4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Awal - awal tadi, tiada apa pun yang menarik. Dia sama macam pengunjung pantai yang lain, menikmati sapaan angin laut yang hangat - hangat dingin. Tapi bila diperhati lagi sekali dan sekali lagi, seperti ada yang tidak kena dengan dia. Jadi aku memfokuskan perhatian aku pada dia.

"Kau tengok apa sampai macam tembus hijab tu?" Sapa Zikri seraya menepuk bahu sahabatnya.

"Tu. Orang tu. Peliklah."

Zikri memandang arah yang Hafiz pandang. Pada pengamatannya, tiada apa pun yang pelik. Ke... Yang dia pandang bukanlah yang Hafiz pandang? Zikri garu kepala.

Hafiz bangkit, punggungnya dikibas - kibas. Bertebaran pasir yang melekat disitu. Kakinya dihayun sederhana laju.

"Fiz! Hafiz! Hoi!" Melihat Hafiz menonong tanpa berkata apa, Zikri mengejar. Padanya sekarang, gelagat Hafiz lebih pelik lagi.

Disatu tempat, tiba - tiba Hafiz berhenti. Matanya masih tertumpu ke satu arah. Tepatnya, ke satu orang.

Zikri mengah. Lama tidak bersenam, berjalan laju atas pasir pantai, memenatkannya.

"Kau nak buat apa ni, Fiz? Kau sedar ke tidak ni?" Tangannya digawangkan didepan muka Hafiz. Tiba - tiba Zikri terfikir kalau - kalau sahabatnya itu disampuk sesuatu.

Hafiz menoleh sambil ketawa kecil. "Apalah kau ni... Aku okeylah. Tengah fokus ni, shhh!"

Pandangan Hafiz tertala ke depan semula.

****
Perlahan - lahan aku lihat dia bangkit, berdiri. Menapak perlahan ke depan. Setapak. Dua tapak. Seperti ada ragu. Dia berhenti. Kemudian dia menapak lagi. Selangkah. Dua langkah. Jantungku bergendang! Firasatku berkata sesuatu yang tidak elok tapi... Mungkinkah?

Dia melangkah lagi. Langkahnya kelihatan semakin nekad! Aku mula cemas.

"Aku rasa aku tau apa yang kau tengok. Lain macam ni, bro!" Ujar Zikri menyedari ada yang tidak kena.

"Jom dekat."

Kami lajukan langkah.

Semakin dekat semakin kuat debar jantungku! Aku berhenti sejenak, tanggalkan stokin dan kasutku lalu aku berlari terus ke air.

Pantai yang tadinya riuh dengan riang tawa kini riuh dengan jeritan panik!

****
Dia cuba membuka mata. Sukar. Pedih. Silau dan bising. Manakah tempat ini agaknya?

"Assalamualaikum."

Sayup sungguh suara itu. Dia cuba memicing derianya tapi tiada kedengaran lagi suara memberi salam. Malaikat kuburkah yang memberi salam tadi? Hatinya rusuh. Amalnya tidak sebanyak mana, sudah begitu, mati muda. Bunuh diri pula!! Tangisan pun terhambur, keras! Ketakutan yang amat sangat dizahirkan dengan tangis meronta yang menggila.

"Allahuakbar! Nurse, tolong!"

"Pegang dia!"

"Panggil doktor!"

"Doktor! Katil 14!"

Seketika, wad yang tadinya tenang, jadi huru - hara. Pesakit yang sedang koma sejak dua hari lepas, tiba - tiba seperti kerasukan!

Cecair yang merupakan ubat penenang, disuntik sepantas mungkin dilengan gadis itu. Beberapa ketika kemudian, rontaan tadi mulai lemah dan gadis itu terlena. Turun naik nafasnya, terlihat tenang sekali.

"Pesakit ni, dah dua hari disini. Awak saja pelawat dia. Saudara?" Tanya doktor sesudah berpuas hati dengan kondisi si pesakit. Fail rawatan diselit dalam poket plastik dihujung katil.

"Bukan. Saya dengan kawan saya cuma tolong selamatkan dia dari lemas, dua hari lepas. Saja saya melawat, nak tengok - tengok keadaan dia." Jawab Hafiz.

Doktor bernama Kamarul itu terangguk - angguk. "Nama encik?"

"Hafiz." Mereka bersalaman.

"Kami tak dapat apa - apa maklumat tentang perempuan ni. Dan... Tak ada sesiapa mencari dia disini. Kalau encik boleh tolong carikan warisnya?"

"Saya pun tak taulah, doktor. Dalam beg yang saya bawa tu, cuma ada sebuah buku, sebatang pen, sebuah dompet berisi kad pengenalan dan beberapa keping gambar tak bernama. Dia tak ada telefon bimbit pun."

Doktor kacak itu angguk lagi.

"Itulah susahnya bila alamat yang ada pun bukan alamat yang boleh dihubungi. Tapi nampaknya dia macam dah nak sedar jadi kita tunggulah khabar baiknya nanti."

"Insyaallah." Doktor Kamarul pamit. Hafiz terus berdiri, berfikir.

****
"Kalau kau tak tau nak buat apa, kau lapor jelah pada polis. Biar dia orang yang carikan keluarga budak tu. Kerja kita, dah selesai." Ujar Zikri, memberi cadangan.

"Aku akan lapor kalau dia dah sedar nanti, dia tak ingat apa - apa." Balas Hafiz.

Zikri menenyeh nyamuk dilengannya. Petang itu, mereka berdua menghabiskan masa dibawah pokok pelam kembar didepan rumah Hafiz saja. Pagi tadi, Hafiz melawat gadis yang mereka selamatkan tempoh hari. Dan apa yang berlaku, menjadi topik perbualan dua pemuda itu.

"Aku rasalah, kan Zik, budak tu ada masalahlah."

"Mulalah kau tu nak menyibuk hal orang."

Hafiz ketawa.

"Assalamulaikum, ustaz!" Sapa seorang budak yang berbasikal melintasi mereka.

"Waalaikumsalam!" Jawab Hafiz dan Zikri, serentak.

"Bila seseorang mula berfikir nak bunuh diri, maknanya dia dah buntu tak tahu nak fikir apa. Dia mungkin rasa disisihkan, dibenci dan tak ada sesiapa untuk dia berharap."

"Tuhankan, ada."

"Bila bisikan jahat menguasai, dia takkan rasa dia perlukan Tuhan. Sebaliknya, dia rasa Tuhan tak mahukan dia. Tuhan membenci dan menghukumnya. Kepercayaan dia, dilencongkan oleh iblis."

"Sebab iblis mahu menyesatkan umat anak Adam?"

Hafiz angguk. "Ya. Macam tulah. Sekuat mana iman bertahan, sekuat itulah usaha iblis untuk menjatuhkan."

Zikri angguk. Logika itu ada. Jelas dan nyata.

"Kalau dia memang tak ada sesiapa, macam mana?"

Hafiz pandang Zikri. Kemudian melangut, angkat bahu. Beberapa ketika, jeda.

****
Dua hari kemudian.

"Assalamualaikum."

Kali ini suara itu, lunak sekali. Lembut mendamaikan.

"Waalaikumsalam." Jawabnya.

Hari ini, dia sudah sedar. Pagi semalam, sekali lagi dia diserang ketakutan yang melampau tetapi salah seorang jururawat tiba - tiba memeluknya erat sambil membisikkan sesuatu ditelinganya sehingga dia berasa tenang dan menyedari dia masih belum mati lagi. Selepas itu, dia beroleh warasnya kembali.

"Kamu dah sedar?"

"Dah, makcik." Jawabnya lagi, sopan.

"Alhamdulillah." Wajah keibuan itu diserikan senyuman. "Ini, makcik bawakan pakaian kamu yang dah dibasuh. Dengan sikit buah tangan ni... Makanlah."

Rasa seperti bersimbahan darah dimukanya.

"Makcik basuh baju saya? Malunya!"

"Eh... Tak apa. Kamu pengsan beberapa hari, takkan nak biar baju kamu berkepam dengan air masin pulak."

Dia terkedu. Malu. Pasti makcik itu tahu apa yang berlaku. Dia tunduk. Tidak tahu apa mahu dikatakan lagi.

"Nama kamu, siapa?"

"An'nisa Aishah."

"Elok nama tu... Nama yang baik pun, doa juga. Panggil apa?"

"Dalam keluarga, panggil Along je."

"Oo... Kalau macam tu, makcik panggil Aishah. Janggal pulak nanti kalau bukan keluarga tapi panggil along, kan?"

Dia angguk walaupun tidak begitu pasti kesahihan ayat wanita bertudung labuh itu.

"Makcik, Jamaliah. Aishah boleh panggil makcik atau ummi." Wanita itu memperkenalkan diri.

"Ummi..."

Suara garau yang pernah mengejutkannya dari koma hari itu, kedengaran. Tapi hari ini, dia tidak lagi ketakutan, sebaliknya teruja. Teruja mahu tahu pemiliknya. Pemilik suara itu, anak wanita bersosok penuh kelembutan ini? Bertuahnya dia... Matanya dan mata lelaki itu bertembung.

****
Hafiz menguruskan pendokumentasian discaj bagi pihaknya tanpa banyak dolak - dalik. Kebetulan anak - beranak itu datang, dia pula dibenarkan keluar.

Hari sudah lewat petang saat kaki meninggalkan pekarangan hospital. Dia mula kalut!

"Kami hantar Aishah balik, ya? Lewat dah ni dan kamu pun baru je sihat."

Dia teragak - agak. Kalau ikutkan hati, mati lagi baik dari balik kerumah mama!

"Err..." Akalnya berputar ligat mencari jalan mahu mengelak dari balik ke rumah. "Saya... Saya..."

"Aishah lupa jalan balik? Boleh tumpang rumah makcik. Esok kita cari rumah Aishah." Balas Jamaliah.

"Bukan. Bukan... Lupa... Tapi..." Buntu. Tiada alasan. "Tak apalah makcik, saya balik rumah naik teksi."

"Ishhh... Tak apa. Kami hantar."

Dia angguk, beralah. Namun jantung yang bergegar gementar didalam dada, tiada siapa yang tahu. Sepanjang perjalanan, resahnya menjadi - jadi. Entah apalah sumpah maki mama kali ini...

"Oh, sini rumah kamu. Jauh jugalah dari hospital. Mari makcik temankan kamu masuk."

Bagai tiada daya tulang uratnya melangkah tapi diheret juga kaki nan sepasang itu menuju ke muka pintu. Sebaik salam bersambut dan pintu dibuka, Liza terjegil mata melihat sosok anaknya.

Dua lagi manusia yang mengiring anaknya tidak diacuhkan.

"Hah! Berhari - hari kau keluar tak ingat rumah, balik - balik bawak jantan. Bunting ke? Ke kena tangkap basah?" Herdik Liza tidak bertangguh. Seingatnya, terakhir dia lihat anaknya itu, sewaktu dia pamit katanya mahu pergi kerja.

"Err... Puan..." Jamaliah cuba mencelah.

"Hah! Kau ni, mak budak lelaki tu ke?" Sergah Liza. Jamaliah angguk. "Kalau dah terlanjur anak kau kena tangkap dengan budak ni, kahwinkan aje. Tak payah mintak izin aku. Aku lagi suka ada orang kutip dia. Kurang beban aku!"

Istighfar Jamaliah mendengar tutur Liza. Tertanya - tanya pula dia, betulkah Aishah itu anaknya?

"Puan. Dengar dulu. Kami hantar dia balik dari hospital."

Terkejut Liza mendengarkan. Sosok anaknya dipandang atas bawah. Tiada apa - apa kecederaan pun.

"Dia lemas dilaut hari tu. Anak saya ni, selamatkan dia." Jelas Jamaliah lagi.

Liza berdehem. Ada rasa tertanya - tanya tapi angkuh dan benci tidak bertempat yang sudah sebati dalam dirinya terhadap darah daging yang satu itu, menghalangnya untuk ambil tahu.

"Kami lawat dia tadi dan kebetulan dia boleh keluar wad, kami hantarkanlah dia sekali."

Liza pandang Jamaliah dengan pandangan yang dingin. "Hmm... Dia tak balik pun tak apa."

Jamaliah dan Hafiz tersentak lalu saling berpandangan.

"Lama kat luar, siapa tu, Za?" Satu suara menegur dari dalam seraya menjenguk pintu. Rashid. "Tak ajak masuk?"

"Tak payahlah kot. Dia orang hantar balik budak ni, ha."

Sedari tadi tunduk menangis, akhirnya dia angkat muka. "Assalamualaikum, ayah."

Rashid menjawab salam tapi tidak sempat bersuara, Liza menjerkah lagi. "Saya bukan apa, bang... Sakit hati saya dengan dia ni! Tiga empat hari tak balik, awak tengok, sekarang dia balik dengan siapa? Tak balik pun baguslah! Tak habis - habis nak memalukan aku!"

Jamaliah tersentak. Dia cuba bersuara tapi Liza bertindak duluan. Dia bergegas masuk dan tidak lama kemudian keluar semula dengan sebuah beg sederhana besar yang kelihatan padat. Beg itu dengan sekuat kudrat dihayunkan lalu dilepas. Terdampar beg itu dihujung tangga, tidak jauh dari kaki si malang, Aishah. Gadis itu hanya mampu menangis tanpa suara. Ternyata mamanya memang tidak sabar mahu mengusirnya keluar dari rumah.

Rashid memicit dahi.

"Aku dah agak dah semua ni. Sebab tu aku dah siap - siap bungkuskan kain baju kau. Tak payah balik lagi dah. Berambus!" Herdik Liza.

Beg yang tersungkur dihujung kaki, dicapai dengan airmata bertitisan jatuh ke tanah. Wajah mama dan ayah tirinya dipandang, sayu.

"Assalamualaikum mama, ayah." Dia pamit.

Langkah lesunya terhenti bila lengannya dipaut Jamaliah.

"Tunggu. Balik rumah ummi."

Sejenak, Jamaliah menentang tikaman mata Liza yang keras dan tajam.

"Izinkan saya bawa anak puan ni, bersama saya."

"Hmm." Jawab Liza, memeluk tubuh. Rashid menggeleng - geleng. Tidak memahami hati si isteri.

"Semoga puan tak lupa, bila seorang ibu mati, penyejuk kuburnya adalah doa anak yang soleh. Dan doa orang teraniaya itu, makbul!"

Jamaliah terus berlalu sambil memaut lengan Aishah yang masih menangis. Hafiz melafazkan salam pamitan lalu menuruti langkah umminya. Sementara Liza masih tergamam diacut kata - kata Jamaliah sebentar tadi...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro