41 | Teman

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


🥀

Waktu balik dari kafe, lega aku bila lampu jalan dah dibaiki dan ada sebuah kereta yang hidup enjinnya terparkir tidak jauh dari rumah. Rasa la ada teman dari jalan seorang diri. Lama betul jalan ni bergelap, sudahlah banyak semak dengan longkang besar lagi.

Aku henyakkan tubuh selang dua tempat duduk dari mami selepas selesai bersihkan diri.

          "Ada apa-apa ke?" Mami jeling aku. Perasan la aku nak menyendeng. Biasanya balik kerja aku tidur terus kalau tak ada apa-apa kerja kat rumah. Aku kemam bibir sambil tarik bantal peluk ke dada.

          "Mami jangan marah tau..." Ragu-ragu aku menyusun perkataan. Mami masih menonton slot Akasia di televisyen sambil mengunyah kacang.

"Macamana mami kahwin dengan suami mami?"

Mami berhenti mengunyah. Anak matanya bergerak memandang aku dengan senyuman penuh makna. Dah agak dah reaksi mami macam tu.

"Ayah Nailah eh?" Mami jungkit kening, nakal. Aku mengangguk dalam sengihan serba salah berbaur segan. Mami sudah bersila sambil berdehem, meletakkan bungkusan kacang di atas meja kopi. Anak mata mami merenung televisyen tapi aku tahu mami sudah ke 'dunia' lain. Saat itu senyuman mami sedikit suram, mungkin merindukan arwah suaminya.

"Kami berkahwin atas dasar keluarga. Mami tak pernah kenal pun ayah Nailah tu. Kami panggil dia, baba."

Permulaan cerita je aku dah terkejut beruk. "Tak pernah kenal?" Tertinggi nada suara aku, punyalah tak percaya.

Mami tersengih. Mulalah mami membuka ceritanya. Bagaikan kembali ke masa lalu, setiap satu kenangan dengan arwah suami mami diceritakan lengkap dengan emosi dan riak wajah bertukar-tukar hinggalah suami mami meninggal dunia akibat kanser hati.

Anak mata mami nampak bercahaya saat menceritakan bagaimana mami sedar yang mami mula sayangkan suami dia. Sama macam anak mata Begum waktu dia bercerita tentang Kak Aisyah. Walaupun mereka orang yang sangat berbeza namun cinta itu memberi kesan yang sama.

"Sebelum mami kahwin, mami ada sukakan orang lain tak? Crush? Kalau ada, mami teringat dia tak?" tanya aku. Serentak dalam hati terdetik, bodoh ke aku tanya soalan macam ni?

"Kalau dah jodoh, lepas kahwin hilang semua crush tu jadi crash!" sangkal mami sambil ketawa entah apa yang kelakar. Aku mula rasa malu segan sebab tanya soalan mengarut. Nanti mami fikir apa pulak.

"Jadi, sayang tu boleh dipupuk lepas kahwin la?"

Mami mengangguk. "Mungkin sebab orang tu juga berusaha menyayangi kita, kita dapat rasakan tu."

Oh... maknanya, cinta tu tak mustahil akan wujud lepas aku kahwin dengan Iskandar. Lagilah dengan perangai suka ngorat dia tu. Eh, apa ni? Jauhnya aku berfikir!

"Ella nak bercinta lepas nikah ke?"

Aku rasa kena 'serang hendap' bila mami serkap jarang macam tu. Melihat aku mula tak keruan, mami mendekat, meraih tangan aku dan dibawa ke genggaman yang hangat.

"Kalau ada, bawa dia jumpa mami. Mami tak nak Ella kenal lama-lama sangat. Benda tu memang ada baiknya sebab kita boleh menilai peribadi dan latarbelakang dia, tapi yang tak baiknya pun banyak juga. Ella pun dah cukup usia untuk kahwin. Lebih cukup dari Nailah tu," pesan mami sempat pula menyelit ayat akhir tu.

"Mami harap Ella dapat hidup dengan gembira selepas ni. Berjumpa dengan jodoh yang baik, yang akan bagi kehidupan lebih baik. Mami minta maaf atas semua sikap kasar mami dulu. Mami minta maaf sebab lampiaskan kemarahan pada Ella yang langsung tak bersalah," ucap mami, masih menggenggam tanganku. Siapa sangka mami akan berubah begini sekali dalam masa yang singkat. Masih terasa lagi pukulan mami sebelum ini.

"Dah lewat ni. Rehatlah, Ella dah kerja seharian, uruskan rumah lagi. Kalau tak larat, jangan paksa diri. Mami tak nak Ella pengsan lagi macam hari tu."

Tak tahu nak cakap terharu tahap mana lagi bila mami pesan macam ni. Terkelip-kelip kelopak mata aku bila tubir mata terasa hangat.

"Dan satu lagi, tentang ayah. Ella jangan risau. Ayah sayang Ella. Hal hari tu mami dah slow talk dengan ayah. Mungkin dalam seminggu dua ni ayah akan kerap singgah rumah sebab ayah masih di sini sebelum mula kerja semula di luar kawasan semula," beritahu mami.

Lega. Bagai ada satu beban yang terangkat dari bahu bila dengar mami cakap macam tu. Tak lena tidur aku sejak perbualan aku dengan ayah kali terakhir kami bertemu. Jadi, ini maknanya hubungan aku dengan ayah semakin pulih, kan?

Bunyi pintu dibuka dari luar membantutkan perbualan kami. Noah melangkah masuk dengan helmet di tangan. Terhenti langkahnya memandang aku dan mami silih berganti. Sejak ayah pulang tempoh hari, Noah kembali berulang alik antara tempat kerja, rumah bujang sewa dan rumah kami. Ada kumis halus melatari garis rahang, nampak sedikit berserabut.

"Noah dah makan?" Mami bangkit ingin menyambut Noah namun dia terus berlalu mendaki anak tangga tanpa mempedulikan ibunya namun mami tetap tersenyum. Mungkin berlapang dada bila Noah dah kembali.

Di bawah selimut, aku bergolek ke kiri ke kanan sebelum mencapai handphone dan membuka aplikasi kamera. Aku telek wajah sendiri. Parut jahitan di hujung kening aku tonyoh dengan hujung jari sebelum turun ke tulang pipi yang turut berwarna dengan kesan gores yang pudar. Dah la tak lawa, berparut pulak. Mujur kesan bibir pecah dah hilang.

Iskandar ni tak nampak ke aku makin hodoh?

Aku pegang pula bahu kiri, ada kesan kulit yang sedikit menggerutu dapat dirasa walau berlapik kain baju. Parut sebesar tapak tangan itu dah lama menemani diri aku, bagaikan penanda buku pada memori hitam yang takkan aku lupa. Kecederaan sewaktu cuba selamatkan Haniesya dari kebakaran.

Ah, kenapalah buruk sangat kau ni, Ella! Aku gosok kasar muka sendiri sampai tercampak handphone ke tepi.

Bunyi mesej membuatkan aku terpaksa merangkak capai semula handphone tadi.

'Thanks sangat-sangat.'
- Nailah

Mesej Nailah membuatkan aku tersenyum sendiri. Gambar balang berisi mangga asam boi sudah tinggal separuh, selamat bersemadi dalam perut Nailah. Aku dengar dia pesan pada mami untuk belikan mangga. Memikirkan mami sibuk, lepas tu renyah pulak Nailah nak potong memotong, aku beli yang dah siap berasam boi dan suruh runner hantar sampai depan rumah atas nama Nailah.

Walaupun RM15 untuk sebalang kecil mangga tu nampak biasa tapi nilainya besar bagi aku sebab boleh beli seekor ayam. Tapi bab belanja, aku pejam mata je sebab nikmat tengok orang bahagia dengan sesuatu yang aku usahakan untuk mereka tu terlalu mahal. Rasa macam ada la sikit 'function' aku hidup kat dunia ni.

Nenek kata nanti Tuhan balas balik kat aku sepuluh kali ganda dari apa yang aku bagi pada orang lain. Ah, rindu pulak kat nenek. Nanti nak ajak Izhar jumpa nenek la.

Sepanjang malam aku tak lena tidur memikirkan perbualan aku dengan mami tadi. Merenung siling tidak berpenghujung. Ada satu benda yang aku tak faham tentang diri sendiri. Rasa macam dah move on dari perasaan gedik aku kat Dashi tapi kenapa aku macam 'tersangkut' pada sesuatu yang membuatkan seolah-olah aku mengharapkan sesuatu dari dia?

Ugh...

🥀

Langkah terhenti di depan pintu kafe lepas aku mop laluan koridor. Kelihatan sebuah kereta yang terparkir agak jauh dari tempat aku berdiri. Entahlah, rasa macam selalu nampak kereta ni. Ah, macamlah aku seorang yang duduk kat bandar ni!

          "Tak boleh. Kena buat all out, bukan barai cincai macam ni." Suara Iskandar terasa dekat sekali.

Inilah hari yang paling berat sekali nak melangkah ke kafe. Sedaya upaya aku mengelak dari bertembung dengan Iskandar. Dia pun nampak sibuk hari ni, kerapkali menjawab panggilan entah dari siapa.

"Nampak Ella?"

Cepat-cepat aku duduk di tepi kabinet bilik simpanan apabila mendengar suara Iskandar. Seminit berlalu, aku mengintai sedikit.

"Sejak bila jadi rakun?"

"Oh mami!" Aku terduduk, terkejut ditegur macam hantu dari belakang. Aku dongak memandang Dashi. Aduh, dalam ramai-ramai orang kat kafe ni kenapa mesti dia?

"Berhenti lari dari masalah. Buat keputusan dan bagi jawapan segera. Menyusahkan," bidas Dashi dengan suara tanpa nada dia tu. Rasa menusuk sampai ke jantung, tembus ke belakang. Semestinyalah dia maksudkan soalan Iskandar semalam. Aku mati-mati ingat Iskandar cuma suka-suka macam tu je rupanya sampai beristeri bagai. Sah dia buta! Aku yang macam ni nak jadikan isteri? Huh!

Dashi menolak kaki aku yang bersarung kasut pemberian Diana Akasuki dengan hujung kasut dia sebab aku menghalang laluannya. Aku mengeluh berat.

Kenapa mesti dia dengar perbualan kami? Kenapa? Kenapa?
Iskandar pun satu. Dah Dashi muncul kat situ, kenapa dia terus cakap lagi? Nak isytihar hubungan kami kat Dashi ke? Eh, hubungan apanya, Ella! Berhenti mengarut dalam otak sendiri!

"By the way, Cik Ella," Dashi berpaling selepas beberapa langkah menapak. "Kalau aku jadi kau, aku takkan menolak," sambungnya, meninggalkan aku terpinga-pinga.

Apa maksud dia?
Dia nak aku terima Iskandar?

Kenapa?
Kenapa?
KENAPA!

Iskandar seakan memahami aku inginkan ruang sendirian. Dia cuma memandang aku dari jauh waktu aku siapkan kerja. Sepanjang hari memang aku doa, berharap dia tak desak aku untuk bagi jawapan.

Malam nanti kami dapat sewaan pertama bagi ruang atas jadi bahagian dapur memang agak sibuk. Iskandar pun ke hulu ke hilir hubungi orang.

"Ella!" Tiba-tiba aku dipeluk dari belakang. Spontan aku menusuk siku ke belakang menyebabkan suara itu mengaduh kesakitan. Aku berpusing dan berundur beberapa tapak dengan nafas yang laju. Terkejut yang teramat sangat. Masih teringat-ingat serangan Noah sebelum ni.

Izhar rupanya! Terbongkok dia menahan senak di dada. Sakit hati bila dia muncul macam ni. Tapi dia tak salah pun. Aku yang salah sebab tak lupakan benda yang dah lepas.

"Maaf, Ella terkejut. Janganlah muncul macam penyangak!" Geram betul. Tak adanya aku nak kesian.

"Tak apa. Sekurang-kurangnya abang tahu Ella pandai lindungi diri." Izhar tersengih dalam kerutan membuatkan aku ketawa juga akhirnya.

"Baru abang tahu, rindu kat Ella lebih teruk dari rindu kat ex abang. Ella apa khabar? Tak nak ke pindah duduk dengan abang?" tawar Izhar ketika kami duduk di lorong belakang kafe. Kata Izhar, dia dah minta izin Iskandar untuk pinjam aku sekejap.

"Ella selesa kat sini." Jujurnya aku takut nak berpindah. Bayangkanlah, seumur hidup aku tak pernah pindah ke mana-mana pun. Aku takut aku tak boleh sesuaikan keadaan. Lagipun, aku masih nak duduk dengan mami.

Tiba-tiba Izhar tarik tangan aku dan menolak lengan baju sedikit ke belakang. Jam tangan pemberian Izhar yang elok melilit pergelangan tangan aku dipandang sebelum dia menghidupkan telefon bimbitnya.

"Ni gambar jam yang mana?"

Terdiam aku tengok gambar selfie yang aku hantar pada dia sebelum ni. Tak perasan aku pakai jam tangan yang ayah hadiahkan.

"Maaf sangat. Ella tak perasan Ella pakai jam lain waktu tu. Jangan sedih..." Alamak, janganlah Izhar tersinggung. Nanti dia ingat aku sengaja nak tunjuk yang aku tak pakai jam dia.

Izhar cubit pipi aku. Selamba!

"Tak apa. Sebab jam inilah abang datang awal sehari ke sini," balas Izhar, kembali tersenyum. "Tapi, Ella beli ke atau ada orang hadiahkan? Nampak macam jam baru."

Perlu ke aku beritahu Izhar? Wajah tertanya-tanya Izhar aku renung seketika. Dia memang mewarisi air muka ayah dengan kening dan mata yang sama.

"Ayah."

Seperti yang dijangka, Izhar terperanjat.

"Ayah balik hari tu, lepas Raya," beritahu aku. Izhar diam tak berkata apa-apa jadi aku ceritakan semuanya kecuali bahagian aku gaduh mulut dengan ayah. Aku nak Izhar sedar yang hubungan kami dengan ayah mungkin boleh dibaiki.

"Ella takut abang datang dan gaduh dengan ayah ke? Sebab tu Ella tak beritahu?"

Aku tunduk. Serba salah.

"Hey, tak payahlah sedih. Itu hak Ella. Abang tak berhak nak atur perasaan dan hati Ella." Izhar tepuk lembut kepala aku.

Lagi aku rasa terharu sebab dia memahami. Huwargh, nangislah macam ni!

"Ella!" Pintu belakang terbuka, terpacul wajah Fong di situ. "Bos panggil kumpul sekejap."

Izhar meminta diri kerana ada urusan lain manakala kami berkumpul di meja yang lain.

          "Bulan depan, kita akan buat promosi Hari Bapa. Begum dan Fazley, beri saya proposal set hidangan istimewa untuk bapa. Mar Anas, rujuk Dashi berkenaan layout untuk pamplet dan promotion platform. Yang lain akan bertugas seperti biasa. Begum, tolong aktifkan lagi posting Instagram dan Facebook Page kita," jelas Iskandar sambil sesekali menolak rambutnya ke belakang dengan sebelah tangan bercekak di pinggang. Boss mode. Aku lebih suka tengok dia bossy macam ni berbanding cringey mode bila dengan aku.

          "Ella, awak boleh berkelip sekarang."

          "Hah?" Tersentak bila nama aku kena petik dengan Iskandar. Aish, malunya bila semua orang pandang aku. Dah la aku seorang je perempuan kat sini. Aku tenung dia tak berkelip ke tadi. Entah apa dia orang bincangkan pun aku tak dengar. Takpelah, nanti tanya Begum. Nak tanya sekarang nanti kantoi aku tenggelam dalam angan.

Argh, malu gila!

          "Iskandar, kita kena jumpa dengan event planner sebelum habis office hour. Dia orang nak masukkan balloon service dari pihak dia orang sendiri," celah Dashi.

Iskandar melihat sekilas jam di tangan.

          "Biar aku yang pergi. Kau stay," arah Iskandar.

Kami mula beransur meninggalkan tempat duduk masing-masing. Aku ekori langkah Dashi dari belakang.

          "Dashi, bila Diana nak masuk kerja?" soalku.

Dashi merenung aku, macam tengah fikir nak bagi jawapan apa. Aku dah rasa sunyi bila Diana Akasuki tak ada. Nak sembang sangat dengan budak-budak laki ni pun naik segan aku.

          "Tanya sendiri," jawab Dashi, ringkas sebelum berlalu pergi tinggalkan aku macam tunggul.

Eh, eh. Sabarnya aku! Kalau Diana balas mesej aku, tak adalah aku tanya dia!

🥀

Majlis perkahwinan Issabella semakin dekat. Entahlah. Aku tak rasa kami masih berkawan. Mungkin inilah pertemuan akhir kami sebelum dia mulakan hidup baru bersama bakal suami.

Ah, negatifnya fikiran aku!

Mungkin inilah peluang aku baiki hubungan kami. Aku nak kekal jadi kawan dia. Biarlah jadi kawan tersembunyi dari circle hidup dia, aku rindu nak melepak kat studio, bersembang sampai lupa siang malam sambil makan kerepek.

Issabella paling suka makan kerepek terutama kerepek pisang yang nipis-nipis kekuningan. Dia juga suka minum Ahmad Tea perisa Lemon and Fruit dengan sukatan satu uncang direndam 2 minit, setengah sudu madu dalam mug kesayangan berwarna hijau zamrud.

Ah, aku hafal banyak perkara tentang dirinya. Adakah aku terlalu obses dengan seseorang yang baik pada aku? Mungkin sebab tu aku rasa terluka sangat bila mereka tinggalkan aku.

Pagi masih awal, kafe pun baru dibuka. Tiba-tiba telefon bimbit bergetar menandakan ada panggilan masuk. Berderau darah melihat nama Evercare House terpapar di skrin. Baru dua hari lepas aku hubungi nenek dan nenek dengar macam sihat je.

Saat telefon melekap di telinga, apa yang aku takuti menjadi nyata. Aku berjalan laju mencari Dashi sebab aku yakin Iskandar belum sampai lagi sebab keretanya tak ada di tempat parkir.

"Dashi..." Aku ketap bibir. Macamana aku nak cakap tanpa menangis ni? Oh, tolonglah jangan lembik, Ella!

Dashi yang mulanya nampak bosan bila aku panggil namanya terus berubah wajah melihat muka aku yang mungkin dah serupa tempoyak masam. Sekelip mata dia sudah di depan aku.

"Saya..." Aku ketap bibir bila suara sendiri bergetar. "Saya nak minta off-day hari ni, boleh?"

"Kenapa?"

"Nenek saya... tak sedarkan diri." Berderai juga empangan tubir mata. Menggigil tangan aku mengusir air mata, tak nak Dashi anggap aku cuba meraih simpati.

"Okey, nanti saya beritahu Iskandar," ujar Dashi.

Tanpa berlengah, aku berlari ke bilik staff untuk mengambil beg sandang.

"Ouch!" Aku pegang tulang keting yang terlanggar kaki meja. Menggelabah punya pasal.

"Awak pergi naik apa?" Dashi mengekori aku ke pintu belakang kafe.

"Bas," jawabku, pendek.

"Lambat. Mana Izhar?"

"Dia... tak ada kat sini." Pedih terasa bila aku gosok kasar mata yang mula berair. Jangan nangis, Ella! Jangan nangis! Jangan lembik! Jangan tunjuk lemah depan Dashi!

"Tunggu sekejap!" Dashi menahan lalu mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar.

"Saya nak cepat." Aku tak peduli dan meneruskan langkah namun hampir-hampir saja aku terjatuh ke belakang bila Dashi rentap beg yang tersandang di bahu.

"Tunggu." Wajahnya serius, buatkan aku tak jadi pergi.

Resah membuatkan aku berjalan mundar mandir di hadapan Dashi. Aku nak cepat. Rasa takut yang amat sangat mengenangkan nenek. Ya Allah, jangan ambil nenek lagi. Bukan sekarang.

Aku toleh pada Dashi yang mula resah bila panggilannya tidak berjawab.

"Iskandar tak jawab. Dia boleh hantarkan kau sebab tadi dia cakap dia dah gerak ke kafe," jelas Dashi dengan wajah susah hati.

"Awak nak suruh saya tunggu bos ke!" Tanpa sebab, aku rasa sakit hati. "Saya pergi sendiri." Aku hala kaki menuju ke jalan besar.

"Ella!" Dashi berdiri di laluan aku.

"Saya naik teksi, cepat sikit." Suara aku dingin, entah mengapa. Dah la orang tengah sedih gila ni.

"Sini," perintah Dashi yang berpatah balik ke arah pintu belakang kafe. Aku cuma tegak berdiri memandangnya. Otak aku macam stuck, tak tahu nak buat apa. Rasa nak terbang jumpa nenek sekarang.

"Ella!" bentak Dashi, menarik aku kembali ke dunia realiti. Dengan terpaksa, aku ikut langkahnya.

"Begum, kau naik kereta ke motor hari ni?" soal Dashi pada Begum yang sedang membasuh tangan di sinki.

"Unta."

"Begum!"

"Kereta yang paling mahal tu la."

"Pinjam."

"Sewa satu jam RM80," sela Begum, selamba sambil mengibas tangan yang basah.

"Begum, Ella kena ke hospital sekarang. Nenek dia sakit!" marah Dashi sampai nampak urat lehernya tegang. Aku pulak yang seram. Bukan nenek dia pun.

Begum nampak terpinga-pinga lalu merenung aku untuk lima saat yang aku rasakan begitu lama. Mujur belum sempat aku bersuara Begum terus suruh Dashi ambil kunci keretanya di bilik staff.

"Tolong tengok budak-budak tu makan. Kane kena bagi mangkuk asing. Slow eater. Lepas tu jangan lupa bagi minum susu. Aku dah tulis sukatan dia kat board." Sempat dia pesan pada Fong agar tengok-tengokkan anak angkat kafe yang gebu-gebu tu. Siapa lagi kalau bukan si anak-anak kucing.

"Tapi... tapi... saya tak reti susukan budak-budak tu." Muka Fong tak rela sungguh.

"Bukan susukan, pegangkan botol susu je. Kau ada susu ke nak susukan dia orang?" bidas Dashi.

Terkulat-kulat Fong sebelum mengangguk dengan muka pasrah.

          "Kita naik kereta berdua ke?" soal aku ketika Dashi melangkah laju ke kereta Begum.

Dashi pandang aku dengan muka tak percaya.

          "Kau naik teksi, sama je berdua-duaan dengan pakcik teksi tu, kan? Lagipun aku boleh bawa lagi laju," jawab Dashi dengan kening berkerut-kerut.

Memanglah... tapi...

          "Ella, fokus pasal nenek kau." Dashi sedikit membentak. Geram dengan aku yang sendiri pun tak tahu mana nak fikir dulu.

Sebelum masuk ke dalam kereta, Dashi berhenti seketika, memandang ke jalan masuk blok kafe. Aku yakin dia menantikan Iskandar. Kemudian dia pandang pula dengan wajah paksa rela. Dia takut Iskandar salah faham kut memandangkan Iskandar dah 'cop' aku depan mata dia tempoh hari.

Memang berdesup dia bawa kereta, tapi wajahnya kekal tenang walaupun dihon kereta lain. Dari tempat duduk penumpang, aku pandang belakang tubuh Dashi dan sisi wajahnya. Aku berharap itu adalah Izhar. Tidaklah hati aku mula rasa begini. Merasakan dia ada di waktu aku memerlukan seseorang.

Tolonglah, bukan dia...

Aku mesej Issabella tentang nenek tapi bila nak tekan butang 'send', aku padam semula. Layak lagi ke aku nak berkongsi masalah aku dengan dia? Aku masih kawan dia ke?

Aku mesej Izhar pun hanya satu tick sahaja. Mungkin handphone dimatikan. Aku betul-betul tak tahu nak cakap dengan siapa. Aku rasa lost.

Walaupun kami sampai di hospital luar dari waktu melawat, aku dibenarkan naik ke ICU. Dashi pula mengaku sebagai Izhar, abang aku. Ingatkan dia nak hantarkan ke lobi je tapi bila dah sampai hospital, automatik aku dah tak peduli kat dia bila tahu nenek bukan ditahan di wad biasa.

Doktor jelaskan panjang lebar pada aku ditemani penjaga nenek di Evercare House bernama Kak Asmah dan Dashi. Nenek alami sesak nafas waktu bangun pagi tadi dan terus rebah tapi Kak Asmah kata nenek sempat sebut nama aku. Sekarang nenek ditidurkan, di-intubate untuk membantu pernafasan dan tiada sesiapa dibenarkan untuk masuk sehinggalah keadaan nenek stabil nanti. Paling awal tengahari nanti, mungkin juga petang atau esok hari.

Selepas Kak Asmah pergi, aku melangkah longlai mencari kereta.

"Kau nak ke mana?" tanya Dashi.

"Kafe. Kerja. Mana kereta?" Melilau mata aku tanpa melihat ke arah Dashi.

"Tak payah. Tunggu nenek kau kat sini."

"Tak boleh. Saya kena kerja. Nanti saya fikir banyak sangat." Langkah aku makin laju bila nampak bayang kereta Begum.

"Ella!" Sekali lagi Dashi tarik beg sandang aku sampai aku terundur setapak ke belakang.

"Saya... saya tak boleh..." Nafas terasa sesak. Aku tersandar di dinding koridor luar hospital sebelum melurut terduduk di lantai. Tanpa peduli Dashi yang masih ada di situ, aku menangis tanpa suara. Aku tahu nenek dah tua tapi aku tak pernah terfikir nenek yang selalu nampak sihat itu akan jatuh sakit tiba-tiba.

          "Kita ke kafeteria hospital. Kau tak sarapan lagi, kan?"

Aku tunduk, meletakkan kepala pada lengan yang bertopangkan lutut. Suara Dashi tak dapat diproses oleh akal aku yang penuh dengan kemungkinan-kemungkinan jika nenek pergi dulu.

          "Ella."

Akhirnya aku angkat muka. Dashi dah bertinggung di hadapan aku. Aku segan dia ada kat sini. Aku nak menangis sendirian. Kenapa dia bukan Izhar?

          "Kita ke kafeteria." Dia mengulang.

Aku mengangguk perlahan, akur. Aku mengambil tempat duduk yang paling hujung. Orang pun dah mula beransur kurang. Tangan aku menggigil hebat. Aku tautkan kedua tangan dan genggam dengan kuat, cuba untuk hentikan tapi tak mampu sampai aku menangis balik macam orang gila.

Dashi mampir, meletakkan mangkuk bubur ayam dan air kopi di dalam tin di antara dua tapak tangan aku, sejuk sekali.
Menenangkan. Aku genggam kuat agar hilang menggigil ni. Asap nipis dari mangkuk bubur membawa bau yang menyelerakan tapi selera aku dah hilang.

Dashi duduk membelakangi aku di meja hadapan, selang dua kerusi ke kiri. Nampak berselera menikmati hidangannya. Kesian pulak, teman aku sampai kelaparan.

Mengenangkan jasa baik Dashi, aku makan juga bubur yang mula suam namun bila setitis air mata jatuh ke dalam mangkuk, ia membuatkan aku teresak perlahan. Aku tolak kembali mangkuk itu ke hadapan dan tekup muka dengan dua tapak tangan.

"Sorry. Saya tak nak nangis tapi..." Susahnya nak berhenti menangis. Kesedihan bercampur ketakutan. Sukar untuk dinafikan.

"It's normal to cry. Kau tak perlu minta maaf pun," ucap Dashi tanpa berpaling ke belakang, buatkan aku rasa ada ruang sendiri untuk melepaskan rasa yang membelenggu.

"Saya cuma ada nenek. Nenek itulah mak dan ayah saya. Kami dah janji nak pergi umrah sama-sama. Saya tak ada orang lain selain nenek. Nenek yang banyak bela saya waktu saya kena fitnah dengan teruk dulu. Nenek..." Aku menangis sepenuh hati.

"Aku tahu. Dia nenek yang hebat." Suara Dashi merendah seolah-olah dia memang kenal nenek. Mungkin dia berusaha buatkan aku tak terasa asing berbicara perkara peribadi ini dengannya.

"Macamana kalau nenek... pergi?" Terasa bodoh bila aku tanyakan soalan itu pada Dashi yang bukan keluarga aku. Tapi aku betul-betul tak tahan menanggung ketakutan ini keseorangan.

Dashi berpusing memandang aku yang mungkin sudah tak serupa orang.

"Lambat atau cepat, kau dan nenek akan kehilangan satu sama lain. Kau boleh menangis sepuas hati tapi kau kena bersedia untuk itu."

Terdiam aku dibuatnya. Rasa macam kena tampar dengan realiti. Memang mustahil aku dan nenek akan bersama selamanya. Dashi mungkin tak pandai memujuk tapi dia menyedarkan aku, semua yang aku takutkan tetap akan berlaku.

Tidak sedar, aku terlelap dengan kepala di atas meja berbantalkan lengan. Ketika terjaga, hampir-hampir tak boleh tegakkan kepala. Sakit kat tengkuk sebab kepala terteleng ke tepi. Tangan kebas jangan cakaplah. Aduh, macamanalah boleh tertidur!

Aku perasan ada jaket yang bergumpal diletakkan di depan muka aku waktu terlena tadi. Jaket Dashi. Mungkin nak lindung muka buruk aku yang tertidur dari tatapan mata orang lain. Orang pertama aku cari, mestilah dia. Masih setia di tempat duduk, membelakangi aku sambil membaca sesuatu di skrin handphone. Serius, aku terharu sebab dia masih ada kat sini tunggu sampai aku terjaga.

Cepat-cepat aku gosok mata dan tepuk perlahan pipi biar nampak segar. Aku tengok jam, dalam sejam jugak aku terlena. Mujur belum waktu makan tengahari kalau tak mesti ramai orang.

Perasan aku terjaga, Dashi berdiri, mencapai jaket dan disangkut pada lengan sendiri. Aku dah segan gila dah ni.

          "Izhar akan datang dalam..." Dia tengok jam di tangan. Muka nampak mengantuk, lagi buatkan aku serba salah.

          "...10 atau 20 minit," sambungnya.

Sebenarnya nak tanya kenapa tak kejut aku tapi aku dah cukup malu sekarang.

          "Esok kau kena datang kerja juga separuh hari. Lepas tu kau boleh ke sini," jelas Dashi dan aku hanya mampu mengangguk.

          "Datang awal sikit, bawa cucur udang."

          "Hah?" Aku ternganga.

          "Hari tu kau janji nak bawa, sampai sekarang senyap. Scammer. Kira upah aku bawa kau ke sini," rungut Dashi dengan wajah bosan.

Dia ungkit cucur udang yang aku bawa waktu renovation kafe dulu tu ke? Dia ingat lagi? Muka minta cucur udang je pun tapi macam ahlong pungut hutang. Lagi satu, dia yang berkeras nak tolong hantarkan ya!

          "Ella!" Tak pandang pun dah tahu suara siapa. Tak sempat aku nak menjawab dengan Dashi, Izhar dah berlari anak dari pintu masuk kafeteria buatkan aku bertambah malu bila orang pandang kami. Tanpa amaran, aku tenggelam dalam pelukannya. Terus rasa sedih tadi datang balik.

          "Maaf, abang ada urusan tadi. Lambat baca mesej Ella." Izhar lepaskan pelukan dan memandang aku dengan wajah bersalah.

          "Ella jangan sedih sangat. Jangan sampai tak makan. Tengok ni, dah kurus," tambah Izhar, nampak risau padahal aku memang kurus pun. Takkan skip sarapan tadi terus nampak kurus gila-gila.

          "Kejap lagi waktu melawat boleh naik jumpa doktor," terang aku.

          "Apa-apa pun, makan dulu. Ella nak makan apa?" Izhar dah melilau mata tengok menu kafeteria yang terpapar di dinding.

          "Dah makan tadi." Aku memang betul-betul tak berselera.

          "Dashi kata, Ella tak makan apa-apa pun tadi," pintas Izhar.

Baru aku teringat kat Dashi. Bila aku sengetkan badan menjengah ke belakang Izhar, Dashi dah tiada. Tak sedar dia dah pergi. Sekali lagi dia buat aku rasa bersalah sebab tak sempat ucap terima kasih.

Ugh!

"Trust is the easiest thing
in the world to loose,
and
the hardest thing in the world
to get back."

Flizwn,
4184words
2906212354
#fallapart

Notes : dah lama tak mencoret nota kaki. Walaupun cerita aku masih banyak perlu dibaiki, tak seramai pembaca buku lain, tak banyak vote dan komen, lambat update dengan berlambak buku tergantung, aku tetap tepuk bahu sendiri mengatakan semuanya baik-baik saja. Wattpad tempat aku larikan diri dari perit dunia realiti, tempat aku habiskan masa tidur dan rehat di sini.

Dalam keadaan aku dan partner kehilangan kerja, dapat kerja tak boleh rentas daerah pula, saving makin berkurang untuk tampung bil-bil, makin sibuk dengan PDPR, terpaksa lepaskan home tutor, lepaskan impian nak pindah kediaman yang lebih baik dan lupakan Dominos 🌝, belum lagi 'perang kecil' hari-hari (sebab kami tak boleh duduk sekali dalam seminggu penuh 🌚) kami berhenti pandang belakang dan mula berniaga kecil-kecilan dalam keadaan tidur tak menentu, dropship sana sini, delivery jauh dekat. Aku bukan merungut kerana setiap orang terjejas di waktu ini.

Cuma aku nak beritahu diri sendiri, dengan semua yang kau lalui sekarang, kau masih boleh update cerita Ella dan A Thousand Years, edit cerita Unbreakable dan shortstory Sisi Gelap, siapkan manuskrip walaupun lembab tak boleh bincang, siapkan ulasan buku review For You Who Wander, join award dan merangka plot baru untuk cerita akan datang. Kau masih okey dan semuanya akan baik-baik saja.

Aku doakan korang semua pun kekal bahagia walaupun hanya di dunia huruf ini. Aku harap ada tulisan aku yang membahagiakan seseorang.

Terima kasih 🌹
Zen.

Psst... tak sabar nak publish part Ella dah kahwin

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro