46 Malam Jumaat

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

"Baby dah mati ke? Kenapa tak bagi Alya pegang?" soal Alya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia hanya terbaring di katil dengan segala wayar yang berselirat. Mata sekadar melihat ke hujung kaki. Fikiran gadis ini kosong.

Perut yang membukit telah tiada. Hilangnya kesan bius mula menjemput berbagai rasa sakit di tempat jahitan. Setiap pergerakan akan menyebabkan Alya berasa seperti disiat hidup-hidup pada abdomen bawah.

"Baby kena tahan dalam wad. Alya dapat baby perempuan," kata Haji Daud. Diharapkan jawapan itu dapat menenangkan anak gadisnya. Malangnya tidak.

"Mana Khairul? Dia pun mesti dah pergi sebab baby dah mati. Dah tak kisah pasal Alya..." Rasa takut disisihkan lelaki itu menusuk fikiran. Terus menghapuskan segala kerasionalan akal.

Betapa Alya kelihatan tertekan dan gelisah sebaik sahaja sedar daripada pengsan. Matanya sering melihat perut yang telah kempis, banyak kali cuba mengusap namun hanya kesakitan sahaja diperolehi.

"Alya... Istighfar..." pujuk Haji Daud.

Kepala digeleng perlahan. "Anak Alya dah mati, kan? Jujur sahajalah. Tak payah nak sedapkan hati Alya macam ni. Sakit tahu tak..." bentak gadis pucat itu. Wajahnya kelihatan tidak bermaya. Sayu sahaja pandangan mata. Diam-diam tertitis mutiara jernih jatuh dalam gelodak emosinya.

Haji Daud tidak berbuat apa-apa di penjuru katil. Hanya berdiri di situ dan melihat anak perempuannya menangis. "Alya nak ayah kahwinkan Khai dengan Alya?"

"Nak..." katanya separuh berbisik. Namun Alya juga tahu itu satu perkara mustahil. Kembang kempis hidung ketika menangis. Habis memerah pucuk hidungnya.

"Kenapa?" soal Haji Daud.

Tangisan Alya semakin lebat. Tak seharusnya dia ditanya sedemikian. Sudahlah sedang sakit di tempat pembedahan. Hanya tangis yang menjadi jawapan. Permintaan untuk menghalalkan hubungan agar mereka berdua mampu membina keluarga seperti insan di luar sana.

Telah banyak Khairul Iddin berkorban duit, masa dan tenaga sepanjang pemuda itu mengetahui keberadaan puterinya di kantung rahim Alya. Kesabarannya juga acap kali digoyahkan gara-gara tentangan keras Haji Daud.

"Ayah akan kahwinkan dia dengan anak ayah... Tapi tunggulah dalam sebulan dua," putus Haji Daud. Diharapkan Khairul mengubah jalan, jalan yang mana satu pun Khairul sendiri keliru. Ada baiknya jika Haji Daud membimbing Khairul Iddin dan melihat progeres perubahan di hadapan mata.

Kasihan pemuda itu. Niat untuk berubah jadi berbolak balik, hasilnya tidak setara mana. Apa yang Khairul perlukan hanyalah guru bagi menunjukkan jalan yang seharusnya dilalui.

Alya menarik nafas dalam. Dadanya bergetar dek kesedihan. Bagaikan anak kecil yang mahukan mainan, betapa wajah Alya comot dengan tangisan. Lemah pandangan menanti jawapan. Badan Alya tiada tenaga sejak selesai pembedahan. "Ayah janji?"

Bacaan tekanan darah Alya sewaktu itu tinggi, terpampang di skrin monitor. Terlalu banyak berfikir merangsang tahap kesihatannya yang belum lagi berada di paras baik. Fikiran pun asyik dihadiri tanggapan negatif. Apa yang diingini ketika itu hanyalah Khairul Iddin.

Kepala gadis yang bertudung itu didakap Haji Daud. Pipi dia diusap oleh tangan tua ayahnya. Siapa sahaja tidak sayangkan anak, nak-nak lagi Alya ialah mangsa rogol di tempat kerja.

Seperti mana Khairul menyayangi bayinya, begitu jua kasih Haji Daud pada Alya.

Namun, Haji Daud tidak boleh terus mengabulkan permintaan anak gadisnya dalam keadaan begini. Biarlah cukup rehatnya, kelak Alya yang dahulu akan kembali. Alya yang akan berfikir sebelum berkata apa-apa, yang mampu menilai baik dan buruk.

"Ya, ayah janji," bisik Haji Daud. Setiap kali menidakkan permintaan Alya, yang akan sakit itu Alya sendiri. Emosinya terdera, fizikal terluka. Haji Daud tidak betah melihat anak kesayangannya begini.

"Jangan menangis dah ya... Ayah akan bimbing Khairul sampai dia jadi suami yang baik untuk Alya... Sebelum ayah lepaskan amanah ayah ni, ayah kena jadikan Khairul jauh lebih baik daripada ayah," tambah lelaki tua itu. Ditelan hakikat, tidak selamanya seorang ayah akan menjaga anak perempuannya. Nanti akan hadir seorang lelaki yang akan memperisterikan Alya. Cukuplah sampai hari ini sahaja dia berkeras untuk menghalang usaha Khairul Iddin.

Wajah comot Alya dipandangnya. "Ayah janji..."

Ibu jari mengusap pipi anaknya dengan lembut.

"Alya sakit... Penat..." Bibir delima itu mengadu. Terkelip-kelip dalam dakapan ayahnya. Sedikit tenang setelah dipujuk Haji Daud. Dia tidak lagi membuat tanggapan bukan-bukan.

Pelukan itu dileraikan Haji Daud. Tubuh Alya yang lemah dibaringkan dengan selesa beralaskan bantal empuk pada belakang tubuh. "Alya rehatlah... Ayah datang ke sini cuma nak hantarkan lauk yang mak masakkan. Kalau-kalau Alya tak lalu makanan hospital, beritahu ayah. Ayah akan hantarkan makanan dari rumah walaupun tengah malam."

Begitu sayangnya Haji Daud pada Alya.

Sebuah mangkuk tingkat di atas meja sisi telah dibawanya dari rumah buat Alya. Tidak banyak yang mereka dapat lakukan untuk mengurangkan kesakitan Alya selain mencurahkan kasih yang tiada henti.

Sebelum Haji Daud hendak beransur keluar, Alya memandang ayahnya. "Betul ke anak Alya hidup?"

"Ya... Baby Alya kena tahan wad. Doktor pasangkan tiub oksigen. Nanti bila dah okay, doktor akan hantarkan baby pada Alya... Kesian baby nak minum susu."

Senyuman kecil Alya terkoyak. Mula yakin pada perkataan ayahnya.

Bayi dia dan Khairul ada sahaja, bahkan sedang berehat dalam ruangan istimewa.

***

Balutan kain pada bekas tembikar dileraikan Azzam. Kaki mengatur langkah di bawah kegelapan malam. Bunyi burung hantu yang menjadi irama seram kedengaran sepanjang dia menapak di bahu jalan.

Jauh ke belakang, keretanya terpakir. Satu lampu jalan pun tiada menerangi. Tidak hairan juga kerana ini laluan yang terpinggir. Di kiri dan kanan hanyalah hutan semak samun yang dihuni beberapa pasang mata merah biji saga.

Malam Jumaat di pilih Azzam. Sebuah malam yang sangat gelap menurut kalendar Islam. Purnama hampir hilang sepenuhnya di langit sana.

Ramuan yang diperam sudah cukup masak. Tiba di sebuah simpang tiga yang menuju ke hutan, kaki lelaki itu terpasak ke tanah. Tekad mahu melihat insan lain menderita membawa Azzam ke sini.

Sungguh berani mahu bermain dengan jin dan syaitan. Sendirian di situ bersama-sama tembikar buruk pemberian bomoh. Talian telefon di saku terputus, menceritakan telah jauh dia ke pelusuk yang tiada satu pun manusia lalu lalang.

Hati dipenuhi hasad, perlahan-lahan rosak. Khairul Iddin pernah memusnahkan hidup sendiri kerana berdendam pada Fatihah dan Mahfuz, kini syaitan berjaya menghasut manusia lain pula setelah Khairul mahu membina kehidupan baharu.

Licik bisikan halus makhluk yang dilaknat Allah.

Azzam mula membaca bacaan mentera jampi serapah sambil menutup bekas santau dengan sehelai kain. Gegendang telinganya disapa dengan pelbagai bunyi asing dan mengerikan. Dikuatkan diri untuk menghabiskan bacaan jampi. Terasa diri dipandang daripada semua arah, nyata dia tidak berseorangan pada tengah malam itu.

Ketika Azzam menyudahkan bacaan mentera, kain yang menutup bekas tembikar naik ke udara. Sempurnalah ritual malam Jumaat yang bakal menjadi titik mula kesengsaraan Khairul Iddin.

***

"Khairul Iddin, sini."

Pelipis yang tidak gatal digaru Khairul. Bibirnya tersengih sahaja melihat wajah ketat Dato Muhsin di ruang tamu rumah. Dia yang hendak cepat-cepat naik ke bilik sudah tertangkap tengah malam buta. Bukannya Khairul merayap hingga lewat malam. Pemuda ini hanya termenung di tepi kolam renang bertemankan foto bayinya yang kemerahan. Barangkali sudah obses dengan anak sendiri.

"Kenapa tangan bersimen ni? Baru papa pergi out station sekejap dah patah balik ke tangan?" Dato Muhsin memerhatikan lengan kiri anaknya yang telah disimen kembali. Berkerut keningnya.

"Biasalah, papa. Hero malaya memang macam ni." Laju mulut Khairul membina jawapan.

Dato Muhsin menggeleng. Malas hendak melayan dalih orang yang mahu larikan diri. Pasti ada alasan yang kukuh, mustahil Khairul yang benar-benar ingin sembuh seperti sediakala disimen kembali tangannya. "Jangan nak meloyar buruk, duduk sini."

Ruang di atas sofa sebelah dikerling Dato Muhsin.

Khairul menghelakan nafas. Punggungnya dihenyak ke atas lantai sofa kulit berdekatan Dato Muhsin lalu dagu ditongkat tangan kanan. "Kenapa, pa? Khai takde buat apa-apa masalah pun."

"Bukan pasal masalah. Cuma mama kata Khai nak kahwin. Betul ke?" tanya Dato Muhsin. Berita itu telah lama sampai ke pendengarannya, cuma baru kini berkesempatan untuk bertanya secara peribadi.

Pemuda itu tersenyum nipis. Dia bersandar pada bahu sofa. Lama berkira-kira mahu menjawab atau tidak. Bila mana Dato Muhsin sudah masuk campur, Khairul tidak boleh berahsia seperti mana yang dibuat pada Datin Farina. Yakin pemikiran Dato Muhsin membatasi perasaan.

"Ya," jawab Khairul Iddin.

"Dengan siapa?" Dato Muhsin melihat wajah anaknya. Lebam tempoh hari sudah tidak kelihatan. Air muka Khairul kali ini lebih tenang.

Pemuda itu mengalihkan badan menghadap bapanya. "Dengan budak jururawat yang Khai rogol. Papa ingat?"

"Yang ayah dia hampir nak tumbuh Khai dekat mahkamah?" tebak Dato Muhsin. Suatu kejadian kacau bilau kembali tercampak ke memori tuanya.

Khairul tersenyum nipis. "Ayah rasa yang Khai lebam selama ni sebab apa?"

Pastilah kerana penumbuk Haji Daud telah dilayangkan ke wajah anaknya. Dato Muhsin masih tidak dapat menghubungkan asbab mengapa Khairul setekad ini. "Dia yang patahkan tangan Khai juga?"

"Tak. Bukan dia. Tapi... Yang upah orang untuk bunuh Khai hari tu ialah Azzam. Abang kepada mangsa rogol yang pertama. Entahlah, papa. Khai ni banyak sangat dosa...." jujur Khairul. Perjalanan hidupnya yang gundah gulana semenjak kecil dipenuhi dengan kemaksiatan. Sedikit pun Khairul tidak terasa hati setelah mengetahui dalang kes pukul tempoh hari kerana dia arif bahawa Azzam ialah abang kepada Lia. Segala dosa ke atas Lia teramatlah banyak, bahkan tiada bayaran yang setimpal. Tidak mengapa jika tangannya patah pada hari ini.

Atmosfera malam yang sepi memberikan dua beranak itu bercakap dari hati ke hati. Datin Farina sedang beradu di kamar. "Khai, budak perempuan tu mengandung ke? Sebab tu Khai nak kahwin dengan dia?"

Khairul menjatuhkan kepala sekali. Lihatlah Dato Muhsin yang mampu meneka dengan sekali pandang pada air muka anak sendiri. "Ya, papa... Dia baru beranak minggu lepas. Selama ni Khai usaha nak berubah sebab... Khai nak kahwin. Khai nak jadi ayah dan suami yang baik..."

"Lelaki atau perempuan?" tanya lelaki setengah abad itu. Wajahnya tegang. Tidak tahu sama ada gembira ataupun marah.

"Princess."

Puteri Khairul belum lagi punya nama. Cuma Khairul lebih gembar untuk memanggilnya dengan panggilan 'Princess.' Setiap kali terbayang wajah bayi perempuan itu, pasti menghangat mata. Rasa mahu memeluk tubuh si kecil rapat ke dada dan menghirup haruman syurga. Mahu memberikan sentuhan kulit ke kulit dan mengatakan bahawa dialah bapa.

"Khai betul-betul nak jaga anak Khai?"

"Ya. Khai dah serik hidup macam sebelum ni. Terhegeh-hegehkan bini orang. Masuk keluar penjara... Kena hina dengan orang sekeliling... Sejahat-jahat Khai, Khai nak rasa bahagia..." Sebutir mutiara jernih mengalir menurun lekukan tulang pipi. Dia ketawa halus sahaja. Segan untuk menangis di hadapan Dato Muhsin.

Nafas dalam ditarik beberapa kali. Pergerakan bibir ayahnya cuba dibaca tatkala telinga tidak lagi dapat menangkap segala bicara. Di saat nafas sudah menyesak, Khairul mula bernafas melalui rongga mulut. Nafasnya putus-putus, dada berasa sempit dan sukar bergerak. Alunan rusuk jadi tidak menentu.

Kedua-dua mata dipejamkan. Di saat itu, Khairul dapat merasakan ada sesuatu yang asing masuk ke dalam tubuhnya. Tarikan nafas semakin memendek dan perlahan.

Perubahan drastik itu dikesan Dato Muhsin. Beberapa kali nama Khairul Iddin dipanggil, namun tiada balasan. Akhirnya, tubuh Khairul dipapah ke kereta secepat mungkin.

Pemuda itu masih lagi sedarkan diri. Pernafasan yang sukar ini tak ubah seperti efek selepas memakan kekacang. Memandang ke sisi, terlihat wajah Dato Muhsin kebimbangan dalam memecut ke klinik berdekatan.

Khairul melangutkan wajah, mencari nafas yang semakin menghilang.

"Sabar, Khai. Kita dah nak sampai klinik," kata Dato Muhsin. Di malam yang gelap tiada cahaya bulan, pacuan dipandu laju.

***
vote komen
***

nak sambungan lagi?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro