24

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                     “NAH. Tukarlah baju dulu. Saya tahu awak panas pakai hoodie tu."
Baju T shirt berwarna hitam yang baru diambil tadi diserahkan kepadanya. Aku sudah mengenali Brayan, jadi aku tahu dia tidak selesa berpakaian seperti itu. Lihat dahinya sahaja sudah berpeluh-peluh. Pasti badannya rasa melekit. Entah berapa lama dia terseksa pakai hoodie yang panas itu. Timbul rasa kasihan dihatiku.

Baju yang dilipat kemas dihulur kearah Brayan yang duduk di sofa. Namun, Brayan tidak mengambilnya. Dia masih lagi menunduk kepala dan merenung ke lantai. Entah apalah yang difikirkan dari tadi.

"Pakailah. Saya ambilkan awak air." Langsung baju itu diletakkan ke ruang kosong di sebelahnya sebelum kaki mengatur langkah ingin ke dapur.

Namun, baru sahaja aku hendak membuka langkah. Sebelah lenganku sudah digenggam oleh Brayan. Semerta mematikan niatku untuk ke dapur. Kepala kembali menoleh melihat suami sendiri. Kening berkerut.

Perlahan-lahan Brayan melangut kepala, merenung tepat ke mataku. Tak tahu kenapa jantung ini berdebar setiap kali melihat pandangan seperti itu.

"Duduk." Ringkas sahaja arahannya.

Tanpa banyak soal, aku terus melabuh punggung di sebelah suamiku. Barulah perlahan-lahan Brayan melepaskan pegangannya.

"Aku tahu kau ada soalan. Tanyalah. Aku akan jawab." Katanya sebelum kepala kembali menunduk ke bawah. Riak wajahnya tampak kusut.

Hati berbolak-balik memikirkan sama ada patut atau tidak aku mengajukan soalan-soalan yang bermain kotak fikiran sekarang. Bimbang. Jika soalan yang terpacul keluar dari bibir ini, hanya menambahkan serabut di kepala Brayan.
Tetapi dalam masa yang sama, naluri ingin tahu itu kuat.

"Brahms... siapa Brahms?" Soalku setelah beberapa minit mendiamkan diri. Sengaja aku menyoal, biarpun aku tahu jawapannya. Iaitu dia adalah personaliti kedua dari tubuh Brayan. Tetapi bukan itu yang aku mahu dengar. Aku pasti, Brayan faham akan maksudku.

"Personaliti kedua selepas Aryan muncul  dulu." Balasnya dengan suara mendatar. Langsung tak menoleh menatap wajahku.

"Dia yang paling kuat. Lebih kuat daripada Aryan. Kalau Aryan lemah bila kau sakitkan aku, tapi dia tak. Dia boleh kawal tubuh ni bila-bila masa aje yang dia nak tanpa aku sedar." Sambung Brayan lagi.

Kepala mengangguk perlahan. Faham. Patutlah susah benar aku hendak menukarkan dia kepada Brayan kembali. Entah-entah, kesan cekupan tadi pun tidak membuatkan personaliti itu lemah. Bahkan dia memilih untuk menghilang sekejap kerana tidak mahu aku mencekup leher Brayan terlalu lama?
Kerana mungkin boleh menyebabkan Brayan kehilangan nafas dan bukan Brahms.

Jujur, kepalaku rasa nak pecah setiap kali memikirkan tentang personaliti-personaliti yang ada di dalam badan Brayan.

"Kenapa baru sekarang awak bagitahu saya pasal dia? Awak tak pernah cakap pun awak ada personaliti lain sebelum ni? Atau awak ingat, masa dia pilih untuk pergi daripada hidup awak bemakna dia takkan kembali sampai bila-bila?" Bertubi-tubi soalan terpacul keluar dari bibirku. Tak boleh ditahan lagi.

Namun, kening Brayan berkerut sebelum menoleh memandangku. Matanya mengecil sedikit.

"Macam mana kau tahu pasal cerita tu?" Soal Brayan.

"Madam. Dia yang bagitahu."

Bibir Brayan tampak terbuka seperti ingin mengatakan sesuatu. Pandangannya juga berubah. Cepat-cepat aku memotong, sebelum dia berniat ingin memarahi wanita tua itu.

"Jangan marah Madam! Dia tak cerita perkara buruk pun." Cantasku, laju.

Brayan terdiam sejenak.

"Madam cuma cakap, Brahms tu baik. Tak pernah buat salah, tak pernah menyusahkan sesiapa. Dia cuma pilih untuk pergi sebab nak awak hidup dengan tenang. Itu sahaja. Tak ada benda lain." Ujarku.

"Madam bagitahu... nama dia Brahms?" Soal Brayan. Inginkan kepastian.

Malah aku menggeleng kepala. Madam tidak sempat menghabiskan ayatnya pada masa itu. Tetapi aku pasti, Brahmslah yang Madam maksudkan di dalam ceritanya semasa di pondok minggu lepas.

Siapa lagi?

Takkan Aryan pula. Tidak mungkin.

"Tak. Madam tak sempat sebut nama dia, sebab waktu tu awak dah balik. Jadi dia terus pergi sambut awak. Tapi mestilah cerita Madam itu pasal Brahms, kan? Sebab dia pun bagitahu saya dia dah hilangkan diri dia beberapa tahun. Sama macam cerita dari Madam." Ujarku.

Kepala Brayan terangguk-angguk. Dia menunduk memandang kedua belah tangannya. Membelek kesan bintik-bintik merah akibat alergi.

"Hmm... baguslah kalau kau dah tahu pasal cerita tu. Tak perlu aku ceritakan lagi. Kau dah tahu semuanya." Katanya, perlahan.

"Tapi awak masih tak jawab soalan saya. Kenapa tak pernah sebut pasal Brahms? Saya sebagai isteri, sepatutnya tahu semua pasal tu."

"Sebab macam yang kau cakap tadi. Aku ingat dia takkan kembali semula. Jadi tiada sebab untuk aku bagitahu kau pasal dia. Dan..." bicara Brayan berhenti setakat disitu. Pergerakan tangannya yang sedang membelek kesan bintik-bintik merah dibelakang tangan kiri itu juga terhenti.

Tatkala aku masih menanti. Kepala menjenguk sedikit ingin melihat wajah Brayan yang tiba-tiba menyepi.

"Dan?"

"Dan... ak... aku tak suka dia."

"Aryan pun awak tak suka." Bidasku.

Namun Brayan menggeleng. "Tak. Aku tak suka Aryan sebab dia bahaya untuk kau. Tapi Brahms... haih... macam mana aku nak cakap ya?" Sebelah tangan Brayan meraup wajah.

"Dia... Dia buat aku malu." Gumamnya, perlahan. Kepala berpaling ke lain. Namun telingaku dapat menangkapnya.

Wajah Brayan juga tampak memerah saat memberitahu perkara itu.

Pelik. Kening saling bertaut. Tak pernah aku lihat wajah Brayan bertukar jadi merah jambu begitu. Dan, sejak bila pula suamiku ini ada perasaan malu?

"Malu? Kenapa awak malu pula?" Soalku, bingung.

Bibir Brayan mengetap. Dia menoleh memandang wajahku.

"Sebab dia lain. Perwatakan dia, buatkan aku malu. Dia tak boleh dikawal. Aku tak tahu bagaimana nak terangkan tapi, dia memang lain dari aku. Sebab itu aku malu. Kalau Teo atau pekerja lain jumpa dia, aku tahu apa yang mereka akan fikir."

"Maksud awak dia jenis degil?" Aku meneka. Itulah yang lihat semasa bertemu Brahms beberapa minit tadi. Dia memang seorang yang tak dengar cakap dan suka melawan.

Dan...

Tak reti nak serius. Memang jauh beza dengan perwatakan suami sebenarku yang serius, tegas dan gentleman.

"Something like that."

Aku mendecik kecil. Hendak tergelak pun ada. Namun sedaya upaya ditahan daripada meletuskan tawa. Tatkala wajah Brayan masih lagi bingung melihatku.

"Kenapa muka kau macam tu?"

"Awak takut pekerja lain nampak awak jenis suka berlari sana sini ek? Macam budak-budak?"

Kedua pipi Brayan semakin memerah. Matanya juga membulat besar.

"Tak! Maksud aku dia..."

"Dah agak! Pipi awak merah. Bermakna saya betul." Cantasku.

"Huh?" Laju sahaja kedua-dua belah tangan Brayan naik menyentuh wajah sendiri. Nampak sangatkah yang dia sedang malu?

"Itu biasalah. Semua orang ada jiwa kanak-kanak dalam diri biarpun dah dewasa. Cuma kita takut nak keluarkan sebab orang akan pandang pelik. Tapi tak salah pun kalau kita nak bebaskan perasaan tu sekali sekala? Pekerja awak akan faham."

"Tapi Brahms bukan macam itu. Dia..."

"Tak apa. Saya faham." Potongku. Kedua-dua belah tangan Brayan itu ditarik ke bawah lalu digenggam. Anak mata hijau itu direnung dalam-dalam.

"Saya orang pertama yang awak boleh yakin, yang saya takkan mengejek perwatakan personaliti tu. Jadi awak tak perlu malu."

"Kau takkan faham, Nayra. Dia susah nak dikawal. Dan kalau kau tak tunaikan apa yang dia nak, atau buat sesuatu yang dia tak suka... dia akan jadi lain."

"Maksud awak dia akan memberontak? Itu macam budak-budak. Kalau perangai dia macam itu, bermakna dia kena berhadapan dengan seseorang yang tegas. Macam saya dengan mak masa kecil dulu. Saya pun nakal. Akan memberontak kalau tak dapat mainan. Tapi bila kena marah, saya tahu untuk senyap." Ujarku.

Tersengih bibirku tatkala teringatkan kembali zaman kecil dahulu. Lucu apabila terbayang difikiran sendiri.

Namun kepala Brayan menggeleng. Wajahnya berubah kerisauan.

"Nayra, kau sendiri tahu kehidupan aku dulu macam mana. Kita tak sama. Aku tak pernah dapat apa yang aku nak. Malah aku juga kena marah walaupun aku tak buat silap atau nakkan sesuatu. Dia ibarat jiwa kanak-kanak aku yang tak pernah bebas selama ni. Jadi dia nak rasa semua tu. Dan bila dia tak dapat, dia takkan pilih untuk diam seperti kau, Nayra. Dia akan pilih..."

"Puan Nayra. Tuan Brayan." Sampuk Puan Nora Elena menghentikan bicara Brayan.

Serentak pandangan kami berdua teralih ke arah Puan Nora Elena yang baru muncul di ruang tamu. Sekejap kepalanya mendongak melihat ke arah jam di dinding. Dah lewat sangat untuk membiarkan mereka berdua berjaga waktu ini.

"Dah lewat untuk berbincang pada waktu sekarang. Ada baiknya kalau Tuan dan Puan tidur dulu. Tuan Brayan pun nampak letih." Ujarnya.

Aku memandang wajah Brayan. Ya. Memang mukanya tampak penat. Mungkin kerana personaliti tadi tidak pernah memberinya ruang untuk berehat.

Kepala diangguk perlahan.

"Baik, Madam." Ucapku.

Madam hanya tersenyum kecil sebelum berlalu pergi. Setelah kelibatnya hilang, aku mencapai baju T shirt yang berada di sebelah Brayan tadi lalu diletakkan ke atas pahanya.

"Pergi tukar baju dulu. Saya tunggu awak dekat bilik." Ujarku. Lantas bangun dari tempat duduk.

Brayan juga turut bangkit dari sofa.

"Nayra." Panggilnya. Baju t shirt ditangan digenggam.

Aku menoleh memandangnya. Menanti apa yang dia ingin katakan. Daripada riak wajahnya, nampak seperti kesal akan sesuatu. Dia melangkah beberapa tapak, berdiri betul-betul dihadapanku. Anak mata kami saling bertatapan.

"Aku minta maaf." Ucapnya dengan nada mendatar.

Keningku berkerut. Tidak faham. Namun aku masih diam, pasti ada lagi yang belum terluah dibibir Brayan.

"Aku tak ada niat untuk tipu kau yang aku pergi ke London. Memang sepatutnya aku ada dekat sana sekarang tapi Brahms yang ambil alih. Aku tak mampu nak kawal."

"Saya faham. Itu bukan salah awak." Ujarku. Siap tersenyum lebar.

Brayan turut mengukir senyuman nipis. Sebelah tangannya naik menyentuh pipiku dengan lembut. Anak mata hijau itu juga bergerak ke sekeliling wajahku seakan-akan mencari sesuatu.

"Kau tak apa-apakan selama berada dengan Elly?" Soal Brayan. Tepat merenung ke mataku inginkan kejujuran.

Aku terpempan sejenak.

Tiba-tiba fikiranku melayang ke malam hari yang aku hampir sahaja menjadi mangsa oleh dua orang lelaki. Sepatutnya aku hendak beritahu perkara itu semalam, tetapi Brayan tidak menjawab panggilan.

Eh, salah!

Brahms yang tidak menjawab panggilan.

Sekarang.

Dia sudah ada di hadapan mata. Kenapa jantungku tiba-tiba sahaja berdegup laju? Dan mengapa aku berasa takut untuk ceritakan hal sebenar?

"Nayra, i'm asking you..." keras Brayan apabila aku diam tak bersuara daripada tadi.

Air liur ditelan. Kesat.  Terkulat-kulat aku hendak menjawab pertanyaannya.

"Ad... ada." Jawabku, tergagap-gagap. Mata dipejam sesaat. Takut.

Riak wajah Brayan terus bertukar. Tangan yang menyentuh pipiku terus jatuh ke bawah. Kini kedua belah bahuku pula yang digenggam erat, ingin betul-betul menghadap ke arahnya. Kepala Brayan sedikit tertunduk melihat wajahku.

"Apa yang berlaku?" Soal Brayan, jelas kerisauan.

Bawah bibir digigit. Cuak.

"Tapi ini bukan salah Elly. Awak jangan pula marah dia. Lagipun, saya selamat sebab awak muncul waktu itu."

"Aku tak tanya salah siapa. Tapi aku tanya apa yang berlaku. Kau tak menjawab soalan aku."

Aku terdiam sejenak. Tidak mahu tidak, terpaksa juga aku beritahu hal semalam kepada Brayan. Dia berhak untuk tahu.

"Sebenarnya, malam semalam beg saya kena ragut dengan dua orang lelaki. Selepas itu mereka cuba nak buat benda tak elok dekat saya. Tapi nasib baik tak jadi apa-apa." Ujarku sambil kepala tertunduk ke bawah. Tidak berani hendak bertentangan mata dengannya.

"Apa kau buat waktu malam tu dengan Elly?" Soalnya lagi.

"Saya teman dia. Tapi saya dapat izin daripada awak sebelum tu." Balasku. Lebih baik beritahu siap-siap bahawa aku mendapat keizinan sebelum keluar dari rumah. Jika tidak, tentu Brayan akan mengamuk.

"Kalau ikutkan aku, aku takkan pernah sesekali izinkan kau keluar berdua dengan Elly." Brayan bersuara.

Terus kepalaku melangut pabila mendengarnya. Terkesima. Mata membulat. Wajah Brayan dipandang dengan riak tertanya-tanya. Serius muka Brayan saat ini.

"Brahms yang bagi kau keizinan untuk keluar dengan dia. Bukan aku. Tapi aku takkan salahkan kau atau marah sekalipun." Ujarnya. Kemudian, dia melepaskan genggaman pada bahuku dan berdiri tegak. Kepalanya sedikit tertunduk memandangku.

"Awak takkan marah Elly jugakan?" Soalku. Tepat merenung ke matanya. Meminta simpati.

Brayan diam tidak menjawab. Sebaliknya hanya tersenyum senget.  Sebelah tangannya naik menyentuh kepalaku. Kemudian, tubuhnya sedikit membongkok, menyamakan ketinggiannya denganku. Mata saling bertentangan.

"Kau terlalu mudah rasa kasihan pada seseorang. Aku fikir cuma untuk aje perasaan tu selama ni. Rupanya aku berkongsi rasa tu dengan Elly." Katanya. Penuh maksud tersirat.

Entah mengapa ayat itu kedengaran aneh di telingaku. Maksudnya, dia cemburukah kerana aku lebih utamakan Elly daripadanya? Langsung aku geleng kepala menafikannya.

"Awak jangan salah faham. Saya bukan  cuba untuk tutup salah dia sebab tak nak dia kena marah. Tapi memang bukan salah dia semua ni terjadi, tapi salah saya. Saya yang jalan sorang-sorang waktu tu. Dia dah suruh saya duduk dengan dia, tapi saya degil." Ujarku.

"And now you blame yourself because of her?" Soal Brayan.

Aku terdiam.

Bibirnya tersenyum sinis.

"Yeah, inilah Nayra yang aku kenal. A good person who never thinks badly of others. That's why I fell in love with you.  You deserve to be my wife." Ucap Brayan dan tersenyum lagi. Tubuh kembali ditegakkan. Kepalaku digosok manja. Serabut rambut jadinya.

Aku masih diam tak bergerak. Memandang Brayan yang masih lagi tersenyum melihatku. Entah mengapa, senyuman itu mengingatkan aku kepada personaliti Brayan yang sebelum ini.

"Tunggu dekat bilik. Aku nak bersihkan diri sebelum tidur. Tak selesa." Ujarnya.

Aku mengangguk kepala. Akur.

Lantas dia pun berlalu pergi ke tingkat atas terlebih dahulu. Meninggalkan aku seorang diri di ruang tamu yang kini sunyi.

Perlahan-lahan kedua-dua belah tanganku naik menyentuh dada. Merasakan debaran. Mengapa aku perlu rasa perasaan begini setelah sekian lama ia tidak muncul? Pantas aku geleng kepala. Menyedarkan diri daripada terus berfikir yang bukan-bukan.

"Lebih baik aku naik ke bilik sekarang."














Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro