Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

BAGAIKAN radio rosak, sebaris ayat itu berputar-putar di dalam fikiran Hanny. Matanya dipejam rapat lalu nafas dihembus berat. Malam ini dia tak boleh tidur dengan tenang seperti biasa. Setiap kali otaknya kosong tidak memikirkan apa-apa, setiap kali itulah kata-kata setajam sembilu yang Hyqarl lemparkan muncul kembali.

"Dah la gemuk, berjerawat pula tu."

Ya Allah, sakitnya...

Hanny mengubah posisi baringannya kepada mengiring. Cubaan untuk melelapkan mata. Jam sudah menginjak ke angka 12 tetapi matanya masih segar seperti di pagi hari. Mujurlah esok cuti hujung minggu. Kalau tidak, makin barailah dia nak menahan mata di dalam kelas.

Nampaknya, dia masih tidak mengantuk. Fikiran asyik menerawang memikirkan tentang Hyqarl. Fed up, akhirnya Hanny kalih posisi ke menelentang. Mata dibuka, memandang siling yang dihiasi kipas angin. Lalu kemudian, dia termenung panjang.

Hanny tertanya-tanya sendiri. Mengapa Hyqarl perlu memperlakukan dia dengan kasar sedangkan lelaki itu boleh saja mengetepikan perasaannya? Bukan Hanny pergi mengemis cinta pun daripada dia. Dan Hanny sendiri pun tak tahu macam mana perasaan sukanya kepada Hyqarl boleh terbongkar sehingga ke pengetahuan lelaki itu. Setahu dia, cuma Hidayah dan Alice saja yang tahu tentang rahsia yang satu ini.

Kalaulah dia boleh ubah hati sendiri semudah ABC, daripada awal Hanny tak mahu menyukai atau meminati Hyqarl. Buat apa simpan perasaan kepada lelaki itu jika akhirnya dia akan dimalukan di hadapan orang? Hanya kerana secebis perasaan yang jelas semua orang pernah rasa.

Tapi itulah, dah terlajak suka tak bolehlah nak patah balik. Lebih-lebih lagi, Hyqarl merupakan cinta pertamanya. Seseorang yang Hanny suka sejak tingkatan satu lagi. Dan sekarang, mereka sudah pun tingkatan lima. Bayangkan betapa lamanya dia simpan hati kepada Hyqarl. Tak mudah untuk dia buang perasaan 'itu' apabila mereka memang sekelas. Nak lari pun tak boleh. Mungkin Hanny kena tunggu habis sekolah baru dapat move on kut.

Dan tika itu bolehlah dia buktikan yang Hanny Elmira juga boleh berubah kepada versi yang tidak disangka-sangka. Biar Hyqarl melopong tengok the new Hanny.

Ting!

Hilang segala lamunan dan angan-angan Hanny apabila bunyi dentingan mengacau. Terus tangan menggapai telefon berjenama Samsung yang berada di meja kecil bersebelahan katil. Jari menekan punat di sebelah kanan untuk membuka skrin.

Oh, dia lupa nak matikan data rupanya. Berderu-deru masuk WhatsApp daripada grup 'BFFTJ' yang ahlinya terdiri daripada Alice, Hidayah dan Hanny.

Alice Alyana
Hanny, Yaya. Esok jangan lupa datang rumah aku tau.

Nur Hidayah
Of course tak lupa, my Alice.

Me
Okey, Alice. Korang jangan tidur lambat sangat eh. Goodnight, sweet dream.

Usai menghantar pesanan itu, Hanny mematikan data internetnya. Tak mahu terlalu leka. Dia harus merehatkan badan dan fikiran sekarang ini. Tolong, Hanny. Tolong padam Hyqarl daripada fikiran kau. Kau perlu tidur daripada fikirkan tentang dia. Berkali-kali ayat itu diingatkan di dalam kepala. Biar dia bosan dan akhirnya tertidur tanpa sedar.

↶*ೃ✧˚. ❃ ↷ ˊ-

HARI ini Hanny mengenakan bawal chiffon berwarna coklat dan pakaian casual berwarna beige untuk ke rumah Alice. Selesai melihat keseluruhan penampilannya di muka cermin, barulah dia bergerak keluar daripada bilik dengan berpuas hati. Batang tubuh ibu kesayangannya kemudian dicari di setiap pelosok yang ada.

"Ibu... oh... ibu..." Hanny memanggil berkali-kali apabila kelibat ibunya masih tidak kelihatan. Kalau di bilik tak ada, di ruang tamu tak ada, maka mesti ada di dapur.

"Ibu..."

"Ya, sayang." Puan Hawa menjawab lembut. Terhenti perbuatannya untuk memotong sayur tatkala si anak menyeru. Hanny tersenyum lebar. Benar telahannya sebentar tadi. Kaki dibawa menghampiri wanita itu sebelum tubuh tua tersebut didakap erat buat beberapa saat. Inilah rutin Hanny setiap hari. Disebabkan dia anak tunggal jadi terlebih manja sikit dengan ibu dan ayah.

"Hanny dah nak pergi rumah Alice ni, ibu. Sebelum maghrib nanti Hanny balik." Hanny hulurkan tangan untuk bersalam.

"Laa... awalnya. Tak nak sarapan dulu ke? Baru pukul 9 pagi," tanya Puan Hawa sambil lambat-lambat menyambut juga salam yang dihulurkan.

"Tak apalah, ibu. Nanti Hanny sarapan je dekat rumah Alice. Dah terlajak oder grab car," Hanny sengih panjang, menampakkan gigi yang tersusun cantik.

"Hmm, yalah. Hati-hati pergi sana." Hawa menggelengkan kepala. Ada-ada saja anaknya ini. Tak sabar betul nak pergi rumah Alice.

"Okey, ibu. Hanny pergi dulu eh." Pipi sempat dilagakan dengan Puan Hawa sebelum dia menuju ke pintu. Kelam-kabut dia pakai sneakers apabila pemandu grab yang membawa kereta Vios sudah menunggu di hadapan pagar rumah. Buru-buru kakinya menghampiri kenderaan tersebut sebelum Hanny membolos ke dalam. Kemudian, pacuan empat roda itu pun meluncur keluar dari perkarangan rumah Hanny.

Nak kata dia anak orang kaya itu bukanlah. Tapi, apa yang dia ada sekarang 'cukup' serba-serbi. Daripada segi wang ringgit, masa dan kasih sayang. Keluarga Hanny cuma hidup bersederhana. Ayahnya seorang polis dan ibunya pula guru sekolah menengah. Namun, Alhamdulillah apa yang Hanny perlu dan mahu dalam hidup pasti mereka dapat tunaikan.

↶*ೃ✧˚. ❃ ↷ ˊ-

SETIBANYA di rumah agam milik keluarga Alice, Hanny melangkah keluar dari kereta Vios selepas membuat bayaran dan mengucapkan terima kasih kepada si pemandu. Selepas itu, baru dia menuju ke pintu utama rumah lalu menekan loceng beberapa kali.

Hanny sudah sedia maklum bahawa mummy dan daddy Alice tak ada di rumah hari ini. Katanya, ada majlis rasmi yang perlu dihadiri sementelah daddy Alice juga memang orang korporat. Ada syarikat sendiri. Tapi, di sekolah tak ramai pun yang tahu tentang hal ini kerana keluarganya agak private. Cuma Hanny dan Hidayah serta beberapa orang guru saja yang mengetahuinya.

Alice pula memang tak tunjuk langsung dia anak orang kaya. Dia pakai barang pun sama saja seperti orang biasa. Tak branded pun. Hanny dan Hidayah tahu tentang rahsia keluarganya ini pun baru tahun lepas. Bermakna, mereka berdua adalah kawan yang paling Alice percaya di sekolah. Awal-awal tu sajalah kekok bila Hanny dapat tahu kerana dia rasa mereka bagaikan langit dengan bumi. Tetapi disebabkan Alice sangat humble, Hanny selesa berkawan dengannya.

"Ha, Hanny. Masuklah." Pintu dibuka oleh Alice. Tak menunggu lama, Hanny terus masuk ke dalam apabila dijemput.

Rumah besar itu tidak asing lagi dilihat oleh Hanny. Walaupun begitu, masih terasa kesunyian apabila masuk ke dalam ruangan tersebut. Besar tetapi cuma Alice dan abangnya berserta beberapa orang pembantu rumah dan pengawal keselamatan saja yang ada.

"Awalnya sampai, Yaya." Berkerut dahi Hanny apabila nampak figura Hidayah sedang elok duduk di atas sofa sambil makan snek. Matanya langsung tidak dikalihkan daripada kaca televisyen yang sedang memaparkan drama Birth Of A Beauty lakonan Han Ye Seul.

"Well, ini kan Yaya. Mestilah awal. Bukan macam Hanny Elmira yang bertanya tu," perli Hidayah. Sengaja nak mencari pasal di pagi yang indah ini. Tangannya masih ligat menyuapkan aneka snek ke dalam mulut. Lagaknya sudah seperti budak-budak tengok kartun.

"Better late than never okay," balas Hanny, tak nak kalah. Kemudian, sepantas kilat dia merampas bekas snek yang berada di tangan Hidayah sebelum punggung dilabuhkan bersebelahan gadis itu. Makanan seeloknya dikongsi, tak elok jika bolot sorang-sorang.

Terkebil-kebil Hidayah dibuatnya. Namun, dia malas nak ambil pusing. Drama Korea lagi penting. Lagipun, perutnya juga sudah kekenyangan akibat makan terlampau banyak makanan ringan sebentar tadi.

"Hmm... pagi-pagi lagi dah bertekak." Alice datang seraya menghenyakkan punggung di sebelah Hanny.

"Mana abang kau, Alice?" Hanny terus menukar topik. Tak nak dengar apa-apa bebelan daripada Alice. Matanya diliarkan mencari kelibat Alex. Alice dan Alex memang ada kacukan Melayu dan British. Sebab itulah nama mereka pun ala-ala Inggeris.

"Biasalah. Awal pagi lagi dah pergi ofis."

"Oh..." Hanny mengangguk faham.

Sedang Hanny leka mengunyah snek sambil pandang drama di kaca televisyen, Alice dan Hidayah asyik mencuri pandangnya sedari tadi. Masing-masing sibuk beradu mata. Seperti ada sesuatu yang mahu dibongkarkan tetapi dua-dua teragak-agak.

"Err... Hanny."

"Hmm? Kenapa Alice?"

"Aku ada sesuatu nak bagi dekat kau." Alice bernada risau. Bibirnya diketap rapat kerana takut dengan penerimaan Hanny.

"Sesuatu? Apa benda?" Hanny musykil. Fokusnya kini seratus peratus dihalakan kepada wajah Alice yang putih tanpa cela itu. Kadang-kadang terbit juga rasa cemburu apabila pandang wajah Hidayah dan Alice. Mereka berdua sangat cantik. Dah la berkulit cerah, glowing, flawless pula tu.

"Tapi kalau aku bagi ni, kau jangan terasa tau. Niat aku nak tolong kau je," bicara Alice lagi penuh hati-hati. Dia tidak mahu Hanny tersinggung dengan barang yang akan diberikan.

"Okey." Hanny membalas pendek. Dia menanti dengan sabar.

"Nah." Sebuah kotak yang berbalut dengan plastik dihulurkan oleh Alice. Puas dia sorokkan di celahan sofa daripada tadi. Hidayah pun turut sama mengalihkan fokus Hanny supaya kawannya itu tidak ternampak.

Hanny menyambut perlahan. Ada senyuman yang menghiasi bibirnya tika barang itu bertukar tangan. Dia teruja.

"Apa ni?" Saat tangan bertindak mengeluarkan apa yang berada di dalam plastik, senyuman Hanny mula sirna. Wajah Hidayah dan Alice dipandang semula untuk mendapatkan penjelasan.

Apa kepentingan mereka bagi benda ini kepada Hanny? Sudahlah mahal.

"Kenapa kau orang bagi aku ni? Aku tak minta pun, Alice, Yaya," soal Hanny meminta jawapan. Patutkah dia gembira?

"Hanny... aku dengan Yaya tahu kau tak pernah minta pun semua ni. Kita orang tak nak tengok kau diperlekehkan lagi. Sebab tu, aku dengan Yaya dah berpakat nak belikan kau skincare ni. Aku bagi sebab aku nak kita cantik sama-sama. Sebelum ni pun kau cantik je cuma biasalah, mulut orang kita tak boleh nak kawal. Hanya kerana dia orang tak ada masalah kulit muka, tak bermakna dia orang boleh kutuk orang lain sesuka hati. Muka ni bahagian yang sensitif, lebih-lebih lagi untuk perempuan macam kita. Orang hanya tahu menilai dari luaran, tapi orang tak tahu struggle sesetengah orang untuk menjaga muka." Tenang Alice berkata-kata untuk melembutkan hati Hanny. Dengan harapan, gadis itu akan terima pemberian mereka dan hatinya sedikit-sebanyak rasa terpujuk.

"Aku hargai sangat skincare yang kau orang bagi ni. Thank you, Yaya, Alice. Tapi, aku tak nak ambil kesempatan atas kebaikan dan kesenangan kau orang," ujar Hanny. Jujur, dia terharu dengan apa yang Hidayah dan Alice lakukan tapi dia tak suka terima barangan mahal seperti ini.

Bukanlah Hanny tak tahu bahawa satu set produk penjagaan muka saja boleh mencecah sehingga ratusan ringgit. Lebih-lebih lagi jenama yang bukan biasa-biasa. Sebab itulah Hanny tak pernah terfikir pun untuk membelinya walau dia pasti ibu dan ayah mesti akan beri jika dia minta. Hanny tak suka menyusahkan ibu bapanya dengan benda yang bukan keperluan.

"Tak apalah, Hanny. Kau ambil je. Aku dengan Yaya ikhlas nak bagi kau. Lagipun, kita orang beli ni atas cadangan mummy aku juga. Aku ada ceritakan dekat mummy pasal kau. Lepas tu, mummy aku sendiri yang nak sponsor kau skincare. Dia pun dah anggap kau macam anak sendiri. Jadi, kau janganlah tolak niat baik kita orang." Alice senyum lebar.

"Kau ni, Alice... aku pula yang serba salah." Hanny mencebik. Semakin tersentuh dengan apa yang Alice cakapkan. Untuk menolak, dia tak mampu mengecewakan mereka.

"Nanti kalau dah habis, bagitahu aku. Mummy aku akan beli yang baru untuk kau."

"Thank you sangat-sangat, Alice. Cakap dengan mummy kau, kalau aku dah kerja nanti aku akan bayar balik semua duit skincare ni."

"Yalah, kalau itu yang kau nak. Nak bayar balik, bayarlah. Kalau tak nak pun tak apa."

Hanny senyum. Dia peluk Alice ketat-ketat. Menyalurkan rasa terima kasih yang teramat sangat buat gadis itu. Hidayah juga ikut serta. Tak mahu ketinggalan sama.

"Amacam? Dah happy, kan?" Hidayah akhirnya bersuara saat pelukan mereka terungkai. Sengaja dia beri ruang yang lama untuk Alice dan Hanny sebentar tadi.

Tanpa ragu-ragu, Hanny mengangguk laju. Sengihannya semakin panjang. Sudah semestinya dia gembira. Adanya Hidayah dan Alice di dalam hidup Hanny membuatkan dia semakin bersyukur. Masih ada kawan yang sudi berdamping dengannya sehingga ke saat ini walau kurang macam mana sekalipun diri Hanny.

Semoga ikatan persahabatan mereka akan tetap utuh sampai bila-bila.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro