40 Pengawal

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Kunyahan anak bujangnya perlahan sahaja. Sepinggan bihun goreng Singapore tidak terluak, sudah lima belas minit berlalu. Datin Farina memerhatikan tingkah Khairul yang seperti tidak berminat untuk makan malam namun masih menyuap makanan masuk ke mulut.

"Khai, boleh mama tahu siapa perempuan yang anak mama kejar selama ni?" soal wanita setengah ahad itu.


Terus Khairul Iddin tersedak.

Segelas air kosong diteguk pemuda itu. Dia mengerutkan kening seolah-olah tidak suka sesiapa mengorek soal hatinya yang terlalu berselirat. "Tak boleh, mama. Rahsia."

"Jadi, dah dapat mengorat dia belum?" Datin Farina ketawa halus, terhibur melihat telatah anak bujangnya. Malam itu mereka hanya makan berdua.

Khairul meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan. Dia terkelip-kelip memikirkan jawapan kepada soalan berkenaan. "Entahlah... Khai rasa Khai tak layak nak dapatkan dia. Ayah dia tetapkan syarat macam-macam. Apa ingat Khai ni budak tahfiz ke nak belajar kitab bagai..." Keluh pemuda itu.

"Keluarga dia background agama ke?" tebak Datin Farina. Calon menantu sendiri pun tidak diketahui siapa, Khairul terlalu berahsia.

"Yelah..." Gelas airnya diangkat sebelah tangan. Sarat sungguh hati itu. Sungguhlah bermain dengan hati ialah suatu perkara sukar. Yang terjejas ialah dalaman, luarannya baik-baik sahaja.

"Tak hairanlah kalau macam tu. Nak tak nak, Khai kena hadap. Dah dia yang Khai pilih."

"Sekali pakej dapat ayah mertua imam kampung." Khairul tersenyum sumbing. Apalah nasibnya untuk ditakdirkan bertemu dengan iman masjid. Bagaikan aur dengan tebing, Khairul itu seorang kaki maksiat tegar.

"Apa syaratnya?"

Gelas air diteguk lagi sekali, membasahkan bibir. "Ada tiga. Ayah dia hanya izinkan Khai jejak kaki ke rumah tu setelah berjaya buat kesemua tiga syarat ni. Pertama, belajar agama. Kedua, solat subuh berjemaah di masjid setiap hari. Ketiga, berhenti merokok."

Datin Farina sedikit terkejut. Peraturan yang ditetapkan umpama hendak mendaftar calon imam masjid. "Jadi Khai cuba tak buat?"

"Bangun subuh pun pukul 7," balas Khairul selamba. Dia menggeleng perlahan dan memandang ibunya dengan wajah pasrah.

"Jadi dah menyerah?" Datin Farina menjongketkan sebelah kening.

"Susah nak cakap... Khai perlukan masa... Tapi Khai tak tahu berapa lama masa yang Khai perlukan untuk lengkapkan ketiga-tiga syarat tu. Mama sendiri tahu yang Khai ni budak jahat... suka buat masalah.. susahkan mak ayah..." omelnya. Pinggan makanan telah ditolak ke tepi.

"Menyerah?" Sengaja wanita itu mengulang ayat yang sama.

Nafas dalam ditarik Khairul Iddin. "Bukannya Khai nak menyerah. Cuma Haji Daud tu tak fikir ke syarat dia melampau. Hati Khai ni kalau boleh nak melawan orang tua tu... "

"Jadi, menyerah?"

Kelopak mata diturunkan sesaat dua. Rambutnya diraup ke belakang sebelum dia mendiamkan diri sejenak.

Datin Farina tersenyum kecil. Khairul ini ada naik turun egonya. Mulut memang sukar hendak menyatakan perkataan, namun melalui kelakuannya sahaja Datin Farina dapat meneka betapa dia sedang berusaha tuk berubah tanpa pengetahuan sesiapa. "Khai tahu tak Asyilla dah kahwin?"

"Baguslah... Dia pun dah jumpa peneman hidup." Langsung Khairul tidak hairan sedikit pun. Jika diingat kembali, Asyilla hanyalah rakan di zaman kanak-kanak yang pernah mengejarnya.

"Khai pun akan jumpa juga... Seorang peneman hidup."

"Betul ke, ma? Ada orang nak terima Khai..."

"Keluarga perempuan tu akan terima Khai tapi ada syaratnya. Khai nak tak terima syarat tu?"

Bibir dikatup. Anak matanya teralih ke lain.

***

"Tak pergi melawat adik?" Puan Nora yang baru sudah membasuh perkakas dapur mengesat tangan di kain tuala kecil. Dia memandang Azzam atas dan bawah yang sudah bersiap seperti hendak keluar.

"Berapa kali Zam nak ulang? Azzam takkan pergi ziarah kubur adik selagi lelaki tu tak dibunuh," bilang Azzam.

"Sudahlah, Zam. Ibu penat tengok anak ibu macam ni hari-hari." Wanita itu pun melangkah ke arah anak bujangnya. Dia melihat wajah itu lama.

Lain pula balasan Azzam.

"Tak payah tengok, senang." Biji matanya menjeling wanita yang telah mengandungkan diri itu selama sembilan bulan. Kunci kereta yang tersadai di atas kabinet televisyen diambil lelaki itu.

"Azzam, makanlah dulu sebelum keluar." Puan Nora memanggil anaknya.

"Tak hingin nak makan kalau lauk setakat telur dadar. Orang takde selera tahu tak?" Azzam berdecit. Sepasang kasut daripada rak dicampak ke lantai. Dia yang berada di pintu utama rumah sedang bergegas ingin melakukan urusan di luar.

"Dah kita tak ada duit... Azzam pun tak kerja..."

"Sikit-sikit nak salahkan Azzam. Adik mati pun Azzam yang salah. Perangai ibu yang suka sebut pasal duit ni la yang buat Lia pergi cari kerja dekat pekan sampai kena rogol."

"Astaghfirullah..." Terkilan wanita bergelar ibu itu. Herdikan Azzam sentiasa membalas biarpun dia sudah cuba sedaya upaya buat berlembut. Kematian anak perempuannya masih meninggalkan kesan dalam diri. Selama Azzam suka menengking, kebiasaan Lia lah yang akan datang dan memujuk Puan Nora. Kini tinggal dia sendiri menghadap anak lelaki yang tidak pernah menghargai kehadiran dia di situ.

"Tak payah tunggu Zam balik." Azzam menarik pintu rumah hingga terkatup rapat.

Beberapa barangan penting telah dimasukkan Azzam ke dalam beg silang. Dia menerjah ke dalam perut kereta lalu menghidupkan enjin. Ngauman ekzos kereta dibiarkan seketika sementara suatu alamat yang tertulis di atas kertas ditiliknya.

"Kau tutup laluan masuk... Aku boleh masuk ikut jalan lain." Lelaki itu berdecit.

Terus menekan pedal minyak, memandu pacuannya ke suatu destinasi asing. Sedikit jauh daripada kawasan bandar, melalui jalan-jalan desa. Yang kian lama kian menyuram meskipun langit masih terang. Sunyi laluan cuba dibuang dengan lagu-lagu dicorong radio.

Aplikasi navigasi yang tertera di skrin telefon sudah hampir membawakan Azzam tiba ke destinasi yang diingini. Dendam kesumat di hati mahu dibalas walaupun melalui jalan syirik.

Dia memberhentikan kereta di luar halaman sebuah rumah usang. Sebaik sahaja kakinya menapak keluar, berderu angin menghembus. Beg silang diambil, langkah diteruskan Azzam. Perasaan gentar terkadang mencuit, namun tidak dilayan.

Derapan kaki sendiri yang menaiki anak tangga menghasilkan bunyi. Papan kayu rumah itu sudah lama tidak diselenggara.

Azzam yang berdiri tegak di hadapan pintu rumah sudah diperhatikan seseorang dari dalam. Berkilau mata menilik anak muda yang elok dalam pakaian biasa. Kesemua yang hadir ke rumah usang berkenaan sama sahaja. Yang dibawa hanyalah hati berdendam.

Pemuda itu memasuki apabila diizinkan sang pemilik rumah. Bau asap kemenyan menusuk ke rongga, berkecamuk pula dengan beberapa bauan busuk yang tak dapat Azzam kenal pasti. Seorang lelaki tua mempersilakan Azzam tuk duduk di dalam. Bunyi pergerakan beberapa makhluk di sebalik bayang-bayang menandakan mereka tidak berdua di situ.

"Saya ada dua hajat. Satu nak gugurkan kandungan seorang perempuan. Kedua, nak bunuh seorang lelaki." Dua keping gambar manusia dihulurkan kepada dukun berkenaan. Hasil pencarian Azzam menemukan imej yang amat sesuai untuk dihantar santau. Kedua-dua gambar berkenaan menampakkan wajah yang memandang tepat ke arah kamera tanpa berselindung dengan apa-apa.

"Alya... Dia mempunyai seorang kawan bernama Fatihah. Dahulu aku pernah diminta seorang perempuan berpurdah untuk menghantar sihir kepadanya. Sayang sekali... Bayaran yang aku minta gagal dibayar," bilang lelaki tua itu sambil tersenyum. Sebuah kejadian beberapa bulan kebelakang menggamit memori tuanya. Dia melihat sahaja gambar Alya yang bertudung litup itu. Cahaya perang lilin menyuluh kedua-dua foto pemberian Azzam.

"Apa bayarannya?" Azzam sedikit tidak mengerti. Siapa pula Fatihah yang dimaksudkan?

"Seorang anak dara yang tak pernah digauli sesiapa. Pendek kata, gadis sunti. Apa kau ada untuk buat sebagai bayaran?" Lelaki tua itu memandang Azzam. Lingkaran sembap di bawah mata menemani kedutan dimakan usia. Tak siapa dapat meneka berapakah umur bomoh di kampung itu. Sudah lama dia hidup bersendiri dan menikmati anak dara yang dikirim sebagai pengeras.

"Saya lelaki," balas Azzam pendek.

"Aku tahu kau lelaki. Berikan aku sejumlah wang pengeras, nanti aku buatkan seperti yang kau minta." Dukun itu pun mengambil sebilah keris tumpul. Dia mula memotong buah limau kasturi ke dalam bekas berisi air. Semerbak harumannya naik ke atmosfera.

"Berapa ringgit?" soal Azzam.

"RM10 ribu."

"Mahalnya..." gumam pemuda itu.

"Terus, kau pergilah cari mana-mana anak dara untuk aku."

Bayaran itu agak mahal bagi Azzam yang tidak bekerja. Untuk membalas dendam pun perlukan duit, tak semua di dunia ini percuma belaka. Pasti ada bayaran. "Ambil sajalah janin kandungan perempuan ni sebagai bayaran."

"Hairan... Kau yang buat adik sendiri bunuh diri, kau salahkan orang lain pula? Busuk hati kau ni," bisikan halus yang tidak tahu berpunca daripada mana kedengaran. Azzam meliarkan mata ke sekeliling. Bulu roma pemuda ini menegak dengan tiba-tiba.

"Sudah tentu aku akan ambil itu apabila mengugurkan dia hanya jika anak itu sempurna. Perempuan ini sedang bunting sulung. Anak sulungya sudah memadai untuk 'anak-anak' aku. Tapi, masih aku mahukan bayaran duit daripada engkau," bilang dukun itu tenang.

"Ada cara lain?"

"Berikan aku seorang gadis sunti." Bayaran yang pernah diminta pada Balqis, yang akhirnya memakan diri sendiri ditawarkan lagi kepada sang pelanggan. Betapa lelaki tua itu mendahagakan seorang anak dara.

"Okay, baik... Saya akan carikan nanti." Azzam bersetuju sahaja.

***

Gadis berbaju kelawar itu memberanikan diri untuk ke seberang jalan. Dia sudah lama memerhatikan keberadaan kereta asing berkenaan yang masih tidak berganjak. Ketika Haji Daud tiada di rumah, barulah berani mahu menapak keluar. Maka, masa singkat itu digunakan Alya buat membongkarkan segala persoalan yang menghantuinya siang dan malam.

"Apa encik dan kawan encik buat hari-hari dekat seberang jalan rumah saya?" Alya mengerutkan kening tidak puas hati. Hari ini, wajah lelaki yang menjadi pengawal keselamatan tidak diiktiraf di hadapan rumahnya berlainan. Seingat gadis itu, semalam orangnya lain. Apa mereka bertukar shift kerja?

"Kami dihantar Tuan Khairul untuk jaga keselamatan keluarga Haji Daud," jujur lelaki berbadan tegap itu. Dia yang berdiri di sebelah kereta menundukkan pandangan.

Alya sudah dapat menjangkakan ini angkara siapa. Gadis hamil itu tidak terkejut sedikit pun malah bibir merahnya ingin bertanya lagi. "Khairul tak datang?"

"Tak. Dia sibuk."

"Oh..." Alya terdiam sejenak.

"Tapi tuan selalu tengok cik Alya dari jauh," sambung pekerja Khairul Iddin yang menjemput senyuman kecil di wajah gadis itu.

Sangkaan Alya benar lagi. Perasaan seperti diperhatikan seseorang itu adalah daripada pandangan Khairul. Hanya Khairul sahaja hendak menyorokkan diri ketika itu. Setelah syarat Haji Daud ditetapkan, mereka tidak lagi menglihat kelibat Khairul Iddin.

Sekurang-kuranganya Alya dapat mengetahui bahawa Khairul masih ada bersamanya. Genggaman kegeraman terlerai. Tiada waktu spesifik untuk menceritakan bila dan di mana cinta itu berputik kerana ia tidak terjadi dengan tiba-tiba. Perasaan itu dibina melalui usaha yang berterusan, apabila seseorang sanggup mendahulukan insan lain berbanding diri sendiri. Terus menerus terbina perlahan-lahan.

"Kenapa dia tak nak bersemuka seperti sebelum ni?"

Lelaki berbadan tegap itu menggeleng sahaja. Soal hati, tak siapa tahu. "Saya tak tahu. Itu cik kena tanya pada tuan sendiri."

Sesi soal jawab Alya masih belum berakhir. Dia perlukan jawapan yang jitu sebelum Haji Daud pulang daripada masjid. "Encik juga ke yang beli jeruk mangga hari tu?" Laksana polis pencen melontarkan soalan tegas.

"Bukan, itu Tuan Khairul. Dia ada singgah sekejap tempoh hari."

Cukup bekalan jawapan, barulah Alya melangkah pergi. Hatinya sedikit terubat, mengetahui bahawa Khairul masih belum mengalah.

***
votexkomen
***

Khairul ni main menyorok pula. Hari tu berani sangat, dah kena hina sikit dengan Haji Daud terus merajuk berminggu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro