaskan geram pun dapat.

Selesai makan, Datuk Haidar berkongsi dapatan surveilans yang dikumpulnya daripada spy drone . Gambar digital di dindingnya berubah menjadi skrin. Dia tunjukkan imej perjumpaan seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Kamu kenal siapa mereka?" tanyanya, persis seorang pegawai penyiasat.

"Ketua kartel dadah Asia, Badar dengan Mona, ibu tiri Dzafri," jawab Arman.

Datuk Haidar mengangguk. "Yep, they are related. I mean, blood relation. Badar ini sepupu Mona sebelah bapanya."

"Small world," kata Adam Prakash, dengan nada sedikit meluat.

"Datuk Salim dahulu memang seorang yang baik. Tetapi setelah berkahwin dengan Mona dia berubah. Entah nasi kangkang apa Mona bagi Datuk Salim makan . . ." kata Datuk Haidar.

"Datuk Salim ceraikan isteri Kadazan yang dia kahwin semasa bertugas di Sabah. Ibu Dzafri," jelas Datuk Haidar.

Arman memang sudah maklum perkara ini. Dia tahu Datuk Salim pernah mengajar satu sekolah dengan ayahnya.

"Siasatan kami, ia bukan kebetulan. Mona dan Badar memang merancang untuk mengkorupkan Salim untuk kepentingan kartel dadahnya. Jadi dia gunakan syarikat tertentu termasuk perkhidmatan syarikat pengangkutan dan penghantaran. Salim sebagai pemimpin atasan politik digunakan untuk mempengaruhi pihak tertentu supaya memberi lesen untuk syarikat-syarikat 'dummy' ini."

"Maksud Atok, syarikat-syarikat ini tak buat perniagaan sebenar?" soal Malik.

"Syarikat ini ada perniagaan. Tetapi keuntungan bukan dijana daripada perniagaan itu. You understand what I mean?"

Malik mengangguk.

"Sebab itu mereka dapat bersaing dengan competitor mereka yang jujur. Sering kali competitor itu kalah dan gulung tikar," ujar Datuk Haidar.

Dia memandang ke arah Arman. "Kamu jadi mangsa sebab David mengugut mahu komisen lebih, kalau tidak dia akan pecah lubang. David tahu dia akan dianiaya. Jadi dia suruh kamu ambil tempatnya untuk mesyuarat di Johor Bahru.

"Celaka," kata Malik.

"Lebih dari celaka. Mereka mahu rosakkan anak muda kita," balas Datuk Haidar.

"Di mana David sekarang Atok?" soal Arman.

"Kononnya dalam perut buaya. Selebihnya dalam perut ikan," jawabnya, selamba. "Tapi Atok fikir dia sedang merancang sesuatu."

Arman dan Malik berpandangan. Sama-sama teringat tentang sembang mereka tak berapa lama dahulu mengenai makhluk yang sama.

"Daripada maklumat dalaman, arahan adalah untuk culik Puspa buat tukaran dengan maklumat rasuah yang ada di tangannya. Si malaun dua orang itu tak tahu dadah itu ada racun. Badar ada idea sendiri nak bunuh Puspa, sebab dendamnya kepada Arman. Kalau penjahat tertangkap yang kena sama ada Dzafri, Mona atau Datuk Salim atau ketiga-tiganya. Mereka gagal sebab Arman dengan Malik muncul in the nick of time," jelasnya dengan panjang lebar.

Dia menarik nafas panjang. Mata tuanya merenung Arman, sayu. "Kamu tinggal di sini sementara waktu Arman."

"Arman ada kebun nak dijaga ayah," Adam Prakash mengingatkan. Itu juga sumber ekonomi bakal menantunya.

"Saya guna IoT, Atok. Saya boleh pantau kebun saya secara remote dan bagi arahan kepada pembantu saya jika ada masalah dari mana-mana pun," jawab Arman.

'Smart boy!" kata Datuk Haidar. "Boleh Atok tengok?"

Arman mengeluarkan telefon bimbitnya dan menunjukkan secara live keadaan kebunnya yang diambil menerusi CCTV. Cuaca di kebun nampak panas dan tenang.

Datuk Haidar kagum dengan usaha Arman menggabungkan ilmu kejuruteraan, teknologi maklumat dengan perladangan, walaupun tidak pernah belajar pertanian secara formal.

"Atok minta maaf dengan kamu Arman. Atok lambat menerima berita kamu dah ditahan tiga tahun di penjara angkara kartel dadah. Boleh kamu terima permohonan maaf kami sekeluarga Arman?"

"Atok, boleh saya peluk Atok?" pinta Arman pula. Tiba-tiba dia terasa mendapat semula semangat yang dia kehilangan sejak peristiwa yang menimpa Puspa itu.

"Boleh," jawab Datuk Haidar. Dia dan Arman bangun serentak dan berpelukan. Lama.

*****

RINDUNYA . . .

Menjelang petang, Adam Prakash mahu keluar untuk mengambil Dzafri menyerah diri di SPRM. Rancangan sudah diubah kerana serangan ke atas Puspa. Malik diajak bersama sebagai tenaga pengawal tambahan.

"Oh ya . . . motor yang kau campak tu ada di bengkel Dzul," kata Malik sebelum keluar. "Aku minta dia uruskan ambil dari WISMA IKHTISAS."

Arman bangun dan berjalan ke arah Malik yang sedang berdiri di pintu. Dia genggam tangan Malik. Erat. Tak perlu kata-kata.

Teringat dia ketika nampak Puspa bergelut dengan penjahat petang itu. Dia berhenti dan tinggalkan motosikalnya tergolek di tengah jalan demi menyelamatkan Puspa. Lepas itu dia tidak ingat lagi motosikal kesayangannya itu. Jangan ia merajuk sudah.

Setelah Adam Prakash dan Malik keluar, tinggal Arman berdua dengan Datuk Haidar dan bodyguard yang berwajah garang itu di apartmen. Datuk Haidar suruh Arman tidur. Dia merumuskan Arman perlu tidur setelah melihat keadaannya yang keletihan.

Arman sebenarnya tak mahu tidur. Kalau boleh dia hendak berjaga sehingga Puspa mencelikkan mata. Tetapi, tak baik pula berdegil arahan orang tua. Dia masuk ke bilik tetamu yang disebut Datuk Haidar.

Bilik berhawa dingin itu lengkap dengan sebuah monitor surveilans. Ia bukan bilik biasa-biasa. Arman nampak charger untuk telefon bimbit juga telah tersedia tersangkut di dinding. Dia sangkut telefon bimbitnya pada charger itu dan berbaring di katil. Ingatannya terbang kepada Puspa yang manja. Sudah lebih 24 jam dia tidak mendengar suara itu atau membaca mesejnya di telefon bimbitnya.

"Kalau durian itu berbuah sepanjang tahun, macam cili, jadi macam mana ya?" soal Puspa. Soalan itu diajukan ketika mereka duduk menghadap kebunnya setelah selesai menuai cili.

"Kita semua dapat penyakit kencing manis," jawab Arman.

Puspa ketawa, "Ok. Next question: Kalau negara ini tak ada durian pulak?"

"Sama macam negara ini tak ada bola ragbi."

Lagi kuat ketawa Puspa. Sampai dia tutup mulutnya. " Apa kaitannya?"

"Durian, walaupun sedap bagi setengah orang, bukan semua orang suka makan, atau boleh makan. Sama macam ragbi, seronok bagi kami, tapi bukan semua orang suka permainan ini, atau boleh main."

"Entah apa-apa analogi abang . . ."

Arman ketawa. "Tak apa. Kutuk la . . . Ini . . . Abang pula nak tanya"

"Ok . . . Shoot!"

"Emm . . . Kalau kita kahwin, sayang nak berapa orang anak?"

"Stop! Dilarang tanya soalan gatal," kata Puspa sambil tangannya cepat sahaja menutup mulut Arman.

Arman senyum pahit. Takkan gurauan dengan Puspa hanya tinggal sebagai kenangan sahaja?

Takkan Puspa akan terus tidur selama-lamanya?

Jumaat sepatutnya mereka pergi bersama mengambil 'couple ring'. Ahad mereka sepatutnya bertunang.

Dia tidak dapat membayangkan kehidupannya tanpa Puspa. Sunyi dan penuh dengan kepiluan.

Ya Allah, ampunilah hambaMu ini kerana tidak memahami perancanganMu.

Dia taip beberapa mesej kepada Puspa. Nanti bila Puspa terjaga, dia akan membaca mesejnya.

Akhirnya dalam keletihan itu dia terlelap juga.

*****

DIA JURUTERA

Lepas solat asar Datuk Haidar membawa Arman ke hospital untuk diperkenal kepada isterinya Datin Kalsum. Lalu, dia terpaksa menghadapi soal siasat Datin Kalsum, yang sangat kepoh. Melihat daripada perawakannya, Datin Kalsum jelas menunjukkan keturunan dari negara sejuk. Kulit putih, mata hazel, dan hidung mancung. Puspa jarang bercakap mengenai opahnya, walaupun jelas wajah mereka amat mirip.

"He is an engineer," kata Datuk Haidar, memperkenalkan Arman kepada isterinya.

Arman buka mulut untuk membetulkan. Tetapi Datuk Haidar kenyit mata. Dia diam.

"He is also a rugby coach," kata Datuk Haidar lagi.

"Really? That's wonderful. Which club?"

Datuk Haidar hendak menjawab, tetapi ditahan oleh Datin Kalsum.

"Let him answer, dear. I see he has a perfect mouth," kata Datin Kalsum.

"It's a new club, Black Seladang," jawab Arman.

"Really?' Datin Kalsum memandang suaminya. Datuk Haidar hanya mengangguk.

"Jack owns the club," kata Arman.

"Oh . . . I know Jack . . . Isn't he the one . . . The poor thing . . ."

"Brother Jack is my former coach," jawab Arman.

"Arman played for a club during his university days," celah Datuk Haidar. "He is very good but very modest about it."

Rasa sedikit kembang hidung bila mendapat pujian daripada Datuk Haidar. Datin Kalsum senyum. Adakah dia sudah lulus ujian? Kedengaran pintu dikuak. Mereka menoleh ke arah pintu.

"Assalamualaikum," sapa Malik.

"Waalaikumussalam." Datuk Haidar dan Arman serentak menjawab salam itu.

"Now, who is this hunk?" kata Datin Kalsum, tersenyum lebar memandang Malik yang jelas nampak badan sasanya kerana hanya memakai kemeja-T lengan pendek dan seluar jeans.

Malik tersipu-sipu.

"He is also an engineer," Jawab Datuk Haidar.

Arman cepat-cepat tarik tangan Malik, sebelum sempat Datin Kalsum melancarkan soal siasat seterusnya.

"Excuse us atok, opah, we've got to go."

Malik hampir terbelit kaki sendiri kerana diseret keluar dari ruang menunggu itu.

"Apa kena kau ni Arman? Aku nak jumpa Puspa. Banyak yang aku nak sembang dengan dia." Malik hairan dengan sikap Arman. Tak beradab sungguh melarikan diri macam itu di hadapan orang tua.

"Aku tengah selamatkan kau."

"Hah?"

"Nanti opah Puspa tu soal siasat, kau tergagap-gagap nak jawab."

"Pasal apa?"

"Dia cakap orang putih sepanjang masa."

"Huh? Tengok rupa macam opah Salleh . . ." kata Malik cuba berjenaka.

"Entah . . . Puspa tak pernah cakap. Puspa tu kan multi-racial. Fikiran terbuka. Tak kisah bangsa apa."

"Aku tahulah aku tak lancar cakap orang putih macam kau . . ."

"Bukan soal kau tak lancar ke apa. Nanti dia soal siasat kau pasal aku, kau terlepas cakap pula. Bukan aku tak tau mulut kau tu tak ada insuran," bebel Arman.

Malik ketawa. "Tahu takut. Hahaha."

Arman abaikan usikan Malik."Aku nak ajak kau pergi kedai emas Abe Li."

Malik tahu apa yang dicari Arman di kedai emas Abe Li. Tetapi dia ada persoalan lain.

"Opah Kalsum tinggal di mana?"

"Dengar tadi dia menginap di hotel dekat hospital. Mungkin dia tak suka duduk di apartmen kot. Lebih-lebih lagi apartmen itu dibuat macam markas pengintipan."

"Engkau pula? Tak nak balik kampung ke?"

Satu soalan yang sukar dijawab. Sudah tentu dia ingin balik kampung. Tetapi Puspa di sini. Dia harus hari-hari melihat Puspa. Ini baru satu hari Puspa terbaring macam Snow White, takkan dah jemu?

"Aku takut tak dapat kawal sedih tengok barang hantaran belanja tu. Entahlah . . ."

"Sampai bila kau nak duduk di apartmen tu?"

"Kata Atok Haidar, sampai bila-bila."

"Alahai . . . Bertuahnya badan," usik Malik.

"Aku harap tak sampai bila-bila. Aku harap Puspa cepat bangun." Dia amat rindu dengan Puspa. Rindu untuk bertegang urat dengan Puspa yang sering tak mahu mengaku kalah itu.

"Betul kau nak bagi hati kau pada Puspa?"

"Ya. Kalau dia perlukan. Aku dah daftar."

"Kalau dia tak perlukan?"

"Alhamdulillah. Mungkin ada orang lain yang memerlukannya. Aku kan darah jenis A negatif."

Malik mengangguk faham. Pindahan hati perlu kesesuaian.

"Kau tahu tak, darah kau dengan Puspa sama jenis. AB negatif. Cuma 0.7% manusia di dunia ada darah jenis itu. Jangan-jangan korang bersaudara."

"Mengarutlah engkau. Emak aku dari kaum Cina Kemboja. Terpaksa lari sebab di kampungnya diorang benci Cina sampai tahap bunuh-bunuhan. Mujur dia selamat bila bot pelarian diserang. Kalau tidak aku pun tak ada. Bapa aku Melayu. Engkau tengok muka aku. Ada macam datang dari Uttar Pradesh?"

"Atok Haidar Melayu," jawab Arman, sambil tersenyum. Muka Malik lebih mirip kaum sebelah emaknya.

"Entahlah. Aku malas nak bersoreh-soreh ni."

Cerita pasal saudara-mara mati apabila mereka tiba di kedai emas Abe Li. Cincin sudah siap, kata Abi Li yang senyum-senyum apabila Arman mahu mengambilnya. Arman mengelak daripada menjawab soalan-soalan Abe Li.

Mereka singgah di kedai pakaian dan membeli apa yang diperlukan untuk tinggal beberapa hari. Sepanjang perjalanan balik, Malik cuba menghiburkannya dengan cerita-cerita lawak bodohnya.

Ketika sampai di hospital, Datuk Haidar dan Datin Kalsum sudah kembali ke hotel untuk berehat. Adam Prakash dengan Indah juga sudah pulang dan datang semula waktu malam. Zahari dan Khadijah pula kelihatan menunggu bersama adik-adiknya Zaki dan Sarah. Mereka sudah melawat Puspa. Ketika dia duduk, Sarah terus mengambil tempat di sebelahnya dan memeluk pinggangnya. Kepala disandarkan ke bahunya. Ternyata Sarah amat terkesan dengan apa yang terjadi kepada Puspa. Tidak perlu kata-kata.

Malik pulang kerana esok dia kena bekerja. 

*Bab seterusnya, Nelly baru sedar diri. Adakah sudah terlambat?*




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro