41 | Trauma

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Masuk ke bahagian kelima ni, konflik besar akan bermula. Setiap bab pun akan panjang. Bab ni pun 6.6k words. Huwaa. Muga anda tidak jemu.

Bulan puasa ni harap bersabar ya baca bab ni.

.
.
.

Ombak agak kuat petang-petang begini. Namun tidak membantut niat Irdina yang memang berhasrat untuk turun ke pantai. Irdina jarang pulang melebihi jam enam, jam enam ialah waktu terakhir dia berada di kediaman Al-Fathi. Tetapi hari ini nampaknya dia melepasi waktu itu. Semuanya kerana dia terlalu ingin duduk-duduk di pantai sunyi ini sambil menikmati alam.

Irdina bawa dua bungkus roti coklat yang dia beli di kedai semalam. Dia mahu makan petang bersendirian di tepi pantai tanpa diganggu sesiapa. Kesibukan kerja buat dia jarang punya waktu sendirian.

Irdina labuhkan duduk sebaik menjumpai tempat paling hampir dengan ombak tapi masih dalam kawasan kering. Seronoknya dia akhirnya ada peluang untuk turun ke sini. Dah terlalu lama dia tak punya waktu duduk-duduk mengambil nafas di tepi laut ini.

Irdina buka plastik roti dan mula makan. Dia suka roti perisa coklat hazelnut buatan Bakeri Leena. Di peti rumahnya juga ada roti begini cuma dia saja tak sempat makan. Sekarang dia sengaja beli untuk dimakan di sini. Sangat menenangkan.

Genap dua minggu selepas AGM Rangkasa, jadual Irdina kembali padat dengan rancangan akan datang. Tiada lagi waktu lapang seperti minggu lalu. Ini pun dia cuba juga curi masa untuk keluar makan di tepi pantai. Walaupun sebenarnya sekarang bukan lagi waktu kerjanya, sekarang waktu dia pulang ke rumah.

Tempoh hari pula, pertemuan dengan 8 perisik berjalan lancar. Irdina menjadi orang yang membuat minit mesyuarat, jadi memang sepanjang pertemuan itu diadakan - dia tekun mendengar dan menaip di laptop. Dia harus mendengar dan memahami semua laporan itu.

Bermula daripada Musa, lelaki yang merisik Tan Sri Muazzam itu memberi laporan panjang berkenaan perkembangan perdana menteri tersebut.

Mengikut khabar Musa, Tan Sri Muazzam kini sibuk dengan projek perasmian railway komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur. Projek itu dianggap mega dalam kalangan korporat juga rakyat. Ia akan memudahkan pergerakan ramai orang. Projek ini ialah hasil idea perdana menteri sebelum ini, Dato' Jaafar Harun. Disambung oleh Tan Sri Muazzam dengan jayanya. Dikatakan projek ini benar-benar menambat hati para rakyat yang sememangnya tertunggu-tunggu railway pantas dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur.

Namun, yang tidak enaknya, projek itu cuma menggunakan biaya sebanyak 1.3 billion sepanjang ia dibina. Sedangkan, kerajaan telah menyalurkan dana projek itu sebanyak 20 billion. Bermakna 18.7 billion telah lesap tidak menuju ke tempat sepatutnya.

Mengikut laporan Musa, ada kemasukan wang asing sebanyak 13 billion ke dalam bank sulit Tan Sri Muazzam pada Jun lalu. Ia jumlah yang sangat besar. Nampaknya separuh daripada biaya projek itu dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri itu sendiri.

Selain penggelepan wang itu, Musa melaporkan juga berkenaan reaksi Tan Sri Muazzam terhadap pengapungan saham Rangkasa. Kata Musa, Tan Sri Muazzam turut menonton perasmian itu. Malah sebaik sahaja Rangkasa diapungkan, sebanyak 58 juta dilaburkan ke syarikat itu tanpa ragu-ragu. Keyakinannya terhadap cerita Tuan Fathi bukan main-main. Dia sangat yakin dengan projek Rangkasa tidak lama lagi. Pelaburannya dibuat atas nama orang lain semestinya. Tidak menggunakan namanya.

Cukup tentang Tan Sri Muazzam. Perisik kedua bernama Atiq pula hadir. Dia perisik kepada YB Razif, orang terdekat perdana menteri. Atiq juga berkongsi cerita tentang hal sama, penggelapan wang, rasuah, wang asing yang masuk secara tunai.

Dan nampaknya YB Razif juga terlibat dalam mencederakan orang baru-baru ini. Mengikut Atiq yang bekerja sebagai secretary di badan kementerian bawah YB Razif, ahli politik itu ada menghantar beberapa orang untuk memukul satu keluarga. Ianya keluarga seorang peguam yang mendapat tahu perihal penggelapan wang YB Razif, peguam itu cuba melaporkan kepada pihak pendakwa. Namun hasilnya, peguam itu bersama isteri dan anak dipukul di rumah sendiri. Menyedihkan, perkara itu tidak dihebahkan di mana-mana laman sosial jauh sekali siaran berita. Sekarang keluarga itu sedang menerima rawatan di hospital.

YB Razif antara orang yang hadir pada hari AGM Rangkasa berlangsung. Setakat ini sahamnya masih kecil memandangkan dia pegawai kerajaan yang bertaraf hampir menteri, punya had dalam melabur. Itu pun dia tidak segan silu melabur.

Perisik ketiga pula bernama Mazlina, bekerja sebagai penolong setiausaha Dato' Syahiran - Presiden Omicro Energy. Mengikut risikan terakhir Mazlina, Dato' Syahiran sibuk dengan projek terbaharunya berkait lapangan tenaga yang akan dibina di salah satu negeri pantai timur. Projek itu bermula awal tahun lalu, namun kerana isu penggelapan wang dato' sendiri - banyak hal tertangguh sehingga lapangan yang sepatutnya selesai awal tahun ini tergendala.

Dato' Syahiran hampir didakwa atas penggelapan wang itu, namun mengikut siasatan Mazlina - salah seorang pendakwa kes tersebut ada menerima kemasukan wang sebanyak 13 juta sebaik sahaja kes tersebut digugurkan. Selepas menerima wang tersebut, pendakwa tersebut langsung hilang tidak dapat ditemui.

Tidak cukup penggelapan wang, nampaknya rasuah juga menjadi pilihan Dato' Syahiran.

Perisik keempat, bernama Aidil. Dia bekerja di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Berkerja rapat dengan Dato' Marzuk yang merupakan Menteri Komunikasi sendiri. Aidil mula bekerja dengan menteri tersebut pada tahun 2018. Dan mula menjadi perisik Tuan Fathi pada tahun berikutnya apabila dia hampir ditangkap pihak atasan kerana cuba membongkarkan muslihat media massa. Tuan Fathi yang menyelamatkannya langsung dia terus bekerja dengan heronya itu. Menjadi perisik Tuan Fathi sehinggalah sekarang. Terlalu banyak hal yang dipaslukan dalam media massa. Aidil penat melihatnya dan tekad untuk memperjuangkan korupsi media.

Aidil memegang jawatan sebagai manager dalam pengurusan media berita, sepanjang dia bekerja di bidang tersebut - dia dapat lihat betapa media menyembunyikan kebusukan ahli-ahli politik dan korporat dan cuma menceritakan hal-hal baik.

Dato' Marzuk sendiri punya banyak cerita korup yang tersimpan kemas dalam tangan Aidil. Mengikut cerita Aidil, ramai korupsi lain yang suka membodek Dato' Marzuk demi menyembunyikan jenayah mereka daripada kaca TV. Tanpa kelulusan menteri multimedia sendiri, pastinya cerita sebenar tidak akan disiarkan. Rasuah hal biasa dalam isu begini. Jika tidak menggunakan wang- pastinya tidak semena-mena ada bangunan baharu menjadi milik Dato' Marzuk. Tidak semena-mena ada tanah di sebuah bandar membangun diletakkan nama lelaki politik itu. Hal itu menjadi kebiasaan kerana dianggap hadiah sesama sahabat. Walhal, itulah rasuah.

Perisik kelima pula, Afif. Bekerja sebagai pengawal peribadi Tuan Asri, timbalan ketua bank Negara. Lelaki korporat tempoh hari yang menegur Irdina di AGM Rangkasa. Tuan Asri menjadi orang yang paling teruja melibatkan saham Rangkasa. Hari-hari dia memeriksa kenaikan saham syarikat itu.

Jika Dato' Marzuk dibodek kerana media, maka Tuan Asri pula dibodek untuk wang. Berapa banyak wang dari bank negara sendiri dilesapkan ke akaun-akaun tertentu. Ada yang dimuslihatkan kononnya untuk rakyat, walhal akhirnya masuk ke poket-poket mereka yang berjaya merapati Tuan Asri.

Perisik keenam ialah pembantu rumah YB Marhani, bernama Aina. Dia bekerja di rumah menteri Majlis Keselamatan Negara itu sudah enam tahun. Tahun lalu, keluarganya diancam bunuh kerana dia hampir sahaja membongkarkan  isu sebenar kemalangan besar-besaran di kilometer 267 Lebuhraya Utara-selatan. Sebuah bas yang memuatkan 17 guru dan 46 kanak-kanak murid sekolah terlibat dalam kemalangan ngeri. Semua terkorban apabila bas tersebut terbabas secara tiba-tiba.

Walhal tiada siapa tahu, kemalangan ngeri itu berkait rapat dengan menteri wanita tersebut. Sekolah tersebut telah menolak dermanya sebanyak 1 juta ringgit kerana pengetua sekolah itu mengenali 'wajah sebenar' YB Marhani. Hanya kerana penolakan yang menghinakan itu, kemalangan itu disengajakan. Fikir YB Marhani, kemalangan itu tidaklah akan mengorbankan nyawa. Siapa sangka, ia seteruk itu. YB Marhani sangat terkejut namun dia lega kerana pengetua itu pun terkorban sama. Aina mengetahui hal sebenar kerana dia mendengar perbualan YB Marhani bersama pembantu peribadi. Kerana mengetahuinya, dia diugut sebegitu rupa. Aina hidup dalam ketakutan sehinggalah Hadi menghubunginya mengatakan jika dia mahu bekerjasama untuk menjatuhkan YB Marhani.

YB Marhani terlibat dalam saham Rangkasa dalam jumlah yang sedikit. Agak sukar menarik wanita itu rapat ke arah umpan. YB Marhani boleh dikatogerikan ahli politik wanita yang berfikiran jauh. Dia mengambil langkah selamat dengan tidak membuat pelaburan membuta tuli. Tuan Fathi menyuruh Aina memerhati lebih rapat gerak kerja YB Marhani. Mengumpulkan bukti dan bergerak secara halus dalam mengumpan menteri wanita itu.

Antara semua target, yang paling Irdina nantikan pastinya Dato' Hanif. Lia, yang bekerja sebagai pembantu di rumah dato' itu menjadi orang terakhir yang datang bertemu Tuan Fathi. Irdina tidak mengenali wajah Lia, dia cuma pernah lihat Lia melalui gambar. Ketika di rumah dato' tempoh hari, Irdina tidak bersemuka terus pun dengan Lia. Lia cuma menghubunginya melalui surat di celah salad.

Lia berumur 24 tahun. Anak saudara Dato' Khamis. Dia anak yatim paitu dan menetap bersama Dato' Khamis, sejak tahun lepas dia diupah menjadi perisik di rumah Dato' Hanif. Dia sudah bekerja dengan Tuan Fathi sejak umurnya 20 tahun. Pernah menjadi undercover mahasiswi di sebuah universiti yang dikatakan terlibat dengan pengedaran dadah seorang korporat yang memiliki universiti tersebut.

Mengikut khabar Lia, buat masa sekarang Dato' Hanif masih tidak mempamerkan apa perkembangan pesat selepas AGM Rangkasa tempoh hari. Lia cuma dapat memeriksa hasil carian dato' dan juga surat khabar yang dibaca lelaki korporat itu, jelas dato' sedang membaca tentang pemecutan saham Rangkasa yang semakin meningkat. Bermakna dato' masih berminat dengan bahagaiannya dalam Rangkasa dan belum mencurigai apa-apa.

Berkaitan Irdina, Dato' Hanif masih yakin Irdina di pihaknya. Malah daripada perbualan Dato' Hanif bersama pembantu peribadinya, mereka begitu yakin sedang mempergunakan Irdina. Dari sudut Datin Sumayyah pula, baginya Irdina sedang berada dalam posisi selamat bersama suaminya. Lia dapat dengar perbualan dato' dan datin, datin jelas mahu Irdina di tempat selamat dan tidak mahu Irdina bekerja dengan lelaki korup seperti Muhammad Al-Fathi. Dato' Hanif menenangkan isterinya. Walhal Lia dapat dengar suara itu penuh kepura-puraan.

Mengenangkan cerita itulah buat Irdina lirih. Kasihan Datin Sumayyah. Menganggap suaminya berada di pihak yang benar walhal suaminya hanya mempergunakan kejujurannya untuk mengaburi orang lain. Irdina jadi teringatkan dirinya sendiri ketika begitu mempercayai Tuan Mustakim. Walhal dirinya cuma dipergunakan menjadi boneka kebaikan Tuan Mustakim.

Bunyi mesej dari telefonnya buat Irdina tersedar dari lamunan panjang. Dia pun tak sedar dia sudah buka bungkusan roti yang kedua. Terlalu jauh mengelamun sehinggakan mengambil roti kedua pun tidak disedarinya. Angin pantai makin sejuk tanda waktu semakin menginjak lewat petang.

Irdina menyeluk saku jubah pendeknya, dia hidupkan telefon. Dia tahu mesej itu datang daripada Tuan Fathi. Dia sudah letakkan bunyi notifikasi asing untuk majikannya itu untuk memudahkan dia mengambil kira mesej itu kecemasan atau tidak.

Sebelum asar tadi Tuan Fathi keluar bersama Hadi. Entah ke mana Irdina tidak pasti. Tapi Tuan Fathi cuma berbaju kasual. Hadi pula berkot kemas. Kerana Tuan Fathi tiada itulah Irdina boleh turun ke pantai.

Kamu di mana?  Saya ingat kamu dah balik tapi kereta kamu masih ada di garaj.

Mesej Tuan Fathi dibaca. Irdina tidak sangka Tuan Fathi sudah pulang. Dia menilik jam di bahagian atas telefon. Sudah pukul 6.15 petang.

Irdina langsung membalas mesej itu.

Di pantai, tuan

Sekejap sahaja mesej itu sudah dibaca.

Buat apa di pantai?

Irdina diam membaca mesej itu. Dia kemudian terpandang roti coklat di tangannya. Dia menulis jawapan kepada Tuan Fathi. Masih tidak mengerti kenapa Tuan Fathi bertanya soalan itu kepadanya walhal pastilah orang turun ke pantai untuk menikmati pemandangan. Tiada orang turun ke pantai untuk bekerja.

Sejenak Irdina tersedar jawapannya. Irdina membaca mesej terakhirnya itu buat kali kedua. 

"Eh, ya Allah..." Irdina mengucap panjang bila membaca jawapannya.

Makan roti coklat

Irdina menekup mulut tanpa sedar. Dia lekas hendak memadam kembali mesej itu tetapi sudah bluetick. Irdina tidak tahu hendak berbuat apa. Kenapa dia jawab dia makan roti coklat? Astaghfirullahalazim. Dia terlalu hairan Tuan Fathi bertanya soalan itu tetapi akhirnya dia yang jawab aneh-aneh.

Irdina terpaksa abaikan sahaja mesej itu. Makin ditenung, makin malu dibuatnya. Dia letak tepi telefon dan terus habiskan rotinya. Cuba melupakan kejadian jawapan tadi. Harapnya Tuan Fathi pun lupa.

.
.
.

Irdina naik selesai menghabiskan roti coklatnya. Ketika dia masuk ke pejabat, dia sempat memeriksa keadaan dahulu. Bila tiada siapa di pantri, dia pun pergi membasuh tangan dan mulut. Plastik roti dibuang ke dalam bakul sampah.

Irdina melihat jam tangan. Sudah pukul 6.30. Memang pastilah dia akan solat maghrib dalam perjalanan. Irdina mula mengira-ngira masjid yang sesuai menjadi tempat persinggahannya nanti. Beginilah bila bekerja jauh daripada rumah.

Irdina memanjat tangga sambil memikirkan lokasi masjid. Penting untuk dia fikirkannya kerana ruangan muslimat sesebuah masjid juga memberi pengaruh untuk dia memilih masjid yang selesa.

Irdina memperlahankan langkah bila ternampak pintu pejabat Tuan Fathi tertutup rapat dan ruangan bawahnya bercahaya. Itu petanda Tuan Fathi ada di dalamnya. Jarang Tuan Fathi biarkan pejabat tidak ditutup lampu. Jika bercahaya, maksudnya Tuan Fathi ada. Jika gelap, maksudnya Tuan Fathi tiada. Tidak pernah lagi Irdina lihat Tuan Fathi duduk dalam gelap.

Irdina menuju biliknya dahulu untuk mengambil tas tangan. Menyesal juga dia tidak mengambil barangnya awal-awal. Jika dia ambil awal-awal, dia tidak perlu naik ke pejabat. Sekarang, tak dapat tidak dia perlu bertemu Tuan Fathi sebelum pulang. Tidak sopan dia terus pulang walhal baru sebentar tadi dia memberitahu Tuan Fathi yang dia turun ke pantai. Lagipun esok hari cuti. Jadi tak dapat tidak dia perlu berjumpa majikannya sebelum seharian tidak bertemu esok.

Irdina keluar dari bilik dengan tas tangannya. Pintu ditutup seperlahan mungkin. Irdina kemudian mendekati pintu bilik Tuan Fathi. Berdiri di situ sambil memikirkan baik buruknya. Kali pertama dia berasa tidak yakin untuk mengetuk pintu bilik Tuan Fathi. Perihal roti tadi masih belum dilupakannya. Dia harap perkara itu tidak dijadikan modal perlian Tuan Fathi kepadanya seperti kebiasaan majikannya itu.

Irdina membaca basmallah langsung mengetuk pintu berwarna hitam itu. Dia diam dahulu mendengar respon. Baru sahaja dia hendak mengetuk sekali lagi, dia mendengar suara Tuan Fathi mengizinkannya masuk.

Irdina pun membuka pintu kau perlahan-lahan. Dia terus dapat melihat Tuan Fathi di mejanya. Sedang membaca sebuah buku bukan dokumen.

Irdina meluaskan bukaan pintu. "Assalamu'alaikum, tuan." sapanya.

"Waalaikumussalam." Jawab Fathi. Dia mengangkat wajah dari bukunya. Memandang Irdina yang baru masuk bersama tas tangan. Dia mengulas senyum kecil sebelum kembali memandang buku.

"Tuan, saya balik dulu." Irdina menggamit pulang.

"Ya. Esok kamu jadi ke rumah Hanif?" Fathi bertanya teringatkan jadual Irdina yang satu itu. Buku di tangannya ditanda. Sudah selesai dibaca.

"Ya, tuan." Irdina mengangguk.

Esok dia mendapat jemputan ke rumah Dato' Hanif. Bukan untuk makan tengahari atau makan malam, sengaja datang berziarah. Dua hari lalu Najah sendiri menghubunginya selepas begitu lama mereka tak saling berhubung melalui panggilan. Najah mengajaknya datang ke rumah jika lapang. Irdina menerima pelawaan itu memandangkan Dato' Hanif juga punya sesuatu hendak dibincangkan dengannya.

"Bawalah apa-apa buah tangan kepada keluarga Hanif. Jangan bawa kek epal atau roti coklat pula." Fathi letakkan buku ke atas meja. Senyuman disembunyikan menyebut roti coklat. Masih terhibur.

Irdina langsung diam bila 'roti coklat' disebut. Dia baru bersangka baik Tuan Fathi tidak akan sebut hal itu. Rupa-rupanya Tuan Fathi sebut juga di depannya. Dia sudah kata Tuan Fathi suka mencari modal untuk memerlinya begitu. Irdina juga tidak tahu hendak memanggilnya perlian atau apa.

"Baik, tuan."

"Kalau bawa buah epal pun bagus juga." Fathi menyarankan sesuatu yang dia gemari bukan keluarga Dato' Hanif gemari.

"Saya fikir nak belikan kek cawan kepada Datin Sumayyah, dia sukakan kek cawan." Irdina langsung memberitahu kesukaan keluarga Najah.

"Oh iya? Padahal epal lagi bagus."

Irdina diam saja dengar Tuan Fathi kata begitu.

"Saya minta diri dulu, tuan. Selamat bercuti." Irdina menundukkan sedikit kepala. Mahu beredar pulang.

"Baik. Hati-hati. Kamu pun selamat bercuti."

Irdina melangkah keluar dari bilik Tuan Fathi kemudiannya. Di luar pintu bilik, Irdina memejam mata. Selepas ini dia harus lebih berhati-hati membalas mesej Tuan Fathi.

.
.
.

Hari Ahad seperti biasa menjadi hari untuk Irdina mengemas rumah dan memasak. Tapi sejak dia bekerja dengan Tuan Fathi, dia sudah jarang memasak di rumah. Kebanyakan waktunya memang dia di kediaman Al-Fathi. Sarapan dan makan tengaharinya juga di Al-Fathi. Makan malam pula dia cuma mengisi perut dengan roti dan biskut.

Jadinya dia cuma menguruskan kain dan mengemas rumah yang sangatlah jarang digunakannya. Dia akan ke rumah Dato' Hanif sekitar jam sebelas. Sebelum ke rumah dato', dia berhasrat singgah di Bakeri Leena untuk membeli kek cawan seperti yang dikatakannya kepada Tuan Fathi semalam.

Dia bersiap-siap untuk ke rumah Dato' Hanif selepas jam sepuluh. Sekali gus dia mahu keluar membeli kek cawan dahulu. Irdina memakai serba hitam hari ini seperti kebiasaannya. Jika tidak hitam, biasanya dia mengenakan warna biru atau coklat gelap.

Irdina turun dari kondominiumnya menuju bakeri kegemarannya yang terletak di bangunan kedai berhampiran. Bakeri ini dibuka jam sepuluh. Kedai kek dan roti ini masih lengang.

"Hai, Cik Irdina... Nak beli kek epal ke?" Ramah pekerja di situ bertanya sebaik melihat Irdina. Irdina pelanggan tetap mereka. Dalam tiga hari sekali pasti Irdina datang ke bakeri ini. Kek epal menjadi kegemaran wanita ini.

Irdina senyum diusik begitu. "Hari ini saya nak beli kek cawan. Nak bawa dekat ibu kawan saya." Jawab Irdina.

"Wah. Nak kek cawan jenis apa tu, Cik Irdina? Kami ada..." Pekerja bernama Maisarah mula menyenaraikan kek cawan yang ada. Kek cawan pelbagai jenis itu elok tersusun dalam rak kaca di kaunter.

Sedang Irdina dan pekerja itu berbalas soalan tentang kek cawan, seorang wanita berapron terlihat keluar dari dapur. Dia pemilik bakeri ini. Irdina mengenalinya sebagai Puan Leena. Sering juga wanita itu menegurnya jika dia datang membeli.

"Eh, Irdina... Beli apa hari ini?" tegur Puan Leena sebaik melihat Irdina.

Irdina tegakkan tubuh dari menilik kek cawan, dia tersenyum menatap wanita tersebut.

"Hari ini Cik Irdina nak beli kek cawan pula, puan. Kek yang sesuai untuk ibu kawan." Maisarah pun menegakkan tubuh memberi laluan bosnya pula memberi cadangan.

"Kek cawan ya? Eh. Irdina dah rasa belum cupcake epal? Saya baru aje cuba-cuba buat sebab nampak Irdina suka sangat beli kek epal, so kami buat kek cawan perisa epal pula." Teruja Puan Leena bercerita.

"Haaa... Betul tu! Kami ada kek cawan epal. Kami tak masukkan lagi dalam menu. Ekslusif untuk Cik Irdina." Kalut betul dua pekerja dan bos itu bercerita. Maisarah juga teruja berkongsi menu baharu mereka.

"Iya? Boleh juga." Irdina senyum sahaja melihat keterujaan itu.

Bersemangat sekali mereka tunjukkan kek cawan epal kepada Irdina. Bila Irdina merasa kek cawan itu, sedap rasanya. Irdina langsung membeli kek cawan perisa epal itu. Nampaknya selepas ini, selain kek epal, roti coklat, Irdina akan sering membeli kek cawan epal pula.

.
.
.

Irdina tiba di rumah Dato' Hanif disambut Najah di muka pintu. Mereka berpelukan kerana sudah lama tidak berjumpa. Kesibukan masing-masing membuatkan mereka tidak punya masa terluang untuk melepak seperti dahulu.

Irdina dibawa ke dapur dengan kek cawan epal itu. Selain kek cawan epal, Irdina juga membeli kek cawan Hokkaido, kek cawan red velvet dan muffin nutella. Di dapur Irdina bertemu Lia. Mereka cuma berbalas pandangan namun segera berpura-pura seperti tidak saling mengenali. Lia membantu Irdina menyusun kek cawan di samping Najah yang becok bercerita sejak tadi.

"Banyaknya cupcake kau beli." Najah mengomel sambil melihat Irdina menyusun kek cawan itu.

"Bukan selalu aku datang rumah kau." Irdina membalas.

"Itulah. Kau punya bizi kalah presiden Amerika. Nak call aku pun susah sekarang." Najah mencebik.

"Cakap dekat orang. Kau tu pun sama." Irdina membalas. Menjeling Najah. Yalah, jika dikira kesibukan, Najah lagi lambat reply mesej berbanding dia. Maklumlah dia selalu melihat whatsapp desktop kerana di situ kerjanya, Najah pula bekerja menghadap gigi pesakit jadi agak sukar curi masa membelek telefon.

Najah sengih-sengih. "Aku sibuk jadi doktor. Kau sibuk jadi assistant billionaire. Alhamdulillah dah jadi masyarakat berguna kita berdua ni."

Irdina geleng kepala tertawa sahaja dengar seloroh Najah.

"Kau sekarang macam mana? Dah jadi millionaire belum? Kan dah janji nak belanja aku mercedes bila dah kerja dengan Pathi." Najah peringatkan.

"Aku baru kerja dengan Tuan Fathi empat bulan, Najah." Irdina selesai menyusun kek cawan.

"Eh ye ke? Rasa macam dah lama." Najah mengira-ngira.

"Kau pun sekarang... Dah tahu belum kerja sebenar Pathi tu? Takkanlah kau kerja dengan dia dalam keadaan dah tahu dia buat kerja haram? Aku tak percaya kau buat macam tu."

Irdina terdiam dengar soalan panjang Najah. Dia baru teringat dia pernah kongsikan dengan Najah tentang rasa curiganya pada Tuan Fathi sebelum bekerja dengan lelaki itu. Najah yang saksikan ketakutan dan kesangsiannya pada Muhammad Al-Fathi. Najah juga membantu dia siasat siapa Muhammad Al-Fathi.

Bila dia sudah bekerja dengan Tuan Fathi, Najah juga memberi semangat padanya untuk mencari tahu apa sebenarnya kerja Tuan Fathi. Jika benar, dia teruskan sahaja bekerja, jika salah, dia boleh mencari bukti jenayah Tuan Fathi.

Tapi nampaknya, selepas sahaja dia bekerja dengan Tuan Fathi - satu khabar pun dia tidak sampaikan kepada Najah. Semuanya kerana peraturan menyimpan rahsia sebagai assistant manager syarikat Al-Fathi, ditambah lagi Najah ialah anak Dato' Hanif. Sehingga sekarang, dia langsung tak ceritakan kepada Najah perihal sebenar kerja Tuan Fathi jauh sekali tentang sikap sebenar Tuan Mustakim.

"Hei, termenung pulak dia." Najah cuit lengan Irdina.

Irdina tersedar dari lamunannya. Langsung senyum kelat.

Lia menyapa mereka untuk mengambil pinggan kek cawan yang selesai dihidang. Irdina menyerahkan sahaja pinggan itu kepada Lia. Sekejap sahaja Lia membawa keluar pinggan itu ke meja makan. Tinggal Irdina dan Najah sahaja di dapur.

"Aku tahu, kau tak nak share dekat aku, kan? Mesti sebab Pathi dah letakkan syarat simpan rahsia kan dalam kontrak kau? Aku faham jelah." Sebelum Irdina menjawab, Najah sudah memotong terlebih dahulu.

Irdina tidak sangka Najah faham yang dia tidak boleh berkongsi.

"Lagipun aku fikir, kalau kau masih kerja dengan Fathi tu sampai sekarang, maksudnya kau tahu rezeki yang kau dapat dekat sana tu halal. Aku kenallah kau. Kau takkan bertahan di satu tempat yang kau dah tahu haramnya." Najah sambung lagi.

Irdina jadi sebak mendengar kata-kata Najah. Tanpa dia ceritakan apa-apa pun, Najah dah faham dia.

"Sorry, aku tak boleh share pasal kerja aku." Irdina bersuara kemudiannya. Memegang lengan Najah.

"Tak ada hal lah. Aku happy kalau betul kau kerja sekarang dengan rezeki halal. Aku cuma risau je, kalau Fathi tu buat kerja kuban-kuban. Eh, tapi kan... Satu je aku nak tanya kau." Najah angkat satu jarinya.

"Apa?"

"Kenapa Fathi ambil syarikat bankrap?" Najah sangat tertanya-tanya hal itu. Dahinya berkerut sedikit.

"Benda lain aku tak nak sibuk tahu, tapi pasal syarikat bankrap tu..." Najah berbisik sambil pandang kanan kiri. "Sampai ada pengarah bunuh diri semua tu... Kenapa sebenarnya?" Najah dekatkan badannya pada Irdina. Mahu bercakap rahsia, tak mahu orang lain dengar.

"Kau tak tahu lagi?" Irdina agak terkejut.  Irdina fikir Najah sudah tahu daripada ayahnya. Sebab dari gaya Dato' Hanif dan Datin Sumayyah, Najah yang ceritakan tentang isu pecah rumah dan dokumen Fathi dicuri. Bermakna mungkin sudah biasa topik tentang Tuan Fathi dibincangkan keluarga ini. Tapi nampaknya, Najah seperti tidak tahu apa-apa tentang Tuan Fathi.

"Kenapa pulak aku nak tahu? Kau tak pernah cerita." Najah jongket kening.

"Maksudnya selain dapat sumber daripada aku, kau tak tahu apa-apa pasal Tuan Fathi?" Soal Irdina. Dia mahu kepastian Najah tahu atau tidak isu Tuan Fathi daripada bapanya.

"Taklah. Nak tahu dari mana lagi? Lepas aku kerja dekat Lilac, nak ambik tahu pasal Fathi pun tak sempat den. Nak korek dari kau apatah lagi. Dalam otak aku, kalau kau nampak Pathi buat benda tak betul, kau carilah aku. Tapi sampai ke sudah kau tak cari pun aku means semuanya masih baik-baik lah." Najah menjawab panjang. Lilac nama klinik tempat kerja Najah.

Terdiam Irdina dengar jawapan panjang Najah. Nampaknya Najah tidak pernah berbual tentang Tuan Fathi di depan ayahnya. Ayahnya juga begitu. Bermakna isu Tuan Fathi, isu kerjasama palsu antara Irdina dan Dato' Hanif - cuma diketahui Datin Sumayyah. Hebatnya pasangan itu dapat sembunyikan hal ini daripada anak mereka sendiri.

Tak hairan, Dato' Hanif berjaya sembunyikan sisi korupnya daripada isteri dan anaknya bertahun-tahun lamanya, tak mungkinlah isu Tuan Fathi ini tak dapat disembunyikan.

Memikirkan itulah buat Irdina rasa kasihan pada Najah. Kalaulah Najah tahu kelakuan sebenar bapanya, apa reaksi Najah?

"Jadi, kau tak jawab lagi soalan aku." Najah menuntut jawapan bagi soalannya awal tadi.

"Soalan yang mana?" Irdina bingung sedikit sebab dia mengelamun jauh.

"Lah kau, aku baru tanya dua minit lepas takkan kau dah lupa. Kerja dengan Pathi terus cepat nyanyuk ea."

"Isy." Irdina berkerut.

Najah ketawa lihat wajah Irdina. "Soalan aku pasal syarikat bankrap tulah." Najah ulang soalannya.

"Oh yang itu." Irdina baru mengerti.

"Haa."

Irdina diam sebentar. Dia kemudian senyum kecil. "Pengarah syarikat itu buat jenayah, sebab itu mereka dipenjara." Irdina jelaskan serba ringkas.

Najah berfikir sejenak. "Betul-betul buat jenayah?" Soalnya.

Irdina mengangguk. "Ya, betul-betul buat jenayah. Aku dah periksa semua syarikat yang Tuan Fathi selamatkan. Memang semua berkait jenayah."

"Selamatkan?" Najah agak janggal dengar istilah itu. Sebelum ini dia dan Irdina guna perkataan Fathi rampas syarikat, sekarang Irdina menyebutnya sebagai selamatkan syarikat.

Irdina mengangguk. Senyum nipis.

Najah diam sejenak. Dia nampak berfikir panjang.

"Aku tak sangka wujud orang macam tu." Najah komen selepas lama diam.

"Aku pun." Irdina senyum sendiri.

"Selamatkan syarikat yang ada isu jenayah? Macam dalam filem."

"Itulah." Irdina tertawa kecil.

"Happy betul kau cerita pasal bos kau." Najah tegur bila Irdina sejak tadi senyum dan ketawa bila mereka berbual tentang Fathi.

Irdina surutkan tawanya. "Aku happy dengan kerja Tuan Fathi." Ujarnya.

"Iya? Bukan 'aku happy bila kerja dengan Tuan Fathi' ke? Macam salah je ayat kau. Muka kau tu bercahaya 400 watt bila cerita pasal Fathi."

"Mana ada."

"Iye ler." Najah mencebik.

"Aku happy ada orang macam Tuan Fathi. Yang selamatkan orang-orang tak bersalah dalam syarikat yang ada jenayah." Irdina jelaskan.

Najah mencemikkan wajah. "Semangatnya jelaskan. Selalunya orang yang bersemangat ni sebab betul."

"Najahh..."

"Yalah, untunglah dapat bos muda. Dari tadi sebut Tuan Fathi Tuan Fathi. Tak tinggal 'tuan' dia."

"Aku memang panggil bos aku 'tuan' tak kira tua ke muda. Dahlah, malas cakap dengan kau." Irdina melangkah keluar dari celah kabinet.

"Aku tertanya-tanya jugak macam mana muka Fathi. Harapnya boleh jumpa one day." Najah pun keluar dari celah kabinet. Mengekori Irdina.

"Untuk apa tahu muka dia?" Irdina kurang mengerti.

"Eh, bunyi macam jeles."

Irdina buat muka. Padahal dia cuma tidak faham kenapa Najah mahu tengok wajah Tuan Fathi. Apa kepentingannya.

"Kenalah tengok. Kut ada iras kau. Boleh jadi jodoh."

"Hah..."

Sedang mereka berbalas kata, tiba-tiba mereka terserempak dengan Datin Sumayyah yang baru sahaja hendak masuk ke dapur. Di lift kelihatan Dato' Hanif baru sahaja keluar dari ruangan itu.

"Eh, Irdina... Najah kenapa tak beritahu Irdina dah sampai?" Datin Sumayyah rupa-rupanya tidak tahu pun Irdina sudah sampai.

Irdina menyalami wanita itu. Senyum kecil. Berpandangan dengan Dato' Hanif, dato' senyum padanya. Dia balas sahaja ringkas.

"Saja tak bagitahu awal-awal. Nanti mama culik dia. Dahlah Najah dah lama tak jumpa Dina." Najah beritahu alasannya. Dia sudah menarik kerusi meja makan untuk duduk.

"Isy, ada patut. Mama papa tunggulah bila Irdina nak sampai. Lia pun sepakat ya tak bagi tahu Irdina dah sampai?" Lia yang berdiri di tepi meja ditegur.

"Maaf, datin. Cik Najah tak izinkan saya beritahu." Lia segera meminta maaf dengan serba salah. Padahal dia memang sendiri sengaja biarkan Irdina dan Najah berbual berdua dahulu tanpa Dato' Hanif mahupun Datin Sumayyah.

"Tak apalah, dear. Ini Irdina dah sampai. Jom kita makan dulu. Irdina bawa apa?" Dato' Hanif menyampuk sebelum isterinya menyuarakan lagi rasa tidak puas hati.

"Saya bawak cupcake, uncle. Jemputlah makan, auntie, uncle." Irdina menjemput semua makan buah tangan yang dia bawa.

Mereka sama-sama duduk di meja makan. Irdina bercerita tentang cupcake epal yang dia bawa. Semua ketawa sepertinya tiada apa hendak dirisaukan. Seolah-olah tiada isu korupsi yang melanda balik tabir keluarga ini. Kalaulah sebenarnya korupsi tidak mengotori dunia ini.

.
.
.

Irdina duduk menyendiri di landskap sebelah rumah Najah ini. Ada kolam ikan bersama air terjun buatan di sini. Najah ke tandas jadi dia memilih untuk berjalan-jalan sekitar rumah ini. Irdina menaiki jambatan kayu buatan dan dapat melihat ikan berwarna oren berenang dalam air. Dia rasa teruja sedikit kerana jarang dia punya waktu melihat ikan-ikan berenang begitu. Irdina mengambil gambar melalui telefonnya.

Ketika Irdina melihat ikan-ikan, ada mesej muncul di notifikasinya. Irdina membuka mesej itu segera bila mendapati ianya daripada Puan Leila. Irdina senyum sedikit mendapat mesej wanita itu. Sudah rindu padahal baru semalam jumpa.

Irdina okey tak tu?
Fathi tanya

Irdina fikir Puan Leila sendiri berminat untuk mengetahui keadaannya, rupa-rupanya Tuan Fathi yang bertanya. Kenapa Tuan Fathi tak tanya sendiri dia melalui mesej? Mungkin kerana sekarang hari cuti, Tuan Fathi tak mahu berhubung dengannya? Irdina tidak pasti.

Irdina menghantar gambar kolam ikan yang ada ikan-ikan kepada Puan Leila.

Okey Alhamdulillah, auntie
Dina tengah tengok ikan
Comel kan ikan

Irdina menongkat dagu menunggu jawapan Puan Leila. Puan Leila sedang menaip sesuatu.

Comell
Yang ambil gambar pun comel 😘

Irdina senyum kecil baca mesej itu. Dia kemudian tertawa. Jarang dia rasa pipi hangat baca mesej Puan Leila.

"Irdina..."

Suara Dato' Hanif mematikan rasa pipi hangat Irdina. Irdina menoleh pada Dato' Hanif yang berdiri di hujung jambatan. Irdina segera menggelapkan telefonnya.

"Uncle..." Sapa Irdina. Dia menyorok telefonnya di balik tubuh.

"Senyum-senyum tu kenapa? Mesej boyfriend ke?" Dato' Hanif sengaja menyakat, menghampiri Irdina yang berdiri di tengah-tengah jambatan kayu.

"Taklah. Mesej kawan." Irdina menidakkan dengan senyum kelat.

"Irdina tak ada boyfriend ke? Rugilah umur macam Irdina belum ada boyfriend." Dato' Hanif rehatkan lengan di pagar jambatan. Melihat landskap rumahnya. Jarang dia duduk di sini. Ada Irdina ini barulah dia tiba-tiba berdiri di tengah jambatan yang cuma jadi tempat jejak kakinya setahun sekali.

"Di sisi islam, tiada istilah boyfriend, uncle. Yang ada cuma bakal suami dan suami. Bakal suami pun, harus jaga batasnya." Irdina jawab di luar jangkaan Dato' Hanif.

Dato' Hanif spontan ketawa mendengarnya.

Irdina rasa aneh bila Dato' Hanif ketawa.

"Baguslah Irdina ni. Ciri-ciri isteri solehah." Dato' Hanif surutkan tawanya.

Irdina senyum kelat. Janggal mendengarnya.

"Uncle kata, ada nak beritahu saya sesuatu..." Irdina pantas ke tujuan utama pertemuannya dengan Dato' Hanif hari ini.

Dato' Hanif berdehem bila Irdina masuk ke isu kerja. Dia baru nak bergurau senda dengan Irdina selepas begitu lama tak berjumpa. Bukan selalu dia dapat lihat Irdina senyum dan ketawa di sisinya. Sebentar tadi bila lihat Irdina senyum-senyum berbalas mesej, terbit juga rasa tercabar. Kenapa Irdina tidak senyum begitu bila berada di sisinya?

"Uncle cuma nak tahu," Dato' Hanif hela nafas.

"Berapa lama kontrak Irdina dengan Fathi?" Soal Dato' Hanif serius.

Irdina diam mendapat soalan itu. Dia berfikir sendiri. Dia harus jawab jujur atau dia perlu berbohong?

"Saya pun tak pasti lagi, uncle." Irdina memilih untuk tidak jujur.

"Hmm. Sepatutnya Fathi adakan kontrak berapa bulan dengan kamu, kan? Tak patut dia ambil kamu bekerja tanpa kontrak bertempoh. Itu majikan tak guna namanya."

Irdina tidak senang mendengar perkataan akhir itu. Dia segera mengawal riak wajahnya.

"Kenapa uncle nak tahu?" Irdina bertanya tujuan.

"Macam ni..." Dato' Hanif hadapkan badannya pada Irdina. Irdina jadi janggal sedikit, dia perlahan menjarakkan sedikit tubuhnya.

"Uncle fikir nak buat kontrak dengan Irdina untuk kerjasama kita ini. Kontrak ini juga jadi penyelamat Irdina bila kita dah berjaya jatuhkan Fathi nanti. Bila syarikat Fathi jatuh, Irdina automatik kerja dengan uncle." Dato' Hanif sudah memikirkan masa depan Irdina nampaknya.

Irdina terdiam mendengar cadangan itu. Dia tak sangka sebegitu serius Dato' Hanif mahu bekerjasama dengannya. Dia pun tak sangka dia masih belum gagal membuatkan Dato' Hanif percayakannya.

"Maksudnya, kontrak hitam putih, uncle?"

"Ya, mestilah. Uncle risau dengan Irdina. Kedudukan Irdina tak kukuh bila duduk dengan Fathi. Dengan keadaannya yang korup, bila-bila masa sahaja dia boleh jatuh atau ditangkap. Sedangkan Dina tak bersalah."

Irdina mahu tersenyum lucu mendengar ucapan Dato' Hanif tapi dia berjaya sembunyikannya. Ayat itu kedengaran kelakar baginya.

"Saya rasa boleh juga macam tu." Irdina membalas kemudiannya.

"Ya? Dina setuju?" Dato' Hanif tak sangka Irdina bersetuju dengan perancangannya.

Irdina senyum kecil. "Apa salahnya, uncle? Dengan kontrak itu kedudukan saya lebih selamat. Saya pun rasa tak selamat bekerja dengan Fathi." Begitu serba salahnya Irdina menyebut ayat terakhir ini.

"Iya? Syukurlah Dina setuju. Uncle happy dengar." Dato' Hanif sangat gembira mendengarnya.

"Tapi, uncle... Kontrak itu bukan dalam masa terdekat. Saya akan lihat situasi dahulu. Jika sesuai, barulah kita boleh lakukannya. Kita perlu berhati-hati dengan Fathi." Irdina bersuara kemudiannya. Dalam kepalanya sudah merencana berbagai perkara. Baginya, kontrak ini sebenarnya satu perangkap besar untuk Dato' Hanif. Dia akan mesyuaratkan hal ini dengan Tuan Fathi nanti.

"Tak apa. Uncle dah bersyukur Dina setuju nak kerja dengan uncle. Uncle harap Dina boleh bantu uncle dalam dunia korporat ini." Dato' Hanif memegang tangan Irdina.

Irdina terkejut disentuh begitu, terus menarik tangan dari pegangan Dato' Hanif. Dato' Hanif pamerkan wajah agak bingung.

"Kenapa, Irdina?" Dato' Hanif tegakkan tubuh langsung merapati Irdina. Risau tiba-tiba Irdina berwajah pucat begitu.

Irdina menjarakkan diri daripada Dato' Hanif. Dia tak sangka Dato' Hanif berani memegang tangannya. Bila dia menjarakkan diri, Dato' Hanif semakin merapatinya.

"Uncle... Saya tak..."

"Irdina..." Dato' Hanif tiba-tiba memegang dua lengan Irdina. Mahu meluahkan sesuatu.

Irdina semakin terkejut langsung menarik dua lengannya kuat namun Dato' Hanif lebih kuat memegang lengannya. Irdina tertarik mendekati Dato' Hanif namun dia terus berundur. Tanpa sedar, air matanya sudah terbit. Tubuh juga menggeletar.

"Irdina... Irdina kenapa ni? Kan saya dah cakap, saya anggap Dina macam anak saya." Dato' Hanif mencengkam lengan Irdina. Bersungguh dia mahu Irdina menatap matanya. Namun sekilas pun Irdina tidak memandangnya.

"Dato', lepaskan saya. Tak patut dato' buat macam ni." Irdina terketar bersuara. Dia masih berusaha menarik lengannya. Rasa jijik bagai melukut di seluruh badannya. Dia tidak sukakan situasi ini.

"Kenapa panggil Dato'? Irdina tak suka saya?"

"Tolong jangan buat macam ini. Kalau tak, saya akan tarik balik kerjasama dengan dato'." Irdina masih bersuara dengan nada baik. Biarpun suara sudah bergetar dengan tubuh yang menyejuk dingin, Irdina masih mahu bertindak rasional di rumah sahabatnya sendiri.

Serta-merta Dato' Hanif lepaskan lengan Irdina. Mungkin takut bila diugut begitu.

Irdina terundur ke belakang. Gugur air matanya. Dia memegang pagar jambatan. Nafasnya turun naik. Dia kemudian menatap tajam Dato' Hanif.

"Takkan saya pegang sikit tu je Dina dah tak izinkan? Sikit je kan." Dato' Hanif bersuara.

Irdina mengetap bibir dalam mendengarnya. Tangannya menggeletar digenggam.

"Kalau sikit macam tu pun tak boleh, macam mana..."

"Tak perlu cakap apa-apa, dato'. Saya nak balik dulu." Irdina bersuara tegas. Sedangkan jels suara itu terketar halus. Air matanya juga sudah berguguran.

Dato' Hanif terdiam. Merenung Irdina lama-lama. Tidak menjawab kata-kata Irdina.

Irdina mengutip telefonnya yang jatuh ke jambatan kayu. Terketar satu badannya. Tika ini dia tahu, jika dia disentuh lagi sekali, dia tidak akan teragak-agak menampar wajah orang paling hampir dengannya. Dia cuma mahu pulang.

Dia tegakkan tubuh dan menoleh untuk pulang, namun lengannya dipegang dari belakang. Dato' Hanif menahannya dari berlalu pergi.

"Irdina dengar I nak cakap apa..."

Irdina tidak menunggu lama, memusingkan tubuhnya menghadap Dato' Hanif. Seluruh amarahnya terkumpul di tangannya.

Tangan yang berisi kemarahan itu langsung naik menampar pijar wajah Dato' Hanif yang sedang memegang lengannya. Terteleng wajah orang tua itu. Dato' Hanif terbeliak mata. Terkedu. Lengan Irdina dilepaskan.

Irdina terketar-ketar tangan, air mata sudah melimpah turun. Dia tidak mampu berfikir rasional lagi. Segala rasa jijik dan mual yang dia simpan selama dia berpura-pura di hadapan Dato' terhambur keluar dalam satu tamparan sulung yang dia belum pernah berikan kepada sesiapa. Dapat dibayangkan betapa kuatnya tamparan penuh jijik itu.

Irdina beredar dari situ tanpa sebarang kata. Dia terlalu jijik untuk berada di situ. Dia tahu jika dia terus berada di situ, dia akan menangis bagai orang tiada pedoman. Hanya Allah tahu betapa lemahnya dia sekarang untuk berjalan apatah lagi berbuat hal lain. Jadi dia harus beredar sebelum dilihat lemah di hadapan Dato' Hanif.

Irdina mengambil tas tangannya. Seluruh tubuhnya terketar tanpa dapat dikawal. Irdina harap dia tidak bertembung sesiapa. Dia bergegas ke muka pintu rumah. Irdina pulang dari rumah ini tanpa memberitahu Najah mahu pun Datin Sumayyah.

.
.
.

Puan Leila baru siap mengisar bawang bagi makan tengahari hari ini. Dia berniat untuk memasak ayam paprik sahaja untuk dia dan anaknya. Hari cuti begini Fathi tak begitu suka makan berat, lauk juga tidak banyak. Puan Leila gemar masak satu lauk sahaja dimakan bersama nasi.

Puan Leila memasang kaset bacaan Quran sambil memasak. Tidaklah dia rasa sunyi. Selalunya waktu begini jika hari kerja, Irdina akan turun membantunya. Mengingati Irdina buat dia senyum sendiri. Teringat mesej Irdina tadi. Comel betul Irdina.

Puan Leila keluar ke dapur kering untuk mengambil bahan di kabinet. Ketika di dapur kering ini, Puan Leila mendengar enjin kenderaan di luar rumah. Sayup-sayup sahaja tapi memandangkan kawasan ruang tamu bergabung dapur kering ini cukup sunyi, dia jadi dengar bunyi asing itu.

Puan Leila terfikir siapa pula yang datang hari cuti begini di rumahnya. Selalunya hari ini, tiada mana-mana pekerja Fathi datang ke rumah. Rumah ini ditutup daripada sesiapa pun. Cuma pagi tadi sahaja kumpulan pembersih datang membuat pembersihan. Jam sebelas begitu mereka pulang.

Puan Leila menutup kabinet. Tidak jadi mengambil barang yang mahu dia ambil tadi. Dia bergerak ke laluan menuju pintu utama rumah. Mahu mengintai cermin di sisi pintu. Di situ dia dapat lihat kenderaan yang terparkir di perkarangan rumah.

Puan Leila dapat lihat kenderaan berwarna hitam yang sangatlah familiar. Dahinya berkeru bila mendapati itu kenderaan Irdina. Enjin masih hidup. Namun tidak kelihatan pula Irdina keluar.

Puan Leila jadi risau melihatnya. Dia bergegas masuk ke dalam kembali untuk mengambil tudung. Dia mahu keluar melihat Irdina jika benar Irdina ada dalam kenderaan tersebut. Hati keibuannya rasa tidak enak. Berdegup kencang.

"Ibu..."

Tersentak teruk Puan Leila bila disapa begitu secara tiba-tiba. Puan Leila yang sedang mengemaskan tudung langsung dapat melihat Fathi baru sahaja keluar dari laluan lift. Fathi aneh melihat ibunya bertudung seperti mahu keluar.

"Ibu nak..."

"Fathi! Sini cepat!" Puan Leila laju memanggil anaknya itu. Tidak sempat Fathi menghabiskan ayatnya.

"Kenapa, ibu?" Fathi risau melihatnya. Menghampiri ibunya.

"Kereta Irdina ada dekat luar. Enjin hidup tapi tak nampak pulak Irdina keluar. Ibu risau. Kenapa tiba-tiba Irdina datang sini lepas pergi rumah Hanif?" Puan Leila langsung menyatakan keseluruhan cerita. Wajahnya beriak risau teramat.

Berubah wajah Fathi mendengarnya. Dia langsung bergerak ke pintu rumah, Puan Leila mengekorinya. Benar kata ibu, kereta Irdina ada di luar. Fathi langsung membuka pintu rumah. Dia keluar dahulu dari rumah, menyarung selipar. Puan Leila menyusul menyarung selipar juga.

Baru sahaja mereka hendak mendekati kenderaan Irdina, pintu bahagian pemandu dahulu terbuka. Terkejut Puan Leila melihatnya.

Muncul dari celah pintu itu, Irdina berwajah kusam dan pucat seperti baru selepas menangis tidak henti. Lembik seluruh badan Irdina. Seperti bila-bila masa sahaja akan rebah.

Puan Leila tergamam melihat keadaan Irdina. Fathi juga tidak menjangka situasi itu.

"Irdina... Ya Allah." Puan Leila terlalu terkelu melihat Irdina. Dia menghampiri Irdina dengan air mata sudah bertakung. Didakap langsung Irdina biarpun dia tidak tahu apa yang Irdina telah hadapi sehingga begini keadaan Irdina.

Irdina pula seperti patung kosong. Sejak tadi dia memandu tanpa dapat berfikir apa-apa. Kali pertama dia punya serangan panik sebegitu. Tubuhnya menggeletar dan tangannya juga menggigil sejuk tapi dia tetap memandu seperti orang tidak beremosi. Air mata tumpah tanpa henti. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan dirinya. Dia seperti teringat-ingat tentang Tuan Mustakim dan segala cerita yang pernah dijaja bekas majikannya itu. Dia seperti trauma bila mengingatkan semua itu.

"Ya Allah, kenapa ni, sayang?" Puan Leila pula menangis melihat Irdina. Diusap wajah Irdina yang kusam itu. Begitu lemah sekali keadaan Irdina. Sehingga tiada emosi langsung terbias di wajah Irdina. Kali pertama Puan Leila melihat Irdina begini.

Irdina seperti baru tersedar bila mendengar suara Puan Leila. Dia langsung menatap Puan Leila. Ketika itu barulah ternampak perubahan riak wajahnya. Air matanya bertakung serta-merta.

"Auntie..." Irdina bersuara perlahan. Menitik-nitik air matanya.

Puan Leila menangis melihatnya. Langsung kembali mendakap Irdina.

"Auntie..." Irdina mengerdipkan mata. Air matanya tumpah murah. Seperti botol kaca yang baru dipecahkan, Irdina terus teresak-esak di bahu Puan Leila. Meluahkan segala rasa takut yang dia rasa ketika berhadapan Dato' Hanif tadi. Dia mengenggam kuat baju Puan Leila. Seperti meminta perlindungan. Terketar-ketar badannya.

"Ya Allah..." Puan Leila menangis teresak juga mendengar tangisan Irdina. Tangisan Irdina kali ini lebih menyayat hati daripada sewaktu Irdina menangis selepas mengetahui tentang Mustakim.

Irdina tidak mampu berdiri. Dia langsung terduduk, Puan Leila ikut sama terduduk. Irdina menangis ketakutan. Tidak memikirkan apa-apa lagi. Dia cuma menangis. Padahal dia tidak mahu pun menangis. Dia tidak dapat mengawal dirinya.

Puan Leila berusaha memujuk Irdina. Sedangkan dia sendiri sudah menangis. Entah apa yang berlaku sehingga gadis tidak bersalah ini menangis sebegini rupa. Dia dapat rasakan getaran tubuh Irdina menandakan Irdina sangat takut. Dia harap Hanif tidak lakukan sesuatu yang buruk kepada Irdina.

Fathi menatap lama apa yang terpampang di hadapannya. Nafas dihela langsung mata terpejam.

Sepertinya ada rancangan yang bakal berubah. Berkait seorang korporat bernama Hanif bin Jusoh.

.
.
.


Hmmmm

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro