26 | Risau

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Selepas puas menangis di pantai, Irdina naik ke kediaman Al-Fathi. Wajahnya masih sembap. Dan langkahnya juga tidak bermaya. Mungkin kerana masih terkejut selepas mendengar cerita sebenar Tuan Mustakim.

Irdina masuk melalui pejabat. Nampaknya kumpulan pembersih sudah balik. Rumah agam ini sudah tiada sesiapa. Irdina bergerak ke dapur. Menangis buatkan dia lapar. Dia perlu mengisi perutnya.

Sebaik sampai di dapur, Irdina dapat lihat Puan Leila sedang mengelap kabinet. Irdina perlahan-lahan menghampiri Puan Leila.

Puan Leila tersedar kehadirannya. Terus menatap dia. Irdina diam membalas tatapan auntie.

Wajah Puan Leila mendung. Seperti memahami apa Irdina rasa. Pasti hati Irdina sangat remuk sekarang.

"Auntie..." Irdina memanggil perlahan. Matanya berair.

Puan Leila tak menunggu lama. Terus menghampiri Irdina. Memeluk tubuh Irdina yang tampak rapuh.

"Irdina kuat. Auntie tahu Irdina kuat." Belakang tubuh Irdina digosok perlahan. Memujuk gadis itu. Fathi ceritakan padanya tadi, yang Irdina sudah tahu semuanya. Dia dapat rasakan betapa hancurnya hati Irdina sekarang.

Irdina memejam mata. Membalas pelukan auntie erat. Dia menangis lagi. Rapuh sungguh dia pagi ini.

"Auntie..." Irdina terketar memanggil. Sebak.

"Apa Irdina perlu buat sekarang? Tuan Mustakim jaja aurat Irdina. Irdina malu." Irdina bersuara terketar-ketar. Perit sekali suaranya. Itulah yang buat dia sangat sedih dan remuk. Dia sangat malu dengan dirinya. Bila mengetahui orang menjaja cerita lucah tentang dia, apatah lagi orang yang selama ini dia percaya... Dia sangat malu. Sangat sangat malu.

"Irdina malu, auntie. Irdina rasa jijik dengan diri sendiri." Irdina teresak-esak di bahu Puan Leila. Sampai basah tudung wanita itu.

"Ya Allah, Irdina. Ya Allah. Subhanallah." Puan Leila turut menangis mendengarnya.

"Ini bukan salah Irdina, sayang. Bukan salah Irdina. Mustakim yang salah. Dia yang jaja cerita Irdina. Irdina tak salah." Puan Leila memujuk dalam tangisannya.

Irdina hanya menangis selepas mendengar pujukan itu. Bercampur-baur apa dia rasa. Tapi tangisannya kali ini lebih tenang kerana ada orang sudi memujuknya. Dia rasa ditemani. Dia memeluk tubuh Puan Leila kuat. Seperti tak mahu lepas. Dia mahu pinjam kekuatan Puan Leila. Dia jadi rindukan arwah ummi.

Puan Leila terus-terusan memujuk Irdina. Digosok belakang gadis itu. Kali pertama dia lihat Irdina serapuh ini.

.
.
.

Irdina terlena entah berapa lama. Selepas menangis buat kali kedua dengan Puan Leila, Puan Leila mengajak dia sarapan. Dia hanya makan sedikit. Selepas itu Puan Leila suruh dia pergi berehat di bilik rehat. Berhadapan musolla. Akhirnya dia terlena di situ. Penat menangis dan melayan emosi.

Irdina terjaga bila terdengar azan. Dia duduk dengan sedikit bingung. Dia masih lengkap bertudung, hanya handsock dan sarung kakinya ditanggalkannya sebelum tidur. Irdina melihat jam tangan. Sudah masuk waktu zohor. Nampaknya dia terlepas solat dhuha. Dia beristighfar perlahan.

Dia turun dari katil. Pergi membersihkan diri untuk solat. Berwuduk. Dia keluar dari bilik air, baru dia perasan Puan Leila sudah siapkan telekung untuknya. Terletak elok di katil.

Dia sarung telekung itu. Harum baunya. Tudung dia sangkut di penyangkut. Tudungnya agak lembap dan comot. Yalah, dia menangis bersungguh tadi.

Irdina solat sunat qabliyah dahulu sebelum mendirikan solat fardhu zohor. Khusyuk dia mendirikan sembahyang. Selepas solat zohor, dia berteleku di atas sejadah. Mengucap tasbih mendatangkan tenang dalam hati.

Mengingati cerita Tuan Fathi pagi tadi, Irdina baru mengerti kenapa ahli korporat di pub tempoh hari sangat mudah mengenalinya. Rupa-rupanya Tuan Mustakim menjaja cerita tentangnya. Sama ada berkaitan lucah ataupun menceritakan kecekapannya menjadi setiausaha, semuanya disebarkan.

Irdina tak sangka. Dia tertunduk kecewa. Inilah sebabnya Tuan Fathi selalu kata, jangan terlalu meletakkann kepercayaan pada sesiapa. Kelak, yang kecewa itu kita. Bila kepercayaan dihancurkan.... Bila kepercayaan itu diremukkan... Tetap yang kecewa itu kita.

Irdina sedar, dia mudah bergantung dengan orang. Sebab dari kecil dia dibesarkan dalam keadaan tiada bapa. Dia hanya punya ummi. Orang kata, bila membesar dalam bentuk begitu, pasti hati sudah teguh untuk berdiri sendiri. Tapi tidak bagi Irdina, biarpun nampak dia tegas dan teguh. Hakikatnya suasana begitu membuatkan dia menjadi gadis rapuh yang tercari-cari tempat pergantungan. Ketiadaan bapa membuatkan dia tidak pernah merasa bagaimana hidup bergantung dengan sesiapa. Dia dan ummi sama-sama berdikari.  Waktu bersekolah pun dia bekerja separuh masa di mana-mana kedai. Ummi juga sama. Mereka hanya berjumpa waktu malam. Itu pun hanya sekejap. Waktu itulah dia dapat berbual dengan ummi. Berkongsi cerita. Irdina punya hidup yang susah dahulu.

Dan pada usianya 19 tahun, ummi meninggal dunia... Ketika itu dia hilang pergantungan sepenuhnya pada sesiapa. Dia tiada sesiapa. Dia hidup bersendirian. Dia mengalami kemurungan sehingga setahun lamanya. Rapuh sungguh dirinya ketika itu. Namun dia cekalkan hati, menyambung pelajaran dengan duit simpanan ummi. Dia bekerja di banyak tempat kerja. Bermula dari situ dia menjadi pendiam. Ummi selalu berpesan untuk bergantung pada Allah dalam semua perkara. Itulah yang dia cuba praktikkan walaupun hati sangat lemah.

Sehinggalah, dia terjumpa satu temuduga kerja di sebuah syarikat. Syarikat itu mencari sesiapa yang fresh graduate. Tapi Irdina mahu mencuba nasib. Dia hadir temuduga itu. Dia paling muda. Paling lekeh pakaiannya.  Satu sijil pun tiada melainkan spm sahaja. Satu-satunya yang bertudung. Dia tahu dia takkan diterima. Kerana semua peserta nampak berpendidikan tinggi dan cantik pakaiannya.

Tapi siapa sangka, beberapa hari kemudian dia dipanggil Rangkasa untuk temuduga kedua. Terkejut juga dia mendapat panggilan itu. Mengucap syukur berkali-kali pada Allah. Tak sangka dia dipilih.

Sebaik Tuan Mustakim melihatnya, Tuan Mustakim terus bersetuju untuk mengambilnya. Tuan Mustakim berkata, dia mahu mengajar Irdina dari kosong sehingga Irdina betul-betul dapat menjadi setiausaha yang cemerlang.

Dengan Rangkasa, pembelajarannya ditaja sepenuhnya. Dia dapat belajar sambil bekerja. Dia belajar banyak perkara dengan Tuan Mustakim. Tuan Mustakim ialah lelaki pertama yang Irdina rasa dia boleh bergantung dan dapat meminta tolong. Tuan Mustakim sudah seperti bapanya.

Sebab itu dia sangat susah untuk percaya jika Tuan Mustakim berbuat jenayah. Perkara itu tak pernah terlintas walau sekalipun dalam kepalanya.

Sedangkan dia tak sedar, kerana dia dididik Tuan Mustakim sejak dia mula memasuki dunia pernigaan... Dia jadi buta korporat. Dia tidak lihat korporat yang sebenar. Dia nampak segalanya baik. Tuan Mustakim sajikan kepada perkara yang baik-baik sahaja agar dia kekal bekerja dengan Tuan Mustakim.

Irdina menarik nafas dan menghembusnya. Dia menekup wajah kemudiannya. Tangan dijarakkan dari wajah. Menadah doa.

Dia percaya... Semua ini Allah aturkan padanya punya sebab yang sangat hebat. 10 tahun dia terpaksa bersama seorang lelaki yang merosakkan ramai perempuan, pasti ada kebaikannya. Walaupun hanya perasaan jijik yang Irdina dapat ingat setiap kali memikirkan tempoh kerjanya dengan Tuan Mustakim. Bila Allah pandu dia ke arah itu, dia lihat itu sebagai kesilapan yang baik. Yang dia dapat belajar banyak perkara.

Terima kasih ya Allah. Terima kasih untuk segalanya. Terima kasih sedarkan saya. Terima kasih selamatkan saya.

.
.
.

Fathi keluar dari bilik tidurnya. Pintu ditutup. Dia menuju lift, tapi langkahnya bertukar perlahan bila lalu di hadapan bilik ibu. Dia dengar ibu membaca al-quran. Dia suka mendengar ibu baca al-quran, jadi dia pun menolak gagang pintu bilik ibu. Mengintai dahulu sebelum masuk perlahan-lahan. Seperti anak kecil yang menyeludup masuk bilik ibunya. Pintu ditutup perlahan juga.

Dia berjalan perlahan-lahan sehingga sampai di sebelah ibu yang sedang khusyuk membaca al-quran. Dia terus labuhkan duduk di sebelah ibu.

Puan Leila terkejut sungguh bila tiba-tiba anaknya muncul di sebelah. Ditampar peha Fathi. Fathi hanya tersengih.

Puan Leila menamatkan bacaannya. Mashaf ditutup.

"Dah habis, ibu?" Fathi agak kecewa di situ.

"Sudah. Kalau kamu nak dengar, pergi baca sendiri. Macamlah tak pandai. Rasanya suara kamu lagi merdu dari ibu."

"Tak sama dengan ibu." Balas Fathi.

Puan Leila menggeleng kepala. Ada saja akal untuk menjawab. Dia mengusap mashaf di rehal. Hela nafas syukur. Dia tak putus berasa bersyukur kerana dia dapat belajar al-quran selepas kematian suaminya. Dahulu dia tak pernah kenal satu huruf al-quran pun. Bersama Fathi, dia cuba belajar agama sedikit demi sedikit dengan guru mursyid. Belajar solat dan puasa yang selama ini dia tak pernah amalkan ketika suaminya masih hidup.

"Ibu fikir apa?" Fathi sedar ibu merenung mashaf sangat dalam. Diusap mashaf itu sayu.

Puan Leila mengangkat wajah pada Fathi. Dia tersenyum.

"Tak ada apa. Cuma bersyukur. Kita dapat belajar agama walau masih berlompong." Puan Leila mengucap syukur.

Fathi terdiam mendengarnya. Sebelum dia tersenyum.

"Alhamdulillah." Ucapnya juga.

"Okay. Jom turun. Irdina mesti dah lapar. Kasihan dia." Puan Leila bangkit segera. Tali telekung dicabut. Risau dia fikirkan Irdina.

"Ibu..." Fathi nampak sedikit terkilan. "Anak ibu pun lapar juga." Fathi memandang ibu yang sedang menanggalkan telekung.

"Kamu tak menangis. Irdina menangis dari pagi tadi. Mesti dia penat dan lapar." Puan Leila hela nafas. Disangkut telekungnya.

Fathi terdiam. Dia nampak berfikir.

"Dia menangis lagi?" Soalnya kemudian.

"Ya, bila dia naik dari pantai... Dia menangis bersungguh. Ibu ingatkan sebab dia kecewa dengan Mustakim. Tapi rupa-rupanya sebab lain. Sedih ibu dengar dia cakap macam tu." Puan Leila pergi ke cermin, disikat rambutnya. Disanggul. Lincah pergerakannya sebab mahu cepat.

"Dia cakap apa?" Fathi ingin tahu. Elok saja dia bersila di lantai. Tiada tanda-tanda hendak bangun.

Puan Leila menarik nafas dalam-dalam. Dihembusnya. Pergerakan lincahnya dah terhenti. Dia merenung cermin hadapan.

"Dia tanya ibu, apa dia perlu buat? Auratnya dah dijaja Mustakim. Dia malu sebab auratnya dah tak terjaga gara-gara Mustakim." Sayu Puan Leila menjawab. Wajahnya keruh teringatkan kata-kata Irdina.

Fathi pula terdiam. Tak sangka itu jawapannya.

"Ibu tak tahu nak cakap apa. Ibu menangis saja waktu itu. Sedih bila dia kata begitu. Padahal ini bukan salahnya." Puan Leila menyarung tudung.

Fathi diam. Puan Leila pun diam. Puan Leila sudah bersiap untuk turun. Dia lihat anaknya diam agak lama. Termenung jauh.

Puan Leila hela nafas. Tahu apa dalam fikiran anaknya. Dia menghampiri Fathi.

"Jom turun, kita panggil Irdina makan." Puan Leila mengajak. Bimbang anaknya makin jauh termenung.

Fathi bangkit dari silanya. Puan Leila mengusap belakang tubuh anaknya. Anaknya dah besar gajah, dia saja suka layan anaknya seperti anak kecil.

"Jangan salahkan diri, Fathi. Fathi dah cuba buat yang terbaik." Pujuk Puan Leila sewaktu mereka sama-sama melangkah ke pintu.

"Tapi mungkin kalau Fathi bertindak lebih awal, tak banyak Mustakim akan jaja cerita Irdina." Fathi membalas perlahan.

Puan Leila sudah jangka itulah yang memberati fikiran Fathi. Apa dia perlu buat? Fathi dan Irdina, sama-sama salahkan diri sendiri.

"Jangan kata begitu. Allah dah susun yang terbaik pada waktu yang tepat. Fathi betul-betul dah buat yang terbaik. Sekurang-kurangnya sekarang Irdina dengan kita kan?"

Fathi terdiam. Mereka sama-sama bergerak ke lift.

"Dah. Jangan fikir lagi. Kita turun makan ya." Puan Leila mengusap bahu anaknya. Mahu Fathi berhenti salahkan diri. Fathi pula hanya diam.

.
.
.

Puan Leila asalnya mahu mengajak Irdina makan tengahari, tapi sewaktu dia pergi ke pejabat untuk menjenguk Irdina... Terlihat Irdina sedang duduk menghadap jendela kaca. Ada tas tangannya di sebelah. Kunci kereta ada dalam genggaman. Tanda dia sudah mahu pulang. Mungkin hanya menunggu Puan Leila.

"Irdina..." Puan Leila terkejut sedikit bila lihat Irdina sudah bersiap.

Irdina tersedar. Dia pantas bangun menyambut Puan Leila. Puan Leila menghampirinya.

"Auntie..." Sapa Irdina.

"Irdina dah nak balik ke ni?" Lengan Irdina disentuh. Puan Leila memeriksa keadaan Irdina atas bawah.

Irdina tersenyum kelat. "Haah, auntie. Irdina nak balik dulu. Dah lewat ni."

"Eh, kenapa tak lunch dulu? Dah pukul dua ni, mesti Irdina lapar." Puan Leila berkerut risau.

"Irdina kenyang lagi, auntie... Sebab breakfast lewat tadi. Irdina kena balik dah, ada kerja nak dibuat di rumah."

"Oh iye ke?" Kecewa sedikit nada Puan Leila.

"Irdina minta maaf tak lunch dulu. Irdina balik dulu, auntie." Irdina mengambil tangan Puan Leila, dicium sekilas.

Puan Leila pantas menarik tubuh itu, dipeluk kemas. Irdina terdiam bila dipeluk begitu. Dia membalas pelukan Puan Leila. Mata terpejam. Dia dapat rasa belakang tubuhnya diusap. Tiada kata antara mereka, tapi Puan Leila seperti faham ada sesuatu sebenarnya yang mengganggu fikiran Irdina. Puan Leila hanya boleh memujuk dengan pelukan begini.

Irdina pantas meleraikan pelukan. Bimbang nanti dia sebak pula. Dia tersenyum pada Puan Leila. Tas tangan diambil.

"Assalamu'alaikum, auntie."

"Waalaikumussalam." Puan Leila hanya menghantar langkah Irdina dengan pandangan. Sekejap saja Irdina sudah lesap di balik pintu.

Puan Leila hela nafas berat. Dia kembali ke dapur kemudiannya. Risau dia fikirkan Irdina. Tapi apa dia boleh buat, dia faham Irdina mahukan masa sendirian.

Di meja makan, Fathi sudah menunggu di situ. Dia sudah siap makan epal sepinggan. Menunggu ibu dan Irdina saja untuk mula makan nasi. Lama pula ibu panggil Irdina.

Fathi menoleh bila dengar derapan kaki ibunya. Sekejap saja ibu duduk di hadapannya. Wajah ibu risau dan kusam.

"Irdina dah balik." Puan Leila menghela nafas panjang. "Dia tak mahu lunch dekat sini. Katanya ada kerja di rumah." Puan Leila nampak risau betul.

Fathi hanya diam. Matanya jatuh pada nasi di hadapan. Dia nampak berfikir.

"Ibu risau dekat Irdina. Dia nampak sedih lagi." Puan Leila mengeluh sendiri.

Fathi diam agak lama. Sebelum menghela nafas perlahan.

"Jom makan, ibu." Dia mula menyenduk nasi ke pinggan ibunya.

"Fathi tak risau ke?" Puan Leila mahu berkongsi rasa risau dengan Fathi, tapi anaknya nampak tenang pula.

"Irdina perlukan masa, kita beri dia masa." Fathi menyenduk nasi untuk dirinya pula.

Puan Leila terdiam.

Fathi mengulas senyum segaris pada ibunya. Sekadar menenangkan hati ibu yang gusar.

Puan Leila menghela nafas. Ya, betul. Irdina perlukan masa secara sendirian. Itu cara Irdina membesar, siapa mereka untuk masuk campur.

Mereka pun mula makan.

.
.
.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro