Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Keluar dari tandas, Naaila terus mencari susuk tegap Sirhan. Tak nampak di meja makan mereka tadi, dia keluar dari kafe. Menuju ke kawasan parkir kereta sebelum langkah kakinya terhenti bila melihat Sirhan sedang bercakap dengan seorang wanita yang kira-kira berusia separuh abad tidak jauh dari kereta Sirhan.

Namun bukan itu yang buatkan langkah dia termati, tapi riak wajah Sirhan. Riak Sirhan yang ketika ini tampak begitu tegang dan bengis. Hinggakan kulit wajah Sirhan yang putih menjadi merah padam. Seolah-olah sedang menahan marah yang bukan kepalang.

Pandang si wanita tua namun masih anggun dan bergaya itu. Dahi Naaila tak semena-mena jadi berkerut seribu. Bertentangan dengan riak Sirhan, riak wajah wanita yang tidak dikenalinya itu seolah-olah menyinis. Lagi-lagi dengan senyuman yang tersungging di bibir merahnya. Jelas kelihatan sinis.

Rasa tak sedap hati, Naaila segera mendekati Sirhan. Namun langkahnya sekali lagi mati bila Sirhan tiba-tiba menjerkah kuat. Hinggakan bahu dia terangkat mendengar jerkahan bosnya itu. Terkejut kerana ini kali pertama dia dengar Sirhan menjerkah seseorang. Lagi-lagi orang tua.

Ketap bibir, Naaila jadi teragak-agak mahu mendekati Sirhan. Mujur ketika ini tiada siapa yang melihat pergaduhan Sirhan dan wanita itu. Kecuali dia seorang saja. Kesudahannya dia sekadar menjadi pemerhati walaupun hati meronta-ronta ingin tahu apa yang sedang berlaku. Apa yang menjadi penyebab Sirhan tiba-tiba menjerkah wanita itu?






"SIRHAN..."

Dengar namanya dipanggil seseorang, Sirhan segera balikkan tubuhnya ke belakang. Semedan riak wajahnya berubah bila melihat seraut wajah seorang wanita yang dia sangat kenali.

"Datin nak apa?" soal Sirhan senada. Wajah tidak beriak ditayang. Langsung tidak menduga yang dia akan terserempak dengan wanita itu di kawasan ini

"Nak jumpa anak sendiri. Tak boleh ke?" soal wanita itu.

Sirhan senyum sinis sebelum dia lepas gelak. "Anak? Anak yang Datin buang sebab lelaki lain? Itu ke maksud anak bagi Datin?" sinis Sirhan menyoal.

Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. Anak mata tajam memandang wanita yang bergelar ibunya itu, Datin Jania.

Datin Jania ketap bibir. Pandangan tajam Sirhan dibalas. Hati mendongkol geram. Namun disabarkan hati bila dia ingatkan diri tentang niatnya mahu berjumpa dengan anak lelaki tunggalnya.

"Sir sihat? Papa sihat?" tanya Datin Jania dengan wajah yang dimaniskan.

Sekali lagi Sirhan senyum sinis. Dia geleng kepala. Menyampah dengan sikap pura-pura Datin Jania. Dia yakin ada sebab kenapa Datin Jania boleh muncul di hadapan dia secara tiba-tiba. Jika tidak jangan harap wanita itu akan muncul depan dia.

"Kenapa Datin nak tahu? Keadaan saya dengan Datuk ada kaitan dengan Datin ke?" perkataan Datuk sengaja ditekan keras.

Mahu mengingatkan Datin Jania kenapa wanita itu meninggalkan dia dan papanya dulu. Mahu menyedarkan Datin Jania tak semudah itu dia dapat lupakan apa yang wanita itu pernah buat dulu.

"Salah ke kalau mama nak tahu tentang anak mama? Kamu anak kandung mama juga. Bukan papa saja."

Sirhan berdecit sinis. Dia gelak. "Tiba-tiba? Dah terlambat, Datin Jania. Lebih baik Datin balik saja. Saya tak ada masa nak layan Datin."

Sirhan balikkan tubuh mahu berlalu. Namun langkah disekat Datin Jania yang melelar tangannya. Rentap tangannya, Sirhan pandang wanita itu tajam. Dia mendengus kasar.

"Jangan sentuh saya. Saya tak nak tangan Datin kotor pula sentuh tangan anak orang miskin macam saya," kata Sirhan sinis.

Tersentap, Datin Jania mendengus kecil. Dia turut memandang Sirhan tajam.

"Kurang ajar kamu dengan mama, kan? Mama ni masih mama kandung kamu! Oh? Ni yang Solehin ajar kamu selama ini? Jadi anak kurang ajar dengan ibu kandung kamu sendiri?" berang Datin Jania menyoal.

Tidak mampu bersabar lagi bila Sirhan asyik menyindir dan menghentamnya. Dia datang dengan cara yang baik, layanan teruk seperti ini pula yang dia dapat.

Gelak sinis, Sirhan dekati Datin Jania setapak. "Kesalahan Datin jangan nak hambur pada papa saya. Ibu kandung? Sejak bila Datin anggap yang saya ni anak kandung Datin? Bukan ke dulu Datin juga yang kata saya ni anak lelaki miskin? Tak layak jadi anak orang berpangkat macam Datin? Lupa?"

Sirhan terus menghentam Datin Jania. Geli hati bila Datin Jania menjilat ludah sendiri. Dia senyum sinis bila wajah Datin Jania bertukar merah padam.

Tangan dikepal jadi penumbuk. Hati Datin Jania rasa terbakar mendengar setiap kata-kata Sirhan. Berang bila anaknya tak habis-habis mengungkit kesalahan lama dia. Tak habis-habis menyindir dia sedari tadi.

"Kamu jangan nak kurang ajar dengan mama, Sirhan. Mama masih mama kandung kamu. Oh, sekarang kamu dengan Solehin dah kaya. Kamu nak sombong dengan mama? Huh! Entah-entah kekayaan Solehin tu dari duit haram! Sebab tu kamu kurang ajar sangat dengan mama!" cemuh Datin Jania marah.

"Datin Jania!" Melantun tinggi suara Sirhan. Berang mendengar tuduhan yang dilemparkan pada papanya. Sementelah selama ini dia sendiri melihat bagaimana papa dia bersusah payah membangunkan syarikat mereka.

Datin Jania senyum sinis. Dia berpeluk tubuh. Sirhan yang menggigil menahan marah dipandang sinis.

"Huh! Aku nak tengok juga selama mana syarikat kau dengan papa kau tu akan bertahan. Entah-entah tak lama lagi syarikat terus tersungkur dan bankrap. Masa tu jangan kau dengan dia melutut dekat kaki aku pula. Aku takkan layan," kata Datin Jania penuh angkuh.

Sirhan semakin berang. Dia mahu menjerkah Datin Jania sekali lagi. Namun sebaik ekor matanya terpandangkan Naaila, niatnya itu terpaksa dibantutkan. Rahang diketap kuat. Datin Jania dipandang tajam.

"Daripada Datin risaukan syarikat kami, lebih baik Datin risaukan syarikat suami Datin sendiri. Saya dengar syarikat suami Datin ada masalah kewangan sekarang. Saya agak sebab itulah Datin tiba-tiba muncul depan saya hari ini. Jangan Datin pula yang melutut dekat kaki papa saya lepas ni. Saya pergi dulu."

Kaki diangkat meninggalkan Datin Jania. Sempat Sirhan tersenyum sinis sebelum meninggalkan wanita itu. Dia mendapatkan Naaila yang kelihatan tersentak.

"Naaila."

"Tuan..." Naaila garu belakang kepala yang tidak gatal. Tidak tahu bagaimana dia perlu bereaksi.

"Kita balik. Waktu lunch dah nak habis," ujar Sirhan datar sebelum meninggalkan Naaila.

Naaila segera mengikut. Namun dia sempat berpaling ke belakang untuk melihat wanita tadi. Segera dia paling kepala ke depan semula bila wanita itu memandang dia tajam. Belakang tubuh tegap Sirhan dipandang dengan pelbagai soalan yang bermain di dalam benaknya.






DAHI Naaila berkerut apabila kereta Sirhan berhenti di hadapan Maju Holding dan bukannya di kawasan parkir khas yang disediakan untuk Sirhan. Cabut tali pinggang, lambat-lambat Naaila pandang Sirhan.

Raut wajah lelaki itu masih sama seperti tadi. Tegang dan dingin. Langsung tiada seulas senyuman yang terukir di bibir Sirhan. Buatkan dia terpaksa mengunci mulut sepanjang perjalanan balik ke Maju Holding.

"Tuan tak masuk pejabat ke?" Naaila menyoal perlahan.

"Tak. I takkan masuk kerja dua hari ni. Tangguhkan semua miting I." Sirhan jawab tanpa memandang Naaila.

"Miting tuan dekat Melaka pun?"

"I akan inform you nanti."

Lama mereka berdua mendiamkan diri sebelum Naaila perlahan-lahan membuka pintu kereta. Lolos keluar, Naaila katup pintu kereta sebelum kereta itu dipandu Sirhan pergi.

Hela nafas perlahan, Naaila balikkan tubuh. Dia melangkah masuk ke dalam Maju Holding. Kepala masih sesak dengan persoalan tentang Sirhan dan wanita tadi. Namun dia tidak berani untuk bertanya kerana itu hal peribadi bosnya. Tak patut dia masuk campur. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro