21

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Di dalam bilik persalinan yang dipenuhi perabot kayu mahogany, seseorang sedang berdiri di hadapan cermin sambil dia kemaskan henly shirt pada tubuhnya. Sebotol minyak wangi diambil dari atas meja lantas disembur sedikit di pergelangan tangan dan bahagian leher. Setelah itu semerbak bau campuran oud, saffron dan ambergris menyebar di sekitar ruang bilik.

Ktok! ktok!
Bunyi ketukan buat kepala Seif merpaling 90 darjah. "Masuk," arahnya.

Setelah itu sosok tubuh pembantunya iaitu Fuad muncul seperti biasa di situ. Seif betulkan rambut dan dia tarik satu laci mengeluarkan  sepasang paddocks boots lalu dibawa sahaja di tangan.

"Hessa buat apa?" soalnya.

"Masih belum keluar bilik, tuan," jawab Fuad datar.

Seif diam sejenak memandang wajah lelaki itu. "Dia dah breakfast?"

"Rafa dah bawakan makanan ke bilik dia. Jadi, mungkin dia dah makan dalam bilik." Ragu-ragu jawapan Fuad kali ini.

Setelah kejadian tempoh hari sudah beberapa hari Hessa menghindari daripada bertemu dengan Seif. Setiap kali sarapan dan makan malam, Hessa selalu tiada di meja makan. Bahkan Aqib dan Baihaqi sudah dapat tahu suami isteri itu sedang bergaduh, cuma dua-dua malas mahu masuk campur.

Seif pula langsung tak mencari sebagai tanda dia bertegas memarahi apa dibuat Hessa malam itu. Kalaulah malam itu Seif terbabas...

Sejenak Seif mati akal. Kalau dia terbabas pun kenapa? Dia kan suami Hessa?

'Tapi, tetap tak boleh!' Entah dari mana datang bisikan menghalang fikirannya.

Dia sudah berjanji untuk menjaga gadis itu. Hessa sepatutnya dijaga bukannya dihancurkan oleh kemahuan lelakinya.

"Okay." Seif beredar dari ruang itu. Fikir mengenai Hessa sahaja boleh buat kepalanya mahu pecah. Akhirnya hari itu dia putuskan untuk menunggang kuda agar dia boleh menyusun fikirannya kembali.

Seif keluar menuju istal dengan memakai paddocks boots yang dia bawa tadi. Dari jauh sudah ternampak penjaga kuda sedang menyuap jerami padi buat kuda berbaka Mustang itu.

"Atlas!" Suara Seif memanggil. Sampai sahaja di hadapan kuda jantan, Seif terus mengusap kepala Atlas dan menepuknya beberapa kali.

Tubuh Atlas berbulu coklat gelap dan bersinar keemasan saat matahari terbias di tubuh gagah itu. Kuda itu dihadiahkan ayahnya saat usia Seif 15 tahun. Sejak itu, Atlas menjadi haiwan perliharaan kesayangan lelaki itu.

Pagar dibuka, Seif tarik tali mengikat di tubuh Atlas mengikutinya keluar dari istal. Setelah Atlas bertemu matahari pagi itu, Seif berdiri di sebelah Atlas, memegang reins lalu dia naik ke atas pelana di atas tubuh Atlas.

Seif tepuk leher Atlas memberi isyarat dan serentak itu juga kuda mustang itu meluncur membawa tubuh Seif ke laman belakang villa.

Angin pagi segar menyapa wajah, membawa sekali bau haruman rumput yang baru disirami embun. Rambut Seif berterbangan ditolak angin dan kedua belah tangan kemas menggenggam reins.

Hampir setengah jam meluncur melalui laman luas belakang villa yang terhubung dengan hutan kecil di situ, Seif memperlahankan gerakan kudanya. Rahangnya sudah berpeluh dan dia bawa Atlas melalui lingkaran tasik kecil, kemudian dia melintasi jambatan kayu yang merentangi tasik kecilnya. Di hujung tasik ada taman bunga dengan bangku-bangku kerusi.

Di situ mata Seif terpaku melihat seseorang sedang duduk mengoyak-ngoyak kepingan roti lalu dilempar ke dalam tasik. Terpercik halus permukaan tasik dengan ikan-ikan yang berebut memakan roti dilempar Hessa.

Seif turun dari kudanya. Tangan masih kemas menggenggam tali reins dan berhati-hati dia hampiri Hessa.

"Hessa." Akhirnya Seif memanggil.

Hessa langsung tak memandang. Dia bukannya tidak tahu Seif di situ. Saat dia sudah berada di situ, dia sudah lihat Seif menunggang kuda mengelilingi tasik itu. Cuma, hari itu dia tidak jadi perempuan gedik yang terpekik-pekik memanggil suaminya.

Seif sangkut reins kudanya pada satu dahan pokok di situ lantas menghampiri isterinya.

"Hessa Yalina?" Nama hampir penuh diseru.

Masih tiada respons. Hessa kelihatan ingin mengabaikan suaminya dengan menyibukkan diri mengoyak-ngoyak kepingan roti lalu dilempar ke dalam tasik.

"Kalau Hessa tak nak saya bunuh semua ikan dalam tasik ni, pandang saya sekarang."

Hessa tersentak. Spontan dia berpaling dengan mata membulat besar. "Kenapa nak bunuh ikan pula?" suara sedikit tak puas hati.

Seif sembunyi senyum. Entah kenapa, dia rasa teruja ingin berbual dengan Hessa yang sekarang.

"Sebab ikan tu boleh dapat your attention— maksud saya, perhatian awak tapi saya disini diabaikan." Seif peluk tubuh dengan senyum sinis.

"Buat apa saya bagi perhatian kat lelaki yang terang-terang abaikan saya juga." Hessa kembali mengalih pandangan memandang tasik.

Dengar jawapan isterinya, satu keluhan kecil keluar dari mulut Seif. "Hessa nak cakap saya abaikan Hessa sebab malam tu?"

Mata hitam Hessa bergerak menjeling lelaki itu. "Bukan malam tu sahaja, hakikatnya kita tak pernah—"

"Hessa Yalina, tak tidur bersama tak bermakna saya abaikan Hessa. Dan tidur bersama bukan bermakna seorang wanita dapat perhatian dan kasih daripada lelaki. Berapa ramai perempuan diluar sana hanya diumpan untuk tidur bersama semata-mata untuk kepuasan bukannya kasih sayang. Saya yakin Hessa tak bodoh." Entah kenapa Hessa rasa nada bicara Seif sekarang sangat sarkastik dan makin menyiat-nyiat hatinya.

"Jadi, Tuan Seif nak cakap saya bodoh dan mudah dijadikan umpan? Saya bukannya mengemis kasih sayang dari sembarangan lelaki, tapi suami saya sendiri. Salah ke? Atau apa yang saya buat dianggap bodoh bagi Tuan Seif?"

Seif sedikit kaget mendengar mulut itu laju sahaja menjawab kata-katanya.

"Saya cuma mahu betulkan tanggapan Hessa. Tak tidur bersama dengan Hessa bukan bermakna saya abaikan Hessa. Saya sedang menjaga Hessa..."

"Menjaga saya daripada siapa? Walidan?" Mata Hessa mencerlung.

Seif diam sejenak. Dia kaku memandang mata dingin Hessa merenung tepat ke matanya.

"Dari diri saya sendiri," jawabnya datar.

Dahi Hessa berkerut. Tidak faham.

"Sudahlah. Saya tak akan mengemis perhatian Tuan Seif lagi. Saya minta maaf atas kesalahan saya malam tu. Saya tak fikir apa-apa sebab saya fikir normal je suami isteri lakukan perkara itu, tapi saya silap." Hessa bangun berdiri. Plastik roti diikat.

"Mungkin betul kata orang. Mustahil Tuan Seif boleh berselera dengan perempuan macam saya. Kita ibarat langit dan bumi..." Betul kata Afya tempoh hari. Dia dan Seif langsung tak sesuai. Seif layak dapat perempuan lebih baik berbanding dia. Perhatian yang Seif bagi pada Hessa cuma simpati seperti abang dan adik.

Ah Hessa muak!

"Terima kasih dah sayangkan Hessa macam adik Tuan Seif sendiri!"

Kelompak mata Seif membesar sedikit mendengar ayat itu keluar mulut Hessa. Adik? Dia pandang wajah Hessa yang kelat merenungnya sebelum perempuan itu angkat kaki meninggalkan dia sendiri di situ.

Seif bungkam sendirian di situ.

Terngiang-ngiang ayat terakhir isterinya tadi di benak.

"Adik?" Seif soal sendiri.

Lidah menolak dinding pipi, kemudian dia raup rambutnya ke belakang dengan riak wajah yang sedikit sebal.

-ˋˏ ༻❁༺ ˎˊ-

SAAT makan malam, Hessa tak ada lagi di meja. Rajuk isteri Seif kali ini betul-betul menyeramkan sampai Seif mati akal tidak tahu bagaimana untuk memujuk. Dia ingin meminta tolong Baihaqi tapi dia takut egonya tercalar dan Baihaqi akan mengejeknya lagi.

"Hessa mana?" Aqib yang baru tiba dimeja makan menyoal hairan.

"Dia cakap dia dah kenyang," jawab Baihaqi datar.

"Aik? Diet ke apa minah tu. Biasanya bab makan dia paling laju?" Aqib tarik kerusi dan menghenyak punggung.

"Tak tahu. Tanyalah suami dia." Baihaqi jeling Seif yang diam dari tadi.

Dengar nama sendiri, Seif hela nafas panjang.

Aqib pula jungkit kening. "Kau bergaduh dengan dia ke?" soalnya menyibuk.

"Biasalah suami isteri bergaduh, kan?" Walaupun bagi dirinya sendiri masih belum biasa. Tapi tak mungkin dia mahu cerita kisah disebalik pergaduhan mereka. Itu kan aib suami isteri.

"Ya biasa je. Tapi bila kau bergaduh dengan Hessa tu luar biasa. Sebab kami sendiri pun tak pernah bergaduh lama dengan adik kami tu." Baihaqi pula menyampuk sambil dia suap nasi ke mulutnya.

"Hessa tak pernah merajuk dengan kau orang?" soal Seif sedikit berminat ingin tahu.

"Pernah je. Tapi, biasanya lepas 3 atau 4 jam dia dah lupa yang dia merajuk," jawab Aqib.

Seif terjeda. Lepas 3-4 jam? Sekarang dah 3-4 hari dan Hessa masih merajuk dengan dia! Perlu ke dia risau sekarang?

"Tuan Seif." Dengar nama dipanggil, terus Seif berpaling dan bangun merapati isterinya.

"Hessa, makan dulu?" Tangan Hessa cuba diraih tapi Hessa cepat menariknya dan letak di belakang tubuh.

"Esok Hessa nak keluar."

"Okay, saya akan suruh Rafa pergi dengan Hessa atau Hessa nak saya yang teman?" soal Seif lembut.

"Tak nak."

Baihaqi dan Aqib berpandangan sesama sendiri. Aqib yang janggal dan Baihaqi yang biasa sahaja.

"Hessa nak keluar dengan kawan-kawan Hessa."

"Siapa? Fatnim dan Juwita?" Rupanya Seif sudah ambil tahu siapa kawan baik Hessa.

"Ya. Kak Fatnim dan Ju. Dan Hessa tak mahu Tuan Seif dan pekerja Tuan Seif ikut Hessa macam Hessa budak umur 5 tahun yang perlukan pengasuh. Hessa dah dewasa, Hessa tahu jaga diri Hessa sendiri." Sengaja Hessa tekan perkataan dewasa di hadapan Seif. Kali ini dia betul-betul ingin memancing kesabaran Seif dengan keluar tanpa pengawal Seif mengikutinya kemana-mana.

Seif toleh ke belakang memandang Baihaqi, meminta lelaki itu membantunya menasihati adiknya seorang itu. Tapi, Baihaqi malah menayang wajah selamba seperti tidak mahu peduli. Dia ingin Seif rasa sendiri bagaimana sukarnya mengurus seorang Hessa.

"Abang boleh ikut Hessa dan jadi driver esok?" Aqib mencelah.

"Tak nak." Laju Hessa membantah.

Dua-dua terdiam.

"Kak Fatnim? Dia yang drive kan?" soal Seif.

"Ya." Dahi Hessa berkerut. Dia lihat Seif berfikir sesuatu sebelum dia menghela nafas panjang.

"Okay. Pergilah." Kerana dia sudah lakukan pemeriksaan latar belakang terhadap Fatnim dan Juwita. Juwita tak perlu terlalu dibimbangkan kerana orang itu kawan Hessa sejak di bangku sekolah.

Tapi Fatnim, dia orang baru. Tak banyak maklumat tentang Fatnim yang Seif dapat. Dia hanya dapat tahu Fatnim anak tunggal dua orang warga emas yang sudah tua. Fatnim pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah. Mungkin peratusan 5% dia boleh menjaga Hessa.

"Terima kasih." Setelah itu Hessa berlalu pergi meninggalkan Seif dan abang-abangnya di situ.

"Mudahnya kau lepaskan dia pergi?" Baihaqi menyoal.

"Aku akan hantar orang aku diam-diam untuk tengokkan Hessa dan kawan-kawan dia. Kalau tak ada apa yang suspicious barulah aku boleh percayakan Juwita dan Fatnim." jawab Seif mendatar.

"Siapa Fatnim?" Baihaqi kerut dahi.

"Pekerja baru kat kantin Kak Marisa. Abang mungkin tak sempat kenal sebab dia baru masuk dan lepas tu abang koma. Masa Hessa kat hospital haritu, beberapa kali juga Fatnim datang melawat dan bawakan makanan untuk Hessa. Aqih assume dorang memang rapat."

Baihaqi diam sejenak. Dia mungkin terlupa apa-apa cerita mengenai Fatnim dari mulut Hessa.

"Berapa umur dia?"

"Kenapa abang menyibuk nak tahu pasal umur dia? Abang nak mengurat dia ke?" Aqib tersenyum nakal.

"Kau fikir abang ada masa nak mengurat orang?" Baihaqi jeling Aqib. Seif yang mendengar melepas tawa kecil.

"Kau gelak kenapa?"

"Aku teringat dulu kita selalu dianggap gay masa kat kampus. Kalau kau tak bercinta sekarang, orang betul-betul akan fikir kita berdua gay, Bai." Serentak Aqib dan Seif ketawa.

"Kau ni memang...." Baihaqi tahan mulutnya. Merah wajahnya saat itu.

Dia betul-betul tiada kisah cinta atau perasaan romantis sepanjang hidupnya. Pernah minat kat mana-mana perempuan pun tidak. Dia terlalu sibuk memikirkan adik-adiknya sampai dia lupa dia juga harus mencari pasangan. Tapi apa semua itu penting sekarang?

Mencari pasangan sama sahaja dia bawa perempuan itu masuk ke dalam keluarganya yang serba penuh ngeri ini. Perempuan mana yang sanggup?

"Fatnim dan Juwita tau pasal apa yang jadi pada kami malam tu?" Baihaqi mengubah topik.

"Setakat ni dorang tak tahu. Hessa dah cover dengan cakap abang dan dia kena rompak." Aqib menjawab.

"Dia cakap macam tu?" soal Seif sekali lagi.

Aqib angguk kepala. "Walaupun Hessa tu nakal dan nampak selalu impulsive dia sangat berhati-hati melibatkan rahsia dia dan Walidan. Even dengan kami sendiri pun dia tak terlalu bercerita apa yang dia dah lalui sepanjang dia dibawa ke Walidan."

Tak pelik. Dengan Seif sendiripun Hessa hanya tahu merapu dan Seif tidak tahu bila perempuan itu akan serius. Kecuali saat Hessa marah dan terluka seperti pagi tadi. Waktu itu barulah Seif rasa mengurus fikiran Hessa tak mudah yang dia fikir.

"Kau tak pernah ajak dia bercakap pasal Walidan?" Seif pandang Baihaqi.

Baihaqi terdiam sejenak. Lantas dia geleng kepalanya. "Aku tunggu Hessa datang dan luah sendiri. Apa yang dia lalui semasa dibawa ke Walidan semuanya trauma dan ngeri, aku tak mahu paksa dia ceritakan benda-benda ngeri tu semua."

"Atau kau sendiri yang tak sanggup nak tahu cerita sebenar?" Seif mencelah. Baihaqi bukan orang yang mudah menerima kenyataan. Dia yakin, lelaki itu sendiri tidak mahu tahu ngeri apa yang dilalui adiknya.

"Pelik kan jadi Hessa?" Aqib pula menyampuk buat mata Seif dan Baihaqi memandang lelaki itu.

"Macam mana dia boleh hidup dengan perangai gila-gila dia lepas apa yang dia dah lalui dari kecil sampai sekarang. Orang normal tak mampu buat semua tu."

Persoalan Aqib tiada jawapan. Seif dan Baihaqi sama-sama terbungkam memikirkan apa yang boleh buat Hessa  menjadi gadis yang selalu bercahaya walau hidupnya didasari kegelapan sejak kecil.

-ˋˏ ༻❁༺ ˎˊ-

HARI ini banyak tempat yang Hessa nak pergi. Awal pagi dia sudah bangun siapkan sandwich untuk mereka dibawa picnic. Dalam group chat Kak Fatnim dah janji nak masak spaghetti carbonara. Juwita pula akan buat puding. Tak sabarnya!

Terlalu menyibuk, Aqib, Baihaqi dan Seif tiga-tiga bersantai menunggu ketibaan kawan-kawan Hessa seperti tiada kerja.

"Hessa ada tinggalkan sandwich sikit. Ambillah buat makan nanti." Sambil menyarung sandal, Hessa tinggal pesan. Dah gaya mak nak pergi bekerja tinggalkan makanan untuk anak-anak.

"Okay." Seif pandang isterinya dari atas ke bawah. Hari ini Hessa sanggul rambutnya gaya bun buatkan rupanya kelihatan lebih matang dari biasa. Dia pakai baju-T putih berlengan panjang dikenakan dengan seluar jeans santai. Sederhana namun cantik.

"Tu, kawan adik dah sampai." Aqib menunjuk sebuah kereta memasuki perkarangan Villa.

"Yay!!" Cepat sahaja wajah mendung Hessa bersinar teruja melihat kereta Kak Fatnim.

Saat kereta Fatnim sudah berhenti. Hessa terus menuju ke arah kereta perempuan itu. Juwita terlebih dahulu menurunkan cermin kereta.

"Hessa, besarnya rumah laki kau. Seganlah aku nak keluar." Juwita berbisik.

"Eh, keluarlah! Abang aku nak jumpa kau, Ju."

"Hai, Ju!" Belum apa-apa Juwita terkejut mendengar suara Baihaqi menyapanya dengan senyum manis.

"Hai, Abang Bai? Apa khabar? Dah sihat?" Juwita tolak pintu kereta menyapa abang sahabatnya.

"Dah sihat. Abang sakit Ju tak datang melawat pun?" Baihaqi peluk tubuh mengusik Juwita.

"Ha? Ish! Ju ada datang melawat abang. Tapi doktor tak bagi Ju masuk. Tak kan Ju nak pecahkan pintu wad abang pula." Juwita dengan Hessa tak banyak beza. Sama-sama banyak celotehnya.

"Ju dengan Hessa kan gangster kampung. Setakat pecah pintu wad, kacang je kan?" Aqib pula mengusik.

"Kami kat kampung je gangster, Abang Qib. Kat sini kami cuci tangan. Jadi budak baik."

Baihaqi ketawa. "Okaylah. Dimaafkan."

"Eh? Kak Fatnim tak nak keluar?" Hessa ketuk cermin kereta pemandu.

"Kak Fatnim cakap dia segan nak keluar. Dia tak biasa dengan abang-abang kau dan suami kau." Mana tak segan, masuk sahaja perkarangan villa tadi, dah terpacak tiga lelaki itu menunggu mereka.

"Akak! Keluarlah! Hessa nak kenalkan abang-abang tak berapa handsome Hessa kat akak." Hessa mengetuk-ngetuk cermin kereta.

Fatnim mengeluh panjang. Akhirnya dia mengalah dan menolak pintu kereta. Keluar sahaja pintu kereta, orang pertama yang dia lihat seorang lelaki yang sekarang memandangnya dengan raut bersahaja. Senyum ramah Baihaqi hulur buat Fatnim.

"Inilah Fatnim staf baru tu?" Baihaqi terlebih dahulu menyapa.

"Fatnim turut melempar senyum ramah. "Ya. Sayalah Fatnim tu."

Anak mata Aqib turun melihat Fatnim menyembunyikan tangan di belakang tubuhnya. Seperti biasa, gadis itu kelihatan tidak yakin dengan kekurangannya.

"Kak Fatnim! Yang muka macam Ahlong ni abang sulong Hessa. Baihaqi. Dulu dua kerja bank. Sebab tu muka dia macam Ahlong. Dan yang muka macam bapak ayam ni abang kedua Hessa, Aqib. Dia askar, hehe dan—" Hessa pandang suaminya.

"Ini suami Hessa." Datar.

Fatnim mengangguk-angguk kepalanya.

"Tolong tengokkan Hessa, Fatnim." Seif akhirnya membuka mulut.

"Ya. Baik." Rasa seperti diikat dengan pandangan-pandangan lelaki itu. Mereka kelihatan ramah pada masa yang sama, Fatnim rasa dia seperti dijerat sesuatu. Atau cuma dia sahaja yang fikir begitu?

"Kesian awak, Fatnim. Hessa dan Ju dua-dua masuk air. Harap awak tak penat melayan dia orang." Aqib cuba bergurau.

"Eh tak adalah. Dua-dua budak baik. Saya yang banyak minta tolong daripada dia orang." Fatnim membalas dengan janggal.

"Abang Qib ni selalu kutuk Ju dan Hessa. Kami budak baik tau!" Ju kecilkan mata, Aqib pula terus ketawa.

"Yelah, yelah. Abang minta maaf. Pergilah gerak sekarang. Nanti dah panas, berpeluh ketiak korang nanti. Karang nak shopping, shopping mall tutup sebab pencemaran bau." Aqib membalas.

"Abang Qib tu cakap elok-elok sikit, kami bertiga ni kalau duduk tepi lori sampah, bau lori sampah tu hilang! Lainlah abang, kalau berpeluh, Masha Allah, kambing boleh anggap abang member dia." Hessa dan hiperbolanya.

Tergelak kecil Fatnim mendengar dua beradik itu bergaduh.

"Amboi kau... mentang-mentang ada kawan bukan main eh mengata abang." Aqib cubit pipi Hessa.

"Ish! Orang dah lambatlah. Bye abang!" Hessa cepat-cepat menyalami Aqib dan Baihaqi terlebih dahulu sebelum dia bergerak berdiri di hadapan Seif.

Mukanya terus berubah datar dan tak seceria tadi. Tangan Seif dicapai lalu dikucup sekilas sahaja lantas cepat-cepat dia berpaling ingin masuk ke dalam kereta tapi Seif laju menahan. Tubuh Hessa kembali ditarik menghadapnya.

"Hati-hati."

"Okay." Hessa muncung bibir membuang pandang ke arah lain. Tak mahu melihat wajah suaminya.

"Apa-apa call saya."

"Okay."

Seif mengeluh. "Hessa Yalina?"

"Tuan Seif nak apa lagi? Saya dah lewat tau."

Keempat-empat si menjadi pemerhati dan pendengar terus terkedu lantas terkebil-kebil penuh canggung. Nak berdrama masuk biliklah woi!

"Okay." Berganti Seif pula membalas 'okay' dan melepaskan tubuh isterinya.

Mata Hessa menyipi. Itu je? Macam tu ke cara pujuk isteri? Ah! Fine!

"Hessa pergi dulu." Serentak itu Hessa masuk ke dalam perut kereta diikuti Juwita.

Fatnim pandang Seif dan dia tersenyum segaris. "Hessa akan selamat dengan saya. Jangan terlalu bimbang," ucapnya tenang.

"Terima kasih, Fatnim." Seif turut menarik senyum segaris.

"Sama-sama." Kemudian dia masuk ke dalam perut kereta. Sempat mata singgah sekejap memandang Baihaqi yang tak lepas merenungnya. Sebelum pintu kereta dikatup.

"Agak-agak kau buat apa sampai adik aku merajuk macam tu sekali?" Bai menyoal setelah kereta Fatnim meluncur pergi.

"Entahlah." Seif raup rambut ke belakang.

"Kau akan ikut aku harini, Bai," sambung Seif datar.

"Ke mana?"

"Tempat kerja baru kau."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro