The Dashi's | Dua

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Bunyi dentingan loceng eletronik menarik perhatiannya. Fokus pada guni berisi biji kopi teralih pada gadis berwajah pucat itu. Nampak sibuk dengan beg sandang yang terjuntai sebelah tali, berjalan lurus ke arah meja paling hujung bersebelahan dengan Jar of Heart.

Segaris senyuman menghiasi wajah Ella saat dia terpandangkan keletah anak kucing yang galak bermain di dalam 'rumah' mereka.

"Bos Dashi, biar saya stock up barang. Saya rasa, bos boleh pergi sembang dengan Ella." Tiba-tiba sahaja Fong mencelah, berdiri di hadapannya.

"Perlu ke aku sembang dengan dia?" soal Dashi, hairan dengan saranan Fong.

"Cara bos pandang dia pun saya tahu ada benda yang bos nak cakap dengan dia," balas Fong sambil menarik hujung guni biji kopi dari tangan Dashi.

"Nampaknya kau dah cukup lama kerja kat sini untuk baca air muka orang," kias Dashi dengan mata yang dikecilkan. Kalut Fong dibuatnya, terus tersengih tidak bersalah.

"Tak adalah, Bos Dashi. Ella tu kawan saya juga. Dia nampak macam stress sikit. Saya ada tanya dia kalau ada masalah, dia macam tak dengar saya cakap apa. Tengoklah, kalau datang mesti duduk situ makan telur rebus. Begum hidangkan makanan pun dia tak sempat habiskan," cerita Fong.

"Berhenti perhatikan orang. Jangan lupa yang kau pun diperhatikan juga. Nah, stock up banyak-banyak." Guni itu diangkat dan ditolak pada dada Fong hingga tertahan nafas lelaki Cina itu menahan berat.

Dashi beralih ke kaunter namun Ella masih ada dalam kawasan matanya. Dia cuba abaikan tapi benar kata Fong, Ella nampak stress dan penat. Sebelah tangan menulis sambil sebelah tangan menikmati telur rebus yang dikupas sendiri.

Tidak sampai seminit berdiri di situ, Dashi kembali ke coffee station dan mula membancuh kopi. Mungkin boleh membantu gadis itu kembali bertenaga. Cawan yang berasap nipis itu diangkat.

"Fong, nah..." Bicaranya terhenti apabila Ella berdiri dengan senyuman lebar, menyambut kedatangan dua orang pelanggan yang pastinya menempah ruangan untuk majlis. Mereka berbual seketika sebelum Ella mengiringi dua orang klien itu naik ke Bea Space. Pasti mereka membincangkan susun atur majlis mengikut ruangan yang tersedia.

"Aik, ada orang order ke, Bos Dashi?" soal Fong, kehairanan melihat Dashi terpatung di hadapannya bagai disumpah menjadi batu.

"Untuk kau. Minum sampai habis." Wajah Dashi berubah serius dan menghulur kopi di tangan sebelum kembali fokus pada tugasnya.

"Ala, bos. Nak pujuk ke? Saya okey je kalau bos marah. Saya kan pekerja biasa-bi..." Fong kemam bibir bila Dashi menghadiahkan jelingan maut. Terus dihirup air kopi, berlagak seperti tiada apa yang dibicarakannya tadi.

Tidak lama selepas itu, Ella menghantar pelanggan tadi sehingga ke pintu kafe. Dashi berhenti di hujung laluan dengan penyeduk air di tangan, memerhati wajah Ella yang jelas tidak sihat. Malam tadi dia melihat Ella pulang ke rumah lewat malam, melintasi gerai burger tempat dia selalu melepak. Berjalan lemah seperti hilang semangat. Entah di mana serinya ketika gadis itu mula menjadi tunang Iskandar.

Fokusnya pada Ella teralih apabila melihat dua orang pelanggan tadi masuk ke dalam sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dikenali. Qi Zahir, lelaki yang pernah meluahkan perasaannya pada Ella di hadapan pelanggan kafe.

Entah mengapa, ada rasa tidak enak bergulir di dalam hati. Matanya melingas mencari bayang Ella namun tidak kelihatan. Langkah diatur ke belakang, terpaku melihat Ella di sinki dengan sebelah tangan dicemari warna merah.

Pantas Ella mendongak sambil menahan hidungnya yang mula basah. Dashi ke hadapan, menolak semula kepala Ella agar tertunduk ke hadapan. Lupakah Ella dia pernah pesan supaya tidak mendongak ketika hidung berdarah?

"Is tahu tak kau kerja keras macam ni?" Akhirnya dia bersuara.

Terdengar keluhan berat dari Ella, jelas menunjukkan dia tidak senang keberadaan Dashi di situ. Tubuhnya ditegakkan, tangan dibilas dan dibetulkan sedikit kedudukan tudungnya.

"Perasan pulak saya kerja keras?" Sinis Ella menyindir tanpa memandang Dashi, terasa menusuk ke dada.

"Sesiapa pun akan perasan." Dashi menggenggam tangan. Cuba menahan diri dari bersikap berlebihan. Dia tahu dia patut buat tak nampak sahaja tapi separuh jiwanya tidak dapat dikawal.

"Jangan menyibuk la." Ella berlalu tanpa menoleh lagi.

Dashi meraup wajah. Entah mengapa, dia rasa Ella sudah berbeza berbanding dahulu. Sinis. Tiada lagi wajah polos yang selalu menjadi penghadang api kemarahannya setiap kali gadis itu membuat silap.

Diakah punca semua perubahan itu?

Handphone dikeluarkan dari kocek.

          "Hello, Raifalia. Ella ada jumpa klien hari ni, kan? Tolong emelkan pada saya semua details yang ada . Terima kasih."

Satu lagi nombor dihubungi.

          "Salam, bro. Aku nak minta tolong kau check seorang makhluk ni. Sekejap lagi aku emelkan maklumat," ucapnya melalui panggilan yang terhubung.

          "Makhluk?" Kedengaran suara rakannya ketawa di sebelah sana. "Siapa buat The Frozen Dashi bengang ni?"

          "Aku bayar servis Honda kau next round."

Lenyap terus tawa rakannya.

          "Yes, sir!" Semangat suara rakannya menyahut seperti lagak askar. Dashi hanya menggeleng perlahan.

Panggilan diputuskan.

🍂

Ruangan stor kafe agak malap dengan mentol lampu yang nampak bermasalah. Cahayanya sudah tidak terang seperti asal sedangkan baru sahaja ditukar semalam. Mungkin ada masalah pendawaian. Dashi membetulkan ikatan beg peralatan di pinggang lalu mengambil tangga yang tersandar di dinding.

Kaki kirinya dipegang erat buat seketika sebelum mula melangkah menaiki satu persatu anak tangga. Ketika dia meneliti kerosakan mentol, tiba-tiba sahaja pintu stor ditutup seseorang yang mungkin menyangka tiada sesiapa di dalam stor itu.

Entah di mana silapnya dia melanggar sesuatu hingga mentol itu terpadam sepenuhnya. Dashi tersentak, jantungnya mula berdegup pantas apabila pandangan menjadi gelap tanpa sumber cahaya. Dia terbatuk sedikit apabila dada terasa sempit. Dada ditekan dengan sebelah tangan cuba menahan diri daripada jatuh. Dalam keadaan tidak terkawal, tangannya melanggar sesuatu lalu jatuh berdentang menghempas lantai membuatkan adrenalin memicu satu perasaan yang menyeksakan.

"Jangan tinggalkan aku, Dashi!" Suara itu nyaring bergema di minda.

           "Argh!" Dashi memejamkan mata dengan erat. Langkahnya mula pincang dan dia terjatuh bersama tangga yang goyah, menghempas lantai dengan kuat. Saluran nafas terasa sempit hingga nafasnya berbunyi berat.

Pintu stor terbuka dengan wajah Iskandar terpacul, terperanjat melihat apa yang terpampang di depan mata. Ditahan pintu itu dengan penyendal lantas dia menerpa ke arah Dashi yang terbaring sambil mencengkam baju di dada.

"Is..." Dicengkam bahu Iskandar yang membantu dia untuk duduk. Satu kelegaan apabila wajah itu menyapa pandangan.

"Degil la kau ni! Aku dah kata jangan buat kerja lasak. Mujur aku yang dengar bunyi jatuh tadi. Kalau orang lain yang masuk?" bebel Iskandar separuh marah. Bimbang merasakan tangan Dashi menggeletar hebat, mencengkam bahu sampai terasa sakitnya namun ditahankan saja, mengerti situasi sahabatnya itu.

"Tukar mentol pun dikira kerja lasak ke? Malulah aku, Diana tu siap tukar tayar kereta sendiri lagi," seloroh Dashi sambil ketawa perlahan bersulam nafas yang masih tersekat-sekat.

PAP!

Iskandar menampar belakang tubuh Dashi sekuat hati. Menggeliat lelaki itu menahan pedih.

"Waktu macam ni pun nak main-main lagi ke?"

"Dendam kat aku ke? Sakitlah!"

Mereka terdiam, berpandangan sesama sendiri sebelum meletus ketawa bersama. Mengerti ada ralat dalam lipatan persahabatan mereka.

"Kau perlukan ubat kau ke?" soal Iskandar, masih dalam kerisauan.

"Nope. Aku boleh handle." Dashi menekan dada dan menarik nafas dalam, meraih ketenangan.

"Lengan kau luka ni, berdarah." Iskandar menarik lengan Dashi yang masih mencengkam bahu.

"Kau kan lelaki urban tipikal, tak ada saputangan ke? Pinjamlah sekejap."

Iskandar ketawa perlahan mendengar kata Dashi sambil mengeluarkan saputangan dari koceknya. Ditekap pada luka calar Dashi yang sudah menitis darahnya mengenai seluar sendiri.

"Aku rasa kaki aku nak tertanggal la. Aduh, sakit gila."

Sekali lagi Iskandar ketawa.

"Kalau orang dengar, nanti dia orang fikir kau robot pulak boleh tanggal-tanggal kaki."

"Tolong aku bangun, jangan gelak je. Cepatlah," gesa Dashi, khuatir ada orang lain perasan kejadian itu.

Iskandar memapah Dashi duduk di hujung meja yang ada. Tangga yang terbalik diangkat dan dikemaskan barang yang bersepah. Dashi hanya memerhati, menekan kaki yang sakit dengan sebelah tangan.

"Kau okey tak?" soalnya tiba-tiba.

"Patut aku yang tanya soalan tu kat kau. Kau yang jatuh tangga," balas Iskandar tanpa memandang Dashi.

"Jatuh cinta pun menyakitkan."

Iskandar yang sedang mencapai kotak di atas lantai terhenti mendengar ayat Dashi. Senyuman pudar dari wajahnya namun diukirkan semula apabila berpusing menghadap Dashi.

"Sejak bila kau pandai buat ayat geli ni?"

"Tapi betul, kan?"

Iskandar terdiam. Tangan yang sibuk menyusun kotak menjadi perlahan.

"Kau tahu kan yang kau boleh share dengan aku kalau ada benda yang mengganggu fikiran kau," tambah Dashi, prihatin.

Dia bukan menyibuk menjaga tepi kain orang tapi dia kenal Iskandar sudah cukup lama. Lelaki itulah yang paling banyak membantu dia bangkit dari masa silam yang kelam. Dia bukan buta untuk menyedari ada sesuatu yang tidak kena di antara Iskandar dan Ella walaupun di hadapan mata orang lain, mereka mesra seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang menggugat hubungan mereka.

Iskandar berpaling, membalas tatapan mata Dashi dalam suram bilik yang hanya ditemani cahaya melalui pintu yang terbuka.

"Aku tak sangka, hari ini akan tiba. Hari di mana aku tak tahu apa yang patut aku katakan pada kau," ucap Iskandar sepatah demi sepatah dan diakhiri dengan senyuman terukir lemah.

Dashi diam tidak membalas. Hanya mampu merenung mata Iskandar yang nampak berkaca, biasan dari cahaya yang jauh.

Sepi menyelubungi ruang di antara mereka, membawa khabar kelam yang tidak kelihatan hujungnya.

🍂

Berkali-kali handphone berdering dengan nama Diana Akasuki terpapar di skrin namun dibiarkan saja memandangkan dia sedang menunggang motosikal.

          'Aku dah hantar suit ke rumah...'

Hanya separuh mesej Diana Akasuki terpapar di kotak notifikasi. Entah apalah yang dimahukan sedangkan hampir seminggu Diana Akasuki block nombornya.

Motor diparkir. Langkah diatur menuju lobi, terus menuju ke arah lif yang membawa dia ke tingkat tiga bangunan itu.

          "Aku dah sampai," ucapnya di corong handphone.

          "Ah, saya masih dalam conference. Mungkin lagi setengah jam lagi," jawab Doktor Hawa di hujung talian.

          "Tak apa. Aku boleh tunggu."

          "Tunggu tau! Berapa kali awak skip session. Jangan pergi mana-mana!"

          "Baik, puan doktor..." sela Dashi.

Sementara menunggu, dia melewati koridor demi koridor hingga sampai di satu ruangan khusus untuk pesakit kanak-kanak bermain. Dari dinding kaca, dia menyilang tangan di dada memerhatikan seorang pesakit cilik ditemani penjaga sedang membaca buku. Tidak ramai yang ada memandangkan malam sudah menjelma. Segaris senyuman menghiasi bibir melihat keletah anak kecil itu.

          "Eh, Abang Dashi la," tegur seorang wanita berusia bersama kanak-kanak perempuan dalam dukungannya.

          "Abang Dashi!" Kanak-kanak itu melambai riang.

Dashi tersenyum, membongkok sedikit ke hadapan membalas sapaan wanita itu.

          "Masih warded?" soal Dashi. Timbul rasa kasihan melihat jarum yang tercucuk di belakang tapak tangan kecil itu.

          "Doktor nak ambil air tulang belakang pulak sekarang. Tapi makcik tak bagi keputusan lagi. Sudahlah anak makcik dah tak ada, makcik tak sanggup nak hilang cucu pula. Nak harapkan ayahnya, hmm..." Wanita itu menggeleng muram.

          "Makcik, apapun yang makcik rasa, apa sahaja kebimbangan yang ada, makcik suarakan je pada doktor. Itu lebih baik dari terus berdiam diri. Mereka boleh pertimbangkan, beri penjelasan dan mungkin juga pilihan lain. Makcik berhak untuk bersuara," nasihat Dashi. Dia sangat mengerti gelodak hati wanita itu.

          "Nak dukung!" Kanak-kanak itu mendepangkan tangan ke hadapan, hampir mengenai Dashi namun Dashi lebih pantas beranjak ke belakang, sedikit kaget namun dikawal air mukanya agar tidak ketara.

          "Abang Dashi ada kerja. Nanti kita jumpa abang lagi ya?" pujuk wanita itu, menyedari Dashi tidak mahu didekati cucunya.

Dari kejauhan, Doktor Hawa memerhati. Sudah diagak lelaki itu menunggu di sini. Lelaki itu masih belum sembuh sepenuhnya. Dia yakin tentang itu. Dulu, Dashi bukan begitu. Dia adalah orang paling mesra yang dia pernah kenal dan suka melayan kanak-kanak.

          "Ella ada contact kau?" Itu soalan pertama Dashi ketika dia berdiri di hadapan lelaki itu.

          "Ella yang mana ya? Sekejap. Oh, yang tumpang rawatan kat rumah awak tu? Saya ada call dia tapi dia kata dia pergi buat rawatan di klinik kerajaan. Jadi, saya dah tak contact dia selepas tu," jawab Doktor Hawa sambil mereka beriringan menuju ke lif. Dia menilik wajah Dashi yang beriak kehampaan, memancing senyumannya sendiri.

          "Siapa dia sebenarnya?"

          "Staff kafe," jawab Dashi. Hujung jarinya menekan punat lif.

           "Maksud saya, siapa dia dalam hidup awak, Mr. Dashi."

Dashi menoleh ke sisi, memandang Doktor Hawa yang tersenyum simpul.

           "Tunang Iskandar."

TING!

Pintu lif terbuka dan Dashi melangkah masuk meninggalkan Doktor Hawa yang ternganga. Kelam kabut dia mengikut langkah Dashi sambil mengeluh kecewa. Dia kenal Dashi dan Iskandar sejak zaman belajar dahulu cuma mereka hanya akrab selepas Dashi menerima rawatan darinya.

          "Selepas bertahun-tahun, akhirnya awak mention satu nama tapi end up, dia tunang Iskandar?" pertikai Doktor Hawa namun ucapannya tidak dipedulikan Dashi yang sedang membaca mesej dalam handphone-nya.

           "Hawa, aku terpaksa pergi. Sorry, aku hold dulu." Dashi nampak cemas lantas menekan butang lif di tingkat terdekat.

Tidak sempat Doktor Hawa menahan, lelaki itu sudah menerpa keluar dari lif menuju pintu tangga kecemasan, laluan tercepat untuk turun ke lobi. Doktor itu hanya mampu menggeleng. Entah berapa kali sesi mereka tertangguh begini.

Dashi memecut laju membelah pekat malam, terus menuju ke arah kafe. Dia baru tahu majlis malam ini adalah reunion sekolah lama Ella. Memang sudah diduga ada yang tidak kena dengan lelaki bernama Qi Zahir itu. Segala maklumat berkenaan Qi Zahir dan wanita yang membuat urusan penempahan Bea Space bercampur baur di fikiran dengan komen-komen buruk dari bekas kawan lama Ella di laman Instagram BITS.

"Mana Ella? Dia ada?" soal Dashi pada Fong sejurus kakinya melangkah ke dalam kafe.

"Dia dah naik atas. Kenapa?" jawab Fong, terpinga-pinga.

Tanpa mempedulikan soalan Fong, Dashi berlari pantas mendaki anak tangga.

           "Tapi, Bos Is pun ada..." beritahu Fong dengan nada semakin merendah, menyedari Dashi sudah tidak mendengarnya.

Pintu Bea Space ditolak dan langkahnya mati di situ. Seluruh mata yang ada memandangnya, menarik dia dari terus tenggelam dalam emosi yang berkecamuk. Turun naik mengah dadanya sedaya upaya dikawal agar tidak terlihat terlalu ketara.

Figura Ella tertangkap oleh mata. Indah. Gadis itu nampak berbeza dengan persalinan kemas di tubuh tidak seperti selalu namun anak mata itu suram dan dia mengerti puncanya. Bukan mudah menghadapi kenangan lama yang meremukkan semangat.

          "Dashi, boleh tolong bawa cik tunang aku ni turun? Sekejap lagi aku datang." Suara Iskandar menyentakkan dia dari terus memandang Ella. Baru dia sedar Iskandar sudah pun berada di situ.

Helaan nafas lemah dilepaskan. Entah apa yang dia fikir hingga bertindak melulu begini. Ella sudah ada orang yang akan menjaganya.

          "Ella," panggilnya apabila Ella masih statik berdiri merenung tajam pada Qi Zahir dan kini renungan itu teralih padanya pula. Mungkin Ella benar-benar benci pada dia sekarang.

Pintu kaca dibuka dengan sebelah tangan mempersilakan Ella keluar dari situ.

"Turunlah," gesa Dashi.

"Turunlah." Kasar Ella membalas.

"Kau nak gaduh dengan aku ke, Ella?"

"Tak elok perempuan jalan depan lelaki, tak tahu ke?" Sekali lagi suara lunak itu menjadi sinis.

Dashi menghela nafas berat dan akur, menuruni anak tangga dengan berat hati. Ditinggalkan Ella yang sudah mengambil tempat di meja makan bersama Begum.

"Hoi, Dashi! Kau nak pergi mana? Biar Fong habiskan kerja. Kafe dah nak tutup, kau duduk sini tolong susunkan pinggan. Jangan nak lari," panggil Begum.

"Siapa kata aku nak lari?" Geram Dashi membalas lalu berpatah balik ke meja. Baru sahaja dia nak beredar memandangkan kaki kirinya mula terasa sakit dan tidak selesa setiap kali langkah diatur.

"Gabungkan meja dan susun mana yang patut. Jangan lari," tekan Begum. Dashi hanya menjeling menahan sakit. Usai menyusun pinggan, dia menarik satu meja di sebelah kanan mereka. Tangannya menggenggam hujung meja apabila kakinya terasa menyucuk. Mungkin kerana dia berlari tadi.

"Kau tak boleh tolong ke?" soal Dashi pada Ella yang sedari tadi buat-buat tidak nampak dirinya.

"Tak boleh."

Tidak sengaja, terlepas keluhan dari bibir mendengar jawapan dingin itu. Betul-betul balas dendam ni.

Diana Akasuki tiba, membuat isyarat penumbuk padanya. Seorang lagi makhluk yang nak cari gaduh dengan dia hari ini. Dia bangkit, memberi alasan ingin membancuh air panas. Kesempatan itu dia ambil untuk menelan pil tahan sakit.

Selesai membancuh kopi panas, Dashi beralih dari coffee station menuju ke meja namun tiba-tiba sahaja Ella muncul di depan mata. Dia tersentak hingga tertumpah air kopi hampir separuh teko mencemari lantai. Dalam hati dia mengutuk kecuaian sendiri. Tambah satu lagi kerja.

"Tolong ambilkan mop sekejap," pinta Dashi. Kesakitan di kaki masih belum surut sepenuhnya.

"Cepat sikit, saya nak lalu ni," balas Ella, tidak berperasaan.

Terkelip-kelip mata Dashi, tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

"Tolong ambilkan mop, aku nak bancuh air lagi sekali." Dia mengulang.

"Saya tak kerja under awak lagi, Dashi."

          "Aku kata 'tolong', bukan bagi arahan," tekan Dashi.

          "Tetap bukan kerja saya."

Geram pula dia mendengar Ella menjawab begitu. Mencari asbab mencetus peperangan di antara mereka.

"Ella, Dashi, jom makan. Sejuk dah tu. Kau orang tak nak makan ke?" panggil Begum yang entah bila sudah menghampiri mereka.

"Tak nak." Serentak dia dan Ella bersuara membuatkan mereka sama-sama kaget dan saling berpandangan.

"Ada aku peduli dengan perut korang? Aku dah masak, jangan berani nak cakap tak nak eh. Sini budak dua ketul ni, tak makan aku caj bayaran!" ugut Begum.

"Ugh, okey! Aku nak mop sekejap lantai ni," balas Dashi, mengalah dengan 'serangan' dingin dari Ella namun tiba-tiba sahaja gadis itu ke belakang lalu mencapai mop. Disangka Ella mahu menolong baik-baik, sebaliknya dilepaskan begitu sahaja mop itu di depan Dashi hingga spontan lelaki itu kalut menangkap batang mop yang hampir terjatuh.

Meletus ketawa Begum melihat muka kesian Dashi diperlakukan begitu. Dia yakin, ada sesuatu yang berlaku di antara Ella dan Dashi. Mana pernah dia lihat Ella seberani itu berhadapan dengan Dashi. Biasanya hanya tersenyum dan mengangguk sahaja.

"Ouch, asal pukul aku!" Begum mengurut lengan yang dipukul Dashi menggunakan batang mop.

Dashi diam tidak menjawab. Belakang tubuh Ella yang menjauh dipandang sayu. Sejujurnya dia mula merasa takut jika Ella benar-benar berubah. Satu perubahan yang pernah dia rasakan.

Dingin.

Ketika pulang, Dashi berhenti seketika di atas tempat duduk motor, memandang Ella dan Iskandar berbual mesra. Tanpa sedar, dia turut tersenyum di sebalik helmet full face. Dia tidak kisah siapa pun di sisi gadis itu asalkan senyuman itu tidak pudar.

Handphone yang bergetar dipandang. Mesej dari Doktor Hawa mengingatkan temu janji mereka yang ditangguh sekali lagi. Baru dia sedar dia belum baca mesej dari Diana Akasuki.

'Aku dah hantar suit ke rumah kau. Pakai dan datang ke kafe malam ni. Ada reunion bekas kawan sekolah Ella. Kau faham maksud aku, kan?'

Dashi mengetuk perlahan helmet sendiri. Kecuaian dia terlepas pandang mesej Diana Akasuki itu. Patutlah Iskandar nampak segak semacam malam ni. Pasti lelaki itu juga berniat nak bantu Ella menghadapi bekas kawan sekolahnya.

"Siapa dia dalam hidup kau, Dashi?"

Soalan Doktor Hawa kembali terdengar dalam fikiran. Membuatkan dia sedar, mungkin benar Ella telah menempa nama dalam lipatan hidupnya hingga kerap kali dia bertindak seperti bukan dirinya yang selalu. Dan kini, dia perlu memadam nama itu. Iskandar sudah cukup sempurna untuk berada di sisi gadis itu dan dia bertekad akan buat apa sahaja agar tiada yang akan menggugat hubungan mereka berdua agar senyuman Ella tidak hilang.

Langkah pertama adalah, melepaskan.

🍂
'One of the hardest lesson in life is letting go.
We fight to hold on and
we fight to let go.'

3090words
0910211024
#welcomehome

Dah jelas tentang Dashi? 😁
Tak tahulah, sejak akhir-akhir ni macam dah tak ada perkataan dalam otak. Nak tulis tapi tak tahu nak guna perkataan apa. Jadilah cerita ni baku sikit 🥲 mungkin sebab terjebak dengan novel English. berkali-kali baca balik tapi dah tak tahu nak edit macamana lagi bagi helok

Happy reading, gais

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro