49 Fardhu ain

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Di sebuah bilik mesyuarat, di dalamnya terdapat meja kayu yang utuh dalam lingkungan huruf 'U'. Yang mana ia terletak di aras bawah, selari dengan ruang tamu dan dapur rumah kediaman Dato Muhsin. Ruangan berkenaan mula menjadi tempat di mana Khairul akan duduk bersemuka dengan seorang ustaz muda. Dikira, lelaki berkopiah di hadapan ini jauh lebih muda daripada dirinya.

Hanya untuk mempelajari ilmu fardhu ain.

Hanya untuk menjadi lebih baik seperti yang disyaratkan Haji Daud.

Sukar mahu menurunkan ego buat mempelajari ilmu agama. Kali ini, Khairul berlapang dada. Berapa lama hendak mendiamkan diri pada peluang yang diberikan Haji Daud?

Anaknya akan membesar dan perlukan kasih seorang ayah. Alya pun perlukannya di sisi sebagai seorang suami.

"Ilmu tanpa amal tidak berguna, amal tanpa ilmu juga sia-sia sahaja."

Bait itu menangkap perhatian Khairul Iddin. Batuk yang cuba ditahan sentiasa berbunyi. Sudah pun dimakan ubat batuk pagi itu, diharapkan lega malangnya tidak.

"Abang ada tak apa-apa senjata untuk pertahankan diri?" soal ustaz muda itu.

"Ada, pistol," jawabnya. Sengaja mengambil lesen untuk memegang alatan api seperti saranan Dato Muhsin. Khairul diizinkan untuk ke mana sahaja tanpa pengawal peribadi asalkan ada senjata di sampingnya.

"Kalaulah abang ada pistol tapi tak tahu nak tekan yang mana... Tak berguna, bukan? Sama juga kalau abang pandai guna pistol tapi tiada pistol. Dalam hidup ini, kita tak boleh pisahkan antara ilmu dan amal. Bila ada ilmu, kenalah beramal. Bila nak beramal kenalah ada ilmu."

"Nak belajar ilmu banyak mana?" Inilah syarat pertama Haji Daud yang pernah dipandang enteng oleh Khairul di suatu ketika. Pemuda itu berserah sahaja andai perlu mempelajari berpuluh-puluh kitab demi mendapat keizinan imam kampung berkenaan buat menikahi Alya.

"Dalam agama, ada satu kadar ilmu wajib untuk setiap orang Muslim yang baligh dan berakal pelajari. Itulah ilmu fardhu ain. Bukan untuk abang jadi ustaz dan mengajar orang lain tetapi untuk abang sendiri praktiskan dalam kehidupan." Ustaz Ilyas menyentuh sebuah buku nipis berwarna hijau di atas meja dengan hujung telunjuk. Tidak sampai 100 muka surat terkandung, sungguh ringan dan mudah buat dipelajari orang awam yang tidak pun mahu berkecimpung dalam bidang agama bahkan jauh sekali mahu menjadi seorang ustaz.

"Ini sahaja yang kita nak pelajari. Nak tengok isi kandungan?" pelawa ustaz berkenaan.

Khairul menarik bucu buku fardhu ain itu ke arahnya. Tangan mula menyelak muka surat terawal yang terpahat isi kandungan kitab. Ia bermula dengan bab aqidah dan diakhiri dengan taubat. "Sikit je?"

Setiap satu muka surat akan tertulis tulisan arab tidak berbaris beserta terjemahan dalam bahasa Melayu. Jarak antara perenggan agak luas, maka terlihat banyak ruang kosong di mata Khairul. Lapang hatinya setelah menilik silibus pelajaran sebegini.

"Iya, dalam seminggu pun boleh habis kalau kita buat kelas hari-hari." Ustaz Ilyas senang melihat minat Khairul untuk mempelajari ilmu fardhu ain. Semoga urusan belajarnya dipermudahkan serta beroleh kefahaman dalam masa yang singkat.

Kulit buku dikatup Khairul kembali. "Kenapa belajar bab Aqidah dulu? Bukannya bab taubat..."

"Penulis kitab meletakkan bab aqidah di bab pertama kerana... Kata Imam Al-ghazali, 'tidak sah amal ibadah seseorang melainkan setelah dia mengenal Tuhan yang disembah.' Sebelum kita hendak bertaubat, kita perlu kenal pada siapa yang kita hendak memohon ampun. Barulah akan lebih bermakna."

Jika tak kenal, maka tak cinta. Hati mahu mencintai Tuhan, namun siapakah Allah?

Allah itu Tuhan sekalian alam. Ada sifat-sifat wajib baginya. Mengimani Tuhan yang Esa itu rukun iman pertama, juga terkandung dalam kalimah syahadah yang akan membezakan antara orang Islam dan orang Kafir.

Sebuah pegangan besar. Tak seharusnya seseorang berlepas tangan pada perkara ini.

Titik mula buat Khairul mengenal Tuhan yang berhak disembah.

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa"

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."

QS Al ikhlas : 1-4

Pada hari ini, Khairul tahu Allah tidak menyerupai makhluk ciptaanNya. Pernah sekali diri membayangkan Allah itu ibarat cahaya yang terang benderang. Pada hakikatnya, ini keimanan yang salah. Cahaya ialah makhluk ciptaan Allah. Mana mungkin Sang Pencipta menyerupai makhluk ciptaanNya.

"Apa sahaja yang terbayang di fikiranmu, Allah tidak seperti itu."

Imam Ahmad bin Hanbal

Akal manusia terbatas, hanya mampu membayangkan makhluk. Tidak lebih dari itu. Maka setiap kali syaitan cuba menyucuk jarum, ingatlah apa sahaja yang terbayang di fikiran, Allah tidak seperti itu.

Yang diingatkan ilmu ketika sekolah KAFA memadai, hakikatnya itu hanyalah sukatan untuk pelajar sekolah rendah fahami. Benarlah kata Haji Daud. Tidak guna bersikap ego untuk menuntut ilmu. Bekalan ilmu ini diperlukan untuk membimbing keluarganya kelak.

"Ustaz, fikiran saya selalu menerawang bila sebut tentang Tuhan. Saya pernah anggap bila solat... Allah ada di hadapan saya," jujur Khairul Iddin.

Bilakah kali terakhir Khairul diberitahu tentang aqidah yang benar? Sudah lama hati tidak disapa dengan ilmu agama.

"Telah bersepakat Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa sesungguhnya Allah tidak diliputi oleh tempat dan tidak berlalu ke atasNya masa. Ini dinukilkan oleh Abu Mansur Al-Baghdadi dalam kitabnya Al-Farqu baina Al-Firaq... Sepertimana akal boleh menerima bahawa sebelum Allah menciptakan tempat dan arah, Dia telah
pun ada tanpa tempat dan tanpa arah, begitu juga akal boleh menerima setelah Dia menciptakan tempat dan arah, Dia tetap ada tanpa tempat dan tanpa arah kerana Allah tidak berubah-ubah."

Allah bukan di hadapan kita ketika solat.

Allah wujud tidak bertempat.

Wujud, sifat wajib bagi Tuhan.

Bilamana hati merasakan telah menyangka sesuatu yang tidak layak bagi Tuhan, perbaharuilah kalimah syahadah.

Khairul mengangguk faham pada setiap syarahan ustaz. Baru hari pertama, telah banyak yang dipelajari.

Hari ini berkisarkan tentang aqidah.

Keimanannya dibaiki, malah dipasak utuh. Terasa bagaikan baru mengenali Islam. Benarlah, betapa dia jauh daripada agama sendiri.

***

Bibir merah jambu puterinya bergerak umpama sedang menghisap susu ketika lena. Pipi montel yang kemerahan menolak bibir, tercari-cari sumber susu. Lidah juga terjuih keluar sehingga air liur tertirih ke tepi. Terus kelopak mata terbuka, terpisat-pisat ingin memecahkan empangan tangisan.

Ketawa kecil Alya kedengaran.

Sisi tubuh anaknya ditepuk perlahan.

Dipandang sahaja wajah suci ini. Rasa penat membaluti tubuh kerana kerap menyusukan bayi siang dan malam. Kebanyakan tenaga Alya dihabiskan untuk berehat dan memberi susu.

Alya mengiring dan mengalaskan kepala sendiri ke atas lengan. Dirapatkan wajah hingga bertemu bahu kecil bayi perempuannya lalu dicium sebuah haruman yang mendamaikan kalbu. Sentuhan kulit ke kulit pada si kecil memberikan ketenteraman.

"Alya, tak nak makan?"

Gadis bersanggul itu tersenyum nipis. Kelihatan Hajah Norma sedang berdiri di pintu bilik. "Tak nak."

"Tak usahlah tunggu Khairul datang. Dah  berminggu dia hilang tiada khabar. Jangan seksa diri sendiri macam ni." Hajah Norma tidak jemu mengulang ayat sama berkali-kali.

"Alya tak selera," jawab Alya. Setiap hari menanti lelaki itu menunaikan janji. Lama-kelamaan apa yang dirasa hanyalah tawar. Baik pada hati ataupun deria rasa. Makanan pun tak mahu dikunyah.

Wajah anaknya ditatap dari sisi.

Tak ubah seperti perempuan mati laki. Asyik mendiamkan diri, sejak keluar dari hospital. Alya hanya mengendahkan keperluan bayinya tetapi tidak pada diri sendiri. Bodohnya menaruh hati pada manusia yang belum tentu akan menjadi peneman setia. Pahit hakikat ini cuba ditelan Alya setiap hari. Kelat di anak tekak, sakit di sanubari.

Hajah Norma sudah tidak tahu hendak memujuk bagaimana lagi.

Gadis berkain batik itu memilih tuk berbaring di sisi anak kecil dan berbuat seperti tiada apa-apa. Bayi yang sedang beradu itu dikucup kasih tidak henti. Tingkahnya diperhatikan Hajah Norma sebelum Haji Daud memunculkan diri.

"Alya, Khairul kirim salam," ujar Haji Daud yang baru sahaja tiba di pintu bilik. Lelaki tua itu berdiri di sebelah isterinya. Di tangan terdapat sebuah telefon.

"Ayah bohong, bukan?" Alya langsung tidak berminat.

"Budak tu baru telefon ayah. Dia kata dia akan datang esok," balas Haji Daud. Nombor telefon yang tidak dikenali telah terpapar di skrin telefonnya beberapa minit lalu. Itu nombor milik pemuda bernama Khairul Iddin

"Tak pernah-pernah dia minta izin nak datang rumah kita," sampuk Hajah Norma. Turut hairan seperti anak gadisnya.

Haji Daud memandang Alya. Sesaat kemudian pandangannya jatuh pada wajah bayi di katil. Itu anak Khairul, dia tidak boleh memisahkan Khairul daripada anak sendiri. Khairul juga punya hati dan perasaan. Bibir menggulung senyuman. "Itulah... Mungkin dia dah berubah angin."

Alya perlahan-lahan duduk bersimpuh. "Mana dia dapat nombor ayah?"

"Orang kalau dah sayang, selak buku telefon setebal kamus dewan pun sanggup."

Pandai Haji Daud mengembalikan senyuman pada wajah bunga di rumah itu. Senyuman manis Alya kelihatan, segan diusik sedemikian. Lihatlah wajah pucatnya, tampak lebih sesuai untuk terhias dengan kemanisan berbanding kemuraman.

"Ayah ni merepeklah... Mana ada orang guna buku telefon dah zaman sekarang," kata Alya.

Bilik anak gadisnya dimasuki. Ruang kosong disebelah Alya menjadi tempat Haji Daud berlabuh. "Ayah ada berbincang seperkara dua dengan Khairul tadi."

"Apa?" Alya tidak mampu menyorokkan perasaan terujanya. Bersinar-sinar mata memandang Haji Daud. Segala kepahitan hidup yang melanda diri terlenyap seketika.

"Adalah... Alya makan ya?" Ubun-ubun anaknya diusap. Lembut sahaja pujukan yang diberikan. Menggambarkan betapa dia kasih pada anak sendiri.

"Ayah tak nak beritahu?" Muka gadis itu sudah mencuka. Bibir terketap. Entah bila cinta hadir berputik. Mungkin pada setiap kali Khairul datang dan mengikat janji.

"Perbualan antara lelaki... Mana boleh tahu." Haji Daud jawab bersahaja. Sengaja mahu meleraikan ketegangan keadaan. "Insya Allah, Khai akan datang sepanjang  minggu mulai hari esok. Ayah akan ajar dia tentang agama."

Hati Alya menghangat, begitu jua matanya. "Ayah betul-betul nak tunaikan janji?"

"Ayah tak pernah mungkir janji dengan anak ayah," bilang Haji Daud. Dia mengizinkan tubuhnya didakap Alya. Pelukan hangat itu malah dibalas.

"Buatlah solat istikarah..." Haji Daud memegang kedua-dua belah sisi wajah anaknya dengan telapak tangan. Mereka hanya manusia yang tidak mampu mengetahui baik dan buruk melainkan dengan izin Tuhan.

***
vote x komen
***

Di kala diri menepi untuk warna-warna hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro