BAB 49: KAU MILIKKU

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

BAJU NIKAH

Arman dan Malik turun ke kedai gunting di tingkat bawah. Ramai pula pada hari Ahad. Akibatnya mereka pun terlambat sedikit. Ketika kembali ke apartmen, Zahari, Khadijah, Zaki dan Sarah sudah menunggu di lobi. Wajah mereka jelas kerisauan. Sebaik sahaja nampak Arman dan Malik memasuki lobi, terus Khadijah menerpa.

"Risau umi. Arman pergi mana?"

Arman menggosok-gosok belakang lehernya, tersengih kerana tahu sudah buat salah. "Pergi gunting rambut umi."

Terlopong mulut Khadijah. Tak terkata. Dah nak pergi nikah baru nak gunting rambut. Semalam buat apa?

"Malik dah kata tak payah. Tapi dia degil," jelas Malik.

"Jom naik. Dah lambat ni," kata Zahari.

Arman melihat umi dan walidnya memakai baju sedondong warna biru langit. Begitu juga adik-adiknya. Itu warna kegemarannya. Sarah nampak sangat comel, dengan tudung yang dihias manik-manik. Sarah tak memeluknya seperti selalu apabila bertemu. Takut bajunya renyuk, agaknya, fikir Arman.

Di apartmen, uminya menyerahkan baju yang dia perlu pakai. Bila dia buka zip beg penutup pakaian, dia terkejut.

Alamak! Warna putih gading!

"Ini Puspa yang pilih," kata Khadijah. "Kita ikut sajalah."

Terus Malik ketawa terbahak-bahak. Arman buat muka kelat macam tergigit buah jambu batu muda.

"Berani kau gelakkan aku, Malik." Dia berpaling ke arah Malik yang sudah lari masuk ke dalam bilik, membawa pakaiannya sendiri. Arman mengejarnya.

Khadijah geleng kepala. "Dari budak sampai nak kahwin, tak sudah-sudah nak bergusti."

Selamba Khadijah mengetuk pintu. Seketika pintu dibuka sedikit. "Nah, salin baju ni," ujar Khadijah, "Tidak ada pilihan lagi. Nak nikah ke taknak?"

Satu tangan dihulurkan keluar untuk mengambil baju daripada Khadijah. Beberapa minit kemudian kedua mereka keluar, siap memakai baju Melayu dengan samping songket.

"Lawa pun," Zahari memuji untuk memujuk anaknya yang wajah mencuka.

"Abang lawa la. Mesti Kak Long suka," tambah Sarah.

"Betul. Memang sangat lawa." Zaki menyambung pujian.

Masing-masing main psikologi. Mengampu.

Malik juga memakai baju Melayu warna biru langit. Dia mengambil songkok yang sudah siap dihias, dan letak atas kepala Arman. Dipusingnya badan Arman ke arah cermin panjang yang tersangkut di ruang tamu. Arman macam patung, mengikut saja.

"Haa! . . . Kan lawa tu . . ." katanya, sambil menarik pipi Arman ke atas supaya senyum.

Arman senyum pahit. Sampai hati diorang kenakan aku di hari aku nak nikah. Diorang tahu memang aku tak gemar warna ini.

Arman tidak suka warna putih gading kerana ia mengingatkannya kepada Nora yang sudah 'booking' warna itu jika mereka nikah nanti. Bukan sebab ia akan membuat dia kelihatan buruk. Kenapalah Puspa serupa dengan Nora tentang pilihan warna?

"Arman lupa ke? Bukan pelik kalau perempuan suka warna putih gading untuk baju nikah," kata Khadijah. Dia tahu warna pilihan Nora.

"Tolak ansur itu penting lepas kau kahwin nanti." Walidnya berpesan semalam. "Jangan ingat kamu ada kuasa, kamu nak guna kuasa saja."

Sekarang dia sudah kena tolak tentang warna pakaian. Tidak mengapa. Dia mengalah sahaja asalkan Puspa gembira. Dia harap bila buat majlis bersanding nanti, Puspa akan ansur pula. Jangan warna pic sudah.

*****

DI SEBUAH APARTMEN LAIN

Seluruh ruang tamu apartmen itu sudah berbau rokok. Bajunya berbau rokok. Rambutnya berbau rokok. Apa lagi, nafasnya. Juga berbau rokok.

Nikotin sedang menari-nari dalam paru-parunya. Dia peduli apa. Asalkan otaknya gembira kerana berjaya melupakan kesedihan. Rokok itu disedutnya dalam-dalam. Asap dihembus keluar, membusukkan lagi ruang yang sudah busuk itu.

Puntung rokok bertaburan di atas lantai bersama kotak-kotaknya. Ada yang sudah kosong, ada yang masih berisi.

Dia ketawa mengejek dirinya sendiri. Seorang peguam muda yang terkenal, kalah bertarung di luar mahkamah untuk merebut hati seorang gadis. Kalah dengan seorang lelaki yang dia sendiri pernah menyumbang untuk membebaskannya dari penjara. Setelah bebas, lelaki itu mengambil satu-satu gadis yang telah disimpan di hatinya hampir 10 tahun.

Dia ikhlas membantu Puspa apabila gadis itu memerlukannya. Sejak dari zaman universiti sehingga telah menjadi peguam. Dialah orang yang sering membantu Puspa.

Tetapi apa balasannya? Hanya heartbreak. 

"Arghh!" 

Rokok disedut dalam-dalam.

Tiba-tiba satu tangan mencabut rokok itu dari mulutnya.

"Sudahlah Zarif. Kau mati atau setengah mati kerana merokok pun Puspa tak akan datang kepada kau."

Ezhar mengutip kotak rokok yang masih ada isi dan simpan di dalam poket seluarnya.

"Hei! . . . Bagi balik rokok aku!"

"Engkau kena ambil daripada aku!" Kata Ezhar sambil bangun. Dia membuka semua tingkap di apartmen itu. Biar udara masuk.

Zarif terlalu lemah untuk bangun. Inikan pula untuk berebut rokok dengan Ezhar yang tubuhnya kira-kira10 sm lebih tinggi daripadanya. Ketinggian Ezhar 185 sm.

Dia membaringkan dirinya di atas lantai marmar apartmen yang dikongsi bersama Ezhar itu. Mata dipejamkan.

Tiga hari sudah dia melawat Puspa yang masih tidak sedar diri. Hari ini dia dengar kabar Puspa akan nikah dengan Arman.

Mengapa takdir begitu kejam kepada aku?

Sungguh! Dia sendiri tidak sangka, hatinya begitu sedih mendengar berita itu, walaupun dia tahu . . . Puspa tidak mencintainya.

Tetapi dia masih mengharap.

Walaupun dia tahu, dia tiada harapan untuk bersaing dengan Arman. Walaupun duitnya ada berkepuk.

Ezhar menyembur ruang tetamu itu dengan wangian untuk menghilangkan bau asap rokok.

"Akupun merokok juga. Tapi ini dah melampau!" Ezhar bersungut.

Zarif memicit-micit kepalanya yang sudah berdenyut.

"I want to go away."

"Nak ke mana?"

"Entah! Aku tak tahu . . ."

"Jangan terjun ke laut, sudah. Ingat! Kau ada tanggungjawab kepada masyarakat."

"Kau tak tahu . . . Kau tak rasa apa aku rasa." 

Dia bangun, berjalan lemah menuju ke pintu. Ezhar terus menghalangnya. "Kau nak ke mana?"

"Pergi!"

"No!" Ezhar berdiri di pintu.

"Get out of my way!"

"No!"

"Just let me go! Let me die in peace!"

"Okay! In that case, I will go with you. We'll die together."

Ezhar melihat jam di tangannya. Dia tahu Zarif hendak ke mana. Dia tahu bar mana yang buka di siang hari.  Tetapi dia tidak percaya sahabatnya dapat fokus dalam pemanduan untuk menuju ke destinasinya, dengan selamat, melihat keadaannya seperti itu.  

Namun, Zarif tidak mendengar nasihat.

Maaf Puspa. Abang Ezhar tidak dapat hadir hari yang bersejarah kau.

Bagi Ezhar, emosi Zarif yang tidak stabil lebih penting di saat ini untuk diambil perhatian.

*****

KEJUTAN

Dewan di hospital itu sudah berubah daripada keadaan biasa menjadi ruang resepsi. Ia mempunyai pintu gerbang yang dihias bunga-bunga, gabungan warna biru dan putih gading. Lantai jubin ditutup dengan permaidani warna merah. Tetamu perempuan duduk bersimpuh, sementara yang lelaki duduk bersila. Ia normal seperti acara akad nikah saudara-maranya yang pernah dia hadir. Arman terpaksa mengakui cantik juga kombinasi warna-warna itu. Hairan dia bagaimana mereka boleh menyiapkannya dalam tempoh yang amat singkat? Seorang penyambut tetamu yang agak kepoh menyambut rombongan Arman.

Puspa duduk di sebuah sofa double seater yang dibungkus warna biru muda berjalur halus warna putih gading. Dia kelihatan berseri-seri, memakai baju kurung moden yang sama warna dengannya. Cuma baju Puspa bersulam dan bermanik. Mata mereka bertaut, saling berkata-kata, 'Aku cinta kamu'.

Ketika dia masuk, tetamu nampak terkesima dan teruja, lebih-lebih lagi kawan-kawan perempuan Puspa yang mengelilinginya. Datuk Haidar duduk tenang tidak jauh dari situ. Arman percaya staf Datuk Haidar yang menguruskan acara ini, termasuk mencari juruhias dan mak andam yang dia tidak pasti jantinanya, untuk Puspa.

Adam Prakash sendiri menikahkan Puspa. Semuanya berjalan dengan sempurna, walaupun secara tergesa-gesa. Kini cinta Arman dan Puspa bukan lagi rahsia.

Selesai hukum Islam, tiba masa menyarungkan cincin dan dan batal air sembahyang mengikut adat Melayu. Dia diberi kotak yang sama berisi cincin merisiknya dahulu. Dia buka kotak dan terkejut kerana isinya bukan cincin merisiknya, tetapi dua bentuk cincin yang cantik berkilau. Sebentuk emas kuning dengan berlian bermata satu yang sederhana besarnya. Sebentuk lagi platinum. Desainnya hampir sama dengan couple ring mereka. Bezanya cincin kahwin ini berjenama mewah. Arman memandang keliling. Lantas bertemu mata dengan Datuk Haidar. Orang tua itu mengangguk. Tetamu muda yang hadir terus bersorak-sorak menyuruhnya menyarungkan cincin itu ke jari manis Puspa. Tangannya sedikit menggeletar apabila memegang tangan Puspa.

"Kiss! Kiss! Kiss! " Kawan-kawan sepejabat Puspa berteriak.

Sorakan kawan-kawan Puspa itu menganjak ingatan Puspa ke hadapan, keluar daripada ruang penjara ke sebuah padang perlawanan ragbi. Sekumpulan pelajar-pelajar sekolah bermain dengan riang. Penyokong-penyokong yang sedang menonton bersorak-sorak. Puspa teringat dia dan Arman sama-sama melaksanakan projek 'JAMBATAN KASIH' sebagai kempen penerangan anti dadah berbahaya. Ingatan itu buat Puspa tersenyum.

Arman berlutut di hadapannya, menyarungkan cincin, dan kemudian mengucup tangannya. Eh? Terbalik pula Arman ni. Bukankah sepatutnya isteri cium tangan suami? Hati Puspa menyoal. Pandangan mata mereka bertemu. Arman mengenyit mata. Arman tetap Arman. Dia yang nakal suka hati langgar peraturan.

Arman duduk di sebelah Puspa, memegang kedua pipi Puspa supaya berpaling ke arahnya. Dahi dikucup. "Abang akan jaga Sayang sampai bila-bila, insya Allah."

Ingatan Puspa tiba-tiba melayang ke wajah Arman yang berbekas akibat kecederaannya dipukul geng kartel dadah. Parut itu sudah tiada kini. Tetapi ingatan itu membuat Puspa sangat pilu. Butiran air jernih lantas keluar tergantungan di kelopak matanya, sedia untuk menitis. Doktor telah beritahu emosi Puspa akan terganggu jika ingatannya kembali, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan serangan ganas itu. Terus Arman mendakapnya. Tidak perlu kata-kata.

Adegan itu tiada dalam skrip budaya membatalkan air sembahyang. Suasana yang riuh rendah menjadi sunyi. Tetamu berbisik-bisik. Tertanya-tanya.

"Are you alright sayang? What happened?" soal Indah yang duduk berdekatan Puspa.

"She is alright, ibu," jawab Arman. Dakapan semakin diketatkan.

Klik . . . Klik . . . Klik . . . Ada saja tukang yang mengambil gambar sensasi. Maklumlah Arman peragawan kecergasan. Belum lagi tukang mengambil video. Jangan ada yang masukkan ke dalam media sosial, sudah, fikir Arman. Publisiti sedemikian berbahaya buat dirinya dan keluarganya.

Flash dari kamera mengembalikan Puspa ke waktu sekarang. Dia kini berada di tengah-tengah majlis pernikahannya. Lantas dia angkat kepala dan kembali tersenyum. Arman sudah jadi miliknya., bukan milik Nora. Dia terima Arman seadanya, walaupun dia tahu cincin berlian yang tersarung di jarinya itu, Arman tidak mampu membelinya. Dia syak ini angkara datuknya. Mak Andam kecoh, datang mengelap muka Puspa yang sedikit comot kerana menangis.

Kedengaran suara Adam Prakash mengajak tetamu menjamu makanan. Tetamu yang berusia pergi ke meja hidangan. Kawan-kawan Puspa pula menyerbu untuk mengucapkan tahniah dan berswafoto.

Arman fikir biarlah rakan-rakan firma guaman Puspa nak bergambar sakan. Sedikit sebanyak mereka juga terlibat dalam kesnya. Yang penting Puspa sudah sah jadi miliknya. Dia juga lupa tentang warna putih gading yang tidak digemarinya. Lupa tentang cincin yang sudah ditukar.

Walaupun Arman sedar pernikahan itu satu tanggungjawab yang besar, dia tetap gembira dan pasrah menerimanya.

Mata dan hati mereka saling bertaut dan berbalas kata-kata tanpa suara.

Kau gadis paling cantik yang pernah kutemui dalam hidupku, dan aku mencintaimu.

Kau lelaki paling tampan yang pernah kutemui dalam hidupku, dan aku juga mencintaimu.

Suasana syahdu itu terganggu apabila seorang lelaki tua muncul. Dia berdiri dengan bantuan tongkat di pintu gerbang, ditemani seorang wanita tua. Adam Prakash nampak lelaki itu dan segera menerpa ke arah wanita di sebelahnya. Dia tunduk mahu mencium kaki wanita itu, tetapi segera ditarik oleh wanita itu yang mencium Adam Prakash berkali-kali sambil menangis. Lelaki tua itu juga turut melakukan yang sama.

Suasana kembali hening.

"They are your grandfather and grandmother, Puspa," kata Adam Prakash.

Puspa mahu bangun, tetapi tidak berdaya. Dengan kepayahan dia mendepangkan kedua tangannya.

"Dada . . ." Suaranya keluar dengan lemah, tetapi jelas. Itulah panggilan bagi datuk dalam bahasa mereka.

Tan Sri Kumar berjalan dengan pantas hampir tak jejak tongkatnya, menuju ke arah Puspa, diikuti isterinya. Terus mereka mendakap Puspa, melepaskan kerinduan yang terpendam, sejak perkahwinan Adam Prakash dan Indah hampir 30 tahun lalu.

Majlis yang gembira bertukar menjadi majlis tangis-tangisan. Datuk, anak, menantu dan cucu bersatu membuang berdekad dendam dan kekesalan kerana perbezaan agama. 

*****

💕

*Terima kasih kerana membaca. Doakan mereka bahagia!*

https://youtu.be/tsbkk4SZAqA



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro