13 | Malam Unggun Api

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



Notes : Aku rasa PKP-2  ni bagaikan peluang kedua untuk memanfaatkan masa yang ada dalam menjadi manusia yang lebih baik. Cukuplah PKP-1 disia-siakan dengan pereputan tanpa faedah.
Tuhan dah bagi masa, apa lagi alasan kita boleh beri bila waktu perhitungan nanti?

🥀

Aku dan Diana Akasuki meletakkan beg di dalam bilik yang ada di tingkat atas open cabin. Ada 2 katil bujang. Nampaknya aku tidur atas lantai sajalah macam di kafe.

"Seriuslah bilik macam ni je? Ruginya tak boleh masuk dalam banglo tu. Urghh! Iskandar ni bab..."

"Diana!" Spontan aku menyebut namanya dengan keras. Nak carutkan orang je kerjanya. "Kita ni perempuan tau. Kalau lelaki mencarut pun nampak kasar, apalagi perempuan."

"Nice speech, madam." Diana Akasuki mencampak beg ke atas katil.

"Aku cuma cakap je. Nanti kita mati semua perkataan yang kita sebut tu semua Tuhan tanya. Mampu ke dah baik hati tapi masuk neraka sebab mencarut?" Lepas jugak apa yang terbuku di hati ni. Aku kesian dekat dia. Rasanya tak ada orang yang pernah nasihatkan dia tentang tabiat mencarut dia tu.

"Ugh..." Dia merengus kasar, berbaring di atas katil. Takut jugak aku kalau dia marah aku balik.

"Ada orang pernah cakap macam tu jugak kat aku." Dia terkelip-kelip memandang siling kayu. Nampak imbasan memori dalam riak matanya. Aku duduk di satu lagi katil menghadapnya.

"Perangai dia sama macam kau." Diana Akasuki menoleh ke arah aku. "Aku buli dia dengan teruk waktu sekolah dulu. Dan macam kau, dia sabar je. Dia pun selalu naik basikal, pakai baju buruk macam kau. Siapa sangka kami berhubungan baik. Dia nasihatkan aku supaya berhenti cakap benda tak elok. Tapi aku dah lupakan dia."

Aku mengukir senyum. Memang dah agak Diana Akasuki ni hati dia lembut cuma mungkin dia taknak nampak lemah, jadi dia berlagak kasar.

"Aku tahu mesti susah nak ubah benda tu. Tapi... mungkin kau boleh tukar perkataan tu dengan benda lain. Sebab apa yang kita sebut tu satu doa."

Diana Akasuki kembali merenung siling.

"Luna ada masalah ke? Nampak sedih je." Aku menyoal, tidak tertahan rasa ingin tahu.

"Entah. Aku kenal dengan dia waktu dia mula kerja tapi selalu ada je masalah timbul. Hari tu skuter dia kena langgar lari. Lepas tu, hampir setiap hari dia naik teksi. Dalam 3, 4 kali juga teksi salah jalan padahal senang je jalan nak ke kafe. Beg dia pernah hilang waktu naik bas. Kesian betul! Memang malang nasib dia."

Terbayang wajah Luna yang indah. Kasihannya dia. Pernah juga beberapa orang pelanggan marah-marah dia sampai dia rasa down, menangis dalam bilik staff. Aku pun pelik kenapa asyik dia saja dapat pelanggan yang cerewet. Kesian betul.

"Bukan nasib malang. Tu ujian hidup dia. Tak ada malang, tak ada tuah. Semuanya sama dari Tuhan. Ikutlah macam mana kita tafsirkan dan ambil pengajaran." Aku ulang ayat yang selalu nenek pesan. Dulu aku pun pernah rasa diri ni malang sangat.

"Amboi, aku baik sikit dengan kau, terus ceramahkan aku eh?" Diana Akasuki menjeling aku.

"Yalah, sama-sama nak masuk syurga, kan?" Aku tersengih. Pecah rekod ni bila Diana Akasuki cakap dengan aku lebih lama dari biasa.

"Kau nak pergi mana?" soalnya bila aku berdiri di muka pintu.

"Tengok luar sekejap."

"Demam kan? Rehatlah! Tak reti-reti?" Nak suruh rehat macam nak makan orang.

"Aku okey. Penyapu terbang kan ada." Terus aku meloloskan diri. Tadi dia juga cakap aku ni the mad witch.

"Ella bo... bola!"

Aku tergelak dengar Diana Akasuki nak sebut bodoh bertukar jadi bola. Okeylah tu ada usaha.

Kawasan open cabin memang selesa dan bersih. Ruang tak berdinding dilindungi dengan bidai kayu yang boleh dinaik dan diturunkan. Kawasan memasak juga lengkap dengan peralatan penting. Tak banyak bahan yang ada.

Aku menghampiri Dashi yang sedang menggaru kepala melihat tapak unggun api yang dikelilingi batu sungai. Ada kesan terbakar di situ meninggalkan kesan ianya sudah berjasa buat beberapa waktu.

"Hidupkanlah api. Kejap lagi nak malam," tegur Begum sambil menghamparkan kain khemah. Buku manual pemasangan dipusing-pusing beberapa kali.

"Kau pun tak pasang khemah lagi. Jangan sibuk pasal api aku."

"Ya, aku tahulah!" Dari berdiri, Begum mencangkung. Mungkin sekejap lagi dia akan berbaring. Cara baca buku manual macam baca novel!

"Eh, kau boleh ke pasang api tu? Biar aku buatlah." Begum cuba ambil alih kerja Dashi.

"Begum! Aku bukan budak, okey!"

Terkulat-kulat Begum kena marah dengan Dashi. Kayu api disepak tanda bengang. Dikutip buku manual pemasangan khemah yang terjatuh tadi.

"Orang risaukan dia je..." rungutan Begum jelas kedengaran kemudian semakin hilang butir di hujungnya.

"Luna!" Dari kejauhan, Diana Akasuki pula melaung. "Mana krim malam? Nanti nyamuk gigit la woi!"

"Kau carilah! Aku tengah sibuk ni!"

Aku mengalih pandang pada Luna yang entah mencari apa di dalam kereta. Terbongkok-bongkok dah macam jerangkung.

"Fong, sinilah tolong!" marah Begum pada Fong yang mencangkung di tepi batu, merenung sungai yang mengalir perlahan.

"Macam mana, Dashi? Dah boleh hidup api ke? Atau nak aku buatkan?" Iskandar menepuk bahu Dashi.

"Aku lupa bawa aranglah," balas Dashi, masih menggaru kepala. Aku syak dalam 5 minit lagi dia mungkin menggaru sampai ke otak. Kusut benar wajahnya.

Eh, sekejap. Arang?

"Hidupkan unggun api tak perlu aranglah." Akhirnya aku mencelah.

Serentak Iskandar dan Dashi memandang aku.

"Eh, pakai arang la sangat. Biasa kita tengok dalam movie ada bara api kat arang hitam tu," tingkah Iskandar.

Movie? Aku tepuk dahi.

"Orang bakar kayu api, sampai dia jadi arang yang kekalkan haba dalam waktu yang lama. Arang hitam yang dalam movie tu dari kayu yang dibakar. Kalau nak barbeku, nak cepat boleh guna arang yang siap jual sebab kita bakar guna haba, bukan direct atas api. Boleh guna pemanggang barbeku yang ada kat sebelah kabin." Okey, aku pun tak confident dengan hujah ini sebenarnya tapi aku lebih yakin dengan teori yang aku utarakan berbanding 'pengalaman-menonton-movie' Iskandar.

Iskandar mengangguk perlahan tapi Dashi tengok aku percaya tak percaya je.

"Ada fire starter di almari dalam open cabin. Kotak warna oren. Pakai tu saja boleh jimatkan masa," beritahu aku.

"Tak sihat, kan? Duduk diam-diam," Dashi memberi amaran. Marah ke tu? Masalahnya kalau aku tak masuk campur, mungkin mereput kami di sini.

"Kita nak makan apa malam ni?" laung Izhar dari belakang bonet kereta.

Kami bertembung pandang. Tanpa sedar, wajahku keruh dan terus aku beralih ke pangkin kayu. Aku memang tak boleh pandang muka dia.

"Woi, tolong aku!" Jeritan Fong menggawatkan suasana. Entah macam mana dia terbelit dalam kain khemah.

"Fong, jangan panik! Rosak khemah nanti!"

"Iskandar, kau pijak kaki aku!" Dashi menolak Iskandar yang terkial-kial membawa kayu api di tangan. Akibatnya Iskandar hilang imbangan dan terjatuh menimpa Begum yang sedang merungkai belitan khemah. Suara erangan dan rungutan saling tingkah meningkah.

"Sakit!"

"Kejap, jangan gerak!"

"Sini, sini!"

"Begum!"

"Bukan sini!"

"Oh, shit!"

"Aku kata jangan bergerak!"

"Aduh!"

"Luna, sinilah tolong aku!" Diana Akasuki masih lagi serabut di dalam kabin.

Aku berdiri di atas pangkin, bercekak pinggang memandang suasana kelam kabut di depan mata. Baru aku sedar, mereka ni rata-rata anak orang kaya, orang bandar dan orang yang hidupnya serba cukup dan selesa. Berangan nak buat kem outdoor macam ni?

Betullah kata Diana Akasuki. Entah apalah yang ada dalam kepala Iskandar, perancangannya berterabur dan banyak persediaan tak mencukupi. Dia rangka plan ikut movie yang dia tengok ke? Ni mesti kaki movie!

Aku rasa macam kat rumah. Rumah di mana aku hanya boleh harapkan diri sendiri.

KEM BINA SEMANGAT? Kus semangat ada la!

🥀

Siapa sangka unggun api boleh membawa kebahagiaan. Masing-masing kepenatan. Cuma khemah kedua saja sedang dipasang. Lama betul menunggu siap. Khemah pertama itu pun nampak agak senget.

Aku selongkar beg yang Diana Akasuki bagi. Nak mandi bagi reda panas di badan. Badan dah rasa sengal-sengal, takut melarat jadi demam panas, menyusahkan orang lain pula.

Aku keluarkan helaian baju dari beg. Ini ke baju buruk yang Diana Akasuki maksudkan? Lagi elok dari baju baru yang aku beli dari kedai bundle. Ada 2 helai blaus lain yang masih ada tanda harga. Aku rasa dia terlupa nak cabut. Ego taknak orang tahu keikhlasan dia sekali terkantoi.

Siap ada toiletries yang lengkap dan sehelai tuala yang gebu. Dah makan tahun aku tak tukar tuala. Diana Akasuki ni buat aku terharulah.

Lepas mandi, rasa lebih segar berbanding tadi. Sengaja aku alirkan air paip di atas kepala berlama-lama waktu mandi. Biar hilang sakit kepala.

"Sini!" Diana Akasuki melambai, suruh aku duduk di kerusi panjang di sebelahnya.

"Boleh tak pinjam handphone?" Aku menyoal pada Diana Akasuki.

"Hell no! Nak buat apa?" Diana Akasuki peluk erat handphonenya.

"Nak solat la tapi tak tau arah kiblat. Nak pinjam tengok arah kiblat je guna Google."

Krik. Krik. Krik.

Semua mata memandang ke arah aku.

"Dalam hutan pun nak solat ke?" Amboi soalan dia.

"Bila dah mati je tak payah solat. Orang yang solatkan. Solat jenazah." Geram aku membalas. Aku bukanlah orang yang baik tapi solat membuatkan hidup aku lebih baik.

"Arah sana, Ella."

Aku pandang pada Begum yang menunjuk ke satu arah, mengikut jarum di skrin handphonenya.

"Terima kasih, Begum." Aku tersenyum lega.

Malam tu, kami duduk mengelilingi unggun api. Bunyi dedaunan bergeser ditiup angin menghasilkan suasana nyaman. Kami makan apa yang ada saja. Makanan ringan yang dibeli dalam perjalanan tadi dikumpulkan dan kami makan tanpa banyak soal. Masing-masing kepenatan.

Izhar menghulur setin air. Aku pandang wajahnya sekilas. Memang taklah aku nak ambil. Aku abaikan, biar dia terpatung di situ berlama-lama.

Begum bangkit menuju ke kereta sebelum kembali bersama ukelele di tangan.

Okey, ini menarik.

Bila dia mula memetik melodi yang membuai perasaan, suasana sepi bertukar ceria.

"Happy birthday to you, happy birthday to you." Berpadu suara mereka menyanyi sambil tepuk tangan.

Teragak-agak aku ikut menyanyi. Ada hari lahir seseorang ke hari ni? Tapi kenapa mereka pandang aku dan Diana Akasuki?

"Happy birthday to Diana and Ella, happy birthday to you."

"Sorry, Diana. Bukan taknak celebrate tapi birthday kau awal sikit. Kami plan sambut kat sini," jelas Iskandar.

"Okey... lepas tu apa kena mengena dengan Ella?" Diana Akasuki menuding ke arah aku.

"Tarikh lahir dia sama dengan kau la."

Melopong Diana Akasuki memandang aku.

"Oh my God! Tak ada orang lain ke nak berebut lahir kat dunia ni dengan aku?" Diana Akasuki menyilang tangan di dada. Dia ingat lahir kat dunia ni boleh pilih-pilih?

Aku pun tak sangka hari lahir aku boleh sama dengan dia dan juga Maira. Fuh!

"Bahasa Melayu pulak!" Begum sambung petik gitar.

Mereka ramai-ramai menyanyi lagu Selamat Hari Jadi versi Bahasa Melayu. Diana Akasuki buat muka bosan. Aku pula dah bergetar tahan sebak. Dah terlalu lama tiada orang nyanyikan lagu ini untuk aku.

"Korean version!" Begum melaung.

"Saeng il chuka hamnida, saeng il chu ka hamnida, jigu e seo uju e seo, je il sarang hamnida. Kkot ppo da deo gopkke, byeo bo da deo balkke, saja bodayong gam hage, happy birthday to you."

Walaupun tak tahu berbahasa Korea, aku boleh agak lirik lagu tu terjemahan dari lagu Happy Birthday.

Dashi muncul dengan kek di tangan. Serius?

Aku dan Diana Akasuki berpandangan. Dia pun nampak terharu. Tak sangka kami akan sambut ulangtahun kelahiran dalam hutan ni. Siap ada kek lagi. Tapi nak tergelak juga rasanya sebab Luna dan Fong pegang pemetik api sebagai pengganti lilin memandangkan angin agak kuat di luar ini.

Aku tahan taknak menangis depan orang tapi degil air mata ni nak keluar juga. Diana Akasuki tepuk perlahan bahu aku. Setiap dari wajah mereka aku pandang dengan sebak.

"Ella jangan menangis. Kami nangis sekali nanti," tegur Begum disambut ketawa mereka. Jenuh aku lap air mata yang bergenang.

"Berbaloilah kita susah payah jaga kek dari cair untuk reaction ni," ucap Iskandar.

Ah, segannya aku.

"Semoga segalanya akan jadi lebih baik," ucap Dashi, antara senyum dan tidak. Senyum sajalah. Susah sangat.

Kata-katanya aku semat jauh ke dalam hati. Segalanya akan menjadi lebih baik, kan? Hujan tidak selamanya.

Terasa hilang semua kempunan aku bila kek yang gebu dan mencair di mulut itu masuk ke tekak. Dah lama sangat mengidam makan kek. Boleh pulak makan sukahati malam ni. Mereka makan macam nak tak nak. Mungkin dah selalu makan kek.

"Okey tak? Aku yang pilih kek tu."

Aku pandang Izhar yang tak putus asa cuba mendekati aku. Buat tak dengar saja, biar dia mereput kena pulau dengan aku.

"Beribu bintang di langit kini menghilang,
Meraba aku dalam gelap,
Rembulan mengambang kini makin suram,
Pudar ilhamku tanpa arah."

Begum mula menyanyi lagu evergreen di Malaysia, Kau Ilhamku oleh Man Bai. Boleh tahan sedap suara si Begum ni.

Dia menunjuk ke arah Iskandar dan lelaki itu terus menyambung sambil memegang ranting kayu bagaikan memegang mikrofon.

"Sedetik wajahmu muncul dalam diam,
Ada kerdipan ada sinar,
Itukah bintang ataupun rembulan,
Terima kasih ku ucapkan."

Okey... ini memang best gila suara dia. Level artis Youtube ni. Bakat terpendam!

Iskandar mengangkat kedua tangannya, memberi isyarat agar kami nyanyi bersama. Tapi masalahnya aku tak hafal!

"Izinkan ku mencuri bayangan wajah mu.
Izinkan ku mencuri khayalan dengan mu.
Maafkanlah ohh..
Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu.
Kau senyumlah ohh...
Sekadar memori kita di arena ini..."

Aku tergelak bila masing-masing nak tunjukkan kehebatan vokal part 'ohh' tu. Siap mimik muka dan gaya lagi. Berpadu dengan tepukan tangan dan petikan jari. Fong yang Cina tu pun semangat menyanyi. Hafal pulak dia. Ingatkan lagu Kungfu Hustle je dia tahu.

Diana Akasuki pun masuk air. Menyanyi sampai teleng kepala. Aku pandang Dashi yang nampak gembira. Jarang-jarang nak tengok dia menyanyi sambil ketawa begini.

"Kau ilhamku..."

Uhuk! Rasa tercekik bila Dashi pandang aku waktu lirik terakhir itu dinyanyikan.

Mereka bertepuk tangan menghabiskan lagu. Begum memang baguslah boleh ubah suasana.

"Tak aci Ella tak nyanyi!"

Alamak, Begum ni cari pasal la! Perasan pula dia aku hanya jadi penonton.

"Tak hafal." Aku membela diri.

"TAK HAFAL?" Masing-masing macam katak melompat terkejut dengan pengakuan aku. Teruk sangat ke?

"Lagu hit Malaysia kut! Kau asal Zimbabwe ke apa?"

Kurang asam si Fong ni. Berlagaklah tu sebab dia tahu.

"Tahu la lagu tu. Tapi tak hafal."

"Kalau macam tu, kau kena nyanyi satu lagu."

Erk!

Apa Diana Akasuki ni? Saja nak kenakan aku ke apa? Argh!

"Tak laratlah nak nyanyi. Demam." Aku tersengih. Sedaya upaya mengelak. Malulah! Dah la suara macam ungka, ada hati nak menyanyi depan orang. A BIG NO!

"Oh, tadi sibuk ke hulu ke hilir, tiba-tiba demam pulak? Birthday girl kena la belanja kami lepas dapat kek."

Eh, Diana Akasuki ni tak sedar diri yang dia tu birthday girl juga.

"Satu je, Ella. Jangan risau, aku back up." Begum meyakinkan aku.

"Tak hafal lagu la."

"Apa-apa lagu je."

Aduhai. Aku ni jarang dengar lagu. Semua diam menanti aku menyanyi, lagilah meremang aku dibuatnya. Otak laju memutar memori. Aku banyak tengok muzikal kanak-kanak je sebab nak hiburkan Maira, adik aku tu.

"Okey..." Aku tarik nafas panjang, memandang sekilas ke langit yang bertabur bintang-bintang indah. Begum dan sedia dengan ukelele. Dia memetik sekali, memberi isyarat.

"Indahnya langit malam,
Bulan terangi alam,
Bersama bintang-bintang,
Mimpi yang indah."

https://www.youtube.com/watch?v=UtAcadW2i8w

Lagu lama olahan Didi and Friends, Selamat Malam. Memang aku suka lagu ni, tenang macam ala-ala lagu China klasik. Aku menyanyi lambat-lambat, bawa suasana sepi, macam biasa aku nyanyikan pada Maira.

"Indahnya suasana, bunyi haiwan di hutan,
Dan sungai yang tenang, mimpi yang indah,
Mimpi yang indah..."

"Mimpi yang indah..." Begum ikut sama nyanyi di baris akhir sebagai harmoni. Kami berpandangan dan saling senyum. Mujur Begum back up, tak adalah teruk sangat.

"Yeah!" Iskandar bangkit dan bertepuk tangan, berdiri di depan Begum hingga terhalang pandangan aku. Cemburu ke aku nyanyi siap pandang-pandang Begum? Begum tu dah bertunang la encik bos.

"Mengantuk aku dengar kau nyanyi. Spoil, Ella. Lagu slow jugak kau pilih," rungut Diana Akasuki. Aku cuma ketawa saja.

Keadaan kembali sunyi bila masing-masing melayan perasaan sendiri. Luna bersandar sambil merenung langit. Izhar dan Fong mengemas saki baki makanan. Aku sendiri sudah mengantuk dalam sengal-sengal badan yang masih terasa.

Diana Akasuki mencuit bahu sambil memuncungkan bibir ke arah Izhar.

"Apa hubungan kau dengan dia? Dari hari tu kacau kau kat kafe, sampai ke sini dia ikut. Asyik pandang kau je. Muka seposen tak boleh bawa bincang. Memang dia ke punca kau kena pukul? Aku tahulah muka kau tu memang jenis muka minta kaki tapi nak jugalah tahu puncanya. Siapa dia sebenarnya?" Diana Akasuki dah serupa makcik bawang. Sempat juga selit kutukan secebis untuk aku.

Aku kerling ke arah Izhar.

"Makhluk asing." Itu saja mampu aku jawab. Setahu aku kami tak ada hubungan apa-apa dia. Dia hanya manusia yang sangat hebat dalam menyusahkan orang lain.

"Kau tahu, lepas Iskandar tumbuk dia malam tu, mereka berdua sekali dengan Dashi duduk berbincang. Serius semacam. Tiba-tiba Iskandar macam naik hantu. Dia cekak kolar si Izhar tu sambil bentak supaya tak menipu. Entah apa yang Izhar tu cakap. Sungguh-sungguh dia cakap yang dia tak tipu dan dia nak minta bantuan Iskandar dan Dashi."

Cerita Diana Akasuki membuatkan ada gusar berkembang di hati. Cerita apa pula yang Izhar reka cipta?

Unggun api aku renung seketika. Bunyi letupan kecil api memamah kayu mengisi sepi malam. Diana Akasuki diam, mungkin memberi aku ruang selepas apa yang dia sampaikan pada aku agak mengganggu emosi.

"Macam mana esok?" soal Begum pada Iskandar, menarik perhatian kami.

"Nampaknya kita kena batalkan rancangan asal kita. Esok pagi kita balik ke bandar." Raut wajah Iskandar nampak kecewa.

"Kenapa tak teruskan saja?"

Aku ketap bibir. Dashi pandang aku. Begum dan Iskandar pandang kami. Sebab... kami cakap ayat yang sama, serentak.

"Sebab alang-alang kita dah sampai di sini." Dashi terus bersuara, menghalang pandangan curiga mereka. Bukannya ada maksud apa-apa pun.

"Kita tak ada bahan, semua keperluan pula dalam rumah yang terkunci tu, jalan keluar ke kedai paling dekat pun ambil masa hampir sejam pergi dan balik. Mungkin lebih baik kita balik saja. Diana dan Luna pun macam nak balik." Iskandar mengeluh berat.

"Maaf susahkan kau orang." Sayu suara Iskandar di hujung ayat.

"Jangan cakap macam tu, Iskandar. Memang hari ni memenatkan, tapi kita tengok dulu esok macam mana," Begum bagai memujuk. Kami semua tahu niat Iskandar memang baik cuma ianya kurang perancangan.

"Baru pukul 9.30 malam tapi macam dah pukul 12.00 malam. Gila ah, aku dah mengantuk!" Begum menggosok kasar kepalanya.

"Kalau kita tidur ni, aku rasa boleh masuk Malaysian Book of Records. Tak pernah-pernah aku tidur awal," Dashi menambah sambil ketawa. Entah apa yang kelakarnya. Dia nampak lebih santai malam ni.

"Fong, khemah senget tu!" Begum melaung pada Fong yang nampak putus asa membetulkan khemah kedua di bawah sinaran spotlight.

"Apa kata..." Iskandar menyatukan hujung jari kedua tapak tangannya. "...kita main True or Dare?"

Dashi dan Begum angkat ibu jari. Terus segar bugar dua orang lelaki itu. Si Izhar pula masih tak henti-henti tenung aku. Rasa nak cucuk saja biji mata dia dengan kayu api.

Mereka memanggil Fong dan Luna agar menyertai kami di depan unggun api. Luna bersetuju tanpa banyak soal. Mungkin cari alasan untuk melupakan kegalauan hatinya.

"Aku out!" Diana Akasuki angkat kedua tangan.

"Ala... jomlah! Bila lagi," pujuk Iskandar.

"Please..." Dashi terkelip-kelip mata memandang Diana Akasuki. Aku tahan senyum tengok perangai Dashi lain macam. Biasanya aku hanya tengok dia waktu kerja, kekwat dan serius.

Bila Diana Akasuki bersetuju dalam terpaksa, permainan dimulakan tanpa ada sesiapa tanya persetujuan aku.

Kami pilih ranting dalam genggaman Iskandar untuk tentukan giliran sambil Begum jelaskan peraturan permainan.

Penyoal akan meminta Penjawab memilih antara True atau Dare. Jika Penjawab memilih True, dia mesti menjawab satu soalan dari penyoal. Jika dia memilih Dare, dia mesti melakukan cabaran yang diberikan oleh Penyoal. Penjawab boleh menukar kepada Dare jika dia tidak mahu menjawab soalan dari Penyoal dan begitu juga sebaliknya.

Tiba-tiba rasa berdebar pula bila dah jelas tentang True or Dare ni.

Permulaan permainan, Diana Akasuki menjadi Penyoal dan Begum sebagai Penjawab. Begum memilih Dare dan Diana Akasuki mula tunjuk perangai dia. Disuruhnya Begum masuk dalam sungai yang mengalir tenang tak jauh dari tapak khemah.

Menjerit-jerit chef itu bila mencecah air di gigi sungai. Dari rasa kesian, ketawa juga aku dibuatnya. Menjerit kalah perempuan!

Mujurlah sungai kecil itu hanya dalam separas pinggang. Menggigil Begum duduk di depan unggun api mencari haba memanaskan badan. Diangkat penumbuk menunjuk ke arah Diana Akasuki.

"Lain kali pilihlah True!"

"Tak nak! Aku tahu kau nak tanya apa!" Begum menyilang tangan tanda tak puas hati.

"True."

Dengan keyakinan 100% Luna memilih. Cuaklah tu tengok Begum kena Dare yang teruk.

Begum menegakkan badannya, bersedia untuk 'menghantar serangan'. Masalahnya, aku pun cemas sekali.

Begum - Luna.

Anak mata kami teralih antara 2 manusia ni sahaja.

"Apa alasan sebenar kau bekerja di Box In The Ship?"

Berkerut dahi aku pandang Begum. Apa punya soalan ni, senangnya!

Aku pandang Luna. Wajahnya berubah.

Sekejap.

Bukan wajah Luna sahaja. Wajah Iskandar, Dashi dan Diana Akasuki pun turut berubah. Tegang mungkin.

"Padahal... kau ada masa depan yang baik di syarikat besar," sambung Begum.

"Begum..." panggil Dashi. Namun, belum sempat dia bersuara, Luna sudah mengangkat tangan.

"Dare." Dia mengubah cabaran.

Makin berkerut dahi aku. Aku pandang Fong, Fong pandang aku. Nampaknya kami berdua saja yang tak tahu apa yang berlaku. Mungkin Izhar pun tak tahu tapi aku lenyapkan dia untuk malam ni. Aku taknak sebut nama dia walaupun dia ada depan mata aku bersebelahan dengan Fong.

"Okey." Begum jungkit sambil bersandar. "Kau kena letak handphone depan kami. Panggilan pertama yang masuk sebelum permainan tamat, kau kena jawab dan buat mode loud speaker bagi kami semua dengar."

Luna terus mengeluarkan handphone dan diletakkan di atas potongan batang kayu yang besar di hadapannya. Jelingan tajam dihadiahkan pada Begum yang tersenyum nakal. Entah apalah yang sedang terjadi antara mereka semua.

" True." Dashi meneruskan permainan.

"Kau pasti?" Iskandar angkat kening.

"Aku tak ada tenaga untuk buat cabaran."

"Okey..." Iskandar gosok kedua tapak tangannya. Aku tahu dia sedang memerah otak untuk kenakan Dashi. Masalahnya kenapa aku pun ikut debar sekali?

"Untuk masa sekarang, ada seseorang yang istimewa dalam hati kau?"

Okey... aku rasa cengkerik pun terdiam dengan soalan Iskandar. Muka aku terasa panas. Tekak terasa gatal dan aku berdehem sedikit. Laju saja Dashi alih pandang ke arah aku membuatkan aku rasa tercekik.

Diana Akasuki yang tersandar sudah terdorong ke depan, memandang Dashi tidak berkelip.

Dashi menghela nafas dan aku bagaikan dapat mendengar detakan jantungnya.

Over sangat kau ni, Ella.

"Dare."

"Hah? Apa ni main tukar-tukar!" Iskandar tak puas hati. Aku pun!

"Kalau macam tu, tunjuk pada aku jika ada orang yang kau suka di antara kita malam ni." Nakal sungguh Iskandar ni siap bertepuk tangan dengan Begum. Aku rasa mereka berpakat kenakan Dashi.

Dashi nampak bengang. Aku pula rasa berpeluh tapak tangan dah kenapa?

"True!" Dashi tukar balik cabarannya. Makin tambah galak dua ketul mamat tu ketawa tak ingat dunia.

Sekejap...

Dia tak nak buat cabaran Dare sebab... dia ada suka seseorang antara kami ke?

Bertenang, Ella. Tolong jangan perasan. Bukan kau seorang saja wanita dalam kumpulan ni.

"Okeylah. Sebab kesian, bolehlah tukar True balik. Jadi, apa jawapannya? Ada seseorang yang dah miliki hati kau?"

"Ada." Sepatah Dashi menjawab.

Aku ketap bibir.

Begum dan Iskandar bersorak macam orang tengok bola. Sengetlah mereka ni.

"Aku dah cakap dah!" Begum tepuk bahu Iskandar berkali-kali.

"Akhirnya!" Iskandar ketawa lagi. Sikit lagi aku bangun dan humban dua ketul ni masuk api.

Aku tengok wajah Dashi yang menahan malu dibahan kawan-kawannya. Sikit pun dia tak angkat muka pandang kami.

Kesian dia.

"Cukuplah! Giliran siapa pulak?" Diana Akasuki mencelah. Geram juga dia dengan perangai Iskandar dan Begum yang kebudak-budakan. Dashi pun satu. Boleh je nak tipu.

Atau... dia sebenarnya nak confess dalam diam?

"Aku!" Fong angkat tangan.

Alamak. Fong berpasangan dengan aku. Dia dah angkat-angkat kening pandang aku. Eee... aura jahat dia lain macam!

"True." Aku rasa dalam keadaan aku sekarang, aku tak ada mood nak buat sebarang cabaran. Lagipun aku bukannya ada rahsia sangat dengan mamat sepet ni.

"Kau orang Islam, kan?"

Aku pandang tepat anak mata Fong. Soalan pembukaan dia tu memang menaikkan darah aku.

"Kenapa kebanyakan orang Islam macam kau membuatkan orang nampak agama kau tu tak baik?"

"Woo... ini menyentuh sensitiviti ni," Begum mencelah.

"Haah, Fong. Mana boleh tanya soalan Sensodyne tu. Dan ianya bersifat umum," Dashi turut memberi pendapat.

"Kau kena sedar di sini, bukan Ella saja orang Islam, Fong." Ish, Izhar pun sibuk bersuara. Aku dah cukup berapi sekarang.

"Kau sayang mak kau?" soal aku, mematikan kata mereka semua.

Fong mengangguk sekali.

"Tapi kenapa kau masih lukakan hati dia dengan tak ikut cakap dia?"

Fong diam.

"Tapi bila orang kata kat kau, kau jahat sebab mak ayah kau yang tak pandai didik anak, agaknya apa jawapan kau?"

Semua pandang aku. Ya, aku marah ni. Dah cukup serabut dengan semua masalah, dia boleh pula timbulkan isu macam ni pula.

"Ella, dia cuma..."

"Jawab aku, Fong." Aku tekan Fong, tak beri peluang pada Begum yang cuba tenangkan keadaan.

"Kalau aku kata mulut kau celupar dan suka cari salah orang sebab mak ayah kau tak ajar untuk jaga hati orang, apa kau nak jawab pada aku, Fong?" Baju sejuk yang menyelimuti tubuh aku tolak ke riba, tegak memandang Fong yang tak lepas dari merenung aku dalam simbahan cahaya api yang oren kemerahan.

"Parent aku tak salah. Kelemahan itu dari aku dan tak ada kaitan dengan mereka. Mereka dah didik aku sebaiknya," jawab Fong, satu persatu.

"Then you get the answer." Aku kembali bersandar. Rasa penat datang semula. Silap masa dia nak tanya soalan tu.

Bukan kerana orang yang beragama Islam itu berperangai buruk melambangkan agana itu yang buruk. Dalam diam aku akui, aku sendiri tidak membawa imej Islam sebenar dalam kehidupan aku walaupun bertudung.

Suasana agak sepi. Janggal. Ah, aku baru nak tenangkan diri.

"Phew... okey, guys. Tenanglah. Kita cuma santai-santai saja," Begum memecah sepi.

"Kita teruskan..." Iskandar terhenti bicara bila handphone Luna berbunyi tanda ada seseorang sedang menghubunginya.

Luna mengangkat handphone dan menayang skrin yang memaparkan nama pemanggil sebagai 'Mommy Strawberry.' Geli pulak aku baca dia simpan nama mak dia macam tu. Mungkin sebab aku tak berjiwang dengan mak sendiri, jadi aku rasa cringey.

          "Sailormoon Luna! Kenapa tak balas mesej umi?"

Kami terkekeh tahan gelak sambil tutup mulut. Luna dah segan bila mak dia panggil dia sebagai Sailormoon. Begum dah ketar perut agaknya, dicengkam baju di badan tahan ketawa. Makin nak ketawa aku dibuatnya.

           "Orang dalam hutanlah, umi! Ish, tak payahlah panggil orang Sailormoon!"

Diana Akasuki pun bantai gelak tanpa suara.

          "Beritahulah perkembangan kat sana."

          "Perkembangan apa, umi? Kami berkhemah macam biasa je!"

          "Iyalah! Dia pun pergi kan?"

Kami berhenti ketawa. Dia?

Luna nampak gugup.

          "Tak ada apa-apa, umi. Kita sembang nanti!"

          "Ish, apa yang tak ada apa-apanya? Dah berapa bulan dah Luna kerja kat sana. Takkanlah hubungan kau orang tak ada apa-apa lagi? Dia suka Luna tak?"

Hubungan?

Diana Akasuki cubit peha aku sampai rasa nak tercabut isi dari tulang. Gosiplah tu!

          "Bye, umi!" Luna laju-laju matikan panggilan.

Suasana kembali janggal.

Maksudnya, Luna kerja di kafe sebab nak dijodohkan antara lelaki-lelaki yang ada di antara kami ke? Betul ke apa aku sangkakan ni?

         "Kau tak patut buat Dare tu, Begum." Aik, Dashi marah ke?

          "Mungkin awak patut masuk tidur, Luna." Eh, Iskandar pula suruh Luna pergi. Mungkin perasan wajah Luna yang dirundung pilu.

Aku yakin ada sesuatu di antara mereka.

Luna berdiri, menunduk sedikit dan terus berlalu tanpa pandang ke belakang.

          "Mungkin sampai sini saja permainan kita." Dashi bangkit dan beredar mengikut langkah Luna yang jauh ke hadapan.

Diana Akasuki pandang mereka berdua tanpa lepas. Dari kejauhan, nampak Dashi sedang bercakap dengan Luna sebelum gadis itu memanjat tangga menuju ke bilik kami.

           "Salah aku ke rosakkan suasana?" Begum menunjuk kepada dirinya sendiri namun tiada siapa menjawab.

Iskandar beredar masuk ke dalam khemah diikuti Izhar. Fong pula termenung memandang langit. Tersinggung ke dengan apa yang aku cakap tadi?

Entahlah. Aku pun tak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Aku berdiri ingin beredar juga namun pandangan menjadi berbalam-balam sebelum lengan kiriku erat digenggam seseorang.

          "Ella!"

Aku buka mata. Ah, Diana Akasuki rupanya.

          "Sorry, tiba-tiba gelap sekejap." Aku tersengih memandangnya.

         "Duduk diam-diam. Aku dah cakap kau tu tak sihat lagi. Mujur tak jatuh dalam api. Kalau tak, dah jadi Ella Panggang tau!"

Aku ketawa perlahan dalam pening. Diana Akasuki kalau cakap lepas, memang kelakar ayat dia.

          "Kau ni betul-betul tak sihat. Boleh pulak ketawa. Kau duduk dulu tenang-tenang. Jangan bangun tiba-tiba. Sebab itulah mata jadi gelap. Aku tak nak dukung kalau kau pengsan tau! Dah okey nanti baru masuk bilik."

          "Ya, doktor." Aku akur saja bila Diana Akasuki tutup tubuh aku dengan baju sejuk.

          "Begum," panggil aku bila Diana Akasuki beredar menuju open cabin.

          "Apa?"

          "Nyanyi satu lagu. Lagu yang relaks je."

          "Kau ingat aku radio? Main tuju-tuju lagu?"

          "Bolehlah..." Aku memuncung. Kedekutlah dia ni.

Begum capai ukelele yang terbaring di tanah. Dipetik-petik mencari ilham.

"Malam bulan dipagar bintang
Tambah seri cuaca malam
Murni sungguh ciptaan Tuhan
Bulan bintang lampu alam

Andai kata bintang menyepi
Bulan tidak berseri
Malam menjadi sunyi
Tidak berseri lagi."

Aku senyum. Pandai Begum pilih lagu. Bulan Dipagar Bintang nyanyian arwah Tan Sri P. Ramlee dan Saloma. Suaranya pun boleh tahan lunak.

          "Siapa nama tunang awak?" soalku bila Begum habis menyanyi.

          "Aisyah."

          "Oh... manisnya nama dia."

          "Orangnya pun manis."

Dari cara Begum tersenyum, dari riak pandangan bila nama si tunang meniti di bibir, aku tahu dia benar-benar jatuh cinta.

          "Macam mana awak tahu, yang dia belahan jiwa awak? Bila awak sedar tentang perasaan tu?" Entah apa yang merasuk aku untuk melontar soalan itu.

          "Hmm..." Begum diam seketika tapi masih tersenyum. Sah, dia sedang mabuk kepayang.

          "Bila kita sedar dia wujud dalam hidup kita walaupun dia tak ada di depan mata kita."

Auww... aku rasa nak tampar diri sendiri sebab rasa sweet sangat ayat Begum tu.

          "Bila awak rasa macam tu? Sampai boleh ambil keputusan untuk berkahwin?"

Begum petik ukelele tanpa lagu yang pasti. Seakan sedang menzahirkan nyanyian hatinya.

          "Masa itu akan datang sendiri. Dan bila ianya tiba, hati kita akan tahu..." jawabnya sebelum kembali menyanyi perlahan.

Aku pandang liuk lentok api, melayan hembusan dingin angin di kaki bukit sambil mendengar petikan ukelele Begum yang membawa 1001 memori di dalamnya hingga tidak sedar, aku terlena.

Benarkah cinta itu indah?

🎐
We are most alive when
we're in love.

Flizwn
4982 words.
1404201533

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro