12 | Hari pertama

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Ada lebih seratus dokumen yang Irdina perlu telaah dan fahami. Irdina tak tahu apa dia dah buat. Dia betul-betul cari nahas bekerja di sini. Jika Rangkasa dah memenatkan, di sini lagilah memenatkan.

Otak Irdina perlu bertukar-tukar pada setiap fail yang dia baca. Kerana setiap fail itu ialah sektor berlainan. Sesekali Irdina baca sektor pertanian, sekali itu Irdina baca tentang perbankan pula. Berpindah randah fikiran Irdina dibuatnya.

Syukurlah Irdina sudah biasa memeriksa dokumen begini memandangkan di Rangkasa dia pun bekerja begitu. Seperti mana banyak anak syarikat bernaung di bawah Rangkasa, maka begitu juga Al-Fathi. Bukan syarikat kecil saja, syarikat besar pun ada.

Irdina baru selesai periksa 10 dokumen dan merumuskannya, tapi otaknya dah menunjukkan aras kritikal. Irdina perlu berehat. Sudah berputar belit rumusan yang dia tulis.

Irdina letak dulu pen. Dia tekup wajah. Nafas dihembus perlahan-lahan. Nampaknya dia perlu kutip tenaga di mana-mana dulu.

Baru saja Irdina ingin bangkit, pintu dah terbuka dari luar. Terjengul Puan Leila di situ. Tersenyum padanya.

"Auntie.." Irdina menyapa.

"Irdina tak mahu berehat sekejap? Dah nak zohor ni." Puan Leila menegur.

Irdina baru teringat untuk lihat jam bila Puan Leila sebut zohor. Spontan matanya terbuntang bila lihat jarum sudah masuk ke pukul 1. Astaghfirullah. Dia tak sedar langsung masa berlalu. Khusyuk sangat buat kerja.

Irdina bangkit sedikit kalut. Mukanya pucat.

"Irdina tak sedar langsung dah pukul satu." Irdina bercakap dengan Puan Leila.

"Haah.. Dah pukul satu. Sempat lagi Irdina rehat sekejap sebelum solat zohor."

"Irdina boleh solat dekat mana, auntie?" Soal Irdina laju. Dia dah tanggalkan handsock. Bersiap untuk ambil wuduk. Tapi dia tak tanggalkan sarung kaki, bimbang terserempak dengan Tuan Fathi pula nanti.

"Solat? Dekat musolla bawah. Irdina turun tangga sana, dekat sebelah kiri ada pintu. Itu musolla perempuan."

"Irdina turun dulu ya, auntie."

"Eh, tak zohor lagi, sayang. Irdina tak mahu alas perut sikit?"

"Irdina belum dhuha, auntie. Zohor 1:20. Irdina kena kejar dhuha sebelum waktu haram. Irdina pergi dulu ya, auntie." Irdina meminta diri agak kalut.

Puan Leila tak sempat berkata apa. Terkedu pun ada rupa-rupanya pekerja anaknya itu bimbang terbabas solat dhuha, ingatkan tersalah kira waktu solat zohor sudah masuk.

"Solat dua rakaat saja, Irdina." Sempat Puan Leila melaung pada Irdina yang sedang menuruni tangga.

"Baik, auntie." Irdina angkat jari tanda ok. Dia bergegas ke pintu musolla. Ada tanda musolla wanita di situ. Irdina masuk ke dalam, syukurlah sempat juga dia solat dhuha.

.
.
.

Irdina lebih segar selepas solat Zohor. Benarlah solat itu titik rehat manusia. Bila rasa kehabisan tenaga, bermakna dah tiba waktu untuk solat fardhu. Allah menciptakan sistem manusia memang begitu pergerakannya. Memerlukan solat seperti pengecas bateri jika kehabisan. Tepat pula sebaik waktu solat fardhu tiba.

Irdina keluar dari musolla. Musolla cantik dan kemas seperti sentiasa dibersihkan. Kagum Irdina dibuatnya. Harum saja ruang musolla. Tandas di sebelah pun harum dan kemas. Irdina sukakan kawasan yang bersih begitu.

Irdina bersiar-siar di aras bawah. Melihat ruang tamu di bahagian ini. Irdina dapat lihat frame gambar kejayaan Tuan Fathi di dinding. Tapi tiada lagi setakat ini gambar Tuan Fathi sendiri. Hanya sijil penghargaan dan perlantikan saja.

Irdina meneka sendiri saja, ruangan ini mungkin ruang tamu pejabat. Seperti lobi. Susunannya pun tidak seperti sebuah rumah. Lebih formal dan berwarna gelap. Irdina berjalan terus, memasuki ruangan terbuka. Dia berjalan di sisi jendela kaca yang menampakkan pantai. Di hujung koridor memanjang ini, dia sampai di ruangan yang dipenuhi buku. Ruangan yang dia lihat sewaktu dia bersama Puan Leila pagi tadi.

Irdina melihat-lihat buku yang ada. Kebanyakannya buku berkaitan perniagaan, perubatan, perakaunan, hidupan.. Semuanya ilmu pengetahuan. Menjadi usahawan memang memerlukan ilmu. Tidak cukup dengan ilmu dunia, ilmu akhirat juga sama.

Tiba-tiba Irdina terdengar orang berbual-bual dari arah sana. Irdina perlahan-lahan berjalan ke ruangan sebelah lagi. Irdina rasa di sana ialah dapur dan juga ruang tamu tempat pertemuan dia dan Tuan Fathi semalam.

Benar tekaannya, sebaik dia melepasi koridor berdindingkan kaca di sebelah barat.. Dia terus sampai di ruang tamu pertama yang dia lihat di rumah ini. Irdina serta-merta dapat lihat Puan Leila sedang menghidang makanan di atas meja makan. Puan Leila tak berseorangan, ada Tuan Fathi bersamanya juga. Kelihatan mengunyah epal yang sudah dipotong kecil.

"Irdina! Auntie baru je nak pergi panggil Irdina.. Irdina dulu sampai sini. Jom makan dulu, lepas ni sambung kerja." Auntie Leila terus menegurnya sebaik melihatnya.

Irdina perlahan-lahan menghampiri meja di dapur terbuka itu. Memandangkan dia lapar, tak mungkin dia nak menolak pelawaan auntie. Lagipun lauk pauk atas meja sangat membuatkan dia kecur liur.

Puan Leila menghilang ke dapur sekejap. Mengambil makanan lagi mungkin. Irdina serba salah memikirkan sama ada dia perlu bantu auntie atau tidak.

"Duduklah, Irdina. Jangan segan-segan. Lepas ni Irdina memang lunch dekat sini selalu." Puan Leila muncul balik bersama ulam-ulaman segar.

Irdina menarik nafas dalam-dalam. Mendengarkan kenyataan dia akan selalu lunch di sini buat dadanya rasa berat pula.

Irdina menarik kerusi. Dia labuhkan duduk. Saja dia memilih tempat duduk tidak berhadapan dengan Tuan Fathi.

Puan Leila pula dengan senang hati menarik kerusi di sebelah Irdina, berhadapan anaknya yang masih tekun mengunyah epal.

"Auntie masak semua ni sendiri?" Irdina bertanya bila lihat banyak lauk pauk.

Puan Leila yang sedang menyenduk nasi tertoleh pada Irdina. Senyum kecil.

"Ya. Auntie sukaa memasak. Jadi waktu Fathi kerja, auntie buat kerja auntie. Dia lapar, dia turun cari makan."

Irdina tak sangka seorang wanita boleh memasak sebanyak ini sendirian.

"Lepas ni, Irdina lapar.. Irdina pun boleh je jenguk dapur. Jangan segan-segan. Dekat office pun ada saja pantri, sebelah musolla. Nak buat air, boleh bancuh dekat sana. Nak makan jajan pun ada. Auntie dah siapkan." Panjang lebar Puan Leila bercakap sambil sendukkan nasi untuk Fathi. Pinggan yang sudah separuh penuh dihulurkan pada anaknya.

Fathi menyambut tanpa banyak cakap. Dia berhenti makan buah, mengelap mulut langsung menyenduk lauk paling hampir dengannya. Sekejap saja dia sudah mula makan.

Irdina mengangguk untuk bicara auntie. Nampaknya ruangan pejabat sana betul-betul jadi tempat kerja Muhammad Al-Fathi. Semua kelengkapan ada di sana.

"Cukup, Irdina?" Puan Leila tunjuk nasi yang disendukkan.

"Eh, auntie.. Susah je. Irdina boleh senduk sendiri."

"Tak apa, auntie dah senduk pun. Cukup tak ni? Kalau tak cukup tambah lagi ya." Pinggan berisi nasi putih dah diletakkan hadapan Irdina. Segan Irdina jadinya. Dia tak pernah dilayan begini, selalunya dia yang melayan orang.

"Makan, Irdina.. Jangan malu-malu. Fathi tu diam bukan sebab dia marah ke apa, otaknya tengah bekerja lah tu. Itu sebab diam sangat. Percayalah cakap auntie, dia tak layan pun apa kita sembang. Bila berfikir, dia dah macam duduk alam lain." Puan Leila sempat lagi mengumpat anaknya depan-depan. Dia semacam faham Irdina segan sebab Fathi hanya senyap sejak tadi. Irdina risau kalau satu kesalahan untuk dia makan di sini. Dia tunggu keizinan Fathi, tapi sampai ke sudah Fathi tak pedulikannya.

"Makan makan.." kali ke berapa entah Puan Leila menyuruh.

Irdina angguk. Dia ambil lauk di hadapan. Mula makan. Sedapnya masakan auntie. Kecur masakan itu dalam mulutnya.

Meja makan sangat sunyi sepanjang mereka makan. Irdina rasa kekok pula jadinya. Walaupun dia dah terbiasa makan sendirian, tapi bila makan dengan orang dalam keadaan sunyi sepi.. Irdina rasa janggal.

Irdina baru perasan Auntie Leila dan Tuan Fathi kedua-duanya makan dengan tangan saja. Tidak seperti kebiasaan orang kaya yang suka makan dengan sudu. Mereka makan pun dengan kemas dan bersih. Tanda sudah terbiasa.

Tiba-tiba Irdina rasa tekaknya tersekat. Dia mahu minum air. Tapi dia tak jumpa jag air kosong di atas meja.

"Auntie, nak ambil air kosong di mana ya?" Irdina bertanya sopan.

"Oh, auntie lupa nak hidang air sekali. Irdina ambil dekat coway saja."

Irdina mengangguk. Dia berdiri.

"Air kosong saya sekali. Suam sederhana." Tiba-tiba Fathi bersuara.

Terhenti tingkah Irdina. Terkejut tiba-tiba suara Fathi muncul. Dia pandang Fathi, kemudian pandang auntie. Auntie senyum dengan kening terangkat.

"Baik, tuan." Irdina balas. Dia bergerak menadah air kosong. Dia ambil dua gelas. Ditadah air kosong suam sederhana. Bila sudah penuh, dia bawa dua gelas itu ke meja. Dia letakkan satu di sisi pinggan Tuan Fathi, dan satu lagi di sisi pinggan Puan Leila.

"Eh, untuk auntie pun ada?" Puan Leila terkejut sedikit.

Irdina hanya senyum membalasnya. Dia bergerak kembali ke coway, ditadah air kosong untuknya. Dia kembali ke meja. Melabuhkan duduk.

"Terima kasih, Irdina. Macam tahu-tahu je auntie nak juga air kosong." Puan Leila senyum-senyum berterima kasih.

Irdina senyum juga, "Sama-sama auntie."

Irdina teguk air kemudian sambung makan.

.
.
.

Irdina tekun bekerja selepas mengisi perut. Bermula selepas makan dia kembali menelaah dokumen, kemudian berhenti sekejap di waktu asar. Sama seperti zohor tadi, pada waktu asar pun dia lihat Tuan Fathi tak keluar pun dari bilik kerjanya. Irdina pun tak nampak Tuan Fathi di musolla. Mungkin Tuan Fathi solat di bilik sendiri. Tapi persoalan utamanya, Muhammad Al-Fathi solat ke?

Selepas asar, Irdina sambung kerja. Sudah hampir 40 dokumen dia berjaya baca dan rumuskan dalam masa lapan jam. Syukurlah dia dah biasa dengan kerja begini. Jadi dia tak rasa terbeban.

Irdina tersedar dari kerjanya bila jendela semakin bergelap. Tanda sudah hampir tenggelam matahari. Dia menggeliat kecil sehabis kerjanya.

Dia kemudian mengira-ngira berapa dokumen lagi dia perlu periksa. Nampaknya masih banyak. Di rak sana pun masih bersusun dokumen itu. Hrmm.

Irdina menyusun dokumen yang sudah siap. Dia mahu hantar dokumen ini semua pada Tuan Fathi sebelum pulang. Dia pun mahu minta izin pada Tuan Fathi untuk bawa balik beberapa dokumen untuk dia telaah di rumah nanti.

Irdina bawa lebih kurang sepuluh dokumen dulu ke bilik sebelah. Nanti dia akan angkut sedikit demi sedikit. Masih banyak dokumen yang dia perlu hantar kepada Tuan Fathi. Sejak Tuan Fathi berikan kerja ini padanya, dia belum pulangkan lagi semua dokumen yang sudah siap dirumus. Dia mahu kumpulkan dulu.

Irdina tarik nafas dalam-dalam sebelum ketuk pintu dengan sopan. Agak susah dengan timbunan fail yang dipegangnya. Ketukan pertama, tiada jawapan. Irdina ketuk lagi. Tiada jawapan juga.

Irdina menunggu sedikit lagi. Nampaknya sama ada Tuan Fathi tak dengar atau Tuan Fathi tiada dalam bilik. Irdina pun menolak gagang pintu ke bawah. Terus dia dapat lihat kerusi kerja Tuan Fathi yang kosong.

Irdina masuk lebih dalam. Menjenguk serata bilik. Ya, Tuan Fathi tiada.

Irdina pun masuk ke dalam. Membiarkan pintu terbuka. Dia susun semua fail di rak belakang sofa. Tempat asal fail ini.

Irdina memandang kanan kiri. Melihat serata bilik secara penuh. Irdina mahu kembali ke biliknya selepas memerhatikan bilik Tuan Fathi ini. Baru saja dia mahu keluar.. Muncul Tuan Fathi yang sedang melangkah masuk. Irdina mendadak mematikan langkah. Nasib baik dia masih jauh.

"Kamu buat apa?" Fathi bertanya dalam langkahnya ke meja. Dia langsung tak berhenti ketika masuk. Seperti dah menjangka kewujudan Irdina dalam biliknya.

"Saya hantar dokumen yang dah siap saya rumuskan." Irdina tunjuk semua dokumen di rak. "Ada lagi selebihnya dalam bilik sana." Irdina beritahu.

"Biarkan saja di bilik kamu. Malam nanti saya lihat dekat sana."

"Baik, tuan." Lega Irdina sebab tak perlu mengangkut.

Fathi sudah labuhkan duduk. Hendak menyambung kerjanya.

"Ada apa lagi?" Soal Fathi bila Irdina masih tercegat di situ.

"Boleh saya bawa balik fail ke rumah? Saya nak sambung kerja.." Irdina meminta izin. Lama juga dia fikir bagaimana hendak bentukkan ayat.

"Tak perlu. Kerja kamu hanya di pejabat."

Irdina terdiam. Sebelum dia mengangguk. Faham maksud majikannya.

"Saya pulang dulu, tuan." Irdina merendahkan kepala sedikit. Dia kemudian beredar. Sempat dia melihat Tuan Fathi sebelum dia menutup pintu.

Sepanjang langkahnya ke bilik sendiri, dia berfikir akan hari pertama kerjanya ini.

Nampaknya setakat ini semuanya masih normal. Tiada rahsia terbongkar. Tuan Fathi seperti kebanyakan majikan saja. Irdina jadi terfikir apa sebenarnya yang Tuan Fathi buat. Dan apa tujuan dia menaungi semua syarikat-syarikat yang pernah hampir muflis..

Soalan-soalan itu nampaknya Irdina masih tak dapat jawab.

Baru sehari Irdina kerja di sini. Maka sepatutnya Irdina tidak tahu apa-apa lagi. Irdina perlu lebih banyak masa.

Irdina harap.. Satu hari nanti, dia dapat membongkar apa sebenarnya kegiatan Muhammad Al-Fathi di sebalik semua ini.

.
.
.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro