06 Pecat

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Astaghfirullah..." Semua kerja pembantu rumah itu terhenti tatkala disajikan dengan keadaan Khairul yang berjalan longlai ke arahnya. Dia lekas mendapatkan si cilik itu di muka pintu utama rumah. Batang penyapu telah disandarkan ke tepi dinding sebelum merendahkan badan searas dengan tuan muda kesayangannya.

Kelakuan Dato Muhsin yang melangkah laju ke tingkat atas langsung tidak dihiraukan wanita berkenaan. Dia hanya khuatirkan keadaan jantung hati seorang ini.

Khairul kelihatan sungguh lesu.

"Khairul kenapa ni sayang..." Tompokan darah merah pada baju sekolah merisaukan hati Mak Teh. Dia tidak betah selagi tidak dapat mencari kesan luka, yakni punca darah tersebut. Sedarlah Mak Teh, pencariannya berakhir ke muka Khairul. Kesan darah yang seperti mengalir dari hidung habis dikesat ke tepi pipi. Hasilnya pipi kanak-kanak itu juga didapati comot belaka.

Khairul menggeleng perlahan. "Sakit..." ujarnya sayu. Mata merah anak itu memandang Mak Teh meminta simpati. Dia keliru akan perkara yang telah terjadi pada pagi tersebut.

Tanpa banyak bicara, tubuh Khairul didukung Mak Teh. Bilik orang gaji di penjuru belakang rumah dituju mereka berdua. Khairul pula menyepi sendiri dalam dakapan Mak Teh.

Hari buat anak kecil itu sungguh memenatkan. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia takut apabila Dato Muhsin mengamuk setelah mendapat khabaran isteti sendiri berlaku curang. Lelehan air mata dikesat Khairul.

"Mak Teh ada... Jangan lemah ya, sayang? Mak Teh ada..." pujuk wanita itu. Belakang Khairul diusap lembut. Bagaikan dapat ditebak bahawa semua kecelakaan ini adalah angkara Dato Muhsin. Sempat ekor mata Mak Teh mengamati wajah bengang Dato Muhsin di muka pintu tadi, sememangnya Datin Farina tidak akan dilepaskan kali ini.

Berdetum bunyi katupan pintu master bedroom di aras atas. Mak Teh segera mengusung tubuh Khairul ke kamarnya. Biarlah pergaduhan laki bini tersebut tidak hadir ke pengetahuan Khairul. Khairul selayaknya berehat sahaja.

Tubuh anak itu dilabuhkan ke atas sebuah katil bujang. Mak Teh tersenyum nipis semasa menanggalkan pakaian Khairul Iddin. Dikesat air mata kedukaan kanak-kanak itu.

"Khairul tidur dalam bilik Mak Teh ya lepas ni? Biar Mak Teh yang jaga Khairul..." ujar Mak Teh. Biar nanti jika Dato Muhsin hadir mahu memukul anak tunggal berkenaan, Mak Teh dapat menghalang.

Kepala dijatuhkan sekali. Khairul menunduk sahaja.

"Jangan gigit bibir tu, nanti luka," tegur Mak Teh pula. Dagu Khairul dilangutkan ke atas. Ibu jarinya mengusap bibir bawah Khairul, memujuk anak itu melepaskan gigitan pada bibir sendiri.

Semangkuk air suam menjadi peneman mereka berdua. Sapu tangan bersih direndamkan ke dalam air sebelum diperah. Wajah Khairul yang comot itu dihapuskan segala anasir luar.

"Khai kena pukul dekat mana?" soal Mak Teh.

"Papa tampar... Lepastu dia pukul banyak kali..." Pukulan Dato Muhsin tidak berakhir hanya di pipi. Kegeraman pada isteri sendiri ditempiaskan pula pada Khairul tadi. Khairul mengusap bahu, di situ tempat tumbukan Dato Muhsin berlabuh.

Sayu hati Mak Teh melihat keadaan anak jagaannya. Kedua-dua pasangan majikannya terlalu melampau. Khairul hanyalah kanak-kanak tujuh tahun yang baru hendak mengenal dunia. Jika ada tersalah pun, cubalah hadirkan pengajaran dengan berhikmah. Ini tidak sudah menggunakan kekerasan. Apa mereka tidak sayang pada anak sendiri?

"Biar Mak Teh ubatkan. Khai baringlah, kasihan badan Khai..." Badan Khairul yang tidak berbaju dipelawakan untuk berbaring. Wajah Khairul telah bersih tanpa darah, barangkali pembuluh darah hidung yang pecah telah pun membeku dengan sendiri maka tiada aliran lagi.

Leka melihat tingkah Mak Teh di sebelah. Bahunya sedang dituam dengan beg ais oleh wanita itu. Sungguh Khairul sudah serik untuk ke sekolah. Dia lebih gemar duduk bersama-sama orang gaji rumah itu. "Mak Teh, Khai penat... asyik kena marah... kena pukul... Khai tak suka."

"Nanti Mak Teh kata pada papa, ya? Supaya jangan marah Khai..." Itu sahaja yang termampu. Mak Teh sedikit kesal pada batas kuasa sendiri. Dia tidak boleh melindungi Khairul sepenuhnya dengan pangkat seorang pembantu rumah.

"Kalau Khai sakit... Mama dan papa tak pernah kisah. Mak Teh je yang selalu jaga Khai... Khai nak jaga Mak Teh nanti bila dah besar." Polos balasan Khairul kedengaran. Suaranya perlahan memasuki atmosfera. Dicuba untuk berlagak kuat, walhal dadanya yang tidak berbaju sedang bergetar menahan tangis.

Hakikat itu terpaksa ditelan Khairul sejak kecil lagi. Mak Teh cepat-cepat menyimpulkan senyuman, air mata di tubir hampir menitis. "Boleh, Khai. Mak Teh pun tak ada siapa-siapa selain Khai."

Dahi anak jagaannya dielus lembut. Daripada Khairul sebesar botol kicap hinggalah panjang begini, kasih dan cinta wanita itu sentiasa ada. Kebanyakan masanya digunakan untuk memelihara Khairul sejak tujuh tahun lalu. Datanglah hujan dan panas, dia tetap hendak menjaga Khairul Iddin.

Khairul diam di pembaringan, selesa di atas katil bujang Mak Teh. Ruangan kecil bilik pembantu rumah lebih digemari Khairul sebagai tempat untuk meloloskan diri daripada segala sengketa. Asalkan Mak Teh ada di sebelah katil, Khairul tidak akan menangis. Fikiran menerawang berbagai sangkaan. Hati kecilnya begitu sedih setiap kali Dato Muhsin memukul.

"Rehatlah, pejamkan mata," ujar Mak Teh. Kelopak mata Khairul diturunkan ke bawah dengan sekali tekupan telapak tangan. Namun, sesaat selepas itu kanak-kanak berkenaan mencelik kembali. Mak Teh sendiri tersenyum kecil. Pipi Khairul dikucup sekali.

"Rasa sakit lagi?" Dibelek badan Khairul, khuatir ada bahagian lebam yang tertinggal tidak berubat.

Anak tidak berbaju itu menggeleng perlahan. "Mak Teh jangan tinggalkan Khai, tau?" pinta Khairul.

"Insya Allah... Tidurlah. Mak Teh tak ke mana pun..." jawab Mak Teh seraya melebarkan tirai bagi menghalang segala cahaya luar memasuki ruang. Keadaan malap diperlukan buat Khairul berehat biar pun matahari sedang terpacak di atas kepala. Kebiasaan waktu tengah hari juga Mak Teh akan berqailullah.

Terkelip-kelip memandang sang pembantu rumah. Gembira seketika tatkala Mak Teh berbaring di sebelah. Dipeluk tubuh Mak Teh, hilanglah segala resah di jiwa.

Wanita itu mula menepuk sisi tubuh Khairul Iddin. Biarlah Khairul lena seketika setelah dipukul bapa kandung di awal pagi. Mak Teh tak mahu bertanya banyak, perasaan Khairul perlu dijaganya. Bimbang tekanan emosi menghimpit, kelak pembesaran Khairul akan terganggu. Khairul juga punya hak buat dibelai kasih sepertimana anak-anak lain bermanja dengan kedua-dua orang tua.

Pasti Khairul terlalu penat. Mudah sahaja dia jatuh ke alam lena.

***

Tok tok tok

Berkali-kali daun pintu diketuk dari luar. Mak Teh yang sedang melipat pakaian di birai katil segera berlalu ke muka pintu sementara Khairul baru sahaja terlelap bertemankan coklat panas di malam hari. Anak itu memang hantu coklat.

"Ada apa puan?" tanya Mak Teh, aras mata direndahkan tanda hormatnya.

Datin Farina memandang sang pembantu rumah, "mana Khai?"

"Khairul tidur dalam bilik saya. Saya dah minta dia naik ke atas tapi dia tak mahu, jadi saya biarkan sahaja dia duduk di sini buat masa sekarang."

Perbualan itu tak ingin dipanjangkan Datin Farina lagi. Wanita muda itu lekas menolak Mak Teh ke tepi, tujuannya hanya satu iaitu buat mendapatkan Khairul Iddin. Meluap-luap api kemarahan di dada seorang isteri yang baru menerima talak suami. Mata merahnya menyala-nyala bak biji saga. Kiranya dia baru sahaja lepas menangis.

"Khai, cakap apa dekat papa?" Melulu sahaja pertanyaan Datin Farina tanpa mengambil kira Khairul yang baru terlelap di tengah-tengah katil.

Langsung Khairul mencelikkan mata apabila lengannya disambar ibu kandung sendiri. Air muka kanak-kanak itu bertukar, dia sedang ketakutan.

" Mak Teh..." bisik Khairul. Bibirnya kemerahan, suhu badan pula sedang tidak stabil. Baru hendak berehat, habuan lain pula bakal menjemput. Datin Farina hanya memegang lengan Khairul sahaja, namun anak itu telah melinangkan air mata. Khairul sudah penat untuk dipukul lagi. Hanya tangis menggambarkan bahawa dia benci akan kesemua kekasaran padanya.

"Puan nak buat apa?" Mak Teh meleraikan pegangan Datin Farina lalu membiarkan Khairul berada di belakangnya.

"Suka hati akulah nak buat apa... Ni anak aku," balasnya dingin. Selagi belum dapat memberi pengajaran pada Khairul, selagi itulah dia tidak akan puas. Segala amukan Dato Muhsin sudah dihadapinya. Datin Farina dipukul dan dimaki atas habuan bermain kayu tiga.

"Khai tengah demam. Biarlah dia berehat," bilang Mak Teh. Cukuplah Khairul dipukul sang bapa pada siang tadi. Jangan pula pada malam ini si ibu pula mahu membelasah tubuh kecil Khairul.

Anak itu diam di belakang Mak Teh,  baju Mak Teh digenggam erat. Khuatiri pembantu rumah berkenaan bakal meninggalkannya sendirian. Suhu badan Khairul telah pun naik pada petang tadi tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapa. Manakan mereka tahu andai sibuk bergaduh di kamar atas. Mak Teh sahaja yang dapat mengesan perubahan suhu tubuh Khairul kerana anak itu dijaga seperti nyawa sendiri.

"Tepilah! Khairul beritahu apa pada papa?" berang Datin Farina. Tangannya berusaha menolak tubuh Mak Teh ke tepi. Kewarasannya telah pun hilang. Silap sendiri tak mahu mengaku, anak juga yang hendak dilunyaikan.

"Tolonglah jangan marah Khairul lagi... Dia dah kena pukul dengan Dato Muhsin siang tadi," kata Mak Teh. Pembantu rumah itu tidak berganjak walaupun setapak. Khairul kekal di belakang tubuhnya.

"Sebab kau lah aku kena cerai!" herdik Datin Farina seraya tangannya menarik bahu Khairul hingga anak itu tersembam ke lantai. Perbuatannya tidak sempat dihalang Mak Teh.

Wajah sang ibu dipandang Khairul lama. Hatinya semakin tawar, kedua-dua ibu bapa tak lagi dikenali mata. Tangan kanak-kanak itu berpaut pada tiang katil berdekatan. Dikira hari tidak akan bertambah buruk, malang sekali kegilaan Datin Farina belum lagi selesai. Nafas hangat Khairul menampar ke sekeliling wajah dikala suhu badannya semakin meningkat.

"Berhentilah," geram Mak Teh. Dengan berani, dia mara ke hadapan Datin Farina. Saki baki kesabaran telah habis kesemuanya. Kedua-dua pasangan kaya itu sudah cukup melampau.

"Khai tak ada salah apa-apa dalam hal ni. Puan sendiri yang bawa masuk lelaki ke dalam bilik tanpa pengetahuan Dato. Sekali pun Dato tak tahu hari ini, lambat laun akan terbongkar juga. Cubalah sorokkan bangkai, kelak bau busuknya akan terhidu jua," bilang Mak Teh. Biarlah pekerjaannya sebagai pembantu rumah akan berakhir pada malam itu. Dipecat pun tidak mengapa, asalkan Khairul dapat dibela.

"

Kau jangan nak berlagak ustazah dekat sini. Kau tu orang gaji je." Wajah Datin Farina yang tidak beriak memandang sang pembantu rumah.

"Orang biasa pun tahu hukum hakam berzina."

"Melampau, ya? Lupa ke aku yang bagi gaji kau?" Tindakan Mak Teh yang terus menjawab lagi mencabar kuasa Datin Farina selaku tuan rumah. Bibir nipisnya  tersenyum sumbing, sedikit kagum terhadap keberanian Mak Teh.

"Puan yang melampau. Jadi isteri pun banyak sakitkan hati suami, jadi ibu pun asyik abaikan anak," balas sang pembantu rumah. Apa yang tersurat dalam hati akhirnya terungkap di titian bibir.

"Kau keluar sekarang!" Kepala Mak Teh ditunjal wanita muda itu. "Orang miskin tak sedar diri," hamburnya lagi sambil tangan kekal menolak tubuh pembantu rumah berkali-kali. Galau selepas menerima talak makin menjadi-jadi.

Sedikit pun Mak Teh tidak kisah. Kakinya terpaku ke lantai. "Saya boleh pergi..." Jeda. Ekor mata melihat anak jagaan kesayangan di tepi katil. "Cuma izinkan saya untuk jaga Khairul sampai demam dia kebah malam ni. "

"Mak teh... Janganlah pergi..." panggil Khairul separuh berbisik. Air mata semakin galak berlinang, berkali-kali menggelengkan kepala. Si cilik itu belum bersedia untuk hidup tanpa Mak Teh di sisi. Terpejam celik membayangkan bagaimana nasib keesokan hari. Lebih baik andai terus tidak terlahir ke dunia.

***
votexkomen
***

korang okay tk tu?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro