53 Setuju

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

"Mak teh."

Khairul memberhentikan langkah dikala mata disapa dengan susuk tubuh seorang wanita yang amat dirindui.

Mata bundar itu membalas pandangannya lalu melekukkan senyuman. Kedutan di wajah pun turut naik sekali. Lembut sahaja membalas pandangan Khairul yang jatuh terkebelakang.

Segeralah pemuda itu berlari anak di atas tanah. Segalanya kosong, hanya ada mereka berdua di situ. Semasa menggerakkan segala sendi, tiada pun rasa sakit hinggap ke reseptor. Malah dia berasa telah sihat seperti sediakala tanpa apa-apa jerih keperitan. Khairul pun mengoyakkan senyuman.

Tubuh ibu susuannya didakap erat. Tidak tertahan, bergenang jua air mata jantannya. Dia menyembamkan wajah ke bahu wanita yang telah menjaganya dari kecil hingga dewasa.

"Khai dah besar." Air mata hangat Khairul diseka perlahan. Makin laju pula menurun bila mana Mak Teh membelai wajahnya.

Tiada kata dapat mengungkapkan rindu di dada. Dia sekadar tersenyum dan membalas pandangan mak teh dengan mata yang berkaca-kaca. Banyak perkara berlalu sepanjang ketiadaan Mak teh. Segala ujian datang bertubi-tubi hinggakan dia berasa hendak berputus asa.

"Kenapa menangis ni?" soal Mak teh lembut. Raut bersihnya menatap Khairul Iddin, hendak memujuk.

Kebanyakan hari setelah pemergian Mak teh, Khairul asyik memujuk diri sendiri. Dia terpaksa berlaku begitu tuk kekal kuat berdiri. Namun, hakikatnya tiada siapa pandai memujuk seperti Mak teh yang seorang ini.

Yang lembut sahaja pertuturan, setiap sentuhan terselit rasa kasih.

Yang akan menyayangi Khairul tak kira apa.

Yang membawa pergi separuh hidup Khairul di kala khabar kematian menyapa telinga. Sungguh lama Khairul mengambil masa untuk berdiri seperti sekarang.

"Khai rindu mak teh," bisik lelaki itu. Perlahan-lahan kembali melingkarkan tangan ke batang tubuh wanita berkenaan. Dia mendakap mak teh dan membiarkan masa berlalu seketika tanpa sebarang bicara. Tidak diendahkan aneh persekitaran yang tiada manusia lain di situ.

"Khai nak ikut mak teh?" soal mak teh.

Sejak dahulu, itu pilihan yang diingini. Sanggup membuat percubaan membunuh diri. Namun, segalanya tidak berjaya. Dato Muhsin dan Dati  Farina asyik melindunginya. Kedua-dua orang tua itu seperti tidak mahu kehilangan Khairul walaupun Khairul bukanlah seorang anak yang baik.

Jauh pandangan anak mata berlabuh. Khairul mengetap ulas bibirnya. Memikirkan sebuah jawapan.

Dia tenang di sisi mak teh. Bahkan segala kesakitan terbawa pergi.

Pelukan tangannya dileraikan mak teh yang sedia menanti jawapan. "Khai nak ikut mak teh?"

Sekali lagi pertanyaan yang sama mengetuk pintu realiti. Khairul tak mampu memberikan jawapan terus kerana hatinya mula berbelah bahagi antara keinginan mahu hidup bersama-sama mak teh atau... sebuah kehidupan baharu yang menanti.

Hampir terlupa suatu perkara.

"Khai dah banyak sakit. Biarlah setakat itu sahaja." Mak teh mengusap bahu Khairul Iddin.

Air mata pemuda berkenaan kering disapu angin yang bertiupan.

"Khai akan ikut mak teh." Jeda. Ada sesuatu yang terbuku di hati, terlebih besar perkara itu buat dilaksanakan. Malah dia telah berjanji buat menjaga Alya dan Fatimah Azzahra. "Tapi bukan sekarang."

"Kenapa?" Mak teh tidak menunjukkan sebarang riak terkejut. Dia berlaku biasa.  Mata memandang raut kepenatan yang terpampang di hadapan ini.

"Khai nak kahwin.. Khai nak jaga anak Khai... Khai nak jaga mama dan papa," jawab Khairul Iddin. Bibirnya membentuk senyuman nipis.

"Khai dah tak boleh pentingkan diri dan lari daripada masalah Khai... Ta-tapi bukan bermaksud Khai tak sayang mak teh..." Serba salah mencengkam pula. Air muka mak teh disangka berubah kerna memarahinya. Khairul menggeleng perlahan. "Khai sayang Mak teh."

"Mak teh tahu Khai sentiasa sayangkan mak teh, kan? Jangan risau... Mak teh tak cemburu pun kalau hati Khai ada perempuan lain."

Senyuman tua itu ikhlas terpamer. Khairul memejamkan kelopak matanya yang hangat. "Mak teh."

Ibu

Andai bahagia mampu dikirim melalui kata,
Kaulah ibu yang layak menerima rasanya.

Andai dunia melihat aku dengan sebencinya,
Kaulah yang terus mencintaiku seadanya.

Andai ada gadis memberikan padaku hatinya,
Tiada apa yang mampu mengantikanmu di tempat pertama.

Jika aku tidak lagi diizinkan melihat syurga,
Izinkanku menjaga syurga dunia,
Kaulah ibu tiada dua atau tiga,
Cinta dan kasihmu membawaku ke syurga Dia.

"Mak teh tetap nombor satu, bukan?" kata wanita berkenaan diiringi tawaan kecil.

Yang membuatkan Khairul kembali tenang.

"Ya." Kepala dijatuhkan sekali.

"Mak teh suka tengok Khai yang sekarang. Khai sentiasa akan jadi anak soleh mak teh."

Mata dicelikkan.

Rindu ini membelenggu diri.

Bunyi cengkerik dari luar rumah membentuk sebuah irama. Kokokkan ayam menandakan sang mentari akan mengorak fajar. Air mata yang mengalir di pipi dikesat Khairul dengan kekura tangan.

Nyata itu sekadar mimpi. Dilihat ke sekeliling, masih berada di kediaman Haji Daud. Perlahan-lahan menolak tubuh bangkit dan bersandar di kepala katil.

Khairul tersenyum nipis. Sisa tangis dibiarkan mengering.

***

Alya memeluk tubuh bayi sulungnya ke dada. Si kecil ini diam setelah diberikan susu sehingga kenyang. Masih kecil, usianya baru hendak memasuki bulan kedua. Malah, Alya pun usai berpantang.

Gadis itu bertudung litup di hadapan tetamu rumah. Dia hadir ke ruang tamu seperti yang diminta sang ayah. Berlabuh di tepi Haji Daud atas papan kerusi yang sama ditemani Fatimah Azzahra.

Seminggu lamanya Khairul bermalam di rumah mereka. Pada hari ini lelaki itu bakal pulang ke tempat asal. Tidak pasti di mana Khairul berada tika itu kerana yang mengisi kerusi ruang tamu hanyalah Dato Muhsin dan Datin Farina. Sesekali Alya memanjangkan penglihatan ke sudut laluan yang membawa ke sebuah bilik tidur tetamu. Di situ Khairul bermalam selama ini.

"Alya setuju untuk bernikah dengan Khairul?" soal Datin Farina.

Soalan cepumas berkenaan menarik perhatian si gadis tuk kembali memandang tetamu. Dilihat kedua-dua orang tua Khairul ini sebelum pandangannya berakhir di wajah Haji Daud.

"Alya ikut ayah," jawabnya lalu menekur. Hati mula memainkan rentak laju. Diikutkan perasaan, memang benar-benar Alya mahu menikahi Khairul Iddin. Lelaki itu tak kurang kuatnya dalam mengejar dia selama ini. Malah, anak di dalam gendongan ini juga benih Khairul sendiri. Dia tidak mahu memisahkan Fatimah Azzahra daripada Khairul. Keikhlasan yang terpancul hari demi hari mencairkan hati perempuannya.

"Kira jadilah," Haji Daud mewakilkan Alya.

Satu bunyi derapan sepasang kaki di lantai kayu kedengaran.

Seorang pemuda tinggi lampai menuju ke arah ruang tamu sambil menggalas beg pakaian. Air mukanya kelihatan masih kepenatan namun tampak lebih baik berbanding sebelum ini. Walaupun sedikit tidak terurus sepanjang minggu, wajah kacaknya terpamer berserta sekuntum senyuman.

Isi ruang tamu memandang Khairul yang baru memunculkan diri, termasuklah Alya.

"Khairul tak nak duduk lama lagi dekat sini?" Haji Daud menyambut kehadiran lelaki itu.

"Dah seminggu saya tidur dekat sini. Tak elok lama-lama..." Sedikit rasa sihat menjengah. Sekurang-kurangnya dia mampu berdiri dan berjalan tanpa sesiapa.

"Duduklah, Khai," kata Dato Muhsin yang bingkas berdiri mahu memberikan tempat duduk kepada anaknya yang belum lagi sembuh sepenuhnya. Khuatir berdiri terlalu lama akan menyebabkan Khairul berasa hendak pitam.

Khairul berlabuh di kerusi yang kosong setelah meletakkan beg galas ke tepi. Kedudukannya yang menghampiri Alya mendebarkan gadis itu. Berona merah pipi dek malu.

"Kami dah berbincang soal kahwin Khai dan Alya. Bila Khai nak kahwin? Biar papa dan mama sahaja yang uruskan." Dato Muhsin menepuk bahu Khairul sekali.

Lelaki itu sedar usahanya selama ini sedang membuahkan hasil. Wajah Alya diintainya dengan ekor mata. "Kalau lagi tiga minggu boleh? Mama mesti nak rancang macam-macam kan..."

Datin Farina tersenyum gembira. Khairul kenal sahaja ibunya yang tidak akan duduk diam jika majlis perkahwinan berlangsung terlalu ringkas. Biarlah orang tuanya menyumbangkan sesuatu selagi mana tidak berlebihan. Lagipun cuma Khairul pewaris tunggal Dato Muhsin.

"Khai pun nak belajar lagi dengan Haji Daud... Pengajian Khai belum selesai. Tergendala sebab sakit ni..." sambung Khairul Iddin. Langsung tidak mengetepikan perjanjian yang pernah dibuat suatu ketika.

Hati kedua-dua belah pihak disenangkan pemuda itu. Keberkatan ibu bapa baik orang tua kandung ataupun bakal mertuanya mahu diambil sebelum mendirikan rumah tangga. Mata asyik memandang tubuh si kecil di cempungan Alya. Banyak kali senyuman Khairul bersemi tidak seperti dahulu yang mana hanya wajah ketat terpampang.

Melihat pada puterinya, hati Khairul jadi senang.

Melihat pada bakal isterinya pula, buat Khairul merasakan satu tautan hati.

"Eloklah macam tu. Kita cuba rawat Khai sampai sembuh. Alya pun perlukan masa sebelum bernikah dengan Khai." Haji Daud bersetuju.

"Lama ke nak sembuh?" Dato Muhsin sedikit bimbang. Kesan sihir yang dihantar meninggalkan banyak mudarat kepada Khairul Iddin.

"Tapi Khai rasa dah kuat sikit... Dah tak ada benda ganggu Khai malam-malam," celah Khairul. Hendak mengkhabarkan kondisi tubuh. Dia membetulkan sandaran di kerusi.

Tiada lagi gangguan misteri di malam hari. Tiada susuk lembaga hitam mengintainya di celahan dinding rumah. Tiada mimpi ngeri yang membuatkan dia berpeluh hingga sesak nafas. Bagaikan segalanya reda tanpa sedar.

Tangisan kecil Fatimah Azzahra berbunyi. Barangkali puteri Khairul ini terjaga kerana terdengar suara papanya. Mulalah mahu membuat perangai semata-mata ingin berada dalam pelukan Khairul. Tersepet-sepet mata dalam kantuk, namun mulut mahu membuat tangisan.

Khairul memandang Alya di sebelah, memberikan isyarat mata bahawa dia mahu mendodoikan Zahra. Sepanjang terlantar di katil, sedikit pun Khairul tiada berkesempatan untuk mengucup anaknya.

Beberapa tepukan pada tubuh sudah mampu mendiamkan si manja ini. Khairul membalut tubuh anaknya dengan hangat badan. Membiarkan kepala itu terlentok di dadanya. Kecil sahaja tubuh Zahra, namun cinta Khairul kepadanya sangatlah besar.

***
votexkomen
***

Yeay Khai nak kawen. tapi mana Azzam?...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro