BAB 51: HATI MALIK

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

RUMIT

Peperiksaan SPM semakin hampir. Masalahnya, Zaki harus pergi ke kelas tuisyen di bandar. Dia tidak lagi dibenarkan menunggang motosikal sendiri membonceng Sarah, kerana isu keselamatan. Sebaliknya mereka dihantar dan dijemput setiap kali menghadiri tuisyen. Badar dan gerombolannya yang belum dapat ditangkap polis tidak dapat memasuki kampung itu kerana kawalan Suhail dan rakan-rakannya dalam pasukan sekuriti kampung. Tetapi tidak bermakna keluarga Arman sudah selamat daripada ancaman.

Situasi ini menjadi rumit apabila Puspa dibawa pulang ke Kampung Seri Bahagia, dan perlu menjalani fisioterapi di JACK & JILL yang terletak menghala ke utara menuju Kampar. Sementara kelas tuisyen Zaki dan Sarah ke selatan arah ke Teluk Intan. Maka berlagalah acara pada hari Sabtu. Lantas kerja menghantar dan menjemput Zaki dan Sarah berpindah kepada Zahari, yang juga sibuk sedang mempromosi diri untuk terlibat dalam politik.

Di bandar kecil itu tiada banyak pilihan pusat tuisyen untuk subjek yang khusus seperti muzik dan Bahasa Inggeris, yang diambil oleh kedua beradik itu.

Sabtu itu Zahari harus menghadiri majlis rasmi bersama Menteri. Terpaksalah kerja itu beralih kepada Khadijah. Melihat kerumitan itu Malik yang singgah menawarkan diri. Memang itu rutin Malik apabila hendak ke bandar. Dia akan singgah untuk bertanya Khadijah jika ingin membuat  apa-apa pesanan, sejak Arman masuk penjara. Kini, walaupun Arman sudah bebas, dia masih datang menjenguk keluarga angkatnya itu.

"Biar Malik hantar Zaki dengan Sarah pergi tuisyen tu, Mak Jah. Malik pun nak pergi bandar." 

Kesian dia tengok Khadijah terpaksa ke bandar dengan kereta kecil second hand yang pendingin hawa tak sejuk itu. Kata Malik, sementara Zaki dan Sarah belajar di sekolah tuisyennya, Malik boleh mencari barang yang hendak dibelinya. Habis tuisyen, dia akan jemput mereka untuk pulang.

Setelah susunan pengangkutan untuk Zaki dan Sarah ke pusat tuisyen selesai, barulah Arman bertolak membawa Puspa untuk menjalani rawatannya.

Oleh kerana tidak mahu membebankan Malik, Zaki dan Sarah bersetuju ditumpangkan, walaupun masih awal. Sarah yang pada mulanya hendak ponteng tuisyen kerana masalah pengangkutan agak kelam kabut. Dalam kekalutan itu dia tidak sedar backpack yang dibawanya sedikit terbuka dan buku kerjanya tercicir di kerusi SUV Malik.

Tiada siapa yang perasan buku yang tercicir itu. Malik menghantar Zaki dan Sarah ke pusat tuisyen terlebih awal kerana dia membawa SUV itu agak laju seperti kelazimannya. Pintu pusat tuisyen masih ditutup. Pelajar-pelajar lain pun belum sampai.

Zaki dan Sarah menunggu di luar. Sarah menyedari begnya terbuka dan buku latihannya tercicir. Buku itu penting, kalau tiada, dia akan termenung sahaja pada sepanjang tuisyen berjalan. Lantas dia telefon Malik.

Tanpa disedari Zaki dan Sarah, mereka diperhati oleh Badar dan beberapa orang konconya yang memang mengawasi pusat tuisyen itu. Pucuk dicita ulam mendatang. Sudah lama Badar mengidam untuk membalas dendam kepada Arman. Inilah masanya. Bunuh dua ekor burung dengan sekali lontaran batu. Tangkap adik-adik Arman untuk dijadikan tebusan, yang ditukar dengan jalan selamat keluar dari Malaysia.

Pada pandangan Badar dan empat rakan penjahatnya, urusan menangkap adik-adik Arman amat mudah.

Malik yang baru hendak membelok ke tengah bandar, mendengar telefonnya yang disangkut di dashboard berbunyi. Dia terkejut kerana melihat isyarat kecemasan FOLLOWER Sarah turut berkelip-kelip. Tanpa berfikir panjang, Malik berpatah balik.

Ketika sampai, Malik nampak kedua beradik itu diseret oleh dua penjahat masuk ke dalam van. Dia segera menekan minyak dan melanggar van penjahat itu, dari arah hadapan. Sambil turun dari kereta, Malik menggerakkan panggilan kecemasan kepada Suhail. Dia tidak mahu mengganggu Arman yang membawa Puspa. Semakin rumit kalau Arman berpatah balik bersama Puspa yang lumpuh. Jangkanya, mereka boleh menangani penjahat itu  dengan mudah.

Penjahat juga turun dari van mereka. Malik suruh Sarah lari untuk menyelamatkan diri, sementara dia menghadapi penjahat itu. Seperti selalu, Malik terlebih yakin.

Walaupun Zaki tiada pengalaman bergaduh, tetapi sedikit ilmu pertahanan diri di sekolah digunakannya. Ketika Malik dan Zaki bertarung dengan penjahat-penjahat itu, Suhail tiba dengan rakan-rakannya. Semua penjahat berjaya ditangkap oleh orang-orang Suhail. Tetapi Badar berjaya melepaskan diri. Dia merampas kereta seorang bapa pelajar yang baru tiba untuk menghantar anaknya ke pusat tuisyen itu. Badar lari bersama keretanya. Itulah akibatnya apabila menyibuk untuk menjadi penonton orang bergaduh.

Polis tiba. Semua tahanan dibawa pergi. Malik baru terasa dadanya amat sakit dan pandangannya semakin kelam. Suhail sempat menyambutnya sebelum dia rebah. Darah Malik melimpah membasahi baju mereka.

*****

MALIK CEDERA

Jack dan Jamilah sangat mengalu-alukan fasilitinya digunakan Puspa. Apa lagi, Puspa cucu kepada patron JACK & JILL BOXING CLUB. Walaupun Jamilah bisu, Puspa masih boleh berkomunikasi dengannya. Sebagai peguam, dia telah belajar bahasa isyarat, untuk memudahkan kerjanya. Cuma kini jari-jarinya yang masih lemah menyebabkan kadang-kadang dia tersilap cakap, yang mengundang senyuman Jamilah. Arman yang tidak tahu sepatah pun bahasa isyarat terlewat ketawa, hanya setelah diberi terjemahan.

Namun latihan yang disulam dengan gelak ketawa itu terhenti apabila Arman mendapat panggilan daripada Suhail.

Suhail: Arman, kau kena datang hospital sekarang!. Suaranya cemas.

Arman: Kenapa?

Suhail: Malik cedera. Dia perlu tambah darah. Engkau A- kan?

Dia teringat Malik menghantar adik-adiknya. 

Arman: Ya Allah! What happened? Zaki dengan Sarah macam mana?

Suhail: Diorang okey. Malik perlukan engkau. Hospital tak ada simpanan darah AB-. Nak dapat dari hospital lain mungkin lambat.

Suhail tahu jenis darah Arman dan Malik kerana penglibatan dalam sistem keselamatan yang dia cipta memerlukan maklumat data kesihatan dan perubatan untuk semua ahlinya. Itu penting di saat kecemasan.

Arman: Arman datang dengan segera bang.

Puspa nampak wajah Arman tiba-tiba pucat.

"Kenapa abang?"

Arman tutup telefon bimbitnya.

"Malik cedera."

Tangan Puspa pergi ke mulutnya. Suis treadmill terus dimatikan. "Puspa ikut."

Puspa tak perlu kata dia nak ikut. Isteri kesayangan itu tidak akan ditinggalkan sendirian di JACK & JILL. Segera Arman mencempung tubuh Puspa dan diletakkan ke atas kerusi roda, yang terus ditolak ke kawasan parkir. Semuanya dilakukan Arman dengan pantas. Kereta dipandu laju menuju ke hospital. Rasa bersalah dan pelbagai perasan menghurungnya.

"Abang. Padu pelan sikit," kata Puspa. Suaranya sedikit bergetar.

Arman memperlahankan kelajuan kereta Peugeot milik Puspa itu. Kalau laju sangat silap-silap dikejar polis. Syukur! Mereka tiba di hospital dengan selamat. Terus mereka menuju ke lobi hospital. Suhail sudah menunggu. Kebimbangan jelas tertera di wajahnya.

"Macam mana keadaan Malik?" soal Arman.

Tangan Suhail menunjuk ke atas. "Ada di ICU."

Tiba di tempat menunggu, Zaki dan Sarah, yang ditemani dua orang polis, terus memeluk Arman. Suhail segera memberitahu jururawat bertugas dia membawa penderma untuk membantu masalah kekurangan darah Malik. Cepat sahaja jururawat itu bertindak. Arman dibawa pergi. 

Sarah yang ditinggalkan Arman menangis teresak-esak. Puspa memeluknya, setakat mana termampu dengan tangannya yang masih lemah itu.

"Cerita dengan Kak Long," katanya kepada Zaki dan Sarah.

"Penjahat nak culik kami. Abang Malik cuba selamatkan," terang Zaki.

Dia nampak tenang walaupun baru saja mengharungi saat yang menakutkan.

Puspa memandang Suhail yang mengangguk. "Sistem penggera memang Abang Hail sentiasa pasang. Jadi Abang Hail dengar dan terus pergi ke sana."

"Terima kasih Abang Hail. Selamatkan adik-adik Puspa."

"Malik kena tikam. Tapi dia terus lawan..." jelas Suhail, wajah diraup.

Sebentar kemudian Nelly, Datuk Tan dan Datin Tan tiba. Masing-masing bertanyakan tentang Malik. Bagaimana berlakunya kejadian itu...

"Malik masih di ICU. Arman juga di dalam. Dia blood donor," jelas Suhail.

Suasana semakin kecoh apabila Zahari dan Khadijah tiba. Sarah menerkam dan memeluk uminya. "Bukan salah Sarah, umi . . ." katanya berulang kali dalam esakannya.

"Bukan," jawab Khadijah, walaupun dia tidak berapa tahu bagaimana kejadian itu berlaku. "Semua salah penjahat."

Beberapa ketika, pintu ICU dibuka. Doktor keluar. Semua menyerbu dan bertanya serentak. Kata doktor, Malik luka di beberapa tempat. Tetapi ada satu luka yang dalam dan serius.

"Dia mengalami primary spontaneous pneumothorax kerana satu luka paling dalam menembusi paru-parunya. Kami sedang membantu penafasannya dengan mempertingkat pengurusan mechanical ventilator," kata doktor yang wajah mirip orang Arab itu.

Tiada siapa pun yang jelas apa yang doktor itu maksudkan.

"Ya Allah . . . Teruk ke doktor?" soal Khadijah.

"Insya Allah. There's nothing that the hospital can't handle.  At the moment, there's no  complication. The patient's condition . . . Er . . . Abdul Malik Haffaz is stable.  Donor . . . Er . . . Arman Naim is still under observation."

"Kenapa dengan Arman?" soal Zahari yang tidak tahu bagaimana anaknya pula terlibat.

"Dia derma darah dan komplen dizzy. Jadi kita bagi dia rehat. Jangan bimbang. Pihak hospital memang ada simpan rekod kesihatan dia. Kami akan jaga dengan baik," jawab doktor itu.

"Doktor, buatlah yang terbaik. Pasal kos, Malik tu pekerja kami. Pihak kami akan tanggung semuanya," Datuk Tan mencelah.

Dia sudah berkira-kira untuk memindahkan Malik ke hospital lain yang lebih baik fasilitinya. Mungkin di Ipoh.

"Tapi kenapa masih tak sedar?" soal Khadijah.

"Mungkin patient ini mengalami stress. Semuanya atas kuasa Allah dan kekuatan semangat patient juga. Tunggu dalam tempoh 24 jam," jelas doktor itu.

Khadijah mengusap air matanya. Bukan hanya Malik, anaknya juga stress sejak akhir-akhir ini, sejak peristiwa Puspa diserang.

*****

NELLY SEDAR

Nelly tiba-tiba bangun dan berlari keluar dari ruang menunggu. Laju dia menuruni tangga dari tingkat empat ke bawah. Sampai di tingkat bawah dia terduduk di atas tangga.

Imej-imej kebaikan Malik, usikannya, jenakanya, dan pertolongannya, menyerbu ke dalam kotak ingatannya. Malik tempat dia mengadu. Malik tempat dia melepaskan geram. Malah Malik memanjakannya lebih daripada papa dan mamanya sendiri.

Air matanya mencurah keluar seperti empangan pecah.

Aku buta ya Tuhan. Aku buang masa dan biar dia menderita selama ini . . . Aku kejar bayang-bayang, rintihnya.

Nelly terdengar suara Puspa. "Sabar Nelly . . . Mengucap." 

Dia menoleh. Entah bila sampai, tiba-tiba Puspa sudah duduk di sebelahnya. Kerusi roda terletak di tepi.

"Nelly mengejar orang yang hatinya sudah lama diberi kepada orang lain. Nelly ingat harta boleh membeli hatinya. Maafkan Nelly, Puspa."

Puspa hulur tangannya yang masih belum kuat itu. Nelly peluk Puspa erat. Mereka sahabat karib. Dia sedar - Jangan sebab sekeping hati yang menjadi rebutan, dia masih menyimpan dendam.

Puspa cuba bersuara untuk memujuk Nelly, walaupun sukar. "Kan kita sudah sama-sama maaf?"

"Mungkin Allah tahu Nelly tak cukup ikhlas . . ."

"Yakin kepada Allah Nelly. "

"Kenapa Nelly tidak nampak?"

Puspa tiada jawapan. Soal hati memang rumit. Sebagaimana dia, kenapa dia memburu cinta Arman, sedangkan ramai lagi yang menagih cintanya. Mereka juga sudah berjaya dalam profesion masing-masing. Tetapi semuanya ditolak. Arman pula baru terkial-kial membina semula kehidupannya yang hancur kerana disumbat ke dalam penjara. Kerana Arman, kini dia separuh lumpuh. Tetapi semua itu takdir. Dia harus pasrah.

Ikut rasa binasa, ikut hati, mati. Aduhai . . . Beratnya pesanan orang tua-tua itu.

Kini Malik pula menjadi mangsa.

Nelly memandang Puspa. "Malik is always here. But 1 was blind!  Dia ada dekat sini selama ini." 

Dia menepuk-nepuk dadanya. Air matanya semakin laju turun.

"Bagaimana Nelly akan hadapi hidup ini kalau dia pergi? Bagaimana kalau Nelly tidak sempat?"

Air mata Puspa juga turut gugur.

Tiba-tiba mereka nampak sepasang kaki lelaki di hadapan. Mereka terkejut dan terus mendongak.

"Oh Abang Hail . . ." Itu saja yang mampu disebut Puspa. Terlalu banyak yang disebut hari ini. Tekaknya terasa sakit.

"Jom naik. Bahaya duduk di sini," kata Suhail.

Sebenarnya Suhail telah mengekori Puspa ketika menuruni lif. Sengaja dia membiarkan kedua sahabat itu mengisi ruang privasi mereka dahulu. Bagaimanapun, mereka tidak boleh berlama-lama di situ. Badar yang kini terdesak mungkin melakukan apa sahaja untuk membuat helah demi menyelamatkan diri.

Puspa lihat baju Suhail penuh dengan darah.

"Abang Hail luka?" soal Puspa.

"Tidak. Ini darah Malik."

Buk! 

Tiba-tiba tubuh Nelly jatuh terkulai di atas riba Puspa.

"Nelly!" Puspa menggoncang-goncang tubuh Nelly yang lemah longlai. 

*****

🕰

*Adakah Nelly sudah terlambat?*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro