BAB 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SUDAH dua minggu Serra dan Farhan mengikat tali pertunangan. Gembira? Ya, sememangnya itu fasa yang terlalu cepat buat hubungannya dengan Farhan dan dia bersyukur apabila Farhan serius dengan hubungan mereka. Tetapi...

Dia berasa sesuatu tidak kena dengan renungan Datin Noreen tempoh hari. Renungan itu tak seperti yang dia lihat sebelum ini. Senyuman yang tercalit pada bibir wanita tua itu bagaikan senyuman palsu. Tapi mengapa?

Hari ini, Datin Noreen mengajak dia datang ke rumah agam Dato' Farid untuk makan tengah hari bersama-sama. Langsung dia bersetuju memandangkan sudah lama dia tidak mengunjung rumah keluarga tunangnya itu.

Serra memarkir kereta miliknya di hadapan rumah Dato' Farid bersama senyuman lebar. Dia tidak sabar untuk bertemu dengan Datin Noreen dan yang lain. "Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam. Cik Serra, Datin Noreen ada di dalam. Jemputlah masuk." Pembantu rumah agam itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat.

Matanya menebar ke segenap ruang rumah banglo itu. Meski sudah lama tak ke situ, semua masih sama. Pandangannya jatuh pada Datin Noreen yang sedang duduk di sofa tanpa sebarang senyuman. "Assalamualaikum, Aunty Reen."

"Datin Noreen please," arah Datin Noreen.

Serra terkelu bersama kerutan di dahi. Datin Noreen? Bukankah wanita itu sendiri meminta dia memanggil dengan gelaran Aunty Reen sejak mereka kenal lagi?

Serra simpul senyum lalu mengambil tempat bertentangan dengan Datin Noreen. "Aunty, mana yang lain? Bukan kita nak lunch sama-sama ke?"

Datin Noreen mengoyakkan satu senyuman sinis. "Kau fikir kau layak ke makan semeja dengan keluarga aku?"

"Errr... apa Aunty cakap ni? Saya tak faham." Datin Noreen di hadapannya kali ini seperti orang lain. Ini bukan Datin Noreen yang dia kenal. Adakah ini alien dari planet Marikh? Ish, jangan mengarutlah Serra!

"Aku malas nak simpan lagi. Aku nak cakap yang aku tak suka kau. Aku tak suka kau rapat dan bertunang dengan anak aku, Farhan. Kau tahu kan yang keluarga aku ni orang ternama? Aku tak nak bermenantukan perempuan miskin dan... cacat."

Bam!

Bagai ada satu batu menghempap dirinya yang kerdil. Kata-kata nista itu... keluar sendiri daripada mulut ibu Farhan. Wanita yang selama ini dia hormat. Wanita yang murah dengan senyuman. Wanita yang sudah dianggap seperti ibu kedua. Datin Noreen...

"Aku tak restu perkahwinan kau dengan Farhan."

"Kenapa tiba-tiba, Aunty Reen?" soal Serra perlahan. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak mengalirkan air matanya.

"Stop calling me Aunty Reen. I'm Datin Noreen. You should respect me! Aku dah cakap dengan Han yang aku tak nak kau jadi menantu aku, tapi dia degil dan tetap nak teruskan pertunangan jijik tu. Aku tak faham... apa yang kau ada sampai anak aku tergila-gilakan kau? Sampai dia sanggup belakangkan mama dia sebab kau! Kau siapa? Cuma perempuan cacat daripada keluarga yang miskin. Hodoh pula tu." Datin Noreen melemparkan kata-kata hina buat Serra.

Lidah Serra kelu.

"Memandangkan kau dah tahu yang aku tak restu hubungan kau dengan anak aku, aku harap kau fahamlah yang aku nak kau putuskan hubungan kau dengan Farhan," ujar Datin Noreen tanpa mempedulikan perasaan gadis muda yang selama ini menghormatinya.

"Tapi... saya cintakan Han."

"Cinta? Layak ke kau dengan dia? Simpan sajalah impian kau nak berkahwin dengan anak aku tu. Aku dah jumpa perempuan yang selayaknya untuk jadi isteri Farhan. Yang lebih mulia, sempurna dari kau. Paling penting... tak cacat."

"Datin..."

"Berambus! Aku tak nak kau jejak lagi kaki kau dekat rumah aku. Putuskan hubungan kau dengan Farhan sebab aku akan aturkan perkahwinan dia dengan perempuan yang setaraf dengannya." Sungguh kejam sekali kata-kata Datin Noreen namun Serra hanya mampu menunduk. Benar, dia bukan siapa-siapa.

"Saya minta maaf andai saya buat silap pada Datin. Tapi... saya akan berbincang dengan Farhan tentang ni. Kalau dia tak mahu putuskan hubungan kami, saya tak boleh buat apa-apa."

"Kau memang perempuan tak tahu malu, kan? Kurang ajar! Susah sangat ke kau nak putuskan hubungan dengan anak aku?"

Serra menunduk hormat tanpa mempedulikan setiap butir perkataan yang meniti di bibir Datin Noreen. "Saya pulang dulu." Kakinya mengatur langkah dengan laju.

"Hoi perempuan! Serra! Datang sini balik kau!" jerit Datin Noreen namun Serra langsung tidak berpaling.

Datin Noreen merengus kasar lalu pasu bunga di atas kabinet ditolak hingga pecah berderai. Pranggg!

***


BAHUNYA terhenjut tanpa henti, selari dengan irama tangisannya sejak tadi. Pulang sahaja dari rumah Datin Noreen, dia terus mengurungkan diri di dalam bilik. Awal-awal lagi dia memberitahu ibunya bahawa dia mahu bersendirian.

Terngiang-ngiang kata-kata nista Datin Noreen di telinga, membuatkan Serra menutup kedua-dua telinganya dengan tangan.

"Aku tak nak bermenantukan perempuan miskin dan... cacat!"

"Putuskan hubungan kau dengan anak aku!"

"Kau tak layak dengan Farhan, aku dah jumpa perempuan yang layak jadi isteri Farhan yang lebih mulia, cantik dan paling penting tak cacat."

Serra merapatkan lutut ke badannya lalu melepaskan tangisannya di situ. Baru saja dia mahu bahagia, tetapi sudah ada penghalang.

Cacat. Hodoh. Berparut.

Tiga perkataan itu membunuh dirinya selama ini. Kenapa? Kenapa dia tidak sempurna seperti perempuan lain? Kenapa semua ini harus dia alami? Mengapa?

Takdir.

Mengapa baru sekarang Datin Noreen memberitahu perasaan benci itu? Mengapa saat dia mahu menggapai kebahagiaan bersama Farhan, dia perlu lalui dugaan ini? Salah ke perempuan cacat menjadi isteri kepada Farhan Haqimie?

Tidak pernah Serra sangka Datin Noreen bersifat demikian sedangkan selama ini wanita tua itu melayannya dengan baik. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Putuskan hubungan dengan Farhan? Atau teruskan saja tanpa restu Datin Noreen?

Telefon yang bergetar di atas katil dipandang sekilas. Biarlah dia mahu bersendirian sebentar tanpa sebarang gangguan.

Ting!

Ting!

Ting!

Notifikasi mesej masuk tanpa henti lalu Serra terus mencapai telefon pintarnya kemudian mematikan telefon itu tanpa melihat pemanggil dan penghantar mesej tersebut.

Kepalanya diletakkan atas bantal kemudian tangan memeluk bantal. Mata dipejamkan namun air mata terus mengalir tanpa henti. Sakit sangat apabila dihina. Akhirnya, Serra terlena bersama kesedihan yang menyelubungi diri.

***

"SERRA!"

Tok! Tok! Tok!

"Serra, buka pintu ni. Serra..." Puan Syahirah tidak berhenti mengetuk pintu bilik satu-satunya anak dara kesayangan dalam keluarga ini. Sejak pulang dari rumah Datin Noreen semalam, anaknya itu langsung tidak keluar. Hati ibunya mula risau akan sesuatu terjadi pada anaknya.

"Serra!"

Langsung tiada tanda-tanda pintu itu akan dibuka. Satu keluhan dilepaskan kemudian Puan Syahirah menuruni anak tangga menuju ke meja makan.

"Saya risaulah, bang. Serra tu tak keluar langsung dari bilik sejak semalam lagi. Langsung tak jamah apa-apa pun. Saya ketuk pintu pun langsung tak buka, menyahut lagilah tak," luah Puan Syahirah.

"Awak jangan risaulah. Saya rasa dia okey aje tu. Dah, saya nak pergi kerja ni. Nanti pujuk Serra tu baik-baik buka pintu bilik," balas Encik Rafael dengan lembut. Walau hatinya sebagai seorang ayah turut risau, namun dia tidak mahu menambahkan kerisauan isterinya.

"Hmm... yalah. Hati-hati bawa kereta tu." Puan Syahirah menghantar pemergian sang suami ke pintu utama.

"Awak jangan risau pasal Serra tu. Balik kerja nanti saya singgah mana-mana belikan makanan kegemaran dia."

"Baik, bang." Puan Syahirah senyum nipis lalu menyalami tangan Encik Rafael.

Apabila kereta Encik Rafael sudah menjalar keluar membelah jalan raya, Puan Syahirah kembali masuk ke rumah. Belum sempat dia mahu menutup pintu, sebuah kereta pula masuk.

"Assalamualaikum, Ibu Irah." Farhan keluar dari perut kereta bersama senyuman melebar. Puan Syahirah menyambut kedatangan bakal menantunya dengan wajah gembira. Sejuk hatinya apabila Farhan memanggilnya dengan panggilan Ibu Irah.

"Waalaikumsalam, Han. Datang nak jumpa Serra, ya?"

Farhan menggaru tengkuknya. "Ha'ah. Dia ada tak?"

"Ada. Jemputlah masuk." Mata Puan Syahirah tidak lepas memandang susuk bakal menantunya. "Ibu nak tanya sikit ni. Boleh?"

"Apa dia, Ibu Irah?"

"Kamu dengan Serra bergaduh ke? Sebab dari semalam lagi dia tak keluar bilik dan tak makan apa-apa pun. Ibu risau kat dia tu," ujar Puan Syahirah.

Berlapis-lapis dahi Farhan mendengar kata-kata Puan Syahirah. Patutlah dia hantar mesej dan call langsung tak dijawab. Tapi mengapa?

"Taklah, ibu. Han datang ni pun nak jumpa dia sebab semalam Han call dan mesej dia langsung tak dijawab. Risau juga Han sebenarnya ni," balas Farhan. "Dia ada pergi mana-mana ke semalam?" soal Farhan pula.

"Laaa... dia pergi rumah keluarga kamulah. Kamu lupa ke?"

"Hah? Rumah saya?"

"Yalah, semalam dia cakap dengan ibu yang mama kamu jemput dia makan tengah hari bersama. Lepas balik dari rumah kamu, terus dia berkurung dalam bilik. Tu ibu ingat kamu berdua bergaduh ke apa." Puan Syahirah berkata membuatkan dahi Farhan semakin berlapis-lapis.

Makan tengah hari? Kenapa dia langsung tak tahu apa-apa? Semalam dia ada mesyuarat bersama papanya. Adiknya pula ada kelas sehingga petang. Apa dah jadi semalam?

Serra dengan mama? Berdua sahaja?

Buntang mata Farhan memandang Puan Syahirah. "Ibu, biar Han cuba pujuk dia buka pintu. Hmm... ibu ada kunci pendua tak? Sebab kalau dia tak buka juga, Han ingat nak guna kunci pendua tu terus."

"Ada. Biar ibu ambil kejap, ya."

Tak lama kemudian, Puan Syahirah kembali bersama kunci pendua bilik Serra. "Thanks, ibu. Han minta izin naik kejap, ya?"

Puan Syahirah mengangguk kepalanya dengan perlahan. Tanpa membuang masa Farhan terus memanjat anak tangga naik ke tingkat atas. Bilik tidur Serra didekati kemudian dia memberi beberapa ketukan pada muka pintu.

"Serra. Saya datang ni."

Sepi.

"Sayang, buka pintu ni. Jangan buat saya risau please! Kalau awak ada masalah, awak boleh cakap dengan saya. Saya risau sangat ni bila awak tak balas mesej dan tak jawab call saya sejak semalam lagi."

Keadaan masih sepi menambahkan kerisauan Farhan. Dia tidak betah lagi apabila tunangnya itu langsung tidak mahu buka pintu bilik.

"Serra, kalau awak tak buka pintu... saya akan terjah masuk terus. Nak?" ugut Farhan.

"Serra?"

Kunci pendua bilik dicucuk ke tombol pintu bilik lalu dipulas. Klak! Pintu itu berjaya dibuka membuatkan Farhan tidak sabar mahu melihat wajah tunang yang dia rindu.

"Serra..."

Pandangan Farhan jatuh pada susuk tubuh yang sudah terbaring di atas lantai dengan dada yang berombak perlahan. "Ya Allah, Serra!"

Tubuh gadis itu dipangku kemudian memeriksa nadi gadis itu. Dada Serra berombak sangat perlahan. "Ibu! Ibu Irah!" jerit Farhan.

"Kelam kabut Puan Syahirah naik ke bilik anaknya. "Ya Allah, kenapa ni Han? Kenapa dengan Serra?"

"Han tak tahu. Han masuk aje dia memang dah pengsan. Ibu, nadi dia lemah ni. Kita kena bawa dia ke hospital cepat," ujar Farhan dengan wajah bimbang.

Puan Syahirah mengangguk faham lalu mengambil beg anak gadisnya itu untuk membawa beberapa barang penting. Dia kemudian mengekori Farhan yang sudah mengangkat Serra turun ke bawah.

"Hati-hati, Han."

Masuk sahaja ke dalam perut kereta, Puan Syahirah tidak berhenti berdoa. Dia risau melihat anaknya terbaring kaku begini.

"Cepat, Han. Ibu risau sangat ni."

"Baik, ibu." Terus Farhan memandu dengan kelajuan yang tinggi. Dia juga risau akan tunangnya itu. Dalam hatinya langsung tidak berhenti berdoa agar sem uanya baik-baik sahaja. Dia tidak pernah melihat Serra pengsan. Ini adalah kali pertama.


❦︎ VERSI EBOOK MASIH BOLEH DIBELI - RM18

❦︎ VERSI CETAK (PAPERBACK/NOVEL) - OPEN PREORDER HINGGA 06/11/2021


LINK DI BIO!
LINK DI BIO!
LINK DI BIO!






Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro