78

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                          DAGING yang sudah hancur itu dibuang ke dalam tong sampah. Tidak boleh dimakan lagi. Ada rasa geram dihatinya apabila Aryan sanggup merosakkan daging mentah yang dia ingin masak untuk Nayra hari ini. Kesan darah melekat pada kabinet dapur turut dilap. Peralatan yang telah digunakan tadi dibasuh dan disimpan ke tempat yang sepatutnya. Semua dilakukan oleh Brayan seorang diri, manakala aku disuruh duduk sahaja di kerusi untuk rehat. Ada segelas air putih yang dituang bagi menghilangkan rasa gusar di hati.

"Aku tak tahu kenapa Aryan buat macam ni, tapi dia memang dah melampau! Habis daging yang aku belikan untuk kau rosak gara-gara dia! Sudahlah itu sahaja satu-satunya daging yang tinggal di kedai semalam!" Bebel Brayan sambil menyusun pisau pemotong daging yang telah dibersihkan. Terkacip-kacip giginya menahan geram. Kalaulah Aryan ada di hadapan matanya sekarang, memang dia sudah belasah cukup-cukup!

Bukan sahaja telah merosakkan barang-barang dapur, malah Nayra pun dia sudah buat jadi takut dan tidak bersuara daripada tadi. Entah apa yang Aryan sudah meracun fikirannya. Yang pasti dia tidak boleh biarkan begitu sahaja.

Selesai membersihkan dapur. Brayan kemudian melangkah menghampiriku. Air yang diberinya tadi kelihatan masih belum disentuh. Brayan mengeluh kecil, dia duduk bertinggung di hadapanku. Kedua-dua belah tanganku yang berada di atas paha digenggamnya. Sejuk. Itu yang dia rasa. Mungkin Nayra masih dalam keadaan takut.

"Apa-apa sahaja yang Aryan ada cakap pada kau, lupakan saja. Kau tak perlu ingat pun. Dan tentang daging tu, nanti aku carikan yang baru ya untuk kau?" Ujarnya. Dia menunduk sekilas memandang jam ditangan.

"Dah lambat. Aku kena pergi kerja sekarang. Tapi aku tak boleh nak bawa kau sekali. Risau kau bosan duduk di situ lama-lama. Jadi..." Dia menyeluk poket. Mengeluarkan telefon canggih miliknya, lalu diletakkan telefon itu ke tapak tanganku.

"Call aje aku kalau kau ada masalah. Aku janji aku akan datang secepat yang mungkin." Pesannya, tergesa-gesa.  Lantas bangun dari duduk bertinggung di atas lantai. Satu kucupan singgah di dahiku sebelum dia melangkah ingin pergi.

"Daging tu..." aku bersuara perlahan.

Tapi cukup pasti Brayan mendengarnya kerana langkah lelaki terhenti semula. Dia menoleh memandangku yang bangun dari kerusi lalu menapak ke arahnya. Kening Brayan sedikit berkerut memandang mukaku yang penuh tanda tanya.

"Daging yang awak beli tu... daging apa?"bergetar suaraku saat melontarkan soalan. Aku merenung tepat ke dalam matanya penuh harapan. Mengharapkan kali ini dia bakal menjawabnya dengan jujur. Dan, lebih aku harapkan jawapan Brayan tidak akan menghampakan hatiku yang masih teguh mempercayainya. Aku yakin. Kata-kata Aryan tadi hanya dusta yang dicipta semata-mata untuk merosakkan hubungan kami berdua.

Lama Brayan diam membalas renunganku. Halkumnya turut bergerak-gerak menelan air liur. Bibirnya terketap. Matanya juga asyik melilau memerhati seraut wajahku yang jelas mahukan kejujuran.

"Kau... tak percayakan kata-kata diakan?" Belum dijawab persoalanku lagi. Kini dia pula yang menyoal. Mendatar suaranya. Ada kedengaran sedikit kecewa.

Namun aku geleng kepala. Bukannya aku mahu percayakan kata-kata Aryan, tetapi lebih kepada mahu mendengar dari mulut lelaki itu sendiri.

"Saya tak cakap yang saya percayakan dia. Saya cuma nak tahu, itu daging apa?" Ujarku. Membetulkan tanggapannya dan mengulangi soalan yang dibiarkan tergantung tadi.

Brayan mengeluh berat. Sebelah tangan naik memicit kepala. Entah mengapa jiwanya rasa tak tenteram. Dia pejam mata sesaat. Tarik nafas dan hembus dengan perlahan. Kemudian, barulah menatapku semula.

"Kalau kau nak tahu sangat, itu daging..." belum sempat dia menghabiskan ayat, telefon yang diserahkan kepadaku tadi mencelah secara tiba-tiba. Aku tunduk melihat skrin. Jelas tertera nama Teo yang sedang menghubungi. Tidak mahu tidak, aku terpaksa serahkan kepada Brayan untuk menjawabnya terlebih dahulu.

Lambat-lambat dia mencapainya. Tanpa menunggu lama, panggilan diangkat.

"Yes, Teo? Oh really..." anak mata Brayan menjeling sekilas ke arahku. Kemudian kepalanya terangguk-angguk. Tidak sampai beberapa minit mereka berbual, akhirnya talian dimatikan. Dia memusing memandangku kembali. Berat hatinya untuk meninggalkan Nayra seorang diri di rumah. Namun, dia terpaksa...

"Aku kena pergi sekarang. Kita bincang selepas ni okay?" Ujarnya. Tanganku ditarik lalu dia menyerahkan telefon canggih miliknya kepadaku semula.

"Ingat! Hubungi aku kalau kau ada masalah. Tunggu aku balik!"pesannya sekali lagi. Tegas. Lantas, dia terus beredar meninggalkan ruang dapur itu secara tergesa-gesa. Mungkin sudah terlalu lewat sampai ke tempat kerja. Kini tinggal aku seorang yang masih tercegat menanti jawapan. Telefon ditangan digenggam penuh erat.

"Saya tunggu jawapan awak, Brayan. Saya tunggu..."














DOKTOR Maira duduk di sofa empuk yang disediakan pada ruang menunggu. Tangannya saling mengenggam antara satu sama lain. Takut. Seram sejuk dia rasakan, biarpun puncanya bukan dari suhu penghawa dingin. Otaknya tidak habis-habis terngiang-ngiangkan kejadian semalam.

Amaran Brayan yang menyuruh dia untuk menghadapnya di pejabat membuatkan dia rasa tak senang duduk memikirkan nasib yang bakal dikenakan.

"Tuan Brayan!" Kedengaran suara pekerja disitu menyapa nama bos mereka sebaik sahaja dia muncul. Doktor Maira yang sedang duduk di sofa terus bangun apabila melihat figura Brayan di hadapan mata.

"Masuk. Kita bincang dekat dalam." arah Brayan, perlahan. Tidak mahu pekerja disitu mendengarnya. Doktor Maira mengangguk kepala.

Lantas, dia memberi laluan kepada Brayan untuk melangkah masuk terlebih dahulu ke dalam bilik kerjanya. Manakala dia hanya mengekor dari belakang. Beg office diletakkan ke bawah. Kemudian, Brayan melabuh punggung di atas kusyen mahal yang berada di meja kerjanya. Buat seketika dia membetulkan kemeja yang sedikit berkedut. Selesai. Barulah dia mengangkat muka memandang Doktor Maira yang berdiri tercegat ditengah-tengah biliknya.

"Kau tahu apa salah kau?" Soal Brayan, serius.

Laju Doktor Maira mengangguk kepala. Sedar akan kesalahan sendiri.

"Kau doktor sepatutnya kau tahu keadaan Nayra macam mana? Dia tak boleh berjalan terlalu banyak. Kaki dia lemah! Aku bayar kau bukan seribu, bukan dua ribu! Lima puluh ribu aku bayar kau sebagai doktor peribadi Nayra jika dia jatuh sakit. Tapi apa yang kau buat?"

"Maafkan saya, Tuan Brayan..."

"Kau dah langgar peraturan aku dan kemudian minta maaf macam itu sahaja?"soal Brayan.

Doktor Maira diam tidak tahu ingin membalas apa-apa. Hanya mengaku salah dan meminta maaf sahaja yang dia boleh lakukan. Jika Brayan meminta dia untuk membayar segala salah silapnya melakukan kerja mungkin dia tidak mampu.

Brayan mengeluh berat. Mata dipejam sesaat. Dia menunduk kepala sambil sebelah tangannya naik memicit kepala yang sudah berdenyut-denyut. Inilah perasaan yang dia benci setiap kali seseorang itu melanggar peraturan.

Rasa seolah-olah kepalanya akan meletop dan bertukar menjadi orang hilang akal.

"Disebabkan kau langgar peraturan aku. Aku terpaksa berhentikan kau jadi Doktor untuk Nayra. Aku tak boleh tengok muka kau lagi."

"Tapi Tuan Brayan..."

"I'm serious! Aku memang tak boleh. Semua ni untuk kebaikan Nayra dan juga kau. Selepas ini kau tak perlu datang ke rumah untuk latih dia lagi. Cukup setakat ini sahaja." Ujar Brayan. Tegas dan keras. Buku cek yang berada di atas meja ditarik kearahnya. Pen dicapai lalu dia menulis sejumlah wang yang hendak diberikan sebelum ditolak ke depan meja.

"Ambil cek tu dan pergi. Jangan tunjuk muka kau depan aku lagi. Sebaiknya, elak kalau kau bertembung dengan aku." Ujar Brayan memberi amaran yang jelas ada maksud tersirat disebaliknya. Wajah Doktor Maira tidak dipandang. Dia hanya berpaling ke tepi saat merasakan ada satu perasaan jahat yang cuba untuk menghasut.

Tatkala kening Doktor Maira berkerut tidak faham. Kalau boleh dia mahu merayu kepada Tuan Brayan agar memberikan dia satu lagi peluang, tetapi lelaki itu nampak seperti membencinya dan tidak mahu melihat mukanya lagi. Tidak mahu tidak, dia harus pergi. Cek yang berada di atas meja pun dicapai.

"Baik, Tuan Brayan. Terima kasih sebab maafkan saya." Ucapnya. Dia menunduk sedikit tubuh tanda hormat sebelum berlalu pergi. Hilang sahaja kelibat Doktor Maira selepas melepasi pintu, Teo pula melangkah masuk ke dalam bersama fail di tangan.

Diletakkan fail itu diatas meja. Baru sahaja ingin beredar keluar, niatnya bertukar apabila melihat muka Brayan yang sedikit berkerut.

"Bos tak apa-apa?" Soal Teo, sekadar ingin mengambil berat. Brayan mengangguk perlahan. Tubuh disandar ke belakang kusyen sambil sebelah tangan tak berhenti memicit kepala. Hilang satu masalah, kini dia teringat pula tentang Nayra dirumah.

"Teo..." panggil Brayan.

Teo menjongket sepasang keningnya ke atas. Dia tahu Brayan ingin bertanyakan sesuatu.

"Antara aku atau Aryan... kau pilih siapa?"

soalan yang keluar dibibir Brayan secara tiba-tiba itu membuatkan Teo pula yang berkerut. 'Haih? Lain macam soalan bos aku ni? Macamlah aku nak kahwin dengan dia sampai suruh pilih- pilih ni? Dah tanya tu jawab ajelah.' Teo jongket bahu, tanpa membiarkan Brayan menunggu dia pun memberi jawapan.

"Saya lebih pilih Tuan Brayan."

"Sebab kau nak jaga hati aku?" Laju sahaja Brayan meneka. Pantas Teo menggeleng.

"Mana ada!"

"Habis tu?"

"Sebab bos tak macam Aryan. Walaupun Aryan tu nampak baik, tapi saya tak rasa baik dia tu ikhlas. Even bos yang rupa macam nak makan orang tiap-tiap hari, tapi tak adalah garang mana pun? Kalau bos jenis macam tu, tak adalah saya berani bergurau dengan bos." Ujar Teo. Panjang lebar dia memberi jawapan siap penerangan lagi.

Brayan tersenyum kelat. Tangan yang sedang memicit dahi itu dijatuhkan ke bawah. Dia memandang Teo yang masih berdiri di hadapan meja.

"Betul ke?"

Teo mengangguk kepala.

"Kalau aku lebih kurang sahaja macam Aryan macam mana?"soal Brayan lagi.

Teo diam seketika. Kenapa pelik-pelik soalan Brayan ni?

"Kenapa bos tanya saya soalan macam tu? Puan Nayra ada samakan bos dengan Aryan ke? Kalau dia tuduh macam tu, saya rasa tak patut! Bos berbeza dengan dia!" Tegas Teo.

Brayan menggeleng kepala menafikannya.

"Tak. Dia tak pernah samakan aku dengan Aryan. Cuma... aku rasa dia dah mula confuse untuk lebih percayakan siapa? Aku takut jika tanggapan dia tak sama dengan kau. Aku takut... dia rasa Aryan lebih baik daripada aku. Dan aku takkan boleh terima benda tu walaupun ia satu kebenaran sekalipun." Ujar Brayan.

Perasaannya kini bercampur-baur, resah, takut dan risau semuanya ada. Lantas, gambar perkahwinannya bersama Nayra yang berada di atas meja pun dicapai. Ditatap. Diusap-usap wajah Nayra yang sedang tersenyum itu dengan ibu jarinya. Tanpa sedar bibirnya juga terikut untuk senyum. Air mata yang sedaya upaya ditahan dari mengalir dihadapan pekerjanya, akhirnya menitis jua mengena bingkai kaca itu. Tak tahu mengapa, dia selalu berdepan perasaan takut setiap kali berkaitan dengan Nayra.

"Aku tak nak hilang dia, Teo... Dia sahaja yang buat aku terus percaya, aku ni masih manusia berguna untuk terus hidup."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro