04 Cari

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Mulutnya yang penuh dengan nasi goreng masakan Mak Teh terpaksa dilajukan kunyahan walhal makanan itu tidak terluak sedikit pun. Hendak buat bagaimana, dia belum pandai untuk berdikari ketika makan. Kebiasaannya, Mak Teh lah yang akan menyuap Khairul di kala santapan tidak kira pagi dan petang. Tangan sendiri menyuap ke mulut, sudahnya yang tumpah ke lantai itu lebih banyak berbanding yang masuk ke mulut.

Penutup bekas nasi ditekan-tekan. Kantung perut kecil itu tidaklah terlalu inginkan makanan berat. Hari masih pagi, tengah hari tidak lagi menjengah. Bekas itu dimasukkan kembali ke dalam beg kedap suhu lalu disandang. Kanak-kanak lelaki tujuh tahun itu berlalu ke singki buat mencuci tangan. Hingga ke saat itu, Khairul masih tidak punya ramai kawan. Barangkali dek sikap dinginnya yang menyekat jurang persahabatan. Di usia tujuh tahun dia sudah didera emosi oleh kedua-dua orang tua. Maka, mahu senyum pun susah saat di sekolah.

Khairul berlari anak apabila mendengar loceng sekolah bergema di atmosfera kantin.  Dia sedikit teruja. Bukan kerana sudah tiba waktu pembelajaran tetapi bunyi deringan itu membawa makna hanya berbaki dua jam sahaja lagi sebelum waktu persekolahan tamat!

Kaki melintasi susur gajah sekolah. Beberapa pelajar dilintasinya. Mahu cepat ke kelas.

"Dah nak balik," bisiknya riang.

Kelas sebesar alam itu dimasuki Khairul. Kedudukan mejanya sedikit terkebelakang. Guru kelas meletakkan anak murid secara rawak sahaja. Ada yang duduk sesama jantina, ada juga duduk dengan berlainan jantina secara pasangan.

Nasib Khairul berakhir dengan pasangan meja yang berlawanan jantina. Sepatah pun Khairul tak mahu melantunkan suara bagaikan ada emas yang terdekat di kerongkong ketika duduk bersebelahan Nazifa.

"Khairul," tegur Nazifa. Seorang gadis cilik bertocang pancang. Sekali dipandang bagaikan ekor kuda melingkar daripada kepala.

Khairul buat-buat tidak dengar. Egonya tinggi. Ada suatu lagak tersulam dalam diri memandangkan dia ini anak orang berada. Jadinya tak mahu bercampur gaul dengan anak orang kebanyakan seperti Nazifa. Beg kanak-kanak perempuan disebelahnya kelihatan murah, tak seperti milik Khairul.

"Ada nasi dekat pipi awak," sambung Nazifa. Mata hitamnya tertancap pada tepi bibir rakan semeja.

Khairul tertunduk malu. Sapu tangan daripada poket seluar segera dikeluarkan lalu dia menenyeh wajah. Dua bebola mata menurun ke bawah mahu mengintai keadaan wajah sendiri.

Ketawa Nazifa meledak tiba-tiba, terhibur akan gelagat Khairul yang menjulingkan mata. "Dah tak comot."

"Okay," balas Khairul. Bibir menyenget, mata pula membalas pandangan. "Kau tak pergi makan ke tadi?"

"Saya nak simpan duit belanja," ringkas Nazifa menjawab. Senyumannya terhias di wajah. Kira-kira Nazifa ini anak perempuan yang murah dengan senyuman. Hanya Khairul sahaja jual mahal tak mahu menyambut tali persahabatan.

"Kenapa nak simpan?" Khairul kehairanan.

"Sebab... Nanti bila ayah tanya esok yang saya ada duit belanja tak, saya boleh angguk." Nazifa hanya mahu meringankan beban sang bapa. Andai dikatakan duit belanja sudah habis pasti keesokannya lelaki bergelar ayah itu akan mengeluarkan duit semata-mata buat belian makanan di kantin. Nazifa tak mahu jadi begitu.

"Tak fahamlah," jujur kanak-kanak lelaki itu. Khairul menggeleng perlahan.

"Awak budak lagi."

"Kau pun budak, 'budak'." Perkataan terakhir ditekankan bersama-sama jerlingan ekor mata.

Nazifa tersenyum sumbing. "Awak orang kaya ke?" Barangan sekolah Khairul kesemuanya berjenama. Kotak pensel sahaja boleh cecah ratusan ringgit. Nazifa sendiri hanya mampu menelan liur melihat tag harga yang masih tidak ditanggalkan Khairul.

"Ya. Kaya," jawab Khairul. Sebatang pensel dikeluarkan. Sedang sibuk membuat kerja sendiri, gegendang telinga disapa pula suatu bunyi. Khairul menoleh ke arah Nazifa.

"Kau lapar ke?" tebak Khairul. Guru mata pelajaran masih tidak masuk ke dalam bilik darjah.

"Sikit. Tak apa, nanti saya pulang ke rumah akan makan juga." Nazifa membalas.

"Aku ada lagi baki makanan tadi. Kau nak? Nasi ni Mak Teh yang masak... sedap... Cuma aku kenyang dan tak mampu nak habiskan." Jari Khairul mencecah bekas makanan di dalam begnya.

"Nasi goreng? Nak! " Nazifa laju sahaja mengiyakan. Mata ternanti-nanti mahu melihat bekalan nasi goreng Khairul. Disebabkan perut yang kelaparan, ini sudah diumpamakan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Wajah ketat Khairul berganti senyuman. Selera makan Nazifa mencuit hatinya. Tidak sangka pula ada orang yang mahu memakan sisa makanan. Memang pun kehidupan Khairul banyak dimewahkan sejak dari kecil.

Dalam diam, Asyila mengintai tingkah dua rakan sekelas di seberang meja. Rasa cemburu hadir tatkala melihat Nazifa dapat bersahabat dengan Khairul padahal dia ini terpaksa mengorbankan sebalang coklat kegemaran gara-gara mahu Khairul meluangkan masa untuk bermain tempoh hari. Biji mata terguling ke arah lain.

***

Beg sekolah diheret sahaja. Mata meliar ke segenap pelusuk rumah.

"Mak Teh?" panggil Khairul.

Pipi yang tidak gatal digaru anak itu. Dia bermalasan hendak meneruskan langkah. Terik matahari membawa Khairul ke hadapan sebuah peti sejuk. Dengan sekali tarikan, peti sejuk dua pintu sebesar almari dapat dibuka. Bayu dinginnya menyapa jinjang leher Khairul. Dapatlah Khairul menghela nafas lega.

Dalam berimaginasi sedang berada di negara bersalji, mata Khairul disapa dengan sebungkus coklat salutan emas berbentuk bebola. Susunannya di dalam kotak jernih bagaikan tidak terusi oleh sesiapa lagi. Langsung Khairul mengeluarkan satu biji coklat. Peti sejuk tidak ditutup malah dibiarkan terbuka luas. Anak itu meninggalkan beg sekolah ke lantai sebelum memanjat kerusi kayu dapur.

"Mak Teh, coklat untuk Khai ke ni?" soal Khairul. Entah di mana keberadaan pengasuhnya.

"Khai makan ya..." kata Khairul lagi. Dia tidak endah. Semua barang di rumah adalah milik Khairul. Disumbat coklat berkenaan ke dalam rongga mulut lalu tersenyumlah wajah yang kepenatan.

"Khai sayang dah balik?" sapaan lembut Mak Teh daripada pintu dapur yang terkuak menarik perhatian Khairul. Khairul menoleh ke belakang. Kaki berlari anak mendapatkan wanita itu.

"Makan apa ni..." Bibir Mak Teh menggulung senyuman. Direndahkan badan mahu menilik anak jagaannya.

"Coklat," kata Khairul sambil tersengih. Bebola coklat tadi masih dikunyah dan tidak ditelan.

Wajah sang pembantu rumah bertukar. Matanya membulat. Didukung tubuh kecil Khairul ke arah singki dapur.

Sungguh Khairul terpinga-pinga.

"Keluarkan balik, dalam tu ada kacang. Nanti Khai sakit..." arah Mak Teh. Kepala paip diputarkan lalu jatuhlah air jernih ke lantai singki. Mulut kanak-kanak itu cuba dibersihkan sebaik mungkin daripada segala sisa kekacang yang terselindung di sebalik coklat premiun.

Jika kacang itu ditelan ke dalam tubuh kesannya akan lebih parah dek ransangan hormone histamine Khairul yang begitu sensitif terhadap apa-apa jenis kekacang.

Pipi Khairul mengembung dengan air kumuran. Akur sahaja akan arahan penjaganya.

"Sayang... Tolong tanya Mak Teh dulu sebelum makan apa-apa..." pesan Mak Teh. Matanya memandang tepat ke wajah Khairul. Sapu tangan disapu pada bibir Khairul yang basah. Sibuk membelek keadaan anak kesayangannya. Mujur tiada apa-apa ruam kemerahan naik di kulit lengan Khairul.

"Mak Teh janganlah marah..." sayu Khairul. Dia yang terduduk di atas kerusi dapur jadi serba salah.

"Tak marah. Mak Teh cuma takut Khairul masuk hospital." Mak teh tersenyum nipis. Pernah sekali Khairul tersilap makan di restoran luar, habis kecoh jadinya. Khairul yang baru memakan santapan sesuap dua langsung jatuh ke lantai dan menggelupur kesakitan. Tekanan darahnya jatuh, saluran pernafasan pula menyempit. Tidak pasal-pasal Datin Farina menyaman restoran berkenaan kerana tidak menyatakan dalam hidangan itu terdapat kekacang.

"Hm... Okay." Khairul menjatuhkan kepala sekali. Nafas dalam ditariknya.

Mak Teh mengalihkan topik perbualan. Takut Khairul dilanda kesedihan berpanjangan. Beg galas Khairul yang tersadai di atas lantai dicapai wanita berkenaan. "Wah, Khai habiskan bekal makanan?"

"Khai makan sikit je. Tu kawan yang habiskan... Dia lapar, Khai bagilah." Khairul teringatkan si Nazifa yang begitu lahap menikmati nasi goreng sejuknya.

"Anak soleh seorang ni... Nanti Mak Teh temankan Khai makan tengah hari pula ya?" Sapu tangan dikeluarkan daripada poket beg sekolah sebelum dia menanggalkan baju kemeja Khairul.

"Nak-nak. Papa dah balik?" Sunyi rumah tanpa kehadiran Dato Muhsin. Khairul sekadar bertanya. Hati sucinya tidak boleh berdendam kesumat pada bapa sendiri. Bekas tamparan tempoh hari pun telah dilupakan Khairul.

"Mungkin esok... Khai rindu papa ke?"

"Tak," cebik Khairul. Masih merajuk dalam sifat keanak-anakan.

"Rindu tapi tak nak mengaku..." kata Mak Teh. Lengan Khairul dicuitnya mengusik. Lagilah Khairul memanjangkan muncungan.

Menyedari pintu dapur yang terbuka, Mak Teh harus melangsaikan tugasan terlebih dahulu. "Khai, naik atas dan mandi... Mak Teh kena kemas stor belakang rumah sampai siap. Bila dah siap, kita makan tengah hari sama-sama."

"Okay, Mak teh. Cium Khai dulu," pinta Khairul. Dia mula tersengih seperti kerang busuk.

Seraya dengan itu, sebuah ciuman mendarat antara kedua-dua kening hitam Khairul. Anak itu hanya dambakan perhatian dan kasih dalam kehidupan. Lihatlah, kesan tamparan dan benjolan angkaran Dato Muhsin pun Khairul sudah lupakan.

Baju sekolah Khairul dibawa Mak Teh ke dalam dakapan. Dilihat sahaja langkah kecil Khairul berlari anak menaiki tangga di hujung sana. Khairul semakin membesar. Hati wanita berkenaan sentiasa terubat bahagia dengan kehadiran Khairul di sisinya.

***

"Macam mana nak buat baby?" bisik tuan muda itu. Celik pula matanya di tengah malam.

Selimut tebal ditolak dengan kaki sebelum Khairul melompat ke lantai. Entah mengapa soalan tersebut acap kali tergiang-giang menghantui. Hajatnya mahu bertanya pada Dato Muhsin tidak kesampaian pula. Sang ayah sedang sibuk bekerja di luar kota.

"Baby boleh dibuat ke? Nak buat dengan apa?" Tak pernah terfikir dek akal. Kanak-kanak tujuh tahun itu berlabuh di atas kerusi yang menghadap meja belajar. Di hadapan mata terdapat komputer pemberiaan Dato Muhsin.

Khairul memang pandai menggunakan teknologi canggih itu semenjak dari lima tahun lagi. Kesibukan ibu bapa menempatkan dia di penjuru kesepiaan, maka pasangan berkerjaya berkenaan memilih untuk menghadiahkan Khairul dengan pelbagai macam barangan mahal.

Terpancar cahaya daripada kaca monitor. Mata Khairul terpejam celik dek kesilauan. Samar-samar lampu tidur menemaninya pada malam itu.

Jari menekan punat papan kekunci. Cariannya dieja satu per satu.

Macam mana nak buat baby

Cari.

Sambungan internet membentangkan hasil carian sepantas kilat. Daripada gambar hinggalah ke video, Khairul menggerakkan tetikus.

Sejujurnya dia masih keliru. Permukaan yang diingini, sudahnya bala yang digali.

Tiada ilmu untuk menilai. Tidak juga ibu bapa yang melindungi. Sudahnya sang pengasuh akan menyalahkan diri atas kegagalan mendidik Khairul suatu hari nanti.

"Macam mama hari tu..." bisik Khairul Ikhwan. Sel otaknya berhubung.

Inilah aksi yang pernah dilakukan Datin Farina di atas katil dengan seorang lelaki tidak dikenali. Tidak silap lagi, inilah dia.

"Mama buat baby dengan pak cik tu ke?"

Hairan pula.

Sedikit pembacaan laman sesawang dibuat Khairul. Kononnya mahu menambahkan pengetahuan, padahal akalnya masih tidak memahami keterangan yang ada. Khairul hanya mampu menghadam beberapa baris ayat.

Pelbagai perasaan menyelubungi.

Gembira, ibunya sedang 'membuat baby'. Kelak Khairul akan punya adik.

Keliru, gambar manusia tidak berbaju menayangkan aurat dan kemaluan. Apakah perbuatan itu bisa dilakukannya sutu hari nanti?

Malam berkenaan hanyalah permulaan. Suatu gambaran tentang kemaksiatan terpasak dalam hati suci Khairul tanpa pengetahuan sesiapa.

Kehancuran seorang anak Adam bakal diketawakan syaitan.

"Yeay! Nanti dapat adik," sorak Khairul keriangan.

***
votexkomen
***

Alhamdulillah dah habis exam. So kita update bab 4, walaupun sedih tengok Khairul membesar macam ni :')

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro