❣ Bab 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

YANNIS sengih. Dia tahu Hayyan pasti rimas dengan sikapnya. Tapi, kisah apa dia? Lagi dia suka ada lah.

Yannis melihat gambar profil WhatsApp milik Hayyan. Tanpa sedar, bibir merekah senyuman.

Jarinya mengusap-usap gambar tersebut seolah-olah dia sedang mengusap wajah tampan Hayyan.

"Handsome! Tapi sayang, muka batu betul."

Diya yang sedang menonton televisyen menoleh. Serasa dia, tadi Yannis ada bercakap sesuatu. Tapi, Diya tak pasti sama ada Yannis bercakap dengan dia atau bukan.

"Hoi!" sergah Diya. Disiku lengan Yannis di sebelah.

"Kau dah kenapa bercakap sorang-sorang?" sambung Diya lagi bila Yannis seperti tak dengar apa yang dia kata.

Melompat Yannis, terkejut bila Diya tiba-tiba menyergah dia.

Segera butang power ditekan untuk menggelapkan skrin. Bimbang kalau-kalau Diya perasan yang Yannis sedang merenung gambar Hayyan.

"Kau cakap apa tadi, Diya? Aku tak dengar." Yannis cuba cover line.

Diya putar bola mata ke atas. Satu sikap Yannis yang memang tak pernah berubah sejak zaman sekolah, Yannis suka ubah topik bila Yannis malu.

"Macam mana kau nak dengar kalau kau ralit sangat dengan telefon kau tu. Aku tanya, kau kenapa bercakap sorang-sorang? Tak siuman ke?"

Meluas mulut Yannis ternganga. Sedap rasa je Diya kutuk-kutuk dia depan-depan.

"Ewah mulut kau... Tak ada insurans betul!" perli Yannis.

"Kau ni pun satu... Nak kata bengap, pandai je. SPM dapat straight A's lagi. Degree dulu pun dean list. Tapi, lembab!"

Diya masih selamba mengutuk Yannis. Langsung tak dihirau muka Yannis yang macam nak telan dia tu.

"Kau cakap aku lembab?"

Mencerlung Yannis memandang Diya. Amboi, tak sayang mulut betul si Diya ni!

"Ya, lembab! Mana ada insurans mulut dekat dunia ni. Kalau ada, dah lama aku buat lah. Biar semua mak cik-mak cik bawang dekat dunia ni kena saman." Diya meloyar buruk.

Yannis berdecit. Macam lah Diya tu bukan kategori mak cik bawang. Mulut Diya ni lagi kepohci dari mak cik-mak cik bawang dekat kampung mereka tu.

Kalau bergosip, laju je mulut Diya nak bercerita itu ini, macam bertih jagung. Pot pet pot pet!

"Ha ha ha." Yannis berpura-pura ketawa.

Dipandang muka Diya dengan wajah toya.

"Hambar," sambung Yannis.

"Dah kalau hambar, kenapa kau gelak? Memang sahih lah Yannis, otak kau ni dah tak berapa nak center."

"Diya!" jerit Yannis, geram.

Diya gelak kuat. Cepat-cepat dia bangun dari kerusi dan berlari ke bilik tidurnya. Bukan dia tak nampak jari Yannis yang membengkok sebab nak cubit dia tu.

"Diya, kau sini! Hesy, geramnya aku dengan kau ni. Diya Zulaika binti Darius! Sini kau!"

Bergema rumah teres setingkat tu dengan suara garang Yannis. Diya pula langsung tak kisah dengan amarah Yannis. Makin dia gelak ada lah!

"Uish, anak dara apa jerit-jerit macam tu! Mak mertua reject nanti," jawab Diya dari dalan bilik.

Menunduk Diya ketawa sambil memegang perut. Pintu yang diketuk bertalu-talu dari luar diabaikan. Biarkan. Biarkan pengacara meletop tu meroyan sorang-sorang.

"Diya! Kau buka pintu ni sekarang!" arah Yannis, berang.

Tak henti-henti Yannis mengetuk pintu bilik Diya. Walaupun sakit, digagahkan juga tangan kecil dia untuk mengetuk pintu bilik Diya yang berwarna putih.

"Tak nak," balas Diya dengan nada mengejek.

Diya bersantai di atas katil. Novel di tangan dibaca. Layan novel lagi bagus. Boleh berangan ada Mat Romeo pinang dia atas Gunung Fuji.

---------

"HAI, cik adik manis! Lawa-lawa ni nak pergi dating ke?" usik Diya.

Pagi itu, Diya sedang bersarapan di kaunter dapur. Sengaja dia mengusik Yannis yang baru keluar dari bilik.

Yannis jeling. Nasib lah dapat member kuat mengusik ni. Hari-hari makan hati. Tapi, dia tak hairan. Kalau tak ada Diya, sunyi lah rumah teres setingkat dia ni.

"Malas aku layan kau," tutur Yannis. Langsung dia tak pandang muka Diya.

Diya gelak. Eleh, malas nak layan dia konon. Nanti ada apa-apa, Yannis mesti cari dia. Sebab apa? Sebab Diya Zulaikha ni kaunselor tak berbayar untuk Yannis.

"Malas sudah. Ada aku kisah ke kau nak layan aku ke tak? Me is okay, babe."

Jem berperisa coklat mentega kacang Diya sapu pada dua keping roti yang berada di atas piring.

Tiba-tiba pergerakan Diya terhenti apabila dia teringatkan sesuatu. Lantas Yannis yang sedang menggigit roti sambil bermain telefon di kerusi sebelah dipandang.

"Yannis..." panggil Diya.

"Hmm."

"Aku nak tanya ni." Diya bermukadimah.

Yannis kerut dahi. Dikalih mata dia dari menatap skrin telefon. Muka Diya dipandang.

"Tanya je lah. Sejak bila pula kau pandai minta izin untuk tanya aku ni? Selalunya kau main terjah je."

Diya abaikan perlian daripada Yannis. Roti yang dah disapu jem diambil dan digigit sedikit sebelum dia kembali bersuara.

"Semalam, kau ada jumpa Hayyan Iskandar ke?" Tak berkias, Diya aju soalan.

 Yannis kerut dahi lagi. Dah kenapa pula Diya tanya dia pasal Encik Kutub Ais tu?

"Ya, aku terjumpa dia dekat restoran masa lunch hour. Kenapa kau tanya?"

Diya diam. Berkira-kira sama ada perlu atau tak dia beritahu Yannis pasal berita yang baru dibaca tadi.

"Kenapa kau diam pula ni?" tanya Yannis lagi.

Diya angkat muka dari memandang roti di tangan.

"Yannis, kau tak tahu ke?" Soalan berbalas soalan.

"Tahu? Pasal apa?"

"Gosip kau dengan Hayyan tengah viral dekat social media sekarang ni. Paparazzi semua berlumba-lumba nak update Blog diorang pasal kau dan Hayyan," beritahu Diya tanpa berselindung.

Yannis ternganga. Pa- Paparazzi?!

"Kau biar betul, Diya? Kau yakin ke gosip tu pasal aku? Kot-kot lah orang lain, kan? Hayyan tu kan glamour, mesti lah ramai perempuan yang pernah jumpa dengan dia," ulas Yannis.

Tak mustahil Yannis saja perempuan yang pernah keluar bersama Hayyan. Hayyan tu kacak. Mesti ramai perempuan yang nak berdamping dengan Hayyan.

Bergerak ke kiri dan kanan kepala Diya. Kemudian, dia angguk yakin.

"Tak, Yannis. Aku yakin, memang kau yang ada dalam gambar tu walaupun muka kau nampak separuh je," balas Diya.

Walaupun muka Yannis agak terlindung, Diya tetap yakin perempuan dalam gambar yang tular tu ialah Yannis. Pakaian perempuan yang ada dalam gambar tu sama dengan apa yang Yannis pakai semalam.

Terkunci rapat mulut Yannis nak membalas. Kenapa dia langsung tak perasan, ada reporter yang ikut dia dan Hayyan semalam? Yannis mula rasa kesal.

"Ma- Mana kau baca gosip tu? Aku nak tengok," pinta Yannis.

"Kejap, aku buka Blog tu."

Sambil menunggu Diya mencari laman Blog yang menularkan kisah dia dan Hayyan, Yannis termenung. Agak-agak, Hayyan marah tak sebab dia lah punca gosip ni terjadi?

"Nah!"

Sergahan dari Diya mematikan lamunan Yannis. Disambut telefon Diya yang tertayang di depan muka. Satu persatu perkataan yang terpapar di dada skrin diimbas laju.

--------

"HAYYAN ISKANDAR, PEWARIS VISTA GROUP DAH BERPUNYA?!

Siapa yang tak kenal dengan COO The Grand Vista, kan? Raut wajahnya yang tampan menjadi bualan hangat rakyat Malaysia.

Malah, ramai wanita dan gadis-gadis di Malaysia juga menyimpan angan-angan untuk berdamping dengan anak Dato Mikhael tu.

Tapi, betul ke Hayyan Iskandar masih single and available?

Semalam, Mak Bee ada terima sekeping foto Hayyan Iskandar dan seorang wanita daripada private number.

Nampak macam, pasangan tersebut sedang hangat bergaduh. Apa sebab yang menjadi punca mereka bergaduh, Mak Bee sendiri kurang pasti.

Persoalannya, siapa gerangan wanita yang berani bergaduh dengan Hayyan Iskandar? Dan betulkah seperti yang diperkata umum, wanita tersebut ialah teman wanita COO The Grand Vista?

Kalau betul lah Hayyan Iskandar Dato Mikhael sedang hangat bercinta, pastinya patah seribu hati-hati wanita di luar sana.

Apapun, kita tunggu sahaja komen daripada pihak Hayyan Iskandar."

Yannis menekan foto yang disertakan di bawah artikel tersebut. Foto tersebut dizoom.

Mengecil mata Yannis untuk fokus pada ganbar yang terlayar. Nafasnya dihela lega.

"Nasib baik badan Hayyan tu tinggi. Tak ada lah nampak jelas muka aku ni. Kalau tak, mesti lagi kecoh," ujar Yannis lega.

Diya angguk, bersetuju dengan apa yang Yannis cakap.

"Tapi, kau tetap kena berhati-hati lepas ni. Fans Hayyan tu, bukan boleh jangka sangat apa diorang nak buat. Fanatik sangat," pesan Diya.

"Fans? Teruk sangat ke fans dia tu?"

Yannis curiga. Famous sangat ke Hayyan ni sampai ada peminat?

Kepala Diya jatuh sekali.

"Boleh tahan teruk juga lah. Dulu, ada sekali Hayyan tu pergi mall dengan seorang perempuan. Teruk juga lah perempuan tu kena kecam. Tapi Hayyan marah peminat dia sebab perempuan yang Hayyan keluar tu sebenarnya adik perempuan Hayyan. Bukan girlfriend dia. Dengar cerita, adik Hayyan pun dah tak berani nak keluar berdua dengan Hayyan lepas kejadian tu," cerita Diya panjang lebar.

Membulat mata Yannis dengar cerita Diya. Lain macam betul peminat-peminat Hayyan ni. Kalau nanti mereka kahwin, dia pun akan jadi macam tu juga ke?

Yannis geleng. 'Jangan fikir negatif, Yannis,' pujuk hatinya.

"Mana kau tahu cerita ni?" siasat Yannis.

Diya tayang riak bangga.

"Well, ni kan Diya. Mana pernah terlepas gosip!"

See, kan dah kata si Diya ni kalau pasal gosip laju je dia. Yannis juling mata ke atas.

"Perasan!" cebir Yannis.

Diya gelak. Perasan pun, perasan lah. Janji Yannis gembira.

---------

HAYYAN yang sedang menarik beg bagasi terkejut apabila dia tiba-tiba dikerumi oleh wartawan-wartawan.

Tanpa sedar, Hayyan mengeluh kecil. Ni mesti sebab insiden semalam. Nasib baik lah dia dah bersedia sejak awal dengan soalan-soalan panas yang bakal diajukan.

Semalam, Hayyan terima ribuan komen di laman Instagram miliknya daripada netizen. Semuanya bertanya tentang gosip antara dia dan Yannis.

Pada mulanya, Hayyan agak tertanya-tanya dengan 'gosip' yang dimaksudkan.

Tapi lepas jari dia tekan laman blog yang memaparkan gosip sensasi tersebut, baru lah Hayyan faham dengan apa yang terjadi. Dah dijangka, dia mesti akan menjadi tumpuan paparazzi hari ini.

Hayyan cuba berlagak tenang. Dalam hati, tak habis-habis dia memarahi dirinya tentang hal yang terjadi semalam.

Kalau dia tak menjerit kepada Yannis semalam, pasti Hayyan tak jadi tumpuan wartawan sekarang ni.

Tapi, apakan daya? Nasi dah menjadi bubur. Hayyan mesti selesaikan semua gosip ni dengan tenang.

"Encik Hayyan, boleh Encik berikan komen tentang video yang tular di media sosial sekarang?" tanya seorang wartawan perempuan yang berambut panjang.

Hayyan memandang wartawan yang mengajukan soalan kepada dia. Diangguk tanpa senyuman.

"Apa yang boleh saya katakan, memang saya yang berada dalam video tersebut dan pergaduhan kecil yang terjadi. Semua tu berpunca daripada saya. Saya minta maaf sebab dah cetuskan berita sensasi begini," jawab Hayyan.

Mengangguk wartawan-wartawan yang mengelilingi Hayyan. Ada yang mula mencatat di atas buku nota yang dibawa bersama. Ada juga yang cuma memegang telefon untuk merakam penjelasan daripada Hayyan.

"Apa pula komen Encik Hayyan tentang desas-desus yang mengatakan wanita di dalam video tersebut adalah teman wanita Encik Hayyan? Betul ke wanita tu teman istimewa Encik Hayyan selama ini? Boleh beri penjelasan?" tanya seorang lagi wartawan yang berketinggian agak rendah itu.

Hayyan tarik nafas dalam. Tepat jangkaan dia, itu lah sebab utama wartawan-wartawan ni sibuk nak kejar dia.

Malah, Hayyan sendiri dah naik bosan sebab dia sering dikaitkan dengan mana-mana perempuan yang pernah keluar berdua dengan dia.

"Apa yang boleh saya cakap sekarang ni, wanita yang ada dalam video tersebut cuma kawan saya. Kami cuma berkawan dan tak lebih daripada tu," jawab Hayyan beriak biasa.

'Kau yakin ke Yannis tu kawan kau je, Hayyan? Kau lupa ke yang dia tu bakal tunang kau?'

Tiba-tiba suara hati Hayyan berbisik. Berkerut dahi Hayyan, cuba menepis bisikan hati sendiri.

"Jadi, desas-desus yang cakap wanita tersebut girlfriend Encik Hayyan tu tak betul lah, kan ?" soal wartawan lelaki yang memakai tag di leher.

Hayyan berdecit. Tak faham bahasa ke? Dia dah cakap kan tadi. Nak juga tanya soalan yang sama banyak kali.

"Tak betul. Saya dan dia cuma berkawan dan tak lebih daripada tu," jelas Hayyan sambil menahan sabar.

"Encik Hayyan, betul ke ada yang kata Encik Hayyan ni minat kaum sejenis? Sebab tu Encik Hayyan tak ada teman wanita lagi?" tanya wartawan yang sama.

Hayyan merenung tajam wartawan tersebut. Eh, sedap mulut je kata dia ni songsang! Dia belum gila lagi nak minat kaum sejenis lah.

"Saya tak ada teman wanita tak bermaksud saya minat kaum sejenis. Saya cuma tak nak letak komitmen untuk hal-hal begini," jelas Hayyan bernada keras.

"Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu," pinta Hayyan seraya meloloskan diri daripada kumpulan wartawan tersebut.

Dalam diam, Hayyan mengeluh. Jadi seorang public figure ni bukan seronok pun. Semua hal, luar dan dalam, orang sibuk nak tahu. Naik rimas dia dibuatnya.

Malas kusutkan otak, Hayyan melangkah masuk ke dalam balai pelepasan. Ada pesawat yang memerlukan pengendaliannya hari ini.

Sekurang-kurangnya, dapat juga lah Hayyan tenangkan fikiran daripada berfikir tentang deal dia dan Yannis serta gosip murahan begini.

Apabila kaki dia melepasi balai perlepasan, Hayyan tersenyum lebar. Welcome back to your own world, Hayyan!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro