22 Hospital

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Sinaran kalimantang memantul ke segenap ruang bilik. Lembut warna cat dinding mendamaikan rasa. Di situ juga terdapat sekujur tubuh yang sedang berehat di alam separa sedar.

Ini bukan kali pertama hari Khairul berakhir di atas katil hospital.

Kedua-kedua kelopak mata terkatup rapat. Dada pun berombak tenang. Pakaian Khairul telah ditukar kepada persalinan hospital, satu set baju dan seluar berwarna hijau lembut.

"Sampai bila anak kita nak hidup macam ni?" Datin Farina membisikkan pada sang suami. Lemah suara wanita setengah abad itu. Badan berpaling menghadap lelaki di sebelah.

Dato Muhsin melihat wajah lena Khairul Iddin. "Mungkin kita kena pisahkan memori mak teh daripada dia. Itu sahaja caranya..."

Begitu sukar buat Khairul menerima takdir bahawa Mak Teh telah bukan miliknya lagi.

"Macam mana?" soal Datin Farina kembali.

"Simpan semua barangan mak teh dalam stor. Kita tak boleh biarkan Khairul teringat mak teh. Saya tak boleh biarkan dia tidur dalam bilik mak teh malam-malam. Tengok, macam ni jadinya..." kesal sang bapa itu. Mereka bukannya tidak kasihankan anak sendiri, lalu membiarkan Khairul asyik menyendiri di dalam bilik arwah. Tetapi sucidal though yang menghimpit Khairul akan membawa padah. Seketika selepas Khairul sedar mustahil Mak Teh kembali ke pangkuan, mulalah pemuda itu akan melakukan perkara yang bakal membahayakan diri.

"Boleh tak kita biarkan Khairul pindah rumah? Biar dia dapat persekitaran baru... Jauh daripada semua memori silam."

Kebiasaan sebelum beradu, pasti Datin Farina akan melawat Khairul bagi memastikan segalanya baik-baik sahaja. Malam tadi, alangkah terkejut hati seorang ibu tatkala mata menyaksikan Khairul Iddin menghabiskan sepapan panadol dalam sekelip mata. Hanya bekas tidak berisi ubat tinggal sepi di sisi meja katil.

Rawatan N-acetylcysteine (NAC) telah diberikan kepada Khairul pada malam yang sama secepat mungkin. Keracunan pada hati adalah amat menyeksakan sebelum disusuli kematian penyalahgunaan ubat. Khairul tak mampu berfikir panjang.

Dato Muhsin melintasi bingkai pintu keluar bersama-sama isterinya. Takut mengganggu anak bujang yang sedang berehat. Berdiri lah pasangan suami isteri itu di ruang legar hospital swasta. "Macam mana kalau perkara buruk berlaku? Siapa yang nak tengok-tengokkan anak kita?"

"Kita upahlah tukang kebun dan pengawal untuk tengokkan Khairul. Insya Allah, Khairul boleh bina hidup baru." Tidak ada apa lagi yang Datin Farina mahukan di usia begitu melainkan kebahagiaan pada satu-satunya darah daging.

"Hm..." Dato Muhsin membalas perlahan.

"Asyila pun nampak sangat prihatin tentang Khairul. Kalaulah Khairul izinkan Asyila untuk masuk ke dalam hati dia..." Tidak putus gadis berkenaan berkunjung dan menanyakan khabar anak bujang mereka.

"Asyilla tu baik budaknya." Jeda. Lelaki tua itu tersenyum nipis. Kesilapan mengabaikan Khairul adalah satu khilaf terbesar mereka berdua yang cuba ditebus kembali. "Kita berilah ruang untuk mereka berkenalan. Setidaknya, hati Khairul akan dipenuhi perasaan kasih. Kalau dia tetap tak mahu, tak mengapa... Kita tak perlu paksa dia."

Pasangan suami isteri itu seakan bersepakat untuk mengubati hati Khairul sekali lagi. "Ya... Dia kena sedar yang masa depan menanti. Tak boleh selama-lamanya seksa diri macam ni... Khairul dekat pejabat baik-baik sahaja ke?"

Terus Dato Muhsin teringatkan prestasi kerja anak sendiri. "Khairul bekerja dengan baik. Semua yang person in charge ajarkan dia akan turuti tanpa banyak membantah. Dalam jadual, banyak lagi kursus yang perlu Khairul hadirkan diri. Lambat laun dia akan tahu amanahnya."

"Kursus dekat mana?" Datin Farina menyoal.

"Hujung bulan ni ada dekat Cameron Highlands... Awal bulan pula di Langkawi." Langkahan pasangan tua itu berakhir di pintu utama hospital. Nampaknya Khairul akan bermalam di bawah pantauan doktor.

Dari jauh, terkocoh-kocoh seorang gadis berlari ke arah mereka. Terpeta kerisauan yang tidak dibuat-buat. Belum sempat menarik nafas, kedua bibir delima itu bersuara.

"Khairul macam mana, aunty?" Asyilla memandang Dato Muhsin dan Datin Farina silih berganti.

"Doktor dah berikan rawatan. Insya Allah, kalau esok lusa perkembangannya baik... Khairul boleh pulang ke rumah," jawab Datin Farina lalu tersenyum nipis. Hati wanitanya sungguh berkenan pada gadis bernama Asyilla ini. Sentiasa didoakan moga hati Khairul sedikit terbuka untuk menjalin cinta.

***

Telapak tangan berlabuh ke atas abdomen yang terasa sakit. Liur pula ditelan perlahan-lahan. Semalaman berlalu, sangkanya sudah menemui ajal. Pandangan mata dibentangkan dengan kehidupan duniawi. Tak kira apa yang dilakukan Khairul, pasti nyawanya tidak akan ditarik malaikat maut. Sungguh takdir tidak berubah. Andai belum tiba masa, pelbagai cara pun mustahil melawan kekuasaan Tuhan yang Esa.

"Kenapa kau datang?" gemersik suara garau Khairul memecahkan keheningan pagi. Garang sungguh nada anak bujang itu. Mata tak mahu memandang pelawatnya malah seakan cuba menghalau.

Bahu Asyilla terhenjut sedikit dek terkejut. Dia cepat-cepat menutup buku yang dibaca. Novel itu dimasukkan ke dalam beg sandang yang dibawa. Hampir terjatuh juga cermin mata bulatnya pada batang hidung.

"Aku tanya... Kenapa kau datang?" bisik Khairul perlahan.

Meskipun kehadiran Asyilla tidak dialu-alukan, dia tetap berlagak tenang. "Aku nak melawat kau."

Khairul menggeleng perlahan. Badan diiringkan bertentangan daripada kedudukan Asyilla. Lengan bersilang ke badan di sebalik kain selimut putih. "Aku tak perlukan kau..."

"Ya, aku tahu. Tapi aku tetap nak datang melawat." Keras kepala Asyilla pada keinginan mahukan cinta Khairul tidak jua pudar sejak kanak-kanak. Tahun demi tahun berlalu, masih setia pada satu nama. Cermin mata dilurutkan dengan tangan kanan. Senyuman kecil terlekuk melihat perangai Khairul yang sebegini.

"Tak penat ya? Dari dulu cuba mengorat aku..." sindir Khairul di pagi hari.

"Tak..." jujur Asyilla. Panahan sarkastik Khairul dilindungi dengan kekebalan hati.

Khairul merengus perlahan. Berkerut kening hitam lelaki itu yang tersusun rapi. "Kau ni budak pelik. Baliklah."

Langsung Asyilla tidak kisah dengan layanan kasar Khairul. Dia tersenyum sahaja. "Aku ada bawakan coklat untuk kau. Ada Toblerone, Daim, Cadbury..." ujarnya sambil meletakkan sebuah beg kertas bercorak patung beruang ke birai katil pesakit Khairul.

"Tinggalkan coklat tu dekat tepi katil. Kau boleh balik," ringkas Khairul memberi arahan laksana tuan pengarah.

Asyilla mengangguk faham. Kain selendang dibuat selimpang sebelum kedua-dua kaki diluruskan. Belakang tubuh Khairul dipandangnya. "Maaf ganggu kau nak rehat. Makanlah coklat ni... Aku dah pastikan tak ada kacang dalam kandungannya."

Nada lembut Asyilla menjadi halwa telinga.

"Ya, pergi balik," balas Khairul dingin.

Apabila tiada lagi kedengaran pergerakan manusia di dalam bilik itu, barulah tuan muda berkenaan duduk bersandar pada bahu katil. Nafas dalam ditariknya. Telapak tangan dimenungkan seketika. Benarlah, dia masih berada di alam realiti.

"Susah betul aku nak mati," bisik hati Khairul.

Lengan kanan direhatkan ke atas dahi. Dia berbaring kembali setelah menyelesakan kedudukan. Pada pergelangan tangan itu jua terdapat parut kelaran bilahan pisau yang dibuat pada bulan lalu. Khairul sengaja berbuat sedemikian dengan niat mahu membunuh diri. Dan di setiap kali Khairul mengancam nyawa, sewaktu itu jugalah Datin Darina dan Dato Muhsin akan muncul. Ibu bapanya bak pelindung, sentiasa ada di sisi.

"Perempuan ni pun satu..." omel Khairul. Matanya mengerling beg kertas pemberian Asyilla. Sebeku hati Khairul, mana mungkin coklat akan ditolaknya. Dia mungkin tidak sukakan Asyilla, namun coklat yang tidak bersalah tak seharusnya ditolak.

Sungguh Asyilla benar-benar tahu jenis coklat kegemaran Khairul Iddin. Senyuman kecil Khairul terhias indah di wajah kelakiannya. Bungkusan coklat sebegini pun sudah memadai buat mengubat perit di hati Khairul.

Sedang jari ralik mengira bilangan cokkat yang diperolehi, sepucuk kertas memo berjaya ditemui dibawah timbunan coklat. Khairul membawa surat layang itu keluar, beg kertas diletak ke meja sisi.

Hai, jiran yang suka marah.
Jangan marah-marah selalu, nanti kau lekas tua.

Ini buah tangan aku, terimalah. Aku tahu kau sukakan coklat. Bila kau gelisah, kau akan minum coklat panas. Ingat tak waktu dulu-dulu?

Tapi sekarang kau berubah kepada rokok. Bila kau marah, kau akan isap rokok. Janganlah macam tu. Rokok tak baik untuk kesihatan. Makan coklat ni banyak-banyak sampai kau rasa lega. Kalau rasa coklat ni tak cukup, beritahu aku.

"Perempuan gila," kata Khairul.

Lelaki itu menghelakan nafas panjang buat ke sekian kali. Kertas memo Asyilla diselitkan ke dalam beg kertas tanpa secebis perasaan hadir ke dalam hati. Bar cokkat Toblerone berganti pula.

Kadang-kadang Khairul terfikir, apakah yang Tuhan mahukan darinya? Tidak cukupkah segala penyeksaan yang telah berlalu.

Atau mungkin Khairul tidak layak untuk mati. Mati itu hanya pantas buat mereka yang bertaubat? Maka, selagi Khairul tidak berjumpa jalan taubat selagi itulah ajal tidak akan berkunjung tiba.

Hidup ini penuh dengan tanda tanya.

***
votexkomen
***

sambunga kisah Khairul! Vote dan komen tau. btw saya baru habis exam. pagi tadi, alhamdulillah. esok pula keluar result, doakan! 💐

Rindu Khairul kan, kesian readers saya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro