Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Isteri Tak Setaraf Bab 2

Gigi berlaga satu sama lain. Lara tunduk memeluk tubuh. Hujan lebat tadi bertukar reda. Cuma, Lara tak tahan sejuk. Perutnya juga bernyanyi nyaring. Sakitnya menahan kelaparan. Air hujan tadi dia tadah saja sambil buka mulut luas-luas. Itu saja jadi alas perut.

"Lara... ibh datang ni..." Sapa suara wanita berumur lingkungan 50an. Mata yang terpejam terus dibuka lalu dongak sedikit kepala. Tampang wajah berkedut ibu melekat di ruangan matanya. Lara pandang sayu keadaan ibu yang tidak sempurna. Kakinya pendek sebelah, dibelasah oleh orang suruhan Tan Sri Maleeq. Kejam. Ibu yang tak berdaya turut jadi mangsa.

Luluh mengingat semula pengorbanan ibu untuk memastikan mereka berdua dapat menikmati seberkas nafas. Ibu terpaksa menjual diri demi kelangsungan hidup atau boleh diperkatakan ibu berjanji seumur hidup akan patuh segala arahan keluarga Tengku Esyal. Sampai mati di sini. Ibu terdesak, katanya hidupnya dulu sangat susah, dikejar ah long dan terpaksa meminta belas ehsan Tan Sri Maleeq. Ayah pula sudah lama meninggal dunia setelah dibunuh ah long. Dia dan ibunya tiada tempat berteduh. Boleh dikatakan mereka dapat makan dan minum pun dari keluarga Tan Sri Maleeq.

Kalau tidak, kemungkinan sudah terbaring kaku di mana-mana kerana dibunuh oleh ah long. Pipinya yang basah diusap sang ibu. Lara biarkan tangisan ibu berlagu, dia sendiri mahu keluarkan air mata tapi tak terluah. Dia nak jadi perempuan kuat. Tabah. Dan, bila tiba masanya nanti dia juga ingin bebas seperti manusia lain.

Cuma, dia nak ibunya pergi menghadap Ilahi dulu. Baru dia cari jalan keluar dari sangkar harimau ini. Dalam kebaikan keluarga ini sudi terima mereka, terselit juga kejahatan. Tiap kali buat kesalahan dan kesilapan, hukuman bakal diterima. Hukuman yang hampir meragut nyawa! Sengsara tak terkira.

Mereka berdua tidak dapat melawan pun. Katakan saja dia perempuan lemah, biarlah. Semua orang tidak alami apa yang dia hadapi selama ini. Beribu kali juga dia bangkit, berjuta kali juga dia rebah ke bumi. Dia masih dapat bernafas kerana masih ada sisa kudrat. Meskipun bila-bila masa saja akan rapuh.

Saban hari, dia rasai segala duka dan perih yang seakan tidak ada hujungnya. Mungkin ini takdir kejam yang perlu dia terima kerana lahir menjadi Nur Lara Alana... Hidup seorang gadis yang lara.

"Ibu kan dah pesan jangan melawan Tengku Esyal. Kenapa Lara lawan dia? Allah... Jangan degil, sayang... Dengar cakap Tengku Esyal."

Tatapan ibu menyentuh jiwanya. Lara menggeleng lemah.

"Lara tak melawan. Lara takde salah pun. Tengku Haedar yang suruh Lara kat sini. Dia pun jahat, ibu. Macam Tengku Esyal." Luahnya dengan perlahan. Bimbang suara akan didengari oleh makhluk jahat di dalam. Tak pasal-pasal dia terpaksa terima hukuman "malaikat maut."

Ibu peluk tubuhnya. Lara membalas pelukan itu tapi kali ini dia gagal menghentikan air matanya. Sendu meracun diri kerana badan ibu panas. Pasti ibu pun tak sihat. Demam tapi masih pedulikan dia.

"Ibu, janganlah risaukan Lara. Ibu rehat ya? Lara tak nak ibu sakit disebabkan Lara. Ibu kena pergi sebelum Tengku Esyal datang. Dia tak bagi kita jumpa, kan. Ibu lupa ke?" Tersedu sedan Lara menahan tangisan daripada berdendang kencang. Sejak peristiwa Lara gagal melakukan tugas dengan sempurna, Tengku Esyal melarang dia berjumpa atau berbual dengan ibu. Sejak itu, mereka tidak bertemu walaupun satu rumah. Ibu melakukan kerja di bahagian atas. Dan Lara menyelesaikan kerja di bahagian bawah.

Satu penyeksaan menanggung rindu. Sampai bila ini akan berakhir?

"Ibu tak larat sangat-sangat, Lara. Ibu rindu anak ibu..." Pelukan makin dikemaskan. Tak sanggup melepaskan pelukan itu. Dah lama dia ingin mendakap anaknya yang bernasib malang ini. Kerana ulah arwah suaminya, mereka berdua terseksa. Hidup bagaikan di neraka. Setiap kesalahan tidak akan terlepas. Hukuman dan seksaan bertali arus. Tiada belas ehsan!

"Sampai bila kita macam ni, ibu?" tanya Lara dengan sedih yang tidak bertepi. Padahal dia tahu tiada pengakhiran bahagia untuk kisah hidup dia dan ibunya. Tiada.

"Sedap you je berdrama kat sini, eh? Ingat ni program jejak kasih!" Herdikan itu mematikan bicaranya. Mata mencerlung milik Tengku Esyal menjunamkan seribu ketakutan buat dirinya. Bukan kerana takut diseksa, dia takut ibunya diseksa! Tak sanggup biarkan ibu yang sedang demam itu menanggung lagi hukuman.

Ibu lepaskan pelukan. Lara mengerekotkan badan menghadap kaki Tengku Esyal. Dia tunduk memeluk kaki jinjang itu.

"M... Maafkan saya... T... Tolong seksa saya je. Jangan ibu saya... T...tolong!"

Tengku Esyal murka. Tak peduli, dia menendang Lara sehingga terlerai pelukan di kakinya. Depan orang gajinya, Mak Zia. Terus dia berikan tamparan keras di pipi tua itu. Puas dia melihat wajah Lara yang bergenang air mata. Dia tahu kelemahan Lara.

"You nak I kerjakan ibu you? Atau Eezrael kerjakan ibu you? Atau you nak dikurung dan diseksa selama 3 hari kat sana? Pilihan di tangan you." Bibirnya melengkung ke atas, tanda mengejek pembantu rumahnya yang malang itu. Tiap kali hukuman diberikan, dia seronok. Biar tambah sedikit bijak di otak Lara. Asyik senang lenang saja, makin naik lemak perangai. Tunangnya sendiri beritahu bahawa Lara tak nak bersihkan kasut kulitnya. Heh! Pandai melawan!

3 hari tempoh di dalam sana sangatlah lama. Dia pejam mata, mulai terasa seluruh bahagian tubuhnya disebat dengan cemeti. Sakit... Pernah dulu kala, dia berada sehari di dalam sana. Masa itu, dia hampir hilang nyawa. Namun, cepat saja Puan Sri Majeda memanggil doktor peribadinya, Doktor Lee.

Dirawat sampai sembuh. Itu kerana nyawanya masih dipinjamkan oleh Allah. Kalau tidak, pasti dia tidak dapat jejak lagi di bumi Allah.

Tangan disatukan memohon keampunan. Disedut kembali air mata daripada mengalir. Dia tahu air matanya bakal buat Tengku Esyal meruap dengan kemarahan. Dia tahan sedayanya.

"Saya terima 3 hari hukuman. Tapi tolong jangan pukul ibu saya." Kepala tunduk menyembah Tengku Esyal. Merayu dengan rintihan.

"Sayang... Biar ibu saja kena... Allah, anak aku..." Halus suara ibu menyapanya di sebelah. Lara menggeleng. Biar dihujat dengan alat tajam berkilau sekalipun. Nyawanya akan liat juga. Dia tak nak ibunya terseksa, cukup dia saja. Cukup ini sebagai hukuman dunia. Manalah tahu dosanya terlalu banyak, sehingga banyak dosanya dihapuskan melalui kesakitan ini. Dia redha.






LARA dilempar kejam ke dalam ruangan sederhana besar itu. Dia mengaduh sakit, punggungnya digosok perlahan. Sakitnya...

Derapan kaki "malaikat maut", atau digelar nama Eezrael itu kedengaran makin dekat. Tangannya yang berlabuh atas lantai mozek yang pecah-pecah itu dipijak lelaki bengis itu. Lara meraung kesakitan. Tangisan mulai mencerun turun di pipinya.

"S... Sakit!!!! Argh!!!!" Raungan Lara tidak dipeduli. Eezrael menarik rambut Lara sehingga tubuh itu terangkat sedikit, lalu ditumbuk wajah itu bertubi-tubi sehingga erangan Lara bergema di seluruh ruangan. Eezrael yang tidak punya sebarang perasaan, tidak terjentik sebarang simpati. Sudah menjadi kelazimannya diberikan tugas menyeksa orang-orang bawahan seperti  orang gaji Tan Sri Maleeq. Dia gagah dan menjadi orang suruhan pertama milik Tan Sri Maleeq, lelaki berkuasa dalam bidang korporat. Luaran saja berwibawa, namun punyai urus niaga penyeludupan dadah.

Pecah bibir sang gadis itu. Darah berhamburan, memercik ke bawah lantai mozek yang tidak sempurna. Dia berhenti menyeksa. Bagi peluang gadis itu mencuri nafas kerana selepas ini tiada peluang untuk gadis itu merasai kelazatan hidup. Yang dia akan alami hanyalah penyeksaan sehingga tubuhnya tak mampu bangun.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro