02 Tampar

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

"Mama, cikgu suruh mama periksa kerja sekolah Khai," Khairul tiba-tiba sahaja menghalang laluan pintu bilik utama. Di tangannya terdapat senaskhah buku latihan Bahasa Melayu. Terdapat beberapa contengan di atas helaian kertas menandakan anak itu telah bersungguh menyiapkan kiriman kerja sang guru.

"Khai, jangan kacau mama. Pergi dekat Mak Teh," balas Datin Farina tidak endah. Bahu anaknya dirempuh perlahan apabila dia berusaha melangkah keluar.

Khairul melangkah ke belakang setapak. Buku itu ditutup kembali. Hatinya berasa kecewa dan terabai.

"Farina, masuk bilik balik." Memetir suara garau seorang lelaki dengan muka merah padam di bilik. Lelaki itu menyaingi langkah Datin Farina yang baru hendak menuruni anak tangga. Pergelangan tangan isteri dicengkam, mata pula memberikan pandangan helang.

Khairul bagaikan patung di tengah-tengah perang dingin. Dipeluk sahaja buku latihan ke dada. Mata melihat wajah kedua-dua orang tua silih berganti.

"Papa... Janganlah buat mama," kata Khairul. Hatinya bagaikan tidak suka melihat tangan bondanya dirangkul dalam keterpaksaan.

"Kau senyap, bodoh. Pergi masuk bilik," herdik Dato Muhsin pada anak tunggalnya itu.

Khairul yang baru berusia tujuh tahun tersentak menerima tengkingan berkenaan. Hatinya luruh dan tidak kuat. Dia tak dapat melangkah malah kekal berhampiran tangga. Air mata ibunya menjadi permandangan sayu.

"Siapa lelaki dalam gambar tu?" soal Dato Muhsin sedikit kasar. Rahang isterinya dicengkam tanpa belas, nyata kemerahan seorang suami memuncak di kala kedudukannya tergugat.

"Itu kawan," jawab Datin Farina. Air mata mengalir dek takut pada wajah bengis lelaki di hadapannya.

"Kawan... Kawan apa kalau makan pun berusap?" bengang Dato Muhsin lagi. Tubuh perempuan berkenaan langsung diheret ke kamar kembali, tidak endah sebarang rayuan yang dilakukan.

"Papa, jangan buat mamalah!" Khairul makin bengang. Kaki ayahnya dipaut dengan kedua-dua tangan dengan harapan mahu menahan amukan Dato Muhsin.

Sayang sekali dia ditendang ke tepi hingga tersembam di lantai. Berdentum kepala terhantuk pada lantai mar mar tingkat dua. Mulalah Khairul bergenang dengan air mata. Ruas dahinya kesakitan. Tangan terkapai-kapai mencari buku latihan tadi sementara mata sudah tersepet pejam dek dahi yang berdenyut hebat.

Daun pintu ditolak Dato Muhsin, bunyi hempasan pintu menggegarkan tingkat atas.

Sungguh tidak mengerti. Kebanyakan masa hidup Khairul banyak diluangkan bersama-sama Mak Teh. Kedua manusia yang dikatakan ibu bapanya sudah menjadi orang asing. Khairul tidak tahu apa salahnya. Sudah pergi ke sekolah pun tidak mendapat layanan yang baik.

"Allahuakbar... Sayang, kenapa ni?" Mak Teh terdiam di anak tangga. Kekecohan yang terjadi memanggil wanita 40-an itu untuk segera melihat asbab kebisingan.

"Mak Teh... Sakit," adu Khairul. Dahi dipegang-pegang mahu mencari bekas hantukan tadi. Dia terlalu sedih ditengking pada malam itu. Tubuh pembantu rumahnya dipeluk lama. Tangisan Khairul pecah.

Dia masih tidak tahu bagaimana mahu meluahkan kesedihan dan kemarahan di  dada melainkan dengan lelehan air mata. Mak Teh jualah yang akan menghapuskan segala duka Khairul. Tubuh Khairul yang kecil itu didukung Mak Teh. Buku sekolah Khairul turut diambil dan diserahkan pada tangan anak jagaannya.

"Tak hensemlah kalau menangis... Baru terhantuk sikit..." ujar Mak Teh. Pembantu rumah itu tersenyum nipis, tangisan Khairul diseka lembut.

"Papa sepak..." Khairul masih tersebek dengan mata sepetnya. Biarpun kecederaan fizikal kecil sahaja, sakit di hati lebih parah. Anak itu tak pernah diberikan kasih sayang yang mencukupi, hanya barang keperluan sahaja dilimpahkan sedangkan Khairul langsung tidak memerlukan segala barang mewah.

"Lupakan hal tadi. Sekarang ni kita makan coklat, nak? Sebelum tidur kita makan dulu... minum coklat panas. Duduk dalam selimut..." pujuk Mak Teh.

Khairul mengangguk akur. Kepala perlahan-lahan direhatkan pada bahu Mak Teh. Pandangan mata hanya mengerling anak tangga kosong. Tubuhnya yang sudah besar panjang sanggup didukung pembantu rumah hingga ke ruang dapur di tingkat bawah.

Mak Teh amat kasihankan Khairul yang sering dilayan kasar. Dia pun tak mampu berbuat apa-apa selaku pembantu rumah. Hendak ditegur, nanti tak pasal-pasal dipecat pula. Majikannya itu agak tegas dan garang.

Sampai sahaja di meja makan, tubuh Khairul diturunkan ke atas satu bangku tinggi. Wajah kanak-kanak itu ditilik dahulu, kesan hantukan telah meninggalkan ketulan benjol. Mak Teh membuka peti sejuk untuk mengeluarkan secawan kiub ais sebelum kembali duduk bersebelahan Khairul.

Khairul memandang sahaja wajah Mak Teh. Wajah wanita itulah yang banyak menyapa memori kanak-kanaknya. Kesejukan ais menyentuh ruas dahi lalu Khairul berkerut-kerut. "Mak Teh sayang Khai?"

"Sayanglah... Kalau tak sayang, Mak Teh dah lama pindah kerja," jawab Mak Teh. Hanya disebabkan kasihnya pada Khairul, dia sanggup dimarahi Datin Farina atas kesilapan kecil. Bukannya tidak tahu, Datin Farina itu mengalami tekanan emosi dengan baran sang suami lalu dilepaskan amukan pada pembantu rumah pula. Mak Teh sanggup sahaja dimarahi asalkan tempias amukan tidak mengena Khairul kesayangannya.

"Hm..." keluh Khairul pula. "Mak Teh takkan pergi, kan? Nanti Khai tak ada siapa-siapa... Papa dan mama bukannya sayang Khai..." Matanya kekal menatap wajah Mak Teh bersulamkan keikhlasan.

"Sampai tua sekalipun Mak Teh sanggup tinggal dengan Khai. Jangan risau dah ya? Pipi Khairul dikucup sekali. Benjolan pada dahi dibisikkan selawat ke atas nabi lalu dihembuskan.

"Sakit lagi?"

Kanak-kanak itu menggeleng lemah. Tangannya diserahkan beg ais. "Tak dah... Nak air coklat. Mak Teh tidur dengan Khai, ya?"

"Ya, sayang. Mak Teh temankan." Tak jemu melayan manja intan payung seorang ini. Mak Teh bingkas berdiri dan membancuh secawan coklat panas kegemaran Khairul. Disebabkan Khairul punya alahan teruk terhadap kacang, maka setiap makanan haruslah free-nuts. Serbuk coklat ini pun telah dijamin isi kandungannya sebelum dibeli oleh sang pembantu rumah.

Siap sahaja secawan coklat panas, wanita itu memimpin tangan Khairul ke kamar tidur di tingkat atas. Sebuah ruang yang dipenuhi dengan corak kartun kereta lumba inilah milik Khairul Iddin. Katilnya juga berbentuk kartun kereta yang khas ditempah.

Khairul tersenyum senang di sisi Mak Teh. Minuman coklat panas dibantu untuk minum. Kesakitan benjolnya hilang seketika.

"Kerja sekolah siang tadi dah siap? Boleh Mak Teh tengok?" Naskhah buku latihan Khairul diselak Mak Teh sementara anak itu menghabiskan sisa minuman. Benarlah yang Khairul benar-benar menyiapkan kerja sekolah dengan tulisan cakar ayamnya.

"Wah... Pandainya Khai. Mesti cikgu sayang Khai," kata wanita itu.

Punyalah Khairul gembira hasil kerja dipuji, terus dipeluk lengan Mak Teh.

"Kawan Khai ada yang menangis sebab tak nak ke sekolah. Khai ingat Khai je tak nak... Ada yang mak ayah dia tunggu tepi tingkap," Khairul geli hati mengenangkan perangai manja kawan-kawan lain.

Setiap malamnya berlalu bersama-sama kasih Mak Teh. Tak hairan jika suatu hari nanti Khairul lebih menyayangi Mak Teh berbanding orang tua sendiri.

Setelah berceloteh tidak henti selama setengah jam, tahu-tahu saja Khairul terlentok tidur di sebelah. Mak Teh menggeleng sahaja. Anak itu cuma hauskan perhatian.

Minyak gamat dielus pada benjolan dahi. Kain selimut ditarik menyelubungi tubuh tuan muda rumah itu. Tempat tidur Mak Teh bukanlah di sini. Kamar orang gaji terletak berdekatan dapur dan berhampiran bilik dobi, agak ke belakang sesuai dengan darjatnya sebagai orang suruhan.

***

"Papa outstation seminggu. Khai jangan nakal-nakal ya dekat rumah?" pesan Dato Muhsin. Dia memandang anaknya yang berada di sebelah tempat duduk pemandu. Anak itu masih bertali pinggang keledar dan mengalihkan wajah ke luar tingkap. Rajuk di hati tak siapa tahu.

Tak pasal-pasal Khairul datang ke sekolah berbalut dahi pada pagi itu.

"Khairul Iddin, dengar tak papa cakap apa?" tegur sang ayah. Pacuan empat rodanya berhenti betul-betul berdekatan pagar utama sekolah.

Tatkala tangan lelaki itu menyentuh kekura tangan Khairul buat meraih perhatian, terus Khairul menepis berserta jelingan tajam. "Jangan pegang Khai."

"Siapa ajar jeling macam ni?" Dato Muhsin agar terkejut.

"Ayah yang ajar," jawab Khairul tidak gentar. Dia yang kecil tak mahu beralah kali ini.

"Menjawab..." Emosi Dato Muhsin pagi itu bagaikan diuji dengan si hero cilik.

"Dah papa tanya, Khai jawablah... bodoh."

PANGG

Maruahnya sebagai seorang ayah laksana dipijak anak sendiri. Puas hati setelah Khairul terdiam seribu bahasa. Tamparan tadi agak diluar jangkaan.

Kanak-kanak itu terkesima. Tak surut lagi benjol di dahi, pipi kanan Khairul ditempeleng pula. Bibir bawah digigit Khai sekuat hati hingga hanyir darah dapat dirasai deria lidah. Perbuatannya itu hanya akan melukakan keadaan dalam mulut. Khairul masih tidak tahu bagaimana hendak menyalurkan kemarahan. Tabiatnya mengigit bibir acap kali ditegur Mak Teh sebelum ini.

"Pergi sekolah sana. Biar jadi terpelajar sikit... Bukannya kurang ajar!" Dato Muhsin menikam mata Khairul. Tamparannya tidaklah sekuat hati dan masih dikawal. Lelaki itu mengambil kira usia anaknya yang baru tujuh tahun.

Ternyata Khairul sedang digenangi air mata. Nafasnya hangat. Dendam pada lelaki bergelar ayah itu menyala-nyala dalam sanubari.

Kanak-kanak itu lekas menuruni kereta dan berlari sekuat hati ke arah pintu pagar sekolah. Dia mengesat tangisan dengan telapak tangan. Malu andai ada kawan-kawan lain terpandang.

"Benci papa..." getus hati kecil Khairul. Mata melilau-lilau sepanjang jalan susur gajah. Beg sekolahnya beroda, jadi perlu ditarik sahaja. Tak payah susah-susah hendak menggalas bagai.

Keluhan halus terbit. Khairul mula berasa pedih pada bahagian bibirnya. Hati meronta mahu memeluk Mak Teh saat itu.

Dia bencikan sekolah.

Dalam kekosongan mahu ke tapak perhimpunan, Khairul disapa pula sebuah keluarga kecil yakni milik rakan sekelasnya yang sedang berdiri. Susur gajah itu baru sahaja dilaluinya. Kelihatan ada seketul tubuh kecil dalam dakapan sang ibu. Khairul terpesona. Tidak berkelip mata mengintai wajah bayi dalam dakapan wanita dewasa berkenaan. Rakannya itu tampak benar-benar bahaya malah kedua-dua orang tuanya seakan terhubung dek seketul tubuh bayi berkenaan

Penarik beg digenggam erat. Dia berlagak biasa tatkala rakannya itu sedang melangkah ke arah yang sama. Khairul telah pun memastikan tiada air mata tersisa pada pipi. Benjol pada dahi tidak menjejaskan imej machonya.

"Tu adik kau ke?" tegur Khairul dengan suatu lagak. Nampak sahaja wajah Khairul ini sombong padahal di rumah suka berkepit dengan Mak Teh bak kucing parsi.

"A ah, adik aku," jawab Amirul. Tag namanya tersemat di baju.

"Macam mana kau boleh ada adik? Aku tak ada pun?" Khairul menyoal lagi.

"Aku doa dekat Tuhan... Kau pernah berdoa nak adik?"

"Oh... Doa..." Perkataan itu pernah disebutkan Mak Teh. Khairul meletakkan telunjuk bawah dagu pula, seakan-akan memikirkan sesuatu.

"Lepas solat... doalah," cadang Amirul pula.

"Solat?" Khairul agak hairan. Hujung kening yang tidak gatal digaru pula. Seharusnya apa sahaja yang diminta akan tertunai. Tidak pernah terlintas pula mahukan seorang adik hingga ke saat itu. Barangkali setelah pulang nanti, dia bisa bertanya pada Mak Teh.

Khairul mahu seorang peneman di rumah buat bermain. Anak itu kesunyian. Buah fikiran tercetus, barangkali apabila mempunyai adik papa dan mamanya tidak akan bertelingkah.

***
votexkomen
***

Khairul ni comel :')

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro