7 | Sin The Ella

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Pada suatu masa dahulu, tinggal seorang gadis cantik bersama orang tuanya jauh di dalam hutan. Mereka tinggal di dalam rumah tiga tingkat yang gah, bersama halaman rumah yang luas dan dihiasi bunga-bungaan pelbagai warna.

Ayahnya seorang pengembara. Ekoran hobi, dia telah mengembara ke seluruh dunia dan sentiasa membawa pulang barangan unik dan antik buat anak gadisnya itu. Isterinya pula setia di rumah, menjaga tanaman, menyiram bunga dan menguruskan hal-hal berkaitan rumah termasuklah memasak dan mencuci pakaian.

Gadis cantik itu pula sentiasa membantu ibunya. Kadangkala, dia menaiki kuda dan bersiar-siar di dalam hutan. Apabila terjumpa haiwan yang berkeliaran seperti kancil, gadis cantik akan memberi makan. Jelas, gadis ini bukan sekadar cantik rupa, malah hatinya juga baik.

"Ella, ayah dah pulang!"

Dialog itulah yang selalu ditunggunya. Kerana apabila ayah kesayangannya pulang, mesti ayahnya akan memberi hadiah. Kebiasaannya, dia mendapat pakaian yang baru, sisir rambut antik, sepatu yang comel dan pengepit rambut berbentuk rerama.

Berbeza pula dengan ibunya. Setiap kali Si Ayah pulang, Si Ibu tidak mengharapkan apa-apa. Cukuplah sekadar suaminya itu pulang dengan selamat. Namun, suami apa yang tidak memberi apa-apa buat isterinya? Sudah tentu, barangan yang dihadiahkan jauh lagi mewah. Kadangkala Si Suami membawa pulang gelang dan rantai emas.

"Ini sudah rantai kelima abang hadiahkan. Cukup-cukuplah tu,"

Si Suami tersenyum sementara menyisir rambut isterinya itu. Wajah isteri ditenung dalam. Rupa parasnya itu cantik, mengalahkan semua perempuan yang pernah dia temui. Dan dia tahu, kecantikan itu diturunkan kepada anak gadisnya, Sinderella.

"Awak bermakna buat abang. Sebab itu abang memberi hadiah mewah, sebagai tanda penghargaan, tanda abang menghargai awak,"

Disebalik dinding ruang tamu itu, Si Gadis memasang telinga. Matanya melihat rantai emas yang masih berkilau di tangan ibunya itu. Loket itu berbentuk hati. Dia memandang pula sisir rambut yang ayah hadiahkan buatnya. Juga ada corak hati.

"Saya mahukan itu juga,"

Si Gadis berbisik kecil. Namun, dia tahu dia masih belum layak menerima hadiah sebegitu. Dirinya akan sentiasa dianggap bayi dalam keluarga. Seketika, Si Gadis cantik mula mengatur langkah, beredar dari ruang itu dan mula bergerak ke arah dapur. Hidangan dan teh istimewa perlu disiapkan buat orang tuanya yang baru pulang.

***

Keesokan harinya, mereka dikejutkan dengan Si Ibu yang jatuh sakit secara tiba-tiba. Di katil besar itu, kelihatan Si Ibu terlantar, wajahnya pucat bak mayat dan pipinya cengkung.

"Isteri saya bagaimana doktor?" Soal Si Suami. Doktor lelaki tua itu tersenyum, menandakan tiada apa-apa yang serius.

"Isteri Tuan demam biasa. Esok lusa, demam akan kebah,"

Doktor itu berpaling memandang gadis cantik. Ada satu botol kaca bersaiz kecil dihulurkan ke arahnya. Isi dalamnya itu berwarna jernih.

"Selepas sarapan, bagi ubat ini kepada ibumu. Ibumu akan beransur pulih, jangan bersedih ya,"

Si Gadis menyambutnya seraya mengucapkan terima kasih. Air mata di pipi dilap perlahan. Syukur, ibunya hanya demam biasa-biasa sahaja.

Gadis cantik tidak putus-putus menjaga Si Ibu. Makan disuap, rambut disisir, tak lupa ubat yang tidak pernah sekalipun Si Gadis lupa untuk memberi.

"Nah, ubat. Ibu telan ya, rasa mungkin pahit sedikit,"

Gadis itu menyuapkan cecair berwarna itu ke dalam mulut ibunya. Ibu tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Namun malangnya, beberapa hari selepas itu, mereka dikejutkan dengan kematian Si Ibu. Berkali-kali Si Ayah dan Si Anak menyalahkan doktor tersebut, kononnya memberi ubat yang salah. Namun, takdir itu tidak mampu dilawan, ibunya sudah berjumpa ajal, tiada apa lagi yang boleh dilakukan.

***

Si Gadis hanya melihat ayah mengemas segala barangan si ibu. Meletakkan pakaian, barangan peribadi dan tak lupa barangan kemas ke dalam kotak berasingan.

"Barangan kemas ibu, ayah simpan juga?"

Ayahnya tersenyum dan mengangguk.

"Hanya ibumu yang layak memakai ini. Sekarang dia sudah tiada, maka barangan ini harus disimpan sahaja,"

Si Gadis perlahan-lahan mendekati ayahnya. Kemudian dia turut mengemas segala barangan yang tidak diperlukan lagi itu.

Beberapa tahun kemudian, Si Gadis sudah menginjak umur enam belas tahun. Dan hari ini merupakan hari lahirnya. Kata ayah, dia membawa kejutan istimewa sebagai hadiah. Fikir Si Gadis, mungkin rantai atau gelang yang bersinar.

Ternyata, hadiah yang dimaksudkan ialah isteri baru. Ya. Dia mendapat ibu tiri dan dua orang kakak tiri.

"Selepas ini, tak adalah kita bosan lagi,"

Si Gadis diam. Di dalam sudut hatinya, dia menafikan hal itu. Dia tidak pernah bosan duduk berdua dengan ayahnya sahaja. Seluruh perhatian diberikan kepada dirinya seorang. Kini, bakal dikongsi lagi?

Si Gadis menghadiahkan senyuman buat keluarga barunya itu. Kata ibu, berbuat baik dan jadilah orang yang baik, tidak kira betapa jahatnya mereka melayanmu, tetaplah menjadi baik.

Esoknya, Si Ayah terpaksa keluar mengembara. Atas ajakan rakan-rakan lama, mereka akan mengembara jauh ke hujung dunia.

"Belikan saya payung cantik!"

"Saya mahu renda yang indah!"

Kakak-kakak tirinya melompat-lompat. Tidak sabar mahu mengingati ayah tiri mereka tentang hadiah yang dipinta.

"Ayah akan belikan," Ayah tersenyum manis. Dipandang pula isteri barunya itu.

"Abang akan bawa pulang rantai dan cincin untuk awak," katanya. Si isteri tersenyum dan mengangguk. Pandangan Si Ayah dihalakan ke arah anak gadis cantiknya pula.

"Untuk kamu, ayah akan bawa pulang sisir rambut cantik,"

Si Gadis tetap tersenyum walaupun barangan itu bukanlah yang dia mahu. Sudah berbelas sisir rambut yang dia ada, dia mahukan sesuatu yang dia tidak ada. Tapi, dia sudah diajar dari kecil tidak boleh membantah. Jadi, dia pendamkan sahaja, menuruti, dan senyum manis.

"Ini bekalan ayah, nanti lapar, makanlah,"

Ayah menyambut huluran itu, sesudah mengucapkan terima kasih, maka, mereka pun saling berbalas lambaian.

***

Malang berpihak pada mereka lagi. Suatu malam, pintu rumah mereka diketuk kuat, Si Gadis yang sudah tidur itu terus terjaga. Dia berlari-lari anak ke ruang hadapan, ingin membuka pintu utama itu.

Apa yang dia lihat, salah seorang rakan ayahnya berdiri di situ. Wajahnya muram. Topi yang dipakainya pula di pegang dan di bawa ke dada.

"Ayah kamu meninggal,"

Si Gadis jatuh terduduk. Tidak menyangka ayahnya pergi secepat itu.

Pap!

Pap!

Pap!

Bunyi tapak kasut ibu tirinya menghampiri.

"Bagaimana...ini terjadi?" Terketar-ketar bibir sang isteri apabila mendengar khabar berita menggemparkan itu. Baru sekejap mereka berkahwin, dan kini dia kembali menjanda.

"Keracunan makanan,"

Si Isteri menggelengkan kepalanya berkali-kali. Ini salahnya. Dia yang memasak bekal buat suami, mungkin ada bahan yang telah tamat tempoh. Lagipun, ini bukan kali pertama masakannya menyebabkan orang lain keracunan makanan.

Dan disebabkan hal itu, Si Ibu mula membuat kata putus. Dia tidak mahu memasak, bimbang jika keluarganya akan keracunan makanan lagi. Jadi, Si Gadis mengambil alih tugas memasak itu.

Namun makin lama, lain pula jadinya. Si Gadis diarah untuk tidur di loteng rumah. Barangan mendiang ibunya yang lama habis dikaut oleh ibu tiri dan kakak-kakak tirinya itu.

Dia dilayan tidak ubah seperti orang gaji. Masak, cuci, bersih, semua dia lakukan. Si Gadis kekal begitu, diam dan tetap melakukan kebaikan meskipun dilayan umpama sampah.

"Ella, basuh baju aku!"

"Ella, masak benda lain, aku tidak mahu makan ini!"

"Sepatu aku berdebu, bersihkan!"

Bahkan, ingin makan semeja pun Si Gadis tidak layak. Keluarga tirinya itu meminggirnya. Saban malam, dia kerap ingin menangis namun ditahan. Menyesali perbuatannya yang lepas.

***

Petang itu, Si Gadis menaiki kuda dan pergi bersiar-siar di dalam hutan. Dia sudah muak dan letih menjadi hamba di rumah sendiri, dia perlukan angin segar untuk kosongkan fikiran dan merencana plan untuk bahagiakan hati sendiri.

Pap!

Si Gadis berhenti mengejut. Dilihatnya ada anak panah sudah tertancap pada batang pokok bersebelahannya. Kalaulah kuda miliknya itu menapak satu tapak ke hadapan, sudah tentu anak panah itu menusuk tepat ke dalam kepala.

"Maaf!"

Si Gadis menoleh ke sisi. Kelihatan seorang jejaka yang juga menaiki kuda. Mungkin inilah empunya panah ini, fikir gadis itu.

"Silap saya, saya minta maaf," berkali-kali, jejaka itu memohon maaf. Wajahnya yang tampan itu Si Gadis renung seketika sebelum dia mula menggelengkan kepala.

"Tidak mengapa,"

Jejaka itu tersenyum. Dalam diam, dia juga memuji kecantikan yang dimiliki gadis itu. Buat pertama kali dalam hidupnya, mata menangkap wajah cantik itu dan terus menyimpan di dalam hati. Dia dapat rasakan, yang dia sudah jatuh hati pandang pertama.

"Seorang gadis di dalam hutan? Bahaya. Awak perlu pulang, saya temankan?" Jejaka tampan mencuba nasib.

Namun Si Gadis hanya tergelak sinis. Dia sudah biasa dengan ayat sebegini. Menjadi cantik itu bukannya hal yang susah kalau minda masih bijak membezakan mana ikhlas mana tidak.

"Saya tidak kenal awak, awak tidak kenal saya. Dan awak tawarkan diri untuk temankan saya? Tidak takut saya ini orang jahatkah?"

Si jejaka tampan senyum lagi.

"Tidak mungkin gadis secantik awak ini orang jahat. Lihatlah senyuman awak, ikhlas,"

Si Gadis tersenyum sinis lagi. Dia mula berpatah kembali, ingin beredar dari tempat itu.

"Saya perlu pulang, terima kasih untuk pujian itu,"

"Bila lagi kita boleh berjumpa?" Soal si tampan. Gadis itu menoleh dan menggeleng.

"Anggap saja ini yang pertama dan terakhir," balasan gadis itu buatkan Si Jejaka muram. Dia ingin meluangkan masa dengan gadis cantik itu lagi. Siapa saja yang tidak tertarik dengan wanita cantik?

Semua orang akan menyanjung untuk paras rupa. Tipulah jika tidak menoleh dua kali untuk figura yang memikat.

"Saya mahu berkenalan lebih lagi dengan awak," Si Jejaka memujuk. Gadis itu menghela nafas dan mula mengalah.

"Baiklah, lain kali saja kita berjumpa. Disini?"

Si Jejaka menggeleng. Bermakna tempat pertemuan mereka bukan di hutan ini.

"Bawa diri ke kota, lihatlah surat jemputan yang tertulis di tiang utama disitu. Awak akan jumpa tempat pertemuan kita yang baru,"

Meskipun keliru dengan arahan jejaka itu, Si Gadis menurut jua. Sampai di kota, di gadis terus bergegas ke arah tiang utama. Disitu, ramai rakyat berkumpul.

Jemputan ke majlis tari-menari diraja sempena hari kelahiran Sang Putera.

Gadis itu tersentak. Jadi, yang dijumpainya tadi ialah Putera? Patutlah kacaknya luar biasa. Terus dia tersenyum simpul. Kalau tadinya dia rasa tidak mahu berkenalan, sekarang rasa ingin mengorat terus.

"Mesti Raja ingin carikan jodoh buat Putera,"

"Yalah, itu tradisi kan?"

"Baju aku mesti paling cantik nanti,"

"Aku akan pastikan Putera pilih aku sebagai teman tarinya nanti,"

Gadis cantik tersenyum sinis mendengar bisikan-bisikan syok sendiri itu. Sudut hatinya sudah tahu, putera itu menunggu kemunculannya. Jadi, dia perlu berpakaian luar biasa. Agar mata yang melihatnya nanti akan terpukau.

Justeru, dia terus pulang ke rumah, ingin menjahit pakaian untuk majlis itu nanti.

Lain pula yang jadi, keluarga tirinya itu tidak lepas dari berita tentang majlis tari menari. Apa lagi, Si Gadis dikerah untuk menjahit baju mereka.

"Pastikan cantik, kalau kamu tidak mahu dipukul," arah ibu tirinya itu. Si Gadis senyum dan mengangguk. Ya, itu yang dia sentiasa lakukan, berbuat baik.

***

Malam majlis itu, Si Gadis berlari anak menuruni tangga. Mempersembahkan gaun berwarna merah jambunya yang cantik itu kepada keluarga tirinya.

"Cantik, bukan? Saya ubahsuai gaun mendiang ibu,"

Niatnya ingin berkongsi rasa suka, namun keluarga tirinya itu menjeling penuh benci dan dengki.

"Siapa kata kamu layak ikut kami ke majlis itu? Tiada orang akan pandang kamu," sinis ibu tirinya.

"Tapi, putera sendiri yang menjemput saya," Si Gadis berkeras. Namun hanya disambut dengan tawa mengejek.

"Putera menjemputmu? Dalam mimpi sajalah,"

Si Gadis menggenggam tangan. Cukup-cukuplah jadi baik, dia sudah muak. Bahkan dari dulu, dia tidak pernah benar-benar baik.

"Aku akan pergi juga, kamu semua akan lihat yang putera akan memilih aku," dengan bangga, Si Gadis berkata. Betapa yakinnya dia dengan kata-kata itu.

Si Ibu tiri menghampiri Si Gadis. Dipandang gadis itu atas bawah dengan pandangan kasihan.

"Bila aku kata kau tidak layak pergi, maka tidak layak,"

Zzapp!

Pakaiannya dikoyakkan oleh ibu tirinya itu. Terus bahunya terdedah. Terasa pantas angin sejuk mencengkam tulang.

"Oh, tak cukup tu, ibu,"

Zzapp!

Kakak tirinya pula mengambil alih, mengoyakkan pakaian Si Gadis. Langsung mereka tidak rasa bersalah, malah masih boleh mentertawakan Si Gadis.

"Nah, pergilah kamu berjumpa putera dengan baju burukmu itu," Si Ibu ketawa terbahak-bahak. Dia mula beredar bersama anak-anaknya itu.

Si Gadis jatuh terduduk. Air matanya mula mengalir. Dia hanya ingin berjumpa dengan putera, salahkah? Dia ingin bertemu kebahagiaannya, salahkah?

Dipandang pakaiannya yang sudah koyak rabak. Takkanlah dia ingin ke istana dengan sebegini rupa? Entah-entah, akan dihalau!

Si Gadis mula berdiri dan beredar ke halaman rumah. Dilihatnya bintang yang berkelip di atas kepala. Seolah-olah memohon hajat, agar keajaiban akan berlaku.

"Anak..."

Dalam sedang berendam air mata, Si Gadis terperanjat apabila seorang nenek tua menegurnya. Terus dia mengelap air mata dan memandang nenek itu.

"Nenek lapar..."

Entah dari mana nenek itu datang, dia langsung tidak pernah nampak.

"Masih ada beberapa keping roti dan susu, cukupkah?" Si Gadis menyoal. Nenek itu senyum dan mengangguk kecil.

Dengan pantas, Si Gadis mula mengatur langkah masuk ke dalam rumah, ingin mengambil bekalan roti dan susu buat nenek tua yang kelaparan itu.

Usai nenek itu menghabiskan hidangan, nenek itu mengucapkan terima kasih dan mula berdiri, bersedia untuk beredar.

Sangkanya nenek itu ingin pulang, rupanya, ada hal lain yang dilakukannya. Bibirnya terkumat-kamit sebelum ada beberapa cahaya putih mengelilinginya.

Seketika, nenek itu berubah rupa. Dari tua kepada muda sekelip mata!

Si Gadis mengundur beberapa langkah, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Hati kamu baik, kamu tidak patut dilayan sebegini. Nah, ini hadiahku, pergilah ke istana, bertemulah dengan kebahagiaan kamu,"

Nenek itu menghayunkan tongkat sakti ditangannya. Sekelip mata, ada beberapa cahaya yang bersinar di sekeliling Si Gadis. Pakaian yang koyak rabak itu sudah bertukar menjadi satu gaun biru yang sangat cantik.

Nenek itu menghayunkan tongkat sakti ke arah tanaman yang ada. Sebiji labu kecil mula membesar dan bertukar menjadi kereta kuda. Cicak-cicak yang melekat di dinding rumah pula bertukar menjadi manusia. Mereka diarah untuk bawa si gadis ke istana dengan segera.

"Tunggu! Tanggalkan sepatumu. Buruk, perlu diganti dengan yang baru,"

Mendengar itu Si Gadis menanggalkan sepatunya. Tongkat Sakti dihayun ke arah sepasang kakinya dan terbentuklah sepatu kaca yang indah. Tidak pernah dilihat sepatu yang mewah sebegini.

"Pulang sebelum jam 12. Segala keajaiban akan berakhir," pesan nenek itu. Si Gadis jeda seketika. Dia mula menghampiri Si Nenek dan tersenyum.

"Ibu pari-pari? Itu kamukah?"

Nenek itu mengangguk dan tersenyum. Oh atau lebih tepat kita katakan, ibu pari-pari.

"Apa lagi yang bisa ibu pari-pari buat dengan tongkat ini?" Si Gadis menyoal. Perlahan, jarinya merangkul tongkat itu dan ditilik. Ukirannya sungguh cantik. Masih tidak percaya keajaiban berlaku di hadapan mata.

"Apa-apa sahaja, asalkan tidak salah guna," kata ibu pari-pari itu.

"Ibu pari-pari kata, saya ini baik? Benarkah?" Si Gadis cantik menyoal. Namun matanya masih memandang tongkat sakti di tangannya itu.

"Benar, jika tidak, kamu tidak akan menolong aku ketika aku meminta sedikit makanan tadi,"

Si Gadis tersenyum.

"Ya, namun apa yang kau berikan itu tidak cukup. Kenapa sampai jam 12 sahaja? Aku mahukan lebih,"

"Keajaiban ada hadnya. Jangan meminta lebih, nanti keajaiban akan memakan kamu sendiri, Ella," Si Ibu pari-pari berpesan, tegas.

"Tongkat ini akan buat apa yang tuannya minta. Dan itu yang kamu arahkan, maka itu yang keajaiban lakukan. Sayangnya, kau perlu lebih bijak menguruskan kuasa magikmu,"

Si Ibu pari-pari mengerutkan dahi.

"Apa maksudmu?"

Si Gadis senyum.

"Maksud aku, aku tidak terlalu baik,"

Sekelip mata, gadis itu menghayunkan tongkat sakti ke arah Ibu Pari-Pari. Cahaya yang bersinar itu menukarkan Ibu Pari-Pari menjadi nenek tua semula.

"Aku lebih licik," bisik gadis itu. Nenek tua itu ditolak oleh Si Gadis, jatuh terus ke dalam perigi buta yang berdekatan. Kepala nenek itu terhantuk kuat, jelas kelihatan darah pekat yang mengalir di kepala nenek itu. Darahnya menitik, bercampur dengan saki baki air yang tersisa di dalam perigi buta itu.

Magik yang ada digunakan untuk mengekalkan segala kecantikan yang ada. Agar dia bisa bersama sang putera dengan lebih lama nanti.

Dia sudah katakan, sudah muak dan penat menjadi baik. Bahkan selama ini, dia memang tidak pernah baik.

***

Di majlis tari-menari itu, sang putera mencari-cari gadis cantik yang ditemuinya di dalam hutan tempoh hari.

"Anakanda sudah menjumpai pilihan hati?" Soal Raja. Putera itu tersenyum dan menggeleng.

"Anakanda seperti menunggu seseorang, siapakah gerangan itu?"

Putera hanya tersenyum. Tidak mahu membongkarkan lagi, gadis yang mencuri hatinya. Raja hanya diam dan tersenyum, apapun pilihan anaknya nanti, dia tetap kena ikut tradisi. Putera hanya layak untuk puteri.

Sampai waktunya, Si Gadis cantik tiba di majlis tari-menari. Dilihatnya keluarga tiri menjeling ke arahnya. Si Gadis tahu mereka langsung tidak mengecam wajahnya, kerana dia sudah menggunakan magik Si Ibu Pari-Pari tadi.

Putera mula menghampiri Si Gadis. Mereka sama-sama bertentang mata dan mula menari bersama. Ramai gadis cemburu, ramai puteri susah hati. Pandangan putera itu benar-benar ikhlas buat gadis yang entah dari mana asalnya.

"Awak datang juga,"

Gadis senyum.

"Mestilah, Tuanku,"

Mereka menari bersama sehinggalah sesi tari menari itu tamat. Putera ingin membawa Si Gadis bertemu dengan Raja.

"Awak tunggu disini sebentar," Sang Putera mengatur langkah menuju ke arah ayahnya itu. Dilihatnya beliau sedang berbual dengan Raja kerajaan lain.

"Oh disini pun kamu, kenalkan, Puteri Luciana. Bakal isteri kamu," Sang Putera memandang puteri yang dimaksudkan ayahnya itu.

"Ayahanda.."

"Ini tradisi, gadis yang kamu bawa itu rakyat biasa. Kamu Putera, bakal Raja, mesti dipadankan dengan yang selayaknya juga,"

Putera rasa serba salah. Dipandangnya Si Gadis cantik bersilih ganti dengan ayahnya.

Si Gadis cantik mendengar segalanya. Namun berpura-pura tidak mengetahui apa-apa. Dia mula beredar, melangkah ke arah taman di raja.

Putera yang menyedari akan hal itu terus mengejar langkah Si Gadis. Dicarinya di taman diraja, namun bayang gadis itu tidak ada.

Kakinya diatur ke arah pintu utama pula. Gadis itu masih tiada. Dilihatnya, hanya ada sebelah kasut kaca yang ditinggalkan di atas tangga.

"Ini sepatu gadis itu, aku yakin,"

"Tuanku! Ayahanda Tuanku!

Putera itu berpaling apabila pengawal istana berkali-kali menjerit namanya. Mungkin ada urusan penting. Putera menyimpan sepatu itu dan berniat ingin mencari pemiliknya di kemudian hari.

***

Di kamar Si Gadis, dia membuang gaun yang kononnya ajaib itu. Walaupun dia telah mengubah magik Si Ibu Pari-Pari, ia tetap tidak berkesan. Tongkat sakti itu lebur dan gaunnya juga kembali kepada asal. Dia terpaksa berjalan kaki jauhnya untuk pulang ke rumah pada malam itu.

Sebab itulah dia melarikan diri. Jam 12 tepat menghalangnya untuk menjalankan apa yang direncananya tadi. Jadi, dia tinggalkan petunjuk agar putera dapat mencarinya.

Sebelah kasut kaca yang masih kekal itu disimpan rapi di dalam almari. Hanya itu yang kekal kerana dibuat seratus peratus dari magik, bukan diubahsuai dari benda yang lama.

Berhari-hari dia menunggu kedatangan putera. Apatah lagi rakyat terpaksa berkabung untuk tujuh hari ekoran kemangkatan Raja. Untuk hari seterusnya, keadaan kembali sediakala. Raja baru sudah diangkat iaitu Sang Puteranya itu.

Krrekk...

Bunyi pintu biliknya ditolak perlahan.

Pap.

Pintu itu ditutup setelah ibu tirinya menapak masuk.

"Kau ada dengar arahan Raja hari ini?"

Si Gadis menggeleng.

"Raja mencari gadis sepatu kaca. Sesiapa yang padan dengan sepatu itu, akan menjadi isterinya," tutur Si Ibu Tiri.

Gadis terus tersenyum lebar mendengar berita itu. Nampaknya tidak lama lagi, putera akan menjumpainya. Rencananya berjalan dengan sempurna, meninggalkan jejak agar dirinya ditemui.

"Lihat dari senyummu itu, kau fikir kau layakkah nanti?"

"Sudah tentu," Si Gadis menjawab yakin. Si ibu pula ketawa sinis dan dia mula bergerak ke arah almari. Diambilnya sepatu kaca yang si gadis sorokkan.

"Itu aku punya!"

Si Ibu menggeleng perlahan.

"Dulu, sayang. Bukan sekarang, anak aku yang akan jadi isteri Raja, bukan kamu,"

Pring!

Kasut kaca itu dihempas ke lantai. Berderai kaca itu, sama seperti berderainya hati Sang Gadis. Perlahan dia menghampiri sepatu yang pecah itu.

Si Ibu tersenyum sinis. Dipandangnya Si Gadis yang mengutip sisa kaca di sebelah kakinya.

"Kau sama seperti ibumu. Tidak pandai hidup," ejeknya. Namun disitu, Si Gadis tersenyum sinis.

"Tidak pandai hidup, mungkin itu aku. Tapi yang selalu lalai? Itu kamu,"

Zzap!

Dengan kaca tajam di tangan, Si Gadis menikam Si Ibu Tiri. Darah membuak-buak buatkan gadis itu tersenyum senang.

"Memang aku tidak pandai hidup, kerana membiarkan perkara ini berjalan dengan lamanya. Namun aku tidak pernah lalai,"

Zzapp!

Ditikamnya lagi Ibu tirinya itu berkali-kali. Ibu tiri yang sudah terbaring itu, terketar-ketar bibirnya ingin berkata sesuatu. Si Gadis ketawa sinis, ditikamnya lagi perut si ibu tiri.

"Rencana aku berjalan dengan baik. Sengaja aku tinggalkan sepatu aku, agar Raja mencari aku. Aku yang layak untuk Raja, bukan anakmu yang busuk itu,"

Leher ibu tiri dikelar sepuas hati. Hampir separuh leher ibu tiri terputus. Matanya terbeliak, mati dalam keadaan mengejut, dibunuh oleh Si Gadis cantik.

Si gadis mula berdiri dan melepaskan kaca itu di atas lantai. Darah pekat yang melekat di tangannya itu dilap pada permukaan kain gaun mayat ibu tiri.

Seketika, dia mula beredar dan menunggu di muka pintu. Menunggu kehadiran Rajanya.

***

Lama, akhirnya pengawal istana tiba di rumah tiga tingkat milik Si Gadis. Kakak-kakak tirinya terburu-buru mendekati mereka. Teruja ingin mencuba memakai kasut kaca itu. Yang pasti, sudah tidak menyedari bahawa ibunya sudah ditikam dan dikelar oleh gadis sebentar tadi.

Benar, tidak muat. Kakak-kakak Tiri mendengus dan menyumpah kerana terlepas peluang untuk menjadi isteri Raja.

Giliran Si Gadis cantik pula yang memakainya. Seperti yang kita tahu, kasut itu padan dengannya.

"Tuanku,"

Raja yang diam sedari tadi, mula memandang gadis cantik itu. Sedari tadi, dia sudah cam wajah itu. Sengaja ingin mendiamkan diri dahulu.

"Ya, inilah gadisnya. Tangkap dia,"

Seketika, pengawal istana mula menjalankan tugas. Menangkap gadis cantik itu seperti pesalah. Ada beberapa pengawal yang mula masuk ke dalam rumah itu.

"Kenapa? Apa salahku? Aku sepatutnya diangkat menjadi permaisuri, aku pemilik sepatu ini!" Gadis memberontak.

Raja tersenyum.

"Ya, kerana pemilik sepatu ini penyebab kematian ayahanda beta. Kamu berdendam kerana ayahanda beta tidak menerima kamu,"

Si Gadis diam dari memberontak.

Seketika, pengawal istana yang masuk ke dalam rumahnya tadi mula keluar menghadap Raja.

"Ada mayat seorang wanita tua di loteng, Tuanku. Kami percaya, gadis ini juga pembunuhnya,"

Raja memandang Si Gadis.

"Tidak sangka gadis secantik kamu, mempunyai hati busuk sebegini. Bawa ke Istana! Gadis ini akan dihukum!"

Gadis cantik dipaksa mengikut arahan Raja. Namun, ada satu sengihan di bibir gadis itu. Seolah-olah langsung tidak terkesan dengan kebenaran yang disimpannya itu telah terbongkar.

***

Di sudut bilik itu, Si Gadis cantik membuang isi cecair jernih yang diberikan oleh doktor. Kemudian, dia mengisi pula botol kaca itu dengan cecair berwarna hitam. Yang pasti, racun yang akan membunuh seseorang dalam masa terdekat.

Botol berisi cecair hitam itu dibawa ke arah dapur. Berserta sarapan buat ibunya yang demam, dia bergegas ke kamar.

"Ibu, maaf terlewat. Ini sarapan ibu,"

Si Gadis tersenyum. Hidangan itu disuap buat ibunya.

"Ini ubat. Rasanya sedikit pahit, tapi tak mengapa, nanti ibu akan sihat juga, kan?"

Apabila ibunya menelan racun itu, seperti yang dia tahu, ibunya itu mula sesak nafas. Tangan dibawa ke leher dan cuba meminta pertolongan anaknya. Mulutnya berbuih-buih, ada kalanya buih itu kekuningan.

"Sayangnya, saya buat segalanya demi ibu. Tapi ibu langsung tidak berkongsi apa yang ibu ada. Saya mahukan barangan mewah itu, ibu,"

***

Sangkanya, bila ibu tiada, ayahnya akan memberi segala barangan kemas kepada dirinya. Tapi silap, ayahnya pula mengemas dan menyimpan di dalam kotak.

Si gadis mula merencana lagi. Mungkin bila hari seterusnya ayah ingin mengembara, dia perlu lakukan perkara yang sama agar barangan yang dia mahu itu dapat dirampas.

Sudahnya, cecair hitam yang sama mula dituangkan ke dalam bekalan makanan si ayah. Kematian ayahnya ditunggu-tunggu.

"Saya mahukan apa yang ibu ada, ayah,"

Dia sudah muak menjadi baik. Bahkan, sejak dahulu, dia tidak pernah baik. Tidak pernah.

.

.

.

(1) Kisah Sinderella dan Sepatu kaca, TAMAT.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro